Showing posts with label muhasabah. Show all posts
Showing posts with label muhasabah. Show all posts

Sunday, October 15, 2017

Ingat tak ingat






Rasanya tadi sudah dihafal nama ustaz itu. Saya sebut berkali-kali dalam hati. Dan berkali juga pesan pada diri sendiri supaya jangan terlupa.


Oh....


Rasanya Ustaz Hambali. 

Betulke? Wallahualam, betul ke tidak, saya pun tak pasti.


Makin tua ni makin susah sikit nak mengingat. Tapi sebenarnya bukan sejak tua ni sahaja yang sukar nak mengingat, seingat saya yang selalu tak ingat ni, dah lama juga perangai tak berapa nak ingat ni ada. 😂


Sebenarnya sambil meneman suami hendak mencari sarapan pagi, dalam perjalanan itu , sempat mendengar tazkirah di radio IKIM.


Tapi itu pun perbincangan sudah separuh dan saya dapatlah menangkap beberapa isi. Dari kata-kata Ustaz tersebut, saya simpulkan beliau menekankan tentang sikap kebergantungan pada Allah. Terutamanya dalam kalangan anak-anak sekolah kita yang hendak menempuh peperiksaan besar .


Berdoalah, kata beliau. Setelah segala ikhtiar dan usaha terbaik kita dah buat, maka berdoalah. Kerana di akhir penentuan itu ialah takdir. Memanglah sunnatullah itu berlaku mengikut kebiasaan, tetapi sunnatullah  itu juga terhasilkan  dengan sandaran dari keizinan Allah.


Segala daya dan upaya kita tak pernah akan dapat mengatasi takdir Allah. Yang pasti, kebergantungan kita kepada Allah akan melepaskan segala resah gelisah . Dialah Yang Maha Tahu kenapa dan mengapa sesuatu itu dibenarkan berlaku dan Dialah yang Maha Bijak Perancangannya.


Saya juga pernah terdengar seorang Ustaz yang saya dah tak ingat namanya berpesan. 

Oh... ingat rasanya.


Kalau tak silap saya , Ustaz Shamsuri namanya. 


Beliau menceritakan semasa peristiwa Nabi Muhammad diangkat naik ke lapisan langit yang tujuh; di setiap lapisan itu Baginda telah bertemu dengan para Nabi dan Rasul. Yang indahnya, ialah setiap dari insan mulia yg dijumpai Baginda, mereka akan mendoakan untuk Baginda Rasul.


Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w yang maksum dan kekasih Allah ini didoakan oleh para Nabi dan Rasul yang lain, apatah lah lagi kita.


Peristiwa itu sendiri menunjukkan bahawa BERDOA dan MENDOAKAN untuk orang lain adalah digalakkan dan dituntut.



Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua dan mengurniakan kita  segala kebaikan di dunia dan di akhirat nanti.


Salam Ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 8, 2014

Apa yang kengkawan belajar hari ini?





Hari ini saya belajar beberapa perkara.

Yang pertamanya, cuba menjadi ketua yang baik dan cemerlang bukanlah mudah. Kalau hanya hendak memegang gelaran ketua itu sahaja tidak payah sebenarnya, tetapi melaksanakan amanah yang dipikul secara adil dan berhemah bukanlah kerja enteng.

Banyak kali juga, harapan agar permintaan yang berwajahkan arahan itu diterima serta terlaksana seperti yang tertera dalam mimpi dan anganan. Satu-satu ia terjadi sebiji betul seperti dalam mimpi. Mengujakan sungguh.

Tapi, tetap ia hanya mimpi dan anganan. Kadang laluan yang kita tunjukkan dan minta dijadikan pedoman itu sebenarnya adalah laluan yang penuh berduri dan punya banyak kelemahan. Dan tatkala melihat sahabat-sahabat itu berhempas pulas, rasa bersalah pasti akan menjalar. Jadi waktu itu, apakah tindakan yang terbaik?




Yang keduanya, saya juga belajar bahawa  di kala susah dan payah, kadang-kadang pandangan kita dikaburkan. Hati kita berbolak-balik. Ada masa kita menyerahkan segala ketentuan itu padaNya, tetapi ada ketika dan saatnya kita jadi gentar, takut dan risau tak tentu hala. Buntu. Dalam waktu payah dan terdesak itu, sering kali kelam kelibut itu menjadi teman, dan syaitan berselindung di sebaliknya, membuatkan kita tidak tentu arah, marah, geram, sedih bercampur baur.

Yang ketiganya, saya juga belajar mendengar dan menganalisa diri saya semula. Meletakkan diri saya di tempat orang lain. Belajar untuk mendengar dan menerima silap sendiri. Belajar untuk tidak cepat melatah dan cuba menjadi tenang.

Oh payah rupanya. 

Kerana ego saya sebesar gunung. Merasa diri sudah buat yang terbaik, tetapi yang terbaik itu sebenarnya tidak memberi kebaikan pada sebahagian yang menerima. Ego saya rupanya sudah membesarkan kepala sendiri. Melihat diri sudah terlalu baik, tetapi pada hakikatnya baik itu hanya berkisar di pandangan mata sendiri sahaja.

Yang keempat, saya belajar juga bahawa hidup di dunia ini hanya sebahagian dari perjalanan yang panjang. Hidup saya bukan sekali rupanya.  Alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat. Rupanya baru berada di alam yang kedua.  Hidup saya baru menempuh dua alam, dan ada dua alam lagi yang perlu dilalui.

Menakutkan juga.

Itu yang saya pelajari hari ini.

Kengkawan belajar apa hari ini?



~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, September 27, 2013

sedihnya ..






A much forwarded email reminds us that when we stand before God, he will not ask us what make of car we drive, but if that car had been used to pick up someone in need. He will not ask about our titles, achievements or financial net worth, but how many lives we have touched 

Teringat-ingat kisah yang dikongsi oleh rakan di kantin pagi tadi.

 Selalu waktu  malamlah.  Masa saya dengan suami berjoging kat taman awam tu.

Saya tahu taman awam itu di mana. Alah, kami berempat yang sedang makan nasi berlauk, pagi-pagi buta itu memang maklum taman yang dimaksudkan oleh rakan saya yang kecil molek ini. 

Ada orang lelaki tu, kemas orangnya, bukan orang gila atau orang tak tentu arah pun. Tapi ... dia memang tidur kat taman tu. Nampak gaya macam orang ada kerja. Ada motor. Kemas. Cuma rasanya macam jenis yang tak ada rumah.

Oh, kesiannya.

Gelandangan.

Merempat di tanah air sendiri. Atas banyak sebab, kehidupan gelandangan langsung menjauh dari norma kehidupan manusia seperti kita yang biasa-biasa ini, punya rumah tempat berteduh dan pelbagai kemudahan yang kita 'take for granted'.

