Sunday, January 31, 2010

kenapalah jadi lagu ni?

Kalau darjah 1 tidak tahu membaca dan mengira, memang sangat fahamlah kita, kan. Tapi kalau sudah tingkatan 1 , tidak tahu perkara yang sama, apa nak kita kata?

Kalau hanya seorang pelajar yang begitu, kita juga mungkin akan faham. Tapi kalau 20 orang pelajar tingkatan 1 yang sebegitu rupa, dan 2 orang darinya, nak menulis nama sendiri pun bermasalah, apa ceritanya?

Sungguh saya tidak faham. Saya pasti ramai kawan-kawan guru saya menghadapi situasi yang sama di sekolah harian masing-masing. Kalau sekolah elit, mungkin terkejut beruk bila dengar perkara ini. Tetapi, di sekolah harian ini adalah perkara biasa.

Inilah kisah di tahun 2010 di sekolah saya kini. Perbincangan kami, dalam mesyuarat kurikulum, cuba mencari langkah dan strategi yang sesuai untuk membantu mereka.

Cuma, yang saya tidak faham, semasa di sekolah rendah, tidakkah ada pendekatan yang dibuat oleh rakan-rakan guru, untuk membantu mereka ini? Sebagai seorang guru juga, saya mengambil sikap berbaik sangka. Saya pasti ada strategi dan tindakan yang telah diambil, tetapi mungkin ada beberapa kekangan yang memainkan peranan menindas keberkesanan strategi tersebut.

Ini bukan kajian. tetapi saya fikir ia patut dijadikan bahan kajian.

Kekangan yang paling ketara saya kira ialah sistem naik darjah secara terus. Saya ingin mencadangkan (walaupun saya pasti cadangan ini tidak akan dibaca oleh pak menteri kita atau ketua pengarah kita), agar, ujian lisan/ujian membaca yang dijalankan di sekolah rendah diguna sebagai penapis sebelum mereka melangkah ke menengah. Sekiranya gagal dalam ujian tersebut, mereka perlu mengulang di kelas tahun enam semula.

Kenapa di tahun enam? Bukan kelas pemulihan di tingkatan satu?

Kerana di sekolah rendah sudah ada 'manpower' yang terlatih untuk mengajar pelajar yang buta huruf. Guru-guru di sekolah menengah, rata-ratanya tidak mempunyai kelayakan atau latihan mengajar pelajar buta huruf, kecuali, di kelas PPKI . Dan juga kerana, ramai ibu bapa yang bila mendengar anaknya yang normal perlu dimasukkan ke PPKI akan melenting dan takut.

Dengan adanya syarat ini juga, ibu bapa tidak bersikap lepas tangan, membiarkan anaknya tidak boleh membaca sehingga anak itu dewasa.

Harap-harapnya cadangan saya yang tidak bernas ini bolehlah direalisasikan. Apalah gunanya kita mencanangkan sekian-sekian peratus pelajar sekolah rendah mendapat 5A dalam surat khabar, tetapi di sebalik kemeriahan itu,  ada anak didik kita yang tidak tahu membaca surat khabar pun.

Sibuk kita bersolat syukur kerana 90 orang pelajar kita mendapat 5A dalam UPSR tetapi kita memejamkan mata ke atas nasib 20 orang anak didik kita yang tidak dapat membaca serta mengira pun.

Sedih memikirkan nasib mereka ini.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 29, 2010

bahan eksperimen 2

pelajar-pelajar di kelas hujung biasanya ringan tulang.
kalau diminta mengangkat kerusi meja, atau membantu mengecat kelas,
ramai yang suka membantu.
apatah pula, kalau ada disediakan air minuman sejuk dan makanan.
tapi,
bab duduk berlama dalam kelas, terlibat dengan proses P&P (pengajaran dan pembelajaran),
agak susah sedikit.

lebih lagi kalau suruh menyiapkan kerja.
menyalin nota, tidak mengapa lagi,
tetapi,
kalau disuruh berfikir mencari jawapan sendiri,
alamatnya lenalah diorang ni.

