Showing posts with label student. Show all posts
Showing posts with label student. Show all posts

Sunday, October 28, 2018

Tabiat yang anak murid ingat ...






"Ilmu ini bukan milik saya ..."

Kata-kata itu masih terlekat dalam kepala saya sejak dari mula mendengar penceramah yang memang saya kenal itu memulakan bicaranya. Benarlah seperti yang dikata. Ilmu yang kita ada saat ini bukan hak milik mutlak kita. Daripada Allah ilmu itu datang dan kepadaNya juga satu hari nanti ia akan dikembalikan.

Dan benarlah, semakin kita berkongsi, semakin kaya kita dengan apa yang kita kongsikan itu. Berkongsi rezeki yang sedikit, pasti rezeki kita akan mencurah nanti. Memang itu janji Allah, kan.


Teruja saya membaca sinopsis pembentangan bekas anak murid saya ini semasa  membelek-belek buku program saat itu. Dewan Ekovest Convention Hall di SJKC Wang Maju , KL , itu hampir 3/4 sudah dipenuhi dengan jemputan yang hadir dan lampu spotlight  yang ada mengganggu tumpuan saya. Pun begitu, saya bangga melihat nama beliau tercetak dan berhasrat untuk duduk dalam bengkelnya nanti.

Sebahagian hari Sabtu saya hari itu diisi dengan perkongsian guru dalam Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Pendidikan 2018 anjuran PPD Keramat Smart.

"Saya ingat bila cikgu masuk je, mesti tanya tentang movie terbaru.."

Oh... 😜

Bekas anak murid saya itu memberitahu, semasa sedang menunggu bilik bengkel dipenuhi dengan peserta yang lain. Waaaah... perkara tak penting itu yang diingat si Lutfi ni. Hahaha...

Itu memang tak dinafikan. Saya memang suka sangat menonton movie. Pantang  ada movie baru yang best, pasti akan saya dan suami cari peluang menontonnya. Dan jika jalan cerita itu menarik, acap kali juga saya berkongsi cerita dalam kelas semasa mengajar.

Tak sangka juga  bekas murid saya  ini masih ingat tabiat saya yang satu itu.



Setelah berbelas tahun, akhirnya sang guru menjadi murid pula kepada bekas anak muridnya. Alhamdulillah, Allah bagi peluang dan ruang bagi saya menambah ilmu. Ilmu mengguna aplikasi Telegram untuk menjalankan pembelajaran kendiri buat anak-anak murid generasi Y dan Z sekarang. Kemahiran baru yang bagi generasi X seperti saya ini agak kelam kabut juga hendak menguasainya.



"Cikgu ajar saya masa saya Ting 2 dan Ting 3 dulu, cikgu..."  

Sopan si Lutfi menjelaskan bila saya bertanya. Umur belasan tahun waktu itu ya, dan saya kira sekarang mungkin umurnya sudah di awal 30 an. Orang rumah beliau pun sekarang ini merupakan rakan sekerja saya di sekolah. 

Mengingat kembali sesi menuntut ilmu dari bekas anak murid, terasa berbangga saya menjadi seorang guru. Saya pasti ramai juga guru-guru lain yang berbangga bila menghadapi situasi seperti ini. Walaupun, saya pasti pengajaran saya tidaklah sebaik mana pun, namun saya berdoa moga kerja bakti saya selama ini dinilai Allah sebagai amalan yang membawa pahala.

Oh ... baru teringat. Pagi itu sebelum hendak menghadiri persidangan tersebut, terserempak juga dengan bekas anak murid yang lain, memberitahu isterinya di HKL sedang menunggu kelahiran anak mereka yang ketiga. 

"Oh... saya ingat cikgu dah pencen dah...." ujar beliau bila diberitahu yang saya masih punya beberapa tahun lagi untuk bersara. Aduiii.... agaknya dah nampak sangat ketuaan diri ni, sampaikan bekas anak murid pun dah beranggapan yang saya dah masuk golongan YB.

😂

Apa-apa pun, saya mendoakan untuk semua bekas-bekas anak murid saya, semoga Allah mengurniakan kejayaan dunia akhirat buat kalian. Selamat menyumbang buat negara dan moga segala kerja buat kita menjadi amalan baik yang diterima Allah.


Salam bangga.



~cikgunormah@klcitizen~












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, May 23, 2012

adui !

Ramai waktu itu. 

Di kedai mamak seperti biasa usai solat  Maghrib . Bersama satu-satunya anak kesayangan, makan malam ber'air tangan' mamak. Ah, emak yang memang mim alif lam sin.

Gitulah.

