Tuesday, November 30, 2010

orang kaya zalim...?




Drama Melayu lagi... Sambil menunggu teman emak mertua yang tidur-tidur ayam di wad, mata tertumpu pada skrin tv sharp yang terlekat pada dinding. Asyik drama Melayu saja. TV1 ke, TV2 ke, TV9 ke...sama je. Diselang seli dengan drama Indon yang lebih entah apa-apa.

Asyik-asyik pergolakan keluarga, berebut harta, berebut laki atau berebut bini. Tengking menengking mesti ada dalam rumahtangga, boleh dikata setiap babak ada saja nada-nada tinggi dalam komunikasi.

Cerita Indpn pun klise sahaja. Heroinnya mestilah lemah gemalai, anak susah, sering teraniaya ditipu dan ditindas oleh wanita kaya yang zalim.

Agaknya zaman sekarang, orang-orang zalim memang terdiri dari orang senang dan kaya raya.

Kalau orang susah mestilah lemah lembut dan pasrah sentiasa dengan keadaan. Begitu stereotaipnya jalan cerita....

*kebosanan

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 29, 2010

lain dan tak sama

"Spaghetti bolognese dua ya..."

Mengambil sedikit masa untuk makan di kafeteria bawah di Hospital Ampang Puteri bersama suami, sementara emak mertua berehat di atas.

"Nanti kami hantar ke meja, ya," beritahu budak pelayan tersebut.

Perut sudah lama berkeroncong, tetapi akur dengan keadaan, kami lantas duduk mengambil tempat. Sambil bersembang perkara rutin yang biasa, tidak sedar 10 minit berlalu, dan seorang pelayan perempuan datang membawa dua pinggan ke arah kami.

Akhirnya....

Saya memandang suami dan dia juga memandang saya, apabila perempuan tersebut meletakkan pinggan yang diatasnya terletak apa yang kami minta tadi.

"Dik... Lain sangat ni, tak macam dalam gambar pun..." Saya bersuara. Melihat sphagetti kami ibarat melihat hamparan sos putih di atas benang-benang kasar yang pucat lesi.

Budak perempuan itu tersenyum, tidak merasakan pernyataan saya suatu yang luar biasa.

"Dalam gambar memanglah lain kak," beritahunya pada saya bagai mengajar budak kecik tentang perkara baru yang sepatutnya diketahui.

Memang kan, lumrah dunia, sering kita tertipu dengan gambaran yang tidak tepat. Tidak kiralah ia berupa gambaran foto atau pun fizikal sesuatu. Kekadang kita tertipu dengan rupa paras seseorang.

Melihat kumis tebal di muka tanpa senyum kita fikir orangnya tentu garang dan zalim, tetapi sebaliknya, bila kita kenal hati budinya, dia tidak seburuk gambaran pertama kita. Melihat muka yang keanak-anakan kita andaikan dia naif, rupanya dialah pembelit besar yang kita temui.

Kita fikir dengan kata-katanya yang bersulam hadis dan ayat quran kita pasti beliau orang yang memegang janji, rupanya berjanji pukul 8 pagi, sampainya mesti terlewat setiap kali.

Jadi.... "What you see is what you get" itu...... berlakunya bila?

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, November 27, 2010

janganlah cepat menaruh harapan






Di sebalik tabir terdengar sembang laki bini tersebut. Kain  yang menjadi tirai di wad kecemasan Ampang Puteri itu tidak dapat menahan kata-kata tersebut dari mencecah cuping telinga saya. Walau pun telinga saya bertutup dengan tudung hitam, tetapi dek agak kuat sembang mereka, saya dapat menangkap butir kata mereka satu persatu.

Sebenarnya meneman emak mertua yang agak tidak sihat ke sana.

"Memang tak patutlah kan you... he's giving false hope ..." suara si isteri.
"Betul...bukan dia tak tahu, perempuan kan memang cepat menaruh harapan.." balas si suami.

Apa yang menariknya perbincangan mereka ya?

Ada dua perkara di sini...yang menarik bagi saya. 

Pertama: Saya pernah terbaca, entah di mana dan bila, bahawa pasangan yang bahagia adalah pasangan yang sering membenarkan kata-kata pasangannya. No contradiction.. Walau pun bukan semua kata-kata pasangan akan di iyakan... tetapi 80% dari pernyataan pasangannya akan dibenar dan dipersetujuinya. Maklumlah bila sudah lama, sudah tahu apa yang disukai dan diminati, maka seboleh mungkin segala yang menjadi pertelingkahan sebelum daripada itu sudah lama dicari titik persetujuan.

Dari balik tabir, saya mengandaikan dalam kemenungan saya sambil  menunggu emak mertua saya yang sedang tertidur itu, bahawa pasangan tersebut adalah pasangan yang bahagia. Cewah... macam pakar kaunseling rumah tangga pulak.

