Saturday, September 14, 2013

tak habis-habis menumpang






Ada orang nampak hebat kerana pakaian yang melekat di tubuhnya. 

Mungkin kerana fesyen terkini, up to date , membalut tubuhnya. Jelas penampilannya berjaya mencuri pandangan insan-insan di sekeliling. Memang hebat. 

Ada orang lain pula nampak hebat kerana kenderaan yang dipandunya.

Menjalar, berkilauan, terlebih lagi kalau kereta import berjenama mahal yang punya kelas tersendiri. Bercermin mata hitam dan gelap juga cermin keretanya, memang pasti nampak hebat. Tidak kiralah si wanita atau lelaki. Biar pun lelaki yang punya perut yang boroi. Boroinya kala itu pun nampak hebat juga, kan.

Ada pula yang nampak hebat kerana gadget yang sedang diguna pakai.

Mungkin henfonnya jenama terbaru yang panas di pasaran. Atau kamera yang disandang ke hulu ke hilir mengalahkan besarnya kuali di rumah saya. Atau mungkin juga laptop di ribanya nipis sungguh, senipis kulit bawang . Kagum orang lain yang melihat. Pasti hebat kan. 

Hebat di mata . 

Hebat yang terhasil atas menumpang. 

Menumpang atas makhluk-makhluk yang tidak bernyawa.

Pelik kan.

Kita nampak hebat kerana pakaian, alat make up, kereta, henfon atau mungkin juga kerana emas berlian yang tersarung. Mungkin juga kerana cermin mata, tudung yang melilit di kepala atau mungkin juga serban dan jubah yang kita sarungkan pada tubuh badan.

Tapi mungkin juga hebatnya kita kerana daya fikir dan petah nya kita berbicara.

Itu tidak menumpang jugakah?

Idea dan petah kita pasti bersumber dari  inspirasi di sekeliling. Ia tidak terbina dengan sendiri. Kita perlukan pengalaman bagi membina idea. Pengalaman yang mungkin kita ceduk dari pembacaan atau tindak balas yang berlaku hasil dari hubungan kita dengan persekitaran.

Hidup kita sebenarnya menumpang.

Menumpang atas makhluk lain yang bernyawa atau tidak.

Jelas, kita sebenarnya tidak sehebat mana tanpa makhluk-makluk  tersebut di mata manusia.

Dan masih lagikah rasa sombong dan megah diri atas hebatnya kita itu perlu dibiar bertapak dalam diri?




Bertawadhu'lah.

Itu pesanan seorang ustaz semalam dalam ruangan motivasi pagi di radio IKIM. Dan baru sekarang saya tersedar . Memang benar sungguh kata ustaz tersebut.

Kita semua hanya menumpang atas makhluk yang lemah .

Tersangatlah lemahnya kita.

Salam  Hari Malaysia.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, August 11, 2013

risau dan takut




Aidilfitri kali ini rasanya banyak diwarnakan dengan deraian air mata serta titisan darah yang merata. Saban hari kisah kematian berdarah dari pelbagai sebab dan musabab menghiasi dada akhbar dan menghinggap di telinga.

Sadis.

Tragis.

Mengerikan.

Terbaru, yang sempat menjadi halua telinga dan jamuan mata ialah kisah malang yang menimpa seorang kerani . Ajalnya tiba tatkala memeriksa bungkusan aneh di atas kereta milik abangnya. Begitu sekali bencana yang melanda kita zaman mutakhir ini.

Ditambah pula dengan kisah kemalangan pelbagai, yang banyak melibatkan kematian.

Kebakaran dan kemalangan jalan raya menjadi rencah yang merencamkan lagi warna kesedihan dan tangisan mereka yang ditinggalkan.

Nasib kita yang masih belum diuji dengan ujian-ujian hebat seperti itu belum tentu lagi.