Sedang sibuk mengeluarkan duit dari beg duit yang sudah lusuh, ekor mata saya sempat menangkap kelibat dua anak gadis, berdiri berhampiran saya. Kedai mamak di kawasan rumah saya ini memang sentiasa penuh dengan anak-anak muda yang tuisyen berhampiran.

Eh ! Betulla ....


Sempat telinga saya menangkap butir kata salah seorang dari mereka. Lantas saya mengangkat kepala dan melemparkan senyuman.

Cikgu !!


Oh sudah sahlah ini bekas anak murid saya.

Dalam hati ada sedikit sesal, kerana saya hanya berpakaian jubah merah yang lebih besar dari saiz badan sendiri. Jubah hadiah biras yang baru pulang dari mengerjakan umrah baru ini. Dan saya tahu saya kelihatan agak gedoboh dan geleber dalam jubah tersebut.

Berjumpa pula dengan anak murid. Adui!

Hai ! 


Sambil menghulur duit pada mamak di kaunter, mulut saya sengaja diramahkan. Bekas anak murid tu, kan.

Awak dah habis belajar kan ? Tahun lepas kan?


Saya yakin betul anak gadis ini bekas pelajar saya tahun lepas, dan pastinya dia sudah menerima tawaran masuk ke IPTA atau IPTS mana-mana.

Cikgu !?


Wajah dia berubah.

Saya keliru. Oh, mungkin pelajar yang lebih awal. Dua tiga tahun lepas. Saya pasti sungguh.

Cikgu tak ingat saya ke?


Saya menggeleng. Malu sebenarnya. Kelemahan diri yang memang ketara sungguh. Sangat sukar mengingat anak-anak murid sendiri.

Cikgu kan ajar saya 5B TAHUN INI ! La, sampai hati cikgu tak ingat saya...


Adui, dui, dui .....

Berapa kali adui tu?


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 20, 2012

makin lembab

Rasa bersalah.

Melihat wajah-wajah mereka di hadapan, ah, terasa rasa bersalah itu meresap halus dan malu pun bertandang dalam hati.

Cikgu, berapa orang yang pass , cikgu?.

Menjadi guru sebenarnya , setiap masa terpaksa, serta perlu membuat keputusan. Bukankah ada orang kata menjadi guru ini memang mudah mengumpul pahala dan dosa seiring. Jadi , waktu itu, keputusan apakah yang perlu saya buat?.

Menipu?.

Atau berterus-terang sahaja?.

Memandang mata anak- anak ini, tak sampai hati rasanya hendak berterus-terang. Menipu itu lebih mudah agaknya, kan? Hahaha... Betulkah?

Sebenarnya...

Semua 23 pasang mata itu memandang tepat ke mata saya. Kelas paling hujung di Tingkatan Dua, mengajar mereka mata pelajaran Matematik. Yang hari ini diulang, esoknya akan lupa. Esok diulang semula, lusanya bagai tak pernah pun diajar.

Sebenarnya saya tak menanda pun lagi kertas awak tu. Saya minta maaf .

Malu

Pastinya.

Cuti seminggu dihabiskan apa ya, Cikgu Normah?

Ah, berangan. Hehehe

Sebenarnya cuba menghabiskan penandaan kertas-kertas jawapan pelajar-pelajar di Tingkatan Lima, yang saya kira lebih penting dan utama,sekarang.

Pilih kasih ya, cikgu Normah?

Mungkin.

Tapi tidak berniat pun begitu.

Oh, ni mesti cikgu tak sampai hati nak tengok kami orang semua lulus kan? Sebab tu cikgu taknak tanda kertas kami orang, kan ...?

Ah... Tusukan kata yang paling tajam.. :>

*makin tua makin lembab membuat kerja-kerja sekolah



~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, February 21, 2012

hantu kopek

*Muazzin.

Namanya indah. Kalau dalam Islam , nama itu punya status tersendiri , istimewa sebagai penyeru dalam aktiviti paling penting, menegakkan solat.

Eh, tulislah Muazin. Napa awak termenung lagi ni?

Kecil molek budaknya, sebaya anak saya, walau tubuh anak saya dua kali ganda dari saiz tubuh Muazin. Dia tersengih. Masih menari-narikan pen biru di atas kertas sekeping. Buku tulisnya dikata hilang entah ke mana. 

Awak pernah dengar kisah Nabi Muhammad pertama kali terima wahyu ?

Pelajar yang lain tidak menghiraukan saya. Dan saya tidak kisah. Kerana saya hanya ingin berbicara dengan Muazin sahaja. Memujuk dia untuk menulis.