Teringat satu artikel oleh saudara Mazidul Akmal dua tahun lepas ..
"Hendak tidur di masjid kena halau, dia orang takut kami mencuri duit sedekah di masjid. Kalau di gereja tidak ada masalah malah mereka sudi menyediakan tempat tinggal dan makanan tetapi saya tidak mahu pergi ke sana," jelas lelaki berbangsa Melayu berusia 44 tahun itu. ~ Selipar di kepala

sumber dari mazidulakmal


Sedihnya ...



~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, July 8, 2013

ada sebab semua benda ni berlaku





sumber

Saya sentiasa percaya apa yang berlaku ada sebab dan musababnya. Kepercayaan yang pastinya juga dikongsi oleh ramai insan  lain .

Tidak semestinya kejadian itu berlaku ke atas kita. 

Mungkin yang berlaku bukan ke atas batang tubuh kita. Tetapi kita mendengarnya. Atau kita menjadi saksi atas kejadian. Atau pun kita hanya sekadar pemerhati terhadap keadaan. 

Pasti kita sebagai pendengar atas kejadian itu pun bersebab. Ada sebab mengapa kita yang tahu, atau kita yang nampak atau kita yang perasankan kejadian tersebut. Ada sebabnya mengapa Allah yang pilih kita sebagai orang yang mengetahui.

Saya pun tak tahu kenapa saya selalu terima peristiwa macam tu.

Dia bercerita sambil berdiri. Wajahnya penuh emosi. Mata bulatnya waktu itu kelihatan berkaca-kaca menahan sedih yang berombak dalam dadanya.

Kenapa saya yang nampak perempuan itu? Perempuan tu merayu dekat ATM , dia tak boleh nak keluarkan duit dan buntu kerana terpaksa membayar bil air. Dan saya jadi belas. Saya peluk perempuan itu dan saya hulurkan duit pada dia.

Sambil bercerita itu pun getar suaranya berubah. Rasa sedih beriring dalam setiap butir katanya. 

Dan kalau suami saya tahu, pasti dia akan membebel, penat saya cari duit, senang-senang awak berikan pada orang lain ya. 

Saya tersenyum. Ah, begini rupanya seorang rakan yang punya hati yang kering seperti saya.  Belas dan sedih dari kisahnya itu yang hampir-hampir menghinggap di hati saya tiba-tiba terbang jauh. Rasa seperti lucu pula membayangkan nantinya dia dileteri oleh suami atas hati isterinya yang baik. Pelik sungguh kadang-kadang .

Perempuan tu bawak anak sorang. Saya rasa kesian sangat sebab baju anak dia koyak ..

Seluar anak kak normah pun baru ni koyak. Betul! Besar koyaknya. Tak kesian ke kat kak normah?

Alasan rasa kasihan dalam dadanya itu sengaja  saya dan rakan-rakan yang lain cuba permainkan. Berlawak-lawak, walau pun kami tahu memag sifatnya begitu. Cepat sungguh kasihan.

Tapi sebenarnya saya kira Allah letak dia di situ untuk menambahkan amalan kebaikannya. Meninggikan darjatnya di sisi Allah kerana punya hati yang baik. 

Bukankah banyak kisah yang kita tahu, dek kerana sekeping hati yang baik itu, pengakhiran  si empunya adalah syurga .

Kenapa Allah meletakkan saya sebagai pendengar? Mungkin, mungkin untuk menyedarkan saya bahawa saya perlu mencontohi sahabat saya ini. Mungkin.

Dan yang ini ....

Status BFF di FB

Ada sebab mengapa Allah letakkan sahabat saya itu sebagai guru kelas tersebut. Kerana kalau saya yang di situ, mungkin anak-anak itu tidak akan mendapat perhatian yang sewajarnya. Mungkin.

Amin untuk doa tersebut.

Salam Ramadhan yang bakal menjelang.



~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 5, 2012

segala pujian bagimu




Oh ! Cantiknya ...

Betulkah?

Wow .... !!

Sungguhkah?

Bila orang memuji, lihatlah ke matanya. Hujung senyumnya. Lihatlah lenggok tubuhnya. 

Jujurkah? 

Nada suaranya. Ikhlaskah? 

Lemas dalam pujian sentiasa akan mengaburkan mata, membutakan hati melihat realiti. Meletak diri dalam awan pujian memang mengasyikkan. Terlebih lagi jika pujian tak putus, bertali arus hingga tidak sempat melepaskan diri seketika dan menilai. 

Sahihkah?

Dan bila anda di puncak, bersendirian, melihat ke bawah, nun sayup, ketawa dan senyuman mengejek akan kelihatan sama sahaja. Tiada beza. Silap mentafsir membawa padah. Merasa diri hebat dan jaguh di mata orang, sedang hakikatnya cemuhan dan kutukan berlegar merewang.

Hakikat hidup yang memang pahit untuk ditelan.

Sukar membeza kawan dan lawan, bila semakin jauh anda mendaki. Permata dan kaca kemilaunya memanah penglihatan. Susah memang. Kadang yang difikir kawan , mengatur langkah untuk kita, rupanya lawan yang menyusun duri dalam diam.

Realiti hidup yang menuntut manusia itu menjadi bijak.

sumber


Perlukah ditintakan kisah raja yang berbogel dalam 'baju ghaibnya' ? Mimpi dan ilusi si raja musnah dek teguran dari budak kecil yang telus dalam pandangan dan jujur dalam kata-kata.

Takut!

Memang.

Kerana saya pun manusia. Seperti anda semua.

Saya juga memuji. Dan juga ada kalanya dipuji.

Seboleh mungkin, kalau boleh, saya mahu pujian yang terbit dari bibir ini memang tulus ikhlas. Kerana bermuka dua atau bermuka-muka itu perbuatan amat keji. Bukan begitu? Dan tulisan ini cuba meluku diri sendiri. Supaya sedar  dengan kadar segera!

Speak kindly, care deeply, love generously, every day think good thoughts, speak kind words, take good action ~ Power of Humbleness: Dr Muhaya pada minit ke 11:39



Salam merendah diri.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, October 26, 2012

Sombongkah saya?

Kalaulah semua kita diberi peluang untuk meminta,  dan segala permintaan itu akan dijamin makbul, agak-agaknya berapa banyakkah permintaan yang akan kita senaraikan?

Kalau saya?

Oh, saya mahu macam-macam. Segalanya. Semua yang baik-baik mengikut kehendak dan keinginan saya. 

Kak Midah, saya dah tuliskan doa saya atas kertas ni. Minta tolong nanti ya semasa di padang Arafah. 

Dan sahabat saya itu mengangguk, tersenyum.

InsyaAllah

Dan tatkala mendengar khutbah dari Arafah secara langsung semalam dari radio Ikim, saya teringatkan sahabat saya itu. Teringat juga tentang doa saya, yang saya tulis berhati-hati, satu-satu, khuatir sahabat saya itu nanti payah pula membacanya kalau tulisan saya macam cakar ayam.

