Thursday, September 30, 2010

Di bawah bintang mengerdip - A. Samad Said

Di Bawah Bintang Mengerdip


Di bawah bintang mengerdip
Aku ingin bersunyi
Tiada buku, tiada lagu, tiada rindu
Tapi siapa dapat percaya
Bulan turut berduka 
Ketika dunia asyik berpesta ria

Di bawah bintang mengerdip aku ingin bersayu
Tiada ayahanda, tiada bonda, tiada kanda
Tapi siapa sanggup percaya
Malam turut berhiba..........

Dengarkan deklamasi sajak  dengan iringan gambus.... di sini





~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, September 29, 2010

Dua minggu Terakhir

SPM makin hampir benar. Apatah lagi kebanyakan sekolah sekarang ini sibuk dengan peperiksaan percubaannya. 

Jangan kata ibu bapa sahaja yang degupan jantungnya berdegup kencang. Guru yang mengajar mereka ini pun tidak kurang debarannya. Apatah lagi kalau mengajar subjek yang agak payah seperti Chemistry.

Sudah berbelas tahun mengajar, debaran yang dirasa sama  kuatnya setiap tahun. Manalah tidak  guru-guru cepat mengalami tekanan darah tinggi, kan. Tekanan mengajar di sekolah berasrama memang tidak sama dengan mengajar di sekolah harian. Di sekolah berasrama, tekanannya saya kira  ialah mencapai sasaran peratus A yang tinggi bagi setiap mata pelajaran, tetapi di sekolah harian, sasaran utama bagi mata pelajaran berat ialah kelulusan 100% dan peningkatan kualiti.

Nampak seperti mudah tetapi sukar terlaksana, lebih lagi kalau majoriti anak murid yang masuk dalam aliran Sains Tulen adalah anak-anak yang hanya memenuhi syarat minimum kemasukan, dan sepanjang 2 tahun dalam kelas, kerja keras dan usaha sendiri tidak dapat dipenuhi. Memang payah.

Lebih lagi dalam keadaan sekarang, aras tekanan yang tinggi dapat dilihat pada air muka dan wajah mereka. Kasihan pula, kan.

Nasihat saya pada mereka yang sangat terdesak ini, jika, dalam dua minggu terakhir sebelum peperiksaan Chemistry anda, anda masih terkial-kial dengan beberapa sub topik yang memeningkan, seperti konsep mole yang begitu abstrak bagi anda atau masih lagi tidak bisa menyeimbangkan persamaan kimia dengan betul, abaikan sahaja tajuk tersebut.... hahaha biar benar

Ya... sesungguhnya... Dalam Chemistry, bukan tajuk itu sahaja yang disoal, ada banyak lagi tajuk-tajuk lain yang anda telah faham dan boleh  menjawab dengan baik, jadi....., kenapa  dalam waktu dua minggu yang singkat itu anda bersusah hati dengan tajuk kecil yang hanya mungkin disoal sebanyak 10% atau kurang dalam kertas soalan anda?

Nanti saya khuatir, disebabkan kerisauan dan kegelisahan serta fokus anda yang terlampau  ke atas  beberapa tajuk kecil itu , tajuk-tajuk lain yang anda sudah kuasai dan perlu gilapan terakhir anda abaikan...Mulalah nanti, fikiran menjadi kosong semasa mengadap kertas soalan. Aduii... itu mimpi ngeri dek ooii

Berdoalah juga supaya anda tenang. SPM bukanlah segalanya. Yang penting, kita pohon agar keputusan  anda membolehkan anda ditempatkan di pusat pengajian tinggi yang dapat membantu anda meningkatkan keilmuan dan ketrampilan diri . Itu yang utama. Deretan A bukanlah matlamat akhir tetapi jika itu yang terbaik untuk anda pasti dengan usaha yang betul Allah akan letakkan ia dalam genggaman anda.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 28, 2010

kasih dan sayang

Semasa acara taman terbuka di kawasan perumahan saya sempena bulan Syawal, Sabtu baru ini, saya tertarik dengan ucapan perasmian oleh Nazir Masjid yang hadir. Seperti biasa, saya tak ingat nama Datuk tersebut.

ini bukan nazir masjid, tetapi pengerusi taman
Antara katanya, jika kita minta seseorang berdiri di hadapan kita, pasti kita boleh menyenaraikan sebanyak mungkin segala kesilapan dan ketidak betulan yang ada pada insan tersebut. Sebaliknya segala kebaikan yang mungkin ada padanya, sukar hendak kita senaraikan. 

Saya bersetuju benar. Kemahiran melihat kebaikan atau kelebihan  dan mengenepikan kekurangan insan di sekeliling kita sebenarnya tidak dapat wujud secara semula jadi. Ia perlu disemai dan ditanam dalam diri kita secara sedar. 

Yang peliknya, melihat kekurangan insan lain ini tidak timbul kalau kita sedang dilamun cinta dengan insan tersebut. Apatah lagi kalau ia cinta pertama. Segala yang ada pada si dia menjadi baik dan cantik. Hatta, pipi penuh jerawat pun tidak akan kelihatan di mata kita. 

Tetapi, jika tiada rasa kasih dan suka, insan yang cantik sempurna di mata orang lain jadi buruk di pandangan mata kita. Ajaib betul penangan kasih dan sayang.

Kerana itulah, doa seorang Muslim mestilah diselitkan harapan agar Allah mencurah rasa kasih dan tautan hati sesama saudara seugama, agar kita sentiasa dapat melihat kelebihan dan kecantikan saudara kita.

Pernah saya terdengar, bahawa satu cara mendapat husnul khatimah adalah dengan mempunyai hati yang bersih dari segala kebencian. Untuk menghilangkan kebencian itu pula, terlebih dahulu kita perlu berupaya melihat saudara di sekeliling kita dengan pandangan yang indah dan menarik kan...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 27, 2010

Tanda aras

Alhamdulillah, hari ini sudah selesai satu tugas penting. Dalam perjalanan balik ke rumah, seperti biasa membuka radio mendengar siaran IKIM. Jarang dapat mendengar slot Celik Mata Celik Hati, kerana waktu siarannya ialah hari Isnin pukul 11 am begitu . Kebetulan tajuk yang dibincang ialah  "Persiapan membantu anak yang menghadapi peperiksaan." 

Malangnya tidak ingat tetamu jemputan yang ke udara, tetapi yang pastinya, seorang Dr wanita. Tertarik sungguh dengan saranan dan nasihatnya tentang kejayaan anak-anak, persiapan kita sebagai ibu bapa dan sikap yang perlu kita ambil terhadap anak-anak yang kurang bijak dalam bidang akademik.

