Sunday, September 13, 2015

Doa buat sahabat





Sememangnya jerebu itu menambah rasa hambar. Dan buncah juga bergantungan di hujung hati. Kebuncahan yang digemakan lagi dengan sebuah ketidakpastian.

Pertama kali saya menggunapakai perkataan buncah.


Seperti sejenis sayuran bila perkataan buncah itu disebut. Buncah itu sebenarnya sinonim dengan perkataan risau, gelisah, cuak, cemas dan sebarang perkataan yang membawa maksud yang sama.

Jerebu di luar memang tidak membantu langsung mengurangkan rasa buncah tersebut.

Dan petang ini saya menulis untuk sahabat saya. Buncah yang bersarang itu terkait dengan sahabat saya.

Kadang-kadang, rasa kesedihan boleh diluah dan dikongsi. Walau pun kedalaman sebuah sedih itu hanya individu berkenaan yang lebih tahu sejauh mana. Tetapi sakit... , sebuah kesakitan itu tidak dapat dikongsi walau sedikit pun. Hatta dengan orang yang disayang. Hanya yang diberi oleh Allah kesakitan itu sahaja yang tahu bebanan perasaan dan rasa sakit itu bagaimana.

Mereka yang diberi Allah nikmat sihat , seperti saya, memang tidak dapat meletakkan diri dalam sebuah dunia yang penuh dengan kesakitan berpanjangan. Kita hanya mampu melihat dan mendoakan, membantu serba sedikit cuba memberi keselesaan. Dengan harapan keselesaan itu dapat mengurangkan kesakitan.

Kadang-kadang kata-kata dan tindakan yang diluahkan oleh manusia yang sihat itu sebenarnya lebih mendatangkan bebanan dan kesakitan buat yang sedang menanggung sakit. Secara sedar atau pun tidak. Hatinya terguris. Dan ini menambah lagi kesakitan yang telah sedia ditanggung.

Berhati-hatilah, terutama buat diri saya sendiri. Dalam menulis atau bercakap. Niat yang baik tidak semestinya di hujungnya penuh dengan kebaikan.

Yang terlebih baik ialah mendoakan. 

Buat sahabat yang saya kasihi, saya mendoakan agar Allah mengurniakan kesembuhan serta kesihatan yang baik selepas ini. Semoga kesakitan yang sahabat saya tanggung hari ini menjadi penyebab kehidupan yang bahagia di dunia dan akhiratnya nanti. Saya sentiasa percaya, ujian ini terjadi padanya kerana beliau adalah insan yang baik hatinya, dan ujian ini menjadi alasan untuk meninggikan darjatnya di sisi Allah. Allah itu adalah Maha Pengasih dan Penyayang. Hanya kepada Dia permohonan ini saya tuju, kerana Hanya Dia yang Maha Berkuasa memakbulkan.

Aamiin.




Salam Kasih buat Noorul.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...