menghantar buku latihan, memang payah sekali.
nak buat kerja rumah,
mmm, tak payahlah nak bermimpi.
soalan yang kita beri seminggu lepas,
minggu ini, begitulah rupanya.

jadinya,
strategi saya yang pertama ialah agar mereka dapat menghantar kerja latihan dalam kelas.
selepas siap, terus hantar.
minggu kedua, ada 6 orang tidak hantar dan dari jumlah yang hantar sebahagiannya tidak lengkap.

semasa memulangkan buku latihan,
saya sebut nama yang tidak menghantar dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.
saya tak membebel atau marah pun.
mereka agak terpinga.hairan.

" yalah, terima kasih banyak2 kerana mengurangkan beban kerja saya. tak perlulah saya menanda buku awak. adalah peluang saya makan gaji buta" jawab saya.

"tak baik cikgu... mana boleh makan gaji buta" ada yang membalas kata-kata saya.

"habis tu, saya nak menanda apa, kalau awak tak hantar buku."

mereka diam. tapi ada rasa tidak puas hati dengan saya.

pada akhir kelas, bila saya meminta mereka menghantar buku latihan,
semua yang hadir menghantar tanpa berlengah.

p/s: manusia sama sahaja, mana suka melihat orang lain senang. bila mendengar yang saya boleh bersenang lenang makan gaji buta kerana tidak perlu menanda buku mereka, dengan segera mereka pastikan yang saya tidak boleh begitu lagi.

strategi pertama berjaya.

selepas ini, nak pastikan mereka menulis dan melengkapkan kerja dengan kemas pula.
strategi kedua akan menyusul.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, January 27, 2010

memanglah anak awak pandai....

"Kenapa sekolah cikgu tak termasuk dalam sekolah-sekolah elit tu ya?"

Pertanyaan dari seorang ibu semasa saya menghadiri 'Majlis Perjumpaan Bersama Ibu bapa/ Penjaga Tahun 6', sekolah anak saya.

Nasib baik saya bertudung. Kalau tidak, pasti sudah ternampak telinga saya memerah. Ada sedikit terpercik rasa segan dalam hati saya.

Yalah, sekolah-sekolah elit di KL ni siapa yang tak kenal. SM Aminuddin Baki, Victoria Institution, CBN (Convent Bukit Nenas) , St John dan di zon keramat, kuala lumpur pula, sekolah yang gah juga namanya ialah SMK Wangsa Maju R5.

Kalau boleh, bukan jadi guru sahaja di situ, jadi pak guard pun glamour jugakla..

Anak beliau memang kelas yang cemerlang, tidak seperti anak saya. Dan beliau serta beberapa rakannya yang berada berhampiran sudah berkira-kira hendak melanggan bas sekolah yang sama untuk anak-anak mereka nanti di tahun hadapan ke salah satu buah sekolah itu nanti.

Dan, nama sekolah saya tidak termasuk dalam senarai sekolah yang mereka hendak anak mereka didaftarkan nanti.

Saya kira, kalau waktu itu , dibuka peluang mem'booking' tempat di sekolah-sekolah itu dengan bayaran paling minima RM500 pun, waktu itu juga mereka akan segera ke sana. Betapa taksubnya kita dengan penjenamaan.

Walau pun dalam masa yang sama Menteri Pendidikan dan Pengarah menyatakan tidak ada bezanya setiap sekolah itu, tidak ada unsur pilih kasih dan sebagainya, tetapi hakikatnya tidak begitu.

Memang selamanyalah sekolah-sekolah itu akan terus elit,

Kerana syarat memasuki sekolah itu adalah cemerlang dalam keputusan UPSR atau pun PMR. Katalah sekolah saya berjaya menghasilkan 30 orang pelajar straight A's dalam PMR dan 28 orang akan berhijrah ke sekolah-sekolah elit ini, itu belum lagi pelajar-pelajar 7A dan 6A yang akan keluar, Bagaimanalah tidaknya, sekolah-sekolah itu akan terusan mencatat kecemerlangan yang serupa dalam SPM nanti.