Satu saranan beliau ialah ibu bapa Muslim mesti menerapkan dalam diri anak-anak bahawa kejayaan meraih A adalah hanya satu alat bagi kita dalam pengabdian kita pada Allah. Tidak sedikit Muslim di luar sana yang bijak dalam akademik tetapi sahsiah serta peribadi Muslim tidak terjelma dalam tindak tanduk. Kata-kata yang kasar serta sentiasa melihat orang lain lebih bodoh dari dirinya, mengeluarkan kata kesat apabila diri di amuk marah kerana kehendak tidak terpenuh, cepat melatah atas segala perkara yang tidak menyenangkan hatinya serta sentiasa bersangka buruk dengan saudara seMuslim.

Sifat mazmumah itu semua, kelihatan perkara biasa sekarang, apatah lagi, ramai yang sudah berkelulusan tinggi. Kita doakan generasi anak-anak kita tidak dibelenggu dengan tindak tanduk sebegitu rupa.

*anak dapat berapa A? itu tanda aras anak seseorang itu berjaya sekarang.... mmm
*terbaca entri isza , bila doktor pun manusia biasa, memang terkena betul dengan luahan hati saya harini


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, September 26, 2010

berangan

Dalam  minggu ini heboh di FB dan blog tentang perkahwinan ala fairy tale yang berlangsung  pada Jun 2010. Ramai yang sudah menonton saya kira. Memang tidak pernah terfikir akan perkahwinan sehebat begitu.  Hanya orang berduit lebihan sahaja yang mampu.

Saya tidak mahu mengulas aspek teknikal atau aspek keislaman. Benda sudah terang lagi bersuluh, kan. 

Cuma tika memandu menyusuri di sebuah jalan kawasan perumahan elit, hati sendiri tertanya-tanya. Setiap rumah berpagar tinggi, supaya orang-orang luar seperti saya tidak dapat melihat ke dalam. Hampir semuanya memiliki sistem penggera keselamatan. Ada pula yang lebih berduit agaknya, mengupah pengawal keselamatan di luar.

Memang tidak disangkal lagi, harta benda mewah impian semua. Tipulah, kalau saya kata saya tidak ingin seperti mereka, punya lebihan wang sebegitu, dengan kereta-kereta menjalar di kawasan rumah. Di dalam rumah mestilah punya alatan dan perabot mahal, dengan kemasan rumah yang pastinya membuat mata terpegun.

Namun begitu saya juga percaya, pagar yang tinggi, alat penggera keselamatan dan pengawal keselamatan di luar juga mewakilkan sebahagian dari gaya hidup tidak selamat. Kerana harta sebegitu rupa mengundang masalah lain pula. Sedangkan rantai seurat di leher bagi orang-orang biasa seperti kita juga boleh membawa padah, apatah lagi dengan harta benda sebegitu.

Betullah, harta benda merupakan ujian dalam hidup kita.

Sibuk kita mengumpul harta, membeli tanah dan rumah lebih dari sebuah, agar hari tua kita senang, supaya nanti anak-anak yang kita tinggalkan tidak merempat. Tetapi hakikatnya benarkah situasi ideal itu akan kita dapat ?

Banyak yang kita telah dengar, baca dan lihat. Dek kerana harta yang kita kumpul, adik beradik, sanak saudara bermasam muka. Dek buta mata dengan harta nanti, anak-anak mengharapkan kematian kita agar lebih cepat.

Kalau diikutkan sirah Rasulullah s.a.w., Baginda sebenarnya sangat kaya raya, kerana setiap harta rampasan perang, ada bahagian yang besar buat Baginda. Namun, semua kita tahu di hari kewafatan baginda Rasul, harta yang ada amat-amat sedikit.

Memang tidak terikut rasanya saya dengan sifat Baginda Rasul. Begitu zuhudnya, dan ikhlasnya dalam perjuangan.

Saya?

Di manakah letak duduknya saya dalam urutan kezuhudan tersebut. Memang amat jauh sekali.

Sedangkan, waktu menaip ini pun masih lagi berangan memiliki rumah banglo nanti, dengan kereta mewah berwarna kuning di halaman, kalau boleh juga, ingin bershopping setiap minggu membeli beg tangan berjenama mahal, sedondon dengan kasut Croc yang asli, bukan tiruan.

mmmm.

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, September 25, 2010

mencarut

Sewaktu awal pemerintahan Umar Ibnu Abdul Aziz, sering datang pelbagai rombongan dari seluruh pelusuk negara untuk menyatakan taat setia kepadanya. Suatu rombongan daripada Hijjaz tiba, dan tampil seorang kanak-kanak sekitar usia 11 tahun, kehadapan untuk bercakap. 

Umar berkata, "Berundurlah engkau dahulu, biarlah orang yang lebih tua daripadamu bercakap."

Budak itu menjawab dengan berani tetapi sopan:,
"Semoga Allah kekalkan pemerintahan Amirul Mukminin! Sebenarnya manusia itu dinilai dengan dua yang paling kecil dalam dirinya, iaitu hati dan lidahnya. Jika Allah mengurniakannya lidah yang petah, hati yang kuat ingatan, maka sudah tentulah dia yang berhak untuk bercakap.

Andai kata semua perkara, wahai Amirul Mukminin diukur dengan umur, nescaya di kalangan umat ini ada orang yang lebih berhak daripadamu untuk memegang jawatan khalifah."
Di petik dari majalh solusi isu no 9: m/s 3

Lewat kini, ramai anak-anak muda sekarang yang punya keberanian seperti budak tersebut. Berani menyatakan pendapatnya secara terbuka.

Namun pada pandangan mata seorang berusia seperti saya, lebih cantik dan menawan lagi, jika keberanian itu disisipkan dengan kehalusan budi serta bahasa yang sopan.

Tidak luak sedikit pun kebenaran yang ingin diutarakan jika kata bersulam hormat. Tetapi malang sungguh, jika kebenaran yang ingin diucap, dicemari dengan carutan (f*** , m*****f****r) dan kutukan. 

Fenomena biasa di laman sosial FB, twitter mau pun blog yang semakin meruncing dan ketara, seolah ingin bertanding siapa yang lebih arif dan pakar dalam bab mencarut serta mengutuk.

*sesekali membaca di ruangan maya, sering menggeleng kepala serta mengurut dada

*ini ialah artikel lama yang saya 'publish' semula dengan sedikit tambahan

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, September 24, 2010

Datang bulan

Alhamdulillah, Jumaat datang lagi.
toon collection
Jumaat datang dengan segala kebesaran dan kemeriahannya. Lebih lagi, di musim Syawal ini. Jumaat adalah hari raya mingguan bagi umat Muslim, dan diserlahkan lagi dengan sembahyang Jumaat yang diwajibkan bagi kaum Muslimin.

