Sunday, October 28, 2018

Tabiat yang anak murid ingat ...






"Ilmu ini bukan milik saya ..."

Kata-kata itu masih terlekat dalam kepala saya sejak dari mula mendengar penceramah yang memang saya kenal itu memulakan bicaranya. Benarlah seperti yang dikata. Ilmu yang kita ada saat ini bukan hak milik mutlak kita. Daripada Allah ilmu itu datang dan kepadaNya juga satu hari nanti ia akan dikembalikan.

Dan benarlah, semakin kita berkongsi, semakin kaya kita dengan apa yang kita kongsikan itu. Berkongsi rezeki yang sedikit, pasti rezeki kita akan mencurah nanti. Memang itu janji Allah, kan.


Teruja saya membaca sinopsis pembentangan bekas anak murid saya ini semasa  membelek-belek buku program saat itu. Dewan Ekovest Convention Hall di SJKC Wang Maju , KL , itu hampir 3/4 sudah dipenuhi dengan jemputan yang hadir dan lampu spotlight  yang ada mengganggu tumpuan saya. Pun begitu, saya bangga melihat nama beliau tercetak dan berhasrat untuk duduk dalam bengkelnya nanti.

Sebahagian hari Sabtu saya hari itu diisi dengan perkongsian guru dalam Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Pendidikan 2018 anjuran PPD Keramat Smart.

"Saya ingat bila cikgu masuk je, mesti tanya tentang movie terbaru.."

Oh... 😜

Bekas anak murid saya itu memberitahu, semasa sedang menunggu bilik bengkel dipenuhi dengan peserta yang lain. Waaaah... perkara tak penting itu yang diingat si Lutfi ni. Hahaha...

Itu memang tak dinafikan. Saya memang suka sangat menonton movie. Pantang  ada movie baru yang best, pasti akan saya dan suami cari peluang menontonnya. Dan jika jalan cerita itu menarik, acap kali juga saya berkongsi cerita dalam kelas semasa mengajar.

Tak sangka juga  bekas murid saya  ini masih ingat tabiat saya yang satu itu.



Setelah berbelas tahun, akhirnya sang guru menjadi murid pula kepada bekas anak muridnya. Alhamdulillah, Allah bagi peluang dan ruang bagi saya menambah ilmu. Ilmu mengguna aplikasi Telegram untuk menjalankan pembelajaran kendiri buat anak-anak murid generasi Y dan Z sekarang. Kemahiran baru yang bagi generasi X seperti saya ini agak kelam kabut juga hendak menguasainya.



"Cikgu ajar saya masa saya Ting 2 dan Ting 3 dulu, cikgu..."  

Sopan si Lutfi menjelaskan bila saya bertanya. Umur belasan tahun waktu itu ya, dan saya kira sekarang mungkin umurnya sudah di awal 30 an. Orang rumah beliau pun sekarang ini merupakan rakan sekerja saya di sekolah. 

Mengingat kembali sesi menuntut ilmu dari bekas anak murid, terasa berbangga saya menjadi seorang guru. Saya pasti ramai juga guru-guru lain yang berbangga bila menghadapi situasi seperti ini. Walaupun, saya pasti pengajaran saya tidaklah sebaik mana pun, namun saya berdoa moga kerja bakti saya selama ini dinilai Allah sebagai amalan yang membawa pahala.

Oh ... baru teringat. Pagi itu sebelum hendak menghadiri persidangan tersebut, terserempak juga dengan bekas anak murid yang lain, memberitahu isterinya di HKL sedang menunggu kelahiran anak mereka yang ketiga. 

"Oh... saya ingat cikgu dah pencen dah...." ujar beliau bila diberitahu yang saya masih punya beberapa tahun lagi untuk bersara. Aduiii.... agaknya dah nampak sangat ketuaan diri ni, sampaikan bekas anak murid pun dah beranggapan yang saya dah masuk golongan YB.

😂

Apa-apa pun, saya mendoakan untuk semua bekas-bekas anak murid saya, semoga Allah mengurniakan kejayaan dunia akhirat buat kalian. Selamat menyumbang buat negara dan moga segala kerja buat kita menjadi amalan baik yang diterima Allah.


