Tuesday, August 30, 2011

tiada diskriminasi


Saya tidak mengenali dia. Hanya mendengar cerita sahaja. 

Death does not discriminate ~ Imam Suhaib Webb

Kematian tidak mendiskriminasi.

Laungan takbir hari raya membawa perspektif yang berbeza mengikut usia. Melepasi usia kanak-kanak, takbir hari raya sudah diwarnai dengan rasa sayu. Dan melepasi usia 40an, takbir raya sarat dengan rasa pilu dan nostalgik. 

Hanya beberapa saat hari raya sahaja dalam hidup ini yang kekal terpahat diingatan. Yang lain, ia tersimpan kemas dalam buku catatan dan akan menjadi tatapan seluruh umat satu hari nanti. Walau masa itu masing-masing terlalu sibuk memikir hal sendiri, dan tidak kuasa memikir nasib insan lain, tetap terselongkar dan terbongkar.

Dan saya pasti 1432H ini terpahat kukuh dalam ingatan beliau.

Namanya juga saya tidak tahu. Mendengar cerita sahaja dari anak buah. Wanita muda, baru dua hari berjaya melahirkan anak sulung perempuan dan saat orang lain bergembira melihat anak, suami serta saudara mara dengan pakaian, makanan serta serba serbi meriah, beliau menyambut pagi raya dengan berita kematian suaminya yang telah beberapa hari koma setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Doa saya semoga beliau tabah hatinya, cekal semangat dan jiwanya. Ujian yang tidak semua dapat merasa dan jika diberi pilihan beliau juga tentu tidak mahu.

Perkuburan Jalan Pusara 08

Moga Allah melimpahkan rahmat kepada roh suaminya. Wanita muda yang diuji. Saya tahu ramai lagi di luar sana yang ujiannya seberat ini atau mungkin lebih hebat. Moga Allah meningkatkan darjat mereka di sisiNya dengan redha mereka terrhadap ujian tersebut.

Salam 1 Syawal 1432H.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, August 28, 2011

erat dan kemas





Jarang sangat berjumpa. Kehidupan harian menjadi alasan.

Blood is thicker than water .

Pertalian darah.

Kejauhan menjarakkan hubungan. Dan memang kesilapan banyak di pihak saya. Tapi, kan saya pun insan biasa.


Akak ikut mak ya.


Ok.

Yalah, takkan nak dibiar emak pergi sendiri.

Acara munjung. Masyarakat Jawa di kampung masih mengekalkan tradisi ini. Hujung Ramadan, acara ini seolah menjadi kemestian. Menziarahi rumah sudara-mara dengan satu tujuan sebelum berhari raya iaitu berkongsi makanan untuk berbuka puasa.

Biasanya makanan berat, berupa nasi berlauk atau nasi impit berlauk. Kalau tidak punya upaya untuk memasak, boleh berkongsi makanan kering yang menjadi keperluan seperti gula, susu, air minuman botol atau tin dan sebagainya.

Tok..

Pangkat Datuk kerana pertalian saudara. Matanya sudah tidak nampak separuh. Nampak uzur benar. Tapi wajahnya masih tenang seperti dulu-dulu.

Kabare? . Apa khabar?

Waras, Tok.

Dia genggam tangan saya erat. Kemas. Matanya memandang saya. Jauh ke dalam . Dengan senyuman. Puas.

Setiap tahun begitu.

Dengan setiap orang yang dijumpanya.

Seolah menelan sepenuh pandangan di hadapannya kerana sepertinya ini lah pandangan yang terakhir berjumpa sanak saudara sebelum berhijrah ke alam yang lain.

Dan saya rasa bersalah.

Kerana saya bukanlah insan yang baik.

Selamat Menyambut Aidilfitri rakan-rakan, dan maafkan segala salah silap saya.

~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, August 26, 2011

sayu itu di hati waktu itu




Sayu.

Kalau tambah huruf 'r' , akan menjadi sayur. *Ini bahagian merepek. :)*

Sayu berkait rapat dengan hati. Hati tersentuh atas banyak sebab. Impian yang tidak terpenuh, kata yang menghiris atau kehilangan sesuatu yang telah biasa dalam hidup.

Setelah hampir 27 hari melalui perjalanan Ramadan, ia sudah menjadi seperti kebiasaan. Rutin. Sahur, iftar dan teraweh menjadi biasa. Kebiasaan yang datang dan perginya pantas.

Hampir sudah ke hujung Ramadan. 

Sayu.

Sayu juga bertambah pagi tadi. Walau pada mulanya, ia seperti hari biasa. Kerana saya dan rakan-rakan yang telah lama di sekolah ini sudah acap kali melambai pergi beberapa orang Pengetua yang bersara dan juga yang berpindah. Kata orang sudah immune dengan perpisahan. 

Tapi, tetap perpisahan dengan sesiapa pun, hati pasti tersentuh , walau sedikit.

Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih berlangsung di sekolah. Pemilihan kata bagi tema majlis juga menggamit rasa sayu.

Tema warna pula ialah warna peach.

Buah peach memang kegemaran kalau ditabur atas puding caramel. Setahu saya buah peach dalam tin itu agak kekuningan, kan. Tapi warna peach yang melatari baju-baju kami lain, bukan kuning. 

Ah, Mungkin saya buta warna barangkali. Tak apa, tidak penting.

Sayu juga, kerana hari ini hari terakhir di sekolah sebelum bercuti untuk sambutan Aidilfitri. Sayu kah? 

Sebenarnya ia lebih kepada sayu gembira. :)

Memang pasti, di mana sahaja pasti ada acara bermaafan sebelum  menyambut Aidilfitri. Meriah kali ini di sekolah saya. Kerana bersekali dengan majlis perpisahan pengetua kami.

sayukah mereka?

mat hensem hanya memerhati

baju dari kayu yang sama

sedih yang tidak terbendung

Acara maaf tiada kemuncaknya, tetapi acara perpisahan diakhiri dengan lambaian terakhir pengetua dari kereta sport tajaan seorang ibu pelajar di sekolah. 

Untuk makluman, tuan punya kereta bukan model yang berdiri di sebelah kereta. Si dia hanya bertugas memegang bunga untuk dihadiahkan pada pengetua yang bersara.

jangan perasan ya :)

Sayu itu di hati waktu itu. 

