Kalau darjah 1 tidak tahu membaca dan mengira, memang sangat fahamlah kita, kan. Tapi kalau sudah tingkatan 1 , tidak tahu perkara yang sama, apa nak kita kata?
Kalau hanya seorang pelajar yang begitu, kita juga mungkin akan faham. Tapi kalau 20 orang pelajar tingkatan 1 yang sebegitu rupa, dan 2 orang darinya, nak menulis nama sendiri pun bermasalah, apa ceritanya?
Sungguh saya tidak faham. Saya pasti ramai kawan-kawan guru saya menghadapi situasi yang sama di sekolah harian masing-masing. Kalau sekolah elit, mungkin terkejut beruk bila dengar perkara ini. Tetapi, di sekolah harian ini adalah perkara biasa.
Inilah kisah di tahun 2010 di sekolah saya kini. Perbincangan kami, dalam mesyuarat kurikulum, cuba mencari langkah dan strategi yang sesuai untuk membantu mereka.
Cuma, yang saya tidak faham, semasa di sekolah rendah, tidakkah ada pendekatan yang dibuat oleh rakan-rakan guru, untuk membantu mereka ini? Sebagai seorang guru juga, saya mengambil sikap berbaik sangka. Saya pasti ada strategi dan tindakan yang telah diambil, tetapi mungkin ada beberapa kekangan yang memainkan peranan menindas keberkesanan strategi tersebut.
Ini bukan kajian. tetapi saya fikir ia patut dijadikan bahan kajian.
Kekangan yang paling ketara saya kira ialah sistem naik darjah secara terus. Saya ingin mencadangkan (walaupun saya pasti cadangan ini tidak akan dibaca oleh pak menteri kita atau ketua pengarah kita), agar, ujian lisan/ujian membaca yang dijalankan di sekolah rendah diguna sebagai penapis sebelum mereka melangkah ke menengah. Sekiranya gagal dalam ujian tersebut, mereka perlu mengulang di kelas tahun enam semula.
Kenapa di tahun enam? Bukan kelas pemulihan di tingkatan satu?
Kerana di sekolah rendah sudah ada 'manpower' yang terlatih untuk mengajar pelajar yang buta huruf. Guru-guru di sekolah menengah, rata-ratanya tidak mempunyai kelayakan atau latihan mengajar pelajar buta huruf, kecuali, di kelas PPKI . Dan juga kerana, ramai ibu bapa yang bila mendengar anaknya yang normal perlu dimasukkan ke PPKI akan melenting dan takut.
Dengan adanya syarat ini juga, ibu bapa tidak bersikap lepas tangan, membiarkan anaknya tidak boleh membaca sehingga anak itu dewasa.
Harap-harapnya cadangan saya yang tidak bernas ini bolehlah direalisasikan. Apalah gunanya kita mencanangkan sekian-sekian peratus pelajar sekolah rendah mendapat 5A dalam surat khabar, tetapi di sebalik kemeriahan itu, ada anak didik kita yang tidak tahu membaca surat khabar pun.
Sibuk kita bersolat syukur kerana 90 orang pelajar kita mendapat 5A dalam UPSR tetapi kita memejamkan mata ke atas nasib 20 orang anak didik kita yang tidak dapat membaca serta mengira pun.
Sedih memikirkan nasib mereka ini.
~cikgunormah@klcitizen~
~cikgunormah@klcitizen~