Kedua: Benarkah pernyataan bahawa perempuan ini cepat menaruh harapan dalam sesuatu hubungan? Pendapat peribadi, tanpa sebarang sijil pentauliahan dari mana-mana badan kaunseling berdaftar... bahawa saya bersetuju. Kerap terjadi dan terdengar bahawa wanita cepat menaruh perasaan jika lelaki yang menjadi 'rakannya' memberi perhatian yang terlebih sedikit.  Mungkin pada si lelaki, setakat bertanya dah makan ke belum, camana hari ini, sihat tak, makan apa tadi, pakai baju apa harini, ..... hanya kata-kata pemanis untuk mengayat ... sebenarnya ada wanita yang cepat merasa dan menaruh harapan yang si lelaki mempunyai perasaan yang lebih terhadapnya.

Kasihan si perempuan, kan...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 25, 2010

orang ketiga...

Dalam usia 70 an, sebenarnya saya kira tidak banyak lagi yang ingin diminta lagi dalam hidup. Pastinya kedamaian dan ketenangan hati yang menjadi keutamaan.

Takdir menentukan, jodoh beliau dengan suaminya bertahan hingga kini. Sudah melewati 38 tahun usia perkahwinan bersama suaminya yang muda 7 tahun dari dia.

Kudratnya pun sudah makin nipis dan bantuan dari pembantu rumah memang diharapkan sepenuhnya. Tetapi dua tiga bulan ini hatinya tak tenteram, ibarat kaca yang terhempas katanya.

Serumah bertiga termasuk pembantu rumah itu, riak dan bunga-bunga tidak manis kelihatan antara pembantu itu dan suaminya. Diberitahu lintasan hati pada anak-anaknya, mereka mengambil mudah malah mengira ibu mereka sensitif tak tentu di hujung usia.

Kasihan memikirkan.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 24, 2010

Sayang sekali...

"Biar lama sikit atas dapur tu, Liza.." Emak bersuara

Akur seperti biasa.

"Kenapa banyak sangat masuk ayam ni. Tak cantik la gorengnya..." Suara emak lagi.

"Nak cepat habis goreng. Lama sangat kat dapur, nak rehat cepat-cepat," sahut saya sambil tersenyum ibarat budak umur 14 tahun menolong emaknya memasak.

Emak menggeleng kepala, sengih, dah faham benar perangai anaknya ini. Anak yang ini memang tidak mengikut jejaknya. Masa mudanya dahulu beliau sering menang acara pertandingan memasak. Untuk menampung sara hidup kami sekeluarga, emak akan membuat catering secara kecilan.

Hidup dulu memang sibuk bagi emak. Saban hari membuat kuih jualan dan hampir setiap bulan ada saja orang mengupah untuk jamuan dan majlis makan.

Tapi, anak emak yang ini tak berminat dengan acara masak memasak ni. Sayang sekali kan.

Nak buat camana, kan. Memasak untuk melepaskan lapar di perut bolehlah.


* menu nasi ayam saja tengahari ini... Kengkawan di luar sana menu apalah agaknya ya?




~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 23, 2010

bila mata bertentang dan senyum berbalas

Alhamdulillah, bersiaran dari rumah emak saya di Kampung Kundang, Kuala Langat, Selangor. Hanya berbekal henfon cap ayam, saya cuba untuk mengemaskini blog ini.

Tercatuk-catuk cuba menaip. Digagahkan juga.

Emak sedang terlena di biliknya. Power nap di siang hari sudah jadi kemestiannya. Itu memang rutinnya sejak dari dulu lagi. Itu pun setelah bersembang dan bergelak tawa dengan saya sesampai di rumahnya tadi.

Bersembang di telefon tak sama dengan mengadap matanya. Saya jenis yang tak reti bersembang di telefon. Setakat bertanya kabar satu dua perkara, talian akan jadi bisu dan kaku. Tidak seperti ramai orang lain yang boleh bergayut dengan siapa saja hingga panas merah cuping telinga. Saya bukan jenis yang itu.

Telefon menjarakkan komunikasi antara saya dengan sesiapa sahaja. Bagi saya telefon sekadar keperluan untuk tahu, bukan keperluan untuk intim.

Tetapi bila berjumpa, ia jadi lain. Banyak cerita rupanya kalau kita bertentang mata dan berbalas senyum. Lebih manis lagi jika dia adalah ibu kita sendiri, kan.

*entri tiada arah...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 22, 2010

Bukan gambar lucah....

Tidak banyak yang saya tahu tentang Haiti. Yang saya tahu rakyatnya berkulit lebih gelap dari saya. Jauh, memang jauh dari Malaysia. Terletak di antara Amerika Utara dan Amerika Selatan kalau menengok dari peta dunia.

Berblogwalking di blog rakan-rakan terjumpa gambar di bawah yang menggigit perasaan. Malangnya saya tak ingat blog siapa untuk di link semula....  Maafkan saya, berbanyak sorry.

*bukan gambar lucah*

A woman lies on the pavement near the General Hospital where people 
infected by cholera are being treated in Port-au-Prince. 
Haiti's cholera death toll passed 1,000 yesterday as
 tensions spiked with Nepalise UN peacekeepers 
accused by some 
of being the source of the outbreak. 
Photo: AFP/Hector Retamal

Menyayat hati melihat gambar tersebut. Haiti adalah antara negara yang miskin di dunia, ditambah dengan banyaknya bencana alam yang menimpa, menyebabkan persekitarannya tidak kondusif. Awal tahun ini sahaja, gempa bumi berskala Richter 7.0 telah menggegarkan Haiti dan ramai yang terkorban.