Ingatan itu bukan sekadar sebuah ingatan yang berisi pengharapan sahaja, tetapi terselit bersamanya juga sekelumit malu. Malu dengan diri. Malu dengan keinginan duniawi yang tak pernah puas.

Terlebih malu bila mengingatkan mesej sahabat yang lain.

Tadi kak Midah pergi ke Ustaz dan beritahu yang dia nak pergi haji .  "Doakan saya, ya, Ustaz." 
Ustaz jawab ," Akak pergi ke makam Rasulullah dan bagitau  Ustaz Abdul Rahman berkirim salam dengan Rasulullah, Assalamualaikum."
Masa dia (ustaz) cakap  tu, muka dia berseri-seri gembira dan tersenyum.
Saya dok kirim doa satu kertas penuh, kirim salam kat Rasulullah pun tidak. Aduh. Harap-harap Rasulullah tak cakap saya ni sombong .. 

Ingatan saya tidak putus kepada kertas yang saya tulis dan titipkan melalui sahabat saya itu. Pasti isinya sudah terlebih tahu oleh yang akan memakbulkannya, jika Dia mahu memakbulkannya. Sedangkan yang terlintas di benak dan hati juga, Yang Maha Kuasa itu sudah maklum. 

Tidak salah mengirim doa itu.  Terlebih lagi jika disebut doa itu nanti di Padang Arafah. Ya, saya tahu.

Tetapi salam kepada Rasulullah, itu yang sungguh indahnya. Terlebih cantik bila pengirimnya ikhlas dan bersungguh. Rasa cinta dalam dadanya terpancar melalui bait katanya, dan bukankah Allah mengasihi hambanya yang kasih dan cinta kepada kekasihNya  itu. Juga, bukankah nanti, apabila Allah mengasihi hambanya itu, hidupnya terjamin baik dunia dan akhirat?

Satu pukulan kesedaran buat saya secara halus. Terkesan sungguh.

Semakin saya sedar, akhlak seorang Mukmin itu nilaiannya bukan sahaja pada budi dan pekertinya terhadap insan-insan di sekeliling, tetapi yang terlebih utama kepada Junjungan Besar Baginda. Mengirim salam dan memberitahu yang umatnya yang ini tidak pernah melupakan Baginda. Cantik sungguh. Indah sungguh.

Dan itulah azam saya selepas ini. Mengirim salam pada Rasulullah menerusi insan-insan lain yang dijemput nanti sebagai tetamu Allah di sana. 

Namun azam yang utama? Ingin menyampaikan salam itu sendiri kepada Baginda nanti.

Salam Aidil Adha buat semua.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 29, 2012

musim ujian

"Sebenarnya segala yang telah dan sedang terjadi dalam hidup kita ini adalah yang terbaik untuk kita. Janganlah ditanya-tanya kenapa kita tercampak dalam situasi begitu atau begini. Allah letak kita di situ kerana Dia Maha Tahu bahawa kita boleh mengatasi ujian tersebut .. ~ Ustaz Pahrol "

Lebih kurang begitulah intipati yang disebut oleh Ustaz Pahrol dalam rakaman audionya di radio Ikim yang saya ulang dengar sambil menggosok baju-baju yang sangat berkedut.

Kalaulah boleh kulit muka yang berkedut ini digosok begitu, menjadi licin dan rata, bagus jugakkan .

Ah, merepek.





Ustaz Pahrol menjawab persoalan seorang wanita yang bermadu dan mengalami kesedihan berganda setelah pengorbanan wanita itu  yang merelakan dia dimadu seolah tidak dihargai oleh si suami. . Dan kini sudah beberapa minggu suaminya tidak mempedulikannya.

Ish ... ini bukan tahap tragis lagi. Lebih teruk dari tragis apa ya? Magis ? Sadis? Rasis ?

Kalau saya di tempat wanita itu bagaimana ya?

Entahlah.

Tak mau difikir.

Kadang Allah meletakkan kita dalam situasi itu supaya kita dapat membetulkan semula rasa kasih yang sepatutnya. Siapa yang paling kita cinta itulah yang menjadi ujian bagi kita. Urutan cinta  bagi seorang wanita itu ialah Allah, Rasul dan selepas itu ialah suaminya. Kalau urutan cinta kita itu ialah suami yang paling utama, maka waktu itulah suami akan menjadi ujian bagi kita. Dengan ujian itulah Allah sedang mahu mengajar kita supaya meletakkan cinta hati kita yang pertama itu ialah Allah dan mahu  kita kembali membetulkan hubungan kita dengan Allah.

Ujian hebat bagi wanita hebat sebenarnya kan, dan saya pasti kedudukannya di sisi Allah lebih baik dari sebelumnya.

Awak asal dari mana?

Panas waktu itu. Dan saya mahu bersegera masuk ke dalam rumah setelah mengambil barang-barang belian sebelumnya dari dalam kereta. 

Kulit dia lebih gelap dari saya. Dan saya tahu dia bukan berasal dari sini.

Di kiri kanannya ada dua bungkusan beg berisi kain baju, penuh dan sendat. Tapi tetap digendongnya dan dipegang erat yang satu lagi seolah barang berharga yang baru diperoleh.

Rohingya.

Balasnya pendek.

Saya tahu niat dan kemahuan dia. Dan hati saya belas. Kerana saya tahu kalau saya di tempat dia, mungkin saya juga akan seperti dia sekarang. Bergerak dari rumah ke rumah. Meminta.

Ah ini semua sindiket!

Pasti ada yang berkata begitu.

Entahlah. Pendapat masing-masing. Saya tidak tahu kisah hidupnya. Tetapi saya tahu kisah hidup kaum seetniknya.

sumber

Rohingya adalah etnik minoriti yang paling banyak teraniaya sejak 1978 lagi. Di tanahairnya sendiri dan juga di bumi asing seperti di negara kita. Ramai dari kita melihat mereka dengan sebelah mata sahaja, termasuklah saya, merasakan kehadiran mereka mengganggu seperti kehadiran warga asing yang lain.

Ah terlebih lagi menambah perit hidup mereka mungkin kerana warna kulit mereka yang agak gelap berbanding dengan warga asing yang juga menumpang di tanahair kita ini. 

Warna kulit memang boleh saja menimbulkan prejudis tanpa kita sedar.

Betul, kan?

Dan saya perhatikan wanita di hadapan saya ini. Melihat matanya. Dan membayangkan jika saya dan dia bertukar tempat. Apakah perasaan saya waktu itu agaknya?

Sebenarnya ujian hidup bagi wanita ini  lebih berat dan hebat. Saya pasti, walau pun saya tidak tahu bagaimana sejarah hidupnya terlakar. Dan saya tahu juga hatinya lebih kental dan tabah dari saya. Kerana itu dia di situ. Bukan saya.

Bersyukur sungguh. Sangat. Kerana saya tidak berada di tempatnya.