Saya mendoakan yang terbaik untuk bekas pengetua, Pn Mek Zahrah bt Awang dalam hidupnya dunia dan akhirat nanti.  Serta dianugerahi kesihatan yang baik.

Dan juga semoga selamat sampai buat rakan-rakan semua, yang ramai kelihatan tergesa punch-out untuk balik ke kampung halaman masing-masing tengahari tadi.

Salam sayang serta Maaf zahir dan batin.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, August 25, 2011

harapanku moga kau menyayangi ku juga


Dear Ramadhan,

Please don't disappear so soon.

I love you a whole lot more than any other month. I love praying in you, love waking up in the middle of your nights, love the family gatherings n love all the tests brought upon. Even my babies are a lot calmer in you.

Though I shopped till I already dropped, (as if I can't wait to see Syawal) I still love you immensely! Ramadhan, please stay a bit longer!

If you still have to go, please come and visit me again next year.

P/S: I hope you love me too
 tuan punyanya

Teringat-ingat tulisan tersebut. Menciplak tanpa kebenaran.

Tak pe. Nanti saya minta maaf sebelum cuti sekolah nanti. Ah, kalau tidak pun saya minta maaf di sini sahajalah. Saya pasti tuan yang menulis membaca blog saya. Tidak hari ini , mungkin esok lusa. Maafkan saya, selamat hari raya. :)

Boleh saya terjemahkan?

Wahai Ramadan,

Janganlah kau pergi terlalu cepat.

Aku sayangkan kamu, lebih dari bulan-bulan yang lain. Aku suka benar beribadat dalammu, suka betul bangun di tengah malam mu, aku suka dengan berkumpulnya keluargaku (**sewaktu iftar) dan menghargai setiap dugaan yang datang bersamamu. Malahan bayiku juga lebih tenteram dalam dakapanmu.

Walau pun, aku bershopping bagai nak rak (seolah-olah tidak sabar mengadap Syawal), masih ku sayang mu teramat dalam! Ramadan, tinggallah di sini lebih lama!

Kalau pun, kau terpaksa pergi, datanglah lagi menjengukku tahun depan.

p/s: Harapanku moga kau menyayangi ku juga.

**bahagian ini saya tambah sendiri :)

Women in love!!!


Love u too...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 23, 2011

mati dalam senyuman

Minggu ini ialah minggu menjadi penceramah. Sayalah. Siapa lagi. 

Bukan menjadi penceramah jemputan. Ini penceramah tak dijemput. Berdiri dalam kelas, bersyarah depan budak-budak ini. Agaknya terkenan  dengan penceramah Dr Muhaya. Sebab.., dalam dua tiga hari ini tidak putus-putus saya mendengar ceramah-ceramah motivasinya. Demam nak berceramah.

Apakah yang awak nampak tentang diri awak dalam masa 10 tahun nanti?

Er..... errr.....

Tak faham kut soalan saya ni. Bisik hati kecil saya. Maklumlah, saya ni kan baru berjinak dengan dunia pen'ceramah'an. Soalan saya pun masih ke'hijau'an lagi.

Lagi 10 tahun nanti agak-agaknya awak jadi apa kut?

Dari awal lagi,  fikirannya tidak fokus pada saya bila mengajar. Melayang. Kerana itu dia menjadi bahan soalan saya.

Jadi kerani, kut.

Alahai. 

Tidaklah saya memandang rendah kerja halal sebagai kerani tu. Tapi, betapa kecilnya jiwa anak muda ini. Sudah berusia 17, takkanlah tidak punya pengetahuan serba sedikit tentang hebatnya pekerjaan-pekerjaan yang ada di luar.

Fikirkanlah kerja yang lebih hebat. Waktu itu nanti umur awak 27 tahun, mungkin sudah berkahwin dan bakal menimang cahaya mata. 

Alah, cikgu ni, saya belum habis fikir lagi...

Awak tau tak? *pause* Saya tau awak tak tau, ni saya nak bagi tau. Orang yang berjaya ialah orang yang dapat membuat unjuran dan melihat hidupnya dalam 20, 30 tahun lagi. Awak semua kena bayangkan apa yang awak nak buat, nak jadi nanti. Dari situ dari sekarang awak kena usaha.

Itu antara intipati Law of Attraction. 

The Law of Attraction simply says that you attract into your life whatever you think about.
sumber
Dr Muhaya juga ada menyebut ini sebagai kuasa minda. Kita bayangkan yang positif, maka positiflah hasilnya.

Bila diingat semula, secara tak sedar, saya pernah juga menggunakan kuasa minda ini. Waktu sekolah menengah rendah berangan dan terbayang-bayang hidup di asrama, kerana terpengaruh dengan buku cerita Enid Blyton. Anganan menjadi kenyataan. Bila di menengah atas berangan dan terbayang hendak masuk universiti. Alhamdulillah juga, termakbul impian. 

Fokus dengan kuasa minda.

Saya kira anganan menjadi kenyataan kerana anganan itu seolah menjadi realiti dalam fikiran, pada waktu itu. Begitu kuat. Begitu berazamnya saya. Tidak pernah saya membayangkan yang saya tidak dapat masuk ke sekolah berasrama atau tidak dapat menjejakkan kaki ke universiti. Tidak pernah sedikit pun. Tiada fikiran negatif tentang hasrat dan keinginan saya itu. 

Positifkan fikiran. InsyaAllah perkara positif akan sentiasa hadir.

Bukankah dalam agama kita pun meminta kita begitu. Sentiasa berbaik sangka dengan Allah. Atas segala nikmat dan ujian. Mempositifkan segalanya, hatta perkara yang dianggap negatif oleh kita.

Dalam 30 tahun nanti bagaimanakah saya?

Umur 75.

Jika masih panjang umur, insyaAllah, saya masih sihat, masih bisa membuat amal ibadat. Mata saya masih boleh melihat, telinga saya masih dapat mendengar, kudrat saya masih bisa menguruskan diri sendiri. Hidup saya tenang. Dunia bukan lagi matlamat saya. Pengabdian saya lebih utuh.


sumber

Dan saya mahu mati nanti tersenyum, sedang orang di sekeliling saya menangis. Bukan nanti saya mati dalam tangisan, sedang orang di sekeling tersenyum menyambut berita kematian saya.

