Showing posts with label peperiksaan. Show all posts
Showing posts with label peperiksaan. Show all posts

Sunday, October 15, 2017

Ingat tak ingat






Rasanya tadi sudah dihafal nama ustaz itu. Saya sebut berkali-kali dalam hati. Dan berkali juga pesan pada diri sendiri supaya jangan terlupa.


Oh....


Rasanya Ustaz Hambali. 

Betulke? Wallahualam, betul ke tidak, saya pun tak pasti.


Makin tua ni makin susah sikit nak mengingat. Tapi sebenarnya bukan sejak tua ni sahaja yang sukar nak mengingat, seingat saya yang selalu tak ingat ni, dah lama juga perangai tak berapa nak ingat ni ada. 😂


Sebenarnya sambil meneman suami hendak mencari sarapan pagi, dalam perjalanan itu , sempat mendengar tazkirah di radio IKIM.


Tapi itu pun perbincangan sudah separuh dan saya dapatlah menangkap beberapa isi. Dari kata-kata Ustaz tersebut, saya simpulkan beliau menekankan tentang sikap kebergantungan pada Allah. Terutamanya dalam kalangan anak-anak sekolah kita yang hendak menempuh peperiksaan besar .


Berdoalah, kata beliau. Setelah segala ikhtiar dan usaha terbaik kita dah buat, maka berdoalah. Kerana di akhir penentuan itu ialah takdir. Memanglah sunnatullah itu berlaku mengikut kebiasaan, tetapi sunnatullah  itu juga terhasilkan  dengan sandaran dari keizinan Allah.


Segala daya dan upaya kita tak pernah akan dapat mengatasi takdir Allah. Yang pasti, kebergantungan kita kepada Allah akan melepaskan segala resah gelisah . Dialah Yang Maha Tahu kenapa dan mengapa sesuatu itu dibenarkan berlaku dan Dialah yang Maha Bijak Perancangannya.


Saya juga pernah terdengar seorang Ustaz yang saya dah tak ingat namanya berpesan. 

Oh... ingat rasanya.


Kalau tak silap saya , Ustaz Shamsuri namanya. 


Beliau menceritakan semasa peristiwa Nabi Muhammad diangkat naik ke lapisan langit yang tujuh; di setiap lapisan itu Baginda telah bertemu dengan para Nabi dan Rasul. Yang indahnya, ialah setiap dari insan mulia yg dijumpai Baginda, mereka akan mendoakan untuk Baginda Rasul.


Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w yang maksum dan kekasih Allah ini didoakan oleh para Nabi dan Rasul yang lain, apatah lah lagi kita.


Peristiwa itu sendiri menunjukkan bahawa BERDOA dan MENDOAKAN untuk orang lain adalah digalakkan dan dituntut.



Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua dan mengurniakan kita  segala kebaikan di dunia dan di akhirat nanti.


Salam Ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, May 12, 2016

Abad 21





Musim peperiksaan kan sekarang.

Menariknya jadi cikgu waktu ini ialah tak perlu berpeluh ketiak meneriakkan suara dalam kelas. Kelas sunyi sepi dan hati pun jadi tenang.

Yang menyakitkan waktu ini ialah melihat anak murid bergelimpangan tidur seolah rumah pengasuhan gaya lagaknya. Cikgu-cikgu jadi pengasuh menjaga anak-anak ini dibuai mimpi. Puas dikejut, celik matanya sekejap sahaja. Bila berpaling semula melihat ke belakang, dah tersadai semula.




Tambah menyesakkan bila usaha-usaha perbincangan dan peniruan dibuat oleh anak-anak ini. Dengan taktik , teknik dan strategi lapuk yang cikgu pun tahu.


Terfikir juga dalam fikiran saya setelah membaca dan tertawa dalam mesej whatsapp kami tadi. Sepatutnya peperiksaan abad ke21 sudah patut diubahsuai. Mungkin perlu peperiksaan ala-ala perbincangan dan pemesyuaratan. Biar ada unsur komunikasi dan kreativiti serta kolaborasi sesama mereka. Kihkihkih ....

Hai lah anak!

Bagi saya, peperiksaan dalaman berperanan dua hala. Memanglah tujuan utamanya ialah melihat sejauh mana kemampuan anak-anak ini dalam bidang akademik, tetapi secara halus dan pentingnya ialah ia juga memberi maklum balas kepada si guru tentang pengajarannya. Berkesan atau tidak. Jika dah jawapannya sama antara si X dan si Y, data ini pasti tidak berguna buat si guru menambah baik pengajarannya.

Dan meniru atau cuba meniru atau memberi tiru adalah kesalahan.

Kenapa?



Sesiapa sahaja yang bergelar guru, berjiwa guru pasti akan kecewa dengan sikap anak-anak yang cuba meniru. Walau sebesar mana pun anda, belajar di mana pun anda, meniru dalam peperiksaan atau assignment adalah satu-satunya tindakan yang tidak menghormati guru dan diri anda.

Belajarlah untuk punya integriti dalam diri. Berusaha dengan daya dan upaya sendiri. Tahu bila masanya untuk mencontohi dan bila masanya bertindak dengan idea dan akal sendiri. Biarlah satu dunia meniru , tetapi anda tahu hasil kerja anda adalah autentik , hak anda dan kepunyaan anda yang penuh. Sifat terpuji yang pasti sukar dibina.

Dan sewaktu mengisi masa lapang mengawasi pelajar-pelajar yang tekun tidur dan ada yang tekun menjawab, saya membawa penyapu dan penyodok mengelilingi kelas. Sambil menolak sampah-sampah di keliling meja seorang pelajar ini ke dalam penyodok, saya membebel.

Sampah bawah meja sendiri pun tak peduli ya?

Dia memandang saya, tersengih malu-malu kucing.

Tu bukan sampah saya, cikgu.

Jawapan yang salah tu wahai anak. Jawapan yang menjemput bebelan panjang daripada saya.

Oh! Abis tu , ni sampah sayalah ya? Sebab awak tak buat, maka awak biar je, walau duduk bawah meja awak ya? 

Dan bebelan saya bertambah panjang pagi itu.

Aduhai anak. Aduhai bangsaku.

Abad 21 sungguh .....


~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...