Tidak ada sesiapa pun yang dapat memastikan diri sendiri akan selamat, apatah lagi insan-insan di sekelilingnya. Biar pun kita mengambil setiap langkah yang difikir dapat menjauhkan kita dari segala bencana apa pun ..., tetap, jika sudah tertakdir, tiada siapa yang dapat menangkis . 

Yang indahnya menjadi seorang Muslim adalah sifat pergantungannya dengan Allah. Setelah segala ikhtiar dan usaha kita lakukan, kerisauan yang bersarang akan Allah gantikan dengan ketenangan jika kita meminta urusan melindungi itu dipulangkan kmbali  kepada Yang Maha Kuasa. 

Kerana kita memang tidak punya kuasa.

Kudrat dan upaya kita memang tidak seberapa.




Saya teringat satu cerita lucu bagaimana seorang perompak yang telah merompak sebuah rumah. Kejadian itu disedari oleh tuan punya rumah yang tidur di tingkat atas. Walaupun begitu dia tidak berani melawan kerana perompak itu bersenjata. 
Cuma sebelum perompak itu keluar dengan barang-barang rompakannya, tuan rumah berkata, “ sebelum kamu pergi jenguklah isteri saya yang berada di tingkat atas… dia telah menunggu kamu selama 15 Tahun.” 
Apa maksudnya lelaki itu? 
Maksud lelaki itu, selama 15 tahun isterinya dalam keadaan bimbang, takut dan sentiasa bersangka buruk yang rumah mereka akan dirompak. 
Dan kali ini apa yang disangkanya itu telah benar-benar telah terjadi. Ya, walaupun itu sekadar sebuah cerita… tetapi realitinya memang berlaku dalam hidup ini. 
Allah mengingatkan kita melalui sebuah hadis Qudsi: “Aku bertindak sebagaimana sangkaan Hamba-Ku. Dan Aku akan selalu bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku didalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diriku. Apabila dia mengingatiku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk).” 
Namun, perlu diingat bahawa sangka baik perlu diimbangi oleh sikap berhati-hati. ~  Ustaz Pahrol : Cukup Hanya Sekali
 
Yang penting... berhati-hati.

Doa saya moga semua kita ini Allah selamatkan dunia dan akhirat dari segala mara bahaya, fitnah, bala bencana serta mala petaka.

Ameen.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 6, 2013

baju pink tahun lepas






Dengar tak tadi perempuan tu cakap apa.

Perempuan mana?

Saya meninjau ke belakang. Ah, dah hilang dari pandangan mata. 

 Ala, dah tak de.

Dia cakap apa?

Dia cakap ngan kawan dia, .. you ingat tak baju pink yang I beli tahun lepas...

Saya menanti reaksi sahabat saya. Mengharapkan dia memberi respons pada ayat saya sebentar tadi. Tentang ayat perempuan yang telah hilang dari pandangan tersebut. 

Blur.

Sah sudah sahabat saya ini tak faham.

So...? Kenapa bila dia cakap camtu?

Nasib baik bukan saya yang jadi kawan baik dia.

Kenapa?

Jenuh jugak nak ingat baju pink dia tahun lepas. Baju yang awak pakai semalam pun saya tak ingat. Apatah lagi kalau awak suruh saya ingat baju awak yang tahun lepas.

Haha.

Berderai tawa kami memeriahkan lagi kawasan beli belah di JJ Aeon tersebut.

Kadang, kita merasakan semua orang asyik memerhati kita dan mengingat waktu-waktu manis dan indah dalam hidup kita, kan. Tapi sebenarnya saya kira hanya kita yang perasan begitu. Manusia adalah insan yang sibuk. Banyak yang disibukkan di dunia ini dan pastinya di akhirat nanti kita lebih sibuk.

