Thursday, April 16, 2020

Memanau dan Mengaram






Memanau.

Pernahkah sahabat semua terjumpa dengan perkataan tersebut? Contoh mudah ayat yang menggunakan perkataan memanau :

"Sejak PKP ini berlangsung, sunyilah kisah guru disiplin memanau pelajar yang didapati melakukan kesalahan berat di sekolah seperti merokok"

Selepas agenda memasak di rumah, saya melepas lelah dengan duduk mengadap komputer riba, menelaah muka buku untuk kesekian kalinya. Mata terpaku pada video-video Ustaz Ebit Lew yang saban hari tanpa penat menerjah kawasan sahabat-sahabat kita yang daif, susah dan payah. 

Sedihnya dan terasa insaf sebentar apabila membandingkan nikmat yang Allah telah kurniakan kepada saya selama 54 tahun bernafas di bumi ini.

Tabik spring berkali-kali buat Ustaz dan teamnya yang tanpa rasa penat dan patah hati, terusan menghulurkan bantuan buat semua lapisan masyarakat, tidak kira bangsa, Cina, India, Melayu, Bangla, Indonesia, mak nyah, tua, muda, sakit mahu pun yang sihat.

Rahmat Allah kita doakan berganda-ganda dikurniakan buat Ustaz Ebit Liew.

Apa kaitannya dengan memanau tadi?

Tak ada kaitan langsung sebenarnya.

Perkataan memanau itu membawa maksud merotan

Baru terjumpa dengan istilah tersebut semasa di muka buku juga, di Page FB Munsyi Muda Bahasa.  Perasaan teruja meneliti posting  di page  tersebut membawa saya ke laman webnya.

Setelah sekian lama baru kini saya tahu rupanya ada Laman Perujuk Bahasa bagi warga kementerian dan agensi di bawah JPA. Munsyi Muda Bahasa ialah penjawat awam yang telah mengikuti kursus bahasa Melayu dan melepasi tahap penilaian kefahaman bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta ditauliahkan oleh Ketua Pengarah DBP dan dilantik oleh KPPA sebagai Munsyi Muda Bahasa. Hebat rupanya mereka ini.

Dari laman web inilah setelah berusia 54 tahun, baru saya ketemu dengan perkataan-perkataan baru yang menimbulkan rasa 'WoW' dalam diri. 

Best!!

Koleksi Info Pugar Bahasa yang ada di laman tersebut sangatlah berguna, terutama pelajar-pelajar yang akan mengambil SPM pada suku pertama tahun depan. (Seronok ke tidak, SPM dilanjutkan ke tarikh baru tersebut ya? Persoalan lain yang terpaksa suka atau tak suka diterima oleh semua).

Ini antara contoh :



Perkataan merbahaya rupanya salah diguna pakai selama ini. Yang betulnya ialah berbahaya. 😎

Memanglah terasa kerdil sangat diri bila melihat beribu kesalahan yang telah saya buat dalam blog saya yang hangat-hangat tahi ayam ini. Selain terasa kerdil dengan Ustaz Ebit, dengan para Munsyi Muda Bahasa ini pun.... bertambah lagi kekerdilan yang ada.

Sebelum saya lebih jauh lagi menulis dengan penuh kekeliruan bahasa, saya nak berkongsi peribahasa yang baru saya tahu ni...







Sungguh....., pertama kali berjumpa dengan perkataan mengaram.  

Hai, mengaram !! Selamat berkenalan ... - (ini hanya khayalan dalam kepala , menganggap mengaram itu kenalan baru 😅)

Poster tersebut memang sesuai sungguh dengan situasi yang kita hadapi sekarang, terutama negara yang memandang enteng penyakit COVID-19 sebelum ini. Akibatnya, maka 'mengaram'lah negara tersebut. 

Moga Allah jauhkan kita semua daripada bencana yang berpanjangan. 

Namun begitu, positifkan fikiran, seperti peribahasa omputih :

Every cloud has a silver lining, yang bila diterjemahkan ke bahasa kita Dalam buruk, Ada Baik...


Jaga diri semua.