Husnul khatimah. Impian saya.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, August 22, 2011

jenis tak bersyukur....

Hujan waktu ini. Alhamdulillah. Sejuk dan nyamanlah malam ini mendodoi tidur masing-masing.

Sambil menaip ini, telinga didendang dengan kata-kata motivasi dari Dr Muhaya. Hati. Menjadi lembut, jika Allah inginkan insan yang empunyanya baik. Lembutlah hati, agar kita nanti di sana bersama mengadap Ilahi, tidak dipersoal mengapa dan kenapa jalan yang dipilih tidak diredhaiNya.

Syukur.

Insan yang bersyukur itu rupanya lebih baik dari insan yang sabar. Biasa saya dengar. Hadis? Atau kata-kata hikmat? Wallahualam.

Sewajarnya dari awal pagi tadi, saya bersyukur. 

Kerana? 

Bangun dari mimpi...., dan sekeliling saya masih ada. Anak, suami, rumah dan harta benda masih punya. Tiada musibah. Malamnya tidur lena tanpa gangguan.

Syukur juga kerana mengadap cermin, wajah saya masih seperti sedia ada. Tidak herot dek saraf yang rosak. Mata saya masih berfungsi, tidak buta sebelah, walau sejak dulu rabun. Tapi, kan cermin mata saya juga masih baik. 

Walau kedut dan uban di kepala makin bertambah, tetapi itu lumrah , bukan musibah. 

Dan segala yang remeh di sekeliling berada serta berfungsi  seperti biasa, seperti hari lain, air di paip, ubat gigi , berus gigi, sabun mandi , tuala, tandas yang tidak tersumbat, baju yang sudah bersterika dan segala mak nenek yang saya take for granted.

Sewajarnya, kan. Sewajarnya apa? 

Bersyukur.

Mengejar  rutin sering membuat saya tiada masa untuk duduk dan merenung hidup saya, dari segi keremehan yang menyenangkan. Tiada masa untuk duduk bertafakur dan berterima kasih dengan sesungguhnya, atas nikmat yang tidak tertulis dan terucap dan sering tidak dipandang semasa masih ada. 


Sudah puluhan tahun. Dan syukur itu lebih terkesan meresap dalam setiap inci jaluran urat ini.


Semoga esok lebih baik .

~cikgunormah@klcitizen~ 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, August 21, 2011

tak payahlah nak jadi poyo sangat...






Poyo.

Mencari maksud poyo.  Tiada dalam Kamus DBP online. Tanya pakcik google, banyak versi yang diberi, terutama dalam web forum.

Terjumpa maksud poyo dalam Urban Dictionary. *Baru saya tahu ada urban dictionary*
Ada 2 maksud yang diberi untuk poyo ni.













Kenapa sibuk sangat dengan istilah poyo ni. Sebab entri yang ini rasanya nak mengetengahkan sifat kepoyoan saya. Sebelum menulis sudah terasa macam bagus sangat, tetapi tetap hendak menulis juga. Tulislah. Bukannya ada editor nak proofread pun kan.

Kalau hendak hidup bahagia, bagaimana?

Buang 3M dalam hidup. Iaitu.... membaca, menulis dan mengira. 

Ha? 

Eh! Silap. Bukan 3M yang itu. Kalau buang 3M yang itu, bukannya bahagia yang datang, tetapi M yang keempat yang menjengah, iaitu merana.

Sebenarnya 3M yang lain. Yang disaran oleh Dr Muhaya dalam slot Islam Itu Indah yang bersiaran pada 3 Ogos yang lepas. Hendak mendengar rakaman audio itu boleh ke sini.

Kata beliau , jika hendak bahagia, cuba amalkan membuang 3M ini iaitu menyesal, mengeluh dan merungut. Redha adalah kata kuncinya.

Menyesal. Banyak yang saya sesalkan dalam hidup ini. Menyesal tak belajar betul-betul, itu satu contoh. :) Tapi benda dah lepas kata Dr Muhaya, kenapa perlu digali dan diungkit semula. Kisah lama yang menyesak dada kenapa perlu diputar kembali dalam layar ingatan. Bukan menambah suka, tetapi menambah derita. Betul? Saya setuju.

Mengeluh. Setiap hari saya mengeluh. Kerja yang bertimbun. Sakit pinggang dan sakit lutut. Mengeluh kerana terpaksa memanjat tanak-anak tangga setiap hari. Ambil yang positif dari semua itu, pesan beliau. Sakit pinggang memberi peluang untuk mengajar sambil duduk tanpa dipersalahkan orang lain :), memanjat anak tangga pula menjadi senaman tanpa perlu diusahakan (*cuma pastikan kasut yang bertumit 2 inci itu saya simpan dalam almari dulu) dan kerja yang bertimbun bermakna kita masih bernasib baik punya kerja yang halal, tidak dibuang kerja dan pastinya setiap bulan ada gaji.

Merungut. Ha ini lagi satu. Segala bendalah yang akan dirungut. Cashier yang masam di kaunter, servis di restoran yang tidak tiptop, segala sistem-sistem yang ada di sekeliling. Tapi, kalau tak merungut, macamana memperbaiki sistem kan? Saya kira, memberi komen positif tidak dikira merungut, komen beserta cadangan boleh menambahbaik mutu perkhidmatan. Dan komen tersebut disalurkan melalui medium yang betul.

Positif. Positif. Positif.

Senang nak tulis, hendak membuatnya?

Itulah yang hendak dicuba. Kan selalu kita kata, hari ini mesti lebih baik dari semalam, ini bagi orang yang bijak. Kalau hari semalam lebih baik dari hari ini, itu manusia yang tidak bijak. Dan kalau hari  ini adalah sama sahaja dengan hari semalam, itu adalah manusia yang terpedaya dalam hidupnya.

Betul tak saya kata entri ini macam entri yang poyo?

Selamat berhujung minggu dengan kepoyoan masing-masing.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, August 19, 2011

kau tak datang, lemah jiwaku...

Perangai manusia lebih kurang sama.

