Showing posts with label ustaz. Show all posts
Showing posts with label ustaz. Show all posts

Sunday, October 15, 2017

Ingat tak ingat






Rasanya tadi sudah dihafal nama ustaz itu. Saya sebut berkali-kali dalam hati. Dan berkali juga pesan pada diri sendiri supaya jangan terlupa.


Oh....


Rasanya Ustaz Hambali. 

Betulke? Wallahualam, betul ke tidak, saya pun tak pasti.


Makin tua ni makin susah sikit nak mengingat. Tapi sebenarnya bukan sejak tua ni sahaja yang sukar nak mengingat, seingat saya yang selalu tak ingat ni, dah lama juga perangai tak berapa nak ingat ni ada. 😂


Sebenarnya sambil meneman suami hendak mencari sarapan pagi, dalam perjalanan itu , sempat mendengar tazkirah di radio IKIM.


Tapi itu pun perbincangan sudah separuh dan saya dapatlah menangkap beberapa isi. Dari kata-kata Ustaz tersebut, saya simpulkan beliau menekankan tentang sikap kebergantungan pada Allah. Terutamanya dalam kalangan anak-anak sekolah kita yang hendak menempuh peperiksaan besar .


Berdoalah, kata beliau. Setelah segala ikhtiar dan usaha terbaik kita dah buat, maka berdoalah. Kerana di akhir penentuan itu ialah takdir. Memanglah sunnatullah itu berlaku mengikut kebiasaan, tetapi sunnatullah  itu juga terhasilkan  dengan sandaran dari keizinan Allah.


Segala daya dan upaya kita tak pernah akan dapat mengatasi takdir Allah. Yang pasti, kebergantungan kita kepada Allah akan melepaskan segala resah gelisah . Dialah Yang Maha Tahu kenapa dan mengapa sesuatu itu dibenarkan berlaku dan Dialah yang Maha Bijak Perancangannya.


Saya juga pernah terdengar seorang Ustaz yang saya dah tak ingat namanya berpesan. 

Oh... ingat rasanya.


Kalau tak silap saya , Ustaz Shamsuri namanya. 


Beliau menceritakan semasa peristiwa Nabi Muhammad diangkat naik ke lapisan langit yang tujuh; di setiap lapisan itu Baginda telah bertemu dengan para Nabi dan Rasul. Yang indahnya, ialah setiap dari insan mulia yg dijumpai Baginda, mereka akan mendoakan untuk Baginda Rasul.


Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w yang maksum dan kekasih Allah ini didoakan oleh para Nabi dan Rasul yang lain, apatah lah lagi kita.


Peristiwa itu sendiri menunjukkan bahawa BERDOA dan MENDOAKAN untuk orang lain adalah digalakkan dan dituntut.



Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua dan mengurniakan kita  segala kebaikan di dunia dan di akhirat nanti.


Salam Ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, August 7, 2011

boleh tak jaga mulut sendiri...?

Cuti hujung minggu. Alhamdulillah. Sudah hampir ke hujungnya.

Dua tiga hari ini demam menonton youtube. Ceramah Ustaz Kazim Elias. Yalah, dari pada demam menonton drama bersiri, kira baiklah juga kut mendengar ceramah ugama bila dah tua-tua begini. Menambah ilmu, walau tak semestinya amal itu pun bertambah juga. Niat dan azam di hati, Ramadhan ini menjadi bulan bernafas baru.

Yang menjadi hati saya tertarik amat ialah kisah insan-insan yang mati dalam husnul khatimah. Pesan Ustaz, kalau inginkan penghujung kehidupan kita ini baik seperti mereka yang terpilih itu, senang sahaja. Jaga mulut.

Beberapa contoh yang diberi, insan-insan tersebut, di sepanjang persahabatan  bersama, tidak pernah mereka berkata yang tidak baik tentang orang lain. Mulut mereka terpelihara dari menyumpah seranah. Tiada kata haram jadah, babi, sial atau yang sewaktu dengannya keluar dari bibir. Sehingga ke lewat usia melebihi 90 tahun, masih Allah pelihara mata , telinga dan akal mereka. Syaratnya mudah, pesan Ustaz, jaga mulut.

Mudah. Tapi memang payah, kalau ia tidak dibiasakan.