Terasa kemeriahan Jumaat pabila melihat kaum Muslimin berbaju Melayu beramai-ramai bergerak ke masjid. Dari kejauhan tampak menarik dan meriah sungguh. Ada yang lengkap baju Melayunya dengan bersampin bagai, tetapi ramai sekadar berbaju Melayu dan berseluar biasa. 

Kerana saya orang Melayu, jadi secara peribadi, memang suka melihat lelaki berbaju Melayu. Tampak gah dan menawan gitu.... (hah... tidak bermaksud lain di sini ya...)

Cuma yang sedih dan terkilan, cik abang-cik abang yang 'datang bulan' ni, siap segak berbaju Melayu, masih lagi menceduk lauk dan menghisap rokok kekenyangan di kedai makan, sedang tok imam sudah pun mengucapkan salam penamat solat.

Fenomena biasa tetapi berbisa.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 23, 2010

Berat ke ringan

Saban kali kita dengar dan baca bahawa rakyat Malaysia kurang membaca. Betulkah? Padahal saya lihat, di kedai-kedai yang menjual suratkhabar atau majalah, pasti  ada bahan bacaan yang terdapat di situ dan kerap kali juga sesetengah bahan bacaan tersebut habis stok.

Fenomena membaca bukan sahaja terhad pada bahan bercetak tetapi melalui media elektronik, terutama melalui laman sosial di internet menunjukkan rakyat Malaysia sebenarnya membaca, bukannya tidak membaca.

Jadi, salahlah pernyataan , saya kira tentang kurangnya sifat membaca di kalangan kita semua.

utusan
Yang menjadi permasalahan ialah jenis bahan bacaan. Orang di Malaysia gemar membaca bahan bacaan ringan, terutama majalah hiburan dan paling banyak membaca suratkhabar, ..... noktah.

berita harian

Membeli buku dan membaca buku  agak kurang. Walau bagai mana pun, saya lihat setiap kali Pesta Buku diadakan, ramai juga yang membeli buku berbondong-bondong. Jadi, tidak juga boleh dikatakan rakyat Malaysia kurang membeli buku....

Cumanya, saya kira kalau hendak dibandingkan dengan pembelian lain, memang kita lebih gemar membeli tudung, kasut, beg tangan serta barang elektronik berbanding buku, pada harga yang sama.

Bila saya ke Singapura baru ini, saya lihat harga buku di sana (pada kadaran mereka, jangan ditukar nilai matawang ya...) jauh lebih murah. Novel Bahasa Inggeris oleh penulis yang saya minati, baru dijual dengan harga $17 dolar berbanding dengan kita sehingga RM40.  Kalau saya penduduk Singapura, memang saya mampu lah membeli 2 buah buku pada nilai 40 itu.

Itu dari segi harga buku. 

Dari segi jenis dan bahan pembacaan. Saya nampak masyarakat kini lebih gemar membaca novel. Saya tidak terkecuali. Cuma lewat ini, minat terhadap novel, dalam diri saya berkurangan secara drastik. Saya lebih berminat kepada pembacaan bahan motivasi,  serta bahan ilmiah tahap rendah. (ada ke ilmiah tahap rendah ini?...saya kira ada)

Pada hemat saya, adalah lebih membimbangkan jika peningkatan statistik pembacaan dan jumlah jualan buku hanya membabitkan novel cinta remaja dan majalah hiburan. Tidak dinafikan novel cinta remaja boleh menarik minat generasi muda berjinak-jinak menghayati tabiat membaca dan mendampingi buku. Tidak dinafikan juga majalah hiburan membantu dari segi promosi produk hiburan tempatan.

Tetapi daripada perspektif kualiti keilmuan, peningkatan dalam aspek itu kurang membantu untuk menyegarkan budaya ilmu. Kita maklum bahawa sesebuah masyarakat maju ditunjangi penguasaan ilmu tahap tinggi, kemahiran khusus dan budaya ilmu yang sentiasa mendorong ke arah inovasi dan kreativiti. Kreativiti tidak terhad kepada bidang sains dan teknologi semata-mata tetapi merangkumi juga bidang kemasyarakatan, kesenian, kebudayaan yang diolah berasaskan kefahaman ilmu. - saudara Zaini Ujang
Saya sangat bersetuju dengan pendapat Zaini Ujang tersebut.

Memang salah satu cara menajamkan daya fikir ialah mempelbagaikan bahan pembacaan kita. Namun begitu, banyak buku yang tinggi keilmuannya ditulis dengan gaya yang berat dan ini berjaya membantutkan keinginan kita untuk membaca.

Orang-orang awam seperti saya, memang akan pening kepala bila membaca bahan berat. Jadi, saya fikir salah satu tanggung jawab penulis ialah meringankan bahan ilmu, tetapi janganlah sampai menjadikan ilmu itu sampah pula. Seperti tulis Ustaz Hasrizal....

Buku-buku yang ringan di pasaran pada hari ini adalah hasil bakat kebijaksanaan penulisnya meringkaskan persembahan untuk memudahkan seramai mungkin pembaca memanfaatkan ilmu tersebut. Namun di sebalik buku yang dihasilkan, penulis mestilah mempunyai tasawwur yang lengkap tentang selok belok topik yang diketengahkan.

Buku ringan mestilah ditulis oleh pembaca buku berat. Apabila buku ringan ditulis oleh pembaca buku ringan, yang ringan-ringan itu akhirnya menjadi SAMPAH!- Ustaz Hasrizal
~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, September 22, 2010

Memang menggelabah kalau tengok orang menangis kan..

Terlihat gambar  wanita ini menangis kerana kehilangan suaminya. Rasa simpati sungguh terhadapnya. Memang besar dugaan yang beliau hadapi. Moga Allah beri kekuatan dan disampaikan semua hajat dan doanya.
nst
ceritanya di sini
--------------------------------------------------------
Tangisan wanita .

Kata Dr Fadzillah Kamsah , bila wanita menangis dunia akan berhenti. (Ha ...  suka saya dengar dalam Wanita Menangis bahagian ke 3)
Wanita Menangis : Bahagian 1
Wanita Menangis : Bahagian ke 2
Wanita Menangis : Bahagian ke 3
---------------------------------------------------------------
Satu artikel yang lama sudah, tetapi menarik untuk dikongsi...

Why Women Cry...
A little boy asked his mother, "Why are you crying?"
"Because I'm a woman," she told him.
"I don't understand," he said.
His Mom just hugged him and said,
"And you never will."

