Friday, December 31, 2010

hati emas




Saya memohon maaf secara terbuka semasa mesyuarat guru baru ini, kerana tidak menjalankan tanggung jawab saya secara berkesan selama dua tahun. Adakah dosa saya terampun? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Walau pun saya tahu ia adalah amanah, perlu dilaksanakan sebaik dan sehebat mungkin, tetapi dek sifat lemah yang ada, kadang-kadang tindakan berlaku di luar kehendak. 

Ajaibnya perasaan...., kita tidak boleh menipu diri sendiri. Walau bagai mana coolnya kita dilihat pada pandang zahir mata insan lain, rasa bersalah tetap menjalari setiap inci urat dan denyut nadi. Tanggungjawab yang diamanahkan diberi kerana kepercayaan insan lain terhadap keupayaan kita dan mengharapkan hasil yang terbaik. Dan setiap kali kepercayaan itu dilanggar dan harapan itu dihampakan, setiap kali itu jugalah beban rasa bersalah meningkat dalam diri.

Apakah dengan meminta maaf, segala tindakan dapat dijustifikasikan? Pastinya sesiapa pun tahu jawapannya. Namun begitu, itulah sahaja yang terdaya saya lakukan. 

Namun begitu, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab yang lain. Jadi, tahun 2011 ini akan saya langkah bersama azam yang baru, cuba untuk tidak menghampakan kepercayaan insan lain dan memenuhkan tanggungjawab saya sebaik mungkin. Saya tahu saya tidak bekerja berseorangan. Rakan-rakan yang ada di sekeliling yang selama ini sentiasa cuba memahami keadaan saya masih terus memberi kata semangat dan turut sama ingin membantu. Anugerah dari Allah meletakkan saya di kalangan insan-insan berhati emas. Pujian tidak terhingga untukNya.


Salam Jumaat dan selamat menyambut tahun 2011.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, December 28, 2010

first time

"Mah, awak lama dah tak belanja kami orang ya...," suara suami sebaik sahaja melihat adegan makan burger di tv. Wah nak memancing saya mencari makananlah tu petang-petang macam ni.

"Okaylah...nak makan apa?"
"Subway..."

Mmmm..... se KL nya saya, saya tidak pernah makan dan memesan makanan di restoran Subway. Selama ini suami sahaja yang membeli makanan di sana, kekadang bersama bapa mertua tetapi tidak bersama saya. Entahlah... tidak pernah terbuka hati hendak makan di situ.


Saya membayangkan McDonald atau KFC, semasa melangkah masuk.

Terus ke kaunter bahagian cashier. Kebetulan ada seorang pelanggan sedang membayar. Saya menanti  giliran saya di belakangnya. Sampai giliran, saya senyum kepada cashier. Dia pandang saya..... saya pandang dia. 

"Saya nak order...," lama menunggu dia menyapa saya,  lantas saya memulakan bicara.
"Miss... you order there..." balasnya sambil menunjuk ke belah kiri beliau.

Oh... salahlah tempat rupanya. Ada seorang pelanggan lain sedang berdiri  di hadapan cermin kaca tempat menyimpan makanan, memerhati  seorang pekerja memotong roti. Saya berdiri di sebelah kirinya.  Saya pun turut memandang pekerja tersebut memotong roti. 

"La... bila lah nak order ni?" hati saya berkata-kata.

Pelanggan tersebut resah saya berdiri di sebelahnya.

"Miss.... sini," aha... ada pekerja lain memanggil saya. Oh rupanya saya salah tempat berdiri. Nasib baiklah tak ramai orang di situ.

Tiba giliran, tak tahulah pulak macam mana hendak memesan... "Akak first time ke?" tanya adik pekerja tersebut.

"Ha...ah" ... Dia tersenyum. Hari ini saya belajar benda baru di Subway, belajar memesan makanan cara Subway... 

Okaylah juga. Dapat ilmu  di Subway.
Terima kasih adik Subway di Aeon, Keramat.

*lain padang lain belalang, lain restoran lain cara memesannya...


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 27, 2010

maintain....

Apakah yang meriangkan hati seorang wanita apabila berjumpa kawan lama yang sudah lama tidak ditemui? Saya kira banyak faktornya. 

"Lama sungguh kita tak jumpa ya....Makin kurus lah sekarang." 

Ha, itu saya beri rating nombor satu. Jika berjumpa kawan lama dan beliau memberi 'pujian' yang badan saya tidak naik, walau saya tahu, setiap kali menimbang berat badan terasa ada tidak kena dengan penimbang tersebut, kerana jarumnya saban minggu menunjukkan angka yang besar dari sebelumnya, pedulikan sahaja.... Ayat tersebut menjadikan dalam hati ada taman. 

Obses dengan berat badan? Mana tidaknya.... setiap kali membuka almari baju semakin sedikit opsyen baju yang boleh dipakai kini. Kebanyakan baju yang dibeli akan mengecut dengan peredaran masa. Hendak menyalahkan masa atau menyalahkan baju? Tak tahulah saya.

"Eh, makin berserilah awak sekarang ni..."

Ha, yang itu rating nombor dua. Pedulikan sahaja tentang gerak hati sendiri yang macam tidak percaya. Apatah lagi kalau waktu itu waktu "cukup bulan" yang mana aras hormon dalam badan tidak stabil dan kalau ikutkan hati, hendak  menggelegak saja rasanya darah dalam badan. Seri wajah memanglah penting, walau muka pucat lesi tanpa make up.

" La.... tak berubahnya awak. Masih macam dulu lagi. Maintain."

Ha, yang itu rating nombor tiga. Apa yang maintain? Entah. Pedulikan sahaja. Walau tahu setiap kali bangun tidur waktu pagi dok mengadap cermin mengira kedut wajah yang makin bertambah dan mengira urat rambut yang makin memutih, yang penting, maintain.... tak tahulah maintain apa. Yang penting juga setiap kali sebelum tidur, menyental losyen yang mendakwa boleh menghentikan masa untuk kulit wajah, walau tahu si penjual memang putar alam sedunia.

Apa lagi....? Cukuplah sekadar itu entri mengarut ini. Idea yang baik dan bernas tidak menjengah saya pulak hari ini....

*esok mesyuarat guru bermula di sekolah, baju mana hendak ku pakai agar nampak kurus, berseri dan maintain? hehehe

~cikgunormah@klcitizen~ 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 26, 2010

nostalgia

"Mak masa muda cantik la ,mak," saya bersuara sambil menunjukkan sekeping gambar emak. Emak ketawa suka.


Di hadapan kami berterabur gambar-gambar lama yang saya sangka telah lama hilang, tetapi rupanya selama ini dok terperuk di laci bilik adik saya. Ah! Rupanya ada lagi gambar saya semasa di sekolah menengah dulu dengan rakan-rakan semasa di Ting 3 dan ting 5. Nostalgik sungguh semalam.


saya yang kesembilan dari kanan
*gambar dicopy dengan handphone sahaja, kerana tak punya scanner*

di hujung kanan, adik perempuan saya dan saya di sebelahnya

Emak dan saya berkongsi tawa melihat gambar-gambar saya dan adik perempuan saya semasa di Tadika Kemas bawah blok rumah polis di FRU Sungai Senam dulu. Memakai baju yang sangat pendek kerana agaknya emak tak cukup duit nak membelikan saya baju baru tika itu.


Saya kira siapa pun pasti punya kenangan indah waktu masih kecil dan masih muda. Dunia dirasakan begitu luas kerana tiada masalah yang bersarang di fikiran. Masalahnya cuma esok nak main apa dan kat mana saja...


Di belakang sekeping gambar salah seorang sahabat lama yang sudah berbelas tahun tidak berjumpa tertulis :
"What is more beautiful between us cannot be written,
So little asked, so much gain,
So much felt, so little spoken" - Ude

Sambil membelek satu- satu keping gambar ada hirisan pedih dan sayu di dalam hati, kerana banyak kenangan yang tercipta rupanya tidak dapat diingat. Begitu lemahnya manusia.


Walau tika itu, memang berjanji pada diri agar cuba berpegang pada kenangan dan kisah indah tersebut. Namun Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk manusia.


Rasa rindu tetapi tidak tahu hendak dituju pada siapa, mungkin rindu pada masa lalu perlahan-lahan mengisi ruang dada.

