Wednesday, November 26, 2014

cemerlang




Ucapan tahniah untuk ibu dan anak meriah masuk dalam kumpulan WhatsApp  dan kumpulan Telegram henfon saya, berselang-seli dengan kata-kata terima kasih dari ibu-ibu yang berkenaan. Kembanglah senyuman meleret di wajah mereka yang Allah berikan nikmat  anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

Dan mata saya meleret membaca kata-kata yang tertera ..."Anak cemerlang kerana ibu dan ayahnya cemerlang", merujuk kepada kejayaan anak-anak itu mencapai keputusan yang cemerlang.

Seperti tayangan gambar iklan tv lama, kata-kata itu diulang tayang berkali-kali dalam kotak minda saya. 

Tersentuh halus, walau pun saya tahu tidak perlulah saya begitu sensitif seperti itu.

Sememangnya, berjaya dalam mana-mana peperiksaan formal seperti UPSR bukan menandakan kejayaan sesiapa pun. Semua pun tahu. Saya tahu. Anda pun tahu.

Tetapi  bila meletakkan diri di tempat ibu bapa yang anaknya tidak mendapat keputusan yang cemerlang, sedikit sebanyak hati akan tersentuh dan tertanya-tanya. Di manakah silap dan salah kita? Kenapa dan mengapa? Bagaimanakah terjadi seperti yang sedemikian?

Memang senang bagi orang lain menyusun kata cuba memujuk hati. Tak mengapa, yang penting anak itu sihat dan baik. Betul. Tetapi saat itu, ketika melihat wajah anak dan melihat kelibat rakan-rakannya yang lain bergembira dengan keputusan yang cemerlang, saat itu, waktu itu, rasa kecewa  dan sedih sedikit sebanyak pasti hadir.

Bukan kecewa kerana anak kita tidak berjaya seperti anak-anak yang lain. Kecewa kerana , mungkinkah kita tidak cemerlang, maka anak kita itu tidak secemerlang seperti rakan-rakannya? Adakah kerana kita, maka Allah menurunkan ujian terhadap anak kita?

Kecewa juga kerana kita tidak dapat mengelakkan rasa sedih dari menghinggap hati anak kita yang sangat kita kasihi. Kalau boleh, mahu sahaja kita padamkan keadaan di sekeliling supaya anak kita itu tidak melihat kegembiraan orang lain yang tidak menjadi miliknya.

Saya pernah berada di situasi tersebut. 

Dan sangat saya faham hati seorang ibu yang anaknya tidak mendapat keputusan baik. 

Betul. Betullah bila nanti anda mengingatkan bahawa UPSR bukanlah segalanya. PMR bukanlah penghujungnya. Dan SPM bukanlah pengukur kejayaan seorang anak.  Betul sangat. Bukan saya tidak tahu. 

Tapi yang saya ingin tuliskan adalah rasa yang membenih saat itu. Menggigit hati dan memamah jiwa. 




Pun begitu, saya memang percaya, masing-masing punya ujian tersendiri yang Allah sediakan untuk kita. Sedangkan ramai juga yang kita lihat, anak-anak yang cemerlang tidak datangnya dari ibu bapa yang cemerlang, dan ada juga anak-anak yang tidak cemerlang datangnya dari ibu bapa yang cemerlang.  Semuanya adalah ujian. Terlebihnya adalah ujian untuk ibu dan ayah tersebut.

Kejayaan atau kegagalan adalah ujian Allah ke atas hambaNya.

Dan saya cuma berdoa agar ibu-ibu dan anak-anak yang tidak berjaya mendapat keputusan seperti yang diharapkan  pada hari ini , agar Allah kurniakan nikmat serta rezeki  yang lebih baik  di dunia ini dan akhirat nanti.

Bagi mereka yang Allah kurniakan nikmat kejayaan pada hari ini, saya juga mendoakan agar Allah terusan mencurahkan kejayaan buat kalian semua. Tahniah daripada saya. 


~cikgunormah @klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...