Later the little boy asked his father, "Why does mother seem to cry for no reason?"
"All women cry for no reason," was all his dad could say.

The little boy grew up and became a man, still wondering why women cry. Finally he put prayed to God who would surely know the answer.

When God responded he asked, "God, why do women cry so easily?"

God said: "When I made the woman she had to be to be made special. I made her shoulders strong enough to carry the weight of the world, yet gentle enough to give comfort. I gave her an inner strength to endure childbirth and the rejection that many times comes from her children. I gave her a hardness that allows her to keep going when everyone else gives up, and take care of her family through sickness and fatigue without complaining. gave her the sensitivity to love her children under any and all circumstances, even when her child has hurt her very badly. I gave her strength to carry her husband through his faults and fashioned her from his rib to protect
his heart.

I gave her wisdom to know that a good husband never hurts his wife, but sometimes tests her strengths and her resolve to stand beside him unfalteringly.

And lastly, I gave her a tear to shed. This is hers and only hers exclusively to use whenever she needs it. She needs no reason, no explanation, its hers."

"You see my son," said God, "the beauty of a woman is not in the clothes she wears, the figure that she carries, or the way she combs her hair.The beauty of a woman must be seen in her eyes, because that is the doorway to her heart - the place where love resides."

*di copy dari sini 
----------------------------------------------------------------------

Untuk kaum lelaki  yang selalu menggelabah bila melihat perempuan anda menangis, baiklah lihat di sini untuk tahu apa tindakan bila perempuan menangis. Ringkasnya:

a) pegang tangannya, peluk bahunya.
b) tukar tempat atau lokasi bila nak pujuk.
c) beri rasuah cinta, atau pujuk dengan hadiah.
d) beri lawak bodoh.
e) rujuk pada kaunselor.
f) doa banyak-banyak.

* yang (c) tu memang best


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 21, 2010

memadam

Sedih jugak... 

Tempias serangan malware yang melanda kebanyakan blog yang menggunakan innity itu rupanya terkena juga ke blog saya. Tapi tidaklah secara terus begitu, tetapi tempias dari link yang dipasang dalam bloglist saya.... Terutama link dari kengkawan yang memasang innity atau mangga ads di blog masing-masing.

Yang memasang innity atau mangga ads ni biasanya blog-blog terkenal  yang punya pengunjung beratus atau ribuan..

Jadinya, saya memadam buat sementara waktu bloglist saya tersebut. Jangan terasa hati ya, kerana tidak ada tujuan mencuit hati sesiapa di sini...

*Browser safari yang saya gunakan meragam pula, jadi menggunakan browser google chrome pula. saya syak angkara malware tersebut...

*harith sedang menjawab kertas BM sekarang... ya Allah berilah ilham padanya untuk menjawab dengan betul dan tepat...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tidak ke mana pun...

Bercuti untuk 3 hari.

Tidak ke mana pun. Di rumah sahaja , melihat-lihat si Harith hendak periksa UPSR. Moga Allah beri ilham padanya menjawab dengan tepat dan betul....


Dup....dap.....dup.....dap


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 20, 2010

Menuju yang pasti....





Selama 44 tahun apakah yang telah dicapai? 

Orang lain ada yang sudah mengarang berbuah-buah buku, ada yang boleh memasak untuk beratus orang sekali gus, macam ketua masak waktu kenduri kendara lah, ada yang sudah punya syarikat sendiri dan aset yang bertahun makan pun tak habis, ada yang namanya meniti di bibir insan lain dek sumbangan pada negara, bangsa dan agamanya yang tidak terkira.

Saya?

Tidak banyak yang hendak dibanggakan. Tidak punya harta berjuta, malah tidak ada pun lesen berniaga, hanya lesen memandu kereta sahaja, orang di kawasan taman perumahan ini pun ramai yang tak kenal saya, menulis buku pun tak pernah, yang banyaknya ialah menulis laporan-laporan di sekolah. Tidak juga punya gelaran Datin, sekadar membawa title Puan dan kerap digelar sebagai Cikgu sahaja. 

Cikgu pun sekadar cikgu biasa, yang masih lagi bekerja dalam kapasiti SAYA YANG MENURUT PERINTAH. Sedang, ramai rakan yang dulunya menelaah bersama, bergelak tawa sama, membanding markah periksa bersama , telah berjaya dalam karier yang jauh lebih glamor dan mencabar.

Sedih?

Alhamdulillah , tidak. Sepanjang liku perjalanan hidup saya, tidak banyak mehnah yang Allah hamparkan. Putus cinta pun tidak pernah rasanya... sekadar cinta monyet yang putus ekornya adalah. Tetapi lebih jauh dari itu, alhamdulillah, belumlah lagi.

Serba sedikit kekurangan diri saya, tidaklah membebankan perasaan. Dan saya pasti saya antara yang tidak Allah uji lagi dengan ujian maha berat.

Harapan?

Melepasi tarikh ini, angka 45 akan semakin hampir. Ia hanya sekadar angka jika tidak berjaya memberi makna pada si empunya. Itulah yang tidak saya mahu. Saya berdoa agar mungkin Allah tambahkan lagi istiqamah saya di atas jalanNya, menambahkan rasa nikmat dalam usaha mendekatiNya.

Saya juga berdoa agar semakin di penghujung usia, dimudahkan lagi jalan kehidupan ini bagi saya sekeluarga, diberkati dengan rezeki mencurah dan dilimpahi dengan kasih yang tiada tepi. Juga kalau boleh ya Allah, dikurniakan kesihatan yang baik bagi saya sekeluarga, dan diselamatkan dari segala mara bahaya, malapetaka dan bala bencana di dunia dan akhirat kelak.

anak-anak buah yang berkongsi tarikh lahir yang sama: qistina dan syarif

Yang pastinya kematian semakin hampir.....

updated: terima kasih fais atas lagu yang ditujukan... memang sedap dan sesuai (dengar di sini)

atau tekan play sahaja

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, September 19, 2010

Keinginan

Setelah hampir 2 minggu bercuti, alhamdulillah.... esok akan mula bersekolah. Minggu yang pastinya sibuk, kerana pada hari Selasa nanti, anak saya yang seorang sahaja itu, Harith, akan menduduki Peperiksaan UPSR nya. Minta tolong doakan kejayaan anak saya itu ya....

Jadi, hari ini adalah hari mempersiapkan diri. Mental, fizikal dan material.

Okay.

Pagi tadi selepas menyempurnakan segala tugasan yang patut,  saya membelek buku lama, Dale Carnergie: How to win Friends and Influence People. Buku yang dah lama dalam simpanan, saya beli tahun 1997 dahulu, hinggakan kertasnya pun dah bertukar warna dek usia yang tua.

