Friday, February 1, 2019

Imigran





Lewat kebelakangan ini, saya menyedari beberapa perubahan dalam diri saya.


Selain dari uban di rambut makin bertambah, mata yang rabun makin bertambah rabun dan malas hendak mengemas rumah apatah lagi memasak, ada lagi perubahan lain yang saya kira disebabkan oleh faktor usia juga.


Sekarang ini makin kurang minat membaca novel, tetapi lebih gemar membaca buku-buku yang lebih serius nadanya. Hahaha... macam lah serius sangat. Disebabkan buku yang dibaca tu seriuslah kononnya, maka makin sukar dan lambat pula nak menghabiskan membacanya. Alasan yang logik dan boleh diterima pakai kan....




Buku ini saya beli dalam bentuk e-book. Konon-konon nak mengamalkan gaya hidup Konmari , nak rumah tidak ditenggelami dengan objek, maka saya mencuba membaca melalui e-book.


Secara keseluruhannya, buku ini memang best. Boleh baca review yang best juga di sini. Kisah kemanusiaan yang saya fikir terpakai untuk di mana sahaja yang melibatkan golongan pendatang atau imigran.


Buku ini menjadikan objek utamanya, pelajar-pelajar dari golongan imigran yang bersekolah di South High School di Denver. Penulisnya, seorang wartawan terkenal, Helen Thorpe , telah menelusuri kehidupan 22 orang pelajar immigran ini selama setahun di dalam kelas dan di luar kelas mereka, di rumah.


Ada saat bila membacanya, saya mempersoalkan semula cara fikir saya dan pandang mata saya terhadap golongan imigran yang berhijrah atas sebab berusaha melepaskan diri dari kemelut hidup di negara asal mereka sendiri.


Ada satu perkara yang menarik perhatian saya bila membaca buku ini. Ini berkait dengan sistem pendidikan di sana.


Salah satunya ialah fleksibiliti sistem untuk memenuhi keperluan pelajar-pelajar imigran ini. Pelajar-pelajar ini perlu menghadiri kelas Bahasa Inggeris sepenuhnya buat beberapa bulan awal supaya boleh beradaptasi dengan suasana di sekolah. Setelah guru kelasnya berpuas hati dengan keupayaan pelajar tersebut, mereka akan diserap masuk ke kelas advanced


Satu perkara lagi yang menarik ialah aliran maklumat antara kementerian berbeza berlaku dengan pantas dan berkesan. Dalam hal The Newcomers, salah seorang pelajar imigran ini telah mengalami kemalangan yang teruk. Setelah beberapa lama di hospital, doktor yang merawatnya berpendapat, penyembuhan akan lebih cepat berlaku, jika pelajar ini kembali ke sekolah dan bersosialisai dengan rakan-rakannya.


Yang bestnya ialah, hari pertama pelajar itu sampai di sekolah, kaki tangan di sekolah telah sedia dimaklumkan oleh pihak hospital tentang keadaan pelajar dan guru kaunselingnya telah bersedia dengan rekod kesihatan pelajar yang telah diterima dari pihak hospital. Bukan diterima dari ibu bapa pun. Sebab ibu pelajar ini pendatang yang sukar berkomunikasi dengan orang tempatan.


Kelicinan urusan perkongsian maklumat ini memang susah sangat lah hendak dilihat di negara kita.


Sedangkan bila pelajar sihat berpindah sekolah pun, berlaku keciciran markah kokurikulum atas pelbagai alasan. Sedangkan ia berada dalam satu kementerian. Apatah lagi pula, kalau masalah kesihatan yang melibatkan dua kementerian yang berbeza.


Mau nak tercabut wayar telefon kut kalau cikgu sekolah mintak maklumat kesihatan pelajar dari pihak hospital .. 
😂


Akhir kalam... kahkahkah... jarang betul saya mengguna perkataan akhir kalam ni, cubalah baca buku ini, sedikit kelainan mungkin dalam genre bacaan kawan-kawan semua.

Selamat bercuti Tahun Baru Cina semua.

Mungkin ada yang tersangkut dalam kesesakan jalan raya saat ini. Saya doakan semuanya semoga Allah permudahkan.



~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...