Salam bangga.



~cikgunormah@klcitizen~












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 22, 2018

Begini caranya saya hilangkan 6 kg .... tanpa sebarang produk!




Uish tengok tajuk tu!! 😅

Sebenarnya nak tumpang femes dengan tajuk hilang 10 kg dalam sebulan di siraplimau

Sebulan tu, hilang 10 kg! Kalau guna ilmu Matematik yang cikgu2 saya ajarlah, dalam sehari dianya hilang berat 300 g. Wow!!

Artikel tu sahaja dah dishare sebanyak 27.2K. Kalau guna sekali lagi ilmu Matematik, nak tulis 27.2K kali tu, kita tulis 27, 200 kali. Ish...ish...

Balik dari berjalan kaki tadi petang, semangat sungguh saya nak menulis tentang tajuk ini. Sepanjang berjalan sambil mata mengerling kiraan langkah pada jam tangan, saya sudah mengarang-ngarang ayat bagaimana hendak mulakan, kembangkan dan akhirkan tulisan saya dalam blog yang tak sampai pun 100 orang yang membaca ..kahkahkah.

Tapi bila dah mula menaip ni, aduiii... kakunya la hai, nak mengarang ayat.

Saya cuma nak merakamkan perjalanan cubaan mendietkan diri saya yang sejak beberapa tahun ini asyik menemui jalan buntu. Pengetahun tentang pemakanan rasanya boleh mengalahkan mana-mana dietician atau nutrionist  yang ada. 

Masuk gym keluar gym dah beberapa kali, lari pusing stadium berdekatan rumah pun dah dibuat. Tahan makan pun dah cuba, tapi tak tahan mana lah pun kan. 😅

Cuma tahun ini ada sedikit kelainan yang menyebabkan bunga-bunga harapan untuk mengurangkan berat badan itu makin mengembang. Saya tak join geng-geng fitness ber'coach'dalam whatsapp group yang sekarang tumbuh macam cendawan selepas hujan. Kenapa? Sebab saya ni bukan jenis kuat disiplinnya. Selalunya hangat-hangat .... , lebih hangat tahi ayam dari hangat azam saya.

Yang sedikit lainnya tahun ini ialah , saya mulakan pengembaraan tak berpenghujung diet saya ni dengan merekod kalori makanan yang saya makan. Bermula dari bulan Mei 2018 saya dengan gigihnya merekod kalori setiap apa yang saya makan. Mana yang saya tak tahu berapa kalori sebenar makanan yang saya makan, saya buat prinsip hentam sajalah labu.

Testimoninya? Adalah penurunannya, Alhamdulillah.

Kemudian saya mula berjinak-jinak berjalan kaki setiap petang. Konon-konon cuba mencapai langkah 10,000 langkah dalam sehari. Yang ini pun banyak membantu . Sebenarnya lebih membantu kepada sakit tumit saya berbanding turun berat badan. 

Dalam masa ini saya dah ada buddy berdiet. BFF saya pun ikut sama. Dan semangat nak beriadah serta mengawal cara makan pun makin bertambah.

Tapi, yang terlebih menariknya, di sekolah, ada rakan guru yang bersemangat menjalankan pertandingan Fat to Fit.  



Bagi sebahagian peserta program ini, pertandingan ini  merupakan persediaan bagi memakai pakaian ala Bollywood sempena Jamuan Akhir Tahun. Bagi sebahagian yang lain, sekadar memberi sokongan moral dan ikut suka-suka. Macam orang kata, untung sabut hilang berat, untung batu tambah lagi berat.

Sebenarnya tajuk saya harini bukanlah turun berat 6 kg dalam sebulan ....., tipu tu! Tapi sejak bulan Mei tu memang turunlah berat badan saya sedikit.




Tu gambar salah seorang rakan kerja saya, sebelum dan semasa sedang  menyertai Pertandingan Fat to Fit .  Memang gigih !! Memang workout setiap minggu tu. Panjat bukit, jogging, tabata la segalanya. Aduiiii... dengar saja pun macam dah kecut lemak-lemak saya.