Hujan lebat awal November baru ini kesan dari Hurricane Tomas menyebabkan banjir lumpur yang menjadi pencetus wabak taun yang sedang melanda Haiti. Isu sumber air yang bersih yang tidak dapat ditangani dan tiada sistem kumbahan asas di sana menyemarakkan wabak tersebut. Walau pun ramai di sana menyalahkan Pasukan Tentera Pendamai dari Nepal menjadi punca pembawa strain bakteria taun tersebut, keaadaan sekitar dan cara hidup yang tidak bersih menyebabkan wabak tersebut merebak dengan pantas. 21,000 orang telah dijangkiti dan 1250 rakyat Haiti telah meninggal dunia kesan dari wabak taun (sumber).

Bukan Haiti sahaja yang dilanda bencana alam. Tahun ini merekodkan banyak bencana alam di seluruh dunia dan yang paling hampir ialah letusan gunung berapi di negara jiran kita. Malaysia juga tidak terkecuali dengan banjir yang melanda utara tanah air kita. Alhamdulillah ia tidak seburuk negara China yang dilanda banjir lumpur yang teruk baru ini.

read more
Bersyukur....sememangnya, kerana kita ditempatkan Allah di bumi ini. Pastinya kehidupan di luar sana lebih perit dan jerih yang mungkin tidak terbayang oleh kita. 

Kita berada dalam zon selesa, dan harapan kita moga zon selesa ini sentiasa dalam lindungan Allah.

*selamat menghadapi peperiksaan SPM buat semua anak murid saya...moga Allah permudahkan dan kurniakan kejayaan dunia dan akhirat buat semua*

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 21, 2010

Dibiar kesepian....

Teringat lagi bakul plastik hijau itu saya beli semasa Harith masih kecil buat menyimpan kain lampinnya. Sebelah bakul plastik hijau itu ada bekas putih macam besen tetapi ditepinya ada wayar penyambung ke soket. Oh... bekas tempat merendam kaki dulu. Di waktu membeli bekas tersebut, suami sibuk mengadu kakinya lenguh, jadi dua tiga minggu merendam kakinya dengan air panas bercampur garam sebelum tidur. Sejak bila dan kenapa berhenti dari amalan tersebut, saya pun kurang pasti.

Sambil mengangkat baju di ampaian belakang rumah, saya menjeling ke arah stor terbuka rumah saya, dipagari gril sahaja.

Banyak lagi barang dalam tu, ada baldi yang sudah hilang tangkainya. Masih disimpan, kerana fikir saya, mungkin ada gunanya nanti bila waktu-waktu air tiada, buat bekas mengisi air. Ada mop buruk yang tidak dibuang lagi, kenapa masih saya simpan? Entah? Saya pun tak tahu kenapa.

Saya lihat di belakang rumah jiran saya pun, suasana yang hampir sama. Dia masih lagi menyimpan sinki yang sudah berganti baru. Sinki lama berwarna biru itu tertonggeng seperti malu menatap saya. Hahaha.... berangan je saya ni. Ada pasu-pasu lama yang disusun bersebelahan sinki tersebut. Batu-batu sungai putih dan hitam pun disimpan dalam salah satu pasu tersebut. Lebih kurang sama sahaja seperti saya... mungkin, sebab sayang nak dibuang, lantas disimpan sahaja. Hendak diberi pada orang lain rasanya tidak wajarlah sangat.

Masuk ke dalam rumah, saya terpandang pula mesin senaman saya yang sudah lama dibiar kesepian tidak digunakan. Entah apa istilah yang diguna untuk mesin ini, yang fungsinya hanya satu iaitu membenarkan kita berlari di atasnya . Mahal juga waktu membelinya dahulu. Waktu itu semangat berkobar untuk bersenam. Azam begitu kukuh dan setiap berselang hari saya dan Harith akan berlari di atasnya. Tapi.... selayaknya gajah putih ini mencemuh saya sekarang. Itu pun kalau dia boleh berkata-kata. 

Di dapur pula ......., tu, oven membakar dan membuat roti tu. Entah masih kenal ke tidak si oven tu pada tuan punyanya sekarang. Awal membeli dulu, tak sempat sejuk dibuatnya oven tu, asyik membuat dan membakar roti je...... saya ni. Mmmm... sekarang?

Saya pasti ada juga yang berperangai hampir sama dengan saya. Masa nak membeli, tidak terfikir yang satu hari nanti ia akan jadi  umpama perhiasan buruk yang mengisi ruang dalam rumah. Awal perkenalan , keintiman memang terasa.... berikrar dalam hati akan menjaga ia sepenuh hati.  Bila masa beredar, suasana berubah, yang dikira penting satu hari dulu, nilainya tidak setinggi mana pun di hati dan di mata sekarang ini. Nak dibuang sayang, nak disimpan menyemak mata pula, kan....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, November 20, 2010

Tergamak kau...?