Dan pertanyaan yang sama juga akan saban kali di dengar oleh kami.

Pelik juga ya, kenapa sekolah-sekolah elit itu tidak berjaya menghasilkan 90% straight A1 pelajarnya , sedangkan pelajar-pelajar yang masuk ke sekolah tersebut adalah pelajar-pelajar straight A's semasa UPSR atau PMR mereka.

Dan pelik lagi dengan pertanyaan si ibu itu tadi.

Kalau sekolah elit sendiri tidak bisa menghasilkan keseluruhan pelajarnya straights A's, apalah yang hendak di pelikkan dengan kami yang 70% pelajarnya hanya mendapat 2A atau kurang dalam UPSR atau PMR.

Dan tambah memedihkan hati saya ialah kalau semua sekolah perlu di'elit'kan dengan syarat kemasukan begitu, kemanalah hendak diletakkan anak-anak yang kurang cemerlang itu?

Simpan di rumah sahajakah?

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 25, 2010

bahan eksperimen 1

ada 12 kelas tingkatan 4 di sekolah saya.
purata pelajar dalam setiap kelas ialah 30 orang.
tahun ini, saya diberi penghormatan seperti di tahun-tahun-tahun lepas mengajar kelas yang paling akhir.

hanya cikgu yang 'berkaliber' sahaja yang akan diberi penghormatan seperti itu.
itulah yang selalu saya katakan untuk memujuk hati.

saya juga mengajar kelas yang paling hadapan sekali.
untuk mengajar kelas yang paling hadapan mestilah guru yang paling 'cemerlang'.
itu memang kenyataan. yalah, bila lagi hendak masuk bakul yang boleh diangkat sendiri.

tahun ini,
kelas yang paling hujung, berkebetulan semuanya lelaki.
sudah 3 minggu persekolahan, kira-kira 7 kali sudah saya masuk dan mengajar kelas ini.
sebenarnya saya biasa juga mengajar di sekolah yang semua pelajarnya lelaki sebelum ini.
tapi, itu masa kudrat masih banyak, tenaga masih kuat.

rasanya, seperti mengajar pelajar di kelas tadika.
maaf, ya kak pah, saya tak pernah ada pengalaman mengajar di tadika. Ini cuma agakan saya sahaja.
banyak proses memujuk, mengawal dan menjeling.
saya kira , 70% dari waktu mengajar saya, proses memujuk untuk mencatat, menjawab soalan, untuk duduk di tempat sendiri, untuk mengeluarkan buku, menulis tarikh dalam buku tulis dan segala mak nenek perkara remeh yang berlangsung.

keluar mereka nanti dari makmal, sinki penuh dengan air, gumpalan kertas dijadikan penyumbat sinki, meja penuh dengan contengan, dan beberapa batang rod kaca hilang.
itu pun dalam pada mata saya menjeling, kurangnya saya membelakangkan mereka dan tak henti mulut saya menegur dan memanggil nama mereka.

ada yang memang minat untuk belajar. saya kira 20% dari mereka.
simpati saya segunung untuk mereka. tetapi, apakan daya, pengajaran berkesan hanya berlaku jika kedua-dua komponen dalam kelas iaitu pelajar dan guru berada dalam zon selesa.

setiap tahun beginilah senarionya.
tetapi alhamdulillah, setakat ini Allah beri kekuatan dan ilham untuk saya mencari peluang dan ruang bagi memudahkan tujuan utama saya iaitu membantu mereka untuk lulus dalam mata pelajaran Sains Teras. Jika boleh, agar mereka cemerlang.

dan kuasa Allah memang tidak dinafikan, setakat ini kelas-kelas hujung yang saya pegang peratus gagalnya sangat minima.

tahun ini saya mencuba pendekatan yang agak baru, tidak pernah saya cuba sebelum ini.
strategi yang berhemah saya kira. tetapi, apa pun hasilnya nanti hanya boleh dilihat dalam masa 3 atau 4 bulan. kerana kaedah ini memakan masa.

