Wednesday, December 30, 2009

zuhud dengan Croc

Sambil memandu menyusuri di sebuah jalan kawasan perumahan elit, hati kecil tertanya-tanya. Setiap rumah berpagar tinggi, supaya orang-orang luar seperti saya tidak dapat melihat ke dalam. Hampir semuanya memiliki sistem penggera keselamatan. Ada pula yang lebih berduit agaknya, mengupah pengawal keselamatan di luar.

Memang tidak disangkal lagi, harta benda mewah impian semua. Tipulah, kalau saya kata saya tidak ingin seperti mereka, punya lebihan wang sebegitu, dengan kereta-kereta menjalar di kawasan rumah.
Di dalam rumah mestilah punya alatan dan perabot mahal, dengan kemasan rumah yang pastinya membuat mata terpegun.

Namun begitu saya juga percaya, pagar yang tinggi, alat penggera keselamatan dan pengawal keselamatan di luar juga mewakilkan sebahagian dari gaya hidup tidak selamat. Kerana harta sebegitu rupa mengundang masalah lain pula. Sedangkan rantai seurat di leher bagi orang-orang biasa seperti kita juga boleh membawa padah, apatah lagi dengan harta benda sebegitu.

Betullah, harta benda merupakan ujian dalam hidup kita.

Sibuk kita mengumpul harta, membeli tanah dan rumah lebih dari sebuah, agar hari tua kita senang, supaya nanti anak-anak yang kita tinggalkan tidak merempat.

Tetapi benarkah situasi ideal itu akan kita dapat? Banyak yang kita telah dengar, baca dan lihat. dek kerana harta yang kita kumpul , adik beradik , sanak saudara bermasam muka. Dek buta mata dengan harta nanti, anak-anak mengharapkan kematian kita agar lebih cepat.

Kalau diikutkan sirah Rasulullah s.a.w., Baginda sebenarnya sangat kaya raya, kerana setiap harta rampasan perang, ada bahagian yang besar buat Baginda. Namun, semua kita tahu di hari kewafatan baginda Rasul, harta yang ada amat-amat sedikit.

Memang tidak terikut rasanya saya dengan sifat Baginda Rasul. Begitu zuhudnya, dan ikhlasnya dalam perjuangan.

Saya?

Di manakah letak duduknya saya dalam urutan kezuhudan tersebut. Memang amat jauh sekali. Sedangkan, waktu menaip ini pun masih lagi berangan memiliki rumah banglo nanti, dengan kereta mewah berwarna merah di halaman, kalau boleh juga, ingin bershopping setiap minggu membeli beg tangan berjenama mahal, sedondon dengan kasut Croc yang asli, bukan tiruan.

mmmm.

~cikgunormah@klcitizen~








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 28, 2009

positif

Sentiasa positif!

Senang bercakap, tapi hendak merealisasikannya tidak sesenang seperti yang ditulis. Setelah menghadiri mesyuarat pertama untuk sesi 2010 pagi tadi di sekolah, mood agak kurang baik.

Bukannya apa. Mendapat tugasan yang memang langsung tidak berkenan di hati. Walau pun sudah minta dipertimbangkan agar digugurkan dari tugasan tersebut, namun, apakan daya, yang punya kuasa bukannya saya.

Positif! Positif!

Cubalah....

Berkhidmat untuk negara. Moto dan azimat yang tertera, sejak menyandang tugas. Apa pun, ini cabaran yang perlu diteruskan. Buatlah yang terbaik.

Berkhidmat kerana Allah. Mungkin dengan itu tugasan tersebut akan dipermudahkan. Dan, dengan izin Nya saya berdoa moga tugasan tersebut menjadi cemerlang.

InsyaAllah.

Saya cuba positifkan diri.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 26, 2009

first time

hari ini memang memberi kejutan.
first time masuk contest di ruang siber,
rezeki murah pula.

terima kasih pada ibu ayu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, December 24, 2009

berdebar-debar

Apakah perasaan menghampiri hujung cuti yang panjang?

Anxious..
Sama dengan maksud gelisah, khuatir...

Sama juga perasaannya dahulu, semasa bersekolah, setelah cuti panjang hujung disember, melangkah ke sekolah dengan pakaian, buku serta aneka serba baru. Perasaan gelisah jua yang hadir menyapa. Lebih teruk lagi waktu malam sehari sebelumnya.

Sudah tua-tua begini pun, bila hendak melangkah ke tahun baru, setelah cuti panjang dan  hendak mengadap murid-murid serta menghirup udara perhimpunan pertama, hati terasa berdebar-debar.


Kenapa ya?