Lama juga menunggu kereta diservis, tetapi dek sebab keterpaksaan, digagahkan juga. Alhamdulillah, pusat servis menyediakan minuman serta sedikit kuih muih untuk mengalas perut. Ada juga siaran Astro Star World menayang cerita hampeh 'The Three Amigos' dan surat khabar bahasa Cina juga disediakan. Suratkhabar bahasa Inggeris sudah lama berada di tangan orang lain yang lebih awal menunggu dari saya.

Sedang menunggu itu, ternampak rakan lama beserta dua anak perempuannya yang sudah besar panjang.

Tersenyum, dia menghulurkan tangan ke arah saya. Saya berat hendak bangun,tetapi menyuakan tangan saya sepanjang yang boleh. Sombongkah saya? Tidak... tetapi sebab nanti jika bangun, tempat duduk saya akan segera disambar oleh orang lain, jadi saya mengorbankan keramahan saya buat seketika.

Nasib baik tempat duduk di sebelah kanan saya kosong. Sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah saya sempat dia bertanya.

"Is this your son, Normah?" sambil menunjuk jejaka di sebelah kiri saya yang dari awal lagi sedang menunggu.

Jejaka tersebut tergelak kecil.

Ciss.... tergamak kau rakan ku...

"No... Ini client kat sini juga, sedang menunggu keretanya juga. Saya tak kenal dia..."... sama ada jejaka tersebut muka boyish atau saya yang dah berubah jadi muka makcik?

Dalam hati... *balik kena gi buat spa lah , urut muka bagi tegang sikit*... ada ke?

:)


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 18, 2010

Slip gaji online...

Saya adalah salah seorang kakitangan kerajaan yang seringkali lambat mendapat tahu tentang arahan dan pekeliling am kerajaan. Kenapa? Agaknya sebab saya ni cuma kakitangan bawahan sahaja. Maklumat ini pun hanya diperolehi dari mulut ke mulut sahaja sebelum cuti sekolah baru ini.

Saya kira ramai yang sudah tahu tentang slip gaji online ni kan. Dah tahu tak apalah. Tutorial ini hanya untuk yang masih belum tahu dan baru tahu seperti saya. Ini hanya untuk kakitangan kerajaan sahaja ya. Yang lain boleh klik entri saya yang lain kalau berminat lah...kan.

Kata mereka.... (kata kawan-kawan saya lah), bermula November ini, penyata gaji tidak akan dibekalkan lagi oleh pihak yang berkenaan tetapi perlu dicetak sendiri (ikutlah banyak mana nak cetak) dan satu salinan cetakan tersebut mesti diserahkan kepada majikan kita.

Ha... saya tidak mahu mengulas isu cetak mencetak sendiri ni kan, tetapi ingin membantu rakan-rakan yang tidak tahu bagaimana cara mengakses laman web akauntan negara kita dan mendaftar. 

Ok. 
1.  Langkah pertama, klik di sini. Anda akan dibawa ke muka laman seperti di bawah.


2. Klik pada Akses Sistem.
3. Paparan berikutnya adalah seperti di bawah.
      
    
        








4.   Bagi yang baru pertama kali mengakses, klik pada  Pertama Kali Mendaftar
5.  Seterusnya anda akan di bawa ke muka laman seperti di bawah. Masukkan semua butir yang ditandakan termasuk password yang anda pilih.


                  
6.  Selesai.... anda klik ok . Anda akan dibawa semula ke bahagian log in.


7. Masukkan nombor KP dan kata laluan anda. Klik daftar masuk, dan anda akan dibawa ke muka laman ini pula.


8.  Klik MyPaySlip pada sebelah kiri dan pilih bulan serta tahun penyata yang anda ingini.
9.  Penyata tersebut akan dimuat turun ke komputer anda dan sedia untuk dicetak...

Selamat mencuba dan semoga  kita terusan berkhidmat dengan jayanya.

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 17, 2010

berubah hati juga satu hari nanti

Saya perasan benda ni sudah lama. Banyak kali juga cakap pada orang lain tentang perkara yang saya perasan ni. 

Semasa acara mohon doa restu guru bagi pelajar-pelajar SPM tahun ini, sekali lagi saya perasan ... setelah saya perhatikan.

Saya perasan, perempuan yang lembut wajah dan perwatakannya, lebih sukar mengalirkan air mata berbanding pelajar perempuan yang nampak seperti lebih keras dan lasak. Berjurai air mata pelajar-pelajar yang nampak tegas dan garang pada raut muka, sambil bersalaman dan berpelukan dengan guru-guru mereka.

Saya pulak jenis yang sukar juga mengalirkan air mata, kecuali lah perkara tersebut begitu meruntun rasa (sebab muka saya lembut kut...ha, perasan) . Disebabkan mata saya masih kering, jadi jelas sungguh suasana yang dilihat semasa acara mohon restu tersebut.