Terbaca ini di status FB Wardina Safiyyah:
Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah S.A.W bersabda:“Sesungguhnya Jibrail (A.S) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni"
Melihat diri sendiri dalam bulan Ramadhan ini, saya kira saya termasuk dalam golongan insan yang leka, tetapi berharap sungguh tidak tergolong dalam manusia celaka. Tapi sekadar berharap sahaja kan, itu yang masalahnya.

Apa pun sempena menyambut Syawal yang akan menjelang, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada sekelian yang mengenali dan membaca tulisan-tulisan saya. Semoga setiap amalan baik kita walau sekecil zarah pun Allah terima juga.

Salam Ramadan yang akan berlalu dan Syawal yang mendatang.






~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, July 8, 2013

ada sebab semua benda ni berlaku





sumber

Saya sentiasa percaya apa yang berlaku ada sebab dan musababnya. Kepercayaan yang pastinya juga dikongsi oleh ramai insan  lain .

Tidak semestinya kejadian itu berlaku ke atas kita. 

Mungkin yang berlaku bukan ke atas batang tubuh kita. Tetapi kita mendengarnya. Atau kita menjadi saksi atas kejadian. Atau pun kita hanya sekadar pemerhati terhadap keadaan. 

Pasti kita sebagai pendengar atas kejadian itu pun bersebab. Ada sebab mengapa kita yang tahu, atau kita yang nampak atau kita yang perasankan kejadian tersebut. Ada sebabnya mengapa Allah yang pilih kita sebagai orang yang mengetahui.

Saya pun tak tahu kenapa saya selalu terima peristiwa macam tu.

Dia bercerita sambil berdiri. Wajahnya penuh emosi. Mata bulatnya waktu itu kelihatan berkaca-kaca menahan sedih yang berombak dalam dadanya.

Kenapa saya yang nampak perempuan itu? Perempuan tu merayu dekat ATM , dia tak boleh nak keluarkan duit dan buntu kerana terpaksa membayar bil air. Dan saya jadi belas. Saya peluk perempuan itu dan saya hulurkan duit pada dia.

Sambil bercerita itu pun getar suaranya berubah. Rasa sedih beriring dalam setiap butir katanya. 

Dan kalau suami saya tahu, pasti dia akan membebel, penat saya cari duit, senang-senang awak berikan pada orang lain ya. 

Saya tersenyum. Ah, begini rupanya seorang rakan yang punya hati yang kering seperti saya.  Belas dan sedih dari kisahnya itu yang hampir-hampir menghinggap di hati saya tiba-tiba terbang jauh. Rasa seperti lucu pula membayangkan nantinya dia dileteri oleh suami atas hati isterinya yang baik. Pelik sungguh kadang-kadang .

Perempuan tu bawak anak sorang. Saya rasa kesian sangat sebab baju anak dia koyak ..

Seluar anak kak normah pun baru ni koyak. Betul! Besar koyaknya. Tak kesian ke kat kak normah?

Alasan rasa kasihan dalam dadanya itu sengaja  saya dan rakan-rakan yang lain cuba permainkan. Berlawak-lawak, walau pun kami tahu memag sifatnya begitu. Cepat sungguh kasihan.

Tapi sebenarnya saya kira Allah letak dia di situ untuk menambahkan amalan kebaikannya. Meninggikan darjatnya di sisi Allah kerana punya hati yang baik. 

Bukankah banyak kisah yang kita tahu, dek kerana sekeping hati yang baik itu, pengakhiran  si empunya adalah syurga .

Kenapa Allah meletakkan saya sebagai pendengar? Mungkin, mungkin untuk menyedarkan saya bahawa saya perlu mencontohi sahabat saya ini. Mungkin.

Dan yang ini ....

Status BFF di FB

Ada sebab mengapa Allah letakkan sahabat saya itu sebagai guru kelas tersebut. Kerana kalau saya yang di situ, mungkin anak-anak itu tidak akan mendapat perhatian yang sewajarnya. Mungkin.

Amin untuk doa tersebut.

Salam Ramadhan yang bakal menjelang.



~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...