"Udah udah lah tu Suhaila oii..."
Saya menegur dengan suara lantang ke arah Suhaila. Murid yang lain terhenti menulis, memandang ke arah saya dan kemudian ke arah Suhaila.
Suhaila tersenyum. Perlahan beliau meletakkan pengetip kuku yang digunakannya sebentar tadi dan menyambung kerja membuat pembetulan soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun. 😃
Saya perasan memang kegemaran Suhaila agaknya, membuat tatarias kukunya sewaktu dalam kelas saya. Kelas cikgu lain, saya tak pasti. Tapi sudah beberapa kali sebelum ini memang saya perhatikan gadis kecil molek ini asyik ralit dengan kukunya.
Yang lain terus menyambung kerja, setelah tiada peristiwa anih yang lain berlaku.
Gadis bernama Suhaila ini baru sahaja berpindah kelas dari kelas yang lain. Putih melepak budaknya, lemah lembut dan bundar matanya.
"Awak beraya di mana Suhaila tahun ni?"
Saya pula mengganggu kerjanya kali ini. Sengaja bertanya soalan, kerana terasa kelas yang muridnya semua perempuan ini begitu senyap sekali.
"Kelantan, cikgu" jawabnya sambil berhenti menulis.
Oh, patutlah comel lote orangnya, bisik hati kecil saya.
"Balik dengan apa?"
"Balik dengan kereta"
"Siapa yang bawak?"
"Emak saya cikgu"
"Oh... larat mak awak drive lama-lama tu ya?"
"Oh biasanya, dia akan tidur sekejap kat RnR"
Suhaila ini adalah anak yatim yang telah kematian bapanya semasa beliau kecil lagi. Kerana itu, berkelana balik kampung beraya bersama ibunya sahaja sudah menjadi kebiasaan.
"Saya.... " terhenti sekejap saya bersuara, memerhati sekeliling. Mendengar suara saya terhenti beberapa murid berhenti menulis dan mengangkat kepala memandang saya.
"Saya tak pernah balik Kelantan beraya...."
Ada nada sedih dalam getar suara saya.
"Tak pernah cikgu?"
"Kenapa, cikgu?"
Beberapa pertanyaan serentak dari murid-murid kelas 4 Emerald ini terlontar sebaik mendengar pernyataan saya yang berbaur nada sedih tadi.
Prihatin !
Memang tabii seorang perempuan rasanya, sensitif dan kepekaan yang Allah kurniakan itu adalah sifat semula jadi nilai keibuan. Apatah lagi jika merasakan ada kesedihan dalam kalangan orang yang dikenali.
Eh, tapi mungkin juga pertanyaan-pertanyaan itu bersifat kepochi, menjadi modal untuk membawangkan saya di belakang nanti , 😅 .
Tapi apa pun niat bertanya, saya pasti, anak-anak murid ini bakal menjadi ibu-ibu yang hebat dengan izin Allah.
Suhaila sedang tekun menunduk , berbaju oren dalam ni .... 4E 2019. |
"Kenapa cikgu tak pernah balik beraya di Kelantan, cikgu?"
Rasanya si Maisarah yang bertanya. Dia duduk antara paling hampir dengan saya.
Saya pandang wajah Maisarah. Dalam hati rasa geli hati pula melihat wajah-wajah prihatin mereka ini.
"Yalah... saya tak pernah balik Kelantan beraya.. Sebab saya bukan orang Kelantan ...!!"
Berderai ketawa budak-budak 4 E ini.
Selamat Beribadat di penghujung Ramadan ini . Semoga Allah bagi peluang kita beroleh Lailatul Qadr.
Yang balik awal ke kampung untuk beraya, semoga selamat tiba dan kembali ke sekolah nanti.
Salam ingatan.
~cikgunormah@klcitizen~