Showing posts with label sahabat. Show all posts
Showing posts with label sahabat. Show all posts

Thursday, December 8, 2016

Macam Retis




Memang tak kenal lah. Sumpah!!

Lain sangat-sangat. Cantik giler. Ada iras-iras retis. 

Baru kali pertama menonton video perkahwinan sahabat baik saya,  membuatkan saya tergamam dan melopong. Saya ulang tonton lagi. Dan lagi.



Betullah seperti pujangga berbicara.
"Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam"
Memang kata-kata pujangga tersebut tak berkait pun dengan rasa terujanya saya menonton video tersebut. Haha. Cuma, tak tahu kata pujangga apa yang sepadan dengan kecomelan dan kecantikan sahabat baik saya itu semasa hari perkahwinannya 12 tahun yang lepas.

Video perkahwinan saya?

Oh, masa saya berkahwin 24 tahun lepas tak ada duit nak tempah jururakam video. Untunglah sahabat saya ni ..  :)

Hari ini bukan nak membebel tentang video perkahwinan. Tetapi ada yang lebih penting dari itu.

8 Disember , 38 tahun yang lepas, bayi seberat  (tak tahu berapa )kg selamat dilahirkan oleh Cikgu Cik Eshah di Kluang, Johor. Alhamdulillah, kerana Allah membenarkan kelahiran tersebut, dan kerana itulah saya berpeluang menjadi sahabat baiknya. 


Setelah beberapa tahun membesar, nampak tak kecomelannya?

Haha

Dan yang terkini ...


Masih cantik menawan. Cuma kuranglah kecomelannya kan .. :D

Tapi... 


Yang ini lah yang PALING comel !!

Selamat menyambut hari Ulang tahun kelahiran yang ke 38 sahabat !!

Dan sempena hari kelahirannya saya mendoakan :

Moga Allah memakbulkan semua doa yang baik-baik dari sahabat handai dan rakan taulan buat My BFF ni. Dan moga Allah memakbulkan doa kamu wahai sahabat, mengurniakan rahmat dah hidayahNya buat kamu sekeluarga. 

Moga Allah kurniakan juga kesihatan baik yang berterusan buat kamu , dikurniakan rezeki yang mencurah dan dijauhkan dari segala mara bahaya, mala petaka dan bencana di dunia ini dan di akhirat juga nanti.

Amiin. 





Luv U Dear ...

cikgunormah@klcitizen




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, December 8, 2015

Moga Allah makbulkan






Maha Suci Allah, sesungguhnya hanya Kamu yang selayaknya tempat aku memohon. Tiada upaya dan dayaku, melainkan atas rahmat dan kasihMu. 

Doa yang tertulis ini dan yang terbaris dalam fikiran, kutitipkan terus kepada Mu, kerana hanya Kamu, Ya Allah yang dapat memakbulkan. Tiada hadiah yang terbaik melainkan doa yang Kamu makbulkan .

37 tahun yang telah berlalu, moga Allah memberi ampun di atas segala salah dan silap yang terkisah dalam perjalanan hidupnya. Dan moga , langkah-langkah hari seterusnya, Allah kurniakan segala kebaikan dan keberkatan buat sahabat saya , Noorul. 




Allah Ya Rabb, Kamu yang Maha Tahu dan Kamulah Yang Maha Pengasih. Moga doa yang kupanjatkan ini Kau perkenankan. Kurniakanlah Ya Allah, kesihatan yang baik buat sahabatku ini, kebahagiaan yang berpanjangan dunia dan akhirat buat beliau sekeluarga serta dijauhkan segala mara bahaya, fitnah dan sengsara .

Semoga Kamu memakbulkan, kerana Kamulah Ya Allah yang Maha Kuasa.

Selamat Hari Lahir buat sahabatku , Noorul. Luv U .



Salam kasih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 8, 2013

35






Saya tak suka tarikh lahir bulan Disember.

Lebih kurang begitulah ayat yang terluah. Saya tidak begitu ingat ayat-ayat yang sebetulnya. Tapi saya kira begitulah lebih kurang yang terluah dari bibirnya.

Kenapa?

Ya. Hairan juga saya.

Saya selama ini tidak pernah berjumpa atau terjumpa dengan sesiapa pun yang kurang gemar dilahirkan pada bulan yang tertentu. Kerana saya kira tarikh lahir itu bukan pilihan, dan ramai yang menerima sahaja ketentuan tersebut.

Tapi saya tahu, pernyataan dia waktu itu bukan bermakna tidak menerima ketentuan.

Seperti saya juga. Saya juga tidak suka dengan nama sendiri. Saya punya alasan tersendiri kenapa dan mengapa. Bukan bermakna saya tidak menerima ketentuan. Cuma rasa itu sahaja, rasa tidak suka .

Rasa itu yang terjelma di dalam hati. Selebihnya tidak ada apa sebenarnya.

Sebab, bulan Disember sekolah bercuti. Dari dahulu lagi, hari lahir saya tidak dapat saya sambut bersama kawan-kawan sekolah. Sama ada sambutan dibuat lebih awal atau dilewatkan, kerana masing-masing bercuti sekolah.

Oh!

Betullah tu. Patutlah dia tidak gemarkan Disember sebagai tarikh lahirnya. Haha...

Dan kali ke 35 ini juga kan. 

Alahai.

Sekolah bercuti, dan saya hanya dapat mengucap Selamat Hari Lahir di alam maya sahaja., Noorul.

Kek atau yang sejenis dengannya, tunggulah bila sekolah dibuka nanti, k.

Apa pun, saya mendoakan segala yang terbaik itu Allah kurniakan untuk Noorul sekeluarga. Dunia dan akhirat. 




Bertuah itu hadiah untuk saya sebenarnya. Bertuah kerana diberi peluang oleh Allah untuk mengenal dan disayangi oleh seorang sahabat bernama Noorul.

Selamat Hari Lahir , Noorul.

Salam ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 4, 2013

landut, kendur





Saya ketawa berseorangan menatap gambar yang dikirim oleh rakan baik saya dalam wassap di henfon.



Saya pasti wanita tua berkaca mata itu adalah mewakilkan saya dalam 20 tahun akan datang nanti. Itu pun jika Allah membenarkan usia saya sepanjang itu.

Dagu saya ke tu? Wow.. Haha

Isu dagu berlapis adalah isu yang timbul beberapa hari ini akibat gambar waktu majlis makan malam anjuran kelab guru sekolah saya yang lepas.

Dagu saya. Berlapis. Memang… haha

Secara positifnya menggambarkan kemewahan hidup di hujung usia. Kan…

Baca ke tak 'phrase' kat bawah tu?