Saya rasa, sememangnya begitu apabila kita menghadapi situasi baru yang tidak terjangka.

Saya tidak dapat menjangka tahun baru 2010 nanti, bagaimanalah rupanya. Bagaimana rupa anak-anak murid yang akan dihadapi nanti? Adakah berjaya saya nanti membantu anak-anak murid ini melangkah ke hadapan dalam hidupnya?

Ataukah saya ini hanya sekadar singgah sebentar sahaja dalam jalan liku hidup mereka, tanpa ada kesan. Bagaimanakah tugas kerja yang akan saya pikul nanti selain mengajar di dalam kelas.

Tertanggungkah sebagaimana selayaknya?

Setiap dari kita, memang ada perkara atau tindakan yang kita rasa kita patutnya buat lebih baik dari itu. Samalah juga dengan saya.

2009.

Sudah ternoktah. Apa yang sudah tertulis, walau pun tidak seperti yang kita harapkan, itulah ia. Takkan berubah. Cuma nanti, diharap perjalanan hidup yang seterusnya ini akan menjadi lebih bermakna.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 19, 2009

tua sebelum usianya....


Foto di bawah semuanya dari sini

Dhaka 2008: Jainal 11 tahun. Sudah 3 tahun bekerja di kilang tersebut.
Di kilang membuat periuk dari silver. Gaji sebulan 10 USD.


setiap 1000 bata yang dibawa, upah yang diterima
ialah 0.9 USD


Jejari Munna, berusia 8 tahun.
Bekerja 10 jam sehari dengan upah 8 USD sebulan.


Dimarahi majikan. Pendapatan anak ini ,
1 USD untuk 10 jam waktu bekerjanya.

G.M.B. Akash adalah pemilik foto-foto tersebut. Ke sini untuk menyelami kehidupan yang tersisih.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, December 17, 2009

bawaklah berfikir...


kalau sudah dipesan berkali-kali,
tetapi masih tidak mendengar kata, bagaimana?

"jangan berlari, nanti jatuh.."

tetapi, masih juga si anak berlarian, akhirnya terjatuh.
apakah kata-kata yang selayaknya?

"padan muka...?" atau
"kan mak dah kata, degil sangat. tak dengar orang tua cakap"

--------------------------------
kalau sudah diberitahu berkali-kali,
tetapi masih tidak mempedulikan, bagaimana?

"jangan berkawan dengan si anu, dia boleh membawa
susah"

tetapi , masih juga berpegang dengan kata hati sendiri,
akhirnya memang susah menyinggah dalam jalur hidupnya.
apakah kata-kata yang selayaknya?

"padan muka.." atau
"itulah, saya dah pesan berpuluh kali, inilah jadinya..."

--------------------------------------------

tak cukup dengan kata-kata,
kita pesan dengan gambaran jelas.



dan
tatkala mendapat berita

"Suami imah meninggal semalam"
"Innalillah.......sakit apa?"
"Kanser paru-paru... baru tahu sakitnya 2 bulan lepas, terus merebak cepat ke stage 4"
"Perokok ke?"
"Ya... perokok tegar"

apakah kata-kata yang selayaknya?
"padan muka.."???

issy... tak patut

habis tu , nak kata apa ya, yang selayaknya,
selain takziah pada isterinya seorang tukang cuci pejabat dan enam orang anak-anak kecilnya?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 13, 2009

dunia memang tak adil

Sedang saya  asyik menjamah mee kari petang tadi, telinga saya yang berselubung tetapi  tidak dapat ditutup berjaya menangkap butir kata-kata wanita di meja sebelah.

Ah, sahabat lama barang kali, kerana sibuk bertanya khabar, dan meng'update' kisah masing-masing.

Memang tidak terniat hendak menjadi penyibuk tidak bertauliah, tetapi, meja kami memang sangat rapat di ruang kedai yang sempit itu.

Wanita A: Untung betul ya, dua-dua belajar di oversea, dan kerja best-best pulak. Suami you kat shell, ya?

Wanita B: Mmm, sebelum tu kat petronas.

Wanita A: Sekarang tinggal kat setiawangsa lagi ke?

Wanita B: Tak dah , baru pindah. Dua kali beli rumah, dua-dua jual. Ni tengah cari kat seremban pulak.

Wanita A: Murahnya rezeki you all berdua ya.

Wanita B: Bab itu memanglah, cuma satu je. sampai sekarang belum dapat anak lagi...
(nada suaranya sedih)

Hidup memang begitu.

Apa yang saya ada, kadang-kadang awak tak ada, apa yang saya tak ada, awak pulak ada, malah kadang-kadang awak ada berlebih pula.