*masih di Batu laut menghabiskan sisa cuti bersama emak

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 24, 2010

tidak yakin pada diri




Sejak kecil lagi, saya bukanlah seorang yang berani, kerana telah terdidik sebegitu. Segalanya diuruskan oleh kedua ibu dan ayah.

Apabila sudah remaja, tidak seperti rakan yang lain, yang sibuk menyertai Persatuan Belia di kawasan tempat tinggal, saya tidak dibenarkan ayah. Hajat hati waktu itu ingin belajar menari, kerana saban malam saya boleh perhatikan rakan-rakan yang lain sibuk berlatih menari di bawah blok polis berhadapan blok rumah saya.

Pergi kemana-mana mesti berhantar dan diambil oleh ayah, jadi saya tidak pandai menggunakan perkhidmatan bas di kawasan rumah.

Sehinggakan awal perkahwinan dahulu, saya sendiri tidak dapat menunjukkan arah jalan keluar dari kawasan perumahan ke lebuhraya berdekatan pun.

Apa akibatnya ya?

Saya jadi kurang yakin pada diri. Bukanlah dengan belajar menari itu saya katakan boleh meningkatkan keyakinan, tetapi kawalan dari ayah menyebabkan saya jadi penakut. Hendak membayar duit makanan sendiri di restoran pun tidak pernah dan boleh menjadi beban maha berat bagi saya tika itu.

Meniti alam perkahwinan, mendapat suami yang tegas mendidik saya menjadi lebih berani. Sengaja dibiarkan saya menguruskan urusan pembayaran bil di awal perkahwinan, kerana dia tahu saya tidak pernah berurusan di pejabat pos sendirian. Berpeluhlah juga dan ibarat mati akal buat pertama kalinya.

Hendak memesan makanan atau membayar pun diserahkan tugasan tersebut pada saya, dan dengan kecut perut saya gagahkan juga. Bila teringat-ingat rasa luculah pula, takut hendak bertanya bila tak tahu dan takut untuk berhadapan dengan cashier di kaunter.

Jauh rupanya perjalanan saya untuk menjadi insan yang yakin pada diri. Mendengar slot motivasi Ikim semalam tentang meningkatkan self esteem, saya meneroka semula ke dalam diri saya. Betul, keyakinan diri sangat berkait dengan imej mental yang kita bentuk sendiri dalam diri. Menerima kelemahan diri bukan berhenti di situ sahaja tetapi menerima dan berusaha mengatasi kelemahan peribadi.

Saya beruntung kerana mendapat didikan dari ayah dan suami. Bagi saya didikan keduanya saling melengkapi, kerana mungkin jika terlebih yakin dari awal saya akan jadi liar. Mana tahu kan...yang tertakdir itulah yang terbaik buat saya.

Antara saranan penceramah dalam usaha meningkatkan keyakinan diri ialah sentiasa berbuat baik dengan orang lain. Dengan berbuat baik terhadap orang lain, perkara yang sama juga insyaAllah akan kita perolehi serta pandangan insan lain terhadap kita akan meningkat dan ini dapat meningkatkan self esteem kita secara tidak langsung.

Saya masih lagi dapat melihat ada segelintir wanita yang bergelar isteri masih tidak mempunyai keyakinan, hatta masih takut untuk berurusan di kaunter. Harapan saya agar ada insan yang dapat menunjuk jalan pada mereka untuk membina keyakinan diri tersebut.


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, December 23, 2010

kelakar

" Lama tak jumpa cikgu.."
"Wah... bagus nampaknya awak ya"

Berjumpa dengan bekas anak murid baru ini di sekolah. Dahulunya agak nakal, bermasalah juga hendak mengajarnya. Rupanya sekarang sudah bertugas sebagai anggota polis dan sudah dua tahun beliau berkhidmat.


"Cikgu masih macam dulu, ya. Masih kelakar..." itu katanya yang terngiang-ngiang dalam kepala dua tiga hari ini.


Agaknya sudah menjadi sifat saya, bercakap serius dan perkara benar pun kekadang menjadi bahan lawak menyebabkan yang mendengar tertawa kecil. Walau pun tidak layak memasuki pertandingan Raja Lawak, tetapi alhamdulillah, kalau saya memang hendak berlawak, pasti ada yang akan tertawa kecil.


Harapan saya, agar lawak saya di dalam kelas dan bersama rakan-rakan di luar alam maya, memberi manafaat, sekurangnya menghiburkan hati. Kerana bagi saya, jika hendak hidup ini lebih ceria dan ingin awet muda, satu caranya ialah mempunyai hati yang ceria dan sentiasa melihat perkara dari sudut yang positif.


*tahniah kepada semua pelajar PMR yang berjaya dan yang tidak berjaya juga. Ada hikmah di sebalik semuanya. Juga kepada semua guru sains ting 1, 2 dan 3 di bawah saya yang berjaya mencatatkan keputusan terbaik tahun ini, lulus 99.8 % dan peningkatan dalam kualiti juga. Tanpa anda semua kejayaan ini mungkin tidak akan tercapai.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, December 22, 2010

cuti bagai nak rak




Lagi beberapa hari sahaja, sesi persekolahan baru akan dimulakan semula, dan sudah semestinya ia akan dimulakan dengan mesyuarat guru-guru. Pastinya minggu hadapan selepas cuti Krismas, suasana di sekolah-sekolah mula sibuk dengan kehadiran guru-guru semula di sekolah.


Apatah lagi setelah keputusan peperiksaan PMR yang akan keluar esok nanti , pastinya ramai juga anak-anak murid yang akan turut memeriahkan kawasan pejabat sekolah dengan hal-hal pertukaran, pengesahan slip keputusan peperiksaan dan sebagainya.


Walau bagaimana pun, saya kira ramai juga guru yang tidak bercuti mana pun sewaktu cuti persekolahan kali ini. Terutamanya yang menjadi pengawas peperiksaan, ketua pengawas dan penyelia kawasan.... apatah lagi pula yang seterusnya menyambung tugas  menanda kertas-kertas peperiksaan awam tersebut. Memang ibarat tidak bercuti lah kan.


Sewaktu ke sekolah baru ini sempat bertemu beberapa guru yang juga tidak kurang jasanya di sepanjang cuti sekolah ini, iaitu guru SPBT, Koperasi Sekolah dan guru Pusat Sumber Sekolah yang masih terusan berada di sekolah bagi memastikan sesi persekolahan baru yang akan dibuka nanti terusan lancar.


Tahniah kepada semua rakan guru yang masih sanggup mengorbankan kesenangan diri waktu cuti untuk terusan menjalankan tugas....

*saya jugak yang bercuti bagai nak rak kali ini...

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 20, 2010

kemalangan

Terima kasih atas doa sahabat-sahabat. Saya selamat tiba di KL pada pukul 5 petang semalam.

Memandu sendiri sebenarnya sudah biasa. Kalau dulu istilah takut kurang ada dalam kamus hati, tetapi setelah mengalami dua kali kemalangan semasa memandu sendiri, lewat ini agak gentar sedikit memandu. Alhamdulillah kemalangan yang tidak meragut nyawa atau mencederakan sesiapa pun, tetapi cukup untuk menghasilkan trauma setiap kali memandu.

Kemalangan pertama semasa hendak mencari parking di basement sebuah hotel, manakala kemalangan kali kedua berlaku semasa memandu menyeberang jalan.

Yang pasti setiap kali kemalangan berlaku, perasaan yang sama akan menerjah ke dalam setiap inci tubuh saya. Cemas, panik tak tau nak buat apa, lutut rasa longgar, tak boleh nak berdiri tegak, takut kena marah ngan suami (hehehe)... dan menyesal. Perkara pertama yang akan datang hadir dalam benak fikiran ialah apakah kesalahan yang telah saya buat sebelum itu yang memungkinkan Allah memberi ujian sedemikian rupa pada saya.

Dan saya tidak dapat membayangkan trauma mereka yang pernah terlibat dalam kemalangan yang lebih dahsyat lagi. Terlebih lagi yang terbaru di Ipoh , kan.

Apa pun, terima kasih atas doa anda semua....

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 19, 2010

Doakan....

Bersiap-siap hendak balik ke Kuala Lumpur.

Seperti biasa.... boot kereta penuh. Apa lagi, emak mertua punya angkara. Segala benda hendak dibekalkan. Hendak menolak, tidak sampai hatilah pulak. Begitulah agaknya bila saya tua nanti pun seusia beliau.

