Thursday, September 20, 2012

lanjut segalanya

Lagu Happy Birthday itu bergema kuat dalam makmal.

Dan diikuti teriakan gembira! Yeay!!!! Diiringi tepukan pelajar-pelajar tersebut  seolah baru selesai memberi persembahan terbaik.

Terima kasih ! Terima kasih ! Wah, seronok sungguh awak semua ya,  sebab saya dah makin tua, makin dekat dah nak mati !

Keliru.

Guru yang seorang ini serius kah?

Bukankah hari lahir itu hari yang menggembirakan, kerana berjaya juga mengharung segala ranjau hidup dan sampai ke saat itu. Bukan semua yang berjaya sampai ke usia seperti itu, kan?

Cikgu, janganlah cakap macam tu.

Ah ...
"You are insecure. Don't know what for. Lagu tu untuk you la sebenarnya..."

Mesej yang terpapar di telefon bimbit saya menggeletek hati . Angkara tidak dapat menulis di dinding FB saya, rakan ini mengusik . Bukankah kebiasaannya , hari lahir dipenuhi dengan ucapan tahniah, doa dan ingatan rakan-rakan FB . Ya itu, kebiasaannya. 

Tapi tidak bagi saya.

Mungkin betullah apa yang ditulis oleh rakan saya itu. 

Tidak selesa, sebenarnya. Insecure. Betullah tu.

:)

Dan sudah kali ketiga rupanya saya mencatat di blog ini setiap tanggal 20 September. Menuju yang pasti dan dah nak mampus, tak sedar diri lagi?, merupakan luahan rasa di hari ulang tahun kelahiran pada tahun yang berbeza.  

Dan kali ini bertambah lagi usia setahun. 

46. 

Bukanlah angka kecil. Besar nilainya.

Menunjukkan apa?

Lanjut? Segalanya?

Yalah... yang tegang makin kendur, yang hitam menjadi putih, yang cerah , makin rabun , yang teguh tak akan selamanya kukuh.

Yang pasti angka itu menunjukkan , sudah 46 tahun ,  Allah memberi peluang, berkali-kali. Berulang kali. Berkali-kali. Berulang kali.

Persoalannya ... , masih adakah lagi peluang sepanjang  dan selama itu?

*Terimakasih atas doa semua rakan dan keluarga. Dan terima kasih juga buat anak-anak murid 5B tadi yang menyanyi sesungguh hati. Dan buat sahabat yang dilanda angin siang tadi, salam kasih dan terima kasih yang tidak terhingga.

Salam ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 11, 2012

sinu nooryl

Agak-agaknya subjek apa yang susah bagi student untuk diskor ?

Tanda soalan di hujung soalan itu saya yang pandai-pandai menambah. Soalan yang muncul dalam jalur sembang group whatsapp  di telefon mudah alih saya. 

Diam.

Saya berfikir.

Membaca pendapat rakan lain dalam kumpulan yang sama.

Dan segera insiden siang tadi terbayang.

Kenapa "adalah mendirikan ...." ni akak bagi salah?

Saya membaca semula kertas jawapan pelajar tersebut. "...adalah berkata ...", " ...adalah membina ..." , semua frasa kata itu dibulatkan oleh guru tersebut, memberi tanda bahawa pelajar itu sudah melakukan kesalahan tatabahasa.

Bukan mempertikai. 

Ingin tahu. 

sumber


Saya rasa subjek BM yang sukar untuk diskor. 

Saya meluah rasa.

Kenapa ya, pelajar-pelajar Melayu masih susah nak skor dalam subjek Bahasa Melayu, walaupun setiap hari bercakap dalam Bahasa Melayu, mencarut, menyumpah, mimpi pun dalam Bahasa Melayu, dan masih juga  tak boleh nak skor subjek Bahasa Melayu? Tak pelik bin ajaib ke?

Dan rakan itu menjawab ....

SPM saya pun, Bahasa Melayu saya dapat 4. Saya memang tak pandai mengarang. Eh... betullah

Itu pun sebenarnya bukan jawapan kepada soalan saya. Itu ialah luahan rasa hatinya juga. Oh ramailah pulak yang meluah rasa, walaupun bilangan ramai itu hanya dua orang sahaja waktu itu.

Ah, Bahasa Melayu saya pun lebih kurang berteraburlah jugak. Jangan kata budak-budak sekarang. Budak-budak dulu pun ramai juga yang tidak bijak mengarang. Tetapi, sebenarnya penting sangatkah kemahiran mengarang bila dah tua-tua macam sekarang ni?
Entah.

Saya rasa sama jugalah seperti kemahiran mengira lilitan bulatan, pengkamiran dan kemahiran-kemahiran yang sepertinya juga. Kepentingannya sangat relatif dan subjektif, bergantung pada situasi dan jenis kerja anda.