saya akan kongsikan dari masa ke semasa.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, January 23, 2010

sakit di situ...


setiap tahun 700 orang wanita di Malaysia akan mati kerana penyakit ini. (link)
di kawasan Asia Pasifik, ia membunuh seorang wanita bagi setiap 4 minit.
bermaksud, dalam masa kita menulis dan membaca blog ini ada wanita yang meninggal dunia kerana penyakit ini.

kematian paling ramai bagi yang berusia 50 ke 69 tahun.
tetapi penyakit ini paling banyak didiagnos di kalangan wanita berusia 35 - 55 tahun.

ia penyakit kedua yang paling ditakuti setelah kanser payu dara.
kanser serviks!

jangan ambil ringan.
penyakit ini boleh dicegah dengan 2 cara.
- ujian pap smear berkala
- atau suntikan vaksin

jarang sekali ia menunjukkan tanda/simptom kecuali setelah ia agak parah.
kerana itu penyakit ini dikategorikan sebagai pembunuh senyap.

semoga kita semua terlindung dari ujian ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 21, 2010

remaja SX ?

Apa yang baik tentang remaja sekarang?

Di sebalik kemelut sosial yang melanda budak-budak remaja sekarang, jom kita berhenti sejenak dan melihat apa yang baiknya tentang mereka ini.

  • berani- remaja kini berani bersuara, apa yang mereka kurang selesa atau tidak bersetuju, mereka akan suarakan
  • berani mencuba: kebanyakan remaja yang saya jumpa , mereka berani mencuba benda baru
  • kreatif- jika diberi peluang, remaja sekarang sangat kreatif, terutama dalam bidang seni dan reka cipta
  • sensitif-mungkin kerana ramai yang mempunyai ibu bapa berkerjaya, remaja kini lebih sensitif, terutama dalam bersahabat. perkara yang pada mata kita kecil, contohnya, isu meja dan kerusi/ tempat duduk adalah isu yang agak besar bagi mereka.

Ini sebahagian sahaja dari banyak perkara lain yang baiknya tentang remaja kini yang dapat saya lihat terutamanya di sekolah saya.

Namun begitu, sifat-sifat yang baik inilah juga yang menjadi punca sebahagian besar masalah sosial kini. Pada pandangan saya , ini kerana, salah kita semua yang bergelar insan-insan dewasa, kurang memberi perhatian, bimbingan kepada remaja kini bagi mengeksploitasi kelebihan yang ada dalam remaja kini. Saya juga tidak terkecuali.

Saya rasa banyak pendekatan kita yang kurang berkesan dalam membimbing mereka. Saya sendiri kurang ilmu dan tidak pasti pendekatan yang bagai mana yang sesuai dalam mendepani masalah mereka. Isu mereka pelbagai dan penerimaan mereka juga berbeza.

Mereka ini juga pastinya akan dewasa dan generasi remaja baru akan mereka depani juga. Dan saya rasa, dengan kaedah yang kita guna sekarang dalam cuba mengatasi masalah ini, tidak banyak yang mereka boleh belajar dari kita. Tidak banyak juga yang boleh mereka jadikan contoh apabila mereka berada dalam situasi seperti kita sekarang.

Remaja bermasalah perlu didekati dan bukan dimusuhi.

Namun begitu, jika sekiranya orang yang paling rapat dalam hidup mereka juga bermasalah, ke arah manalah lagi mereka hendak tuju?

~cikgunormah@klcitizen~









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, January 19, 2010

kuatkan tenaga

mendengar ceramah ust. abd rahman pagi tadi di perhimpunan sekolah.
teruja ingin mengamalkan sunnah Rasulullah ini.
saya pasti ramai yang dah tahu.

saya pun pernah terdengar dan terbaca, tetapi sebab tidak pernah mengamalkannya, maka terlupalah ia.

sebenarnya, ceramah ustaz tersebut berkenaan Hijrah sempena Awal Muharram yang telah lepas.
Anak-anak kita lebih tahu tentang 'sunnah' artis, contohnya 'sunnah' siti nurhaliza yang suka makan strawberry cicah coklat . Itu contoh, ya.

