Kelas sivik ting 3.
Puas juga menunggu pelajar-pelajar saya memikir apa yang baiknya tentang diri mereka. Memikir lama, seolah masing-masing tidak kenal diri sendiri. Saya pun menukar strategi.
Saya edarkan 3 helai kertas A4 setiap seorang. Pelajar lelaki ada 22 orang, pelajar perempuan ada 14 orang.
"Lipat kertas kepada 8 petak, kerat/potong menjadi 8 segiempat tepat. Pada setiap helai kertas segiempat kecil itu tulis 1 nama rakan kamu dalam kelas. Setiap rakan dalam kelas ini, namanya akan kamu tulis pada setiap helai kertas kecil itu. Semua rakan. Jangan tertinggal satu pun. Lelaki tulis nama kawan2 lelaki sahaja, perempuan tulis nama kawan perempuan sahaja. Nama kamu sendiri tak perlu"
Sibuklah masing-masing melipat dan mengerat.
"Ok. dah tulis nama kawan2 dalam kelas ni?"
"Sudah....cikgu"
"Baiklah, saya mahu kamu tulis 1 perkara yang baik atau yang kamu suka bagi setiap nama yang terdapat pada kertas segiempat yang kecil itu. Dah tulis, lipat, jangan beri orang lain baca"
Setiap pelajar lelaki ada 21 helaian kertas segiempat kecil yang perlu ditulis 1 perkara baik tentang setiap rakannya dalam kelas. Yang perempuan pula ada 13 helaian kecil.
Saya terbaca satu darinya.
Nama rakannya: Black
Perkara baik tentang Black: cool
Bila sudah siap, masing-masing perlu memberi kertas yang bertulis, pada pelajar yang namanya tertera.
Waktu ini, suasana agak riuh sedikit di kelas. Pelajar-pelajar ke sana sini , mencari rakannya untuk diberi kertas bernama mereka.
Saya lihat ramai yang tersenyum bila membaca helaian kertas yang diterima khas untuk diri sendiri. Membaca apa yang baiknya tentang diri mereka dari kaca mata rakan mereka sendiri.
Kalau yang lelakinya, mereka terima 21 perkara yang baik tentang mereka. Yang perempuan pula ada 13 perkara baik tentang diri sendiri.
Saya pasti ramai antara mereka tidak pernah dipuji, malah tidak tahu pun kelebihan diri masing-masing. Ramai yang tersenyum. Seolah membaca surat cinta dari kekasih hati.
"Boleh saya baca?"
"Tak boleh lah cikgu, rahsia" beritahu pelajar yangkononnya tidak ingin bersikap riak sebentar tadi.
Tapi bibirnya mengukir senyum sambil mengulang-ulang baca setiap kertas yang tertulis apa yang baik tentang dirinya.
Saya berpendapat, peringkat remaja yang penuh dengan kecelaruan identiti, memerlukan kata putus dari rakan sebaya untuk membenarkan sesuatu yang baik tentang diri sendiri. Jika rakannya menyatakan beliau cool, itulah yang dipercayainya.
Kata-kata saya sebagai guru tidak diterima secara putus andai rakannya tidak bersetuju. Ini kerana mereka tidak yakin dengan keunikan diri sendiri, tetapi ingin lari dari kelompok pelik supaya dapat bersama-sama serta diterima oleh rakan sebaya.
Saya juga begitu dulunya. Hanya sekarang ini barulah saya mengerti bahawa saya juga punyai sifat tersendiri yang patut saya berbangga dari dulu.
Kembali semula ke kelas......
Apabila loceng balik berbunyi, saya lihat beberapa pelajar lelaki yang pada firasat saya, pelajar-pelajar yang agak nakal, melipat helaian-helaian kertas tentang diri mereka dengan cermat dan menyimpan dalam poket baju.
Pada saya menyimpan di poket baju seolah-olah menyatakan bernilainya isi kertas tersebut, berbanding menyimpannya di poket seluar.
Semasa menuruni anak tangga, saya juga tersenyum seperti mereka.
~cikgunormah@klcitizen~
~cikgunormah@klcitizen~
idea yg sangat bagus. terima kasih.
ReplyDelete