Dia angguk.

Bila malaikat Jibrail minta Nabi baca, baginda kata baginda tak boleh baca, apa malaikat tu buat lepas tu?

Dia peluk Nabi.

Ha, pandai, dia peluk Nabi kuat-kuat sampai  Nabi susah nak bernafas. Lepas tu, Nabi kata dia tak boleh baca lagi,  kan, lepas disuruh oleh malaikat. Jadi malaikat Jibrail buat apa?

Dia peluk Nabi kuat-kuat..

Betul, Muazin. Sampai Nabi terasa seperti susah bernafas. 

Muazin pandang saya kehairanan. Sejak bilalah pulak cikgu Matematiknya ini menjadi seorang ustazah? Seperti saya boleh baca fikiran dia.

Ha, awak kalau tak boleh nak buat jugak ni, saya peluk kuat-kuat, sampai awak sesak nafas . Nak tak?

Tak nak, tak nak.

Tak pe, kalau tak nak, saya suruh Penolong Kanan Petang peluk awak kuat-kuat, nak?

Dia geleng kepala dan bersegera menulis.


*Bila mengugut si Muazin ini, terus saya terbayangkan kena kepit dengan hantu kopek. Hahaha. Anda tahu tak tentang hantu kopek?


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 15, 2012

pelawak cilik

Ini kelas paling hujung di tingkatan dua. 

Kalau sudah dikategori sebagai kelas paling hujung, tentulah mereka ini lebih lemah dari sudut akademiknya berbanding dengan pelajar yang dikategori sebagai pelajar kelas-kelas hadapan.

Saya pula, sudah lama benar tidak mempraktikkan kemahiran saya dalam mengajar Matematik . Jadi , dua jenis manusia dipertemukan, di kelas ini. Kurang pengalaman dan kurang pengetahuan.

:)

Sifir?

3 darab 7 berapa ?

Terkebil-kebil mata-mata bundar mereka. Haha... kasihan pula rasanya.

Ok ... ok, keluarkan buku GAPEN awak tu, ada jadual sifir di belakang buku tu kan. Cuba tengok. Berapa agaknya 3 darab 7 ?

Pantas mereka mengeluarkan. Dan sibuk mencari.

21 .... 21 !!

Seronok sungguh dapat membahagiakan seorang guru dengan jawapan yang betul kan. 

Beruntunglah mereka ini kerana tidak di suruh berdiri di belakang kelas mengadap dinding seperti saya dahulu kerana tidak berjaya menghafal sifir. Selagi tidak menghafal, selagi itulah saya tiada keistimewaan untuk duduk bersama di dalam kelompok sahabat-sahabat yang telah celik sifir.

Tapi, objektif pengajaran hari ini bukan menghafal sifir. Jadi, walau ada keinginan untuk mendera mereka ini begitu tinggi dalam dada seperti yang saya rasa dulu , tetap tidak boleh terlaksana, kerana objektif pengajaran hari ini pasti tidak akan tercapai kalau saya asyik melayan keinginan itu.

Ok, sekarang keluarkan buku hijau ni. Kita buat latihan dari buku hijau ni.

Masing-masing sibuk menyeluk dan membongkar khazanah dalam beg . Buku hijau yang saya maksudkan terbentang di atas meja masing-masing, kecuali seorang ini. Rizwan.

Mana buku awak Rizwan ?

Ada.

Ha, keluarkan lah. Nak saya tokong ambikkan keluar dari beg awak ke?

Tak ada dalam beg saya cikgu.

Habis tu , kat mana ?

Ada kat kedai buku lagi,  buku saya tu. Simpan kat kedai buku.

#@?*&# !!

Bakal Maharaja Lawak rupanya budak si Rizwan ni.

Ish, ish, ish ...

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 3, 2012

ponteng

Cuti lagi.

Alhamdulillah. 

Pasti ramai yang akan bermusafir dalam perjalanan keluar daerah. Semoga perjalanan anda semua di dalam lindungan Allah , selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Kelas tu, 9 orang tak hadir hari ni kak.

Sebenarnya , kalau sedang bersemangat hendak mengajar kelas yang tertentu, dan dimaklumkan sekian ramai pelajar tak hadir, terasa ah... tak best nya. Sebab , mengajar ini jadi seronok kalau ada anak murid. Kalau tak ada anak murid, itu bukan namanya mengajar, itu namanya gila bercakap berseorangan. 

Bukan begitu?

Kenapa ramai sangat tak datang hari ini ya?