Cuma bila saya perhatikan, memang rakan kerja saya ini tampak lebih muda, bertenaga dan cergas sekarang ini berbanding dulu-dulu.

Harapan saya, moga usaha berdiet saya ini membuahkan hasil yang baik, dan doa saya juga moga rakan-rakan seperjuangan dalam Fat to Fit bertambah sihat, cergas dan bertenaga.

Jom amalkan cara hidup sihat !!

Salam sihat .

~cikgunormah@klcitizen~

ps : macam kempen gaya hidup sihat la pulak 





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, October 11, 2018

Malu dengan anak murid ..




Antara seronoknya menjadi guru ini ialah bila terserempak dengan bekas anak murid. Kalau tak terserempak pun, seronok juga bila ditag dalam media sosial oleh anak murid yang dah bertahun tak jumpa. Terasa bertuah kerana masih diingati, walaupun diri sendiri ini dah semakin sukar nak mengingati anak-anak murid.


Melangkah sahaja kaki ini keluar dari lif, mata melilau mencari nombor bilik pada dinding. Sudah kali kedua saya sampai di tempat ini, tetapi masih arah tuju dan haluan perlu dipandu oleh signage di dinding.

"Eh.... ni mis... mis...?"  

Suara perempuan yang baru keluar dari pintu yang sedang saya tuju, seperti sudah lama mengenali saya membuatkan saya terkejut.

"Normah, saya Normah ..." 

Saya segera memperkenalkan diri. Tidak mahu dia memanggil saya dengan nama aruah ayah saya. 😁

"Ya, ya... Cikgu Normah. Saya dulu belajar dengan cikgu..."

Saya tersenyum. Ah, sudah.....

Situasi seperti inilah yang mendebarkan. Malu pun ada. Bukan kerana dikenali sebagai cikgu itu memalukan. Tapi, tidak ingat yang di hadapan ini siapa. Namanya apa? Tahun bila saya mengajar beliau? Kenapa wajahnya langsung saya tak cam? Adui..dui...dui

"Oh.... saya minta maaf. Saya memang tak ingat langsung. Tahun bila ya belajar dengan saya. Kelas mana dulu?"

Berterus-terang itu lebih baik kan. 

"Dah lama cikgu. Masa saya form 4 dulu. Sekarang pun umur saya dah 31 tahun..."

Waduhhh.. Patutlah tak ingat. Dah 15 tahun lepas. Benda yang kelmarin dulu pun saya tak berapa nak ingat, apatah lagi benda yang 15 tahun dulu.

Melihat anak kecil di sisinya, terasa diri semakin tua. Bekas anak murid dah jadi mak dan bapa orang, sudah berkeluarga dan bekerjaya. Ini rupanya rasa bekas guru-guru saya bila bekas anak murid menegur dan masih mengingati.

Terima kasih kepada semua anak-anak murid yang telah saya ajar.  Terima kasih kerana hadir dalam jalur hidup saya dan turut mewarnai hidup saya. Tidak kiralah siapa.  Terimakasih ini saya tujukan kepada semua, sama ada yang masih ingat atau pun yang dah terlupa siapa cikgu Sains/cikgu Kimianya. Minta maaf atas salah silap semasa saya mengajar, sama ada lambat masuk ke kelas, terkasar kata, tidak menepati janji atau tidak memberi perhatian yang sewajarnya buat kalian.

Saya hanya manusia biasa, cuba untuk menjadi lebih baik pada hari-hari  esok saya.  Nak menjadi cikgu ni pun dah tak lama. Tinggal beberapa tahun sahaja lagi dalam perkhidmatan. Itu pun kalau Allah izinkan. 

Oh tetiba emo pulak ... 😃

Bukan apa, sesekali teringat dan memuhasabah diri, kan. Memohon maaf selagi boleh.

Saya doakan kalian semua dikurniakan Allah kejayaan hidup dunia akhirat, bahagia hidup dan dapat berbakti kepada yang sepatutnya.

Salam ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...