Showing posts with label merepek. Show all posts
Showing posts with label merepek. Show all posts

Sunday, October 28, 2018

Tabiat yang anak murid ingat ...






"Ilmu ini bukan milik saya ..."

Kata-kata itu masih terlekat dalam kepala saya sejak dari mula mendengar penceramah yang memang saya kenal itu memulakan bicaranya. Benarlah seperti yang dikata. Ilmu yang kita ada saat ini bukan hak milik mutlak kita. Daripada Allah ilmu itu datang dan kepadaNya juga satu hari nanti ia akan dikembalikan.

Dan benarlah, semakin kita berkongsi, semakin kaya kita dengan apa yang kita kongsikan itu. Berkongsi rezeki yang sedikit, pasti rezeki kita akan mencurah nanti. Memang itu janji Allah, kan.


Teruja saya membaca sinopsis pembentangan bekas anak murid saya ini semasa  membelek-belek buku program saat itu. Dewan Ekovest Convention Hall di SJKC Wang Maju , KL , itu hampir 3/4 sudah dipenuhi dengan jemputan yang hadir dan lampu spotlight  yang ada mengganggu tumpuan saya. Pun begitu, saya bangga melihat nama beliau tercetak dan berhasrat untuk duduk dalam bengkelnya nanti.

Sebahagian hari Sabtu saya hari itu diisi dengan perkongsian guru dalam Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Pendidikan 2018 anjuran PPD Keramat Smart.

"Saya ingat bila cikgu masuk je, mesti tanya tentang movie terbaru.."

Oh... 😜

Bekas anak murid saya itu memberitahu, semasa sedang menunggu bilik bengkel dipenuhi dengan peserta yang lain. Waaaah... perkara tak penting itu yang diingat si Lutfi ni. Hahaha...

Itu memang tak dinafikan. Saya memang suka sangat menonton movie. Pantang  ada movie baru yang best, pasti akan saya dan suami cari peluang menontonnya. Dan jika jalan cerita itu menarik, acap kali juga saya berkongsi cerita dalam kelas semasa mengajar.

Tak sangka juga  bekas murid saya  ini masih ingat tabiat saya yang satu itu.



Setelah berbelas tahun, akhirnya sang guru menjadi murid pula kepada bekas anak muridnya. Alhamdulillah, Allah bagi peluang dan ruang bagi saya menambah ilmu. Ilmu mengguna aplikasi Telegram untuk menjalankan pembelajaran kendiri buat anak-anak murid generasi Y dan Z sekarang. Kemahiran baru yang bagi generasi X seperti saya ini agak kelam kabut juga hendak menguasainya.



"Cikgu ajar saya masa saya Ting 2 dan Ting 3 dulu, cikgu..."  

Sopan si Lutfi menjelaskan bila saya bertanya. Umur belasan tahun waktu itu ya, dan saya kira sekarang mungkin umurnya sudah di awal 30 an. Orang rumah beliau pun sekarang ini merupakan rakan sekerja saya di sekolah. 

Mengingat kembali sesi menuntut ilmu dari bekas anak murid, terasa berbangga saya menjadi seorang guru. Saya pasti ramai juga guru-guru lain yang berbangga bila menghadapi situasi seperti ini. Walaupun, saya pasti pengajaran saya tidaklah sebaik mana pun, namun saya berdoa moga kerja bakti saya selama ini dinilai Allah sebagai amalan yang membawa pahala.

Oh ... baru teringat. Pagi itu sebelum hendak menghadiri persidangan tersebut, terserempak juga dengan bekas anak murid yang lain, memberitahu isterinya di HKL sedang menunggu kelahiran anak mereka yang ketiga. 

"Oh... saya ingat cikgu dah pencen dah...." ujar beliau bila diberitahu yang saya masih punya beberapa tahun lagi untuk bersara. Aduiii.... agaknya dah nampak sangat ketuaan diri ni, sampaikan bekas anak murid pun dah beranggapan yang saya dah masuk golongan YB.

😂

Apa-apa pun, saya mendoakan untuk semua bekas-bekas anak murid saya, semoga Allah mengurniakan kejayaan dunia akhirat buat kalian. Selamat menyumbang buat negara dan moga segala kerja buat kita menjadi amalan baik yang diterima Allah.