Tapi hidup di dunia ini seperti roda kan. 

Oh, itulah yang ditakuti. Takut tidak bisa memikul bebanan ujian dan tersungkur. 

*Selamat berpuasa, berbuka puasa dan bersahur kawan semua. Buat sahabat yang berada jauh di mata tetapi dekat di hati,  harap dapat berjumpa lagi bulan depan.



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, February 18, 2012

memang ngeri dan menakutkan ..

“If you would not want to be forgotten, as soon as you are dead and rotten, either write things worth reading, or do things worth writing.” – Benjamin Franklin (1706-1790) : sumber
Jika anda tidak mahu dilupakan (oleh manusia lain), sebaik sahaja anda mati atau mereput, buat salah satu perkara, iaitu tulislah perkara yang berbaloi untuk dibaca atau buatlah perkara yang berbaloi untuk ditulis.

Adakah selama ini apa yang saya tulis itu berbaloi untuk dibaca?

Entahlah, kan.

Yang pastinya, saya bukan insan terkenal punya fikiran tajam dan idea kreatif atau bernas hingga membuat manusia lain terpegun dan tercari-cari bahan untuk dibaca dari hasil tangan saya. Walau pun itu memang ada dalam spesifikasi anganan saya, tetapi memadailah dengan tulisan-tulisan syok sendiri saya selama ini dan  masih dikira bertuah  juga punya rakan-rakan yang sudi meluang masa membaca butir demi butir perkataan yang saya susun rangkaikan.

Saya tercari-cari idealisme seorang pemimpin itu bagaimana.

Setiap dari kita memang punya tanggung jawab memimpin, malah jika tidak memimpin orang lain pun, memimpin diri sendiri itu sangat dituntut serta akan dipersoalkan nanti. Dipersoalkan atas setiap tindakan dan keputusan yang kita ambil serta laksanakan. 

Sedangkan di persoalkan di dunia sahaja sudah bertitik peluh di dahi dan kering lidah dek kurang air liur, apatah lagi nanti bila di sana .

Dan andai menjadi pemimpin dalam kelompok sendiri? Bagaimana kah nanti?
Menjadi pemimpin, dan menjadi golongan yang dipimpin tidak sama. Golongan yang dipimpin seperti manusia di kaki bukit. Mendongak ke atas dan melihat pemimpinnya di puncak bukit. Serba-serbi tentang pemimpin itu diperhatikannya. Ada pujian, tetapi yang sering adalah kritikan dan celaan. 
Sedangkan pemimpin yang berdiri di puncak bukit, beliau melihat ke bawah dengan pandangan yang luas. Kritikan dari orang yang mengkritiknya, hanyalah salah satu daripada keseluruhan pandangan luasnya terhadap realiti golongan yang dipimpin. ~ Pemimpin Sepanjang Zaman
Hell
Pemimpin harus memimpin dengan pemikirannya yang berbaloi dibaca dan dikaji. Bukan pemimpin yang dungu oleh teks yang disediakan orang lain atau yang tidur di lensa massa. Kita boleh bersetuju atau menolak idea dan pemikiran seorang pemimpin. Tetapi pemimpin yang tidak mempunyai sebarang pemikiran dan idea, harus awal-awal lagi ditolak. Pemimpin tanpa idea, memimpin ke arah binasa dan memimpin sebagai boneka. ~ Pemimpin Harus punya Idea
Sememangnya  kepimpinan unggul dan tiada tandingan hingga akhir zaman nanti ialah kepimpinan Rasulullah SAW, dan kehadirannya di dunia ini adalah sebagai contoh. Bukan ilusi yang tidak boleh digapai dan direalitikan. 

Walau tidak bisa menjelmakan seluruh idealisme dari kepimpinan Baginda itu ,  apakah tidak mungkin cebis-cebis akhlak Baginda itu ditampak dan dijelmakan dalam peribadi?

Menjadi pemimpin walau dalam kelompok kecil bukan kerja main-main , apatah lagi jika ia dibayar dan ianya menentukan masa depan orang lain .  Dipersoalkan dan dinilai bukan di dunia sahaja tetapi selepas mati pun nanti ia menjadi penentu kesudahan hidup sendiri yang kekal nanti. Itu yang menakutkan. Menjadi igauan dan mengganggu mimpi.

Ngerinya ..

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 16, 2012

hari dan hati yang suram

Kalau boleh ya Allah, matikanlah saya pada hari Jumaat dalam bulan yang berkat dalam husnul khatimah.

Andai, diterima doa dan kehendak, alangkah gembiranya, kan. Bukan saya seorang saja yang bercita demikian. Saya tahu, berjuta lagi di luar sana yang lebih layak untuk dimakbulkan Allah doa ini.

Tapi, rezeki masing-masing tak siapa yang tahu .

Khamis malam Jumaat ini seperti suram bagi hati saya. Dari sejak pagi tadi, sebenarnya. 

Dalam perjalanan ke sekolah mendapat berita tentang penghijrahan deejay  radio Ikim , Allahyarham Abdul Razak  Arbain ke alam barzakh, membuat hati saya tiba-tiba sedih. Memang , saya pun tidak kenal beliau dan tak perasan pun siapa beliau, tapi mungkin di masa hidupnya yang penuh kebaikan, Allah dorongkan hati orang lain untuk mendoakan yang baik buat dia.

Lahir tahun yang sama dengan saya.

Membuatkan saya terfikir, agaknya berapa lamakah lagi bilah-bilah hari saya yang tinggal?

Bukankah hidup kita adalah bilangan hari?

Hari yang telah lepas, adalah hari yang telah hilang dalam garisan hidup kita. Dan masing-masing pun tak tahu, berapa sebenarnya bilangan hari yang tersedia untuk kita. Yang pastinya, bilangan hari yang tinggal untuk kita bersedia apa yang patut makin berkurang dengan bertambahnya bilangan hari yang telah luput.

Setiap kita juga ada rahsia keaiban yang tersendiri. Hanya kerana rahmat Allah masih tertutup keaiban itu. Kita berjalan dengan bangga di hadapan khalayak ramai serta merasakan diri suci. 
Sebenarnya, dalam banyak hal kita tidak suci, cumanya dosa kita tidak didedahkan kepada manusia. 
Kata al-Imam Ahmad dengan linangan airmata ketika dia dimuliakan: “Kami ini kesian. Jika tidak kerana tutupan Allah, nescaya akan terdedah aib kami”. Demikian tawaduknya imam yang agung itu. ~ Insaf Dalam Menilai Setiap Insan 

Agaknya sedih yang saya rasa  ini kerana memikir keaiban diri sendiri.

Kisah masa lampau , kalau boleh ingin dipadam dan dipetakan semula.

Saya tahu saya tidak bersendirian. Dosa pastinya tercalit dalam kain putih hidup setiap insan yang bukan maksum. Cuma besar atau kecil calitan itu yang membezakan.