Bukankah kelas Chemistry kelas yang best? Sepatutnya bukankah kalau tahu ada kelas Chemistry, semangat untuk hadir meluap-luap. Sebab, saya rasa, Chemistry itu best sangat. *ayat-ayat perasan*

Tak siap homework lah tu kut, kak.

Tak siap homework, maka jalan mudah ialah tak payah datang sekolah. Sayang sungguh.

Tapi saya rasa , itu hanya sebahagian kecil dari masalah tak datang sekolah. Saya lihat ramai juga yang tak siap homework, tapi gagah juga datang sekolah untuk dibebelkan oleh cikgu. 

Mungkin sebab cuti yang panjang mengekori hari Jumaat ini, kut.

Atau mungkin juga sebab cikgu Chemistry nya dingin sangat ? Ah, Mungkin juga, kan.

SURVIVAL TIPS FOR TEACHERS: Tip no. 30 - Allocate the last five minutes of your teaching session for a short, special dedication to one of your students. One student for each session. It can be a line of poem, a Malay pantun, a remark or a statement that indicates your hope - with his/her name specifically mentioned in it. Start with the last student in the name list, going upward. Feel the anticipation excitement buzzing in the class as each session comes to an end....Enjoy it! ~ Dr Harlina's Survival Tips For Teachers

Nak cubalah.

Habis Thaipusam nanti.  Itu pun kalau diorang tak ramai-ramai ponteng lagi  lah. :)

*Salam Jumaat rakan-rakan semua dan selamat bercuti .


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, January 31, 2012

makan gaji buta

Ada masa marah menggila , membuak-buak dalam dada. Geram teramat tak tahu hendak dikisah bagaimana.

Cikgu, adui...sakit cikgu.

Ha, macam itulah hati saya sakit ni.

Saya lepaskan sideburn nya. 

Bukan seorang. Bukan dua orang. Semua budak lelaki yang hadir dalam kelas itu , saya pun tak perasan ada berapa orang. 9 atau 10 orang. Kesemuanya pelajar contoh di sekolah, sepatutnya. Belajar Chemistry, Add Maths bagai, dan masih lagi membincang tajuk kecil yang  sama walau sudah masuk minggu ke 4 persekolahan.

Mana jawapan yang  dah bincang semalam? Saya dah beri jawapannya, kan, satu-satu. Tinggal awak menyalin dan hantarkan pada saya sahaja hari ini untuk laporan amali ni.


Er... er..

Mana?!

Er... Saya ingat cikgu nak bincang saja.

Ahhhh !!!

Sampai ke pelajar lelaki terakhir, saya sudah hilang sabar. Kata-kata sudah tidak tergaris di benak lagi. Amarah saya menutup idea dan jalur fikir saya. Saya kena buat sesuatu. Kalau tidak, ada nanti berita di dada akhbar, guru baling kasut pada pelajar.

Saya berjalan ke depan makmal, mencari bangku dan memasang kipas pada kelajuan maksimum. Lantas saya duduk diam macam patung.

Hari ini, makan gaji buta! 

Alahai...

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 19, 2012

cucuk mencucuk

Masa memang sungguh cepat berlalu , kan.

20, 30 atau 40 tahun itu , bila dikenang dalam ingatan, seperti sekelip mata. Pelik, kan. Perasaan itu seperti perasaan kita dalam mimpi, sekelip mata. Padahal bila ditulis dan dilalui , bagi kita yang bernama insan ini, ia berlaku lama dan berliku. Cuma bila ia bertukar menjadi kenangan, ia seperti kelipan mata sesaat.

Seriously, cikgu, cikgu cucuk ya?

Yalah tu. Cucuklah sangat.

Doktor muda di depan saya ini saya pandang. Berisi sedikit badannya setelah bernikah. Walau waktu pernikahannya tidak diberitakan pada saya, tapi saya pun sedia maklum, manusia ada sisi sifat lupa terutama dalam keadaan atau situasi yang diluar jangka seperti sedih amat atau gembira sangat. Ada rakan guru yang sempat menghadiri majlis nikahnya dulu dan dari merekalah saya tahu bekas anak murid ini sudah menikah.

Betul-betullah cikgu. Umur cikgu berapa?

Saya membuat congakan di kepala, konon-kononnya. Sambil mata memandang syiling. Sejak menjadi guru Matematik secara bidan terjun ini, kerap juga aktiviti mencongak mengambil tempat dalam kepala. Hikmahnya menjadi bidan terjun :)

Tahun ini 46 lah. La... lagi 4 tahun nak 50 dah. Boleh dapat kad warga emas :)

Merepek aja, kan. Warga emas kan , umurnya 60 tahun ke atas. Hehehe ... dalam kepala saya menggelakkan diri sendiri.