Awak cantik, saya tidak.

Awak tinggi, saya rendah.

Saya senang, awak susah.

Dunia seolah-olah tidak adil, kan.

Apatah lagi, kalau membaca kisah-kisah jenayah di dada akhbar. Kalau penjenayah dapat dihukum sekali pun, kadang-kadang hukuman yang dijatuhkan sangat tidak setimpal dengan musibah yang telah dilakukan.

Dilihat secara mendatar , begitulah. Tetapi hakikatnya ini semua sebenarnya menunjukkan keadilan Allah.

Jika saya ada semua di dunia ini, apalah gunanya saya menunggu syurga Allah.

Kerana saya telah memiliki semua itu di dunia ini, kan.

Ketidak adilan yang kita dapat di atas ketentuan hukum manusia, akan dibalas dengan lebih teruk di neraka nanti. Bagi yang teraniaya, neraka Allah sebagai hukuman yang terbaik kepada sipenganiaya. Bukankah itu lebih adil nanti.

Dalam pada kita menunggu saat keadilan itu nanti, yang pastinya kita akan terus di sini, diuji dengan ketidak adilan yang pelbagai. Moga ujian itu membuahkan kesabaran dan kesyukuran yang menebal dalam dada kita, sebagai bekal kita di sana nanti.

Salam Ukhuwah.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, December 10, 2009

penjara

Pernah masuk ke penjara?

Saya tidak pernah berpeluang, alhamdulillah. Walau pun teringin juga melawat Penjara Pudu satu masa dahulu semasa ia dibuka untuk lawatan orang ramai.

Yang selalu digambarkan dalam kepala ialah dalam bilik penjara mesti ada dua katil dan ada lubang tandas . Pastinya tilam katil tersebut banyak pepijat. Dan udara dalam bilik penjara tersebut mestilah hapak kerana pengudaraan yang tidak baik.

Macam-macam jenis penjara wujud di dunia sekarang. Yang paling terkenal ialah Penjara Guatanamao Bay di Cuba.

Baru ini berpeluang menonton dokumentari di siaran 553 Astro - National Geographic , bertajuk :'Lockwood'

Rasanya ada kawan-kawan yang turut telah menonton episod ini.

Rancangan tersebut tentang Penjara Bersekuriti paling canggih iaitu Oak Park Heights Correctional Facility di Minnesota.

Memang canggih betul. Tak main-main, canggihnya . Tahap keselamatannya ialah tahap 5... (sebenarnya saya pun tak tahu tahap keselamatan ada berapa tingkat, katanya ini yang paling maksimum)

Pesalah-pesalah yang ditempatkan dalam penjara tersebut adalah seramai 450 orang dan merupakan pesalah-pesalah yang melakukan jenayah paling teruk di Minnesota. Namakan sahaja jenayah jenis apa, dan bagaimana, pesalah yang paling susah untuk dikawal di penjara lain di kawasan Minnesota akan ditempatkan di penjara ini.

Yang menarik saya lihat dalam dokumentari tersebut ialah hukuman bagi kesalahan yang dilakukan oleh inmate semasa di penjara, contohnya bergaduh sesama sendiri, mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan 'pengasingan'. Di mana semasa pengasingan, pesalah akan ditempatkan di blok lain, tidak ada sebarang bentuk sentuhan fizikal hatta warden penjara juga tidak akan menyentuh pesalah, tidak ada sebarang komunikasi luar, pesalah tidak akan dibenarkan menjalankan aktiviti rekreasi dengan pesalah lain seperti bersukan. Masa rehat pesalah untuk keluar dari sel ialah 1 jam sahaja.

Bayangkan duduk dalam bilik tidak bertingkap selama 150 hari...

(agaknya penjara di kamunting, taiping beginikah?)

Dan jangan tak tahu ada pesalah yang selepas dikeluarkan dari pengasingan ini menjadi gila... ishh menakutkan.

Walau bagaimanapun tidak ada sebarang bentuk deraan dikenakan pada pesalah, tidak seperti di penjara Guatanamao Bay .

Cuma pengasingan sahaja pun sudah boleh menggilakan manusia yang waras, bagaimanalah pula jika deraan dan siksaan yang dikenakan pada saudara-saudara kita di Guatanamao Bay itu, ya?

Namun begitu saya percaya, kekuatan dalaman akan dianugerahkan oleh Allah pada insan-insan yang teraniaya dan yang yakin pada keEsaanNya. Ini tidak wujud dalam diri pesalah-pesalah yang menjadi gila, tiada iman dalam hati, maka jiwa menjadi mati.