Salah satu kaedah yang dicadangkan menangani insan di sekeliling kita ialah "Arouse in other person an eager want". 

Benda ni selalu kita buat, terutama dengan anak-anak kita, kan. Contohnya, anak yang tidak mahu ke sekolah. Tidak ada satu cara khusus mengatasi masalah anak tidak mahu ke sekolah , terutama anak-anak kecil yang tidak mahu ke tadika. Tidak mahu boleh jadi atas banyak sebab, mungkin salah satunya kerana tidak ada keinginan. Keinginan itu lah yang perlu dibangkitkan.

Cerita yang dibawa dalam buku tersebut, masalah yang sama dihadapi dengan anak kedua sebuah keluarga. Si bapa dan ibu berpakat dengan anak sulung untuk mengatasi masalah tersebut. Mereka bertiga bersama-sama membuat aktiviti melukis finger printing. Gelak tawa dan keseronokan yang tergambar semasa aktiviti mereka bertiga, menarik minat si adik untuk turut serta, tetapi tidak dibenarkan kerana kata ayahnya, kemahiran tersebut hanya boleh diperolehi di sekolah. Setelah ada kemahiran tersebut, barulah si adik ini nanti akan dibenarkan turut sama. Esoknya, awal pagi lagi si adik telah bangun lebih awal dari orang lain, menunggu di ruang tamu, takut terlewat hendak ke sekolah.

Keinginan diri sendiri akan secara semula jadi mendorong sesiapa sahaja untuk berusaha.

Hendak membangkitkan keinginan itulah yang agak sukar dan perlukan kemahiran. Bukan semua orang punya kebolehan seperti itu. Satu cara ialah meletak diri kita di tempat orang yang ingin kita pengaruhi. 

Apakah keinginan dan kemahuannya?  Apa yang kita inginkan, apa yang kita mahu... itu tidak penting bagi semua orang. Jika hendak berjaya mempengaruhi , kita perlu tahu terlebih dahulu menyelongkar keinginan orang lain dan bertindak secara berhemah 'memanipulasi' keinginan tersebut secara positif.

*membangkitkan keinginan anak-anak yang tidak tahu pun apa yang diinginkan dalam dunia ini selain libur semata ...itu memang payah*

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, September 18, 2010

Bertuah atau Tidak?

Kita telah lama tahu persepsi masyarakat Barat terhadap Islam. Agama Islam dikaitkan dengan  agama radikal, penuh penindasan terhadap wanita terutama dalam isu kawin paksa di negara seperti Pakistan, agama yang sentiasa menggalakkan pertumpahan darah dengan fatwa bunuh membunuh, agama yang ketinggalan zaman dengan hukum hudud yang tidak mereka percayai kerana sering dipapar sebagai hukuman yang zalim (siap dengan bukti you tube, hukuman pancung, potong tangan dan sebagainya).


Dan kita tetap mempertahankan kesejahteraan agama kita, kerana kita tahu, apa yang terpapar itu tidak tepat.

Kita mengatakan puak Yahudi mempunyai protokol yang tersusun dan terancang mengkambing hitamkan agama kita. Rupanya pihak di Barat sana juga menyatakan kita juga punya agenda dan protokol terancang menakluk dunia dengan proses islamisasi.

Cubalah tonton video di bawah yang menyeru pihak barat untuk bangun dan sedar tentang agenda kita...


terus ke page webnya di sini


Ketakutan lahir kerana tidak tahu dan tidak faham. Nampaknya kita masih tidak berjaya memberitahu dan memahamkan keindahan Islam, kerana Islam yang tertera kini banyak dirosakkan oleh individu muslim itu sendiri. Kes pembuangan bayi yang memalukan , masalah sosial yang melampau, pemimpin Muslim yang korup, tidak amanah dan tidak bertanggungjawab, pendakwah kita yang tidak mesra dan tidak cekap, sikap kita yang cepat melatah dan menghukum serta kesatuan yang rapuh dan hambar; itu semua jelas membantu memburukkan nama Islam yang kita yakini dan sayangi ini.

Betullah kata Ustaz Hasrizal: betapa bertuahnya Melayu mendapat Islam, namun bertuahkah Islam mendapat Melayu?

Walaupun ayat tersebut merujuk pada Melayu, tetapi ia juga patut ditujukan pada semua bangsa yang mendapat Islam sebagai petunjuk jalannya.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, September 17, 2010

Digeruni dan dimusuhi

Benda dah lama, tetapi ia akan terpahat sebagai salah satu sejarah dalam kurun ini.

What has been done cannot be undone.

Memang ada segelintir manusia yang menjadi fitrahnya suka mencari pasal, mencetuskan polemik dan gemar melihat manusia lain bertegang urat kerana isu yang dibawanya. Dan kini, setelah hidupnya tidak tentu arah dan kehilangan berat badan yang ketara, pilihan terakhir baginya ialah mengghaibkan diri atas nasihat FBI.

Siapa?

katun pencetus idea

sudah mohon maaf

Dialah Molly Norris yang mencetuskan idea melukis gambar Nabi Muhammad secara global di Facebook pada 20 May. Walau pun bukan beliau yang mewujudkan fan club di FB tersebut tetapi idea dari kartunnya yang membenihkan hasil dan mencetuskan amarah amat di kalangan penganut Islam seluruh dunia. 

Lantaran itu fatwa darah beliau menjadi halal, telah dikeluarkan oleh cleric (nak terjemah tak tau ni) Anwar al-Awlaki dan diambil serius oleh pihak FBI. Akibatnya, kini, Molly Norris telah mengghaibkan dirinya dengan bantuan pihak-pihak berkenaan.

Saya kira, banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Satunya, janganlah membuat perkara bodoh seperti ini, tidak kira atas alasan apa pun, kita tiada hak mempersendakan agama dan kepercayaan sesiapa atas muka bumi ini. Dia nak sembah api, batu, hatta nak sembah apa pun , itu hak mutlak dia, dan tidak boleh kita persendakan. Apatah lagi mempersenda agama kedua terbesar di dunia ini, kan.

Keduanya, saya kira fatwa boleh bunuh membunuh ini memberi persepsi yang sangat tidak baik ke atas kesejahteraan agama Islam dan penganutnya sendiri. Kalau hendak diambil kira, ramai lagi manusia lain yang juga mempersenda agama dan nabi kita secara terangan, malahan ada di kalangan insan yang mengaku Muslim juga membuat perkara yang sama, apatah lagi yang mengaku beliau sebagai Rasul dan Nabi baru pengganti Nabi Muhammad. Ikutkan fatwa tersebut, semua itu patut dihukum bunuh je kan.