Hujan pagi tadi menyambut bangun dari tidur. Alhamdulillah , nampak gaya sudah berhenti hujan seolah merestui perjalanan balik ke Kuala Lumpur.

Doakan saya selamat tiba.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 18, 2010

Biar putih mata....

Duduk berseorangan sementara menunggu lepas asar, kerana berjanji dengan emak mertua hendak membawanya berjalan-jalan di bandar Kuantan. 

Pagi tadi sempat membawanya ke gedung tudung, berjenama Arianni. Waduh.... mahalnya tudung-tudung yang berkenan di mata. Yang tidak berkenan tu, adalah 'sale'nya. Selama ini dok membeli tudung di pasar malam sahaja... hahaha. 

Sedang meneman emak mertua itu, datang seorang wanita anggun bertudung yang dihiasi batu kristal. Beliau membelek-belek tudung yang saya berkenan tu. Tanpa banyak bertanya, si wanita anggun menarik tudung yang saya berkenan itu, yang berwarna ungu cair. 

"Lepas discount berapa?" tanyanya.
"RM 260.00 sehelai, kak." beritahu pembantu kedai.
"Ok... saya ambik 2..." beritahu wanita anggun.

Ah... tudung yang saya berkenan itu sudah jatuh di tangan wanita anggun.

Tak palah... Biar putih mata, jangan....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 17, 2010

dalam usaha mendapat hidup senang dan rezeki mencurah

highway ke kuantan
Alhamdulillah, berjaya juga bersiaran dari Medan Tok Sira, Kuantan. Menjenguk ibu mertua dan bapa mertua  di Kuantan yang hanya ditemani pembantu Indon.

Terkejut dan bersinar wajah ibu mertua menyambut, kerana tidak menyangka yang saya akan pulang menziarahi beliau. Sengaja tidak memberitahu, kerana tidak mahu beliau tertunggu-tunggu dan nantinya beliau akan sibuk menyediakan juadah meski badannya lemah. Biasalah, naluri keibuan semestinya mahu anak yang menziarah merasa air tangannya.

Hujan menyambut saya di Kuantan. Menyinggah di East Coast Mall terlebih dahulu untuk makan tengahari bersama anak saya. Pulang ke Kuantan pun tidak sekerap mana, kerana emak mertua sering naik ke Kuala Lumpur. Jadi agak sesat juga dengan sesaknya kenderaan di bandar Kuantan. 

Entri tiada arah......


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, December 16, 2010

Tips hendak hidup senang dan rezeki mencurah

Mak mertua berpesan... kalau hendak hidup senang  dan rezeki mencurah buat 2 perkara sahaja, satunya jangan lupa dekat dengan Allah dan keduanya, jaga hubungan dengan ibu dan bapa. Itu pesannya dalam telefon pagi tadi. Itu pun setelah diingatkan oleh suami agar menelefon semula emaknya setelah mak mertua tidak dapat bercakap dengan saya dalam panggilannya yang pertama.

Bila orang yang lebih tua berpesan pada orang yang akan tua, bermaksud orang yang akan tua ini telah terlupa beberapa perkara, terutamanya bab menjaga hubungan dengan ibu bapa. Biasalah, sibuk dengan hal sendiri, leka dengan masalah sendiri, hal ibu bapa kekadang diselit dalam poket buat sementara waktu.

Menantu ini sedang cuba menjadi lebih baik dari semalam...., hihihi. Esok, jika diizinkan Allah, akan cuba melapangkan waktu menziarahi beliau. Ke China sanggup ku tempuh takkan setakat highway yang membosankan tu tak dapat diharungi kan....?

* memang betul kata-kata orang tua tu, jangan diambil remeh dan diambil mudah

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, December 15, 2010

memendam misteri, hanya ulat yang akan tahu...

Malam biasanya menimbulkan banyak ilham. Kenapa ya? Mungkin sebab keadaan yang lebih tenang senang menghadirkan sisi kreatif setiap individu.

Sebenarnya tak banyak mana ilham saya pun. Cuma malam ini banyak mengingatkan saya tentang diri saya. Sisi yang tidak baik, kisah tersendiri yang tidak wajar dikongsi dengan sesiapa pun.

Teringat ceramah Ustaz Zahazan dalam slot tafsir qurannya di radio Ikim tadi, ugama kita bukanlah ugama confession, yang mana perlu kita warwar pada individu tertentu tentang silap kita untuk mendapat keampunan. Taubat kita hanya perlu kita unjurkan terus padaNya, Yang Maha Tahu dan Maha Pengampun.

Kesilapan lama yang dilakukan memang tidak dapat ditebus semula dengan apa pun, hanya harapan dan doa yang begitu tinggi yang  dapat dipanjatkan agar Allah mengampuninya. Cumanya, dalam usaha diri untuk terus berada di landasan yang betul dan jalan yang lurus, gangguan dan keinginan jahat masih sesekali menyelinap masuk.

Saya hanya manusia lemah dan  tika ini, doa serta impian untuk mendapat syurga Allahlah yang menjadi sumber kekuatan. Kelebihan yang ada pada diri rupanya kekadang mengundang perkara sama yang tidak ingin diulang semula. Ujian .... mungkin untuk menguji sejauh mana betul dan benarnya keinginan untuk menjadi yang terbaik di sisiNya.

Doakan untuk saya.....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 13, 2010

derita ditinggal kekasih, siapa yang boleh merawatnya?

Setelah melepasi usia 40an ini saya pasti masing-masing di luar sana pernah mengalami patah hati akibat cintakan seseorang satu waktu dulu. Kalau pun mungkin ada yang masih belum, saya pasti satu hari nanti hati anda akan dikecewakan oleh seseorang yang anda kasihi.

Bercinta adalah tabii dan firah manusia. Bercintalah kerana Allah.... itu yang pasti ramai sarankan. Tetapi ia bukan mudah seperti yang dicadang. Sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari dari kasihkan insan lain. Dan lumrah juga, hati manusia tidak selalunya tetap, apatah lagi kalau kasih yang tercurah masih belum dimeterai dengan ikatan perkahwinan. Sedangkan sudah bergelar suami isteri lagi kan boleh berpisah atas banyak sebab ini kan pula sekadar bercinta-cinta.

Membaca blog rakan-rakan muda yang mencurah rasa hati akibat kecewa, juga dalam twitter ... terasa juga beban yang terpikul dalam jiwa mereka.

Apabila hubungan terputus, kesedihan itu memang pasti bertapak. Ia tidak boleh dielakkan. Jiwa menderita, menangisi dalam kerinduan pada hari-hari dan kenangan yang telah bersama dicipta. Menangislah... itu yang saya sarankan. Tangisan  yang Allah kurniakan ibarat ubat yang merawat jiwa yang terluka. Lebih baik menangis bersendirian, di waktu malam sambil memohon dan berharap pada Allah agar hati yang terluka segera disembuhkan.

Janganlah melayan hati dengan mendengar lagu-lagu cinta. Ia akan tambah merobek hati yang sedia luka. Masa yang lapang pastinya eloklah diisi dengan membaca quran berulang kali beserta terjemahannya. Janganlah cuba-cuba ingin tahu tentang perkembangan si dia yang telah melukakan hati kerana ia hanya kerja sia-sia. Biarkan si dia. Sibukkan diri sendiri dengan kerja, hatta mengemas rumah atau mengemas bilik sendiri.

Kalau boleh pergi jauh dari si dia. Putuskan segala hubungan yang mungkin. Hati yang terluka perlu masa untuk disembuhkan. Paling cepat setahun.... Hati akan kembali biasa dan bahagia.

Ubat yang paling berkesan adalah pasrah pada Allah.  Ujian kecil ini yang kita rasakan ujian maha hebat pada waktu dan ketika itu pastinya bersebab. Hati yang luka biasanya  lebih mendekatkan diri kita pada Allah Yang Maha Kuasa. Itu antara sebab yang saya kira kenapa ujian patah hati ini... supaya kita kembali semula padaNya.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 12, 2010

kalaulah saya datuk siti ....

Baru hendak belajar berjinak-jinak makan oat, itu pun setelah dua orang kenalan  guru merekomen beriya-iya. Ilmu tentang kebaikan oat bukannya tidak ada dalam kepala, tetapi seperti biasa, ilmu yang tidak diamalkan ia ibarat karat yang tidak membawa makna.

