Wednesday, July 22, 2015
Adui..dui..dui
Tuesday, July 21, 2015
Sunyi
Nasib mak baiklah juga kan.
Sambil memandu, ekor mata saya melirik ke arah emak di sebelah.
Walau pun anak cuma 3 orang, tapi ada juga adik awak yang hendak tinggal bersama emak. Tidaklah emak sunyi.
Ya. Alhamdulillah. Dalam diam saya mengangguk bersetuju. Setelah aruah ayah tiada, adik lelaki saya dan isterinya memang tinggal bersama emak di kampung. Syukur sungguh, Allah sahaja yang tahu.
Kebetulan pula, adik perempuan saya dan keluarganya tinggal berdekatan. Maka sakit pening emak, memang ada anak-anak yang tahu.
Bukan apa.
Sekembali dari menziarah ibu-ibu saudara dan bapa saudara di kampung yang kebanyakannya telah kematian pasangan masing-masing, menambah lagi rasa syukur saya. Punya bilangan anak-anak yang jauh lebih ramai dari emak saya, tetapi tatkala saya datang berziarah, mereka berseorangan. Anak-anak sudah kembali ke rumah masing-masing.
Masing-masing punya tugas dan kehidupan sendiri serta rumah kediaman yang perlu dijaga. Sesekali balik melawat emak. Bukan ditinggalkan begitu sahaja, saya faham. Tetapi tetap, senggang masa menunggu anak-anak itu penuh dengan rasa sunyi.
Emak saya antara yang bertuah.
Adik lelaki saya dan keluarganya tinggal bersama dan mereka membuka gerai makan di hadapan rumah emak saya sahaja. Alhamdulillah, rezeki mereka Allah limpahkan berkat ikhlas menemani emak.
Nasib masing-masing. Allah yang lebih tahu.
Nasib saya di kemudian hari pun entah bagaimana. Terlebih pula, anak hanya seorang.
Kata orang, akan tiba satu masa nanti, wang jadi sangat penting dalam hidup. Dan selepas itu, tiba satu masa pula, kesihatan menjadi sangat penting. Kemudian nanti, tiba pula masa wang dan kesihatan itu bukan keutamaan tetapi kasih sayang itu menjadi penting. Dan akhir nanti, semua itu tidak lagi penting, tetapi doa dari anak yang soleh itu yang akan kita nantikan.
Salam Aidilfitri semua. Moga Allah menerima amal kebaikan kami dan anda semua.
~cikgunormah@klcitizen~