Cikgu dan anak murid turut menangis. Kenapa ya ? Sedih ?... itu sudah pasti. Sedih kerana perpisahan akan merubah rasa,  kerana perpisahan boleh juga merungkai rasa kasih yang sedia ada.... dan kejauhan nanti  juga  bisa meluntur sayang yang membekas. 

Masa akan datang tak siapa yang tahu. Hari ini kita bersama ..., marah, suka, geram dan berharap berbaur menjadi satu, tetapi 10 atau 20 tahun nanti, perasaan tersebut akan menghaus dek berbeza jalan dan pengalaman.

Agaknya kerana itu ramai yang menangis waktu tersebut. Menangis kerana rasa yang membekas dalam hati akan berubah juga satu hari nanti...



SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA  

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 15, 2010

Ada kaitan ke wukuf di Arafah dan gelang ajaib?

Dua tiga hari ini heboh di ruang maya dan ruang nyata tentang gelang ajaib AC Mizal dan blog En Aidid. Sejak tersiar berita heboh tu, barulah saya tahu tentang bisnes saudara AC Mizal, walau sesekala tertanya juga bisnes apa yang dijalankan oleh AC Mizal bila melewati jalan hendak ke Kuantan kerana terpandang papan tanda yang besar terpampang gambar artis terkenal itu.

Entri ini bukan tentang isu tersebut. Tak ada kena mengena pun. Cuma semasa menaip ini dok teringat artikel-artikel yang saya baca tentang isu tersebut. Panas sekali . 

Entri ini cuma ingin  mengingatkan diri sendiri bahawa wukuf di Arafah tahun ini jatuh pada 15 November 2010 selepas zohor di Arafah, manakala  di sini selepas asar.
Petikan dari Ustaz Zaharuddin buat perkongsian bersama:

amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban".

*memang takde kena mengena wukuf di Arafah dan AC Mizal...


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 14, 2010

Jaga emak

Tidak mudah menjaga orang yang tidak sihat. Apatah lagi di hujung usianya. Sementelah pula kalau dia ialah ibu kita.

"Akak tak boleh ke mana, Normah," beritahu rakan saya ini. Kagum betul saya dengan tahap kesabaran dan  sifat  kasihnya.

Senang untuk kita menyatakan secara lisan yang tanggungjawab seorang anak ialah menjaga ibu bapanya nanti. Kena tahan sabar dan ikutlah kehendak mereka selagi terdaya, itu kata ramai orang. Tetapi, sebenarnya realiti nya memang payah dan bukan mudah menjaga ibu atau bapa kita yang sakit di hujung usia.

Silap gaya, bukan pahala yang akan kita dapat tapi dosa bertan yang kita simpan.

Saya pasti ramai di luar sana yang punya sahsiah terpuji seperti rakan saya ini, namun tidak kurang juga di luar sana yang bergaduh adik beradik dek kerana penat menjaga ibu atau bapa masing-masing. Tidak puas hati kerana terbeban dengan masalah.

"Kalau akak nak gi berjalan ke kedai pun emak akak akan menangis macam budak-budak. Nak bawak, dianya dah tak larat. Walau pun adik beradik lain nak temankan dia di rumah, dia tak nak...Memanglah banyak masa kita perlu luangkan layan dia, hinggakan akak dengan anak akak pun jarang sangat dapat bersama. Nak gi mandi pun nak akak temankan, tak nak orang lain...," cerita rakan saya ini. 

Dalam hati saya, terasa kagum sungguh terhadap rakan saya ini dalam menghadapi semuanya, belum lagi dengan kerenah di tempat kerja dan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.

"Jaga emak di penghujung usia mereka macam kita jadi emak pada dialah, kadang kena bertegas, kadang kena peluk dia , terang pelan-pelan kenapa kita terpaksa balik lambat, kenapa kena buat kelas tambahan, kenapa kena mesyuaratnya lama sikit...Memang kena banyak sabar Normah..." 

Benar, seorang emak bisa saja menjaga anak-anaknya. Tapi tatkala ibu itu sudah tua, kedut kulit merata dibadan, tenaga sudah terkikis dan kadang kencing berak pun perlu dibantu, ia bukan kerja mudah bagi anak-anaknya. Kehidupan si anak akan terikat dengan ibunya. 

Saya sendiri pun tidak bisa menerka bagaimana pula saya nanti, jika diuji dengan ujian seperti rakan saya ini. Cumanya saya berdoa jika ia tiba suatu hari nanti, agar saya dapat menjalankan tanggungjawab saya dengan seikhlas hati dan Allah permudahkan ia. Doa saya juga agar Allah beri kekuatan pada saya. Tapi apa pun... yang utamanya saya doakan kesejahteraan ibu saya hingga ke hujung usianya dan diberi kesihatan yang baik serta dikasihi Allah sebagaimana kasihnya beliau pada saya sejak dari kecil lagi.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 11, 2010

tersenyum tanpa A...

Mukanya terkejut kehairanan.