Mungkin ada yang terkurang, dan mungkin ada yang terlebih. Tetap ada kesamaan dalam kehendak dan keperluan. Sebab itulah kita dikelaskan dalam famili yang sama. Dipanggil Homo sapiens.

Menaruh suka.

Usia remaja, manis 17, adalah masa untuk menyelongkar rasa menyukai dan disukai.  Menyukai dalam diam ada kala menyiksakan. Hendak diluah, saya kira di usia sebegitu, ia sangat sukar. Kemahiran bersosial secara sihat masih di peringkat awal dan kurang teknik.

Yang seronoknya menjadi guru selain dari berkongsi suka dengan kejayaan anak murid, ialah memerhati . Berkali-kali. Setiap tahun. Kisah yang hampir-hampir saja sama. Cuma wajah, nama dan masanya saja yang berbeza.

sumber
Kenapa awak ni? Macam tak sihat?


Pagi Jumaat.

Hanya separuh sahaja bilangan murid yang hadir. Kerana itu, gerak gaya dan tingkah pelajar yang ada senang dilihat serta diperhati, beza dari hari yang biasa.

Kawan di sebelahnya memerhati air muka dia yang saya tegur. Baru terperasan agaknya. Wajah manis bertudung rakannya  itu kelihatan lesu.

Kawan dia tak datang cikgu. Tu dia tak de mood.

O, ya ke?

A..ah, si Aisar tak datang. 


Terus , ingatan saya melekat pada Aisar si janggut. Berkaca mata dan manis orangnya. Si dia yang saya tegur sudah tersipu malu. Mendengar nama Aisar, wajahnya bercahaya.

Tipikal. Bibit rasa dalam dada menyemarakkan jiwanya.

:)

*Aisar, janganlah ponteng sekolah lagi...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, August 18, 2011

asyik tekak orang lain je...


Berbuka apa semalam?

Dalam sebulan ini, itulah modal bicara. Soalan serampang dua mata sebenarnya. Bukanlah k-poci sangat nak menyibuk, tetapi lebih kepada mencari ilham menu memasak bagi berbuka puasa.

Suami tak ada kat rumah dua hari ni, out-station. Dapur tak berasap lah Normah. Dok heret anak-anak buka kat kedai mamak lah, tak pun melilau kat bazar Ramadhan.

Yalah tu. Kalau suami saya tak ada pun, malas betul nak masak kan. Lagi pun tinggal saya ngan si Harith je, dua mulut, alang-alang nak masak. KFC je la, tak pun Pizza Hut.

Memasak.

Rupanya dorongan memasak lauk pauk special ini, 80% nya adalah untuk memenuhi selera si suami. Walau pun si suami tidaklah berkira sangat bab makan ni, tetapi tetap juga si dia menjadi faktor utama memilih menu. 

Ini bagi yang punya anak yang memang berada di rumah.

Tapi, saya kira , jika anak-anak kita berada di asrama, pulangnya dia ke rumah sekali-sekala itu juga akan menjadi penyumbang faktor kesediaan kita memasak. Segala yang menjadi kegemarannya cuba kita penuhi.

Jadi, bilanya pula kita , kaum wanita ini memasak untuk selera dan tekak sendiri?

Musykil.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 17, 2011

jin di sekolah


Cikgu pernah nampak hantu?

Bercahaya matanya bila bercerita tentang hantu. Rupanya kisah hantu sentiasa dapat menyegarkan minda kita. Walau pun lesu, penat dan lapar serta haus, tetap kisah hantu membuatkan kita leka dan lupa.

Yang lain berkeliling saya. Macam pengacara rancangan kanak-kanak di TV lah pulak. Ada yang menarik kerusinya lebih dekat ke saya. Alahai, rimas pulak dibuatnya.

Ada dua pilihan. Mereka cerita atau berkata benar.

Melihat riak muka mereka, pasti cerita saya, benar atau tidak, tidak akan dipersoalkan oleh mereka. Pasti. Cikgu kan serba tahu. Bagi budak-budak sebaya inilah.

Ah, puasa-puasa ini menyelamatkan saya. Berkata benarlah Normah.

Tak, saya tak pernah nampak. 

*bersyukur dik... Tak pernah jumpa, kalau terjumpa entah macamanalah agaknya saya. Pucat lesi, itu pasti , kata dalam hati.

Kecewa. Pada air muka masing-masing. Bukankah sepatutnya cikgu setua ini punya banyak pengalaman dan cerita mistik yang boleh dikongsi? Sayang. Cikgu ini cetek ilmu kehidupan. *agaknyalah itu kata hati mereka*

Tapi, saya pernah dengar ceramah pasal jin.

Ha... Berminat semula. Bercahaya wajah masing-masing, menegakkan badan dan memasang telinga. *Jin pun jinlah cikgu, asal jangan mengajar hari ni* Ternampak kata hati mereka di air muka masing-masing. :)

Maka berceritalah saya tentang kisah jin yang makanannya ialah tulang dan asap.

Asap rokok , cikgu?

Ha... banyak asap rokok, banyaklah jin duduk menghurung awak.

Itu sebenarnya versi saya, bab jin menghurung asap rokok, Ustaz Kazim Elias tidak pula bercerita begitu.

Ok. Ok. Kita sambung pulak belajar.

Alah..... cikgu.  Saya tak sihat lah nak tulis.

Pen saya dah hilang lah.

Semalam saya tak sahur lah cikgu, penat...

Aiiii... ?#!*&?

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

siapa yang tembam ni?


Cikgu, kenapa cikgu nampak tembam puasa ni?

Amboi. Engkau... *dalam hati*

Tembam adalah 6 huruf yang membawa maksud yang sama dengan gemuk Walau pun gemuk hanya mengandungi 5 huruf, tetapi pemberatan setiap huruf memang di luar jangka. Ia menjadi beban, menghempap esteem diri.

Ha... mesti cikgu tak puasa ni.

Cikgu ambik steroid ya? Pipi cikgu nampak tembam.

Ini sidang mediakah? Tersilap masuk bilik ke saya ni? Soalan bertubi-tubi, mengalahkan budak-budak artis menjawab semasa promo lagu atau filem mereka nampaknya.

Ah... fitnah semata. No komen.