Mesej seterusnya daripada sahabat saya menyedarkan bahawa saya tidak melihat keseluruhan gambar dan memberi fokus yang salah.



Bahagian yang bawah itu tambah melebarkan senyum dan memanjangkan deraian ketawa kecil saya.

Boobs  dan  sag adalah dua perkataan yang sangat sinonim dengan ketuaan dan ketakutan.

Boobs adalah perkataan slanga, tidak tergolong dalam bahasa Baku Bahasa Inggeris, merujuk kepada buah dada.

Sag  membawa maksud rebeh, landut, kendur  atau menjadi lemah berdasarkan penterjemahan oleh DBP online.

Jika diterjemah secara kasarnya

P.S  Saya harap buah dada awak rebeh/landut/kendur dahulu.

Hahaha

Kita sedar  sahabat kita itu adalah  yang terbaik bila mana kita boleh mentertawakan satu sama lain tanpa rasa bersalah. Menerima kelemahan sahabat kita tanpa merasakan dia lemah. Tetap berada di sisinya dalam saat dia tersungkur jatuh atau saat dia berada di puncak bahagia.

Sahabat yang baik sentiasa mendoakan yang baik-baik. Mengasihinya kerana Allah, bukan kerana fizikal atau material yang dimilikinya. Hati mereka saling bertaut meski jarak memisahkan.

Dan sesungguhnya bukan semua orang diberi Allah peluang memiliki dan menemui sahabat yang sedemikian rupa.

Semoga tahun baru yang mendatang ini menambah nilai dalam hidup saya dan orang-orang yang saya sayangi di sekeliling.

Walk with me through this path .. together.





Salam Maal Hijrah

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, October 2, 2013

jom kita cuba








Setiap hari adalah ujian. Pelbagai dan rencam. Variasi ujian meliputi semua. Selagi kita ini masih hidup dan bernafas, ujian itu akan menghinggap. Dan ada kalanya mencengkam hati dan perasaan.

Ujian anak terhadap ibu bapanya bukanlah satu perkara mudah dan boleh selesai dalam dua tiga minit atau sehari dua. Dan apabila seorang guru yang sekaligus menjadi seorang ibu, menghadapi kerenah anak sendiri, kadang-kadang situasi itu menjadi seperti hirisan luka yang dipalit dengan garam. Berkali-kali.

Entahlah normah, akak pun dah tak tahu nak buat macamana.

Saya faham sungguh kecewa yang bersarang dalam hatinya. Tahu sungguh rasa yang berkumpul dalam dadanya.




Risau itu seperti beban besar yang digalas dibahunya. Memenuhi riak wajahnya, bercampur dengan rasa buntu dan pasrah.

Apabila anak sendiri bermasalah, sedang anak-anak orang lain disekeliling seolah menjadi dan serba bijak dengan deretan A setiap kali peperiksaan, terasa diri sendiri tidak layak bergelar guru. Bagaimana  bisa anak seorang guru itu tidak menjadi seperti anak orang lain ? Emaknya kan cikgu?  Ah, ayat-ayat seperti itu terasa seperti panah yang merobek jantung.

Guru juga hanya manusia biasa. 

Dan ujian seperti ini sangat besar bagi seorang insan biasa bergelar guru.

Allah itu lebih besar dari masalah kita. ~ Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Hendak meletakkan yakin itu, dan melepaskan kerisauan dan gelisah serta resah itu kembali pada Allah bukanlah kerja mudah. Senang menuturnya di bibir tapi melaksanakannya dalam fikiran dan tindakan bukan kerja mudah.

Tapi marilah kita bersama mencubanya. Supaya hati kita lebih tenang. Risau kita makin surut.

Tatkala buntu menghadapi situasi, kita serahkan kembali kepada Allah untuk menentukan jalan yang terbaik. Kita serahkan pada Dia yang Maha Besar dan Maha Tahu.





Jom , kita cuba ...


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, July 8, 2013

ada sebab semua benda ni berlaku





sumber

Saya sentiasa percaya apa yang berlaku ada sebab dan musababnya. Kepercayaan yang pastinya juga dikongsi oleh ramai insan  lain .

Tidak semestinya kejadian itu berlaku ke atas kita. 

Mungkin yang berlaku bukan ke atas batang tubuh kita. Tetapi kita mendengarnya. Atau kita menjadi saksi atas kejadian. Atau pun kita hanya sekadar pemerhati terhadap keadaan. 

Pasti kita sebagai pendengar atas kejadian itu pun bersebab. Ada sebab mengapa kita yang tahu, atau kita yang nampak atau kita yang perasankan kejadian tersebut. Ada sebabnya mengapa Allah yang pilih kita sebagai orang yang mengetahui.

Saya pun tak tahu kenapa saya selalu terima peristiwa macam tu.

Dia bercerita sambil berdiri. Wajahnya penuh emosi. Mata bulatnya waktu itu kelihatan berkaca-kaca menahan sedih yang berombak dalam dadanya.

Kenapa saya yang nampak perempuan itu? Perempuan tu merayu dekat ATM , dia tak boleh nak keluarkan duit dan buntu kerana terpaksa membayar bil air. Dan saya jadi belas. Saya peluk perempuan itu dan saya hulurkan duit pada dia.

Sambil bercerita itu pun getar suaranya berubah. Rasa sedih beriring dalam setiap butir katanya. 

Dan kalau suami saya tahu, pasti dia akan membebel, penat saya cari duit, senang-senang awak berikan pada orang lain ya. 

Saya tersenyum. Ah, begini rupanya seorang rakan yang punya hati yang kering seperti saya.  Belas dan sedih dari kisahnya itu yang hampir-hampir menghinggap di hati saya tiba-tiba terbang jauh. Rasa seperti lucu pula membayangkan nantinya dia dileteri oleh suami atas hati isterinya yang baik. Pelik sungguh kadang-kadang .

Perempuan tu bawak anak sorang. Saya rasa kesian sangat sebab baju anak dia koyak ..

Seluar anak kak normah pun baru ni koyak. Betul! Besar koyaknya. Tak kesian ke kat kak normah?

Alasan rasa kasihan dalam dadanya itu sengaja  saya dan rakan-rakan yang lain cuba permainkan. Berlawak-lawak, walau pun kami tahu memag sifatnya begitu. Cepat sungguh kasihan.

Tapi sebenarnya saya kira Allah letak dia di situ untuk menambahkan amalan kebaikannya. Meninggikan darjatnya di sisi Allah kerana punya hati yang baik. 

Bukankah banyak kisah yang kita tahu, dek kerana sekeping hati yang baik itu, pengakhiran  si empunya adalah syurga .