"Silap kut kak normah keputusan tu..." rakan saya ini cuba menjustifikasi kenyataan.
"Tak.. memang itulah keputusannya, janganlah terkejut. Alhamdulillah ia tak lebih buruk dari itu," balas saya sambil tersenyum.

Lewat tengahari, rakan yang lain pula datang bertanya.

"Normah, juz remembered, how did your son do?"

Saya tersenyum, agak berat untuk memberitahu. Keputusan anak saya dalam UPSR tidak segah mana. Rakan yang ini lebih empati, cepat dapat menerka berat mulut saya untuk memberitahu.

"No...juz tell me, do you feel okay with the result? Only you know your own son..." balasnya.

"Okaylah siti... no A or B's but definitely no E either..Dia memang pelajar sederhana lemah, saya masih bersyukur tiada E.." balas saya. 

Masih terbayang semasa menunggu nama-nama pelajar cemerlang dipanggil di atas pentas, saya berdoa tak habis, agar anak saya tidak gagal dalam kertas penulisan UPSR nya. Alhamdulillah Allah memakbulkan. 

Memang banyak bezanya pelajar yang bijak mengalir air mata kerana hanya mendapat 4A, tetapi anak saya yang ini masih tersenyum kerana beliau berjaya lulus tanpa A atau B. Pengalaman sekian lama mengajar anak-anak murid di kelas hujung, menjadikan saya lebih bersyukur dengan keputusan yang anak saya perolehi.

Apa pun, beliau di mata saya masih anak yang baik dan mendengar kata, tidak banyak kerenah dan bijak mengambil hati. Tidak semua insan beroleh kejayaan awal dalam kehidupannya, dan saya doakan Harith tetap berjaya juga nanti dalam hidupnya dunia dan akhirat.


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 10, 2010

tolong jangan jeles, k....

"Normah, akak ada letakkan tudung atas meja awak. Harga sama macam yang aritu."

Berselisih di tengah jalan dalam perjalanan saya menuju ke meja sendiri, Cikgu Anggun memaklumkan pada saya. Saya mengangguk kepala, tersenyum.

Di sekolah, bisnes memang kencang. Letaklah apa sahaja pasti akan ada pembelinya. Terutamanya barangan wanita, kerana hampir 90% guru zaman sekarang adalah wanita.

"Tengah sibuk-sibuk ni pun, sempat lagi menjamu mata," kata saya tanpa ditujukan pada sesiapa yang khusus. Tangan sibuk mengeluarkan tudung sambil mata meliar dari satu corak ke corak yang lain.

Memang waktu sekarang sangat sibuk bagi semua guru-guru di sekolah di Malaysia. Ini adalah waktu kritikal bagi yang mengajar kelas peperiksaan. Bagi guru-guru yang memegang kelas, waktu ini adalah waktu menjadi kerani tahap maksimum. Borang-borang dan fail peribadi pelajar mesti dikemaskini, dari segala titik bengik berat, tinggi, cita-cita, markah peperiksaan, jumlah kedatangan, markah kokurikulum dan sebagainya bagi setiap pelajar dalam kelas. 

Kalau guru itu pula memegang kelas Ting 5 atau Ting 6 Atas, sijil-sijil berhenti sekolah dan surat akuan pelajar adalah keutamaan kerja yang mesti dibereskan sebelum cuti sekolah.

Belum lagi tugasan Ketua-ketua Panitia atau apa saja ketua lah, fail-fail yang melebihi 10 buah fail mesti dikemaskini dan diminitkan, lagak seorang kerani yang berijazah. Segala laporan perjalanan setahun mesti dimasukkan dan perancangan untuk tahun depan juga perlu ada.

Ha... jangan lupa sambil masa terluang itu, kertas peperiksaan anak murid kita di Ting 4, 2 dan 1 perlu juga dilunaskan sebelum cuti agar markah mereka dapat diserahkan kepada guru kelas untuk di key in dalam sistem.

Jangan lupa juga, kemas meja anda, pastikan tiada barangan di atas meja atau bawahnya semasa cuti, kan.

Kalau tidak.... bila-bila masa sewaktu anda sedang bercuti nanti boleh saja anda dipanggil semula untuk menyelesaikan kerja yang tidak sudah lagi itu.

Countdown : lagi 4 hari bekerja sahaja sebelum raya haji dan cuti akhir tahun! Yeayy.... kita nak cuti dah! Jangan jeles....

sumber

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 9, 2010

cantiknya...

78% kandungan atmosfera adalah gas nitrogen dan cuma 21% sahaja daripadanya ialah gas oksigen. Kenapa ya?

Logiknya.... 

semua benda hidup di dunia ini yang nampak di depan mata kita atau yang halus dan hanya boleh dilihat bawah mikroskop terdiri dari sel bernukleus. Dalam nukleus tersebut pula ada DNA atau RNA. Semua DNA atau RNA mempunyai kesamaan unsur yang menghasilkannya iaitu nitrogen, tidak kira DNA haiwan atau tumbuhan. Nitrogen juga adalah sumber protein, sama ada protein haiwan atau protein tumbuhan. Tanpa nitrogen, DNA, RNA dalam sel atau pun protein yang membentuk daging  tidak akan menjadi seperti yang ada sekarang ini.

