Monday, March 12, 2012

rindu itu tak bisa dipuaskan

Sepanjang perjalanan tadi saya dibuai mimpi.

Bermimpi bersama dengan kekasih hati. Bertentang mata tanpa suara pun sudah memadai, bila hati sedang dilamun cinta dan rindu yang bersarang membengkak, sekadar duduk merenung sahaja pun sudah terubat rindu.

Memang saya merepek. Hahaha.

Hujan membuat saya merepek.

Siapa lagilah yang hendak saya salahkan . Cuacalah punca segala masalah manusia kan. Selesema, batuk, sakit tekak dan demam kan, selalu penyebabnya ialah cuaca. Bukan begitukah, bila kita membuka bicara, memberitahu pada rakan atau taulan?

Batuk ni tak hilang-hilang. Dah dua minggu.

Memang sekarang musim. Cuaca tak tentu, tulah tak baik-baik tu, kan.

Bukankah itu skrip yang biasa kita dengar?

Sebenarnya perjalanan tadi dari Kuantan ke Kuala Lumpur, awalnya ditemani hujan lebat. Hujan sentiasa mendamaikan saya, terlebih lagi pemandangan di sepanjang jalan dipenuhi kehijauan. Ah, apa lagi. 

Lagi pula, pilot  utama tidak memerlukan sebarang bantuan dari saya dalam urusan pemanduan, saya jadi khayal dan tenggelam dalam mimpi. Tidur adalah nikmat yang Allah beri, bukankah begitu? Sedar-sedar sudah berada di laluan tol Karak.

Dan alhamdulillah, selamat tiba di Kuala Lumpur. Disambut dengan mendung di langit.

Balik Kuantan sekejap sangat, tak puas.

Teringat ayat tersebut diluah emak mertua sambil menyeka air matanya seperti selalu. Memeluk erat. Seperti tidak mahu melepaskan. Dan saya lihat dia mencium wajah anak lelakinya bersungguh-sungguh. Cuba menyimpan bau anaknya itu dalam fikiran. Bagai pertama kali mencium anak yang baru lahir, bersungguh-sungguh menyedut bau badan si anak. Mengumpul dalam hati agar bersebati dalam diri dan darah yang mengalir.

Ah, kasih seorang ibu.

Mana ada gantinya, kan.

Setinggi mana pun si anak terbang melata, tetap anak itu adalah sebahagian dirinya. Sejauh mana pun anak itu dari matanya, tetap dia dekat dalam doa si ibu.

Rindu yang bersarang dalam hatinya, saya tahu , tak akan bisa dipuaskan.

Bawak kereta hati-hati, jangan laju-laju.

Suara bapa mertua terngiang saat saya menaip entri ini. Insan yang sangat saya kagumi. Seperti  mereka yang dalam generasinya, ayat tersebut sebenarnya terkandung maksud yang berbeza. 

Apak sayang kamu, jaga diri baik-baik.

Mungkin itulah yang tersirat, dan tidak terluah.

Dan dia tetap berdiri di porch  kereta melambai dari jauh saat kereta kami meluncur pergi.

Kasih orang tua, tetap tak berubah. Pelik kan. Walau dipukul taufan dan ribut dan walau hati mereka disakiti tetap kasih itu membara. Dan kini sebagai seorang ibu, saya juga faham.

Mah, nanti si bibik tu bungkuskan udang ngan ikan talapia. Ada dua ekor. Mak dah suruh si ton tu masukkan dalam kereta. Goreng je ikan talapia tu. Bubuh garam kunyit. Goreng garing-garing. Pas tu, cili api tumbuk ngan bawang merah, Bawang merah kena banyak, baru sedap. Goreng garing-garing, letak je atas ikan. tapi bila dah dekat-dekat nak makan baru goreng tu. Dah sejuk tak sedap.

Ah....

Tak habis lagi dengan acara memasak. Adui !

~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

9 comments:

  1. bukan saja ikan... resepi sekali dibekalkan! untungnya menantu yang dapat mak mertua begini....

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya, menantu tu memang tak sedar diuntung , hahaha...

      Delete
  2. tiba2 emosi pula sy baca entri nie..teringat pada aruah mak dan pak sy..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. oh, tidak berniat nak menyedihkan ya

      Delete
  3. ya, kasih saya orang tua melebih segalanya....

    ReplyDelete
  4. .....Salam.....
    sayunya juga hati mamaijat ....
    teringat bonda di kg....
    gitulah bila tiba saat berpisah...
    dengan mata yang terkenyit2 menahan air dari gugur...
    pelukan kemas bagai x mahu di lepas...

    ReplyDelete
  5. terkenangkan renungan mata mak, pelukan erat mak .. semuga dia tenang di sana.
    Kasih sayang ibu dan ayah tiada batas.

    ReplyDelete
  6. Sudah tentu mahu hindangan terbaik. Hendak disediakan sudah hendak balik sebab itu diberi arahan supaya patuh cara masakannya. :-)

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.