Sunday, July 31, 2011

tetaklah, tetap tak putus

Sesat barat.

Mencari KPJ Selangor. Sedar-sedar ia sudah di depan mata.

Shah Alam bukan pilihan kalau itulah pilihan yang diberi bagi saya untuk memandu. Bulatan-bulatan nya memeningkan kepala saya.

Sebenarnya bukan Shah Alam itu yang menjadi punca. Yang sebetulnya, tempat mana pun bukan soalnya kalau kita sudah biasa memandu di kawasan tersebut. Alah bisa tegal biasa.

Bila melihat dia, tidak silap lagi , seolah saya melihat diri saya. Banyak kesamaan. Itu yang ramai orang bilang. Dan saya sedar akan persamaan tersebut.

Bilik tersebut agak sempit. Muat untuk dua orang pesakit. Dan alhamdulillah, katil dia bersebelahan tingkap, jadi kesempitan bilik itu tidak terasa kerana diganti dengan luas pemandangan dari tingkap.

Sesekali bergelak. Kerana dia memang mudah tertawa. Saya pun terikut sama. Walau saya tahu, di hujung tawanya itu, beliau menahan sakit yang saya tidak boleh gambarkan dengan kata-kata.

Camana cik tahu cik sakit benda ni?

Masa merenggangkan hubungan kami. Keadaan menjarakkan kami dan banyak ceritanya saya tidak tahu. Benarlah ...
"blood is thicker than water"

Sejauh mana terpisah, pasti ia bertaut semula. Walau pada mula, agak ragu-ragu untuk berjumpa sendirian, tapi Allah memudahkan.

Memandang dia sambil bercerita, saya teringat juga rakan yang mengalami nasib hampir sama. Ketumbuhan dan kanser. Agak sinonim.

Dan saya lihat perkara yang sama. 

Kekuatan dalaman. 

Kekuatan menahan sakit dan ketidak tentuan. Mata mereka bercahaya diiringi kesedihan. Kata-kata mereka penuh optimis. Redha jelas terpancar dari air wajah. Patutlah. Mereka ini yang terpilih.

Disebelah bantal bersarung kain putih, saya lihat telekung dan tasbih serta Surah Yasin menemaninya waktu tidur. Saya tahu saat getir yang dialaminya sekarang ini, makin menguatkan hubungan dia dengan Allah. 

Cemburu. 

Sedikit.

Tidak. Saya tidak minta ujian yang serupa buat saya. Tapi saya minta Allah beri saya kekuatan dalaman seperti dia dan rakan saya itu , hadir dalam jiwa. Dan saya minta juga Allah memakbulkan doa mereka.

*Selamat berterawih dan bersahur malam ini, kawan. Ampunkan segala silap saya .

Semoga Ramadhan ini lebih manis.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, July 30, 2011

Dengki ke dengan saya?

Beberapa hari ini hujan turun. Menyambut Ramadhan. Ibarat mencuci rumah dari kotor segala. :)

Pagi tadi ke sekolah. Acara biasa. Setahun sekali. Sambil itu memasang radio. Slot soal jawab bersama Dr Muhaya di radio Ikim.

Sesungguhnya ada insan yang begitu positif sekali dalam pandang hidup seperti Dr Muhaya ini. Kagum. Memang kan, mukmin itu, segalanya adalah baik bagi dia, jika diuji dengan musibah maka itu adalah baik baginya kerana terpilih dari ramai di luar untuk mendekatkan hatinya pada Rabbul Jalil dan jika nikmat yang dikecapnya , maka itu juga baik baginya.

Tidak patut kan, orang yang kakinya bersaiz 6 melihat orang yang kakinya bersaiz 8 dengan perasaan iri hati dan dengki , kata Dr Muhaya.

Kita wajib menjaga diri kita. Jaga pandang mata, jaga buku, majalah yang kita baca, siaran yang kita tonton, lagu yang kita dengar.... kerana ini semua membentuk apa yang kita fikir dan apa yang kita fikir menatijahkan kelakuan serta tindakan. Jika kita mahu yang positif, segalanya yang melingkari hidup kita mesti positif

Itu yang saya faham dari kata-kata beliau.

Itu jugalah yang saya dapat, selesai menonton video The Secret adaptasi dari buku bertajuk sama karangan Rhonda Byrne yang menjadi best seller tahun 2006. Kita adalah apa yang kita fikirkan. Betul.

Salah satu perkara yang selalu saya fikir dan serahkan padaNya dan sering tidak pernah gagal mengecapinya setakat ini ialah mendapatkan tempat parking kereta seperti yang saya bayangkan bila keluar membeli belah. Hehehe. Perkara remeh dan kekadang lucu juga. Fikir, percaya dan yakin yang saya akan dapat. Dan Alhamdulillah, selalunya saya dapat tempat parking seperti yang saya bayangkan itu. Allah punya kuasa. Tapi Rhonda Byrne sebut sebagai Law of Attraction.

Cubalah...

* nak cuba apply law of attraction bab jadi kaya raya :)

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, July 29, 2011

takut nak puasa

Cikgu, puasa bila?