Sunnah Rasulullah yang mudah-mudah, banyak kita tidak ambil tahu.
Contohnya:

"sebelum makan, cicahkan hujung jari kelingking dengan sedikit garam dan letakkan di hujung lidah. lepas tu, makan lah makanan di hadapan kita seperti biasa.
Insya Allah kita akan diberikan kekuatan tenaga"

jom, kita cuba...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 17, 2010

simpan di poket baju tak sama dengan simpan di poket seluar

Kelas sivik ting 3.
Puas juga menunggu pelajar-pelajar saya memikir apa yang baiknya tentang diri mereka. Memikir lama, seolah masing-masing tidak kenal diri sendiri. Saya pun menukar strategi.

Saya edarkan 3 helai kertas A4 setiap seorang. Pelajar lelaki ada 22 orang, pelajar perempuan ada 14 orang.

"Lipat kertas kepada 8 petak, kerat/potong menjadi 8 segiempat tepat. Pada setiap helai kertas segiempat kecil itu tulis 1 nama rakan kamu dalam kelas. Setiap rakan dalam kelas ini, namanya akan kamu tulis pada setiap helai kertas kecil itu. Semua rakan. Jangan tertinggal satu pun. Lelaki tulis nama kawan2 lelaki sahaja, perempuan tulis nama kawan perempuan sahaja. Nama kamu sendiri tak perlu"

Sibuklah masing-masing melipat dan mengerat.

"Ok. dah tulis nama kawan2 dalam kelas ni?"
"Sudah....cikgu"

"Baiklah, saya mahu kamu tulis 1 perkara yang baik atau yang kamu suka bagi setiap nama yang terdapat pada kertas segiempat yang kecil itu. Dah tulis, lipat, jangan beri orang lain baca"

Setiap pelajar lelaki ada 21 helaian kertas segiempat kecil yang perlu ditulis 1 perkara baik tentang setiap rakannya dalam kelas. Yang perempuan pula ada 13 helaian kecil.

Saya terbaca satu darinya.
Nama rakannya: Black
Perkara baik tentang Black: cool

Bila sudah siap, masing-masing perlu memberi kertas yang bertulis, pada pelajar yang namanya tertera.

Waktu ini, suasana agak riuh sedikit di kelas. Pelajar-pelajar ke sana sini , mencari rakannya untuk diberi kertas bernama mereka.

Saya lihat ramai yang tersenyum bila membaca helaian kertas yang diterima khas untuk diri sendiri. Membaca apa yang baiknya tentang diri mereka dari kaca mata rakan mereka sendiri.

Kalau yang lelakinya, mereka terima 21 perkara yang baik tentang mereka. Yang perempuan pula ada 13 perkara baik tentang diri sendiri.

Saya pasti ramai antara mereka tidak pernah dipuji, malah tidak tahu pun kelebihan diri masing-masing. Ramai yang tersenyum. Seolah membaca surat cinta dari kekasih hati.

"Boleh saya baca?"
"Tak boleh lah cikgu, rahsia" beritahu pelajar yangkononnya  tidak ingin bersikap riak sebentar tadi.

Tapi bibirnya mengukir senyum sambil mengulang-ulang baca setiap kertas yang tertulis apa yang baik tentang dirinya.

Saya berpendapat, peringkat remaja yang penuh dengan kecelaruan identiti, memerlukan kata putus dari rakan sebaya untuk membenarkan sesuatu yang baik tentang diri sendiri. Jika rakannya menyatakan beliau cool, itulah yang dipercayainya.

Kata-kata saya sebagai guru tidak diterima secara putus andai rakannya tidak bersetuju. Ini kerana mereka tidak yakin dengan keunikan diri sendiri, tetapi ingin lari dari kelompok pelik supaya dapat bersama-sama serta diterima oleh rakan sebaya.