*Cool*

Cuba berlagak tenang. Walau dalam hati bergelodak, hendak menyalahkan setiap pinggan nasi yang disogok ke dalam tenggorok lewat ini. Air berketulan ais yang dituang bergelas-gelas juga menjadi penyebab utama.

Eloklah badan saya gemuk. Kalau tak  macam rangka berjalan pulak.

Alasan.

Hendak menyedap kan hati siapa? 

Ramadhan kali ini memang menambah selera. Alhamdulillah, setakat ini tiada lagi sakit gastrik yang menyerang seperti dulu-dulu. Berkat minum susu kambing agaknya. :)

Selamat bercuti sempena Nuzul Quran bagi rakan-rakan yang bercuti. Bershopping barangkali  :)

*proses mencuba-cuba medium komen Disqus dan IntenseDebate, banyak komen dari rakan yang hilang. :(

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 16, 2011

lepas maghrib mula berangan


Midah, camana nak buat cicah ikan bakar?


Senyum berbalas. Mata bertaut. Buku resepi di tangannya ditutup perlahan. Sedang menelaah buku resepi. Resepi biskut raya rupanya. Rakan-rakan yang lain di keliling turut memandang saya sambil tersenyum. Oh.... di tangan masing-masing rupanya melekat buku resepi pelbagai.


Sesi menerang cara, bermula.


Ada pula yang menambah. Memberi petua dan idea.  Gaya masing-masing, air tangan masing-masing.


Mah, hari ini masak apa?


Bakar ikan je kak ana. 


Bakar camana?


Bakar bodoh je kak ana.


Langkah pulang ke rumah terhenti di meja rakan ini pula. 


Kalau nak lebih sedap , bakar cam gini....


Saya mengangguk. Berterima kasih. Merekod secara mental dalam kepala, cara membakar ikan istimewa dari Kak Ana. Nanti lepas dari ini, pasti bila melihat wajah Kak Ana , akan terbayang langkah membakar ikan cara gayanya.


Meneruskan langkah balik ke rumah.


Acara berkungfu panda di dapur menunggu. Sambil itu, dalam hati berkata-kata, pengganti Chef Wan ramai rupanya di bilik guru ini. :)


*berkungfu panda dua jam setengah di dapur, acara makan hanya setengah jam sahaja.... mengemas selepas makan setengah jam juga. Sambil mengemop lantai, berangan sorang, bila agaknya boleh ber'bibik'?

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, August 15, 2011

Jangan nak jadi betina sial...

Awak jangan nak jadi betina sial.

Amarah yang terlampau amat. Ia melimpah, bagai empangan pecah. Tiba-tiba terasa bodoh yang teramat dalam. Memang bodoh. Menurut hati yang sedang marah seperti si buta tidak bertongkat. Teraba-raba mencari diri sendiri.

Bila amarah menguasai, barulah diri sebenar tertonjol keluar.

Rupanya inilah diri saya sebenarnya. Perasan bagus menulis agar sabar segala. Sedang kerenah budak hingusan ini sahaja tidak terbendung amarah dalam diri. Maaf rakan-rakan. Kata sendiri tidak dikota. Jadi bagaimana boleh menasihati? Tidak selayaknya.

Diuji. 

Dengan insan kerdil di depan mata ini.

Mendengar kata... , tiada dalam kamus hidupnya. Tingkahnya begitu menyakitkan hati dan mata. Jenuh mengurut dada, meminta diri sendiri bersabar. Akhirnya terhambur juga kata-kata yang tidak sewajarnya ini.

Agaknya ini caranya Allah ingin memberitahu, bahawa apa yang ditulis dan dikata perlu diperhati saksama. Bahawasanya, Normah, berhati-hati dengan tindakan kamu. Dunia ini persisnya seperti roda. Segala yang kau hamburkan , akan kembali juga ke muka kamu.

Jangan perasan kamu tu baik sangat, tau, Normah.

Tengok. Dok menasihat orang supaya sabar. Aku bagi kau berdepan dengan budak sedegil ini, dan cuba kau tengok. Macamana kau jaga mulut kau?

Pesan Ustaz, kalau inginkan penghujung kehidupan kita ini baik seperti mereka yang terpilih itu, senang sahaja. Jaga mulut.

Ah... si mulut. Sejak bila kau belajar guna perkataan itu?

*terbayang menerima buku amalan nanti, di sebelah manakah? eeee... ngeri!

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, August 13, 2011

aii... sakit-sakit pun boleh lagi?

Sakit kepala.

Bukan saya. Tidak juga hari ini. Kelmarin dulu. Bila tu ya? Entah tak ingat.

Sihat tak?

Sihat atau tidak memang senang ditelah. Tidak perlu punya kebolehan membaca fikiran orang untuk tahu si dia tu sedang sakit atau tidak. Secara intuitif nya, melihat riak air muka dan pandang mata sesekala kita boleh menelah si dia sedang menahan sakit.

Sakit kepala lah kak normah.

Sakit yang haritu camana?

Yang itu appointment nya tak lama lagi.

Sakit.

Yang merasa sahaja yang tahu. Perkataan berdenyut yang digambar olehnya disambut dengan rasa kasihan. Sekadar itu. Sedikit pun tidak bisa ditolong atau dibantu. Kesakitan fizikal bukan untuk dikongsi bersama. Itu tabii. Mengeluhlah atau mengaduh semahunya, tetap ia hak milik persendirian.

Kenapa tak ambik MC je?

Penyelesaian yang mudah. Bagi saya. Seolah dengan MC itu sakit itu akan bertambah hilang lenyap. 

Tak apalah kak normah. Kalau layan sangat sakit ni, memang tak boleh buat apa. Kat rumah pun nanti baring je, lagi sakit.

Kuat awak ya. Kak Normah kalau sakit kepala, memang tak leh buat apa, makan ubat, tidur je . Insya'Allah lepas tu biasanya hilang sakit.

Ni boleh tahan lagi kak Normah. Berdenyut je sikit.

Eh.... dalam sakit kepala pun, boleh lagi awak bercelak bersolek bagai ya...?

Ah...mulut laser saya. Dah terkeluar baru terperasan ayat yang ditutur.



Hahaha.... suara orang lain pula ikut masuk serta, tertawa dengan persoalan dalam kepala yang terzahir tanpa sengaja.