Minggu lagi satu ya?

Eh, engkau ni. Minggu depan le. Hari Isnin depan.

La, cepatnya.

Takutlah pulak. Dosa aku banyak.


Saya hanya mendengar dari tempat duduk. Hampir separuh masa tadi diguna untuk menunggu mereka masuk ke kelas. Hanya 5 orang sahaja yang hadir dari 20 orang yang terdaftar dalam buku daftar pelajar untuk kelas ini. Hujan , kata mereka bila ditanya kenapa rakan-rakan yang lain tidak hadir.

Memang pagi tadi hujan lebat sejak awal pagi lagi. Agaknya, takut mengharung 'selut' dan 'lumpur' , maka tidak perlu hadir ke sekolah. Tidak pun, sayang melepaskan selimut di katil masing-masing.

Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampunkan segala dosa-dosanya yang dahulu - riwayat Bukhari dan Muslim

Papan tanda di kawasan traffic light berhampiran sekolah tertulis hadis tersebut yang di atas.

Takut?


Saya tidak bertanya dia, maksud takutnya itu.

Tapi dalam hati saya pun sedikit takut. Menyisip halus dan perlahan ia menyinggah. Takut kalau-kalau Ramadhan kali ini hanyalah lapar dan dahaga sahaja , kosong pahala dan bekal yang boleh dibawa nanti. Malang sekali, sungguh.

Takut juga, jika Ramadahan kali ini tidak lebih amalnya berbanding Ramadhan yang dulu-dulu. Sedang usia bertambah, namun, amal di takuk lama juga dan lelah serta penat makin mudah pula menghinggap. 

Takut juga, leka dengan perihal dunia dan isinya serta gegak gempita hari raya yang menyusul, melemahkan lagi semangat ber'Ramadhan' di hujung-hujung bulan berkat ini. 

Takut. Memang. 

Kerana saya hanyalah manusia biasa,  yang mana  tumpuan dan perhatian dalam perjalanan ini sering mudah terganggu. Dan leka adalah natijah pada gangguan itu.

Tapi ...., apa pun, tetap teringat kata-kata yang pernah saya dengar.

Takut itu membuat kita lebih berwaspada.


Salam Jumaat.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, July 28, 2011

Mengaum waktu malam

Eh... Engkau balik je ke Indon la.

Dia diam. Sedikit senyum.

Saya terpinga-pinga di muka pintu. Cuma terlewat dalam 5 minit, di kelas jiran. Tergesa ke kelas mereka ini.

Mesti menang la.

Tak, aku rasa Singapore menang.

Eh, engkau kan, patut duduk out the sea la. Jangan kau jejak Malaysia ni. Cikgu, tengok ni, tak ada semangat Malaysia langsung dia ni.

Yalah, patut engkau buang je kerakyatan kau tu.


Ah, apa lagi isunya hari ini? Mestilah tentang bola.

Yang dianggap 'pengkhianat negara' itu hanya tersenyum. Pejuang-pejuang negara yang lain masih tak puas hati. Kalau aruah Mat Kilau atau Tok Perak tengok semangat yang membara di kalangan mereka ini, pasti dia juga bangga.

Ish awak ni. Itu pandangan dia. Mesti dia ada sebab kenapa dia rasa Singapore akan menang malam ni. Dan awak semua pun ada sebab awak , kenapa awak rasa Malaysia akan menang, kan.

Cikgu.... Malaysia mesti menang punya malam ni. Tengoklah.

Cikgu, kalau Malaysia menang malam ni, esok dia tu kena pakai spender je datang sekolah.


Yang lain tergelak.

Malam ni, kita tunggu dan lihat harimau yang terluka mengaum dan mengamuk....

Updated: luka sang harimau masih belum sembuh betul rupanya .... :(

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, July 27, 2011

Dah bersalah, tetap tidak mahu mohon maaf ...

Manusia memang cepat membuat tanggapan berdasar apa yang dilihat. Dan sebagai manusia saya juga begitu. Tidak ada pengecualian sedikit pun.

Semalam menonton siri Bones di Astro. Ceritanya klise, saya tahu. Jumpa rangka manusia dan pastinya ia adalah mangsa pembunuhan. Dan pasti lagi, akhirnya si pembunuh akan dapat dikenal pasti dan dibawa ke pengadilan. Mudah. Cuma, semalam salah satu ayat yang diucapkan oleh si hero menarik perhatian saya dan masih terngiang-ngiang ....
" we are human because we show compassion and we regret."

Semalam cikgu ajar tajuk apa , cikgu?

Saya pandang wajah dia. Dia senyum, takut-takut. Saya serius. Tiada senyum yang saya cuba tawarkan.

Oo, awak tak datang semalam ya?

Esok pun saya tak datang cikgu.

La... Kenapa? Chemistry ni , kalau awak tak ikut betul-betul, susah. Kalau dah tertinggal-tinggal, tak faham nanti.


