Seingat saya di hujung usia aruah ibu mertua saya, beliau sudah tidak mahu menonton televisyen lagi. Nikmat menonton itu Allah tarik, mungkin memberi peluang bagi beliau mengisi masanya dengan lebih berfaedah.
Setelah berlalu pergi, barulah kita perasan perubahan-perubahan dalam hari-hari terakhir hidup insan-insan yang telah pergi mendahului kita mengadap Ilahi, kan. Kata orang, kematian itu menenggelamkan semua keburukan insan-insan baik yang pergi terlebih dahulu ini. Yang akan kita kenang adalah kebaikan dan peristiwa manis bersama mereka.
Memang sudah lumrah agaknya, tabiat kita akan berubah mengikut peredaran usia.
Saya yang merupakan kaki TV semasa muda dahulu, makin tidak berminat menonton televisyen lewat usia ini. Waktu dulu, pantang TV terpasang sahaja, saya akan duduk melekat berjam-jam, menonton dari satu siaran ke satu siaran tanpa jemu.
Terutama filem Melayu atau drama Melayu. Itu memang dah jadi 'feberet'.
Ke mana hilangnya tabiat itu pun, saya tak tahulah pulak. Baguslah juga, kan, bila dah tua-tua macam ni, takkan lah masih nak melekat kat TV menonton segala program realiti dan drama yang tak berkesudahan.
Cuma hari ini bukan hendak bercerita tentang menonton TV.
Sewaktu memasak untuk berbuka, saya memasang Channel Youtube kegemaran. Dah tua-tua ni, suka pula mendengar ceramah agama. Terkini, ustaz kegemaran saya ialah Ustaz Shamsuri Hj Ahmad. Hadis yang dibaca beliau dalam klip video yang saya dengar itu ialah tentang kewafatan anak perempuan Nabi Muhammad s.a.w.
Klip video ini mengingatkan saya kepada bekas anak murid saya yang baru sahaja kematian bayi pertama beliau. Ujian maha hebat bagi insan-insan hebat.
Kematian anak bukanlah satu perkara kecil. Rindu dan kesedihan yang ditanggung oleh ibu dan ayah terhadap anak yang dijemput Ilahi itu pastinya tidak terbendung oleh yang empunya diri. Rasa yang tidak boleh dikongsi dan pasti tidak akan surut dek masa.
Allah itu Maha Kaya dan Maha Bijaksana. Pujukan Allah adalah pujukan yang benar dan pasti.
Redha ibu bapa yang kematian anaknya Allah janjikan sebuah rumah syurga yang diberi nama 'Rumah puji-pujian' (minit ke 8:16 video tersebut).
MashaAllah.
Syafaat Anak Kecil Untuk Ibu bapa |
Hidup di dunia ini sebentar sahaja.
Dan alangkah berbahagianya ibu bapa ini yang pastinya nanti ditunggu oleh anak-anak mereka. Anak-anak ini tidak akan melepaskan ibu bapa mereka itu nanti sehinggalah Allah memasukkan ibu bapa tersebut ke dalam syurga.
Allah.
Saya mendoakan semoga mereka yang diuji Allah dengan ujian hebat, Allah kurniakan hadiah yang terbaik buat mereka di dunia dan akhirat nanti. Moga ujian-ujian ini menambahkan iman mereka dan iman kita semua dan menjadi asbab untuk dimasukkan kita semua dalam syurgaNya tanpa hisab.
Selamat beramal semua dalam bulan yang penuh barakah ini.
Salam ingatan.
~cikgunormah@klcitizen~