Tetapi siapalah saya untuk bercakap. Sedangkan kaum Jahiliyyah dulu melontar Rasul tersayang kita dengan najis semasa Baginda bersolat pun, tidak Baginda fatwakan hukum bunuh walau punya kuasa untuk berbuat demikian selepas Islam berjaya bertapak. 

Islam adalah agam sejahtera. Bukan lah agama yang patut digeruni dan dimusuhi.

Wallahualam. Segala perkara yang tidak betul itu datang dari kejahilan saya sendiri dan haraplah dimaklumkan sebaik mungkin. 

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 16, 2010

Hari Malaysia yang tidak berbekas di hati




Terus terang. Hari Malaysia tidaklah berbekas sangat di hati, tidak seperti Hari Kemerdekaan. 

Kenapa ya?

Mungkin kerana baru tahun ini diisytiharkan sebagai cuti umum, setelah 44 tahun hidup,  saya bercuti setiap kali 31 Ogos.... (bohonglah tu.... tahun 1973 darjah satu, baru tahu 31 Ogos cuti, sebelum tu....tiap hari adalah cuti, jadi taklah sampai 44 kali).

Belum pernah lagi menjejak ke negeri Sabah, walau hati teringin sangat. Tahun ini sambutan Hari Malaysia di Sabah. Mesti best dan meriah di sana hari ini, kan. 

Tarikh ini lah juga, 47 tahun dulu, 16 Sept 1963, telah diisytiharkan bahawa gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi Malaysia.

Ah!...... Singapura, ...'cinta lama' yang sukar dilupakan. Tapi jodoh antara kita tak lama, 9 Ogos 1965, talak 3 jatuh antara Malaysia dan Singapura .

rusuhan kaum pada maulidur rasul 1964

Di harap, selepas tahun ini, Hari Malaysia lebih tersemat dan lebih berbekas  di hati. Gabungan dan penyatuan  sepatutnya menguatkan dan ia perlu diraikan.

Setiap rakyat Malaysia menginginkan satu-satunya negara yang kita sayangi ini terusan aman damai.

Walau pun mungkin, berjalan berseorangan dengan hand bag dan handphone sekarang tidak selamat, punya harta mewah, berkereta besar juga tidak menjanjikan kita panjang umur, kita masih mahu tetap di sini. Kerana inilah sesatunya tanah air yang kita ada.

Janganlah lagi membarahkan suasana perkauman dengan setiap isu. Masing-masing ada peranannya, kalau tidak Malaysia akan tetap seperti  sebelum 53 tahun dahulu. Dan kita mahu 53 tahun akan datang, Malaysia dikagumi bukan sahaja dengan kemajuannya tetapi dengan sikap tolak ansur serta persefahaman yang menakjubkan antara setiap kaum.

Salam 1Malaysia di Hari Malaysia yang ke 47.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pelawak

Azhar Usman dan Preacher Moss, keduanya adalah pelawak handal di USA. Rupanya ada pelawak beragama Islam di sana yang diterima ramai oleh semua.




Cubalah , kalau boleh, dengan broadband masing-masing yang macam siput, tu, saya tau.... menonton video di atas. Lawak ... dan unik sekali.

Projek Azhar yang lain tahun 2008 : Allah made me funny

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, September 15, 2010

Alhamdulillah

Alhamdulillah, hanya untukMu 


kerna masih bisa aku bangun, 
merasa sejuk air mengalir di badan.
masih bisa berlari, 
atas kehendak dan rasaku.
masih bisa ku kunyah dan ku telan
nikmat manis dan pahit kehidupan.

Alhamdulillah, hanya untukMu

kerna masih bisa berbicara,
walau tutur kata ada kala menghiris luka.
masih bisa melihat dan memandang,
walau hati sebak dan gundah.

Ahamdulillah, hanya untukMu.

walau 7 lautan menjadi tinta,
menyebut kasih dan rahmat Mu.
malah tidak cukup dan tidak bisa,
menggaris tiap satu yang masih boleh.

Tika , tiba saat nanti, Kau tarik satu demi satu dari ku,
Alhamdulillah, hanya untukMu
kerna beri aku peluang semua itu.


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 14, 2010

Cacing

Nyamuk Aedes bukan sahaja penyebab denggi, rupanya ia boleh juga menjadi pembawa kepada cacing dalam badan.

Tanda-tanda cacing tersorok dalam mata ialah sakit, mata berair, mata merah dan terasa benda bergerak dalam mata. Cacing tersebut boleh membesar sehingga 12 cm, 2 kali panjang jari kelingking saya, dan setebal wayar laptop saya....!



nst


Nasib baik bukan di Malaysia. Saya tidak boleh hendak membayangkan cacing tersorok di dalam mata. Kalau dulu-dulu tahun 60an dan 70an dulu memang setiap bulan kena makan ubat cacing, sebab suka sangat main tanah, berkaki ayam, jadinya banyak cacing dalam perut.

Kalau hendak tahu anak bercacing dalam perut atau tidak, tengok semasa tidurnya, punggungnya akan terangkat waktu tidur. Itu kata orang yang lebih tua dari saya lah.

Tapi, saya tahu anak-anak sekarang jijik hendak memijak tanah berkaki ayam. Tengok anak sendiri pun masa berumur 3, 4 tahun dulu, terjingkit-jingkit berjalan di dapur rumah emak di kampung.

Dari segi kebersihan, baguslah begitu, kan, tapi dari segi 'survival' nantinya, entahlah. Salah diri saya sendiri juga.

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 13, 2010

upah

Selalunya cara hendak menggalakkan anak berpuasa di bulan Ramadan ialah memberi upah pada mereka. Duit upah akan diberi nanti di pagi raya. Setelah terbiasa nanti, dengan sendirinya upah berpuasa akan ditarik balik, terutama apabila anak-anak sudah baligh.

Balik beraya baru ini, sempat bersembang dengan adik perempuan saya sendiri.

"Tahun ini banyaklah habis duit memberi duit raya kat anak-anak..." beritahu adik saya.

Saya hanya diam, menunggu beliau menghabiskan ceritanya.

"Si Azan sempat habiskan 25 juzuk, tu dah RM250, Jepa pula 5 juzuk je, sama dengan Iffah, 5 juzuk juga, dah RM100. Tahun ini ina beri upah diorang baca quran, kalau boleh suruh khatamkan. Pas tu minta diorang doakan untuk ina dan suami."