Ada beberapa orang pelajar yang pada pandang mata saya seolah sudah putus harap dengan subjek Chemistry ini. Salah satu sebabnya ialah sering ketinggalan kelas, mengakibatkan aliran pemahaman konsep asas dalam subjek ini tidak dapat diikuti.

Tapi... Mungkin juga cara saya mengajar yang tidak kena dengan keupayaan mereka. Kalau itu penyebabnya maka ia merupakan realiti yang menakutkan. :) wajar juga saya yang memuhasabah diri.

Sebenarnya, esok mak saya operation, cikgu.

Tiba-tiba ada rasa bersalah terlipat dalam hati saya. Aish.

Kenapa kena operation?

Mak saya kanser usus.

Alahai. Kenapalah saya tiada kebolehan melihat kesusahan orang lain? Penyesalan. Timbul hanya selepas kita disedarkan.

mmmm.... Tak pe, nanti awak cuba baca sendiri tajuk ni, kalau tak faham, jumpa saya, saya terangkan. K

Tetap, tiada kata maaf dari bibir saya. Tak terkeluar. Tersekat di celah kerongkong dan ditelan kembali bersama air liur. Aduiii.


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, July 26, 2011

cikgu kasta rendah

Sudah hampir benar dengan Ramadhan. Lebih terasa dengan kepanasan di luar. Melihat budak-budak dalam kelas yang berpeluh-peluh, badan sendiri pun terasa kelekitannya.

Saya dah suruh emak saya kurangkan gula , cikgu , semalam.

Ya? Tak berkesan pun. Agaknya dah tak boleh diselamatkan lagi awak ni.


Menyindir.

Sudah di tahun akhir di sekolah. Perangai masih kadang-kadang seperti pelajar tadika. Terjerit-jerit, menyanyi sekuat hati dan mengusik rakan-rakan seperti melepas geram.

Kata orang, berlebihan gula dalam badan boleh juga merangsang perangai aktif melampau .


Semalam awak kata nak potong rambut?

Kedai gunting rambut semua tutup cikgu.

Aii. Semua tutup?


Nampak sangat ke'kelentongan'nya. Malas hendak membangkitkan isu kelentong itu. Tapi, mata seorang guru tua rimas melihat rambutnya yang kusut dan panjang berserabut.

Petang ni saya potong cikgu. Tu, cikgu Fatimah dah suruh saya potong.

Oo, cikgu Normah cakap taknak dengar, cikgu Fatimah cakap nak pulak dengar.

Taklah cikgu, cikgu Fatimah tu, kan, lebih ada kuasa...


Matanya bulat. Tersenyum.

Iyolah.

Maklumlah walau dua-dua 'mah' tapi Fati lebih berkuasa dari Nor. Cikgu ber'kasta' rendah. :)

*entri merepek dan melalut


~cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, July 25, 2011

nampak sangat kebodohan awak ya....

Hutang.

Obama sedang pening kepala. Debt ceiling yang ingin ditingkatkan lagi tidak mendapat respons yang baik dari ahli. Katanya jika aras hutang negara tidak dinaikkan, berkemungkinan selepas 2 Ogos, Perbendaharaan Negara tidak dapat melunaskan pembiayaan kemasyarakatan. Sistem perkhidmatan awam akan jadi lumpuh. Bayangkan, kerajaan tidak punya duit untuk menjelaskan gaji kakitangannya, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan akan terjejas teruk.

Menyelesaikan masalah hutang dengan berhutang lagi. Pelik.

Diharap, dengan meninggikan aras kebolehan untuk berhutang, mereka boleh berhutang lagi untuk meneruskan kesinambungan pembiayaan negara. Rupanya, ada klausa dalam perlembagaan yang menghadkan jumlah hutang yang boleh dibuat oleh negara tersebut.

Saya bukan ahli ekonomi. Belajar ekonomi pun tak pernah. Buta ekonomi. Cuma mendengar radio IKIM petang tadi, entah slot apa. Tetapi , pengacara dan penceramah jemputan berbincang tentang masalah ekonomi di US dalam bahasa yang mudah untuk orang-orang seperti saya.

Bukan sahaja di US, rupanya. Eurozone juga mengalami kegawatan ekonomi yang hampir sama bagi negara Greece dan Itali. Sedangkan Itali adalah antara negara besar dan maju di dalam Eurozone. Masalah hutang yang tidak dapat dibayar.

Di US , katanya, masalah defisit ini hanya timbul semasa era kerajaan George Bush, akibat dari dasar-dasarnya yang tidak membantu. Antaranya ialah beberapa siri peperangan yang melibatkan mereka. Jadinya, Obama menjadi pemimpin yang terpaksa menyelesaikan masalah orang lain.

Bila melihat forum-forum berkaitan masalah hutang US ini, banyak yang mengatakan ini semua salah satu usaha US dalam konspirasi dunia mereka. Entah. Saya memang tidak arif langsung. Nil.

Tetapi yang jelas ialah, jika benar ekonomi US akan merudum, ekonomi negara kecil kita juga akan terjejas. Bila si kaya sudah tiada duit untuk membeli, apalah jadinya nanti barangan jualan kita ? Itu satu contoh....