Hahaha. Nanti cikgu beratur , orang suruh cikgu masuk barisan lain lah pulak. Cikgu ada makan apa-apa tak? Serious, la, cikgu nampak muda.

Perkataan keramat!!!

Nampak muda. Yeah...! Hati saya berbunga setaman. Hidung saya kembang semangkuk.

Taklah. Mana ada makan apa-apa. Tapi ....

Dia pandang, menunggu petua keramat keluar dari bibir saya. Kalau saya sebut apa aja pun, mesti doktor muda ini akan percaya rasanya.

.... lutut saya ni sakitlah.

Haha, kedut wajah boleh dilindung tapi, sakit lutut penanda dah tua, tetap tak boleh disembunyi, kan. :)


*tq Charlie for the free consultation . Nice meeting you. 


 ~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 26, 2011

berpisah dan bertemu


Terdengar suara azan zohor di luar.

Dan dari trending tweets #AlFatihahFird saya tahu selepas zohor ini aruah akan disemadikan di kawasan Puchong. Siapa dia saudara Fird ini? Saya pun tak kenal. Tetapi yang pastinya beliau telah dipanggil berhijrah semalam.

sumber

Moga Allah mengampuni dosanya dan dosa kita semua.



Apabila membaca tweet di atas, ah, terasa betul sekali. Segala warna  silap dan pahit insan-insan yang pernah meninggalkan bekas dalam lorong yang kita lalui akan segera terpadam dan terhakis dengan berita kematian. Dan kita pasti akan teringat segala baik dan manis yang ditaburnya.

Perpisahan sentiasa membuatkan situasi melupakan ini hadir.

Saat kita tahu kita tak mungkin lagi bertemu dengan insan tersebut, segala rasa jengkel dan mual akan hilang. Dan naluri kita segera memaafkan. Harapnya begitulah.

Pertemuan setelah bertahun terpisah?








Wajah yang tertera sahaja sudah sedia termaklum. Suka, bukan?

Sempat menyelit semalam dalam reunion  pertama bekas pelajar-pelajar SMK Taman Setiawangsa, KL yang mana batch pertama sekolah ini adalah lepasan tahun 2002. Tahniah diucapkan kepada ahli jawatankuasa pelaksana  yang bertungkus lumus mengorbankan wang, masa, tenaga dan idea merealisasikan reunion ini  dan dalam masa yang sama berusaha menubuhkan Alumni SMKTSW.

mengikut aja kerenah budak-budak tersebut yang meminta kami guru-guru yang hadir untuk berposing

Berpisah, bertemu dan berpisah semula.

Resam sebuah kehidupan .


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, December 7, 2011

baru tahu boring tu macamana kan....

:P cikgu buat apa cuti niiiii? cikgu kena bagi saya idea nak buat apa... hahaah

Main berkicau burung dengan anak burung murid. Dia lepas, saya sambut, saya lepas, dia sambut, saya lepas lagi, dia diam.

Twitter, la.

Burung mana lah pulak, kan. Tweet, tweet. Yang seronoknya bertweet ini ialah boleh mencurah rasa apa saja, tak adanya orang nak komplen yang awak ni dah gila update status. Tulislah dan hantar. 

Tapi yang sebaiknya, tulislah benda bermanafaat untuk dibaca orang lain. Peringatan dan ingatan. Menegur dan bertanya kabar.

Saya tidaklah aktif sangat. Sesekali bila tiba angin burung datang, bertweetlah jugak. Itu pun banyak meretweet kata-kata orang.

Ni, contoh apa yang di retweet oleh saya.




Sebenarnya bukan hendak membebel pasal tweet ni, tetapi tentang soalan anak burung murid saya itu. Apa yang hendak dibuat semasa menunggu keputusan SPM. Ada lebih kurang 3 bulan hendak bergoyang kaki di rumah, kan. Memang penat menggoyang kaki selama 3 bulan, sedangkan goyang kaki sehari pun dah lenguh, lagilah menggoyang kaki selama itu. :)

Tunggu keputusan ni buat apa , Aiman.

Entahlah , cikgu. Saya tunggu PLKN.

Bila masuk PLKN?

Bulan 4 nanti...

Lamanya, tu. Ini baru bulan 12. Nak tunggu bulan 4, janggut pun boleh tumbuh panjang sampai ke dada, kan.