Hendak membudayakan membaca quran di kalangan anak-anaknya sepanjang bulan Ramadan ini  terutamanya,... adik saya ini memberi upah sepertimana hendak mengajar anak-anak berpuasa. Bagus juga kan.

piah, ina dan iffah
*dik, tahun depan kita bersembang lebih lama lagi ya...insyaAllah.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, September 12, 2010

Nyawa Nyamuk

Kita semua pasti tertanya, apa yang sebenarnya berlaku.

Bukan orang sebarangan yang hilang dan dipercayai dibunuh. Antara wanita yang ternama, kaya dan hampir punya segalanya . Kisah kehilangan dan kemungkinan kematian Datuk Sosilawati, dan 3 lagi menghiasi dada akhbar sejak dua minggu ini dan bertambah rancak lagi sejak semalam.

Saya bukan hendak membuat laporan, menganalisa atau membuat spekulasi atas kejadian. Hanya Allah yang tahu dan mereka yang terlibat secara langsung yang faham kenapa dan mengapa.

Cumanya, setiap kali membaca kematian sesiapa sahaja di akhbar, bukan sahaja Datuk Sosilawati dan 3 lagiitu, tetapi kematian yang disebabkan oleh manusia lain, hati terasa sebak dan sedih. Nyawa manusia sekarang ibarat nyawa nyamuk, bila-bila masa sahaja boleh hilang dalam sekelip mata. Bayangkan beban rasa yang ditanggung oleh keluarga yang ditinggalkan dan pertanyaan serta kepastian yang ingin ditagih oleh mereka ke atas si pelaku, atas dasar apa orang yang mereka sayangi diperlaku sedemikian rupa.

Kita hanya bisa mendoakan agar jika benar Datuk Sosilawati telah terlebih dahulu dijemput mengadap Yang Maha Besar terdahulu dari kita, agar rohnya dan  roh Ahmad Kamil, Norhisham dan Kamaruddin ditempatkan bersama orang yang soleh. Moga dosa mereka dan dosa kita diampunkan Allah Yang Maha Pengampun. Ameen.

Kita doakan juga keluarga setiap mereka yang ditinggalkan itu diberi kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan kehidupan seterusnya. Moga ketenangan dan redha,  Allah hadirkan dalam jiwa mereka.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Trend

Sejak Khamis hinggalah Sabtu, seperti orang lain juga, saya pun sama sibuk. Hinggakan blog terbiar dan komen rakan-rakan dalam entri hari Rabu lepas tidak terjawab. Maafkan saya.

Sudah 2 Syawal berlalu, alhamdulillah, selamat dalam perjalanan pergi dan balik serta kembali ke rumah. Tinggal lagi, mengemas kain baju dan kuih muih yang dibawa balik dari kampung. Pergi berangkut, balik pun berangkut juga.

Kenangan Syawal tahun ini biasa seperti yang sudah-sudah. Cumanya, sempat menziarah bapa saudara yang kerjanya cuma membuat kerepek secara kecilan, terserempak dengan anaknya berusia 10 tahun, sedang mengadap laptop di ruang tamu yang agak kecil dan sempit. 

Saya pun menjengah ke skrin di laptopnya. Wah, rupanya sedang berFB di petang raya.

"Entah apalah yang dihadapnya komputer tu. Tiap hari macam tu lah. Entah kerja apa yang dibuatnya," emak saudara saya bersuara. Maklumlah, 'buta' komputer, jadi tidak tahu apa yang dibuat oleh anaknya itu.

Rupanya, zaman berubah, rasanya seperti baru sahaja fenomena tuan rumah asyik  menonton televisyen di hari raya, sekarang ini, trend ber FB pula di hari raya, kan....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, September 8, 2010

Nak buat ketupat

Sempat ke pasar di pekan Tanjong Sepat. Ramai sekali orang luar seperti saya, sama ada menemani ibu atau bapa masing-masing membeli belah barang dapur atau membeli sendiri untuk dibawa pulang ke rumah ibu bapa sendiri.


Sedang berdiri memerhati, sambil emak memilih timun yang segar, telinga sendiri menangkap perbualan seorang pakcik dengan penjual sayur.

"Mencari apa, wak?"
"Cari daun kelapa....nak buat ketupat. Berapa ni?" tanya pakcik tersebut  sambil memegang seikat daun kelapa.
"Sepuluh ringgit, wak...."
"Issh.... mahalnya... itulah, ada tanah, habis ditanam kelapa sawit. Nak buat ketupat , kena mencari di pasar pulak..." bebel pakcik tersebut, sambil tangan menghulur sekeping not merah.

Tersenyum saya di situ.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 7, 2010

Drama dan baulu

Alhamdulillah, sudah satu malam di kampung, Batu Laut , Selangor.

Masih banyak kerja mengemas rumah emak yang belum dilangsaikan. Ketupat masih belum dianyam, padahal, bukan saya yang menganyamnya pun. Saya tak pandai. Menunggu adik lelaki saya yang menganyam.

Sambil menemankan dia menganyam ketupat, mata saya terpaku di televisyen. Sudah lama sungguh tidak menonton TV, rupanya banyak betul drama bersiri sekarang ini. Barulah tau sedikit sebanyak tentang drama Indon Alisya dan drama Melayu Ular Emas tu.....

Adik ipar perempuan pula sibuk membakar baulu. Bau baulu panas menusuk hidung dan kalbu sungguh.... 

Salam dari saya.
~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 6, 2010

Tidak ghairah

Masa masih anak-anak kecil dulu, dalam sibuk dengan rakan-rakan mengira duit raya siapa yang paling banyak, saya selalu terfikir kenapa orang-orang dewasa di keliling tidak seghairah saya dan rakan-rakan menyambut pagi Syawal.

Oleh kerana saya budak bandar, bandar Ipoh 37 tahun yang dulu....duduk pula di kawasan flet polis FRU, malam ambang Syawal di flet sangat meriah. Kebanyakan rakan saya dan saya tidak balik ke kampung masing-masing, kerana waktu itu  keluarga yang punya kereta sendiri boleh dikira. Tak ramai. Hendak balik kampung biasanya naik keretapi berbondong-bondong, dan kalau yang berduit sedikit bolehlah menempah teksi atau menaiki bas ekspres.

Sepanjang malam, saya dan adik-adik tak boleh nak lelap mata, teringatkan seronoknya dapat berbaju baru pada keesokan hari.

Pagi-pagi, selesai berdandan bagai, berlari keluar rumah , ke rumah kawan sebelah mengajak bersegera memulakan lawatan dari rumah ke rumah. Rumah flet dulu tu, macam rumah panjang .... jadi sepanjang koridor tu, kami akan berlari-lari mengetuk atau memberi salam kepada tuan rumah.