Tujuan utama bagi saya hendak makan oat ini ialah hendak menguruskan badan dan merendahkan tahap kolesterol. Tidak ada tujuan lain yang lebih hakiki. Usaha hendak menguruskan badan ini sudah lama dan setelah sekian lama tersebut jarang benar menampakkan hasil yang ketara.

Sebenarnya bukan kisah oat itu yang ingin dijadikan topik entri kali ini. 

Petang tadi membeli oat di Giant Hypermarket cawangan Setiawangsa. Memang biasanya di situlah tempat membeli belah barangan dapur saya. Selesai membayar, saya ke kaunter untuk mengambil hadiah percuma, kerana rupanya paket oat yang saya beli layak mendapat bekas plastik empat segi  kecil  secara percuma.

Apa isunya ya? Dua petugas di kaunter percuma itu yang menjadi isunya..... Masam mencuka menyambut saya. Duduk dan tidak bertanya apa pun. Saya mengeluarkan resit dan menunjukkan oat saya. Diam sahaja tidak berganjak. Masih masam seolah marahkan saya mengganggu ketenangan kemasaman mereka.

Dalam seminit dua, bangun salah seorang dari mereka, bergerak ke belakang lalu mengambil hadiah percuma tersebut dan meletakkannya di hadapan saya tanpa sepatah kata. Saya membuat anggapan sendiri yang bekas plastik tersebut adalah kepunyaan saya. 

"Terima kasih,"  kata saya...namun tiada respons.

Itulah isunya yang sebenar. Sikap.  Agaknya kalau saya ni Minah Salleh (orang putih) agaknya macamana ya layanan mereka... Saya kira lebih baik kut. Biasanya orang kita lebih mesra dengan pelancong asing dari sesama kita. 

Kalau saya Siti Nurhaliza pulak... camanalah agaknya ya? Tapi... saya rasa Siti Nurhaliza takkan minta hadiah percuma tu kan...... :)

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 11, 2010

secebis pengalaman

Balik dari bercuti sempat juga mengupdate entri, tetapi kemudian terhenti pula. Bukannya kerana apa, cuma badan tidak berapa sihat sekembali dari China, batuk dan selesema beserta demam menyerang. Alhamdulillah, hari ini semangat menulis datang semula kerana kesihatan sudah bertambah baik.

Sebenarnya tidak banyak mana pun hendak bercerita tentang pengalaman di Shenzhen-Hong Kong dan Guongzhou tersebut. Saya pasti ramai yang punya cerita lebih menarik tentang perjalanan ke luar negara berbanding dengan perjalanan saya.

Apa yang pasti, setiap kali ke luar negara (chewah....macam banyak sangatlah berjalan tu kan..... sebenarnya tak banyak mana tapi adalah dua tiga buah tempat yang saya sempat berkunjung selain China), perkara paling penting yang perlu dibawa ialah ubat-ubat sakit pening kita. Bawaklah panadol ke, ubat selesema, minyak angin, ubat demam, ubat sakit perut, ubat tahan berak.... dsb., sebab kalau sudah tidak sihat di negara orang memang sangat payah. Apatah lagi di China, majoriti penduduknya tidak pandai berbahasa Inggeris, hendak bertanya arah ke toilet pun boleh menjadi satu igauan.

Selain itu, banyakkan minum air dan makan buah-buahan bila di negara orang supaya kita mudah membuang air besar. Ini sangat penting, sebab selalunya masalah utama bertukar tempat ialah payah membuang air besar, kalau ini terjadi memang payah... angin naik ke kepala, sakit kepala berpanjangan beserta tidak selesa akan merosakkan percutian kita. Bayar mahal-mahal bercuti keluar negara tetapi tidak dapat enjoy di sana memang merugikan.

Lagi satu, bila berada di tempat orang pastikan ada botol air mineral kosong dalam beg. Ini tujuannya bila hendak ke tandas. Tandas di negara orang memang tidak ada paip di dalamnya kecuali di sinki luar sahaja, jadi acara basuh membasuh di dalam tandas akan menjadi payah. 

Akhir sekali, saya selalu membawa stokin dan sarung lengan di isi dalam beg untuk memudahkan bila hendak mengerjakan solat di luar. Kalau nak bawak telekung berbeg-beg itu agak payah juga, jadi stokin dan sarung lengan agak memudahkan.

Ada beberapa gambar yang ingin saya kongsikan, walau gambar tidak berapa cantik sebab diambil hanya dengan handphone cap ayam saya, tetapi harap dapat manafaat bersama.

Ini makcik-makcik Muslim Cina yang tidak pandai berbahasa Inggeris.
Bercakap dengan mereka ibarat itik dan ayam bersembang.
Namun di akhir pertemuan mereka menghadiahkan pada saya
buah lai dan buah epal tanda persaudaraan.
Berjumpa mereka semasa menziarah makam Saad bin Abi Waqas

Ini anak kepada salah seorang makcik di atas beserta cucunya.

Gambar di dalam masjid tertua di China.

Kenderaan polis dalam kawasan membeli belah.

Pada hari ketiga bersolat di musolla di sebuah restoran muslim,
terdapat kopiah yang boleh diguna oleh sesiapa di muka pintu.

Salah sebuah restoran muslim di Shenzhen, China.

Tempat mengambil wuduk di luar musolla, teko-teko ini fungsinya untuk diisi air bila hendak ke toilet.

Bersama Mr M, yang menjadi tour guide kami.
Tidak beragama tetapi sangat memahami kehendak kami untuk beribadat.

Memanglah banyak lagi gambar-gambar di sana, tetapi rasanya gambar-gambar biasa sahaja. Lepas ini sibuk bersiap-siap membeli barangan Harith untuk ke sekolah pula dan melihat  kerja-kerja  sekolah yang patut.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, December 9, 2010

mamak juga yang melekat di hati...





Menyepi diri sekian lama di waktu cuti sekolah ini memang bukan perkara luar biasa. Nasib masih baik kerana masih ingat password untuk membuka akaun google untuk mengemas kini blog yang sudah terbiar.

Cuti-cuti ini apa lagi aktivitinya kan... melanconglah. Cuma kali ini agak jauh juga berjalan bersama keluarga dan teman baru. Mungkin sudah ramai yang sampai ke sana, tetapi buat saya sekeluarga, ini kali pertama ke sana.


Ha... pergi ke China, bersama Ustaz Nazrey. Harith anak saya di belakang sekali berbaju merah tu. Gambar di atas diambil pada hari keempat di hadapan masjid yang baru dibina bersebelahan dengan makam sahabat nabi iaitu Saad bin Abi Waqas. Walau masih ada khilaf tentang benar atau tidak makamnya di sana, tetapi ramai juga yang sudah berziarah.

Sempat juga ke Disneyland, Hong Kong dalam acara bercuti kami kali ini. Semuanya dalam pakej ke Shenzhen-Hong Kong-Guongzhou, 3 Disember - 8 Disember ,  tersebut. 


Apa pun.... yang terbaik masih  di Malaysia!

*masih belum sempat membalas komen dan berziarah blog rakan-rakan... kerana hajat di hati nak makan roti canai dan minum teh tarik  mamak belum dapat terlaksana lagi..

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 30, 2010

orang kaya zalim...?




Drama Melayu lagi... Sambil menunggu teman emak mertua yang tidur-tidur ayam di wad, mata tertumpu pada skrin tv sharp yang terlekat pada dinding. Asyik drama Melayu saja. TV1 ke, TV2 ke, TV9 ke...sama je. Diselang seli dengan drama Indon yang lebih entah apa-apa.

Asyik-asyik pergolakan keluarga, berebut harta, berebut laki atau berebut bini. Tengking menengking mesti ada dalam rumahtangga, boleh dikata setiap babak ada saja nada-nada tinggi dalam komunikasi.

Cerita Indpn pun klise sahaja. Heroinnya mestilah lemah gemalai, anak susah, sering teraniaya ditipu dan ditindas oleh wanita kaya yang zalim.

Agaknya zaman sekarang, orang-orang zalim memang terdiri dari orang senang dan kaya raya.

Kalau orang susah mestilah lemah lembut dan pasrah sentiasa dengan keadaan. Begitu stereotaipnya jalan cerita....

*kebosanan

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 29, 2010

lain dan tak sama

"Spaghetti bolognese dua ya..."