Kenapa Allah meletakkan saya sebagai pendengar? Mungkin, mungkin untuk menyedarkan saya bahawa saya perlu mencontohi sahabat saya ini. Mungkin.

Dan yang ini ....

Status BFF di FB

Ada sebab mengapa Allah letakkan sahabat saya itu sebagai guru kelas tersebut. Kerana kalau saya yang di situ, mungkin anak-anak itu tidak akan mendapat perhatian yang sewajarnya. Mungkin.

Amin untuk doa tersebut.

Salam Ramadhan yang bakal menjelang.



~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 20, 2013

Doakan ...





Nafasnya turun naik kencang, walau dia sedang duduk atas kerusi tolak. 

Penatlah , Normah.

Selesai berurusan di tandas, menunaikan hajat besar, yang kali ini kerap mendesaknya, membuatkan dia cepat lelah . 

Alhamdullilah, seperti tutur  sahabat baik saya yang turut sama di sebelah,  "Allah payahkan dia bahagian yang itu, dipermudahkan pula baginya bahagian yang lain." Anak perempuannya yang berhampiran menghulurkan bekas air kepadanya. Anak yang itulah beberapa hari ini menemaninya di wad, sementelah tidak berbuat apa di rumah menunggu keputusan SPM keluar.

Kesan kemoterapi kali ini agak teruk, mungkin sebab usia akak pun, kan.

Tapi, ayatnya  bukan bernada keluh kesah atas sakit yang ditanggungnya itu. Tidak terkesan sedikit pun dalam nada suara yang keluar.

Wajahnya? 

Terlukis redha dan pasrah yang bersih, membuatkan pandangan mata saya jadi kagum dan malu. Malu dengan diri , yang kadangkala sakit kepala yang sedikit pun, keluhan tak sudah meniti basah bibir sendiri.

Memanglah, sakit itu  Allah limpahkan dengan rahmatNya,  bertujuan meninggikan darjat hamba-hambaNya yang beriman. Dan saya lihat, itulah yang terjadi kepada dirinya. 

Bukan semua orang adalah insan terpilih, Noorul.

Dan kata-kata itu berdengung-dengung, memantul tak sudah sejak dari mula ia dituturkan hingga sekarang. Ditujukan kata-kata itu buat sahabat saya yang turut sama berziarah.

Tetapi dalam masa yang sama, kata-kata itu  membibitkan rasa cemburu dalam dada saya.

Pelikkan.

Cemburu kerana saya tidak terpilih untuk Allah kurniakan ujian sakit ? Bukankah Firaun itu adalah  insan yang tidak pernah Allah kurniakan kesakitan dalam hidupnya. Dia bukan manusia yang terpilih. Tidak mahulah saya dikategorikan dalam manusia yang tidak terpilih itu. Nauzubillah.

Bukankah dalam helaian setiap sejarah pejuang agama, dalam kehidupan setiap insan-insan yang terpilih itu, kesakitan adalah teman akrab mereka? Kesakitan yang datang dalam pelbagai wajah.

Memang bukanlah doa saya untuk diberikan Allah ujian kesakitan dan kepayahan. Tidak.

Sebenarnya saya sangat cemburu dengan kekuatan dan ketabahan hati yang dimiliki oleh teman saya itu. Dengan redha dan baik sangkanya terhadap Allah di atas ujian getir yang sedang dilaluinya. Hatinya yang sekeping itu dihiasi dengan nilai positif dan tawadhuknya sebagai seorang hamba yang sedia diuji bila-bila masa. Dan penyerahannya yang bulat dan sifat percayanya bahawa Allah akan sentiasa menjaga dia dan keluarganya.

Terasa saya begitu kerdil di sebelahnya. 

Manusia yang berjiwa besar, pasti tidak akan kalah dalam sebarang ujian yang dihadapinya.


sumber



Doa saya untuk kak Rosiah , moga Allah kurniakan kesembuhan dan bahagia hidupnya dunia akhirat. Doakanlah untuknya juga, sesiapa yang membaca entri ini. Dan moga Allah makbulkan semua doa tersebut. Amin.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, December 11, 2012

Jom ... !




Mehla datang sini

Mesej dari sahabat baik, yang sedang melayani rasa bosannya. Cuti yang panjang memang sentiasa dinanti oleh mereka yang bekerja, kan. Tetapi ada kala, cuti yang panjang juga boleh menimbulkan rasa bosan, dek terperuk dalam rumah tidak kemana.

Terlebih lagi kalau jauh dari sahabat-sahabat, yang biasanya menjadi teman bersembang dan bergelak tawa. Bila di rumah bersendirian berminggu-minggu, mulalah rindu pada suasana santai dan menariknya juga rindu pada saat-saat menghadapi tekanan kerja juga muncul,

Malangnya, keinginan untuk menziarah rakan baik tidak dapat terlaksana. Walau memang teruja sungguh berjumpa dia dan yakin pasti, pertemuan akan beriring derai tawa tak sudah.

Dan saya tahu kebosanannya makin bertambah.


sumber : siri 1 :2

Pernah dengar tentang cerita Imam Ahmad bin Hanbal dengan seorang pembuat roti? Oh tiba-tiba bertukar tajuk pula..

Bukan apa, cerita tentang Imam Ahmad dengan pembuat roti itu baru saja saya dengar tadi petang, sambil-sambil menggosok baju yang betimbun. Cerita itu terkait dengan manafaat beristighfar.

Apa ceritanya?

Ah, dengarlah sendiri ..

Oh, tapi saya tahu ramai yang malas mendengar, atau mungkin juga tidak punya masa untuk mendengar.

Ceritanya begini ...

Satu hari, seorang pembuat roti ternampak Imam Ahmaddi sebuah masjid. Imam rersebut tidak dibenarkan berehat di masjid oleh penjaga masjid, lantas dia menjemput Imam Ahmad berehat di tempatnya. Waktu itu, pembuat roti tidak mengenali  Imam Ahmad walau Imam Ahmad memang terkenal orangnya.

Sedang Imam Ahmad berehat di sebelah pembuat roti, beliau dapati, di sepanjang masa pembuat roti itu menguli rotinya, si pembuat roti akan sentiasa beristighfar. Sambil menguli, beristighfar.
Tertarik dengan sikap pembuat roti Imam Ahmad bertanya pada pembuat roti adakah sebarang manafaat yang dia dapat dari rutinnya beristighfar. Pembuat roti memberitahu bahawa, sejak beliau beramal dengan amalan istighfarnya itu, doanya sentiasa termakbul kecuali satu sahaja yang belum dimakbulkan oleh Allah.
Bila ditanya, apakah doanya yang belum Allah makbulkan , si pembuat roti berkata yang dia berdoa ingin berjumpa imam terkenal Imam Ahmad bin Hanbal.
 Lalu Imam Ahmad pun memperkenalkan dirinya kepada si pembuat roti. Oh ! Allah memang makbulkan  doa si pembuat roti .. dek kerana amalan istighfarnya.