Masa saya dulu... *ah, sudah, orang tua kalau tak bukak citer masa dulu memang tak sah kan*, aruah abah hantar saya belajar menaip. Ya.... menaip dengan belajar trengkas. Trengkas tu apa? Menulis ringkas lah kan. Kenapa? Konon-konon kalau tak dapat masuk universiti bolehlah minta kerja jadi juru taip atau secretary kat mana-mana. Tapi, saya tak khatam pun belajar tu, tak minat. Menghabiskan duit mak dan abah je, kan.

Kalau sekarang?

Ada yang bekerja sementara kan. Ramai juga, saya tahu. Ada pro dan kontra nya. Bagusnya ialah nanti boleh lebih berdikari, lebih matang dan lebih menghargai susah senang mencari rezeki. Yang tak baiknya? Sesetengah tu, bila dah merasa pegang duit, dah malas nak sambung belajar pulak.

Terpulang.

Boleh juga mengambil lesen memandu. Ini perkara biasa. Bagi yang berkemampuan lah kan. Setahu saya, sekarang ini bayarannya lebih kurang RM600 -RM700. Wah, mahal tu. Tapi sebenarnya ada bayaran yang hendak masuk tadika pun  boleh mencecah sehingga RM1000.

Lain?

Belajarlah benda-benda lain. Belajar memasak.  Saya ke sini, dan saya lihat kursus menghias kek sahaja bernilai RM150/RM170. Tapi ilmu sebegini memang berguna, tidak untuk masa ini, masa akan datang mana tau, kan. Lelaki atau perempuan pun boleh. Sekarang ini pun ramai chef terkenal dari kalangan kaum lelaki.

Belajar menyulam? Berminat? Kalau dah pandai, boleh saya menempah baju untuk disulam tepi lengannya. Kalau menyulam manik di tukang jahit yang saya biasa tu, upahnya saja dah mahal beratus ringgit. Kelas menyulam online disini, hanya RM50.

Belajar bertutur bahasa lain?  Bahasa Arab ke, Jerman ke, Perancis ke... best jugak. Ustazah Firuz yang menjadi Johan sebagai Ustazah Pilihan hari itu, boleh bertutur dengan baik dalam 4 bahasa, Bahasa Melayu *of courselah kan*, Arab, Inggeris dan Parsi. Parsi? Wah tak pernah dengar orang berbahasa Parsi. Macamanalah bunyi bahasa Parsi, tu, ya?

Itu antara cadangan saya.

Tapi, semua itu memang memerlukan sedikit modal.

Yang tak perlu modal banyak?

Mungkin boleh jadi ahli sukarelawan. Boleh cuba mendaftar di sini , sini atau sini.

Lain?

Buat blog dan update setiap hari. :)

Hehehe. Paling tidak pun, bantulah meringankan kerja emak dan ayah di rumah.

Ah, boring lah cikgu, angkat kain, sapu lantai, kemas rumah, jaga adik. 

Aii, selama ni, emak dan ayah korang buat tu, diorang tak boring ke?

*ingatlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara....

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 29, 2011

pakai sopan pun salah?

Imej diri.

Pentingkah?

Ada yang merasakan , dalaman itu lebih utama dari luaran. Jangan tertipu dengan yang di luar, mungkin dalamnya busuk berulat. Yang segak di luar tidak bermakna, dalamnya juga tampan menawan.

Tetapi, bukankah apa yang berada di dalam itu akan terpancar juga ke luar nantinya? Terutama yang difikir di minda, pasti akan tercerna juga dalam tingkah laku dan tutur kata. Pandang mata juga boleh kita beza, yang galak atau yang sopan beradab.

Jernihkan hati, insyaAllah, ikhlas itu akan terserlah tanpa perlu disingkap , pesan Dr Muhaya, ikon yang saya minati sungguh.

Bila berkumpulan dalam organisasi pula, bagaimana? Imej organisasi itu sendiri dilihat dari imej ahli-ahlinya, kan.

Ya, Allah. Kenapa awak pakai macam ni ?

Ada masa lagi 20 minit sebelum pelajar-pelajar  ini naik ke dalam kelas peperiksaan. Kertas Chemistry paper 1 SPM 2011 akan bermula lagi setengah jam. Terasa hendak pengsan memerhati pelajar harapan ini.

Syaratnya kan berpakaian sopan , cikgu. Saya kan pakai sopan lah ni.

Pelajar - pelajar lain kelihatan segak berpakaian lengkap sekolah, siap bertali leher bagai, tetapi si putera ini berpakaian baju T hitam dan berseluar sukan hitam , hendak mengambil peperiksaan sebentar lagi. Ini bukan peperiksaan pendidikan jasmani , sayang oii.

Saya sudah berpeluh.

Cikgu, relaks cikgu. Cikgu tarik nafas panjang-panjang.