Tetapi yang tetap menjadi musykil ialah, siapakah  Qarun si pemberi hutang dan mengenakan faedah yang tinggi pada negara ini? Saya kira ramai yang dah tahu. ;)

* one rule of writing, is write only what u know. nampak gaya saya menulis apa yang saya tak tahu. pasti nampak jelas kebodohan saya. :) tak apalah. Bukannya masuk periksa pun . Hehehe.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 24, 2011

kalau nak menipu pun....

Asap rokok menerjah masuk dalam hidung saya. Walau kembang kempis cuba menahan nafas, manakan daya. Ah... Memang benci dengan baunya.

Pagi. Pukul 840am. Menunggu kereta dibasuh oleh Mat India ni. Mamat teksi yang sibuk mundar mandir dengan rokok di celah jarinya memang agak cerewet. Menyuruh itu dan ini pada Mat India si tukang basuh kereta.  Rokok yang terselit itu macam sengaja di arah pada saya.

Lelaki dan rokok.


Kenapa awak buat kerja bodoh macam tu? Tak pikir?


Saya berlagak jadi orang baik. Padahal banyak juga kerja bodoh yang pernah saya buat tanpa berfikir panjang. Menyesal tak terkata. Dan ia jadi pengajaran dalam hidup.


Saya tak buatlah cikgu. Padahal saya kat dalam kelas waktu tu.




Ish. Puan C nampak awak berlari dengan kawan awak dari hujung tu. Dia nampak asap rokok berkepul-kepul dari situ. Bukannya dia tak kenal awak. 




Alah cikgu ni. Puan C tu rabun. Saya dah 2 tahun kenal dia cikgu. Selalu dia buat macam ni....  


Dia mengecilkan kedua belah mata seperti orang yang rabun cuba melihat jauh.


... nanti dia tanya, sapa, sapa awak ni? Dia bukannya nampak cikgu.


Rakannya yang lain melihat khyusuk. Gelagatnya macam tukang jual ubat membuat lakonan , cuba meyakinkan pembeli yang berkumpul di sekeliling. Hati saya macam digeletek halus. Adui... Bakat terpendam budak ini memang perlu diasah lebih , kalau nak masuk rancangan Raja Lawak.


Saya pun kenal Puan C. Lebih lama lagi dari awak tau. Awak pun saya kenal. Bukan dia je yang nampak. Puan N pun nampak gak. Dia pun kata awak yang paling jelas dia nampak. Sudahlah. Awak ni, menipu, sampai awak pun sendiri percaya apa yang awak tipu. 



Tak pelah cikgu tak nak percaya. Memang saya tak ada kat situ.


Sebenarnya bagus juga kalau sekolah memasang kamera CCTV. Perkara sebegini lebih senang dibuktikan.

Tapi, apa pun memang perkara yang jelas ialah... MEROKOK ITU TELAH DIFATWAKAN HARAM... Kan . :)

Memang tak nampak kesinambungan cerita dengan fatwa. Tapi, saya peduli apa kan.

Hehehehe...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, July 22, 2011

kaki cukur rupanya

Mencari diri.

Zaman remaja penuh konflik. Apatah lagi dalam zaman penuh fitnah dan mehnah ini. Hambatan dunia bagi seorang remaja yang kurang kasih serta perhatian memang besar .

Akmal. Kenapa awak cukur kening ni?

Wajahnya bersih. Ada tahi lalat pemanis di dagunya yang menjadi bahan ejekan rakan-rakan di kelas. Tinggi lampai, memang tampan orangnya di mata saya.

Saya melihat keningnya di sebelah kanan. Jelas, garis sebesar 1 cm memisahkan kening itu menjadi dua bahagian.

Dia kata kalau cukur macam tu boleh nampak hantu, cikgu. Betulke cikgu?

Orang lain pula yang menjawab. Si Akmal diam. Hanya memandang rakannya itu dengan pandangan sedikit tak puas hati.

Saya pandang Akmal. Sedikit kisah sedihnya saya tahulah juga. Kerana itu rasa belas sentiasa ada padanya. Lebih pada memujuk jika sikap malasnya menguasai. Dan memang selalu juga berkeadaan begitu.

Entahlah. Saya pun tak tahu. Tapi kalau cabut semua bulu mata tu , mungkin juga.

Saya merapu.

Cikgu, cukur bulu kening tak boleh kan cikgu. Berdosa , kan.

Wah... Ada pula yang meminta fatwa dari cikgu sainsnya ini. Sengajalah tu hendak menjatuhkan hukuman berdosa pada rakannya.

Agaknyalah. Saya pun tak tau.
Ha ... Tu lah Akmal. Aku dah kata. Buat apalah engkau buat kerja bodoh ni. Daripada cukur bulu kening tu, baiklah engkau cukur bulu bawah tu. Ada juga menafaatnya. Kan... Cikgu.


Saya ketuk kepala si Yoi ni yang kuat benar suaranya, dengan white board marker .