Eh. Kak Normah mintak maaf.

Itulah manusia. Buat silap dahulu. Tidak berfikir. Barulah maaf menyusul. Saya pandang wajahnya. Lega. Tiada secalit pun rasa kecil hati di matanya. Dia tersenyum dan tertawa kecil. Kelopak matanya bercalit warna biru sedondon dengan baju yang dipakainya. Maskara yang dipakainya menambah lentik bulu mata yang sedia cantik.

Sori banyak-banyak. Tak berniat. Cumanya, kak normah ni tak pernah bermake up. Jadi kak normah musykil sedikit, tengah sakit-sakit kepala boleh lah pulak awak  memberi perhatian pada kerja-kerja macam tu.

Memberi alasan. Tapi itu yang sejujurnya.

Menjadi wanita memang kurniaan. Diberi peluang dan ruang mencantikkan diri. Cumanya, saya tidak biasa dan tidak tahu mencantikkan wajah secara begitu. Kemahiran yang tidak pernah dikuasai.

Bersolek ni, terapi lah kak Normah. Macam kak Normah menulis di blog, walau kak Normah sakit kepala pun, masih boleh menulis kan.

*you've got a point there, dear. :)

Selamat bersolek di hujung minggu.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, August 11, 2011

kena lepuk

Sudah berhari rasanya semangat bekerja saya tidak seperti hari ini.  Bertenaga.

Mungkin cuaca di luar menambah rasa energetic  saya. Tidak panas sangat dan tidak juga mendung. Alhamdulillah. Ya, bukan semua seperti saya hari ini. Saya tahu. Ini hari saya, tunggulah hari kalian pulak, ya.

Eh, bangunlah semua! 

Masuk ke dalam kelas ini, ramai yang tidak berdiri menghormati. Sebenarnya bukan hendak sangat dihormati, tetapi ia termasuk dalam skop kerja, mendidik. Bila orang tua masuk , berdirilah, tanda hormat. Masing-masing kelihatan penat. Puasalah katakan. Pukul 140pm kan, waktu biasanya produktiviti kita menurun.

Bila nak bagi salam kat saya ni?

Dah berdiri, masing-masing termenunglah pulak. Khayal dalam dunia dan hal masing-masing.  Yang masih dok bersembang dengan rakan, jangan citerlah kan.

Eh, cikgu ni..., kan kita orang dah bagi salam.

Saya pandang budak kecik itu. Comel. Secomel namanya. Pandai sangat bab shuffle men'shuffle'.  Suaranya tidak melambangkan kekerdilan diri. Lantang dan pandai betul dia kalau menyanyi. Ada iras-iras aruah Sudirman  jika menyanyi.

Bila? Bila nya awak bagi salam kat saya?

Semangat saya menurun perlahan. Diganti dengan hembusan angin kemarahan. Sepoi bahasa.

Yang semalam tu... Nak kena bagi salam tiap-tiap hari ke?

Dia sengih.

Ish... ada yang kena lepuk nanti ni kan!



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 10, 2011

sayang sungguh.....

Semalam bercuti memasak. 

Makanan segera menjadi pilihan. Tidak bagus untuk kesihatan kan. Saya tahu. Ilmu itu di kepala , tetapi tetap tidak diamal. 

Ilmu tanpa amal , gila....  saya dapat dari sini, katanya ia adalah kata-kata Imam al-Ghazali.

Banyak juga ilmu lain yang ada di kepala. Contohnya, bersenam menambah baik kesihatan badan. Betul. Tetap ia di kepala. Minum air masak 8 gelas sehari. Tetap juga tidak tertelan. Masih juga meneguk nescafe dan air manis bergelas-gelas. Ilmu di kepala, tetap di situ.

Cikgu.

Saya mengangkat muka memerhati. Ruang menunggu di restoran makanan segera ini kosong dari manusia, kecuali si cashier di kaunter. Maklumlah baru pukul 430 petang. Balik dari sekolah terus menyinggah, kerana malas hendak keluar lagi bila kaki sudah menjejak dalam rumah.

Ha... lama betul tak nampak awak di sekolah. Dah berbulan. Apa citer?

Dia senyum. Ada lesung pipit. Rambutnya berekor sedikit di hujung tengkuk. Dan ada rantai silver melingkari lehernya. Hitam manis orangnya.

Awak nak ambik periksa ke tidak nanti ni?

Nak.

Habis tu, kenapa tak datang-datang ke sekolah? 

Alah, saya tak bolehlah dengan budak-budak kelas tu cikgu.

Rugi. Awak yang rugi nanti. Diorang datang. Awak pulak tak datang. Datanglah. Boleh buat revision,  tak dapat banyak awak belajar, sikit-sikit pun boleh bantu untuk periksa.

Nantilah cikgu. Saya tengok nanti.

Ilmu. 

Bukan semua yang dapat menilai pentingnya waktu ia mudah diperoleh. Disua dan dihulur, tetap tidak memberi makna. 

Sayang sekali. Saya tidak punya kemahiran menzahirkan kepentingan ilmu itu dalam hati dan mindanya. Saya tidak bisa berbahasa sebaik mungkin agar dia sedar. Pengalaman berbelas tahun tidak membantu saya meyakinkan dia untuk hadir ke sekolah. Berpuluh kursus yang saya hadir saban tahun, tidak menyediakan saya dengan hujah paling ampuh untuk mengembalikan sedarnya.

Sayang.

Sehingga kini, terbayang senyumnya.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 9, 2011

latihan tak kemas, camanalah nak lulus dik oii..

Petang Selasa. Hujan lebat. 

Suara Ustaz Kazim menemani saya. Doa orang berpuasa ini mustajab, kata Ustaz.  Hujan pula tu, rahmat melimpah ruah bagi saya. 

Tapi bagi yang sedang berniaga di bazar? Moga rezeki mereka pun melimpah dalam bentuk yang berbeza.

Berdoalah di sepanjang hari anda berpuasa. Jangan hanya membataskan doa sewaktu berbuka puasa sahaja.  

Lebihkan sedekah, kurangkan pembaziran,  kata Ustaz lagi.