Best kan.

Petua untuk doa kita dimakbulkan Allah. Sentiasa beristighfar ! Bukannya susah mana pun.

Jom. Kita sama-sama amalkan.

*Jom cik Noorul, mana tahu doa kita Allah makbulkan .♥

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 7, 2012

terawal sikit




Tahun 1978.

Pelancaran siaran televisyen berwarna yang pertama rupanya berlaku pada Disember 1978 . Teringat kali pertama menonton siaran berwarna di kaca televisyen. Tak berkelip mata, tapi itu pun bukan semua rancangan di televisyen waktu itu berwarna. Kebanyakan siaran masih hitam putih.

Waktu itu usia saya 12 tahun. Darjah enam, bersekolah di SK Marian Convent, Ipoh. Cuti sekolah pada masa itu terasa sangat panjang, hingga jenuh rasanya bermain dengan kawan-kawan di flet FRU Sungai Senam, Ipoh. Dan hati sentiasa berdebar menunggu persekolahan baru bermula kerana saya akan menjadi pelajar sekolah menengah pula tahun berikutnya.

Dah besar lah, katakan, kan ....

8 Disember 1978 ?

Oh, saya memang tak ingat apa yang berlaku dalam hidup saya pada tarikh tersebut. Mungkin sedang bermain konda-kondi di padang dengan kawan-kawan, atau main cikgu-cikgu di hadapan rumah, mungkin juga sedang menolong emak waktu itu. Atau mungkin juga sedang nyenyak tidur waktu malam masa itu.



Masa bila?

Masa sahabat baik saya ini dilahirkan. Terlupa pula hendak bertanya dia, waktu sebenar dia dilahirkan.



Berapa tahun umur kamu Noorul?

Rahsia? :D

Bukanlah rahsia kalau sudah tertera kan.

 Untuk kamu Noorul :
"You are an enthusiastic and determined person who has high ideals as well as very big plans and goals. A deep thinker, your morals are unusual yet strong, and your courage is great, particularly when it comes to standing up for a cause you believe in. You have a definite religious or philosophical bent. You are exceptionally attractive no matter what you look like. You are frequently devising new plots and challenges for yourself."  ~ Bukan kata-kata saya, tapi kata-kata mereka yang percaya

Saya cuba menjadi sahabat yang baik, yang sentiasa mendoakan segala yang terbaik untuk sahabat baik yang baik ini. Bersyukur kerana Allah menemukan saya dengan insan yang sangat tabah di mata saya . Moga Allah melapangkan dan memudahkan segala urusan kamu Noorul, melimpahkan rezeki mencurah serta mengurniakan bahagia di dunia dan akhirat nanti.

Umur hanya angka, kan, Noorul. Menunjukkan bilah tahun dan hari yang telah kita nikmati. Kalaulah umur bisa menunjukkan bilangan hari yang tinggal untuk kita nikmati, memang rasanya tidak ada siapa yang akan menyambutnya, apatah lagi menampalnya di muka buku  masing-masing.

Oh, menakutkan lah pulak, kalau tanggal hari lahir yang kita sambut itu membolehkan kita tahu bila tarikh kita akan berhijrah ke alam yang lebih kekal. Wah .... saya dah merepek terlebih.


Apa pun  Noorul, nanti bila kita berjumpa, dengan izin Allah, tamat cuti sekolah ini, saya belanja makan bebiri , k.

Selamat Hari Lahir Noorul.

*terawal sikit :)

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 25, 2012

Doakan




Saya sentiasa percaya, jika sedang dalam kesusahan, kesempitan atau dilanda musibah , doa dan istighfar , dengan izin Allah, segala urusan itu akan dimudahkan.

Terlebihlah lagi kalau ramai yang turut mendoakan, kerana mana tahu dalam ramai-ramai itu ada yang doanya Allah makbulkan.

She's on oxygen. Tetiba ada reaction.

Mesej yang tertera di handphone saya membuat dada saya terasa sempit. Kalau dada saya, yang duduk berkilometer jauhnya dari si puteri  terasa sempit, tidaklah dapat saya bayangkan hati dan fikiran si mummynya.

sofea dan youssef

Terbayang raut wajah rakan baik saya si Noorul. Pasti sekuat dan setabah mana pun hati seorang ibu, di saat-saat puterinya sedang lemah tak berdaya , pasrah itu mengambil tempat. Dan pasti doa tak putus bertali arus mengisi setiap inci urat dan saraf nya.

She gets worse.

Mesej yang seterusnya menggetar rasa. Risau. Doa saya tak putus. Semoga Allah memberi kesembuhan segera buat si puteri dan dimudahkan segala urusan di sana. Saya tidak punya kuasa dan upaya hendak  membantu.

Hanya doa, doa dan doa sahaja buat si puteri dan mummynya. Moga sembuh dan sihat segera.


Doakan sama... 


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, October 28, 2012

tua bersama

Mesej yang semalam menghantui saya.
I couldn't sleep. 
The temperature is there to surprise me again. Only after 4 hours of that strong medication, the temperature escalated to 38.5 degrees. Gave her double doses oral medication. Hopefully she fights strongly today to be well. 
I'm scared. Pray for her.

Risau dan ketakutan .

Tetapi saya tahu risau dan takut yang terisi dalam hati sahabat saya itu berkali ganda besarnya dari risau dan ketakutan saya. Rasa itu pastinya melimpah ruah dalam dada dan fikirannya.

Ibu waras mana  tidak berasa yang sama jika anak yang satu masa dahulu dikandung dan dikendong saban masa, terbaring lemah dan kuasa serta upaya sang ibu waktu itu sangat terbatas. 

Dan saya yang bergelar sahabat ini juga tidak berupaya mana. 

Hanya doa, doa dan doa sahaja yang bisa dipanjatkan, moga Allah mendengar dan mengasihani hamba-hambaNya ini. Bahawasanya hamba-hambaNya ini tahu bahawa mereka ini sangat lemah, tidak berdaya dan tidak punya apa-apa untuk dipertaruhkan agar harapan dan keinginan mereka ini dapat dimakbulkan.

Yakinlah bahawa apabila Allah mengilhamkan kepada hati kita untuk berdoa, maka sudah tentu Allah akan memperkenankan doa kita itu. Tetapi jika Allah tidak berkehendak memperkenankan sesuatu doa, maka sudah tentu Dia tidak mengilhamkan kepada hati kita ke arah itu ~ Apa yang telah diberi vs Apa yang dipinta 

Dan pagi ini, khabar baik yang saya terima.

