Saturday, May 16, 2015

borek dan rintik




Apabila Mesir menutup sempadannya untuk mengelak kebanjiran pelarian Palestin satu waktu dulu, seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam membantah dan mengutuk keras tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut. Kita mengecam dan melahirkan rasa amarah kita. Sesetengahnya mendoakan kehancuran buat pemimpin yang berkuasa di Mesir.

Tetapi bila terkena di batang hidung sendiri, pelarian yang seugama dengan kita, saudara kita dalam Islam, menadah tangan memohon pertolongan dan perlindungan, sebahagian daripada kita dengan terang tanpa berselindung menghalau tanpa belas. Ada yang meminta supaya ditenggelamkan sahaja kapal tersebut. Subhanallah. 

Sebahagian daripada kita menyuarakan kebimbangan tentang kebanjiran pelarian ini akan menyempitkan bumi Malaysia. Jenayah akan bertambah dan kerja akan berkurangan buat penduduk tempatan. Orang-orang ini akan menjadi sepert PATI yang lain. 

Wallahualam. 

Kita lupa janji Allah. Oh... tak lupa barangkali. Bahawasanya sedekah dan amal jariah kita akan digandakan. Rezeki mencurah dan bala bencana akan dielakkan. Kita tak lupa, tetapi mungki sebahagian daripada kita kurang yakin.

Sekali kita menepis tangan yang memohon belas, dan kita nampak sungguh azab dan sengsara yang sedang mereka pikul, Allah tidak akan pernah lupa. Moga kita terlindung dari murka Allah.

Itu yang berlegar dalam benak fikiran saya beberapa hari ini.

Dan semalam, hati saya dan hati sahabat saya terluka. Dek kerana kerenah anak murid yang sengaja ingin menyakitkan hati guru-guru mereka bersempena dengan hari guru.

Memang ramai guru yang bersalah atau tersalah dalam kelakuan dan tindakan. Betul! Kerana guru-guru hanyalah manusia biasa. Bukan maksum, bukan nabi dan bukan malaikat. Tetapi jangan lupa, lebih ramai sebenarnya guru yang mendidik, memang bertujuan untuk menjadikan anak-anak didiknya itu manusia. Terlebih ramai rakan guru yang saya lihat gigih melunaskan tanggung jawab mereka dalam diam.

Apabila Allah hadirkan anak-anak murid yang kurang diajar dan biadap dalam laluan perjalanan profesion ini, Subhanallah, jauh di sudut hati kecil guru-guru ini, rasa khuatir dan risau itu bersarang. Apakah generasi sebegini yang akan memimpin  di waktu tua kami nanti?

Dan tidak hairanlah saya kenapa hal seperti menghulurkan bantuan kepada saudara seislam Rohingya kita itu menjadi isu dan beban bagi sesetengah daripada kita. Anak2 yang rintik, kemungkinan datang dari bapa2nya yang borek, kan.


Selamat Hari Guru buat semua.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...