Sunday, October 28, 2018

Tabiat yang anak murid ingat ...






"Ilmu ini bukan milik saya ..."

Kata-kata itu masih terlekat dalam kepala saya sejak dari mula mendengar penceramah yang memang saya kenal itu memulakan bicaranya. Benarlah seperti yang dikata. Ilmu yang kita ada saat ini bukan hak milik mutlak kita. Daripada Allah ilmu itu datang dan kepadaNya juga satu hari nanti ia akan dikembalikan.

Dan benarlah, semakin kita berkongsi, semakin kaya kita dengan apa yang kita kongsikan itu. Berkongsi rezeki yang sedikit, pasti rezeki kita akan mencurah nanti. Memang itu janji Allah, kan.


Teruja saya membaca sinopsis pembentangan bekas anak murid saya ini semasa  membelek-belek buku program saat itu. Dewan Ekovest Convention Hall di SJKC Wang Maju , KL , itu hampir 3/4 sudah dipenuhi dengan jemputan yang hadir dan lampu spotlight  yang ada mengganggu tumpuan saya. Pun begitu, saya bangga melihat nama beliau tercetak dan berhasrat untuk duduk dalam bengkelnya nanti.

Sebahagian hari Sabtu saya hari itu diisi dengan perkongsian guru dalam Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Pendidikan 2018 anjuran PPD Keramat Smart.

"Saya ingat bila cikgu masuk je, mesti tanya tentang movie terbaru.."

Oh... 😜

Bekas anak murid saya itu memberitahu, semasa sedang menunggu bilik bengkel dipenuhi dengan peserta yang lain. Waaaah... perkara tak penting itu yang diingat si Lutfi ni. Hahaha...

Itu memang tak dinafikan. Saya memang suka sangat menonton movie. Pantang  ada movie baru yang best, pasti akan saya dan suami cari peluang menontonnya. Dan jika jalan cerita itu menarik, acap kali juga saya berkongsi cerita dalam kelas semasa mengajar.

Tak sangka juga  bekas murid saya  ini masih ingat tabiat saya yang satu itu.



Setelah berbelas tahun, akhirnya sang guru menjadi murid pula kepada bekas anak muridnya. Alhamdulillah, Allah bagi peluang dan ruang bagi saya menambah ilmu. Ilmu mengguna aplikasi Telegram untuk menjalankan pembelajaran kendiri buat anak-anak murid generasi Y dan Z sekarang. Kemahiran baru yang bagi generasi X seperti saya ini agak kelam kabut juga hendak menguasainya.



"Cikgu ajar saya masa saya Ting 2 dan Ting 3 dulu, cikgu..."  

Sopan si Lutfi menjelaskan bila saya bertanya. Umur belasan tahun waktu itu ya, dan saya kira sekarang mungkin umurnya sudah di awal 30 an. Orang rumah beliau pun sekarang ini merupakan rakan sekerja saya di sekolah. 

Mengingat kembali sesi menuntut ilmu dari bekas anak murid, terasa berbangga saya menjadi seorang guru. Saya pasti ramai juga guru-guru lain yang berbangga bila menghadapi situasi seperti ini. Walaupun, saya pasti pengajaran saya tidaklah sebaik mana pun, namun saya berdoa moga kerja bakti saya selama ini dinilai Allah sebagai amalan yang membawa pahala.

Oh ... baru teringat. Pagi itu sebelum hendak menghadiri persidangan tersebut, terserempak juga dengan bekas anak murid yang lain, memberitahu isterinya di HKL sedang menunggu kelahiran anak mereka yang ketiga. 

"Oh... saya ingat cikgu dah pencen dah...." ujar beliau bila diberitahu yang saya masih punya beberapa tahun lagi untuk bersara. Aduiii.... agaknya dah nampak sangat ketuaan diri ni, sampaikan bekas anak murid pun dah beranggapan yang saya dah masuk golongan YB.

😂

Apa-apa pun, saya mendoakan untuk semua bekas-bekas anak murid saya, semoga Allah mengurniakan kejayaan dunia akhirat buat kalian. Selamat menyumbang buat negara dan moga segala kerja buat kita menjadi amalan baik yang diterima Allah.


Salam bangga.



~cikgunormah@klcitizen~












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...