Alhamdulillah. Moga si puteri suci bertambah sihat dan sembuh seperti sedia kala.

Tapi, apakah sebenarnya yang sangat menakutkan dan sangat merisaukan?

Kehilangan.

Kehilangan orang yang kita kasihi. Menulis perkataan ini juga sudah menyedihkan. Apatah lagi kalau mengalami situasi tersebut. Nauzubillah.

Tapi memang kita tahu bahawa kalau tidak kita yang kehilangan orang yang kita kasihi, mungkin orang yang kita kasihi itu pula akan kehilangan kita. Sebab kita memang fana, tidak tahu bila , di mana dan  bagaimana berpisahnya kita nanti.

Hari ini kita bersenda gurau bersama, mana tahu nanti salah seorang dari kita menangisi ke atas seorang lagi kerana penghijrahannya ke alam yang lebih kekal .

Suka dan duka bersilih ganti. Memang.

Dan bila saat itu datang nanti, terpaksa kita harungi sedih dan payahnya beban rasa yang berkumpul dalam dada itu.
“O Allah! Grant me Your love, and the love of a person whom my loving him will be of benefit to me near You. O Allah! Whatever You have granted me from what I love, make it a means of strength for me to use in the way You love. O Allah! Whatever love (of things) You have removed from me then grant in its place the love (of things) that You love.” (Tirmidhi) ~ When Things are Lost
Villecroze Two Old Chairs


* p/s : Dan kalau boleh Ya Allah, biarlah kami tua bersama.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, October 12, 2012

penat, kan ... !

Hari ini ialah hari Jumaat. Penghulu segala hari. Ada beberapa hadis yang membicarakan soal tingginya darjat hari Jumaat ini. Kelebihannya dan keindahan hari Jumaat itu, sebenarnya.

Bukan. 

Saya bukan ingin membicarakan tentang hari Jumaat.

Saya bukan pakar hadis atau ahli ugamawan.

Saya cuma seorang guru, isteri dan seorang ibu. Yang punya banyak kurang dan lemahnya. Baik dan lebihnya tak banyak mana. Hebat dan bagusnya hanya superficial, bersifat luaran sahaja. 
"Penatnya jadi pompuan"
Mesej itu tertera di skrin telefon bimbit saya semalam. Mengetuk-ngetuk fikiran . Berulang kali ia menggaris dalam hati walau sudah penat saya cuba menguis dan menolak dari hadir .

Penatkah menjadi seorang perempuan?

Bagaimana pula keadaannya menjadi seorang  lelaki ?  Kurang penat? Sama penat? Atau lebih penat?

Soalan yang sangat relatif sebenarnya kan. Bukannya boleh diukur mengguna dacing elektronik atau yang sejenis dengannya. Soalan yang tiada jawapan salah atau betul dan juga tidak boleh digredkan mengikut sistem pemarkahan institusi mana pun.

Umur berapa sekarang?

Itu soalan saya kepada sahabat yang meluah rasa .

36

Kenapa setelah 36 tahun baru merasa penat menjadi seorang perempuan?

Sengaja saya bertanya. Ingin tahu.

Kerana makin banyak yang kena dibuat sekarang.

Saya mengandaikan kerja yang perlu dibuat adalah kerja-kerja di rumahnya. Kerana apabila mengaitkan penatnya menjadi seorang perempuan tentulah berkait dengan hal rumah tangga. Lainlah kalau sahabat itu mengadu penatnya menjadi seorang cikgu.

Secara idealnya, rumahtangga adalah sebuah institusi perkongsian. Berkongsi amanah, keinginan dan impian. Dan perkara yang dikongsi bersama, biasanya akan menjadi ringan walau berat mana pun ia kelihatan.

Bukan begitu?

Tetapi realitinya? 

Bukan semua rumahtangga adalah medan sebuah perkongsian. Kadang, ia menjadi sebuah medan pertempuran. Medan perdebatan. Medan perebutan. Medan menunjuk kuasa dan menerima . Medan penyerahan diri tanpa kompromi.

Menyakitkan dan sangat memenatkan.

Bagaimana boleh terjadi perkara sedemikian?

Bukankah asas pembinaan sebuah perkahwinan itu selalunya dimulakan dengan kasih dan sayang, rindu dendam dan saling memerlukan. Namun, masa  dan kematangan bersama usia yang meningkat menambah sedar bahawa rindu dendam itu boleh bertukar  menjadi geram, kasih dan sayang boleh mendatar  serta menghaus dan saling memerlukan itu boleh berengsot pergi perlahan.

Itu hakikat.

Bukan ilusi atau mimpi.

Segalanya adalah ujian. Kehadiran kita di dunia ini sememangnya adalah untuk diuji. Tidak kiralah sebagai lelaki atau sebagai seorang perempuan. 

Penat?

Semua orang pasti akan merasa penat.

Tapi yang saya pasti, ikatan sebuah rumahtangga itu jika ikhlas hati-hati yang mendokongnya, Allah akan menghilangkan penat tersebut, satu hari nanti. 

Bersabarlah kawan. Dan bersabarlah diri.

Salam Jumaat semua!! Hujan di luar sana sekarang.



~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 11, 2012

sinu nooryl

Agak-agaknya subjek apa yang susah bagi student untuk diskor ?

Tanda soalan di hujung soalan itu saya yang pandai-pandai menambah. Soalan yang muncul dalam jalur sembang group whatsapp  di telefon mudah alih saya. 

Diam.

Saya berfikir.

Membaca pendapat rakan lain dalam kumpulan yang sama.

Dan segera insiden siang tadi terbayang.

Kenapa "adalah mendirikan ...." ni akak bagi salah?

Saya membaca semula kertas jawapan pelajar tersebut. "...adalah berkata ...", " ...adalah membina ..." , semua frasa kata itu dibulatkan oleh guru tersebut, memberi tanda bahawa pelajar itu sudah melakukan kesalahan tatabahasa.

Bukan mempertikai. 

Ingin tahu. 

sumber


Saya rasa subjek BM yang sukar untuk diskor. 

Saya meluah rasa.

Kenapa ya, pelajar-pelajar Melayu masih susah nak skor dalam subjek Bahasa Melayu, walaupun setiap hari bercakap dalam Bahasa Melayu, mencarut, menyumpah, mimpi pun dalam Bahasa Melayu, dan masih juga  tak boleh nak skor subjek Bahasa Melayu? Tak pelik bin ajaib ke?

Dan rakan itu menjawab ....

