Tuesday, September 16, 2014

cukup-cukuplah





Saya seorang guru. Hati saya, jiwa saya, ingatan saya setiap hari berkisar tentang kerjaya saya sebagai guru. 

Saya pasti bukan saya seorang sahaja seorang guru yang berfikiran sebegini. 

Bila melihat gambar-gambar insan yang bergelar guru digari terpampang dalam suratkhabar, sedikit perasaan tercuit. Malu. Itu sebahagian daripada perasaannya. Yang terlebih lagi ialah merasakan penyesalan bagi pihak yang tertuduh.

Kalaulah... mereka berfikir dahulu sebelum bertindak.

Dan mesej-mesej pun berantakan masuk. Dari mesej 'Kisah seorang guru'- kisah pendek menceritakan pengorbanan seorang guru sehinggalah sajak 'Cheaters' yang bertujuan sama juga, cuba mengenengahkan pengorbanan seornag guru.

Kenapa kes pembocoran kertas peperiksaan pada tahun ini begitu mendapat perhatian sehingga kertas peperiksaan terpaksa ditunda dan diulang semula. Wallahualam.

Sedangkan saban tahun, kisah soalan bocor ini bukannya tidak pernah kita tahu. Bohonglah kalau menafikan.

Dan ramai guru menidakkan penglibatan guru yang berintegriti lemah, menafikan di kalangan kami ada yang memang cenderung untuk melakukan salah laku atas apa juga alasan.  Membocorkan perkara yang dia tahu jangan dibocorkan. Tetapi alasan yang paling 'bagus' ialah untuk membantu anak-anak kita.  Menyalahkan KPM meletakkan keputusan peperiksaan aras tanda bagi sekolah, kerana itu sekolah berasa tertekan, guru-guru tertekan, maka jalan paling mudah ialah membocorkan soalan.

Ini menambahkan malu saya.

Seolah-olah seorang  guru itu adalah manusia yang mudah sangat kalah pada tekanan.

Jika benar salah laku itu adalah berpunca dari seorang guru, maka dia bukanlah berjiwa guru. 

Dan guru lain janganlah cuba memberikan alasan untuk dia sebagai pesalah. Seolah membenarkan perlakuan salahnya atas kerana tekanan yang diterima. Lainlah kalau nyawa isteri dan anaknya  terpaksa digadaikan kalau dia tidak membocorkan soalan. Atas dasar itu bolehlah kita bersimpati.

Kita menyalahkan typist, yang mungkin membocorkan soalan, salahkan pencetak mungkin kerana dia yang mungkin akan membocorkan soalan, tetapi bukan itu yang saban tahun saya dengar dari mulut-mulut yang menerima soalan bocor, biasanya. Bukan pencetak, bukan typist yang menyebarkan. Biasanya dari guru jugalah. 

Bukanlah bermakna anda seorang guru dan anda tidak membocorkan soalan maka semua guru itu suci. Dan tidak juga kalau seorang guru itu membocorkan soalan, maka semua guru itu tidak berintegriti.

Saya cuma ingin menyatakan, janganlah kita para guru cepat sangat melatah. Memohon simpati tak sudah.. berkongsi cerita pengorbanan seorang guru pada satu dunia dan minta dikasihani. Tidak! Hentikanlah.

Kita guru di Malaysia ini adalah guru yang berhati waja. Jika salah seorang dari kami berlaku salah, hukumlah. Kita tidak mudah kalah pada tekanan. Pengorbanan kami tidak perlulah dihebohkan, kerana kami ikhlas dalam bidang ini. 

Hentikanlah menyebarkan kisah pengorbanan seorang guru, seolah-olah menjadi guru itu sangat menyusahkan hidupnya. Padahal saya pasti ramai guru di luar sana yang cintakan profesionnya ini, mahu kalau boleh, tidak mahu orang  tahu pun apa yang dikorbankan untuk anak-anak muridnya.

Cukup-cukuplah.


~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...