Ah, baru pagi tadi menghumban maggi sup special saya dalam tong sampah. *ketuk kepala saya berkali-kali*. Teringat lebihan nasi putih dalam periuk yang saya humban juga dalam tong yang sama. Ah... makin berpuasa, makin banyak pula pembazirannya. Itu belum lagi menyinggah di bazar Ramadhan. Nasib baik tidak. Bukannya kuat sangat iman ini melihat makanan beratur . Itu teringin, ini teringin.

Tangan kanan pula terasa kebas.

Pasti kes tadi dalam kelas. Amarah yang amat. Menghentak meja yang tidak bersalah. Kesian kau meja.

Bulan tarbiyah. Masih belum lulus rupanya.

~cikgnormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, August 8, 2011

bolehkah?

Isnin sudah berlalu. Menunggu Isnin yang lain pula. Macam beredar dalam bulatan. Sampai juga ke titik mula.

Hari ini bersemangat sekali. Entah. Tiada rahsia. Dan tidak tahu bagaimana semangat itu begitu hidup sekali. Bila hati bersemangat, langkah jadi ringan dan awan jadi lebih cerah. Bunyi kicau burung pun lebih jelas hinggap di cuping telinga.

Esok?

Wallahualam. Allah yang lebih tahu dan Maha tahu. Entah masih lagi bersisa hidup ini pun belum tentu. 

Dalam bulan Ramadhan ini sahaja, ramai yang dijemput Allah, kembali mengadapNya. Dan kita pun tahu kematian di bulan berkat ini memberi tanda yang baik bagi yang terpilih. Bagusnya kalau bisa membuat pilihan bagaimana mati itu ingin kita hadapi. Tetapi , itu hanya anganan. 

Teringat tentang kisah sahabat Nabi yang dinyatakan sebagai bakal ahli syurga. Namanya? Maaf. Saya tidak ingat dan malas hendak mencari. Sahabat yang lain menumpang tidur di rumah bakal ahli syurga itu untuk mengorek rahsia amalan beliau. Namun hampa. Tiada sebarang kelainan dalam amalan atau kelebihan si bakal penghuni syurga yang dapat diteladani dari mata zahir sahabat yang lain itu. Hampir sahaja tiada petua yang boleh dijadikan pedoman untuk dibawa pulang. Sebelum melangkah pergi, si bakal penghuni syurga ditanya kenapa kekasih Allah memberitakan pada yang lain tentang tuahnya nanti di syurga. Jawab bakal penghuni syurga itu, sebelum tidurnya, beliau telah memaafkan semua orang dan tiada sekelumit dengki pun di hatinya. 

Waduh....

Bagaimana itu? Membersihkan hati. Bukan mudah.

* dan masih lagi tertanya kenapa serta mengapa tindakan mereka ini menyusahkan hidup orang lain, dan bolehkah maaf itu tertulis dalam hati ini?

Semoga rahmat Allah bersama kita sentiasa...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, August 7, 2011

boleh tak jaga mulut sendiri...?

Cuti hujung minggu. Alhamdulillah. Sudah hampir ke hujungnya.

Dua tiga hari ini demam menonton youtube. Ceramah Ustaz Kazim Elias. Yalah, dari pada demam menonton drama bersiri, kira baiklah juga kut mendengar ceramah ugama bila dah tua-tua begini. Menambah ilmu, walau tak semestinya amal itu pun bertambah juga. Niat dan azam di hati, Ramadhan ini menjadi bulan bernafas baru.

Yang menjadi hati saya tertarik amat ialah kisah insan-insan yang mati dalam husnul khatimah. Pesan Ustaz, kalau inginkan penghujung kehidupan kita ini baik seperti mereka yang terpilih itu, senang sahaja. Jaga mulut.

Beberapa contoh yang diberi, insan-insan tersebut, di sepanjang persahabatan  bersama, tidak pernah mereka berkata yang tidak baik tentang orang lain. Mulut mereka terpelihara dari menyumpah seranah. Tiada kata haram jadah, babi, sial atau yang sewaktu dengannya keluar dari bibir. Sehingga ke lewat usia melebihi 90 tahun, masih Allah pelihara mata , telinga dan akal mereka. Syaratnya mudah, pesan Ustaz, jaga mulut.

Mudah. Tapi memang payah, kalau ia tidak dibiasakan.

Apatah lagi bila hati sedang bercahaya dengan api kemarahan. Mulut jadi ringan, pandangan mata jadi tajam menembusi orang yang diamuk. Masa itu, akal terperosok jauh menikus dan nafsu bermaharaja. 

Mendengar dan mengamal, dua dunia yang berbeza. 

Tapi moga bulan rahmat dan penuh dengan keampunan Allah ini menjadikan ia lebih mudah.

Salam malam Isnin.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, August 6, 2011

Banyak dah tanda dibagi...

Saya percaya lintasan hati yang pertama itu baik, tetapi lintasan yang kedua itu dari syaitan.

Bukan kata saya.

Itu kata Dr Muhaya, pakar mata terkenal kini, dalam radio Ikim yang siarannya entah Sabtu bila. Saya pun sudah tak ingat, tetapi saya ingat kata-katanya.

Saya pandang betul-betul dari belakang, cuba melihat kakinya. Tak nampak. Sambil-sambil itu mata saya juga tidak lepas melihat baju-baju blaus yang tergantung. Niat di hati mula-mula hendak bersedekah. Tapi tak jadi. Entah kenapa. Rasa tak nak beri pada yang ini.

Pasar Tani Setiawangsa. Ramai manusia. Saya antara yang meramaikannya. Peminta sedekah pun ramai juga. Adalah sesekali saya menghulur. Sebabnya, teringat ceramah Ustaz Kazim dalm video-video youtube nya yang berlambak-lambak. Tentang mati yang baik. Nak dapat mati yang baik bukannya susah kata dia. Antaranya kena rajin bersedekah.

Bila mendengar ceramah beliau tentang tanda-tanda orang yang matinya baik, ishh, semangat meluap-luap dalam diri , tetiba hendak jugalah bercita-cita mati dalam keadaan baik juga.

Antara tandanya ialah dahi si mati berpeluh. Dan juga jika mati dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya banyak tanda yang lain. Tapi dua tanda itu buat waktu ini melekat dalam ingatan.