Saya juga begitu dulunya. Hanya sekarang ini barulah saya mengerti bahawa saya juga punyai sifat tersendiri yang patut saya berbangga dari dulu.

Kembali semula ke kelas......

Apabila loceng balik berbunyi, saya lihat beberapa pelajar lelaki yang pada firasat saya, pelajar-pelajar yang agak nakal, melipat helaian-helaian kertas tentang diri mereka dengan cermat dan menyimpan dalam poket baju.

Pada saya menyimpan di poket baju seolah-olah menyatakan bernilainya isi kertas tersebut, berbanding menyimpannya di poket seluar.

Semasa menuruni anak tangga, saya juga tersenyum seperti mereka.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 15, 2010

tak kenal diri

'Saya mahu awak senaraikan 5 perkara yang baik tentang awak. tulis dalam buku catatan.'

Pertama kali mengajar subjek sivik di sekolah, itu pembuka bicara saya bagi kelas ting. 3 itu. Saya pun berlagak sebagai mandur, berjalan keliling kelas, memastikan pelajar tidak membuat kerja lain.

Semuanya, 36 orang pelajar, menunduk . Hanya 4, 5 orang sahaja yang sibuk menulis. Saya perhatikan, terutama pelajar lelaki yang duduk di bahagian belakang kelas, seolah buntu.

'Kenapa tak mula menulis?' tanya saya pada salah seorang.
'Tak tau nak tulis apa'
'Aikk... dah 15 tahun awak hidup, tak tau apa yang baiknya tentang diri awak sendiri? Habis tu, siapa yang boleh tuliskan kelebihan awak, kalau awak sendiri tak kenal diri '

'Bukan tak kenal cikgu, tak nak bersikap riak' jawab rakannya.

'Ini bukan riak, awak bukan membangga diri, cuma menyatakan kelebihan yang ada pada diri supaya orang lain lebih memahami awak'

Kasihan saya melihat mereka. Lalu saya tukar strategi.....

saya sambung lain kali.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, January 13, 2010

mendengar

Sedang makan-makan pagi bersama beberapa orang guru, terpacul pernyataan yang membuat saya terfikir dalam diam dari bibir seorang sahabat.

"Walau kita sesibuk mana pun , kita ni mesti mendengar rintihan, kata hati, cerita-cerita dari anak-anak kita, agar nanti bila kita tua nanti, mereka akan mendengar rintihan , keluhan dan kata-kata kita pula"

Sangat benarlah rasanya.

Dalam kesibukan saya, sering juga, terlepas pandang perkara yang ini. Rasanya seperti, terlalu lama masa berjalan bila mendengar celoteh anak, selalu juga menegur supaya si anak mempercepatkan kata-kata, kerana banyak tugasan yang belum terlaksana.

Dengan urusan rumah dan kerja di sekolah serta sibuk menghantar dan mengambil anak ke serata tempat belajar, ada kalanya seperti malas ingin berbicara dan mendengar kata, kalau boleh inginkan suasana diam dan tenang. Tapi, kata-kata sahabat itu tadi seolah-olah berulang-ulang dalam benak fikir saya.

Saya akan cuba, berhenti sebentar, mengongsi suka duka si anak, dan mendengar.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 10, 2010

tidak superior

Memandang rendah terhadap orang lain, walau pun kita tidak berniat begitu.

Sesekala terpacul juga sifat mazmumah tersebut menyelit di sebalik hati dan fikir. Bukan berniat dan tidak juga disengajakan.

Contohnya,

Melihat seseorang terkial-kial menyelesaikan perkara yang sangat mudah bagi kita. atau, melihat seseorang menjual barangan yang tidak berkualiti langsung pada tanggapan kita, atau merasakan pembantu rumah kita tidak sebersih kita, dan mengasingkan penggunaan pinggan mangkuknya dari kita (...mmm, saya tidak punya pembantu ya, jangan salah faham), atau geli memakan hasil masakan seseorang atau melihat seseorang memakai hand bag berjenama mahal padahal kita tahu itu hanyalah tiruan semata, dan rasa kita, beliau tidak mungkin mampu membeli beg sebegitu rupa atau
bila kita yang bertudung merasa lebih baik dari yang tidak bertudung.