Salam bangga.



~cikgunormah@klcitizen~












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, July 22, 2015

Adui..dui..dui





Walau pun bosan itu bersarang dalam hati ini mengadap status-status yang tertera, tetap jari ini menguis skrin. Satu, satu status dilihat, dibaca, dihadam dan cuba difahami.
Gambar-gambar pelbagai warna, aksi dan 'caption' tetap juga saya tatap.

Bosan.

Apatah lagi mengadap komen-komen berbungakan ayat-ayat sampah, maki hamun tak sudah. Melayu kita lah. Bahasa kita, orang kita.

Terlebih lagi jika status/'post' tersebut menjadi 'viral'. Para pengomen yang positif serta negatif berdedai melayan satu sama lain. Dan tetap kadang-kadang saya baca satu-satu. Dan rasa bosan serta menyampah itu bertambah.

Ke mana agaknya pergi budaya Melayu yang indah berbahasa? Berkias dalam amarahnya. Tidak celupar dalam tinta yang tersurat. Dalam maksud yang tersirat serta bijak menyusun kata. Di manakah agaknya generasi tersebut?

Dan kita berkokok ingin memartabatkan bangsa dengan carutan serta makian. Sadis dan tragis.

Kita mahu agar Melayu itu diwarnakan sentiasa dengan santun dan sopan. Tetapi dalam masa yang sama kita menjerit dan terpekik. Adakah semakin benar dan semakin betulnya kita, maka semakin kuat lolongan dan pekikan yang perlu kita dengarkan?

Melayu yang bagaimanakah yang kita mahu hasilkan nanti? Berpaksikan apakah kemelayuan itu kelak, jika tutur kata yang terhambur dan tertinta berupa kata-kata kesat kerana orang lain tidak sependapat dengan kita?

Semudah A, B, C kita mengatakan orang itu dan orang ini. Pendapat kita jika disanggah, menjadi penyebab makian, hinaan dan lantas kita membodohkan orang lain. Tertulis jelas supaya seantero maya boleh membaca.

Sedih.

Apatah lagi kalau yang menulis itu usianya seangkatan saya. Lewat 40an, tetapi bahasa yang dipilih untuk menyuarakan rasa dan fikirnya adalah bahasa kasar dan tidak selayaknya.
Terlebih menyedihkan apabila perangai ini tidak mengira jantina. Lelaki atau perempuan sama naik, dan sama hebatnya. Berlawan satu sama lain, siapa yang lebih hebat menggunakan bahasa kesat.

Dan alasannya?

Kalau guna bahasa baik-baik, bukannya diorang paham pun.
Adui.. dui.. dui.

Melayu sungguh.
~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, December 19, 2012

Cari suami di stesen minyak




Kita semua adalah pembawa kantung-kantung najis yang bergerak. Perkara yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa sebenarnya. Usus besar kita yang panjangnya secara purata adalah 1.5 meter, menjadi destinasi terakhir dalam sistem penghadaman. Dan di sinilah bahan buangan dari badan dalam bentuk pepejal yang kita kenali sebagai najis disimpan sebelum di buang.


Orang kata kalau nak cergas sepanjang hari, pagi-pagi mestilah berusaha untuk membuang air besar.

Kenapa?  


Yalah, bahan najis tu kan toksik , dan jika lama disimpan dalam badan, tentulah tidak sihat untuk kita. Bayangkan kalau dalam rumah kita, kita simpan sampah sarap makanan semalam tak dibuang. Tentu udara dalam rumah itu sendiri tidak sihat, kan.


Dan pagi itu, agak lewat rasa hendak membuang air terbit. Puas juga berusaha di pagi-pagi buta, tetapi mungkin sebab rasa teruja  benar hendak keluar berjalan dengan rakan baik,  rutin biasa tidak menjadi. Ah, dalam hati sudah khuatir, takut kalau sedang memandu di highway, tuntutan tabii waktu pagi menyinggah.  Jenuh juga nanti hendak mencari tempat sesuai.


Dan seperti yang diagak, baru hendak memulakan perjalanan setelah mengambil rakan baik, rasa yang tidak mahu terbit pada waktu yang sepatutnya, mengasak-asak menuntut ingin dilunasi segera.


