Sunday, May 26, 2019

Tak balik Kelantan beraya...






"Udah udah lah tu Suhaila oii..."

Saya menegur dengan suara lantang ke arah Suhaila. Murid yang lain terhenti menulis, memandang ke arah saya dan kemudian ke arah Suhaila.


Suhaila tersenyum. Perlahan beliau meletakkan pengetip kuku yang digunakannya sebentar tadi dan menyambung kerja membuat pembetulan soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun. 😃


Saya perasan memang kegemaran Suhaila agaknya, membuat tatarias kukunya sewaktu dalam kelas saya. Kelas cikgu lain, saya tak pasti. Tapi sudah beberapa kali sebelum ini memang saya perhatikan gadis kecil molek ini asyik  ralit dengan kukunya.


Yang lain terus menyambung kerja, setelah tiada peristiwa anih yang lain berlaku. 


Gadis bernama Suhaila ini baru sahaja berpindah kelas dari kelas yang lain. Putih melepak budaknya, lemah lembut dan bundar matanya. 


"Awak beraya di mana Suhaila tahun ni?"


Saya pula mengganggu kerjanya kali ini. Sengaja bertanya soalan, kerana terasa kelas yang muridnya semua perempuan ini begitu senyap sekali.


"Kelantan, cikgu" jawabnya  sambil berhenti menulis.


Oh, patutlah comel lote orangnya, bisik hati kecil saya.


"Balik dengan apa?"

"Balik dengan kereta"

"Siapa yang bawak?"

"Emak saya cikgu"

"Oh... larat mak awak drive lama-lama tu ya?"

"Oh biasanya, dia akan tidur sekejap kat RnR"

Suhaila ini adalah anak  yatim yang telah kematian bapanya semasa beliau kecil lagi. Kerana itu, berkelana balik kampung beraya bersama ibunya sahaja sudah menjadi kebiasaan.


"Saya.... "  terhenti sekejap saya bersuara, memerhati sekeliling. Mendengar suara saya terhenti beberapa murid berhenti menulis dan mengangkat kepala memandang saya.


"Saya tak pernah balik Kelantan beraya...."


Ada nada sedih dalam getar suara saya.


"Tak pernah cikgu?"

"Kenapa, cikgu?"


Beberapa pertanyaan serentak dari murid-murid kelas 4 Emerald ini terlontar sebaik mendengar pernyataan saya yang berbaur nada sedih tadi. 

Prihatin !


Memang tabii seorang perempuan rasanya, sensitif dan kepekaan yang Allah kurniakan itu adalah sifat semula jadi nilai keibuan.  Apatah lagi jika merasakan ada kesedihan dalam kalangan orang yang dikenali. 

Eh, tapi mungkin juga pertanyaan-pertanyaan itu bersifat kepochi, menjadi modal untuk membawangkan saya di belakang nanti , 😅 . 


Tapi apa pun niat bertanya, saya pasti, anak-anak murid ini bakal menjadi ibu-ibu yang hebat dengan izin Allah.


Suhaila sedang tekun menunduk , berbaju oren dalam ni .... 4E 2019.



"Kenapa cikgu tak pernah balik beraya di Kelantan, cikgu?"

Rasanya si Maisarah yang bertanya. Dia duduk antara paling hampir dengan saya. 

Saya pandang wajah Maisarah. Dalam hati rasa geli hati pula melihat wajah-wajah prihatin mereka ini.


"Yalah... saya tak pernah balik Kelantan beraya.. Sebab saya bukan orang Kelantan ...!!"


Berderai ketawa budak-budak 4 E ini.


Selamat Beribadat di penghujung Ramadan ini . Semoga Allah bagi peluang kita beroleh Lailatul Qadr.


Yang balik awal ke kampung untuk beraya, semoga selamat tiba dan kembali ke sekolah nanti.


Salam ingatan.


~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, May 22, 2019

Kematian





Seingat saya di hujung usia aruah ibu mertua saya, beliau sudah tidak mahu menonton televisyen lagi. Nikmat menonton itu Allah tarik, mungkin memberi peluang bagi beliau mengisi masanya dengan lebih berfaedah.


Setelah berlalu pergi, barulah kita perasan perubahan-perubahan dalam hari-hari terakhir hidup insan-insan yang telah pergi mendahului kita mengadap Ilahi, kan. Kata orang, kematian itu menenggelamkan semua keburukan insan-insan baik yang pergi terlebih dahulu ini. Yang akan kita kenang adalah kebaikan dan peristiwa manis bersama mereka.


Memang sudah lumrah agaknya, tabiat kita akan berubah mengikut peredaran usia. 


Saya yang merupakan kaki TV semasa muda dahulu, makin tidak berminat menonton televisyen lewat usia ini. Waktu dulu, pantang TV terpasang sahaja, saya akan duduk melekat berjam-jam, menonton dari satu siaran ke satu siaran tanpa jemu.


Terutama filem Melayu atau drama Melayu. Itu memang dah jadi 'feberet'.


Ke mana hilangnya tabiat itu pun, saya tak tahulah pulak. Baguslah juga, kan, bila dah tua-tua macam ni, takkan lah masih nak melekat kat TV menonton segala program realiti dan drama yang tak berkesudahan.


Cuma hari ini bukan hendak bercerita tentang menonton TV.


Sewaktu memasak untuk berbuka, saya memasang Channel Youtube kegemaran. Dah tua-tua ni, suka pula mendengar ceramah agama. Terkini, ustaz kegemaran saya ialah Ustaz Shamsuri Hj Ahmad. Hadis yang dibaca beliau dalam klip video yang saya dengar itu ialah tentang kewafatan anak perempuan Nabi Muhammad s.a.w.






Klip video ini mengingatkan saya kepada bekas anak murid saya yang baru sahaja kematian bayi pertama beliau. Ujian maha hebat bagi insan-insan hebat. 


Kematian anak bukanlah satu perkara kecil. Rindu dan kesedihan  yang ditanggung oleh ibu dan ayah terhadap anak yang dijemput Ilahi itu pastinya tidak terbendung oleh yang empunya diri. Rasa yang tidak boleh dikongsi dan pasti tidak akan surut dek masa.

Allah itu Maha Kaya dan Maha Bijaksana. Pujukan Allah adalah pujukan yang benar dan pasti. 


Redha ibu bapa yang kematian anaknya Allah janjikan sebuah rumah syurga yang diberi nama 'Rumah puji-pujian' (minit ke 8:16 video tersebut).


MashaAllah.



Syafaat Anak Kecil Untuk Ibu bapa


Hidup di dunia ini sebentar sahaja. 


Dan alangkah berbahagianya ibu bapa ini yang pastinya nanti ditunggu oleh anak-anak mereka. Anak-anak ini tidak akan melepaskan ibu bapa mereka itu nanti sehinggalah Allah memasukkan ibu bapa tersebut ke dalam syurga.

Allah. 


Saya mendoakan semoga mereka yang diuji Allah dengan ujian hebat, Allah kurniakan hadiah yang terbaik buat mereka di dunia dan akhirat nanti. Moga ujian-ujian ini menambahkan iman mereka dan iman kita semua dan menjadi asbab untuk dimasukkan kita semua dalam syurgaNya tanpa hisab.

Selamat beramal semua dalam bulan yang penuh barakah ini.


Salam ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...