SPM saya pun, Bahasa Melayu saya dapat 4. Saya memang tak pandai mengarang. Eh... betullah

Itu pun sebenarnya bukan jawapan kepada soalan saya. Itu ialah luahan rasa hatinya juga. Oh ramailah pulak yang meluah rasa, walaupun bilangan ramai itu hanya dua orang sahaja waktu itu.

Ah, Bahasa Melayu saya pun lebih kurang berteraburlah jugak. Jangan kata budak-budak sekarang. Budak-budak dulu pun ramai juga yang tidak bijak mengarang. Tetapi, sebenarnya penting sangatkah kemahiran mengarang bila dah tua-tua macam sekarang ni?
Entah.

Saya rasa sama jugalah seperti kemahiran mengira lilitan bulatan, pengkamiran dan kemahiran-kemahiran yang sepertinya juga. Kepentingannya sangat relatif dan subjektif, bergantung pada situasi dan jenis kerja anda.

Kalau anda seorang guru Bahasa Melayu, mungkin juga kemahiran mengarang itu penting, atau pun kalau anda seorang kolumnis suratkhabar  atau pun majalah, sudah pasti, ah... bukan , sangat pasti kemahiran itu yang utama. Tapi, kalau anda seorang akauntan, jurutera, misal katanyalah , masih perlukah lagi anda bijak mengarang?

Ah.... ayat-ayat saya terasa seperti taugeh-taugeh yang berserakan. Tunggang terbalik. Tak keruan.

Dan bertambah peninglah cikgu-cikgu  Bahasa Melayu yang membaca entri saya malam ini. Maafkan saya, kawan-kawan.



*girdle dalam Bahasa Melayu apa ya? Oh ya, esok pagi cik nooryl dan saya mungkin dapat minum teh tarik percuma di sinu ... :)


~ cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 28, 2012

tak cantik macam erra fazira




"jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.." ~ Kalau hati baik, wajah sentiasa cantik : Ust Pahrol

Awak ni memang cantiklah ...

Entah. 

Sudah beratus kali rasanya pujian itu  terhambur dari mulut saya. Memang mata saya melihat dia sangat cantik. Hidung mancungnya, putih gebu kulitnya.

Memang cantik.

Dia mencebik.

Awak belum tengok Erra Fazira lagi. Kalau awak tengok Erra Fazira mesti awak kata saya dah tak cantik ...

Ah, betul jugak tu. Saya belum pernah menatap wajah Erra Fazira sedekat saya menatap wajah rakan saya ini.

Tapi, bukankah kecantikan itu sangat subjektif. Cantik pada mata dia, tidak semestinya cantik di mata saya.

Oh .. awak dan Erra Fazira tu dua-dua cantik. Tapi kelas yang berbeza .

Saya cuba menjustifikasi nisbah kecantikan antara keduanya. Walau pun saya tahu, wajah rakan saya itu, tetap cantik di mata saya, walau berapa Erra Fazira pun yang menjadi banding taranya.

Kenapa?

Sebab cantik wajah itu tersangkut dengan hati budi.

Biarlah bagaimana hebat dan menarik paras rupa seseorang itu tetapi andai hati budinya itu tidak sejernih sinar matanya atau tidak seputih dan semulus kulitnya, tetap, cantik itu tidak menyinggah dan bertamu di mata yang melihat dan memandang.

Bukan begitu?

Ala ... awak kata saya tak ada kelas macam Erra Fazira ya?

Haha.

Memang senang memutarbelitkan fakta kata dan menyelit rasa tak percaya, kawan.

Tapi, kenyataan tetap kenyataan. Walau wajah sudah berkedut seribu, tetapi sinar mata yang lahir dari hati yang penuh kasih tetap menjadikan wajah itu cantik dan menarik.

sumber

Salam kasih .


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 15, 2012

makan gambar

“Tell your secret to the wind, but don't blame it for telling the trees.” ~ Khalil Gibran

Petikan frasa di atas tidak berkait langsung dengan apa yang tergaris dalam kepala saya sekarang. Saya hanya terpikat dengan baris dan maksud yang dibawa oleh penyair yang terkenal tersebut, Khalil Gibran , anak kelahiran Lebanon dari keluarga berpegangan agama Kristian. Terbaca petikan itu sewaktu membelek novel yang masih belum sudah saya baca.

Akhir-akhir ini tumpuan saya beralih arah.

Kurang membaca.

Biasalah. Fasa-fasa kehidupan kadang berubah. Dan perubahan sentiasa menambah warna dalam hidup.

Boleh tahan jugak ....

Katanya berhenti di situ.

Itu yang saya fikir.

... hodohnya muka saya!

Oh, rupanya dia menyambung semula. 

Hampir sama rupanya perangai sahabat saya itu dengan saya dari segi itu. Tidak gemar menatap gambar foto sendiri .

Saya lihat semula gambar fotonya. 

Sebenarnya tidak ada yang cacat pun dalam gambar tersebut. Wajahnya masih cantik seperti yang saya pandang di luar foto. Kulit pipinya juga masih mulus dalam foto seperti realiti fizikal. 

Tapi tetap rasa tidak suka dia terhadap fotonya itu disebut.

Ah. Saya pun sebenarnya begitu. Paling tidak suka menatap gambar foto sendiri. Ada saja yang tidak kena pada mata saya. Lewat ini, yang paling tidak saya suka bila melihat wajah saya dalam foto tatkala tersenyum, dagu saya kelihatan jelas sungguh lapisan tambahan di bawahnya. Double chin!!

Eeeee

Tak suka!

tapi, baby ber'double chin' memang cute


Dan lebih lagi kalau terlihat saya tersengih, dan hujung hidung saya nampak bulat saja. Adui! Itu bukan kategori comel, itu kategori hidung pesek  :)

Ish, kamu memang jenis tak reti bersyukur lah Normah! Nasib baik ada hidung dan dagu. Walau bulat dan berlapis, tetap fungsinya sama seperti yang mancung atau yang selapis.

Itu rasa hati yang baik menasihat diri sendiri.

Ya, saya tahu.

Betul. Patut bersyukur.

Tapi, memang kadang cemburu juga melihat rakan-rakan lain yang tetap cantik dan ganteng dalam gambar fotonya. Orang kata apa? Photogenic kan.. Kalau istilah kita ni , kita kata, jenis yang "makan gambar".


Saya bukan jenis orang yang "makan gambar". Tapi saya rasa, saya ni jenis yang "gambar makan saya".

Kan.

Selamat berpetang minggu semua!

*Khusus buat sahabat yang baru baik semputnya, semoga perjalanan balik dari White House selamat.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, June 9, 2012

BFF




Manusia sememangnya perlu sentiasa diperingatkan.

Segalanya.

Hatta, waktu makan pun kekadang kita terlupa, terlebih lagi jika sibuk dengan segala mak nenek urusan.