Waduh...


Tandas awam di stesen minyaklah menjadi medan kunjungan.


Alhamdulillah, hanya ada satu sahaja tandas yang boleh diguna . Tandas biseksual dan yang pentingnya tandas tersebut dijaga dengan baik.


Cumanya, pengunjung yang berkunjung sahajalah yang kurang baik, saya kira.


Tel  017 - 268 xxxx , Biaxxx, mencari suami.


Oh, ada dua kemungkinan, kata hati saya, tatkala membaca 'iklan percuma' ditulis dengan pen marker hitam  yang terpampang di dinding tandas. Pertamanya, mungkin suaminya hilang. Banyak juga kes orang yang tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan, kan. Mungkin, si penulis berharap jika suaminya terbaca, bersegeralah menelefon dia semula. Rindu, mungkin.  Kalau begitulah senarionya, terpaksalah si penulis, menulis di setiap tandas yang ada di seluruh Malaysia ni, kan.


Atau, mungkin juga, penulis adalah wanita bujang dan ingin menamatkan hidup membujangnya itu. Mencari bakal suami di dalam tandas. Oh, ini teknik terbaru, mungkin. 


Bakal suami yang bagaimanakah agaknya yang  boleh diperolehi dengan menulis iklan  percuma di dalam tandas? 


Musykil jugak saya....


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, October 12, 2012

penat, kan ... !

Hari ini ialah hari Jumaat. Penghulu segala hari. Ada beberapa hadis yang membicarakan soal tingginya darjat hari Jumaat ini. Kelebihannya dan keindahan hari Jumaat itu, sebenarnya.

Bukan. 

Saya bukan ingin membicarakan tentang hari Jumaat.

Saya bukan pakar hadis atau ahli ugamawan.

Saya cuma seorang guru, isteri dan seorang ibu. Yang punya banyak kurang dan lemahnya. Baik dan lebihnya tak banyak mana. Hebat dan bagusnya hanya superficial, bersifat luaran sahaja. 
"Penatnya jadi pompuan"
Mesej itu tertera di skrin telefon bimbit saya semalam. Mengetuk-ngetuk fikiran . Berulang kali ia menggaris dalam hati walau sudah penat saya cuba menguis dan menolak dari hadir .

Penatkah menjadi seorang perempuan?

Bagaimana pula keadaannya menjadi seorang  lelaki ?  Kurang penat? Sama penat? Atau lebih penat?

Soalan yang sangat relatif sebenarnya kan. Bukannya boleh diukur mengguna dacing elektronik atau yang sejenis dengannya. Soalan yang tiada jawapan salah atau betul dan juga tidak boleh digredkan mengikut sistem pemarkahan institusi mana pun.

Umur berapa sekarang?

Itu soalan saya kepada sahabat yang meluah rasa .

36

Kenapa setelah 36 tahun baru merasa penat menjadi seorang perempuan?

Sengaja saya bertanya. Ingin tahu.

Kerana makin banyak yang kena dibuat sekarang.

Saya mengandaikan kerja yang perlu dibuat adalah kerja-kerja di rumahnya. Kerana apabila mengaitkan penatnya menjadi seorang perempuan tentulah berkait dengan hal rumah tangga. Lainlah kalau sahabat itu mengadu penatnya menjadi seorang cikgu.

Secara idealnya, rumahtangga adalah sebuah institusi perkongsian. Berkongsi amanah, keinginan dan impian. Dan perkara yang dikongsi bersama, biasanya akan menjadi ringan walau berat mana pun ia kelihatan.

Bukan begitu?

Tetapi realitinya? 

Bukan semua rumahtangga adalah medan sebuah perkongsian. Kadang, ia menjadi sebuah medan pertempuran. Medan perdebatan. Medan perebutan. Medan menunjuk kuasa dan menerima . Medan penyerahan diri tanpa kompromi.

Menyakitkan dan sangat memenatkan.

Bagaimana boleh terjadi perkara sedemikian?

Bukankah asas pembinaan sebuah perkahwinan itu selalunya dimulakan dengan kasih dan sayang, rindu dendam dan saling memerlukan. Namun, masa  dan kematangan bersama usia yang meningkat menambah sedar bahawa rindu dendam itu boleh bertukar  menjadi geram, kasih dan sayang boleh mendatar  serta menghaus dan saling memerlukan itu boleh berengsot pergi perlahan.

