Friday, October 12, 2012

penat, kan ... !

Hari ini ialah hari Jumaat. Penghulu segala hari. Ada beberapa hadis yang membicarakan soal tingginya darjat hari Jumaat ini. Kelebihannya dan keindahan hari Jumaat itu, sebenarnya.

Bukan. 

Saya bukan ingin membicarakan tentang hari Jumaat.

Saya bukan pakar hadis atau ahli ugamawan.

Saya cuma seorang guru, isteri dan seorang ibu. Yang punya banyak kurang dan lemahnya. Baik dan lebihnya tak banyak mana. Hebat dan bagusnya hanya superficial, bersifat luaran sahaja. 
"Penatnya jadi pompuan"
Mesej itu tertera di skrin telefon bimbit saya semalam. Mengetuk-ngetuk fikiran . Berulang kali ia menggaris dalam hati walau sudah penat saya cuba menguis dan menolak dari hadir .

Penatkah menjadi seorang perempuan?

Bagaimana pula keadaannya menjadi seorang  lelaki ?  Kurang penat? Sama penat? Atau lebih penat?

Soalan yang sangat relatif sebenarnya kan. Bukannya boleh diukur mengguna dacing elektronik atau yang sejenis dengannya. Soalan yang tiada jawapan salah atau betul dan juga tidak boleh digredkan mengikut sistem pemarkahan institusi mana pun.

Umur berapa sekarang?

Itu soalan saya kepada sahabat yang meluah rasa .

36

Kenapa setelah 36 tahun baru merasa penat menjadi seorang perempuan?

Sengaja saya bertanya. Ingin tahu.

Kerana makin banyak yang kena dibuat sekarang.

Saya mengandaikan kerja yang perlu dibuat adalah kerja-kerja di rumahnya. Kerana apabila mengaitkan penatnya menjadi seorang perempuan tentulah berkait dengan hal rumah tangga. Lainlah kalau sahabat itu mengadu penatnya menjadi seorang cikgu.

Secara idealnya, rumahtangga adalah sebuah institusi perkongsian. Berkongsi amanah, keinginan dan impian. Dan perkara yang dikongsi bersama, biasanya akan menjadi ringan walau berat mana pun ia kelihatan.

Bukan begitu?

Tetapi realitinya? 

Bukan semua rumahtangga adalah medan sebuah perkongsian. Kadang, ia menjadi sebuah medan pertempuran. Medan perdebatan. Medan perebutan. Medan menunjuk kuasa dan menerima . Medan penyerahan diri tanpa kompromi.

Menyakitkan dan sangat memenatkan.

Bagaimana boleh terjadi perkara sedemikian?

Bukankah asas pembinaan sebuah perkahwinan itu selalunya dimulakan dengan kasih dan sayang, rindu dendam dan saling memerlukan. Namun, masa  dan kematangan bersama usia yang meningkat menambah sedar bahawa rindu dendam itu boleh bertukar  menjadi geram, kasih dan sayang boleh mendatar  serta menghaus dan saling memerlukan itu boleh berengsot pergi perlahan.

Itu hakikat.

Bukan ilusi atau mimpi.

Segalanya adalah ujian. Kehadiran kita di dunia ini sememangnya adalah untuk diuji. Tidak kiralah sebagai lelaki atau sebagai seorang perempuan. 

Penat?

Semua orang pasti akan merasa penat.

Tapi yang saya pasti, ikatan sebuah rumahtangga itu jika ikhlas hati-hati yang mendokongnya, Allah akan menghilangkan penat tersebut, satu hari nanti. 

Bersabarlah kawan. Dan bersabarlah diri.

Salam Jumaat semua!! Hujan di luar sana sekarang.



~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

8 comments:

  1. penat. tapi kadang2 takut juga jika org keliling pon penat dengan kita:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya tak ya juga ya, sha. kesian pulak dengan org yang penat ke kita :)

      Delete
  2. Salam kak...

    Bila hati dah tak sabar macam2 boleh jadi kak tetapi bagi Aina masa akan mematang dan mendewasakan kita. Ikutlah pertimbangan akal. Bertindaklah secara bijak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang kalau boleh, mahu jadi bijak setiap masa kan aina :)

      Delete
  3. byk2 bersabar..biasa la penat..hehe

    ReplyDelete
  4. tips kurangkan penat... duduk relax sekejap, pejam mata, tarik nafas dalam2, lepaskan perlahan-lahan... cuba le kot-kot mahu menjadi...

    ReplyDelete
  5. memang penat .. tapi sabar je lah .. isnyallah ada hikmahnya di kemudian hari ..

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.