Adui. 

Dia pulak yang suruh saya bertenang. Sedangkan nanti , jika dia yang ditegur Ketua Pengawas , emosinya yang akan terganggu dan saya risau sungguh jika konsentrasinya kacau bilau.

Saya teringatkan seorang bekas pengetua saya dulu, yang menampar pelajar lelaki yang tidak memakai tali leher semasa peperiksaan, akibat tidak mematuhi peraturan sekolah. Peraturan tetap peraturan selagi ia tidak melanggar sunnah dan syariat. Jika semua orang bisa saja melanggar peraturan sesuka hati, pasti kucar kacir organisasi dan huru hara.

Kenapa lah awak pilih hari ini untuk berpakaian macam ni?

Ala... saya malas nak gosok baju cikgu.

Peraturan sekolah kan sebut, berpakaian lengkap, tapi tidak disebut perlu digosok. Gosok tak penting, tapi berpakaian lengkap itu yang penting. Peraturan SPM itu bersifat umum untuk semua pelajar sekolah DAN pelajar persendirian. Sebab itu ditulis berpakaian sopan sahaja. Tau!

Dia hanya tersengih. 

gambar hiasan si putera


Jom!

*jadi driverlah pulak pepagi selasa ini  , tunggu 'tokey' tukar baju sekolah...

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 13, 2011

tak tidur malam mengenangkan mu


Cikgu, ada nombor telefon sharudin?

Sharudin mana?


Eh, tertinggal la pulak cikgunya...Cikgu Shahrudin.

Tak ada. Kenapa?

Ala... saya belum minta maaf lagi dengan dia.


Balas-membalas sms pagi tadi dengan anak murid.

Kes last minute  lah ni, kan. Tiba-tiba teringat pula pada cikgu Bahasa Malaysia di sekolah, di pagi Ahad yang ceria.

Memang ceria, kan Ahad hari ini. Tak tahulah saya di tempat lain. Tetapi, kain di ampaian saya semuanya , alhamdulillah kering belaka. Setelah semalam basah dan sejuk menguasai suasana.


Debaran berkala setiap tahun.

SPM bukan segalanya, bagi kita yang sudah melepasi. Tetapi bagi anak-anak ini yang baru hendak memulakan langkah sendiri selepas ini, SPM adalah kayu pengukur, bakal meletakkan mereka pada tempat tertentu di mata orang sekeliling.

Tenangkan resah mu, anak-anak sekelian.

Worry heart

Malam ini seperti ada tanda-tanda hujan akan mendodoikan anak-anak ini dan kita-kita  yang sewaktu tempatnya dengan saya.

Alhamdulillah juga.

Malam jadi enak untuk melepaskan lelah dan menenangkan resah .

Buat anak-anak yang akan menduduki SPM esok, saya doakan segalanya menjadi mudah buat anda. Serahkan segalanya di tangan Allah, setelah segala usaha dan lelah menjadi bayang anda hampir dua tahun ini.

Tawakkal sahaja tanpa melunasi kewajipan sebagai Muslim dan anak soleh memang tidak tepat. Jadikan hari ini, malam ini sebagai hari baru buat yang telah lama leka.

Good luck and all the best.

~cikgunormah@klcitizen~ 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 9, 2011

saya memang suka kat awak, tapi ...

Cemburu.

Itu memang fitrah. Cemburu menjalar dalam hati biasanya terhadap orang yang kita sayang. Kalau pada orang yang kita benci, itu lebih kepada iri hati atau dengki.

Yakah?

Entahlah. Teori sendiri sebenarnya.

Saya memang tak ada apa-apa dengan dia, cikgu.

Oh.. Bukan ke dia ni yang ada minat kat orang lain tu?

Saya hanya memancing pertanyaan. Sudah berbelas tahun mengadap pelajar, sudah tahu kilas mata dan suara budak-budak ini.

Muka dia berubah.

Ala... Cikgu. Ni, yang buat saya hilang semangat nak belajar ni. Ala... Saya nak baliklah. Kenapa cikgu cakap macam tu.

Saya tergelak besar.

Rakan yang ikut sama kelas tambahan ini, buat muka selamba. Kerana orangnya memang selamba.

Eh, tadi awak kata awak tak ada apa-apa dengan dia tu. Bila saya cakap macam tu, terus awak touching ni, kenapa? Rupanya awak ada hati dengan dia ya.

Mukanya merah. Rahsia yang dia simpan sendiri agaknya, bakal diketahui saya.