Itu hakikat.

Bukan ilusi atau mimpi.

Segalanya adalah ujian. Kehadiran kita di dunia ini sememangnya adalah untuk diuji. Tidak kiralah sebagai lelaki atau sebagai seorang perempuan. 

Penat?

Semua orang pasti akan merasa penat.

Tapi yang saya pasti, ikatan sebuah rumahtangga itu jika ikhlas hati-hati yang mendokongnya, Allah akan menghilangkan penat tersebut, satu hari nanti. 

Bersabarlah kawan. Dan bersabarlah diri.

Salam Jumaat semua!! Hujan di luar sana sekarang.



~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, August 9, 2012

mencari barang

sumber

Suami mengisyaratkan kepalanya ke arah saya, bertanya apa yang sedang saya cari.

Jam sudah pukul 915 pagi. Saya masih lagi di rumah. Sudah berpakaian lengkap hendak ke sekolah.

Saya memberi isyarat dengan tangan dan jari pula, memusing-musing pergelangan tangan, memberi tahu saya sedang mencari kunci kereta. Macam pasangan bisu pulaklah kami waktu itu.

Sebenarnya suami sedang bekerja. Di rumah. Dari rumah. Untuk hari itu sahaja. Dan sedang berada di atas talian dengan superiornya, serta tidak mahu diganggu.

Best juga sekali-sekala jika berpeluang bekerja dari rumah, kan. Saya kira ramai juga rakan-rakan di luar sana yang memang berpeluang membuat kerja dari rumah dan bila perlu sahaja punch-in ke pejabat kan.

Kalau cikgu, rasanya tak berpeluanglah hendak bekerja dari rumah, tapi kalau membawa kerja pulang ke rumah, memang tak payah nak cakaplah, kan.

Oh, nak bercerita tentang kunci kereta saya tadi. Masih belum habis bercerita, sudah masuk ke topik lain pulak.

Sekejap keluar, sekejap ke dalam. 

Mencari kunci kereta.

Menonggeng pulak, mana tahu kunci tersebut terjatuh dari tempat bergantungnya yang sepatutnya dan terlindung di celah almari di bawah.

Berpeluh!

Risau pulak kalau nanti terpaksa meminta tolong suami menghantar saya ke sekolah. Sebab pasti bebelannya ibarat bebelan marathon olimpik 2012. 

Ulanglah baca al-Haq kalau mencari barang hilang.

Teringat rakan baik memberi pesan hari itu tatkala mencari cermin mata yang tersalah letak. Oh... hari sebelumnya mencari cermin mata, dan waktu itu  pula mencari kunci kereta. Adui...

Menarik nafas dalam-dalam, saya menyusuri semula perjalanan balik petang sebelumnya. Tidur awal malam sebelumnya akibat serangan gastrik , loya dan sakit kepala. Walau tidak teruk mana, tapi memberi kesan juga pada rutin berpuasa.

Oh , sebelum itu lagi?

Baru saya teringat!

Bergegas saya ke dapur, membuka freezer. Menyelongkar. Udang dan sotong yang saya beli petang sebelumnya masih ada, keras, kejang , kaku. Dan di celahnya....

Ya... kunci kereta saya!

Semalaman kunci kereta saya berdingin dalam peti sejuk rupanya !

Alahai.

Allah lah yang bagi ilham mencari di dalam peti sejuk. Kalau tidak sampai waktu memasak nanti barulah berjumpa semula dengan kunci tersebut kan.


*pinky cheek 


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 15, 2012

makan gambar

“Tell your secret to the wind, but don't blame it for telling the trees.” ~ Khalil Gibran

Petikan frasa di atas tidak berkait langsung dengan apa yang tergaris dalam kepala saya sekarang. Saya hanya terpikat dengan baris dan maksud yang dibawa oleh penyair yang terkenal tersebut, Khalil Gibran , anak kelahiran Lebanon dari keluarga berpegangan agama Kristian. Terbaca petikan itu sewaktu membelek novel yang masih belum sudah saya baca.

Akhir-akhir ini tumpuan saya beralih arah.