Mengambil sedikit masa untuk makan di kafeteria bawah di Hospital Ampang Puteri bersama suami, sementara emak mertua berehat di atas.

"Nanti kami hantar ke meja, ya," beritahu budak pelayan tersebut.

Perut sudah lama berkeroncong, tetapi akur dengan keadaan, kami lantas duduk mengambil tempat. Sambil bersembang perkara rutin yang biasa, tidak sedar 10 minit berlalu, dan seorang pelayan perempuan datang membawa dua pinggan ke arah kami.

Akhirnya....

Saya memandang suami dan dia juga memandang saya, apabila perempuan tersebut meletakkan pinggan yang diatasnya terletak apa yang kami minta tadi.

"Dik... Lain sangat ni, tak macam dalam gambar pun..." Saya bersuara. Melihat sphagetti kami ibarat melihat hamparan sos putih di atas benang-benang kasar yang pucat lesi.

Budak perempuan itu tersenyum, tidak merasakan pernyataan saya suatu yang luar biasa.

"Dalam gambar memanglah lain kak," beritahunya pada saya bagai mengajar budak kecik tentang perkara baru yang sepatutnya diketahui.

Memang kan, lumrah dunia, sering kita tertipu dengan gambaran yang tidak tepat. Tidak kiralah ia berupa gambaran foto atau pun fizikal sesuatu. Kekadang kita tertipu dengan rupa paras seseorang.

Melihat kumis tebal di muka tanpa senyum kita fikir orangnya tentu garang dan zalim, tetapi sebaliknya, bila kita kenal hati budinya, dia tidak seburuk gambaran pertama kita. Melihat muka yang keanak-anakan kita andaikan dia naif, rupanya dialah pembelit besar yang kita temui.

Kita fikir dengan kata-katanya yang bersulam hadis dan ayat quran kita pasti beliau orang yang memegang janji, rupanya berjanji pukul 8 pagi, sampainya mesti terlewat setiap kali.

Jadi.... "What you see is what you get" itu...... berlakunya bila?

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, November 27, 2010

janganlah cepat menaruh harapan






Di sebalik tabir terdengar sembang laki bini tersebut. Kain  yang menjadi tirai di wad kecemasan Ampang Puteri itu tidak dapat menahan kata-kata tersebut dari mencecah cuping telinga saya. Walau pun telinga saya bertutup dengan tudung hitam, tetapi dek agak kuat sembang mereka, saya dapat menangkap butir kata mereka satu persatu.

Sebenarnya meneman emak mertua yang agak tidak sihat ke sana.

"Memang tak patutlah kan you... he's giving false hope ..." suara si isteri.
"Betul...bukan dia tak tahu, perempuan kan memang cepat menaruh harapan.." balas si suami.

Apa yang menariknya perbincangan mereka ya?

Ada dua perkara di sini...yang menarik bagi saya. 

Pertama: Saya pernah terbaca, entah di mana dan bila, bahawa pasangan yang bahagia adalah pasangan yang sering membenarkan kata-kata pasangannya. No contradiction.. Walau pun bukan semua kata-kata pasangan akan di iyakan... tetapi 80% dari pernyataan pasangannya akan dibenar dan dipersetujuinya. Maklumlah bila sudah lama, sudah tahu apa yang disukai dan diminati, maka seboleh mungkin segala yang menjadi pertelingkahan sebelum daripada itu sudah lama dicari titik persetujuan.

Dari balik tabir, saya mengandaikan dalam kemenungan saya sambil  menunggu emak mertua saya yang sedang tertidur itu, bahawa pasangan tersebut adalah pasangan yang bahagia. Cewah... macam pakar kaunseling rumah tangga pulak.

Kedua: Benarkah pernyataan bahawa perempuan ini cepat menaruh harapan dalam sesuatu hubungan? Pendapat peribadi, tanpa sebarang sijil pentauliahan dari mana-mana badan kaunseling berdaftar... bahawa saya bersetuju. Kerap terjadi dan terdengar bahawa wanita cepat menaruh perasaan jika lelaki yang menjadi 'rakannya' memberi perhatian yang terlebih sedikit.  Mungkin pada si lelaki, setakat bertanya dah makan ke belum, camana hari ini, sihat tak, makan apa tadi, pakai baju apa harini, ..... hanya kata-kata pemanis untuk mengayat ... sebenarnya ada wanita yang cepat merasa dan menaruh harapan yang si lelaki mempunyai perasaan yang lebih terhadapnya.

Kasihan si perempuan, kan...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 25, 2010

orang ketiga...

Dalam usia 70 an, sebenarnya saya kira tidak banyak lagi yang ingin diminta lagi dalam hidup. Pastinya kedamaian dan ketenangan hati yang menjadi keutamaan.

Takdir menentukan, jodoh beliau dengan suaminya bertahan hingga kini. Sudah melewati 38 tahun usia perkahwinan bersama suaminya yang muda 7 tahun dari dia.

Kudratnya pun sudah makin nipis dan bantuan dari pembantu rumah memang diharapkan sepenuhnya. Tetapi dua tiga bulan ini hatinya tak tenteram, ibarat kaca yang terhempas katanya.

Serumah bertiga termasuk pembantu rumah itu, riak dan bunga-bunga tidak manis kelihatan antara pembantu itu dan suaminya. Diberitahu lintasan hati pada anak-anaknya, mereka mengambil mudah malah mengira ibu mereka sensitif tak tentu di hujung usia.

Kasihan memikirkan.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 24, 2010

Sayang sekali...

"Biar lama sikit atas dapur tu, Liza.." Emak bersuara

Akur seperti biasa.

"Kenapa banyak sangat masuk ayam ni. Tak cantik la gorengnya..." Suara emak lagi.

"Nak cepat habis goreng. Lama sangat kat dapur, nak rehat cepat-cepat," sahut saya sambil tersenyum ibarat budak umur 14 tahun menolong emaknya memasak.

Emak menggeleng kepala, sengih, dah faham benar perangai anaknya ini. Anak yang ini memang tidak mengikut jejaknya. Masa mudanya dahulu beliau sering menang acara pertandingan memasak. Untuk menampung sara hidup kami sekeluarga, emak akan membuat catering secara kecilan.

Hidup dulu memang sibuk bagi emak. Saban hari membuat kuih jualan dan hampir setiap bulan ada saja orang mengupah untuk jamuan dan majlis makan.

Tapi, anak emak yang ini tak berminat dengan acara masak memasak ni. Sayang sekali kan.

Nak buat camana, kan. Memasak untuk melepaskan lapar di perut bolehlah.


* menu nasi ayam saja tengahari ini... Kengkawan di luar sana menu apalah agaknya ya?




~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 23, 2010

bila mata bertentang dan senyum berbalas

Alhamdulillah, bersiaran dari rumah emak saya di Kampung Kundang, Kuala Langat, Selangor. Hanya berbekal henfon cap ayam, saya cuba untuk mengemaskini blog ini.

Tercatuk-catuk cuba menaip. Digagahkan juga.

Emak sedang terlena di biliknya. Power nap di siang hari sudah jadi kemestiannya. Itu memang rutinnya sejak dari dulu lagi. Itu pun setelah bersembang dan bergelak tawa dengan saya sesampai di rumahnya tadi.

Bersembang di telefon tak sama dengan mengadap matanya. Saya jenis yang tak reti bersembang di telefon. Setakat bertanya kabar satu dua perkara, talian akan jadi bisu dan kaku. Tidak seperti ramai orang lain yang boleh bergayut dengan siapa saja hingga panas merah cuping telinga. Saya bukan jenis yang itu.

Telefon menjarakkan komunikasi antara saya dengan sesiapa sahaja. Bagi saya telefon sekadar keperluan untuk tahu, bukan keperluan untuk intim.

Tetapi bila berjumpa, ia jadi lain. Banyak cerita rupanya kalau kita bertentang mata dan berbalas senyum. Lebih manis lagi jika dia adalah ibu kita sendiri, kan.

*entri tiada arah...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 22, 2010

Bukan gambar lucah....

Tidak banyak yang saya tahu tentang Haiti. Yang saya tahu rakyatnya berkulit lebih gelap dari saya. Jauh, memang jauh dari Malaysia. Terletak di antara Amerika Utara dan Amerika Selatan kalau menengok dari peta dunia.

Berblogwalking di blog rakan-rakan terjumpa gambar di bawah yang menggigit perasaan. Malangnya saya tak ingat blog siapa untuk di link semula....  Maafkan saya, berbanyak sorry.