Yang lepas hanya menjadi kenangan dan iktibar buat saya, agar tahu dan sentiasa sedar, saya ini tidak sehebat mana pun. Darjat saya tidak lebih hanya tanah yang dipijak-pijak, gah saya hanya ilusi dalam dunia yang tidak kekal ini.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, February 12, 2012

jom, banding apa yang kita ada..

Ahad.

Segalanya tentang hal peribadi dan keluarga perlu dilangsaikan hari ini. Tapi, masih berlengah, mengambil ruang masa untuk menulis juga.



Lalu Mariam kata, " Alangkah baiknya jika aku mati sebelum ini dan aku pun dilupai, tak dak sapa kenal aku." 
Dia tahu ujian Allah, tapi (sebagai) seorang hamba Allah , berat dia rasa, kalau mati pun tak palah, dia kata. 
Allah Maha Pengampun, Allah tak murka kat Mariam. Allah rakamkan apa yang Mariam sebut. Allah tahu ini hambaNya. Ini beban. 
Ulamak-ulamak tafsir menyebut bahawasanya, apabila satu orang itu (terasa) beban dengan ujian hidup, dia rasa beban dia nak hidup, dia kata Ya, Allah, kalau kau matikan aku pun tak apalah. Tidak dianggap berdosa, selagi mana dia mintak kat Allah. ~ bermula minit ke 0:15 - 1:01

Maryam ibu kepada Nabi Isa, takut menghadapi fitnah selepas beliau diberitakan perkhabaran yang dia mengandungkan Nabi Isa tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi.

Betapa besar dan hebatnya ujian itu.

Hendak dibanding dengan ujian yang saya tempuh hari-hari? Setakat, pelajar degil dan bermasalah. Setakat duit tinggal sesen dua sementara gaji akan masuk di hujung bulan. 

Tak payahlah rasanya saya membanding diri dengan Maryam.

Cukuplah dengan membanding dengan wanita-wanita  yang membesarkan anak mereka untuk menjadi syahid di Palestin.

Itu pun ibarat jauh panggang dari api.

Memang jauh nilai hati mereka dengan sekeping hati yang saya punya.





Ahad, memang hari terbaik untuk membanding diri. :)

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 10, 2012

dah tetua baru nak insaf

Kita adalah orang atau insan yang sentiasa nak jadi baik walau pun kita belum menjadi baik, tapi kita komited nak jadi baik. ~ Ustaz Pahrol Mohd Juoi : Orang ikhlas tertindas?
Itu mukaddimah Ustaz Pahrol dalam sembang bicaranya pada petang 23 Jan 2012 di radio Ikim, yang saya ulang dengar sekarang, sambil menaip entri di hari Jumaat yang penuh berkat ini.

Suara Ustaz bergemersik menyentuh hati.

Belum pernah lagi berjumpa dengan Ustaz Pahrol, tapi saya membayangkan mestilah orangnya tampan dan soleh.

Membuat kerja walau kecil tetapi dengan berjiwa besar.

Seperti kisah budak gembala kambing di zaman khalifah Umar yang tetap enggan menjual seekor kambing dari beratus ekor kambing milik tuannya kepada khalifah Umar, walau dipujuk oleh khalifah Umar yang mencadangkan supaya budak itu menipu kepada tuannya.

Katakan sahaja seekor kambing itu telah dimakan serigala.

Umpan Khalifah Umar, yang secara logiknya memang boleh diterima akal oleh sesiapa sahaja, ekoran suasana waktu itu di padang pasir dan budak gembala itu hanya bersendirian.

Kalau begitu, di mana Allah?

Bijak budak itu menjawab. 

Ah, lantas saya teringat diri saya. Sudah puluhan tahun bekerja, walau pun bukan sebagai gembala kambing. Tetapi saya pasti , saya tidak seamanah budak itu. 

Memanglah saya tidak menjual kambing yang bukan hak milik saya.  :D

Tapi, saya pasti ada -  mengguna bahan di tempat kerja dengan bukan tujuan kerja tapi dengan tujuan untuk diri sendiri. 

Charge henfon mungkin , tanpa kebenaran dan tidak pernah membayar bil elektrik sekolah.

Alahai ....

*dah tetua baru nak insaf , kan    :(

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 2, 2012

maafkan saya

Saya tahu saya pernah menyakitkan hati awak. Dan saya minta kalau boleh awak maafkan saya.

Terus matanya merah. Dan air mata mengalir. Walau ditahan, tetap, merah di mata dan hujung hidungnya,  ketara sungguh. 

Saya peluk dia, kerana saya tahu selepas ini entah bila pula dapat bersua seperti ini semula. Walau dia tidak jauh perginya, tapi saya dan dia tahu, rutin hidup seharian selepas ini bakal menyukarkan lagi pertemuan dan perpisahan sebegini , lumrahnya menyukarkan lagi jalinan perjalanan hidup antara kami.

Dia menggelengkan kepala. Suaranya tersekat di kerongkong.

Saya faham , gelengan itu menandakan dia sudah melupakan kisah lama . Kisah itu seolah tidak memberi bekas lagi pada saat itu, saat saya memohon maaf dari dia.

Dan hati saya rasa lapang.

Kisah saya mencalarkan hatinya satu waktu dulu, bermula dari insiden kecil. Tetapi , biasalah, saya juga manusia, punya ego dan darjah kebodohan seperti manusia lain juga. Dan selepas hatinya itu tercalar, tidak pernah lagi berkesempatan saya memohon maaf setulus dan sesungguhnya dari dia. 

Dan hari ini , saya rasa beban di bahu dan hati saya terasa ringan.

Doa saya moga Allah mempermudahkan hidupnya dan keluarganya dengan rutin yang baru. Moga Allah menjaga keluarganya seperti mana saya mahu Allah menjaga keluarga saya juga.

Amin.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 1, 2012

struggling to be a better muslimah

Kalaulah hidup ini tiada ujud kepercayaan kepada hari akhirat dan pembalasan di atas semua ketidak adilan pastilah hidup kita ini penuh dengan seribu kesalan dan kekecewaan.

Kerana hidup ini memang tidak adil.

Atas semua segi pun, jika diperhalusi dan diteliti.

Setiap hari dalam menjalani hidup ini, setiap kita pasti punya perkara-perkara dan halangan yang perlu kita tempuh dan kita lawan. 

I always tell people that we have different struggles in our life, that we do not look at people and put people on the same par as us. But we understand that people have different levels and people have different struggle and people go through different stages of their life. 
Your friend next to you might have the struggle of just putting on a hijab, another friend might have struggle of doing her five daily prayers. 
So I'm saying that, allow people to go through their own pace and not force people to follow your pace. And the most important thing to me, for asking people, for wanting people to become good and for yourself is always the acceptance and the mercy . ~ Wardina Saffiyah - Struggling to be a better muslimah : bermula minit ke 8:02

Ketidak adilan yang diletakkan ke atas kita dari tindakan manusia lain pertamanya pasti menimbul amarah dan di hujung amarah itu pasti ada rasa dendam. Kita hanya manusia. Bukan malaikat yang keabdiannya mutlak. Dan kita bukan Rasul yang hatinya putih bersih jernih serta penuh rahmat dan kasih.