Tuan rumah yang paling 'kaya' biasanya akan memberi duit 50 sen, dan rumah yang lain biasanya 5 sen atau 10 sen. Yang kaya tu biasanya suami isterinya bekerja. Kalau terdengar dari geng kawan yang lain rumah Pakcik X dapat 20 sen atau 50 sen, akan diusahakan juga untuk mengetuk atau memberi salam kepada tuan rumah tersebut.

Acara mengetuk rumah orang atau memberi salam ini akan berakhir biasanya hari ketiga  atau keempat Hari Raya... waktu itu dah boleh tahu siapa yang menang sebab dapat duit raya paling banyak. Paling banyak pun biasanya dapat 30 ringgit atau 40 ringgit.  Duit tu pun bukan boleh disimpan sendiri, kena beri pada emak untuk dimasukkan dalam buku bank. Nak masukkan dalam buku bank, kena tunggu hujung bulan pula, sebab van pos bergerak akan datang ke kawasan flet kami dan boleh dimasukkan menerusi kaunter bergerak ini.

Hidup 30 , 40 tahun dahulu sangat ringkas dan mudah. Tapi dalam ringkas dan mudah itu pun orang dewasa di keliling masih kelihatan seperti tidak seghairah kami menyambut Syawal.

Dan sekarang setelah 37 tahun berlalu, baru saya faham.... hidup yang ringkas dan mudah itu hanya untuk anak-anak. Dan ghairah menyambut Syawal memang milik anak-anak. Hidup orang dewasa sebenarnya, sangat kompleks sekali....


Kepada yang akan berpulang , sudah pulang, sedang pulang dan yang tidak pulang ke kampung halaman masing-masing , saya mengucapkan :

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI.

Segala kekurangan , kesilapan kata , idea atau tulisan yang telah menyinggung mana-mana pihak, saya mohon ampun dan maaf. Keterlanjuran memang lumrah manusia dan kemaafan ikhlas yang diberi, saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, September 5, 2010

Hari Raya Tahun 1992

Ingat lagi  yang ini??


Saya tak ingat hari raya tahun 1992 tu, apa lagi iklan ini... yang saya ingat, tahun 1992 ialah tahun saya melangsungkan perkahwinan. :)


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, September 4, 2010

Pertama kali

Shministim.

Pernah dengar? Saya baru pertama kali dengar dan menonton videonya.

Shministim adalah pelajar-pelajar  High School berbangsa Yahudi di Israel yang dipenjarakan kerana menentang dasar kerahan tenaga sebagai askar Israel. Pada dasarnya mereka menentang penjajahan Israel ke atas bumi Palestin dan kezaliman yang wujud.

Sebuah laman blog khas yang didedikasikan khas untuk membebaskan belia muda Shiministim ini beralamat berikut http://december18th.org/.

Senarai Shministim yang sedang terpenjara atas sikap mereka ini boleh dirujuk di sini.

salah seorang Shministim

Video tentang Shministim saya sertakan di bawah.


Saya tidak tahu hendak komen apa, sebab tidak pernah tahu tentang Shministim sebelum ini . Pertama kali tahu. Kalau benarlah,... saya mendoakan agar perubahan dari dalam Israel itu sendiri berlaku. Kuasa Allah, segalanya mungkin. 10 tahun lagi mungkin ahli Shministim yang tulen dan jujur mungkin bertambah dan kita harap ia memberi senario yang baru di rantau tersebut.

Apa pun doa kita tetap tidak putus untuk saudara seIslam kita di Palestin.

lama betul mencari lagu ini, akhirnya berjumpa juga
We will not go down - Michael Heart

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, September 3, 2010

Pilih Kasih

Adakah Allah pilih kasih?

Pelik juga dengan persoalan ini. Tetapi lewat mendengar radio Ikim baru ini, walau tidak pasti tarikhnya, saya tertarik betul dengan komentar seorang tetamu undangan Ikim. Allah juga pilih kasih....

Hanya hambanya yang layak sahaja yang akan menerima ganjaran kekal dariNya. Bukankah itu pemilihan? Bukan semua yang akan menerima hadiah hebat dari Allah. Hanya insan yang Allah cintai sahaja yang berpeluang. Siapakah mereka? 

  • Orang yang bertaqwa
           "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaqwa" (Surah al-Tawbah 9:4)
  • Orang yang cepat bertaubat
            " Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri" (Surah al- Baqarah 2:22)
  • Orang yang adil
 "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil" (Surah al-Mumtahanah 60:8)
  • Orang yang bertawakal
"Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakkal kepadaNya" (Surah Ali 'Imran 3:159)
  • Orang yang membuat kebaikan
"Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik" (Surah al-Baqarah 2:195)
  • Orang yang berjuang pada jalan Allah
"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang pada jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (Surah al-Saff 61:4)
(dipetik dari majalah Solusi no23)

Allah telah menyatakan syaratnya dengan jelas sekali, tapi, manusia bernama saya dan kita, pasti tidak sesempurna seperti yang disyaratkan itu. Ada sahaja gangguan yang menyeret kita untuk tersasar dari jalan yang nampak tertulis begitu mudah ini.

Semoga Allah sentiasa memimpin kita dalam jalanNya.


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 2, 2010

Jiwa




Menerima kematian orang yang kita sayang bukan mudah. Tidak kira siapa dia..... anak, isteri, suami, ayah atau ibu, kenyataan yang datang memang menghiris hati. Seolah hirisan hati itu menyediakan ruang lompong dan kosong yang selamanya akan begitu di situ.

Pn Noriah-  Harian Metro
Seharian saya asyik terbayang gambar di atas, meletakkan diri saya pada tempat si ibu. Hancur dan luluh hati tiada siapa yang dapat ubati. Saya mendoakan untuknya, agar Allah mengubat hatinya menjadi tenang dan tenteram, kuat jiwa dan semangatnya menghadapi hari mendatang dan sisipkan redha dalam jiwanya dengan ujian Allah ini.

Kematian anaknya memang menyayat hati.

Terlebih sakit hati dan jiwa membaca "Indonesian maid stomps infant to death". Tidak tergambar sedih dan pilu perasaan si bapa, En Tan dan ibu si anak. Pastinya, trauma kejadian akan membekas di hati sepanjang hidup mereka. 

Dunia yang semakin ribut dan huru hara ini seolah tiada noktah dalam kesengsaraan, musibah dan bala. Kita yang yakin, tahu bahawa inilah cara Allah menguji kita untuk menentukan siapa di antara kita yang bertakwa, pasrah dan sentiasa mengharapNya.

Cumanya, kita berdoa agar Allah iringkan dengan ujian itu, kekuatan serta ketabahan hati dan jiwa yang kental dengan iman membulat. Ameen.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, September 1, 2010