*bukan gambar lucah*

A woman lies on the pavement near the General Hospital where people 
infected by cholera are being treated in Port-au-Prince. 
Haiti's cholera death toll passed 1,000 yesterday as
 tensions spiked with Nepalise UN peacekeepers 
accused by some 
of being the source of the outbreak. 
Photo: AFP/Hector Retamal

Menyayat hati melihat gambar tersebut. Haiti adalah antara negara yang miskin di dunia, ditambah dengan banyaknya bencana alam yang menimpa, menyebabkan persekitarannya tidak kondusif. Awal tahun ini sahaja, gempa bumi berskala Richter 7.0 telah menggegarkan Haiti dan ramai yang terkorban.

Hujan lebat awal November baru ini kesan dari Hurricane Tomas menyebabkan banjir lumpur yang menjadi pencetus wabak taun yang sedang melanda Haiti. Isu sumber air yang bersih yang tidak dapat ditangani dan tiada sistem kumbahan asas di sana menyemarakkan wabak tersebut. Walau pun ramai di sana menyalahkan Pasukan Tentera Pendamai dari Nepal menjadi punca pembawa strain bakteria taun tersebut, keaadaan sekitar dan cara hidup yang tidak bersih menyebabkan wabak tersebut merebak dengan pantas. 21,000 orang telah dijangkiti dan 1250 rakyat Haiti telah meninggal dunia kesan dari wabak taun (sumber).

Bukan Haiti sahaja yang dilanda bencana alam. Tahun ini merekodkan banyak bencana alam di seluruh dunia dan yang paling hampir ialah letusan gunung berapi di negara jiran kita. Malaysia juga tidak terkecuali dengan banjir yang melanda utara tanah air kita. Alhamdulillah ia tidak seburuk negara China yang dilanda banjir lumpur yang teruk baru ini.

read more
Bersyukur....sememangnya, kerana kita ditempatkan Allah di bumi ini. Pastinya kehidupan di luar sana lebih perit dan jerih yang mungkin tidak terbayang oleh kita. 

Kita berada dalam zon selesa, dan harapan kita moga zon selesa ini sentiasa dalam lindungan Allah.

*selamat menghadapi peperiksaan SPM buat semua anak murid saya...moga Allah permudahkan dan kurniakan kejayaan dunia dan akhirat buat semua*

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 21, 2010

Dibiar kesepian....

Teringat lagi bakul plastik hijau itu saya beli semasa Harith masih kecil buat menyimpan kain lampinnya. Sebelah bakul plastik hijau itu ada bekas putih macam besen tetapi ditepinya ada wayar penyambung ke soket. Oh... bekas tempat merendam kaki dulu. Di waktu membeli bekas tersebut, suami sibuk mengadu kakinya lenguh, jadi dua tiga minggu merendam kakinya dengan air panas bercampur garam sebelum tidur. Sejak bila dan kenapa berhenti dari amalan tersebut, saya pun kurang pasti.

Sambil mengangkat baju di ampaian belakang rumah, saya menjeling ke arah stor terbuka rumah saya, dipagari gril sahaja.

Banyak lagi barang dalam tu, ada baldi yang sudah hilang tangkainya. Masih disimpan, kerana fikir saya, mungkin ada gunanya nanti bila waktu-waktu air tiada, buat bekas mengisi air. Ada mop buruk yang tidak dibuang lagi, kenapa masih saya simpan? Entah? Saya pun tak tahu kenapa.

Saya lihat di belakang rumah jiran saya pun, suasana yang hampir sama. Dia masih lagi menyimpan sinki yang sudah berganti baru. Sinki lama berwarna biru itu tertonggeng seperti malu menatap saya. Hahaha.... berangan je saya ni. Ada pasu-pasu lama yang disusun bersebelahan sinki tersebut. Batu-batu sungai putih dan hitam pun disimpan dalam salah satu pasu tersebut. Lebih kurang sama sahaja seperti saya... mungkin, sebab sayang nak dibuang, lantas disimpan sahaja. Hendak diberi pada orang lain rasanya tidak wajarlah sangat.

Masuk ke dalam rumah, saya terpandang pula mesin senaman saya yang sudah lama dibiar kesepian tidak digunakan. Entah apa istilah yang diguna untuk mesin ini, yang fungsinya hanya satu iaitu membenarkan kita berlari di atasnya . Mahal juga waktu membelinya dahulu. Waktu itu semangat berkobar untuk bersenam. Azam begitu kukuh dan setiap berselang hari saya dan Harith akan berlari di atasnya. Tapi.... selayaknya gajah putih ini mencemuh saya sekarang. Itu pun kalau dia boleh berkata-kata. 

Di dapur pula ......., tu, oven membakar dan membuat roti tu. Entah masih kenal ke tidak si oven tu pada tuan punyanya sekarang. Awal membeli dulu, tak sempat sejuk dibuatnya oven tu, asyik membuat dan membakar roti je...... saya ni. Mmmm... sekarang?

Saya pasti ada juga yang berperangai hampir sama dengan saya. Masa nak membeli, tidak terfikir yang satu hari nanti ia akan jadi  umpama perhiasan buruk yang mengisi ruang dalam rumah. Awal perkenalan , keintiman memang terasa.... berikrar dalam hati akan menjaga ia sepenuh hati.  Bila masa beredar, suasana berubah, yang dikira penting satu hari dulu, nilainya tidak setinggi mana pun di hati dan di mata sekarang ini. Nak dibuang sayang, nak disimpan menyemak mata pula, kan....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, November 20, 2010

Tergamak kau...?

Lama juga menunggu kereta diservis, tetapi dek sebab keterpaksaan, digagahkan juga. Alhamdulillah, pusat servis menyediakan minuman serta sedikit kuih muih untuk mengalas perut. Ada juga siaran Astro Star World menayang cerita hampeh 'The Three Amigos' dan surat khabar bahasa Cina juga disediakan. Suratkhabar bahasa Inggeris sudah lama berada di tangan orang lain yang lebih awal menunggu dari saya.

Sedang menunggu itu, ternampak rakan lama beserta dua anak perempuannya yang sudah besar panjang.

Tersenyum, dia menghulurkan tangan ke arah saya. Saya berat hendak bangun,tetapi menyuakan tangan saya sepanjang yang boleh. Sombongkah saya? Tidak... tetapi sebab nanti jika bangun, tempat duduk saya akan segera disambar oleh orang lain, jadi saya mengorbankan keramahan saya buat seketika.

Nasib baik tempat duduk di sebelah kanan saya kosong. Sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah saya sempat dia bertanya.

"Is this your son, Normah?" sambil menunjuk jejaka di sebelah kiri saya yang dari awal lagi sedang menunggu.

Jejaka tersebut tergelak kecil.

Ciss.... tergamak kau rakan ku...

"No... Ini client kat sini juga, sedang menunggu keretanya juga. Saya tak kenal dia..."... sama ada jejaka tersebut muka boyish atau saya yang dah berubah jadi muka makcik?

Dalam hati... *balik kena gi buat spa lah , urut muka bagi tegang sikit*... ada ke?

:)


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 18, 2010

Slip gaji online...

Saya adalah salah seorang kakitangan kerajaan yang seringkali lambat mendapat tahu tentang arahan dan pekeliling am kerajaan. Kenapa? Agaknya sebab saya ni cuma kakitangan bawahan sahaja. Maklumat ini pun hanya diperolehi dari mulut ke mulut sahaja sebelum cuti sekolah baru ini.

Saya kira ramai yang sudah tahu tentang slip gaji online ni kan. Dah tahu tak apalah. Tutorial ini hanya untuk yang masih belum tahu dan baru tahu seperti saya. Ini hanya untuk kakitangan kerajaan sahaja ya. Yang lain boleh klik entri saya yang lain kalau berminat lah...kan.

Kata mereka.... (kata kawan-kawan saya lah), bermula November ini, penyata gaji tidak akan dibekalkan lagi oleh pihak yang berkenaan tetapi perlu dicetak sendiri (ikutlah banyak mana nak cetak) dan satu salinan cetakan tersebut mesti diserahkan kepada majikan kita.

Ha... saya tidak mahu mengulas isu cetak mencetak sendiri ni kan, tetapi ingin membantu rakan-rakan yang tidak tahu bagaimana cara mengakses laman web akauntan negara kita dan mendaftar. 