Salam Jumaat.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, July 21, 2011

patah hati

Cikgu, citerlah pasal susuk.

Minggu ini , minggu penglipur lara di sekolah. Sayalah menjadi tukang karutnya.

Ah... anak murid. Memang persis budak-budak tadika, suka benar mendengar cerita . Dan kau telan cerita itu satu persatu, seolah cikgu itu maha tahu. :)

Tapi... pada sayalah, kan

Intro kepada pendapat peribadi setelah dikisahkan secebis cerita susuk yang saya tahu.

Orang perempuan ni kebanyakannya ...., kita cepat menggantung harapan sepenuhnya pada orang yang kita sayang. Dan ramai kita, sanggup buat apa sahaja untuk orang yang kita sayang. Macam orang yang buat plastik surgeri bagai tu, pada saya dia buat sebab dia nak bahagiakan suami/kekasih dia, kerana dia rasa suami/kekasih dia akan lebih bahagia dan lebih sayang dia jika dia punya pinggang yang ramping atau dada yang besar.

Budak-budak ini mengangguk. Ada yang bagai terpesona mendengar kata-kata saya. Seperti saya ini tukang nujum mengisahkan tentang masa depan mereka.

Cikgu macam tu ke?

Senyum.

Semua kita pasti akan lalui fasa itu. Macam awak sekarang ni. Saya pun pernah lalui fasa yang setengah awak sedang rasai.

Saya pandang satu persatu wajah anak-anak ini. Kelas yang pertama dalam Tingkatan 5 di sekolah. Di sinilah, pelajar yang terbaik untuk sekolah saya ditempatkan. Tetapi sebijak mana pun mereka , hati dan perasaan tetap seperti manusia yang lain.

Yalah. Saya pun pernah suka pada seseorang. Dulu. Kalau dia lalu tepi , walau tidak pandang kita pun, dalam hati suka ya amat. Bergetar jantung, berharap dia tahu.

Budak-budak ini tergelak. Saya tahu ada yang bergelak kerana situasinya sama. Walau kisah berpuluh tahun dahulu, tetapi getar di hati remaja tetap sama tidak kira siapa yang empunya, atau di zaman mana ia berada.




Dan, saya juga pernah rasa patah hati. Memang pedih dan sedih. Tapi, itu memang dah fitrah hidup. Kita kena lalui juga. Awak pun gitu. Patah hati itu pelajaran dalam hidup. Dengannya hati kita jadi kuat. Nak atau tak nak, kita kena tempuh juga. Mungkin bukan sekarang, tapi satu hari nanti. Setiap kita nanti pasti akan patah hatinya sementara. Satu hari nanti. Yang penting awak kena ingat, ia perjalanan. Bukan penamat. Kena kuat. Kena tempuh. 



Cikgu... cikgu patut jadi motivator lah.


Haha... yalah tu.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, July 20, 2011

jangan ingat kerja mudah...

Saya kira ini satu permintaan. Dari seorang sahabat lama. Untuk berkongsi tulisannya.

Cuma kisahnya agak panjang. Bersabarlah membacanya. Kerana di penghujung cerita memang menarik. Harap terhibur...

Mat tidak pernah membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah.

Malah dia sering bersungut sendirian kerana telah merasa bosan setiap hari pergi kerja, sedangkan Nab isterinya hanya tinggal di rumah. Kalau boleh, dia mahu isterinya tahu betapa penat dan letihnya dia bekerja setiap hari untuk menanggung keluarga.

Satu malam ~~~~

Mat berdoa,"Ya Tuhanku. Aku bekerja 8 jam sehari sedangkan isteriku hanya tinggal di rumah bersama anak-anak. Aku mahu supaya dia tahu betapa letihnya aku bekerja setiap hari. Tolonglah ya Tuhan, tukarkanlah aku dan isteriku. Biar aku yang menjadi isteri untuk sehari sahaja supaya dia pula dapat merasakan betapa letihnya aku bekerja. Biar aku pula yang berehat di rumah"

Doa Mat termakbul.

Pagi besoknya, dia bangun dari tidur sebagai seorang isteri. Bangun saja dari tidur, dia bergegas ke bilik air, menggosok gigi dan terus ke dapur menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak. Seterusnya membangunkan anak-anak dan melayan mereka bersarapan, pada masa yang sama melayan suaminya bersarapan.

Selesai, dia menghantar suami ke muka pintu, kembali dia membetulkan baju anak-anak yang hendak ke sekolah dan menyediakan bekal untuk anak-anaknya bawa nanti ke sekolah. Habis segala, dia lantas memanaskan enjin kereta dan bergegas menghantar anak-anak ke sekolah pula.

Dalam perjalanan balik dia singgah di pasar untuk membeli ikan dan keperluan dapur yang lain. Hampir dua jam barulah dia sampai ke rumah. Sesampai di rumah perkara pertama yang dibuat ialah menyimpan barang-barang dapur ke dalam almari dapur dan ikan yang dibeli tadi di simpan dulu dalam peti ais.

