Antara seronoknya menjadi guru ini ialah bila terserempak dengan bekas anak murid. Kalau tak terserempak pun, seronok juga bila ditag dalam media sosial oleh anak murid yang dah bertahun tak jumpa. Terasa bertuah kerana masih diingati, walaupun diri sendiri ini dah semakin sukar nak mengingati anak-anak murid.
Melangkah sahaja kaki ini keluar dari lif, mata melilau mencari nombor bilik pada dinding. Sudah kali kedua saya sampai di tempat ini, tetapi masih arah tuju dan haluan perlu dipandu oleh signage di dinding.
"Eh.... ni mis... mis...?"
Suara perempuan yang baru keluar dari pintu yang sedang saya tuju, seperti sudah lama mengenali saya membuatkan saya terkejut.
"Normah, saya Normah ..."
Saya segera memperkenalkan diri. Tidak mahu dia memanggil saya dengan nama aruah ayah saya. 😁
"Ya, ya... Cikgu Normah. Saya dulu belajar dengan cikgu..."
Saya tersenyum. Ah, sudah.....
Situasi seperti inilah yang mendebarkan. Malu pun ada. Bukan kerana dikenali sebagai cikgu itu memalukan. Tapi, tidak ingat yang di hadapan ini siapa. Namanya apa? Tahun bila saya mengajar beliau? Kenapa wajahnya langsung saya tak cam? Adui..dui...dui
"Oh.... saya minta maaf. Saya memang tak ingat langsung. Tahun bila ya belajar dengan saya. Kelas mana dulu?"
Berterus-terang itu lebih baik kan.
"Dah lama cikgu. Masa saya form 4 dulu. Sekarang pun umur saya dah 31 tahun..."
Waduhhh.. Patutlah tak ingat. Dah 15 tahun lepas. Benda yang kelmarin dulu pun saya tak berapa nak ingat, apatah lagi benda yang 15 tahun dulu.
Melihat anak kecil di sisinya, terasa diri semakin tua. Bekas anak murid dah jadi mak dan bapa orang, sudah berkeluarga dan bekerjaya. Ini rupanya rasa bekas guru-guru saya bila bekas anak murid menegur dan masih mengingati.
Terima kasih kepada semua anak-anak murid yang telah saya ajar. Terima kasih kerana hadir dalam jalur hidup saya dan turut mewarnai hidup saya. Tidak kiralah siapa. Terimakasih ini saya tujukan kepada semua, sama ada yang masih ingat atau pun yang dah terlupa siapa cikgu Sains/cikgu Kimianya. Minta maaf atas salah silap semasa saya mengajar, sama ada lambat masuk ke kelas, terkasar kata, tidak menepati janji atau tidak memberi perhatian yang sewajarnya buat kalian.
Saya hanya manusia biasa, cuba untuk menjadi lebih baik pada hari-hari esok saya. Nak menjadi cikgu ni pun dah tak lama. Tinggal beberapa tahun sahaja lagi dalam perkhidmatan. Itu pun kalau Allah izinkan.
Oh tetiba emo pulak ... 😃
Bukan apa, sesekali teringat dan memuhasabah diri, kan. Memohon maaf selagi boleh.
Saya doakan kalian semua dikurniakan Allah kejayaan hidup dunia akhirat, bahagia hidup dan dapat berbakti kepada yang sepatutnya.
Salam ingatan.
~cikgunormah@klcitizen~
Saya doakan kalian semua dikurniakan Allah kejayaan hidup dunia akhirat, bahagia hidup dan dapat berbakti kepada yang sepatutnya.
Salam ingatan.
~cikgunormah@klcitizen~