Apatah lagi bila hati sedang bercahaya dengan api kemarahan. Mulut jadi ringan, pandangan mata jadi tajam menembusi orang yang diamuk. Masa itu, akal terperosok jauh menikus dan nafsu bermaharaja. 

Mendengar dan mengamal, dua dunia yang berbeza. 

Tapi moga bulan rahmat dan penuh dengan keampunan Allah ini menjadikan ia lebih mudah.

Salam malam Isnin.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, August 6, 2011

Banyak dah tanda dibagi...

Saya percaya lintasan hati yang pertama itu baik, tetapi lintasan yang kedua itu dari syaitan.

Bukan kata saya.

Itu kata Dr Muhaya, pakar mata terkenal kini, dalam radio Ikim yang siarannya entah Sabtu bila. Saya pun sudah tak ingat, tetapi saya ingat kata-katanya.

Saya pandang betul-betul dari belakang, cuba melihat kakinya. Tak nampak. Sambil-sambil itu mata saya juga tidak lepas melihat baju-baju blaus yang tergantung. Niat di hati mula-mula hendak bersedekah. Tapi tak jadi. Entah kenapa. Rasa tak nak beri pada yang ini.

Pasar Tani Setiawangsa. Ramai manusia. Saya antara yang meramaikannya. Peminta sedekah pun ramai juga. Adalah sesekali saya menghulur. Sebabnya, teringat ceramah Ustaz Kazim dalm video-video youtube nya yang berlambak-lambak. Tentang mati yang baik. Nak dapat mati yang baik bukannya susah kata dia. Antaranya kena rajin bersedekah.

Bila mendengar ceramah beliau tentang tanda-tanda orang yang matinya baik, ishh, semangat meluap-luap dalam diri , tetiba hendak jugalah bercita-cita mati dalam keadaan baik juga.

Antara tandanya ialah dahi si mati berpeluh. Dan juga jika mati dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya banyak tanda yang lain. Tapi dua tanda itu buat waktu ini melekat dalam ingatan.

Saya tahu bukan saya seorang sahaja yang bercita-cita begitu. Semua orang pun. Tapi bukan semua yang akan dapat peluang yang begitu, kan.

*kalau dah dosa setinggi gunung, mungkinkah? menghantuk kepala sendiri....

Selamat beribadat rakan semua.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 4, 2010

Rebranding dan rasa malu

Rebranding atau penjenamaan semula muslim menjadi Mukmin Profesional. Saya suka sekali. Ini idea yang dilontarkan oleh Ustaz Pahrol dalam sembang motivasi di Ikim baru-baru ini.

Sekian lama muslim atau umat Islam cuba disinonimkan dengan istilah militan, malas, kemunduran, pecah belah dan sebagainya yang negatif. Memang susah menafikan, kerana saban waktu itu yang kita dapat saksikan di sekeliling. Tidak perlulah menjenguk ke luar negara, di dalam negara kita pun banyak juga.

Tetapi sekadar menukar nama sahaja tanpa perubahan seluruhnya memang tidak berguna sesen pun. Ibarat menukar papan tanda kedai, tetapi servis dan kualiti barangan masih di takuk lama, memang sengajalah mencipta kebodohan tersendiri.

Antara cara menjenama semula ialah menukar sikap. Menjadi baik dan cerdik.

Baik sahaja tetapi tidak cerdik, kita memang akan ditipu,
cerdik sahaja tetapi tidak baik kita akan menjadi penipu,
kalau kita baik dan cerdik, kita tidak akan menipu dan tidak akan tertipu.

Bukankah, amanah dan bijaksana adalah antara sifat Rasulullah?

Marilah kita ubah sikap. Salah satunya.... bagi yang bekerja, tidak kira anda pekerja kerajaan atau swasta ialah beramanah dengan masa.

Malu juga apabila membaca artikel di bawah. Walau pun saya tidak terlibat, kerana tidak punya akaun Facebook, tetapi ada juga sesekali menjengah blog di bilik guru mengguna wifi sekolah, padahal wifi itu bertujuan membolehkan guru mencari sumber bahan bagi pengajaran..... kan dah kantoi!!  Okay saya tobat lah tak buat lagi.