Tak sudah lagi. Perkara seterusnya ialah mengutip kain baju 'busuk' untuk dicuci dengan mesin sehingga selesai dan dijemur. Sambil-sambil itu mengemas dapur dan rumah.

Barula acara memasak bermula untuk anak-anak yang akan balik sekolah nanti. Jam 12.45 tengahari barulah selesai acara memasak. Terpaksa pula bergegas mengambil anak dari sekolah.

Mengharungi lalu lintas serta kerenahnya, selesailah tugas mengambil anak. Agenda seterusnya ialah memberi mereka makan pula sebelum mengatur anak-anak membuat kerja sekolah. Dalam pada itu kenalah pula mengemas rumah supaya jangan bersepah sangat. Oh ya....tidak lupa juga mengangkat kain di jemuran.

Hari itu pula, kebetulan anak bongsu menangis kerana terjatuh. Kenalah pula memberi rawatan dan memujuk supaya tangisan tidak berlarutan. Dah selesai, kain-kain yang baru diangkat tadi perlu pula dilipat dan disusun dalam almari.

Sedar tak sedar, waktu Zohor dah tinggal tak berapa minit saja lagi. Terpaksalah bergegas pulak menunaikan Zohor sebelum tertinggal. Selesai memberi salam, terdengar pula azan Asar. Selesaikan pulak solat Asar sebelum menyambung apa-apa kerja yang belum siap.

Belum sempat dia rehat, terpaksa pula kembali ke dapur untuk menyiapkan makan malam. Lepas Maghrib, tugas bersambung pula melayan suami dan anak-anak makan, mencuci pinggan mangkuk selesai makan dan mandikan anak yang masih kecil.

Sebelum melabuh tirai, kenalah pula menguruskan supaya anak-anak masuk tidur.... dan berbagailah lagi. Sudah hampir pukul 11.00 malam barulah semua kerja rumahtangga selesai. Badan pun dah longlai. Bolehlah agaknya dia berkira untuk berehat melepas lelah.

Oops.... belum boleh rehat rupanya. Suami juga mahukan layanan. Berdosa isteri kalau tidak melayani kemahuan suami. Tambahan pulak malam tersebut malam Jumaat. Maka suami dilayani dengan sewajarnya. Akhirnya, tak pasti pukul berapa tertidurlah dia.

Sebelum dinihari, Mat sempat terjaga dan bersegera bangun dan berdoa semula,"Ya Tuhanku. Barulah kini aku tahu. Aku dah tak sanggup lagi jadi isteri. Aku keluar bekerja seharian pun tak penat macam ni. Ada juga masa berehat, minum kopi dan berbual dengan kawan-kawan. Tolonglah kembalikan aku sebagai suami semula. Tobat aku tak sanggup dah jadi isteri. Salah sangkaanku selama ini bahawa kerja-kerja isteriku di rumah begitu mudah. Biarlah isteriku terus di rumah dan aku keluar bekerja"

Sekonyong-konyong Mat terdengar satu suara ghaib berkata,"Wahai Mat, kamu belum boleh kembali menjadi suami sebab persetubuhanmu malam tadi telah menjadi benih. Kamu kenalah tunggu 9 bulan 10 hari lagi untuk melahirkan anak sebelum kamu dapat menjadi suami kembali...."