Saya tahu bukan saya seorang sahaja yang bercita-cita begitu. Semua orang pun. Tapi bukan semua yang akan dapat peluang yang begitu, kan.

*kalau dah dosa setinggi gunung, mungkinkah? menghantuk kepala sendiri....

Selamat beribadat rakan semua.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 3, 2011

Tujuh suku bukan tiga suku

Hari ini adalah harinya.

Saya lunjur kaki di atas kerusi di hadapan. Tuan punya kerusi sudah lama balik ke rumah. Cikgu sesi pagi. Kaki berdenyut-denyut di bahagian betis. Kalau boleh hendak terbang balik ke rumah juga, melabuhkan badan dan kepala, mencari-cari mimpi yang indah. Kalau boleh.

Dari jauh nampak pembantu makmal yang sedang berbadan dua, kelihatan segar dan berseri berjalan ke arah saya.

Apalah kena saya hari ini. Melepek. Bukan melepak. Mengalahkan budak tadika yang sedang berpuasa. Orang yang tengah berbadan dua pun lebih segar dari saya. Ketahanan mental sayalah agaknya, perlu dikalibrasi semula.

Awak puasa , Farhan?

Budak tingkatan satu, tembam badannya dan manja bukan kepalang.

Puasalah cikgu.

Semalam puasa penuh?

Penuh. Tapi, nasib baik saya tak buka semalam.

Kenapa?

Saya dah tak larat sangat cikgu. Balik sekolah, rasa macam nak minum je. Memang tak larat. Macam nak mati.

Wah, saya pun tak pernah rasa macam nak mati.

Betul cikgu. Pas tu, emak saya suruh saya tidur. Kat pukul 7 suku , baru saya bangun.

Wah, nasib baik. Kalau tak sayang je puasa satu hari dah batal.

Tula, nanti duit raya tak cukup.

Dia senyum. Aii, dah tingkatan satu pun nak kena upah puasa ke? 

Dalam hati saya je lah.

Dan hari ini, saya yang terasa seperti  'hampir nak mati'. Kalau itulah perasaan Si Farhan, barulah saya faham. :) dan .....  saya patut tidur sampai pukul 7 suku. Hehehe.

* selamat beribadat di bulan yang berkat ini rakan-rakan semua. Masih tiada kesempatan berblogwalking. Maafkan saya.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 2, 2011

Singa tua lapar

Kak Normah , janganlah asyik bercakap pasal makanan je...

Dari jauh terdengar suara adik kecil yang manis itu. Zai. Semanis namanya. Dia berpaling mengadap saya berselang dua barisan meja guru yang lain.

Kuat agaknya suara saya. Sehingga sampai ke meja dia.

Saya sibuk bertanya rakan-rakan belah sesi petang ini tentang menu berbuka puasa mereka. Jam di dinding baru pukul 330 pm. Lagi setengah jam saya akan berperang di dapur pula.

Muhasabah, sebenarnya dari seorang adik. Mengingatkan saya bahawa berpuasa bukan sekadar mengisi fikiran dengan menu berbuka. Saya senyum. Tetapi apalah guna menjadi seorang senior jika gurauan dari seorang adik tidak bisa dilayan. Ibarat orang menjual pantun, kita mestilah membalasnya.

Eh, zai ni, bulan puasa ialah bulan menguji ketahanan mental. Bincang menu untuk berbuka ialah salah satu latihan ketahanan mental, tau.

Alahai, saya tak kuat imanlah mendengar menu-menu berbuka ni
.

Kasihan si Zai. Tapi nak buat macamana dik oi, memang bulan puasa ni, kalau boleh nak menu yang special je lah bila berbuka. Dan selalu bingung memikir menu yang 'best-best ' ni. Maklumlah bila perut tengah lapar, fikiran menjadi lebih tajam.

Kalaulah kita ni seekor singa yang lapar, mesti perkara yang kita asyik berbincang hari ini, ialah nak baham siapa dan macamana proses paling mudah serta ringkas membaham 'siapa' itu.

* menu masing-masing bila ditanya, memang mengancam betul, nasi minyaklah, ikan bakarlah, bubur lambuk, tom yam campur dan macam-macam lagi . Hebat....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

si pengecut

Kalau dah start tak puasa, memang susahlah nak puasa lepas tu , cikgu

Aiman. Dia senyum sambil memandang saya.

Saya puasalah, cikgu. Senyum lagi. Seolah tidak puas hati kalau-kalau saya tidak mempercayai kata-katanya.

Saya percaya.

Ramai yang puasa sekerat hari. Saya tahu. Cerita yang sama setiap tahun pun. Kisah anak-anak ini singgah di kedai makan tertentu yang beroperasi waktu bulan Ramadhan pada waktu makan tengahari. Cerita dari satu generasi ke satu generasi di sekolah ini.

Alah, cikgu, ramai yang pergi beli kat situ. Sampai driver van ambulan pun singgah situ beli makan tengahari. Polis pun singgah situ. Askar pun . Doktor pun.... Entah-entah cikgu pun ada yang berbuka waktu zohor.

Ayat yang akhir tentang cikgu tu, saya yang tambah. :)

Saya dengar murah makanannya, ya.

Betul, cikgu. Teh O ais dia free je. Ha, mana nak dapat tu.

Entah-entah ini kes konspirasi Amerika, diorang sponsor kedai makan tu, taknak bagi orang Islam ni puasa.

Saya merepek.

Saya bukanlah orang baik, atau warak dalam agama. Memang banyak dosa dan silap saya yang lebih besar dari sesetengah mereka yang tidak berpuasa itu dengan sengaja. 


Tetapi kalau dah polis dan askar yang kita harap sebagai penjaga keamanan dan pejuang negara bersembunyi di sebalik topi keledar, beratur membeli makanan di waktu orang lain berpuasa, apalah yang boleh diharap dari kekuatan iman dan mental mereka? Setakat nasi sepinggan dan air secawan pun tidak boleh dibentengi, apatah lagilah peluru musuh.

Menengok lauk terhidang pun dan ketar lutut serta takut lapar, bagaimana pula hendak menghadapi bengisnya hentaman dan pukulan musuh Allah.

Berpuasalah. Cuba. Belajar untuk mempertahankan kekuatan mental kita.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...