#stayhome

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 9, 2020

5 Usaha 2004





Masa sedang PKP inilah ramai yang mengambil kesempatan mengemas apa yang patut. Dari mengemas bilik, kemas rumah, kemas laptop, kemas handbag.. macam-macam kemaslah kan.


Seorang sahabat seawal pagi, berkongsi gambar majalah sekolah SMK Taman Setiawangsa tahun 2004 dalam group whatsapp yang saya juga ahlinya. Agaknya mengemas rumah di kampung, maka terjumpa majalah tersebut.


Yang bestnya majalah sekolah ni, (walaupun ramai juga bebudak yang taknak bayar duit majalah sekolah) ialah adanya gambar-gambar lama buat kenangan. Dan gambar-gambar itu bukan kita sahaja yang menyimpannya, ia juga disimpan oleh beratus lagi orang lain yang memiliki majalah tersebut.



Ini antara kenangan manis sewaktu menjadi guru kelas. Walaupun memanglah semasa tahun 2004 ini, pening juga mengadap budak-budak dalam gambar tu, tapi bila diingat semula, kenangan yang tidak boleh diulang lagi itulah menjadi perkara yang manis untuk disimpan.


Kelas 5 Usaha, kelas paling belakang sewaktu itu pada tahun tersebut. Zaman-zaman tersebut, streaming pelajar adalah perkara biasa. 


Mengajar matapelajaran Sains, (antara mata pelajaran yang saya fikir paling senang dalam dunia) agak mencabar juga untuk saya dan untuk mereka. Kasihan juga buat anak-anak ini, sebab saya bukanlah antara guru yang kreatif bab-bab mengajar ni. Cumanya saya fikir, antara cara meningkatkan esteem diri mereka waktu itu  ialah cuba mendapatkan anugerah kelas terbersih. 


Kebiasaannya, kelas hujung, segalanya akan terbiar. Papan kenyataan  seolah antara hidup dan mati, tetapi mati itu lebih dekat bagi menggambarkan papan kenyataan di kelas hujung. Bab itulah yang saya tidak mahu menjadi trademark  nanti buat kelas 5 Usaha.


Awal usaha, dibantu oleh anak-anak dara yang rajin dalam kelas tersebut, dan ketua tingkatannya yang amat baik, berjaya juga menceriakan kelas dengan ala kadar. Kain menutup papan kenyataan saya beli di Carrefour  dan bertungkus lumus dengan budak-budak ini cuba mencantikkan kelas yang memang tak berapa cantik.

Moto saya: Biarlah tak cantik sangat, yang penting sedap mata memandang.


Sengaja saya banyakkan mengajar dalam kelas, bukan di makmal Sains, kerana hendak pastikan yang kelas tersebut bersih dan kemas sentiasa. Walaupun, ada kala bukan sebab tu sangat, tetapi sebab sukar juga mengawal disiplin mereka semasa dalam makmal. 

Membebel itu perkara biasa. Agaknya, mendidih juga hati dan perasaan anak-anak ini setiap kali saya masuk ke kelas, menegur kenapa senget itu dan ini, kenapa nota di papan kenyataan tersebut melayang-layang ditiup angin tidak distapler kemas.


Usaha yang awalnya nampak sia-sia, rupanya mendapat sambutan dari murid-murid lelaki dalam kelas ini apabila minggu berikutnya kelas 5U dinobatkan menang kelas terbersih . 


Selepas dari itu, naik kemaruk pulak budak-budak lelaki ini, sehinggakan ibarat kata mantan ketua tingkatan " ...dah macam taska pun ada dalam kelas masa tu". Carpet  dari kelas berjiran diangkut bawa masuk ke dalam kelas dan pasu bunga dari bawah diletakkan dalam kelas untuk menceriakan lagi kelas.

Haha


Pening juga  nak menjawab dengan Cikgu Kelas jiran dan Penolong Kanan HEM waktu itu, minta dipulangkan semula carpet  dan pasu bunga ke tempat asal.


Ah.. kenangan manis jadinya sekarang.


Doa saya semoga semua anak-anak ini berjaya dalam hidup masing-masing, diberi kesihatan yang baik-baik sekeluarga. Moga anak-anak kalian akan jadi anak-anak soleh dan solehah, berjaya hidup dunia akhirat.