Tetapi...

tidak semua benda hidup menggunakan oksigen dalam sistem respirasinya. Ada benda hidup seperti bakteria tertentu yang tidak sesuai hidup dalam keadaan beroksigen. Oksigen memang penting tetapi tidak penting bagi semua, tidak seperti nitrogen. Ha... saya fikir kerana itulah Allah Yang Maha Bijaksana menjadikan nitrogen lebih banyak dari gas oksigen.

Bagaimana pula tentang kitar nitrogen?

Nitrogen tetap sama dari dulu hingga sekarang dari segi komposisinya dalam atmosfera bumi. Tetap 78%, sedangkan setiap hari ia digunapakai oleh tumbuhan membina protein tumbuhan yang seterusnya akan dipindahkan ke dalam haiwan lain atau kepada kita dalam bentuk makanan yang kita makan. Jika tidak diganti semula, nitrogen dalam atmosfera akan kehabisan. Jadi, bagaimana memastikan peratusan nitrogen kekal? 



Kematian benda hidup, akan mengembalikan semula nitrogen ke atmosfera semula. Protein dalam daging kita akan terurai semula menjadi gas nitrogen dan memenuhi semula atmosfera bumi. Kerana itulah kita tidak boleh kekal hidup selamanya (dari segi kitaran nitrogen inilah). Kematian kita akan mengembalikan semula gas nitrogen yang kita pinjam dalam bentuk jasad kita ini. Nitrogen itu akan diguna semula membentuk jasad benda hidup yang lain pula. 

Bukankah kematian kita memberi manafaat kepada hidupan yang lain?

Cantiknya kehidupan dan kematian yang dijadikan Allah... dan memang wajar kita dimatikan satu hari nanti

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 7, 2010

kita memang wajar dimatikan....

Soalan SPM subjek Sains tahun 2020:
"78% daripada kandungan bumi terdiri dari gas nitrogen. Gas oksigen pula hanya mengisi 21% sahaja kandungan gas dalam atmosfera bumi. Kita juga tahu oksigen sangat penting dalam sistem pernafasan kita.  

Persoalannya, mengapakah Tuhan Yang Maha Kuasa menjadikan kandungan gas nitrogen sangat banyak iaitu kira-kira 3/4 dari kandungan atmosfera kita berbanding gas oksigen. Seterusnya kaitkan kepentingan kitar nitrogen dan jumlah gas nitrogen dalam atmosfera bumi dalam jawapan anda."

Soalan di atas hanyalah soalan bayangan dalam fikiran saya. Tetapi fakta tersebut memang dipelajari sejak dari Tingkatan 3 lagi iaitu fakta tentang kandungan atmosfera bumi. Fakta tersebut akan dihafal oleh pelajar dan akan ditanya dalam peperiksaan. Tetapi persoalan mengapa Allah jadikan kandungan nitrogen lebih banyak dari kandungan oksigen tidak pernah disoal dalam peperiksaan.

Kitar nitrogen pula dipelajari secara superficial nya di Tingkatan 5. Saya sebutkan superficial, kerana tajuk ini disentuh secara ringkas sahaja, tetapi kerap juga disoal dalam peperiksaan peringkat SPM. Cuma teknik penyoalannya, saya kira tidak pernah menghubungkait aspek pengetahuan dan kekuasaan Allah.

kitar nitrogen - wikipedia
Saya sering bertanya pelajar tentang perkara ini. Kenapa agaknya Allah Yang Maha Bijaksana menjadikan kandungan oksigen yang sangat penting bagi kita itu kurang dari kandungan nitrogen. Sedangkan bila kita menghirup udara yang didalamnya terdiri dari pelbagai campuran gas, hanya gas oksigen yang kita gunakan secara langsung dan yang lainnya kita keluarkan semula dalam bentuk udara hembusan.

Kalau bertanyakan rakan-rakan yang sudah dewasa dan punya ijazah berjela pasti bisa menjawab. Tetapi anak-anak kita, terutama yang dalam Ting 5 jarang sangat terfikirkan perkara ini kerana mereka sudah dilatih untuk menghafal dan meluahkan fakta bukan berfikir kenapa dan mengapa.

Disebabkan kitar nitrogen dan kepentingannya itu jugalah, saya sering beritahu pelajar, kematian kita juga boleh membawa manafaat yang besar dalam alam ini. Selain dari aspek kita akan ditanya di akhirat  nanti tentang kehidupan kita dan kerana itu kita akan dimatikan, ..... kematian setiap dari kita nanti juga sangat wajar dari aspek kitar nitrogen ini.

Anda boleh fikirkan jawapannya?

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 3, 2010

masih ada peluang

Badan penat, begitu juga otak yang ditatang oleh leher dalam tempurung kepala ini. 

Post mortem percubaan SPM yang agak lewat diadakan pada tahun ini, hari selasa baru ini, menyesakkan dada. Waktu persekolahan yang tinggal lagi 3 minggu lebih kurang, tidak sedikit pun melegakan perasaan  para guru yang mengajar kelas-kelas Ting 5.