Kita terpaksa berlawan nafsu amarah dan dendam. Dan pasti rasa itu disemarak dan diapi-apikan oleh syaitan durjana.

Dan perlawanan itu berlangsung dalam diri yang hanya kita dan Allah saja yang tahu. Soal jawab yang berjela dalam fikir  dan benak.

Memaafkan bukan semudah terucap di bibir.

Betul. Sukar amat.

Tetapi, memaafkan itu bisa menyurutkan dendam dan amarah yang menyakitkan itu.

Dan saya mendoakan agar hati saya juga punya kekuatan untuk memaafkan serta benak saya bisa melupakan.

Salam kasih buat semua yang hatinya sedang panas tika ini. Moga tenang kembali.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 30, 2012

entri tiada tajuk

Sudah petang baru berkesempatan mengupdate entri. Perkara biasa. Bukan luar biasa. Keutamaan adalah kehidupan hakiki di luar yang menuntut masa serta tenaga.

Hujan di luar , saat saya menaip entri ini. Bestnya!

Bagaimana Dr Harlina membahagi masa dengan tugas, karier dan peranan sebagai ibu?

Tanya salah seorang peserta pada Dr Harlina.


Masih lagi tentang kisah ceramah Dr Harlina. Soalan itu bermain di fikiran saya sejak dari pagi tadi lagi. Ah, sejak dari habis menonton ceramahnya itu , sebenarnya.

Saya punya masa yang sama 24 jam seperti anda. Tetapi, kemungkinan besarnya ialah saya telah menetapkan apa yang saya mesti lakukan dengan 24 jam saya itu.  Saya punya alasan yang sangat kukuh untuk tidak terlibat dalam kerja-kerja amal ini kerana saya sangat sibuk sebagai pakar obstetrik dan ginekologi, ibu pada 3 orang anak dan seorang isteri. 
Dan saya boleh, bila masa sahaja menyatakan bahawa, keluarga saya memerlukan saya, suami saya memerlukan saya dan saya telah menjalankan bahagian saya dalam masyarakat ini, saya seorang pakar O&G, dan sepatutnya ada orang lain yang patut mengambil alih kerja-kerja amal ini. 
Tapi, sedarlah, keluarga saya sebenarnya bukan liabiliti buat saya, tetapi mereka adalah sumber kekuatan saya.  
Saya TIDAK akan menyalahkan suami saya nanti di depan Allah, mengatakan kerana dialah saya tidak dapat berperanan. Sebenarnya kerana keluarga sayalah, saya berada di sini, berdiri di sini. 
Saya punya 3 orang anak yang cantik-cantik yang dikurniakan Allah dan saya mahu memastikan mereka nanti dilepaskan dalam masyarakat yang baik. Kerana itu saya berusaha setakat yang saya mampu cuba untuk memastikan masyarakat ini adalah masyarakat yang baik untuk  anak-anak saya . ( bermula minit 1:01:25)

Wah, kata-kata itu menusuk dalam jiwa saya. Berulang-ulang. Membuat saya terfikir dan tertanya apakah khidmat dan peranan yang signifikan yang telah saya lakukan dalam hidup saya ini, selama 45 tahun hidup dan bernafas di dunia ini.

Terasa kerdilnya diri.

Walau bagai mana pun, pendapat saya, masing-masing ada bahagian yang boleh kita sumbangkan dalam masyarakat ini, mengikut daya dan kemampuan masing-masing. Yang penting dan utama saya kira adalah roh perjuangan dan kesedaran seperti yang dipunyai oleh Dr Harlina itu perlu ada dalam setiap diri kita.

Petang Isnin ini kita doakan agar kita semua tergolong sebagai manusia eksport , bukan manusia import, seperti yang diujar oleh Dr Muhaya. Amin.

:)

*entri tiada tajuk, pening memikir tajuk

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 29, 2012

isteri solehah ke awak ni?

Hajat hati semalam hendak membuang masa menonton video-video lama dari Youtube. 

Dok sibuk pung pang pung pang pasal dunia nak kiamat, masih ada masa lagi, kan, cikgu,  nak membuang masa menonton video. Entahlah cik minah , si setan ni, asyik dok cuit saya ni suruh merilekskan diri. 

Wah, wah, wah, kalau benda tak baik je, salahkan setan ya. Tak betul je, salahkan setan. Tak elok je, salahkan lagi setan. :D

Nasib baiklah bila membuka akaun Youtube saya, TVSunnah yang saya langgan, telah memuat naik ceramah Dr Harlina, Women in the Eyes of God semasa program The Malaysian Twins of Faith Conference, 24-25 Dis 2011 yang saya tak pergi, tetapi saya pasti ia best sungguh.




Ceramah itu sangat inspiring. 

Itu yang salah seorang sahabat saya komen, bila dia juga turut sama di'paksa' menonton . :) Dan selepas menonton, baru saya tahu bahawa Dr Harlina punya blognya sendiri, A Muslim Woman Defined.

Nasib baik.

Nasib baik apa? Nasib baik tahu Dr Harlina ada blog . hihihi. Sebab ada benda yang saya hendak kongsi di hari Ahad penuh berkat ini . 

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 5 - Selitkan doa setiap masa, moga Allah SWT mencampakkan hidayah-Nya ke dalam hati suami kita. Moga lebih cinta dia kepada iman, takwa dan ihsan. Moga dia terus gigih mencontohi suami teragung, Muhammad SAW. Mudah-mudahan jua, bersama kita meniti kehidupan dalam redha dan kasih sayang Allah setiap masa dan ketika! ~ Talian Hayat Buat Isteri - Nota 1 - 50 : Dr Harlina

Bab mendoakan anak , memang saya selalu tak lupa. Memang tak miss lah . Tapi... aduhai, bab mendoakan segala yang baik untuk suami ni, yang agak culas sikit. Lagi kalau hari tu mood saya tak baik. 

Saya kira ini ialah muhasabah diri peringkat tinggi hari Ahad yang penuh berkat.

Moral of the story hari ini, belated azam tahun baru entah yang ke berapa, " Saya cuba segala yang terdaya, setiap masa dan saat , mendoakan segala yang terbaik untuk suami saya, moga Allah memudahkan segala urusannya, menjadikan beliau suami soleh yang cemerlang dunia akhirat, dijauhkan beliau dari segala mara bahaya, fitnah dan mala petaka sehingga akhir hidupnya" . amin kan ya, kawan-kawan. :)

*semangat nak jadi isteri solehah*

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, January 24, 2012

derma yang paling payah

Bila dah berada dalam keadaan macam ini barulah ila tau perasaannya macam mana. Ibarat meminta nyawa dari orang lain. Kalau setakat hilang kaki, masih lagi boleh hidup. Tapi kalau buah pinggang dah tak ada yang sudi menderma, cuma menunggu masa je lah.

