Saya tidak suka belajar Sejarah.
Apatah lagi sejarah Malaysia mengikut sukatan dalam buku teks di sekolah.
Terutama bila mempelajari sejarah politik tanah air dengan segala pertubuhan persatuan dan kesatuan sehinggalah tertubuhnya UMNO . Uishh... pening.
Tetapi saya suka menonton filem berkait dengan sejarah. Contoh terbaru, Hikayat Merong Mahawangsa. Walau mungkin ada yang berkata ianya mitos, namun saya tetap menyukainya kerana saya sukakan filem yang berlatar belakang kisah silam berkurun lepas.
Tapi, sayang. Kita tak punya banyak filem berkait dengan sejarah Tanah Melayu , zaman era Kesultanan Melaka atau zaman kepahlawanan Mat Kilau , Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman, Tok Kenali, Tok Janggut dan ramai lagi.
Bayangkan kalau ada filem-filem sedemikian rupa yang dihasilkan dengan berkualiti, aduhai .. , semangat kepahlawanan mereka tak akan pupus dan akan mengalir setiap masa di panggung dan astro.
Tidaklah orang melayu kita ini kerjanya asyik menangis menonton filem cinta agung wanita lemah dan naif . Atau sedih dan marah setiap senja menonton drama Melayu , kisah rumahtangga yang tak habis.
Filem sejarah kepahlawanan Melayu, berjuang menegakkan yang hak dan jati diri sebegini jika dicanai dan digarap dengan rasa jujur dan beramanah pasti hasilnya terserlah.
Bila agaknya ya?
Baru ini sempat menonton dokumentari ala filem , kisah Raja England, Raja Henry VIII bersama enam isterinya. Dua dari isterinya telah dipancung kepala, dua diceraikan dan satu mati akibat septisimea. Kisah sejarah ini difilemkan begitu menarik sekali dan leka menontonnya hampir 3 jam lebih.
Dari doku-filem itu dapat difahami kehidupan bangsawan waktu itu yang penuh tipu muslihat dalam politik , kuasa , harta dan pergelutan menegakkan fahaman teologi dalam agama yang sama. Menarik.
Malam ini sambil melihat sinaran bunga api menyambut tahun baru, apa agaknya kisah silam yang ingin kita kenang dan bawa mati bersama ?
~cikgunormah@klcitizen~