Assyahid Syed Qutb di penjara Mesir

Kita punya ramai pejuang islam yang telah dipenjara dan disiksa, tetapi tidak menjadi gila malahan sesetengahnya menghasilkan kitab-kitab semasa dalam penjara. Sangat besar bezanya seorang pejuang yang dipenjarakan dengan seorang pesalah yang tiada iman di dada.

Kita juga hendaklah jangan terpedaya. Ramai dari kita yang bebas di luar ini , mempunyai fikiran yang terpenjara. Takut berubah menjadi lebih baik, takut berhijrah ke kehidupan yang bersih dari noda, atas pelbagai alasan...

Alangkah malangnya.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, December 8, 2009

indahnya perang...

Betulkah seperti yang tertera pada tajuk entri? Memang sewel orang beranggapan demikian.

Saya sedang dalam mood perang.

Bukan ,.... bukan hendak berperang dengan sesiapa.

Sebenarnya baru habis menonton filem MULAN di panggung tadi. Selepas zohor tadi saya ke sana bersama keluarga. Kepada yang tidak pernah tahu tentang Mulan ni, sedikit sinopsis...

Namanya Hua Mulan (namun ada versi lain memberikan nama keluarga yang berlainan). Seorang gadis kampung yang menyamar sebagai seorang lelaki lalu menggantikan bapanya yang telah tua dan uzur sebagai askar semasa kerahan tenaga untuk melawan puak Roulan yang ganas. Hua Mulan akhirnya menjadi Jeneral perang yang sangat dikagumi. Banyak adegan perang dalam filem tersebut.
ada juga diselitkan kisah cinta, tetapi masih boleh dimaafkan kerana, adegan cintanya tidak meleret dan ditambah dengan adegan perang yang menarik.

Apa yang cantiknya tentang perang?

Sebenarnya tiada yang indahnya tentang perang. Tetapi  saya beranggapan perang zaman dahulu lebih bertamadun.

Perang ada beberapa jenis : alliance war, battle war, cold war, guerilla war dsb. (sini)

Antara banyak-banyak perang itu, hanya battle war yang menarik.

Secara ringkasnya, kedua pihak yang bermusuhan bertemu di satu tempat, berdiri mengadap satu sama lain dan serangggg!!!!! Biasanya di kawasan yang jauh dari tempat tinggal orang-orang awam.

Cara menentukan perang tamat ialah:
- tinggal satu pasukan sahaja yang masih tegak berdiri atau
- satu pihak menyerah kalah atau
- satu pihak lari lintang pukang atau
- kedua-dua pihak berundur

Cantik kan perang seperti ini. Inilah perang yang bertamadun. Jelas, kita akan tahu siapa yang selayaknya menang. Dan walaupun ia agak primitif tetapi banyak strategi-strategi perang yang menarik boleh tercetus. Dan yang utamanya sememangnya ia dapat mengelakkan rakyat awam terkorban sama.

Dan saya rasa perang sebegini memang mengikut sunnah Rasullullah.

Wallahualam.

Tapi , sekarang?

Main pakai bom je kat mana-mana suka, hatta sekolah dan hospital pun dilanyak. Kekuatan terletak pada teknologi , bukan pada jati diri dan semangat kemanusiaan atau kehambaan pada Allah.

Nyawa manusia ibarat nyawa lalat yang tiada nilai.

Bukan nyawa manusia sahaja yang melayang. Makhluk Allah yang lain pun turut menanggung bahana.

Dan muharram yang bakal menjelang kita doakan agar tiada lagi perang , walau pun ia agak mustahil
namun tiada kemustahilan bagi Allah. Kerana Dia yang menentukan dan Dia yang maha melaksanakan sebarang ketentuan.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 4, 2009

Kalmadi High School, Pune, India.

Sedang menunggu waktu maghrib, saya langsung menonton siaran astro. Rangkaian Australia Network, dokumentari tentang Indian School. Kenapa Australia Network berminat dengan sekolah-sekolah di India?

Musykil juga saya ...

Sekolah yang dipaparkan pada episod ini ialah sekolah Kalmadi High School di Pune, India. Saya hanya sempat menonton episod ini setengah jamnya yang terakhir. Namun begitu saya amat tertarik sungguh dengan sekolah tersebut. Lantas meng'google' sekolah tersebut. Link nya di sini.

Pelajar di sekolah ini lebih kurang 1200 orang. Saya lihat setiap satu  kelasnya begitu ramai pelajar, lebih kurang 35-45 orang pelajar.