Ok. 
1.  Langkah pertama, klik di sini. Anda akan dibawa ke muka laman seperti di bawah.


2. Klik pada Akses Sistem.
3. Paparan berikutnya adalah seperti di bawah.
      
    
        








4.   Bagi yang baru pertama kali mengakses, klik pada  Pertama Kali Mendaftar
5.  Seterusnya anda akan di bawa ke muka laman seperti di bawah. Masukkan semua butir yang ditandakan termasuk password yang anda pilih.


                  
6.  Selesai.... anda klik ok . Anda akan dibawa semula ke bahagian log in.


7. Masukkan nombor KP dan kata laluan anda. Klik daftar masuk, dan anda akan dibawa ke muka laman ini pula.


8.  Klik MyPaySlip pada sebelah kiri dan pilih bulan serta tahun penyata yang anda ingini.
9.  Penyata tersebut akan dimuat turun ke komputer anda dan sedia untuk dicetak...

Selamat mencuba dan semoga  kita terusan berkhidmat dengan jayanya.

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 17, 2010

berubah hati juga satu hari nanti

Saya perasan benda ni sudah lama. Banyak kali juga cakap pada orang lain tentang perkara yang saya perasan ni. 

Semasa acara mohon doa restu guru bagi pelajar-pelajar SPM tahun ini, sekali lagi saya perasan ... setelah saya perhatikan.

Saya perasan, perempuan yang lembut wajah dan perwatakannya, lebih sukar mengalirkan air mata berbanding pelajar perempuan yang nampak seperti lebih keras dan lasak. Berjurai air mata pelajar-pelajar yang nampak tegas dan garang pada raut muka, sambil bersalaman dan berpelukan dengan guru-guru mereka.

Saya pulak jenis yang sukar juga mengalirkan air mata, kecuali lah perkara tersebut begitu meruntun rasa (sebab muka saya lembut kut...ha, perasan) . Disebabkan mata saya masih kering, jadi jelas sungguh suasana yang dilihat semasa acara mohon restu tersebut.

Cikgu dan anak murid turut menangis. Kenapa ya ? Sedih ?... itu sudah pasti. Sedih kerana perpisahan akan merubah rasa,  kerana perpisahan boleh juga merungkai rasa kasih yang sedia ada.... dan kejauhan nanti  juga  bisa meluntur sayang yang membekas. 

Masa akan datang tak siapa yang tahu. Hari ini kita bersama ..., marah, suka, geram dan berharap berbaur menjadi satu, tetapi 10 atau 20 tahun nanti, perasaan tersebut akan menghaus dek berbeza jalan dan pengalaman.

Agaknya kerana itu ramai yang menangis waktu tersebut. Menangis kerana rasa yang membekas dalam hati akan berubah juga satu hari nanti...



SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA  

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 15, 2010

Ada kaitan ke wukuf di Arafah dan gelang ajaib?




Dua tiga hari ini heboh di ruang maya dan ruang nyata tentang gelang ajaib AC Mizal dan blog En Aidid. Sejak tersiar berita heboh tu, barulah saya tahu tentang bisnes saudara AC Mizal, walau sesekala tertanya juga bisnes apa yang dijalankan oleh AC Mizal bila melewati jalan hendak ke Kuantan kerana terpandang papan tanda yang besar terpampang gambar artis terkenal itu.

Entri ini bukan tentang isu tersebut. Tak ada kena mengena pun. Cuma semasa menaip ini dok teringat artikel-artikel yang saya baca tentang isu tersebut. Panas sekali . 

Entri ini cuma ingin  mengingatkan diri sendiri bahawa wukuf di Arafah tahun ini jatuh pada 15 November 2010 selepas zohor di Arafah, manakala  di sini selepas asar.
Petikan dari Ustaz Zaharuddin buat perkongsian bersama:

amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban".

*memang takde kena mengena wukuf di Arafah dan AC Mizal...


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 14, 2010

Jaga emak

Tidak mudah menjaga orang yang tidak sihat. Apatah lagi di hujung usianya. Sementelah pula kalau dia ialah ibu kita.

"Akak tak boleh ke mana, Normah," beritahu rakan saya ini. Kagum betul saya dengan tahap kesabaran dan  sifat  kasihnya.

Senang untuk kita menyatakan secara lisan yang tanggungjawab seorang anak ialah menjaga ibu bapanya nanti. Kena tahan sabar dan ikutlah kehendak mereka selagi terdaya, itu kata ramai orang. Tetapi, sebenarnya realiti nya memang payah dan bukan mudah menjaga ibu atau bapa kita yang sakit di hujung usia.

Silap gaya, bukan pahala yang akan kita dapat tapi dosa bertan yang kita simpan.

Saya pasti ramai di luar sana yang punya sahsiah terpuji seperti rakan saya ini, namun tidak kurang juga di luar sana yang bergaduh adik beradik dek kerana penat menjaga ibu atau bapa masing-masing. Tidak puas hati kerana terbeban dengan masalah.

"Kalau akak nak gi berjalan ke kedai pun emak akak akan menangis macam budak-budak. Nak bawak, dianya dah tak larat. Walau pun adik beradik lain nak temankan dia di rumah, dia tak nak...Memanglah banyak masa kita perlu luangkan layan dia, hinggakan akak dengan anak akak pun jarang sangat dapat bersama. Nak gi mandi pun nak akak temankan, tak nak orang lain...," cerita rakan saya ini. 

Dalam hati saya, terasa kagum sungguh terhadap rakan saya ini dalam menghadapi semuanya, belum lagi dengan kerenah di tempat kerja dan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.

"Jaga emak di penghujung usia mereka macam kita jadi emak pada dialah, kadang kena bertegas, kadang kena peluk dia , terang pelan-pelan kenapa kita terpaksa balik lambat, kenapa kena buat kelas tambahan, kenapa kena mesyuaratnya lama sikit...Memang kena banyak sabar Normah..." 

Benar, seorang emak bisa saja menjaga anak-anaknya. Tapi tatkala ibu itu sudah tua, kedut kulit merata dibadan, tenaga sudah terkikis dan kadang kencing berak pun perlu dibantu, ia bukan kerja mudah bagi anak-anaknya. Kehidupan si anak akan terikat dengan ibunya. 

Saya sendiri pun tidak bisa menerka bagaimana pula saya nanti, jika diuji dengan ujian seperti rakan saya ini. Cumanya saya berdoa jika ia tiba suatu hari nanti, agar saya dapat menjalankan tanggungjawab saya dengan seikhlas hati dan Allah permudahkan ia. Doa saya juga agar Allah beri kekuatan pada saya. Tapi apa pun... yang utamanya saya doakan kesejahteraan ibu saya hingga ke hujung usianya dan diberi kesihatan yang baik serta dikasihi Allah sebagaimana kasihnya beliau pada saya sejak dari kecil lagi.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 11, 2010

tersenyum tanpa A...

Mukanya terkejut kehairanan.

"Silap kut kak normah keputusan tu..." rakan saya ini cuba menjustifikasi kenyataan.
"Tak.. memang itulah keputusannya, janganlah terkejut. Alhamdulillah ia tak lebih buruk dari itu," balas saya sambil tersenyum.

Lewat tengahari, rakan yang lain pula datang bertanya.

"Normah, juz remembered, how did your son do?"

Saya tersenyum, agak berat untuk memberitahu. Keputusan anak saya dalam UPSR tidak segah mana. Rakan yang ini lebih empati, cepat dapat menerka berat mulut saya untuk memberitahu.

"No...juz tell me, do you feel okay with the result? Only you know your own son..." balasnya.

"Okaylah siti... no A or B's but definitely no E either..Dia memang pelajar sederhana lemah, saya masih bersyukur tiada E.." balas saya. 

Masih terbayang semasa menunggu nama-nama pelajar cemerlang dipanggil di atas pentas, saya berdoa tak habis, agar anak saya tidak gagal dalam kertas penulisan UPSR nya. Alhamdulillah Allah memakbulkan. 

Memang banyak bezanya pelajar yang bijak mengalir air mata kerana hanya mendapat 4A, tetapi anak saya yang ini masih tersenyum kerana beliau berjaya lulus tanpa A atau B. Pengalaman sekian lama mengajar anak-anak murid di kelas hujung, menjadikan saya lebih bersyukur dengan keputusan yang anak saya perolehi.

