Wednesday, November 21, 2012

Cari sampai jumpa




Dia ambil beberapa biji bawang merah dan diletakkan dalam bekas plastik merah di depannya. Perlahan-lahan dia menguis bawang-bawang tersebut. Dikiranya satu-satu. Dicapainya lagi bawang-bawang merah yang lain. Semuanya sudah dikopek oleh bibik Ton. Dia cuma ambil dan mengalihkannya dalam bekas plastik tersebut sambil mengira.

Teliti, satu-satu .

Memang sejak dua puluh tahun dari awal mengenal dia, memang begitulah. Memasak adalah terapi baginya. Tidak seperti menantunya yang seorang ini, yang seboleh mungkin, cuba menjimatkan masa di dapur. Memasak dalam kamus hidup menantunya ini adalah keperluan, bukannya seni dan hobi .

Tak payahlah dibanding rasa dan hasil masakannya. Menjilat jari itu tidak berjaya sebenarnya menzahirkan apa yang terhidang di atas meja.

Cuma lewat ini, kekangan fizikal dan kudrat yang makin kurang akibat faktor usia yang bertambah, menjadikan langkah dan tingkahnya kurang pantas.

Karipap! Menu istimewa hari ini.

Wajah emak mertua saya bercahaya sepanjang membuat karipap bersama. Penat memang! Tenaganya tak banyak mana, tapi semangatnya membara mahu turut serta di dapur.

Walau pun saya tahu, hadirnya nanti akan melanjutkan tempoh saya berada di dapur, tapi, bukankah membahagiakan insan lain itu akan membahagiakan diri kita juga. Hendak saja saya minta dia berehat di bilik, dan biarkan saya dan bibik Ton saja yang melangsaikan kerja. Tapi, saya tahu, selagi boleh dia mahu di situ, bertemankan tepung,cili, bawang di sekelilingnya.

Berapa biji engkau masukkan buah pelaga tadi Ton?

5, makcik.

Cengkih , engkau masukkan berapa?

Cengkih pun lima , makcik. Pelaga , lima, cengkih , lima, kayu manis dua batang.

Emak mertua saya diam.

Saya pun diam. Tidak nampak rasionalnya pertanyaan yang diaju oleh emak mertua saya itu kepada bibiknya. Inti karipap yang sudah siap masak terhidang di hadapan kami. Berkepul-kepul asap dan aromanya menari-nari masuk ke lubang hidung.

Mah, cuba ambik pinggan tu, awak carikan biji pelaga, kayu manis ngan cengkih dalam inti ni......

Baru saya tahu signifikannya soalan emak tadi pada bibik Ton.

Kuis, Normah, kuis..... Cari sampai jumpa :)


**Ah, tiba-tiba rindu pulak nak makan laksa bawah pokok dengan cik Noorul .

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

3 comments:

  1. Nur tersenyum selepas selesai baca entri akak ni. Sabar ye kak.. cari sampai jumpa tau.. Banyak juga tu.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah jumpa jugak nur ....

      Delete
  2. Kuis sampai jumpa. Orang veteran teliti memilih bahan.:-)

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.