Apatah lagi tentang perkara penting dalam hidup kita yang lain. Nikmat-nikmat yang lain yang tanpa sedar kita terima dan gunakan. 

Dan mempunyai sahabat adalah satu antara perkara yang perlu kita  hargai secara sedar. Bertambah lagi jika sahabat kita itu sangat dekat di hati.

BFF ~ itu kan istilah yang digunapakai sekarang?

The first thing that we should look for in a friend is that they should make us stronger human beings. They should be someone that we trust will help us when we are at our low points and that we won’t feel self-conscious with when seeking help. 
But the key here to notice is that when we are strengthened by our friends, we should keep in mind that it is not really our friend that has made us strong, rather Allah (swt) has strengthened us through our friend. ~ O God, Grant me a Friend

Bersahabat kan memang sudah menjadi fitrah manusia sebagai makhluk sosial. Secara semula jadi ia berlaku tanpa kita sedar mahu pun secara sedar.

Secara peribadi, saya kira, bagi mendapat sahabat dan teman sejati, kita perlu terlebih dahulu menjadi sahabat yang baik. Menerima segala kekurangannya dan menyimpan segala keaibannya seolah ianya adalah keaiban kita sendiri. Kemas dan rapi. Mendoakannya saban waktu dan bergembira bersama di atas segala kegembiraannya. Kesakitannya adalah kepedihan kita juga dan harapannya adalah impian kita juga.

Payah?

Jika ia beserta kasih dan keikhlasan, insyaAllah , Allah akan menyuburkan hubungan itu sentiasa. 

Percayalah.
Our friends should be people that are capable and willing to share in our tasks. They should be people we can trust to bounce ideas off of and to help us along the way. We shouldn’t try to wander through life and carry the entire burden ourselves, nor should we lay our tasks fully on other’s shoulders—the moderate path is the key

Moga Allah bersama kita semua. Amin.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, May 17, 2012

naik pangkat

Usia 25 itu selalunya dikait dengan apa?

Matang?

Dewasa?

Layak untuk bernikah?

Saya bernikah dulu pun masa usia mencecah 26 tahun. Ah, sedang moleklah tu kan. Memang tidak mendapat bantahan pun dari mana-mana pihak, kerana usia tika itu memang sangat-sangat disuruh kahwin oleh ibu bapa. Macam pucuk dicita, ulam yang datanglah kan. Memang seronok kahwin  :D

Memang sudah menjadi rezeki , walau pun, wajah tidaklah cantik mana, sekadar comel saja pun masih ada peluang mendapat laki. Yalah orang kata rezeki ayam nampak di kaki, kan. Rezeki manusia? tak siapa tahu.  Hahaha ...

Eh, bukan nak bercerita pasal kahwin.

Saya sedang berkira-kira, bilalah saya boleh mencapai kenaikan pangkat paling maksima dalam bidang perguruan. Wah baru semalam sahaja berceloteh tentang indahnya bidang perguruan, seperti seorang guru mithali, hari ini berkira-kira dan sibuk menyibuk pula tentang naik pangkat.

Ah, manusia.

Memang macam tu. Hatinya berbolak-balik, dan graf ke'mithalian'nya turun naik. Jadi, janganlah terkejut atau buat-buat terkejut, ya.

Teruja sebenarnya siang tadi, melihat rakan-rakan guru sibuk menyemak urusan kenaikan pangkat yang diuar-uarkan oleh Timbalan Perdana Menteri kita semalam, kan ~  24,053 orang guru berpeluang naik pangkat mulai Jun depan. Ish, bukan sedikit tu. Berpuluh ribu!

Menyemaknya di sini. Kalau masih belum menyemak lah kan.

Saya pun menyemak juga.  Setelah mengisi nombor kad pengenalan dengan perasaan berdebar, Alhamdulillah, ada juga jawapan yang diterima. 

|
|
|
|
|
V




Yalah tu.

Masih belum layak.

:)

Pangkat maksima dalam perguruan ini rasanya ialah DG54. Dari mula berkhidmat, seorang guru itu perlu 25 tahun minimum untuk mencapai pangkat DG54, itu pun sekiranya dia panjang umur , lah ya.

Saya memasuki bidang perguruan semasa berumur 26 tahun, jadinya kalau tiada halangan, waktu umur saya 51 tahun saya wajar menerima kenaikan pangkat dalam DG54. Lebih kurang pulak nombor 51 dan DG54 itu ya. Agaknya kalau ada halangan kecil umur 54 baru saya boleh mendapat kenaikan pangkat DG54 itu, kan.

Sekarang umur saya 46. Lagi 8 tahun.

Sedangkan sebelum boleh mencapai DG54 itu saya perlu melepasi 2 tangga kenaikan yang memerlukan syarat minimum  hampir 10 tahun. Ahh... berangan lah Normah!

Nak kemana tu kak Normah?

Bawak hati lah. Tak dapat naik pangkat lagi.

Tahun depan adalah tu, kak Normah.

Yalah... hari ni tak dapat naik pangkat, nak naik tangga je lah ke kelas.

*tahniah buat semua rakan-rakan guru muda yang dapat naik pangkat. Alhamdulillah , rezeki. Harap-harap rezeki tersebut juga melimpah ke kantin sekolah, dapat makan free :)

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, May 8, 2012

menyusahkan

Saya rasa hidup dia akan susah..

Air kopi O ais petang itu rasa sedap sungguh. Menyejukkan tekak. Walau fungsi utamanya sebagai penyegar mata tidak berkesan mana pun.

Saya sedut dalam-dalam perlahan. Takut kopi O ais itu segera habis. Sedangkan saya tahu mana ada minuman yang kekal dan tidak habis-habis. Bukan minuman sahaja yang tidak akan habis. Semua yang ada dalam dunia ini akan habis juga. Tak kekal. Sementara sahaja kan.

Tindakan saya menyedut kopi O ais itu  perlahan-lahan lebih kepada memujuk diri menikmati air sejuk tersebut selama mungkin. 

Sebab dia menyusahkan saya sekarang. Tak apalah. Biarlah. Susah saya pun tak lama. 

Saya menyambung ayat terputus tadi. 

Doakah itu? 

Entah. Saya tidak berniat mendoakan keburukan untuk orang lain. Lebih kepada luahan hati, dan pujukan buat diri sendiri. Bahawasanya kesusahan itu tak akan kekal dan insyaAllah , Allah sentiasa memudahkan serta menunjukkan jalan.

Ya, menyusahkan orang lain bukan kemahiran yang sukar dimiliki. Jika punya hati kering dan menganggap dirinya yang lebih utama dan lebih segalanya, pasti , kemahiran itu menjadi seperti tanda mohor peribadi diri. 