Apa pun, beliau di mata saya masih anak yang baik dan mendengar kata, tidak banyak kerenah dan bijak mengambil hati. Tidak semua insan beroleh kejayaan awal dalam kehidupannya, dan saya doakan Harith tetap berjaya juga nanti dalam hidupnya dunia dan akhirat.


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 10, 2010

tolong jangan jeles, k....

"Normah, akak ada letakkan tudung atas meja awak. Harga sama macam yang aritu."

Berselisih di tengah jalan dalam perjalanan saya menuju ke meja sendiri, Cikgu Anggun memaklumkan pada saya. Saya mengangguk kepala, tersenyum.

Di sekolah, bisnes memang kencang. Letaklah apa sahaja pasti akan ada pembelinya. Terutamanya barangan wanita, kerana hampir 90% guru zaman sekarang adalah wanita.

"Tengah sibuk-sibuk ni pun, sempat lagi menjamu mata," kata saya tanpa ditujukan pada sesiapa yang khusus. Tangan sibuk mengeluarkan tudung sambil mata meliar dari satu corak ke corak yang lain.

Memang waktu sekarang sangat sibuk bagi semua guru-guru di sekolah di Malaysia. Ini adalah waktu kritikal bagi yang mengajar kelas peperiksaan. Bagi guru-guru yang memegang kelas, waktu ini adalah waktu menjadi kerani tahap maksimum. Borang-borang dan fail peribadi pelajar mesti dikemaskini, dari segala titik bengik berat, tinggi, cita-cita, markah peperiksaan, jumlah kedatangan, markah kokurikulum dan sebagainya bagi setiap pelajar dalam kelas. 

Kalau guru itu pula memegang kelas Ting 5 atau Ting 6 Atas, sijil-sijil berhenti sekolah dan surat akuan pelajar adalah keutamaan kerja yang mesti dibereskan sebelum cuti sekolah.

Belum lagi tugasan Ketua-ketua Panitia atau apa saja ketua lah, fail-fail yang melebihi 10 buah fail mesti dikemaskini dan diminitkan, lagak seorang kerani yang berijazah. Segala laporan perjalanan setahun mesti dimasukkan dan perancangan untuk tahun depan juga perlu ada.

Ha... jangan lupa sambil masa terluang itu, kertas peperiksaan anak murid kita di Ting 4, 2 dan 1 perlu juga dilunaskan sebelum cuti agar markah mereka dapat diserahkan kepada guru kelas untuk di key in dalam sistem.

Jangan lupa juga, kemas meja anda, pastikan tiada barangan di atas meja atau bawahnya semasa cuti, kan.

Kalau tidak.... bila-bila masa sewaktu anda sedang bercuti nanti boleh saja anda dipanggil semula untuk menyelesaikan kerja yang tidak sudah lagi itu.

Countdown : lagi 4 hari bekerja sahaja sebelum raya haji dan cuti akhir tahun! Yeayy.... kita nak cuti dah! Jangan jeles....

sumber

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 9, 2010

cantiknya...

78% kandungan atmosfera adalah gas nitrogen dan cuma 21% sahaja daripadanya ialah gas oksigen. Kenapa ya?

Logiknya.... 

semua benda hidup di dunia ini yang nampak di depan mata kita atau yang halus dan hanya boleh dilihat bawah mikroskop terdiri dari sel bernukleus. Dalam nukleus tersebut pula ada DNA atau RNA. Semua DNA atau RNA mempunyai kesamaan unsur yang menghasilkannya iaitu nitrogen, tidak kira DNA haiwan atau tumbuhan. Nitrogen juga adalah sumber protein, sama ada protein haiwan atau protein tumbuhan. Tanpa nitrogen, DNA, RNA dalam sel atau pun protein yang membentuk daging  tidak akan menjadi seperti yang ada sekarang ini.

Tetapi...

tidak semua benda hidup menggunakan oksigen dalam sistem respirasinya. Ada benda hidup seperti bakteria tertentu yang tidak sesuai hidup dalam keadaan beroksigen. Oksigen memang penting tetapi tidak penting bagi semua, tidak seperti nitrogen. Ha... saya fikir kerana itulah Allah Yang Maha Bijaksana menjadikan nitrogen lebih banyak dari gas oksigen.

Bagaimana pula tentang kitar nitrogen?

Nitrogen tetap sama dari dulu hingga sekarang dari segi komposisinya dalam atmosfera bumi. Tetap 78%, sedangkan setiap hari ia digunapakai oleh tumbuhan membina protein tumbuhan yang seterusnya akan dipindahkan ke dalam haiwan lain atau kepada kita dalam bentuk makanan yang kita makan. Jika tidak diganti semula, nitrogen dalam atmosfera akan kehabisan. Jadi, bagaimana memastikan peratusan nitrogen kekal? 



Kematian benda hidup, akan mengembalikan semula nitrogen ke atmosfera semula. Protein dalam daging kita akan terurai semula menjadi gas nitrogen dan memenuhi semula atmosfera bumi. Kerana itulah kita tidak boleh kekal hidup selamanya (dari segi kitaran nitrogen inilah). Kematian kita akan mengembalikan semula gas nitrogen yang kita pinjam dalam bentuk jasad kita ini. Nitrogen itu akan diguna semula membentuk jasad benda hidup yang lain pula. 

Bukankah kematian kita memberi manafaat kepada hidupan yang lain?

Cantiknya kehidupan dan kematian yang dijadikan Allah... dan memang wajar kita dimatikan satu hari nanti

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 7, 2010

kita memang wajar dimatikan....

Soalan SPM subjek Sains tahun 2020:
"78% daripada kandungan bumi terdiri dari gas nitrogen. Gas oksigen pula hanya mengisi 21% sahaja kandungan gas dalam atmosfera bumi. Kita juga tahu oksigen sangat penting dalam sistem pernafasan kita.  

Persoalannya, mengapakah Tuhan Yang Maha Kuasa menjadikan kandungan gas nitrogen sangat banyak iaitu kira-kira 3/4 dari kandungan atmosfera kita berbanding gas oksigen. Seterusnya kaitkan kepentingan kitar nitrogen dan jumlah gas nitrogen dalam atmosfera bumi dalam jawapan anda."

Soalan di atas hanyalah soalan bayangan dalam fikiran saya. Tetapi fakta tersebut memang dipelajari sejak dari Tingkatan 3 lagi iaitu fakta tentang kandungan atmosfera bumi. Fakta tersebut akan dihafal oleh pelajar dan akan ditanya dalam peperiksaan. Tetapi persoalan mengapa Allah jadikan kandungan nitrogen lebih banyak dari kandungan oksigen tidak pernah disoal dalam peperiksaan.

Kitar nitrogen pula dipelajari secara superficial nya di Tingkatan 5. Saya sebutkan superficial, kerana tajuk ini disentuh secara ringkas sahaja, tetapi kerap juga disoal dalam peperiksaan peringkat SPM. Cuma teknik penyoalannya, saya kira tidak pernah menghubungkait aspek pengetahuan dan kekuasaan Allah.

kitar nitrogen - wikipedia
Saya sering bertanya pelajar tentang perkara ini. Kenapa agaknya Allah Yang Maha Bijaksana menjadikan kandungan oksigen yang sangat penting bagi kita itu kurang dari kandungan nitrogen. Sedangkan bila kita menghirup udara yang didalamnya terdiri dari pelbagai campuran gas, hanya gas oksigen yang kita gunakan secara langsung dan yang lainnya kita keluarkan semula dalam bentuk udara hembusan.

Kalau bertanyakan rakan-rakan yang sudah dewasa dan punya ijazah berjela pasti bisa menjawab. Tetapi anak-anak kita, terutama yang dalam Ting 5 jarang sangat terfikirkan perkara ini kerana mereka sudah dilatih untuk menghafal dan meluahkan fakta bukan berfikir kenapa dan mengapa.

Disebabkan kitar nitrogen dan kepentingannya itu jugalah, saya sering beritahu pelajar, kematian kita juga boleh membawa manafaat yang besar dalam alam ini. Selain dari aspek kita akan ditanya di akhirat  nanti tentang kehidupan kita dan kerana itu kita akan dimatikan, ..... kematian setiap dari kita nanti juga sangat wajar dari aspek kitar nitrogen ini.

Anda boleh fikirkan jawapannya?

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...