Friday, December 24, 2010

tidak yakin pada diri




Sejak kecil lagi, saya bukanlah seorang yang berani, kerana telah terdidik sebegitu. Segalanya diuruskan oleh kedua ibu dan ayah.

Apabila sudah remaja, tidak seperti rakan yang lain, yang sibuk menyertai Persatuan Belia di kawasan tempat tinggal, saya tidak dibenarkan ayah. Hajat hati waktu itu ingin belajar menari, kerana saban malam saya boleh perhatikan rakan-rakan yang lain sibuk berlatih menari di bawah blok polis berhadapan blok rumah saya.

Pergi kemana-mana mesti berhantar dan diambil oleh ayah, jadi saya tidak pandai menggunakan perkhidmatan bas di kawasan rumah.

Sehinggakan awal perkahwinan dahulu, saya sendiri tidak dapat menunjukkan arah jalan keluar dari kawasan perumahan ke lebuhraya berdekatan pun.

Apa akibatnya ya?

Saya jadi kurang yakin pada diri. Bukanlah dengan belajar menari itu saya katakan boleh meningkatkan keyakinan, tetapi kawalan dari ayah menyebabkan saya jadi penakut. Hendak membayar duit makanan sendiri di restoran pun tidak pernah dan boleh menjadi beban maha berat bagi saya tika itu.

Meniti alam perkahwinan, mendapat suami yang tegas mendidik saya menjadi lebih berani. Sengaja dibiarkan saya menguruskan urusan pembayaran bil di awal perkahwinan, kerana dia tahu saya tidak pernah berurusan di pejabat pos sendirian. Berpeluhlah juga dan ibarat mati akal buat pertama kalinya.

Hendak memesan makanan atau membayar pun diserahkan tugasan tersebut pada saya, dan dengan kecut perut saya gagahkan juga. Bila teringat-ingat rasa luculah pula, takut hendak bertanya bila tak tahu dan takut untuk berhadapan dengan cashier di kaunter.

Jauh rupanya perjalanan saya untuk menjadi insan yang yakin pada diri. Mendengar slot motivasi Ikim semalam tentang meningkatkan self esteem, saya meneroka semula ke dalam diri saya. Betul, keyakinan diri sangat berkait dengan imej mental yang kita bentuk sendiri dalam diri. Menerima kelemahan diri bukan berhenti di situ sahaja tetapi menerima dan berusaha mengatasi kelemahan peribadi.

Saya beruntung kerana mendapat didikan dari ayah dan suami. Bagi saya didikan keduanya saling melengkapi, kerana mungkin jika terlebih yakin dari awal saya akan jadi liar. Mana tahu kan...yang tertakdir itulah yang terbaik buat saya.

Antara saranan penceramah dalam usaha meningkatkan keyakinan diri ialah sentiasa berbuat baik dengan orang lain. Dengan berbuat baik terhadap orang lain, perkara yang sama juga insyaAllah akan kita perolehi serta pandangan insan lain terhadap kita akan meningkat dan ini dapat meningkatkan self esteem kita secara tidak langsung.

Saya masih lagi dapat melihat ada segelintir wanita yang bergelar isteri masih tidak mempunyai keyakinan, hatta masih takut untuk berurusan di kaunter. Harapan saya agar ada insan yang dapat menunjuk jalan pada mereka untuk membina keyakinan diri tersebut.


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

10 comments:

  1. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman.

    Saya pun pernah melaluinya. Mungkin tak sampai tahap awak tapi ramai kawan2 saya yg lebih tinggi keyakinan diri mereka telah lama maju.

    Skrg saya cuba membentuk keyakinan diri di dalam diri anak2 supaya mereka lebih yakin bila bergaul dan berurusan dgn org ramai.

    ReplyDelete
  2. Betul kak mn, tapi saya, alhamdulillah, umur 13, dah tinggal kat hostel, mmg betul2 berdikari, tapi saya tahu saya ada ibu bapa yg amat penyayang, walaupun belajar jauh di rantau orang, tapi ibarat terantai di kaki, x berani nak lakukan apa2 yg melukakan hati kedua ibu bapa, masa kat universiti pun saya berdikari, yuran matrik dan yuran pendaftaran universiti je yg ayah settlekan, yg lain2 loan JPA, duit blanja, pandai pulak cari sendiri, ada le bisnes sikit2 alhamdulillah, hingga kini w/pun dah 16 tahun berkahwin, saya mmg berdikari, tapi susah jugak kalau terlalu berdikari sbb suami kita tahu, tanpa dia kita mampu hidup, walau apa2 pun saya bersyukur dengan apa yg ada, alhamdulillah

    ReplyDelete
  3. Salam :)

    Teringat saya pada seorang rakan, sudah bersuami tetapi masih tidak yakin berurusan di kaunter pembayaran bil. Kalau suaminya takde sedikit patah kaki beliau.

    ReplyDelete
  4. Begitu juga dengan anak-anak saya, disuruh bertanya arah jalan atau bertnyakan sesuatu di kaunter bank dsb, mereka tak berani kerana tiada keyakinan diri.

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum...

    Di usia yang muda saya sudah menjelajah ke benua amerika utara dan diajar berdikari..

    ReplyDelete
  6. @Abd Razak

    Teringin nak berjumpa orang yang banyak pengalaman macam razak ni..*kagum*

    ReplyDelete
  7. @WMA

    Macam sama dengan saya dulu-dulu

    ReplyDelete
  8. @Ros Illiyyuun

    Susah jugak kalau cam gitu kan ros... Kesian

    ReplyDelete
  9. @Anonymous


    Alhamdulillah, cik anon memang dikurniakan sifat yakin diri yang tinggi. Tahniah...

    ReplyDelete
  10. @Yunus Badawi

    Saya tengok anak2 YB memang bagus-bagus. Tahniah

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.