Whatttt???.. . 9 bulan 10 hari??? Beranaaak? ??....... Waaaaaa.. tak nak, tak nak, tak taaaaaaaaaaaaaaaaaa akkkkk... !!!

~~~~~

"Bang, bang... Abangggg... apasal niii.....??"

Sergah satu suara disisinya.

Mat melompat bangun dari katilnya dan terus memegang isterinya sambil bertanya," Nab, Nab yang jadi suami atau abang yang jadi suami???

"Laaaaa... tebiat apa pulak abang ni. Kan Nab nie pompuan. Tentulah abang yang jadi suami. Apa punya lawak pagi-pagi buta ni ?"

Hari tu Mat mengambil cuti emergency dan sehari suntuk membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah.

Hinggakan seluar kecik dan baju kecik Nab pun habis Mat kutip basuh. Nab terkedu beghok, terlopong dan jadi bisu seharian melihat gelagat suaminya.... .....

Moral cerita :

Isteri perlu disayangi dan lindungi kerana ia adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai.. so suami-suami di luar sane mahupun di dalam sini. Hargailah isteri anda..

~zolos~
*dengan sedikit tokok dan tambah. jangan marah :)

Saya tergelak membaca bahagian - bahagian yang akhir.

Apa pun, saya kira, tambahan moral of the story ialah, bila berdoa, kenalah spesifik. :)

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ketinggalan

Saya adalah antara orang yang ketinggalan.


Matahari petang ayun-temayun. m/s 3
Jauh di kaki langit di sebelah barat, bola api yang bertelau-telau itu kian pudar ditindih oleh awan. m/s 5  ~ 
Interlok : edisi murid





Kak Normah dah baca buku ni?


Belum.


ah... malu sendiri. Buku sekontroversi ini pun belum pernah dibaca. Sibuk membaca buku-buku lain yang tiada langsung jati diri Malaysia.

Kak Normah kena baca ni. Saya bagi Kak Normah pinjam. Yang 'ori' lagi ni. Seronok kak...

Ok....

Dalam kepala, teringat novel Inggeris yang sedang dijamah sedikit. Nampak gayanya kena diketepikan buat sementara waktu.

Baru singgah di muka surat 25 saat ini dalam dunia Interlok. Terasa kerdilnya diri. Masih tidak layak lagi saya, rupanya hendak menjadi seorang penulis novel.

Salam berhari Rabu.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, July 19, 2011

hilang kata-kata

Patrick was so furious that he was stumbling over his words - The Preacher : Camilla Lackberg, page 46





Marah teramat. Sehingga kata-kata yang keluar dari bibir pun tunggang terbalik.


Kerap juga saya begitu.

Ni kenapa tak menulis?

Matanya terkebil-kebil. Mukanya ala-ala pelakon Hindustan, hidung mancung , berbulu mata lentik. Cermin mata yang biasa terletak atas hidung mancungnya sudah beberapa minggu tidak kelihatan. Dah musnah, katanya.



Farhan ..!


Er... Saya dah cari buku tulis saya, cikgu. Kat rumah tak ada. Ada kat cikgu lah. Puas dah saya cari.

Rasa bersalah perlahan menyelinap dalam hati.


Ambik duit ni pergi ke kedai buku di bawah. Gi beli buku baru

Saya menghulurkan not ringgit sekeping.




Tak payah cikgu. Tak pe. Nanti saya cari lagi di rumah. Saya cari betul-betul.




Ambiklah. 

Tak payah.
Er... Kalau camtu, keluarkan kertas. Salin je. Tak mau tengok awak melangut macamni. Nanti kalau dah jumpa buku, tampal je.

Tak pelah cikgu. Saya pinjam buku kawan, bawa balik rumah. Saya salin kat rumah.
Ish... Salin sekarang! Keluarkan kertas.


Saya berjalan menghampiri dia.


Tak pe cikgu

Dia bangun, menyelongkar begnya. Takut agaknya saya menyelongkar beg dia, dan merosakkan susunan buku dalam beg.


Ha... Cikgu. Dah jumpa dah buku sains ni. Dalam beg saya rupanya...!. Dia tersengih.


#*!?/!!!@+

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, July 18, 2011

cepat-cepatlah kau pergi

Wajahnya kelihatan sedih. Lebih kepada penat di mata saya. Penat dan lelah dengan situasi agaknya.

Malas nak masuk ke sana, Normah.  Malas nak berjumpa semua yang ada di sana.


Perasaan.

Berputar seperti roda.



Sekejap ia tenang. Sehingga rutin menjadi bosan. Kadang ia merudum jatuh. Malas menjadi natijah. Menung menjadi penawar seketika. Kosong fikiran lebih baik dari melayan rasa sedih dan pedih.


Ada kala  perasaan resah, marah dan geram. Ingin dihambur segera agar kembali reda. 


Ada masa, rasa bahagia. Senyum hingga ke telinga. Segala nampak indah dan cantik. Meriah penuh warna. 


Cantik sekali putaran rasa. Lengkap . Tidaklah selamanya kita sedih berpanjangan atau suka berterusan hingga tidak kenal erti sedih.


Yang manis adalah setelah melalui fasa sedih, risau dan gelisah. Mengecap tenang menjadi nikmat tak terhingga. Pastinya ia kehendak Allah. Bukan kita yang bisa meletak rasa itu sesuka hati, walau sekuat mana pun keinginan.


Doa saya buat sahabat itu. Moga fasa sedih dan penat ini segera berengsot pergi, dan Allah gantikan dengan warna pelangi dalam diri. Optimis dan positif kembali semula , insyaAllah.


Salam ingatan buat semua yang sedang bersedih. Moga kesedihan itu segera beredar.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 17, 2011

melampau

Menghakimi.

Memang mudah menjadi hakim dan melabel. Apatah lagi di belakang keyboard di dalam bilik rumah sendiri. 