Dan saya sentiasa percaya, membuat orang lain susah, hidup kita tidak sekali-kali akan menjadi mudah.

Rakan di sebelah sejak dari awal lagi mendengar, mengangguk perlahan. 

Memang itulah kan yang perlu seorang rakan baik lakukan untuk rakannya yang lain. Mendengar dan memahami. Tidak menilai dan menjatuhkan hukuman. Memberi kata perangsang dan turut sama bersedih atau bergembira, atas susah dan jaya sahabatnya. Sukar dan bukanlah mudah mendapat sahabat seperti itu.

Memang, saat-saat seperti itu, masih terasa Allah beri nikmat, meski hati dan fikiran dalam kesusahan.

Seperti kopi O yang pahit itu bila bersendirian, menjadi manis bila si gula hadir bersama-samanya.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 5, 2012

MC




Ambiklah MC esok.

Tak mau.

Kenapa?

Esok Hari Jumaat.

Aii, badan dah sakit-sakit. Sendi pun dah menjerit-jerit, masih mahu menggagahkan diri lagi ke sekolah? Semata kerana mahu melunaskan kerja yang tertangguh di sekolah? Guru yang pastinya berwibawa sungguh dan berjiwa kental amat. 

Dan bukan dia sahaja yang begitu, saya kira.

Ya, yang berjiwa kental itu bukan saya. Saya sangat berlawanan dengan prinsipnya. Demam , cirit birit atau yang sewaktu dengannya, bagi saya adalah arahan dari Yang Maha Kuasa agar saya merehatkan diri. 

Dan dengan rela hati saya akan menidurkan diri sepanjang hari. Di rumah.

Semalam kak Normah tak nampak Min pun?

Oh, semalam saya MC kak Normah.  Kebetulan anak saya yang sulung tu pun demam, saya pun tak sihat.

Wah, ini bulan MC kah? !

Menyindirkah?

Oh, tidak. Tidak sama sekali.

Saya tahu , mereka bukan saja-saja mahu mengambil cuti sakit. Ini guru-guru yang berjiwa kental dan berhati waja. Yang ibaratnya, MC itu adalah satu hukuman paksa yang dijatuhkan tanpa rela. 

MC = mesti cuti.

Bukannya, MC = mahu cuti?

Ramai yang seperti mereka di sekolah. Merasakan cuti itu kerugian, terutama kalau mengajar di kelas-kelas peperiksaan. Yang mana, menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin adalah keutamaan. Dan pengajaran dalam kelas yang mengambil masa 40 - 80 minit waktu itu sangat berharga.

Dan ramai guru-guru ini dalam lemah dan panas badan masih lagi berusaha untuk hadir dan mengajar. Bukan ilusi atau khayalan saya semata. Kerana berpuluh tahun mengajar, memang ada saya terlihat guru yang bersungguh seperti ini. 

Bagi mereka MC adalah pilihan, selagi gagah kaki membawa badan, selagi itu dicuba juga. 

Finally my turn to fall sick.


Kerana ada masa dan ketikanya , ketiadaan dalam kelas dan tidak dapat mengajar bukan lagi menjadi pilihan. Waktu itu ia bersebabkan arahan yang wajib dituruti dalam kapasiti sebagai kakitangan kerajaan, menghadiri pelbagai kursus, mesyuarat, taklimat atau membawa pelajar keluar.

Dan itu juga menjadi kerugian jika dilihat dari sudut menghabiskan sukatan dan hadir di dalam kelas bersama pelajar.

Ah ... hidung saya dah rasa tak sedap! Gatal-gatal .

Ada harapankah untuk berMC esok? Kihkihkih.. Mengada-ngada kan.


*Salam kasih buat yang panas badannya malam ini, doa saya tak putus agar malam ini menjadi istirehat terbaik. Amin.



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 6, 2012

sakit kepalakah?

Ada bezakah umur 14 tahun dan 100 tahun lebih?

Ah, seorang guru bertanyakan soalan yang dikategori sebagai soalan yang tidak perlu disoal. Wajarkah? Banyak benda yang tidak wajar dalam dunia ini, tetapi tetap ia wujud dan berlaku. Jadi apalah yang hendak dihairankan, kan.

I did not, and still do not, remember historical dates very well. I did not want to clutter my brain with too many things and dates were among what I chose to forget. Unfortunately, I also tend to forget people's names, an unforgivable shortcoming in a politician. ~ A Doctor In The House : The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad . pg 83

 Wise men think alike.

Saya pun samalah Tun. Hahaha! Kita memang tak perlulah hendak menyemakkan kepala dengan perkara yang tak penting, kan Tun. Tarikh-tarikh memang payah hendak diingati, jadi kita membuat pilihan untuk tidak mengingat dan menyediakan ruang mengingat itu bagi perkara yang lebih penting.

Seperti?

Keutamaan dan kepentingan bagi setiap orang sangat berbeza. Jadi kepentingan dan keutamaan saya tidak relevan untuk diberitahu di sini.  :)

Jadi, cikgu Normah, apakah kaitan umur 100 tahun lebih dan umur 14 tahun?

100 tahun lebih biasanya terisi di dalamnya pengalaman dan kematangan. Kalau ia terkait dengan insan, pasti insan itu sangatlah kaya dengan pengalaman dan pandangan hidupnya. Kecualilah kalau dia nyanyuk, kan. 

Dan umur 14?

Terisi di dalamnya keghairahan menguasai dunia, merasa dia serba tahu dan punya tenaga membuak bersemangat .

Kenapa tetiba bercakap tentang angka dan usia ini ya?

Sebenarnya siang tadi di sekolah, warga sekolah saya telah menyambut lebih 50 orang tetamu guru  yang berasal  dari Thailand, sempena lawatan belajar mereka. Dan apakah yang boleh dipelajari dari sekolah kami ini yang hanya berusia 14 tahun,  bagi sekolah tetamu-tetamu itu tadi, di sana yang telah tertegak sejak lebih 100 tahun ?

Mengenal budaya dan cara, saya kira. 

Melihat sisi berbeza bagi membina perspektif baru, mungkin juga.

Menghulur tali persahabatan?  Tak mustahil.

buku atur cara

pengacara hensem

sakit kepalakah?

tetamu

penuh sesak

Apa pun niat , pastinya ia memberi kesan baik.

Kepada Jawatan Kuasa Pelaksana yang bertungkus lumus, saya ucapkan syabas, semoga lain kali kalau ada lagi tetamu lain yang ingin berkunjung, anda tidak serik. Hehehe.

Bila pulalah kami warga sekolah hendak berjalan sambil belajar di sekolah over the sea  pula ya?

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...