Memanglah saya ada hati kat dia. Tapi , saya takutlah nak beritahu. Ini bukan cinta pandang pertama. Lepas saya rapat dengan dia, baru saya rasa ada hati ngan dia. Saya takut kalau saya beritahu nanti, dia tak nak tegur saya pulak.

Dia ni takut mengambil risiko, cikgu.

Kawan yang dari tadi menyelambakan diri bersuara.

Ah, engkau pun samalah.

Saya tergelak lebih kuat. Memerhati gelagat anak-anak ini yang sudah mula belajar menaruh kasih dan minat pada kaum yang berlawanan jantina.

jealousy

Nasib baik  jantina yang berbeza. Itu memang fitrah. Waktu-waktu usia manis 17 ini memang masa untuk mengeksplorasi abstraknya perasaan.

Menyimpan rasa dan meluahkan rasa, itu dua dunia yang berbeza, dan memang keberanian perlu ada menemani. Berani menyatakan dan berani menghadapi situasi yang segala mungkin boleh terjadi. 

Tetapi, apa pun, buat anak-anak ini, keutamaan dalam hidup perlu jelas. Dan syariat agama perlu dilunasi dan diperhalusi. Langkah yang panjang dan penting dalam hidup, memilih pasangan perlu dimulakan dengan jalan yang betul dan diredhai Allah. InsyaAllah, hidup terpelihara di dunia hingga akhir nanti, ya.

SPM lagi 4 hari... yeay !!

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 4, 2011

asyik kena tinggal...

Setiap tahun itulah rasanya.

Kenapa bersedih? 

Walau tiada air mata yang menitis, tetap rasa itu tersemat halus. Tersentuh. Sedih dan hiba sebentar.

Siapalah nak bercerita lagi pada saya?

Basah pipinya. Sambil memeluk erat, dia berbisik di telinga. Kadang, bertahun bersama, tetap satu ayat itu yang akan kita ingat sampai bila-bila.

Sedih datang kerana kita tahu, esok dan seterusnya pertemuan akan jadi sukar. Dan kita tahu juga, ingatan dan kenangan , walau seindah mana, rasa itu akan pudar dek masa. Dan kita tahu, hati akan berubah, tautan jadi longgar dan mesra itu akan hambar juga. 

Masa. Tetap berlalu. Dan yang lama tetap akan ditinggalkan.

Untuk anak-anak murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM, lagi seminggu, lebih kurang, selepas ini perjalanan anda akan jadi lebih menarik., insyaAllah. Kehidupan akan jadi lebih mencabar dan mengujakan.

Semoga Allah memayungi anda dengan rahmatNya yang tak putus.

 Majlis Mohon Restu 2011


















~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 3, 2011

sudah hampir tiba untuk berpisah sekali lagi


Berdebar-debar. Kejap berlari mencari kertas, sudah jumpa kertas, mencari pen pula. Ah, lagi beberapa minit sahaja lagi, saya akan dijemput naik ke pentas. Memberi ucapan di hadapan tetamu yang hadir. Ah, gemuruh.

Sedang sibuk mencari pen dan kertas, teringatlah pulak, baju yang sepatutnya saya pakai semasa majlis, tidak diambil lagi dari tukang jahit. Mampus!

Mana sempat.

Rasa berdebar sungguh.

Saya buka mata. Mmmmhh, saya bermimpi rupanya.
Diberi tanggung jawab mengendali majlis bersama-sama rakan-rakan, rupanya, memberi kesan juga pada status fikiran. Terbawa-bawa dalam mimpi. Walau, dalam hati dan di bibir sibuk mengata, ah, tak peduli, tetapi sebenarnya, tetap ia dipedulikan dalam mimpi.

Alhamdulillah, majlis telah selesai, dan disebabkan rakan-rakan yang bertugas bersama sangat-sangat membantu dan excellent, majlis tersebut berjalan lancar dengan jayanya.

ajk perarakan masuk yang hebat

bahagian protokol yang anggun

anak-anak yang bakal meninggalkan sekolah

selepas ini entah bila akan ketemu lagi

ceria

pemuda pemudi harapan bangsa

peace no war

minah-minah cun kecuali yang di tengah
will miss u all

3 dara manis

guru-guru tingkatan 5 dan kotak ajaib

tenaga utama

bekas pelajar yang disayangi amat

pertama kali putera sekolah ditabalkan

pemuda contoh

bakal pemimpin

tukang pembuat tanduk yang hensem

menumpang manis


bakal usahawan

si manis dan si tampan

Dah hampir ke penghujung tahun sudah ya.

Dan sekali lagi, akan mengucapkan selamat menempuh kehidupan sebenar buat anak-anak didik.



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...