Jika setiap tahun mengajar anak-anak di Ting 5, maka setiap tahun jugalah sesak dada akan terasa bila post mortem percubaan dan juga pada malam keputusan spm akan dikeluarkan. Sekiranya keputusan mencapai target yang diintai-intai, legalah hati dan boleh tidur lena buat seminggu dua. Tetapi jika sebaliknya.... adui, mesyuarat lepas mesyuarat lah yang menanti. Kalah Menteri Pelajaran kita, bila tiba bab bermesyuarat ni.

Kita cubalah ya. Selagi masih belum sampai ke waktu dan tarikh keputusan SPM dikeluarkan, kita usaha dan berdoalah. Habis peperiksaan, tidak bermakna usaha pun berhenti, kerana doa lah pula menjadi jalan usaha kita.

Buat semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam peperiksaan SPM yang bakal menjelang tidak lama lagi ini, moga Allah memudahkan segala usaha yang baik. Takdir masih belum terlaksana, bermakna masih ada peluang untuk berjuang.

kelas 5U2 ..... kita cuba, k
~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 2, 2010

salah teknik

Menziarah rakan yang akan menunaikan haji menimbulkan keterujaan dalam diri untuk ikut serta petang isnin itu. Pengalaman singkat mengerjakan umrah satu waktu dulu, meningkatkan lagi keterujaan tersebut. 

Memang jauh bezanya menunaikan ibadah haji dan umrah, tetapi pengalaman seciput itu menyebabkan rasa rindu dengan suasana dan kehangatan rasa beribadat di sana memarak semula.

Tapi.... suasana hangat tersebut pudar sebentar..

Kes mencari pengedar lah ni. Teringat entri Hai O saya dulu, yang berleret-leret komen yang saya terima, dek entri sejemput itu. Dalam suasana yang hangat dengan rasa warak dan ingin mendekatkan diri dalam pengabdian kepada Allah itu, sempat juga, salah seorang saudara kepada sahabat saya ini cuba memancing saya membeli produk kesihatannya dan menjadi pengedar di bawahnya.

Memang menjadi saya ini payah sungguh mengata tidak. Kelemahan paling besar dalam sifat saya. Namun dengan kemahiran sedikit yang saya ada, dapatlah juga saya mengelak dari menjadi pengedar dan mengeluarkan tiga keping note RM50/- untuk melayakkan saya menjadi ahli. Namun dalam pada itu, demi menjaga hati saudara sahabat saya ini, keluarlah juga RM15, sekadar mengambil hati membeli produk kesihatan yang kabarnya boleh mengelak penyakit utama penyebab kematian sekarang ini.

Saya bukan anti produk tersebut atau bisnes serupa dengannya. Tetapi saya kira, ahli-ahli peniaga yang berusaha mendapat duit sampingan lebih ini cuba-cubalah melihat situasi dan keadaan semasa hendak mencari pelanggan dan ahli-ahli baru. Baguslah bagi anda cuba berusaha mencari rezeki melalui perniagaan, kerana memang 90 atau 99% dari punca rezeki datangnya dari perniagaan, tetapi bukanlah sebarang waktu itu waktu yang selayaknya anda berniaga. 

Berlaku bijaklah dalam mempromosi dan berinteraksi. Salah teknik, nampak anda saja... bakal pelanggan bukan akan mendekati tetapi akan berlari jauh mengelak diri.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 1, 2010

Berpoya-poya

Hujung minggu kali ini sangat meriah bagi saya.

AJK dinner  2010

Pengerusi dinner 2010
Apa tidaknya, jamuan makan malam sekolah diadakan pada sabtu malamnya, manakala perjumpaan semula rakan-rakan yang 27 tahun tidak bersua muka pula diadakan pada hari ahad petangnya.

Ada baiknya Allah menjadikan kita manusia yang cepat melupakan perkara yang menyakitkan hati atau menjengkelkan perasaan. Berjumpa rakan-rakan lama sedikit pun tidak mengingatkan sebarang pertelingkahan atau ketidaksamaan kehendak, 27 tahun yang lepas.  Yang diingat hanyalah kenangan manis dan kenangan lucu yang menjadi bahan gelak semasa perjumpaan. 

Masing-masing sudah berubah, baik fizikal atau cara fikir. Yang pasti, sengketa jika ada pun sudah tidak menjadi soal lagi, sudah tiada lagi hal remeh, titik bengek semasa remaja dulu, bila mana berkongsi bilik air, bilik tidur dan dewan makan bersama, menimbulkan sedikit sebanyak rasa tidak puas hati dan tidak suka dengan perangai sesetengahnya.

5 Utarid SM Sains Taiping a.k.a SERATAS 1983:
saya yang bertudung berdiri di belakang guru kelas dalam keadaan masam mencuka
Terima kasih kepada penganjur kedua-dua majlis, moga Allah membalas usaha anda dengan ganjaran pahala yang tidak terhingga.

perjumpaan di Pine 38, seksyen 9 Shah Alam, 31/10/2010



~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...