Friday, August 26, 2011

sayu itu di hati waktu itu




Sayu.

Kalau tambah huruf 'r' , akan menjadi sayur. *Ini bahagian merepek. :)*

Sayu berkait rapat dengan hati. Hati tersentuh atas banyak sebab. Impian yang tidak terpenuh, kata yang menghiris atau kehilangan sesuatu yang telah biasa dalam hidup.

Setelah hampir 27 hari melalui perjalanan Ramadan, ia sudah menjadi seperti kebiasaan. Rutin. Sahur, iftar dan teraweh menjadi biasa. Kebiasaan yang datang dan perginya pantas.

Hampir sudah ke hujung Ramadan. 

Sayu.

Sayu juga bertambah pagi tadi. Walau pada mulanya, ia seperti hari biasa. Kerana saya dan rakan-rakan yang telah lama di sekolah ini sudah acap kali melambai pergi beberapa orang Pengetua yang bersara dan juga yang berpindah. Kata orang sudah immune dengan perpisahan. 

Tapi, tetap perpisahan dengan sesiapa pun, hati pasti tersentuh , walau sedikit.

Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih berlangsung di sekolah. Pemilihan kata bagi tema majlis juga menggamit rasa sayu.

Tema warna pula ialah warna peach.

Buah peach memang kegemaran kalau ditabur atas puding caramel. Setahu saya buah peach dalam tin itu agak kekuningan, kan. Tapi warna peach yang melatari baju-baju kami lain, bukan kuning. 

Ah, Mungkin saya buta warna barangkali. Tak apa, tidak penting.

Sayu juga, kerana hari ini hari terakhir di sekolah sebelum bercuti untuk sambutan Aidilfitri. Sayu kah? 

Sebenarnya ia lebih kepada sayu gembira. :)

Memang pasti, di mana sahaja pasti ada acara bermaafan sebelum  menyambut Aidilfitri. Meriah kali ini di sekolah saya. Kerana bersekali dengan majlis perpisahan pengetua kami.

sayukah mereka?

mat hensem hanya memerhati

baju dari kayu yang sama

sedih yang tidak terbendung

Acara maaf tiada kemuncaknya, tetapi acara perpisahan diakhiri dengan lambaian terakhir pengetua dari kereta sport tajaan seorang ibu pelajar di sekolah. 

Untuk makluman, tuan punya kereta bukan model yang berdiri di sebelah kereta. Si dia hanya bertugas memegang bunga untuk dihadiahkan pada pengetua yang bersara.

jangan perasan ya :)

Sayu itu di hati waktu itu. 

Saya mendoakan yang terbaik untuk bekas pengetua, Pn Mek Zahrah bt Awang dalam hidupnya dunia dan akhirat nanti.  Serta dianugerahi kesihatan yang baik.

Dan juga semoga selamat sampai buat rakan-rakan semua, yang ramai kelihatan tergesa punch-out untuk balik ke kampung halaman masing-masing tengahari tadi.

Salam sayang serta Maaf zahir dan batin.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...