Air matanya deras laju membasahi pipi. Biras yang wajahnya seiras saya yang duduk bersebelahan mendengar dan melihat,  turut sama menyapu air matanya . Sedih, memang. Tapi, sesedih mana pun yang tergaris dalam hati saya, tetap hati kering ini tidak bisa membasahkan mata saya. Risau juga saya dengan hati yang sekeping ini.

Kakak ipar yang dari luarannya kelihatan kuat itu pun, sudah merah hidungnya menahan tangis. Saya juga yang berhati kering.

Kalau ila mati ni, memang ila pasang niat sungguh nak menderma apa-apa je organ ila yang boleh diguna orang lain. Sebab ila tahu sungguh perasaan orang yang menunggu derma organ lain bagi menerus kelangsungan hidup.

Sebenarnya, apa lagi yang boleh kita kata sebagai tetamu yang menziarah?

Setakat mendoa dan menghulur sesen dua, dan berharap sungguh agar ziarah kali ini bisa memberi semangat dan kekuatan bagi dia yang masih muda ini untuk menggantung harapan agar Allah beri mudah dalam hidupnya. Memang dalam situasi yang sedemikian, doalah menjadi senjata. 

Memang sekarang ila faham sungguh bila ada orang yang sungguh terdesak seperti ila ini sanggup berbuat apa saja agar dapat sihat seperti dulu. Kalau diminta berjanji dengan syaitan pun mungkin sanggup, berubat secara syirik pun sanggup bila dah buntu fikiran. Tapi yalah... kalau tak kerana iman sedikit ini mungkin ila pun jadi gitu.

Dia diam memandang kami. Sungguh besar ujian yang sedang ditempuhnya sekarang. Dan saya tiada kata yang boleh diluah dan dilafaz.

Malam ni pun cadangnya ingat nak pergilah jumpa 'ustaz' di Kota Kemuning tu. Tapi yalah, entah ustaz betul ke idak pun tak tahu. Tapi, tadi kat TV ni tengah duduk-duduk menonton, Ustaz Hassan dalam TV ni cakap, jangan berubat sebarang-sebarang, guna perantara yang tak tentu, khuatir jadi syiriklah pulak. Terfikir ila balik, tak jadi lah nak pergi.

Betullkah hidup ini penuh dengan kebetulan? Atau semua ini adalah ketentuan Allah.

Saya yakin dan percaya, jika Allah menginginkan kebaikan dalam hidup seseorang itu, kata hatinya sentiasa dibisikkan Allah dengan kebenaran.

Doakan sama untuk Ila, moga Allah tunjukkan jalan bagi menyembuh penyakitnya dan dikurniakan kesihatan yang baik serta rezeki melimpah ruah, ya, kawan-kawan.

Maka untuk seorang hamba itu hidup memberi, suburkanlah perasaan kasih dan sayang itu di dalam diri, ia membakar keinginan agar membara untuk berbakti. Saya ada sedikit gentar dan takut, ketika menurunkan tanda tangan ke borang yang diberi. Tetapi saya lebih takut ke alam mati dengan amal yang tidak mencukupi. Saya lebih takut diseksa kerana berdosa semasa hidup, berbanding stigma terseksa kerana tubuh dibedah selepas mati. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana semua ini tidak bermakna lagi, selepas hidup berganti mati. Letakkan diri di alam mati, tahulah nilai hidup memberi ~ Saifulislam .

*derma inilah yang paling payah kan. Ah...

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 6, 2012

ujian

Life goes on, and we forget..

Betul, kan.

Waktu melihat jenazah di depan mata, air mata deras mengalir. Hati sebak. Sedih. Kita tahu kita juga akan menyusuli nanti. Dan, melangkah ke rumah masing-masing, kita berazam untuk menjadi lebih baik dalam tindak tanduk dan amal.

Tapi, semakin masa beredar, sedih itu pun mula menghilang basahnya, dan kita pun lupa.

Dan amal masih seperti hari semalam dulu juga. Sebenarnya saya mengata diri sendiri, janganlah ada yang terasa.
The reality is we can’t choose our tests. I find it amazing that our tests are individual-specific. Allah is Most Wise and when He tests one with poverty while testing another with illness, there is actually wisdom in it. Testing the first person with illness instead of poverty wouldn’t have the same affect. ~ At the very Least, be Grateful : Andrea Umm Abdullah

Ujian atas sesiapa pun memang berbeza. Kenapa? Tidaklah perlu ditanya kenapa. Itu kuasa dan keadilan Allah yang hakiki.

Bila diuji, pastinya bagi saya ada satu perkara yang akan sering menghinggap dan melekat dalam hati.

Kebergantungan.

Berdoa jadi lebih khusyuk dan memohon sesungguhnya dari hati. Itu yang manisnya bila dikenang. Walau tidak ingin diuji sebegitu rupa, tetapi keindahan pergantungan itu yang dirindukan.

Bila tenang dan bahagia seperti ini?
Remember that Allah tests us with good and bad. In good times, be grateful and in hardship, be patient.

Bersyukur dan bersabar .

Salam  petang Jumaat kawan-kawan.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 2, 2012

berasa dia dekat






Mata tak boleh nak lelap semalam.

Ah.. menipu.

Sebenarnya tidur nyenyak macam biasa. Cuma sebelum tidur itu, sempat menyelak buku yang sudah lama dibeli dan sempat bergambar lagi dengan penulis buku tersebut.

yang pakai baju hijau tu saya... hahaha, nak beritau, takut tersilap  :)
Banyakkanlah mencari Tuhan dengan sepenuh jiwa, agar anda berasa Allah itu sangat hampir. Kita tidak cukup dengan hanya mengingati Tuhan di fikiran, tapi harus berasa Dia dekat dengan perasaan dan hati. Berasa Allah dekat akan mendorong kita untuk membuat permohonan dengan lebih khusyuk. ~ Rawatlah Hati, m/s 346 : Dr Robiah K. Hamzah

Bila agaknya kita berasa dekat dengan Tuhan?

Bila kita diuji. 

Diuji dengan masalah yang kita rasa seperti tiada jalan keluar dan, ..  buntu adalah kata yang tepat.

Ada yang tidak pernah diuji dengan ujian maha hebat?

Ramai yang telah, dan mungkin ada yang sedang diuji sekarang, hari ini, tika ini, saat ini tatkala membaca tulisan saya ini. 

Percayalah, setiap ujian itu ada pengakhirannya. Tiada yang kekal.

Cuma doa saya , moga yang sedang diuji itu, Allah tunjukkan jalan mengatasinya dan dikurniakan hati yang kental dan tabah serta pandangan yang jelas dan jernih.