Ada.

Janganlah menipu diri kita sendiri. Cuma mungkin situasi tersebut bukan seperti yang saya kata.

Ya, saya juga pernah sekali sekala terselit rasa sebegitu rupa. Walau pun seolah membuka pekung di dada, ia bukanlah sifat baik yang boleh dibanggakan. Namun kita ini hanyalah manusia, yang pastinya tidak kebal dari dosa dan noda.

Cuba.

Memang saya mencuba, menepis bisikan syaitan dan segera beringat. Mengganti pandangan tersebut dengan sifat belas dan kasihan. Kalau mungkin saya boleh membantu, saya cuba. Agar rasa lebih 'superior' itu segera padam.

Kerana kita semua sebenarnya sama sahaja.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 7, 2010

geram

Tindanan kerja dalam organisasi sebenarnya menyusahkan. Akibatnya, salah seorang yang terlibat akan berlenggang kangkong manakala yang seorang lagi terpaksa berhempas pulas.

Terutamanya di sekolah. Saya lihat ada 'post' atau bidang tugas yang sepatutnya tidak perlu diwujudkan.
Ia hanya menambah bilangan anak tangga dan kerenah birokrasi. Mungkin juga kerana penjawat tersebut tidak berkeahlian dalam bidang tugasnya, akhirnya, beliau dilihat sebagai si tukang arah dan tukang minta sahaja, bukan penyelesai masalah dan pembawa pembaharuan.

Ini kerana juga pemberian jawatan melibatkan takrif 'senior' sebagai kayu ukur, bukan kerana kreativiti dan sifat pandang jauh dalam diri individu tersebut.


akhir kalam.....Geram betul dengan suasana yang melemaskan ini.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 4, 2010

saudaraku saudaramu jua

Benarkah kita bersaudara? Kalau benar, apakah yang patut dilakukan oleh seorang saudara apabila berjumpa saudaranya?

Apabila berselisih di jalanan dengan insan-insan seagama dan sejantina dengan kita, biasanya kita mengelak berpandangan mata.

Kenapa ya?

Padahal kita mengaku dia saudara seagama kita. Kalau secara tidak sengaja kita bertentang mata, pasti salah seorang akan melirih matanya ke arah lain, kan.

Kenapa ya?

Janggal rasanya, dan biasanya terlintas dalam fikiran untuk beberapa saat, sama ada ingin tersenyum atau tidak.

Memberi salam jauhlah sekali. Biasanya kita memberi salam khusus untuk insan-insan yang kita kenal sahaja. atau pun, bila kita berkehendak sesuatu dari insan tersebut. Contohnya, semasa di kaunter pertanyaan atau yang sepertinyalah.

Saya bukan mengata orang lain. Tetapi mengata diri sendiri juga. Kerana itulah rasanya kita tiada pertautan hati dengan saudara seagama kita. Saudara hanya di hujung lidah sahaja, tetapi tidak terjelma dalam tindakan kita.

Sepatutnya saya berubah sikap dan mengubah tindakan selepas ini.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, January 2, 2010

adegan tidak patut di panggung wayang

Saya dan anak lelaki saya yang paling awal memasuki panggung no 6 itu. Tengahari itu, panggung tersebut full house. Filem yang box office, begitulah.

Sambil menunggu tayangan bermula, mulut mengunyah pop corn yang ada. Penonton-penonton lain mula sampai.

Tidak lama kemudian masuklah 4 orang sekeluarga. Makcik A dan anak-anaknya, seorang darinya remaja dan dua lagi masih kanak-kanak. Makcik A bertudung cantik, tangan masing-masing penuh dengan bekalan.

Setelah berjalan melepasi deretan kerusi saya, Makcik A dan anak-anaknya pun duduk selang 5 deretan di hadapan saya.