InsyaAllah saya akan cuba mengubah sikap. Dan semoga Allah beri kekuatan untuk istiqamah, kerana saya pun ingin menjadi mukmin profesional.... tidak mahu ketinggalan juga.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, July 3, 2010

Kutukan dan hinaan

Bila isu-isu  jenayah sensasi terbit di dada akhbar atau di internet, ramai yang akan memberi komen. Kekadang komen yang mengutuk si pelaku dilontarkan, kerana membayangkan rasa amarah kita yang membaca jenayah tersebut. Saya pun tak terlepas dari perlakuan tersebut.

Tetapi selesai membaca artikel 'Merendah untuk Meninggi' tulisan Ustaz Umar Muhammad Noor dalam Majalah Solusi isu no 21, m/s 28 -29, saya memuhasabah diri sendiri. Kutukan yang diberi rupanya perlu diperbetulkan.

Dalam hadis daripada Muaz bin Jabal, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut." (Riwayat al-Tirmizi no. 2693)

Wah... takutlah pulak. Maki-maki si pesalah, nanti makian itu jatuh pula ke atas kita, nauzubillah. Saya kira kita boleh mengutuk perlakuan jahat tersebut, tetapi jangan sekali memandang hina si pesalah, contohnya meludah si pesalah... (tak pernahlah buat, tapi pernah nampak orang buat) .

Ada satu cerita yang berkait:
Diceritakan bahawa suatu ketika Nabi Isa a.s. sedang berjalan bersama seorang muridnya. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang suka membuat maksiat mengekori mereka dari belakang.

Murid Nabi Isa itu menoleh ke arah orang itu dengan penuh kebencian.  Lalu dia pun berdoa dalam hati," Ya Allah, janganlah Engkau himpunkan diriku bersama orang ini."

Nabi Isa tiba-tiba menoleh kepada muridnya dan berkata, "Doamu telah dikabulkan. Allah menerima taubat orang itu dan mengusir kamu. Pergilah engkau dari sisiku."
First time saya baca cerita tersebut, jadi agak teruja untuk berkongsi. 

Takut pula kalau-kalau saya ada berkelakuan seperti tersebut.  Bila tengok pesalah yang merogol anak kandungnya, memanglah amarah yang melampau terbit dalam hati, tetapi rupanya, jangan sampai kita menghina si pelaku. Mana tahu esok lusa, Allah menerima taubatnya...kan.

Teringat juga aruah Mohammad Naim Mustaqim yang didera oleh seniornya di MTD lepas, kalau ikut hati memang rasa nak  menyumpahlah pada si pelaku. Tetapi bila membaca artikel tersebut, saya memuhasabah diri dan berdoa bebanyak moga si pelaku mendapat balasan yang setimpal dan diampunkan oleh Allah. 

Perkara yang berlaku diharap dapat membuka mata orang lain dan mata saya sendiri. Mungkin itu antara hikmah yang terkandung.

*tahniah pada bekas-bekas anak murid yang menjadi raja sehari hari ini*

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 23, 2010

Syurga yang disegerakan

Syurga yang disegerakan.

Itu antara isi sembang motivasi Ustaz Pahrol dalam radio IKIM. Tertanya juga. Apa dia syurga yang disegerakan? Saya terbayangkan rumah tangga. Tetapi ada kalanya rumah tangga boleh menjadi neraka yang disegerakan. Tak percaya? Percayalah. Bukan sedikit manusia yang punya masalah dalam rumah tangga, hidupnya jadi kecelaruan ya amat. Jangan main-main.

Rupanya syurga yang disegerakan merujuk kepada ketenangan hati. Hati yang tenang memang tidak boleh dibeli dengan apa saja. Bila hati tenang, segala di sekeliling nampak mudah dan tampak indah. 

Tapi hendak mendapat syurga yang disegerakan ini bukan mudah. Ibarat hendak memiliki kaca dan permata. Bukan mudah jika ingin memiliki permata. Dan tidak susah hendak memiliki kaca. Memiliki syurga di hati, perlukan mujahadah, kata Ustaz Pahrol.

Ingat saja kata-kata ini,' Ada kerja yang kita perlu buat, tetapi kita tidak suka; ada juga kerja yang kita suka buat, tetapi tak patut dibuat'. Dalam berusaha memiliki syurga yang disegerakan kita patut membuat kerja yang patut dan perlu dibuat, walaupun kita tidak suka.

Semua pun rasanya sudah maklum apa kerja-kerja tersebut.
Saya pun sedang meneliti semula senarai kerja yang patut saya buat dan yang saya suka dan tidak patut saya buat.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...