Rasanya tadi sudah dihafal nama ustaz itu. Saya sebut berkali-kali dalam hati. Dan berkali juga pesan pada diri sendiri supaya jangan terlupa.
Oh....
Rasanya Ustaz Hambali.
Betulke? Wallahualam, betul ke tidak, saya pun tak pasti.
Makin tua ni makin susah sikit nak mengingat. Tapi sebenarnya bukan sejak tua ni sahaja yang sukar nak mengingat, seingat saya yang selalu tak ingat ni, dah lama juga perangai tak berapa nak ingat ni ada. 😂
Sebenarnya sambil meneman suami hendak mencari sarapan pagi, dalam perjalanan itu , sempat mendengar tazkirah di radio IKIM.
Tapi itu pun perbincangan sudah separuh dan saya dapatlah menangkap beberapa isi. Dari kata-kata Ustaz tersebut, saya simpulkan beliau menekankan tentang sikap kebergantungan pada Allah. Terutamanya dalam kalangan anak-anak sekolah kita yang hendak menempuh peperiksaan besar .
Berdoalah, kata beliau. Setelah segala ikhtiar dan usaha terbaik kita dah buat, maka berdoalah. Kerana di akhir penentuan itu ialah takdir. Memanglah sunnatullah itu berlaku mengikut kebiasaan, tetapi sunnatullah itu juga terhasilkan dengan sandaran dari keizinan Allah.
Segala daya dan upaya kita tak pernah akan dapat mengatasi takdir Allah. Yang pasti, kebergantungan kita kepada Allah akan melepaskan segala resah gelisah . Dialah Yang Maha Tahu kenapa dan mengapa sesuatu itu dibenarkan berlaku dan Dialah yang Maha Bijak Perancangannya.
Saya juga pernah terdengar seorang Ustaz yang saya dah tak ingat namanya berpesan.
Oh... ingat rasanya.
Kalau tak silap saya , Ustaz Shamsuri namanya.
Beliau menceritakan semasa peristiwa Nabi Muhammad diangkat naik ke lapisan langit yang tujuh; di setiap lapisan itu Baginda telah bertemu dengan para Nabi dan Rasul. Yang indahnya, ialah setiap dari insan mulia yg dijumpai Baginda, mereka akan mendoakan untuk Baginda Rasul.
Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w yang maksum dan kekasih Allah ini didoakan oleh para Nabi dan Rasul yang lain, apatah lah lagi kita.
Peristiwa itu sendiri menunjukkan bahawa BERDOA dan MENDOAKAN untuk orang lain adalah digalakkan dan dituntut.
Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua dan mengurniakan kita segala kebaikan di dunia dan di akhirat nanti.
Salam Ingatan.
~cikgunormah@klcitizen~