Namun begitu , apabila pelajar-pelajarnya di temu ramah, terutama pelajar senior dan yang memegang jawatan di sekolah tersebut, cara percakapan mereka menunjukkan kematangan. walau pun sekali sekala memang ada ciri-ciri kanak-kanak yang tertonjol. Dan yang menariknya ialah sistem perlantikan Ketua Pelajarnya seperti Head Boy, Head Girl, Head of Football Club dsb. Mereka mengamalkan sistem demokrasi sepenuhnya. Calon-calon yang bertanding berpeluang mengadakan kempen di sekolah, dari kelas ke kelas, berdebat di tapak perhimpunan. Kagum saya dibuatnya.

Selama 17 tahun saya mengajar di sekolah menengah kebangsaan di Malaysia ini, ketua pelajar dipilih oleh Lembaga Guru Disiplin. Agaknya kerana itu pelajar-pelajar sekarang agak kurang matang.

Entahlah..

Mungkin saya seorang sahaja yang beranggapan sedemikian.

Dokumentari itu mengingatkan saya semasa zaman persekolahan saya di Ipoh. Saya bersekolah di Main Convent, Ipoh dari tahun 1979 - 1981, iaitu semasa Ting 1- Ting 3.

Sempat jugalah saya melihat kakak-kakak pengawas senior di Main Convent berkempen ke kelas-kelas seperti yang saya tonton sebentar tadi. Sambil mereka bergerak ke kelas-kelas, ada dua tiga orang pengikut atau orang kuat yang ikut berkempen sama. Pada hari mengundi, kami mengundi dalam kelas, hanya di atas sekeping kertas yang dikutip oleh guru kelas.

Sama seperti dalam dokumentari tersebut.

Pengawas senior pada masa itu hebatnya seperti guru, berjalan di tepi kelas kami sahaja, sudah terasa gentar untuk membuat bising.

Saya berpendapat, elok juga budaya mengundi seperti ini diujudkan di sekolah -sekolah harian di Malaysia. Kalau yang sudah menjalankan, sangatlah baik rasanya.

Cara ini dapat melahirkan banyak sikap positif . Apatah lagi negara kita kini seolahnya sudah ketandusan pemimpin yang berkarisma.

Bukankah untuk mendapat gambaran generasi akan datang, kita hanya perlu mengintai peribadi dan akhlak anak-anak kita kini. Pemimpin baik perlu dibentuk serta dididik. Dan masa yang paling sesuai membentuk mereka adalah semasa mereka di bangku sekolah lagi, kan.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, December 1, 2009

azam tahun baru

Dengki dan irihati.

Sama atau berbeza?

Menurut Khidmat Nasihat DBP online (di sini); iri hati bermaksud perasaan tidak senang dengan kelebihan orang lain manakala dengki pula bermaksud kebencian kerana perasaan cemburu/ irihati yang teramat sangat.

Bermakna dari segi tingkatan, dengki lebih parah. Kerana ada perasaan benci yang terselit.

Terbaca tentang kedai mamak yang meletup di johor bharu. (sini) mungkin angkara dengki. Rasanya insan pertama yang berdengki ialah Qabil terhadap Habil. Kesannya ialah kematian. Parahnya dengki bukan alang kepalang. Melibatkan kemusnahan nyawa dan harta benda.

Ini terbukti dalam peradaban manusia sekarang dan masa lampau. perang , pembunuhan dan kemusnahan harta benda di merata pelusuk dunia, malah mungkin di belakang rumah kita juga, semuanya boleh jadi angkara dengki yang tidak berkesudahan.

Adakah insan yang berdengki berasa lega apabila berjaya melampiaskan kebencian yang bersarang di dalam jiwa? Saya percaya tentulah tidak.

Mengambil iktibar Qabil yang resah melihat tubuh Habil yang tidak bernyawa dan buntu dengan tindakan seterusnya, saya percaya dan yakin si pendengki tidak punyai perkataan tenang dalam kamus hidupnya.

Percayalah.

Adakah rawatan kepada sifat dengki?

Ada.

Hanya berkehendak atau tidak. Terpulang pada empunya hati.

Jadi, saya berazam dan berdoa sempena tahun baru yang akan mendatang ini , agar Allah menjauhkan rasa iri hati dalam lubuk jiwa saya.

Kerana iri hati yang melampau akan menerbitkan rasa dengki.

Saya juga berdoa agar Allah menjauhkan saya dari kedengkian manusia lain terhadap saya serta keluarga saya. Kerana telah terbukti kedengkian manusia terhadap insan lain boleh disalurkan dengan pelbagai cara, terutama melalui dorongan serta bimbingan syaitan melalui ilmu hitam mereka.

Jom kita berazam dan berdoa perkara yang sama..

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...