Saya terus mengunyah pop corn sambil melayan butir-butir merepek cerita anak lelaki saya.

Tidak lama selepas itu, masuk sepasang kekasih, membelek-belek nombor dan menunjuk-nunjuk tiket wayang mereka pada makcik A. Bercakap-cakap dengan makcik A. Tanpa banyak soal, makcik A dan anak-anaknya bangun, lalu bergerak ke hadapan. Dan, mereka duduk di hadapan deretan kerusi selang dua deretan dari yang tadi. Oh tadi itu, bukan tempat mereka.

Oh, tersilap nombor agaknya, makcik A ni. - itu kata-kata hati saya.

Tidak berapa lama kemudian, masuk seorang remaja perempuan, Cik B dan adiknya yang masih kanak-kanak.

Membelek-belek tiketnya, berdiri berhampiran makcik A (yang kini di tempat baru). Menunjuk-nunjuk tiketnya pada makcik A, kali ini makcik A menuding jarinya ke hadapan, seolah mengarah budak remaja itu  ke tempat kosong selang tiga deretan di hadapannya.

Dont know Dont care =P

Cik B dan adiknya bergerak ke tempat yang di tunjuk oleh makcik A, walaupun macam tidak puas hati. Dan duduk.

Saya masih mengunyah pop corn yang tidak habis-habis. Sambil memerhati dan berasa tidak sedap hati, rasa panas.

Selang beberapa minit, masuk sebuah keluarga lima orang; En C, isterinya dan anak-anak mereka, berjalan ke hadapan dalam keadaan gembira.

Dan mereka berhenti berdekatan dengan Cik B, menunjukkan tiket mereka dan bercakap-cakap dengan Cik B. Cik B bangun menunjuk ke arah Makcik A sambil bercakap-cakap dengan En C.

Lampu panggung digelapkan, filem akan bermula. Makcik A dan anak-anak duduk di tempat mereka sambil mengunyah pop corn seperti saya.

En C keluar sebentar, masalah tempat duduk masih tidak selesai.

Cik B dan adiknya terpaksa bangun dan berdiri di tengah-tengah laluan .

Tidak lama selepas itu En C masuk bersama petugas panggung. En C beredar ke tempatnya. Tinggal petugas tersebut membelek tiket Cik B dengan lampu suluh.

Adegan filem sudah pun bermula. Makcik A dan anak-anak seronok menonton sambil mengunyah pop corn.

Hati saya panas melihat adegan di panggung, mata tidak pun menonton adegan di skrin. Geram dengan makcik A. Kasihan dengan Cik B.

Petugas tersebut bergerak ke tempat Makcik A, meminta tiket dari Makcik A. Anak remaja Makcik A mencari-cari dalam hand bagnya. Jumpa. Petugas meminta makcik A bangun dan bergerak ke hadapan.

Rupanya tempat duduk Makcik A jauh ke hadapan, hampir sangat dengan skrin dan terpaksa mendongak untuk menonton. Jadi, makcik A ambil jalan mudah, dengan menyusahkan orang lain, agar dia tidak susah.

*moral of the story :

Perangai seperti makcik A memang selalu kita lihat. di mana-mana sahaja.

Seorang muslimah wajar matang dalam tindakan. Berfikir yang terbaik dalam urusan hidupnya, tetapi janganlah sampai menyusahkan insan lain.

En C yang membantu Cik B bukanlah saudara seagama. Tetapi makcik A yang menyembah tuhan yang sama dengan cik B, tega untuk membiarkan cik B dilanda masalah.

Zalim. 

Walaupun nampak seperti perkara remeh, tetapi hak cik B dianggap kecil oleh makcik A.

Apakah tauladan yang sedang diterap oleh makcik A pada anak-anaknya? Bahawa tidak salah mengambil hak orang lain selagi tiada yang bersuara?

Janganlah hendaknya saya berperangai begitu tanpa saya sedar.

*tajuk entri seolah adegan panas, ..kan, alhamdulillah setakat ini tidak bertemu lagi penonton beradegan panas di panggung.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...