Tahun 1860an. Zaman Dinasti Ch'ing menuju keruntuhan. Maharani Tzu Hsi yang juga dikenali sebagai Empress Dowager dibesarkan di wilayah Anhwei, China. Wilayah yang sangat miskin. Kisah beliau menaiki tahta dan memerintah banyak dikisahkan. Yang sempat saya baca tentang kisah Empress Dowager  ini dalam novel berdasar kisah benar karangan Anchee Min, Empress Orchid  dan The Last Empress.  Kisahnya sangat membuka mata.


Bukan novel tersebut yang saya hendak kisahkan. Tetapi kemiskinan yang melampau. 

Benarlah kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran.  Saya tidak dapat membayangkan kemiskinan yang melampau. Kerana saya tidak pernah merasainya. Tetapi membayangkan kemiskinan yang sangat tragis cukup menyedihkan. 

Kemiskinan sehingga bila mana anak sendiri mati, itulah menjadi sumber rezeki. Dagingnya menjadi makanan untuk ahli keluarga yang lain, akibat kemarau panjang yang tak sudah dan tidak punya sebarang harta hatta sebutir beras pun untuk dijual bagi mencari rezeki. Dan bila di sekeliling kita pun hanyalah kemiskinan seperti kita merata-rata. Buntu.

Bagaimana agaknya ketua keluarga itu tidak bertindak begitu? Survival adalah matlamat utama.

Bayangkan, miskinnya hingga, waktu zaman itu, hadiah yang paling berharga adalah najis manusia. Gunanya untuk membaja hasil tanaman di tanah sekangkang kera . Itu pun jika dapat menuai hasil tanaman jika tiada kemarau atau banjir besar melanda. Dan anak-anak petani ini menunggu dengan berharap, agar rakannya dari keluarga yang kaya di kalangan pentadbir wilayah, membuang air besar dengan banyak dalam tong yang tersedia. Bila mana tong tersebut penuh, itulah namanya kebahagiaan bagi si miskin tersebut untuk dibawa pulang.

Kemiskinan yang sebegini. Di luar perasaan kemanusiaan untuk dihayati dan ditelan.

Dan bila gambar bapa memijak kepala anak tersebar. Betapa jijiknya bapa tersebut pada mata kita. Atau bila bapa menjual anaknya untuk mendapat beberapa ringgit bagi mengalas perut isteri dan anaknya yang lain.  Sambil mengunyah nasi berlaukkan ayam, sotong dan udang. Dan sambil menghirup teh ais kita membinatangkan ketua keluarga itu.

Tanpa mengetahui dan merasai kemiskinan di sekelilingnya. 

Kemiskinan yang sedemikian yang seinci pun kita tidak  rasai.

Benar. Perlakuan itu di luar peri kemanusiaan. Tetapi sebenarnya kemiskinan dalam kehidupan mereka itu pun di luar jangkauan kemanusiaan yang kita kenal.

Dan wajarkah kita melabel dan menghakimi?

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, July 16, 2011

airmata menitis

Istimewanya menjadi penulis yang berbakat adalah hasil tulisnya. Tulisan bermakna mencetus idea, mengocak jiwa dan menjadi khazanah tidak ternilai. 

Tidak pernah ...., air mata menitis menatap baris ayat dalam sebuah novel. 

The Kite Runner mengubah rutin tidak pernah itu. Buku sudah lama di pasaran. Sejak 2003 lagi. Berlatar belakang Afghanistan, sebelum keruntuhan sistem monarki diikuti oleh pencerobohan Russia dan persengketaan etnik antara puak Hazara (Syiah) dan Pashtun. 


Khaled Hosseini, warga Amerika yang berasal dari Afghanistan adalah penulisnya. Penulisannya mencengkam hati saya. Bermula perlahan, kisahnya berkembang menjadi babak-babak sedih, tragis dan memilukan, silih berganti. 

Kisah hubungan antara dua orang budak lelaki, Hassan berketurunan Hazara dan Amir berketurunan Pashtun, berdasar pertalian orang gaji dan majikannya.  Kisah tentang kesetiaan, pengkhianatan, rasa bersalah dan menebus kesilapan.

Menelusuri jalanan di Kabul.... walau kaki ini tidak pernah menjejak ke sana, rasa kagum dengan kisah mereka. 

Benarlah.

"Sad stories make good books" ~ kata Soraya : The Kite Runner by Khaled Hosseini.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, July 15, 2011

sayang macamana pun, kena tinggalkan juga

"Now , that child ," he said , "reminds me of something our sages taught. When a baby comes into the world , its hands are clenched , right ? Like this ?"

He made a fist.

"Why ? Because a baby , not knowing any better , wants to grab everything, to say , ' The whole world is mine .'

"But when an old person dies, how does he do so ? With his hands open. Why ? Because he has learned the lesson ."

What lesson ? I asked.

He stretched open his empty fingers.

"We can take nothing with us."

~ Mitch Albom : Have a little faith . mukasurat 101.


Apa yang dikisahkan ? Tentang kita manusia, bila mana di awal usia, betapa dunia ini sekelian isinya ingin kita miliki. Menjadi terhebat adalah kehendak dalaman.

Umpama bayi yang baru lahir, tangannya digenggam penuh azam. Seolah, tiada yang mustahil jika punya kehendak dan upaya.

Dan semakin menginjak usia, baru kita sedar batasan dan kekangan yang ada. Ujian dan mehnah yang perlu ditempuh dan impian yang sering terkubur.

Dan di hujung usia nanti kita akan sedar, yang kita kejar dan kumpul berdikit sepanjang hidup , rupanya untuk ditinggalkan begitu sahaja.


Tiada apa yang kita akan bawa nanti, hanya sekujur tubuh dibalut dengan kain kapas putih yang tidak pernah pun kita pandang untuk menghiasi tubuh waktu kita masih bernyawa segar bugar dulu.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...