Kalau anda seorang guru Bahasa Melayu, mungkin juga kemahiran mengarang itu penting, atau pun kalau anda seorang kolumnis suratkhabar  atau pun majalah, sudah pasti, ah... bukan , sangat pasti kemahiran itu yang utama. Tapi, kalau anda seorang akauntan, jurutera, misal katanyalah , masih perlukah lagi anda bijak mengarang?

Ah.... ayat-ayat saya terasa seperti taugeh-taugeh yang berserakan. Tunggang terbalik. Tak keruan.

Dan bertambah peninglah cikgu-cikgu  Bahasa Melayu yang membaca entri saya malam ini. Maafkan saya, kawan-kawan.



*girdle dalam Bahasa Melayu apa ya? Oh ya, esok pagi cik nooryl dan saya mungkin dapat minum teh tarik percuma di sinu ... :)


~ cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, September 2, 2012

kabur diri






Awak ingat tak saya citer pasal Sofea terantuk kat dashboard tu?

Saya sengih.

Ah, memang awak tak ingat, kan! Penat je saya citer.

Alahai. Ingatan saya memang lemah. Camana tu?

Risau juga kalau nanti satu hari entah bila, jalan balik hendak ke rumah pun tidak dapat saya jumpa sebab sudah hilang ingatan. Nauzubillah!

Eh, tapi kan kalau saya tak ingat, awak boleh citer benda yang sama berulang kali, dan saya akan dengar seolah itu kali pertama saya dengar, kan. Bukan bagus macam tu?

Dan berderai kami bergelak. 

Bukankah seorang sahabat itu sedia memaafkan atas kelemahan sahabatnya dan menerima kelemahan tersebut tanpa syarat.




Selesai membaca buku di atas. Hadiah daripada rakan.

Dan ada  sedih dan pilu di hujung rasa, usai membaca buku tersebut. Memoir sebenarnya, tentang kehidupan penulis di seminari, sekolah berasrama yang menyediakan diri pelajar-pelajar menjadi paderi.

Membaca memoir ini kadang mengingatkan saya tentang pengalaman saya bersekolah di SRK Convent dan Main Convent, Ipoh di awal tahun 70 an dan 80an. Kehadiran Sisters atau rahib-rahib wanita di persekitaran sekolah sentiasa menimbulkan rasa ingin tahu dan taajub dalam diri saya.

Membaca memoir bagi saya sesungguhnya menambah kekayaan pengetahuan dan pengalaman. Seolah kita mencuri sedikit pengalaman hidup insan lain dan menampalnya dalam ruang lingkup ingatan kita.

Bukankah pengalaman hidup kita adalah deretan kenangan yang terpendam dan tersimpan kemas. Dan hanya kita yang tahu pahit, manis , wangi atau busuknya pengalaman itu waktu kita hidup ini.

Bagi saya buku ini banyak menelusuri sisi spiritual dan emosi kehidupan penulis, bagaimana insiden-insiden dalam hidupnya mencorakkan keteguhan, kejatuhan dan pengembalian semula nilai agama dalam diri penulis. Bagi saya, ia sangat menarik, memberi nilai baru dalam kefahaman saya tentang kehidupan mereka yang ingin menjadi paderi.

Bukan sedikit daripada kita umat Muslim juga yang mengalami kejatuhan dan pencarian diri serta makna diri di sepanjang kehidupan masing-masing.
Dulu, saya fikir saya sahaja yang tidak siuman kerana sering mengalami keadaan seperti ini. 
Tetapi selepas bersara dari dunia remaja dan mula beransur tua, saya tersedar yang ia suatu perkara biasa yang sering menimpa anak muda. Pergaulan saya bersama anak-anak muda di universiti, sering mendedahkan saya kepada cerita tentang depression mereka dalam pelbagai bentuk. 
Ada yang kerana cinta. Ada yang kerana pelajaran. Ada yang kerana dakwah. 
Malah ramai juga yang tidak pasti apa sebabnya… seperti saya. 
Mungkin hormon belum seimbang dan gangguan emosi menjadi kebiasaan.   
“Carilah satu dunia asing…untuk kamu keluar dari diri kamu yang sudah rapuh dan kering itu. 
Basahkan kembali dengan bersunyi-sunyi dengan Allah… sama ada di tikar sejadah, atau hamparan bumi dan alam yang tekun dengan zikrullah”, itu nasihat saya. 
Carilah damai untuk diri sendiri. 
Khususnya buat anak muda berjiwa dai, yang sering hidupnya berfikir tentang orang lain, hingga lupa kepada perlunya diri dibelai damai oleh minda, emosi dan spiritual yang kemas antara diri dan Ilahi… hanya kamu dan Dia… tiada yang ketiga.
Selamat Mencari Damai Diri ~ Saifulislam

Saya juga pernah melepasi fasa tersebut. Fasa kabur dan keliru.

Bukan sekarang pun kabur juga ke?

Suara dalam hati mengetuk, sambil jari saya membetulkan cermin mata saya yang makin tebal ini.

kalaulah boleh ... kan !

* moga Allah memudahkan segala urusan kamu humaira !

Salam kasih.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...