Cikgu minta maaf atas segala kekurangan. Mungkin kerap juga cikgu lambat masuk ke kelas atas alasan apa pun, atau tidak memberi perhatian yang sewajarnya buat kamu semua. Mungkin ada kata-kata cikgu yang menusuk kalbu, dan mungkin sehingga sekarang ada antara kamu yang ingat dan masih menyimpan rasa terkilan atau marah. Tak baik simpan marah tu...😂


Minta maaf dari kamu dan semua juga murid-murid yang Cikgu pernah ajar.


Salam Nisfu Syaaban semua.


Dengan ingatan  kasih.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 8, 2020

Hashtag tahun ni #bajurayatahunlepas




Sudah hari ke berapa entah PKP ini.  Dah hilang kemahiran mengira dah dua tiga hari ni. 

Salah siapa kalau bukan salah si COVID-19.. 😛

Walau pun kemahiran mengira dah semakin menyusut, tetapi Alhamdulillah kemahiran membaca masih berdaya. Selain makan, masak, PdPc Whatsapp dengan anak-anak sekolah, sempat jugalah melayari media sosial.

Dari satu isu ke satu isu, sejak dua menjak ramai yang terkurung di rumah.

Rupanya kemahiran membawang tidak perlu dari muka ke muka, hanya perlu ditintakan dalam media sosial sahaja, ia jadi lebih hebat dan lebih viral.

Tengahari tadi bercadang menonton resepi-resepi dan gambar-gambar masakan rakan-rakan di FB, mendapat notifikasi dari FB, yang wajahnya sudah dibaharui.



Begitu rupanya muka FB yang baru. Entah kali ke berapa sudah ya, muka FB ini ditukar ganti. Agaknya tuan punya si Mark Zuckerberg tu tengah boring di rumah dengan PKP juga, jadi baiklah dia membelek-belek FB kepunyaan beliau ni.

Macam kita-kita yang rajin menukar layout ruang tamu rumah masing-masinglah kan. 

Gitu gamaknya si Mark ni. 

Kita hanya pengguna sahaja, yang menumpang guna FB untuk bermacam tujuan. Masing-masing punya petak atau domain, masing-masing lah  punya cara muat naik post atau status. 

Cumanya dalam isu nak kena potong gaji ni, termenung jugaklah makcik yang sedang menaip entri ni.

Itu kan, ..... isu yang sedang mengambil giliran tangga teratas dalam isu bawangan sempena COVID-19. Selepas isu artis tak cukup duit, bisnes woman nak disingkirkan dari post  menara gading, isu air suam bunuh virus... sekarang giliran isu gaji cikgu wajar di potong.

Malas lah nak ulas. 

Yang makcik tahu, lama-lama senyaplah isu ni.

Buat je lah kerja sendiri. Semua kita pun akan ditanya satu hari nanti, tentang amanah dan tanggung jawab. Kalau guru, adakah selama PKP ini dia menjalankan tanggung jawab dan amanahnya dengan betul dan sedaya upayanya atau tidak?

Bukan guru sahaja yang akan ditanya.

Semua....

Yang utama sekarang, ialah isu yang lebih besar, keselamatan dan kesihatan semua.

Sekiranya angka kematian menjadi parah, seperti di Itali nun, di AS, Perancis, Sepanyol tu... adakah barisan hadapan kita, iaitu para petugas di hospital itu dapat menghadapinya.

Nauzubullahiminzalik.

Harap-harap tidaklah sebegitu nanti.

Saya pun dah berusia lebih 50 tahun, antara yang berisiko.
Takut mati itu memang sudah semestinya, kerana bekalan pun masih belum mencukupi.

Cuma, harapan kita semua mati kita dalam keadaan husnul khatimah.

Raya tahun ni rasanya takdelah nak bagi duit2 raya, duit raya tu eloklah kita sedekah pada jiran, kenalan atau sahabat handai yang ada mungkin hilang sumber pendapatan. Duit untuk beli baju raya pun tak payahlah, baiklah disedekahkan sahaja kepada sesapa yang susah tu.

Tahun ini, biarlah kita viralkan pakai baju raya tahun lepas. #bajurayatahunlepas

Semoga sihat semuanya ya.


~cikgunormah@klcitizen~













Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...