*Dua tapak sudah kita melangkah di tahun baru 2012. :)

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 30, 2011

siapa yang tak ada dosa?

Saya memang kagum dengan orang yang bijak bercakap di khalayak ramai dan bijak menaikkan semangat pendengar.

Kebolehan itu bukan milik semua.

Dikatakan Allahyarham Soekarno adalah seorang orator  atau pemidato hebat di zamannya. Begitu juga Hitler .

Saya kira, salah satu ciri pemimpin yang baik ialah kebolehan beliau menyampaikan misi dan visinya dengan jelas dan boleh difahami. Kekuatan untuk berkata-kata dan bertindak. Serta amanah dalam langkahnya.

Itu dua ciri bagi kita memilih pemimpin. Kuat dan amanah. Itu pun kalau kita diberi peluang dalam pemilihan kepimpinan. Itu sahaja sebenarnya menjadi dasar dalam pemilihan. 

Sebenarnya baru balik dari menghadiri taklimat tugas di sekolah bagi sesi 2012. Kerja biasa dan bukan luar biasa.

hendak menunjuk tulisan saya sebenarnya , hihihi...

Sudah beberapa minggu ini meninggalkan pen tanpa dijenguk, terasa agak kaku pula hendak menulis.  :)

Bukan hendak bercakap tentang pemimpin. Tetapi hendak menulis tentang dosa dan doa. Maklumlah , hari ini kan hari Jumaat, penghulu segala hari, yang di dalamnya ada saat dan ketika bila mana kita berdoa, akan Allah kabulkan doa tersebut.

Sedangkan permintaan si Iblis pun Allah makbulkan, inikan pula permintaan insan.

Doa ini manusia mintak kat Tuhan. Bila kita mintak kepada Allah percayalah, bila orang tu mintak betul-betul pada Allah, Allah bagi. Tak ada doa Allah tak bagilah. Ini bukan sesi, kalau nak ceramah (pasal) doa, sejam. Tak ada doa yang Allah tak bagi. 
Ajaib hidup ini dengan doa. Ajaib, ajaib. 
Tuan-tuan kalau pikir kerana doa kita tu, kalau tak entah berapa banyak lagi hidupan kita, dari satu kesusahan ke satu kesusahan yang telah kita keluar. Pada hari kita berada dalam kesusahan itu dan kita berdoa dan kita sangka macam kita tak boleh keluar. Pada hari ini kita dapati berapa banyak kesusahan telah kita rentasi dan kita pun telah melupai sebahagian besar doa yang telah kita sebut.  ~ Ustaz Asri (bermula minit 21:08)


Manusia berhubung terus dengan Tuhan. Dia mintak. Iblis mintak supaya dipanjangkan hayatnya sehingga hari kiamat, Tuhan perkenankan iblis tu. Padahal derhaka betul dia tu pun  boleh (Allah makbulkan). 
Takkan hambanya yang sembahyang , mintak,  Dia tak bagi. Tentu Dia bagi. 
Cuma, bila Allah memperkenankan sesuatu hajat, Dia memperkenankan dalam berbagai rupa. Manusia kadang-kadang dia mintak - saya selalu sebut - kadang-kadang dia mintak wang, sebenarnya dia bukan nak wang, dia nak kebahagiaan. Tapi dia sangka dengan ada wang, ada kebahagiaan. Allah kadang-kadang tak bagi wang sebanyak yang diharap, tetapi Allah bagi kebahagiaan pada dia. Tapi dia dok sangka, yang aku mintak tu tak sampai-sampai lagi. Tak... Tak, sebab sebahagian besar hayat kau telah kau kecapi nikmat itu. ~ Ustaz Asri  (bermula minit 26:00)

Mendengar kata-kata Ustaz ini sejuk hati mendengarnya. Terutama bab taubat. Alahai. Sungguh. Terasa sungguh rahmat Allah itu begitu luas dan bermakna.

Kalau ada masa, terbuka hati, dengarlah. InsyaAllah , Allah mudahkan kita untuk mendengar.

Salam petang Jumaat semua. 

*jangan sekadar lihat orang yang berkata, tapi ambil kebenaran dari katanya :) 

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 17, 2011

dah sah, ke neraka lah kamu

Bila ditanya bagaimana hendak menyelaraskan sunnah Rasulullah dan kehendak agama itu sendiri dengan situasi semasa yang kadang-kadang begitu sukar mengikut pengalaman masing-masing, Syeikh Hamza Yusuf  tidak menjawab soalan tersebut, tetapi membawa kisahnya sendiri, yang membuatkan saya juga terfikir.
The Prophet s.a.w. , he said, that Islam began as an alien thing and it will return to being an alien thing, so blessed to all the alienated ones and the world is an alienating place and we all going to be dead in this room within at least, you know, the maximum hundred years and there'll be a whole new group of people debating and discussing, maybe, maybe not, but you know it is very difficult .
I was on an airplane going to Quwait and I sat next to Muhammad ad Awadhi, who is the famous TV presenter there, very brilliant Quwaiti guy, the stewardess came, and she had Aisya on her name tag and I asked where she was from and she said, Senegal. 
And then Muhammad-ad-Awadhi  - she didn't had a hijab on - he said ..., "Are you able to pray on the plane?" 
And she said, "Yes." 
And then he said  " Can I ask you a question?" 
And she said "Yes"  and he said, " How do you feel about serving wine on the plane?". 
She said ,"It is really hard ... but I always use my left hand and..." 
I was so moved by that ,  that attempt , in such an incredibly circumstances, to be as true as she could to what she believe was right because  Muslims deal with  foul things with their left hand and.. a lot people are struggling out there. So May God bless you.

Jawapannya pada minit ke 2:42:41.

video ini agak panjang dan pengisiannya agak berat, 
saya menghabiskan dengar dalam 2 hari ... :)


Ah, saya sendiri terpukul. Merasakan saya lebih baik dari orang lain. Sebab saya berhijab, sebab saya solat 5 waktu dan sebab pekerjaan saya tidak terkait dengan menghidang arak dan sebagainya, maka saya lebih layak masuk syurga. Sungguh tertipu dan bodohlah saya dan mereka yang seperti saya! Bukan begitu ? 

Bukan semua orang punya pilihan dalam hidup terhadap apa yang boleh dilakukan dalam hidupnya. Banyak faktor yang mempengaruhi kerana kehidupan itu sendiri begitu kompleks. 

Hidup ini bukan sekadar putih atau hitam. Bukan ternoktah atas haram atau halal sahaja. Bukan juga kita yang punya neraca untuk menentu , ha, syurga lah kamu atau ke nerakalah tempat kamu. 

Bukan. 

Kita melihat kerana diberi peluang untuk melihat dan moga penglihatan kita itu tidak dikaburi dengan ego diri kita.

Selamat berhari Sabtu semua, moga pandangan kita jelas, sejernih hati kita.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...