Kurang membaca.

Biasalah. Fasa-fasa kehidupan kadang berubah. Dan perubahan sentiasa menambah warna dalam hidup.

Boleh tahan jugak ....

Katanya berhenti di situ.

Itu yang saya fikir.

... hodohnya muka saya!

Oh, rupanya dia menyambung semula. 

Hampir sama rupanya perangai sahabat saya itu dengan saya dari segi itu. Tidak gemar menatap gambar foto sendiri .

Saya lihat semula gambar fotonya. 

Sebenarnya tidak ada yang cacat pun dalam gambar tersebut. Wajahnya masih cantik seperti yang saya pandang di luar foto. Kulit pipinya juga masih mulus dalam foto seperti realiti fizikal. 

Tapi tetap rasa tidak suka dia terhadap fotonya itu disebut.

Ah. Saya pun sebenarnya begitu. Paling tidak suka menatap gambar foto sendiri. Ada saja yang tidak kena pada mata saya. Lewat ini, yang paling tidak saya suka bila melihat wajah saya dalam foto tatkala tersenyum, dagu saya kelihatan jelas sungguh lapisan tambahan di bawahnya. Double chin!!

Eeeee

Tak suka!

tapi, baby ber'double chin' memang cute


Dan lebih lagi kalau terlihat saya tersengih, dan hujung hidung saya nampak bulat saja. Adui! Itu bukan kategori comel, itu kategori hidung pesek  :)

Ish, kamu memang jenis tak reti bersyukur lah Normah! Nasib baik ada hidung dan dagu. Walau bulat dan berlapis, tetap fungsinya sama seperti yang mancung atau yang selapis.

Itu rasa hati yang baik menasihat diri sendiri.

Ya, saya tahu.

Betul. Patut bersyukur.

Tapi, memang kadang cemburu juga melihat rakan-rakan lain yang tetap cantik dan ganteng dalam gambar fotonya. Orang kata apa? Photogenic kan.. Kalau istilah kita ni , kita kata, jenis yang "makan gambar".


Saya bukan jenis orang yang "makan gambar". Tapi saya rasa, saya ni jenis yang "gambar makan saya".

Kan.

Selamat berpetang minggu semua!

*Khusus buat sahabat yang baru baik semputnya, semoga perjalanan balik dari White House selamat.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 10, 2012

ulang dan ulang tanpa jemu





Saya memang suka belikan barang untuk orang yang saya sayang.

Bukan dia saja rasanya. Ramai yang begitu. Apabila sayang sudah memenuhi dalam hati, bukankah si tuan punya hati jadi sanggup membuat apa sahaja untuk yang disayang.

Kasih dan sayang itu adalah tenaga.

Dan menggembirakan orang yang kita sayang sebenarnya menjadi pantulan tenaga dalam diri kita, natijahnya kita juga gembira sama. Bukankah begitu.

Mendengar motivasi pagi di radio IKIM awal pagi, tentang kuasa dan tenaga yang terpancar dari kasih dan sayang. Pagi tadi.  Walau sudah tahu dan maklum, tapi bukankah kita ini manusia yang perlu saban kali disogok dan diingatkan perkara yang sama untuk menjadi lebih faham dan tercerna dalam amali.

Kalau tidak takkanlah iklan KFC, McDonald atau yang sewaktunya saban kali dipapar dan diulang tayang saban waktu, mengingatkan dan mengetuk medan fikiran kita.

Ulang dan ulang lagi.

Berkali-kali.

Valentines love fractal

Supaya kita tahu dan maklum, dan tanpa sedar mahu pun secara sedar, ia membentuk tingkah laku dan tindakan yang diingini dari kita.

Begitu juga tentang slot motivasi pagi tadi. Memang ramai sudah tahu tentang kasih dan sayang, peri pentingnya dan perlunya ia dalam hidup. Namun motivator  itu masih terusan mengingatkan dan mengulang, tentang hebatnya kuasa kasih dan sayang.

Insan yang sangat positif dalam hidupnya, kalau kita lihat , pasti beliau punya akaun kasih sayang yang besar dalam dirinya. Beliau pasti kaya dengan kasih sayang, bukan fakir dengan kasih sayang.

Itu kata motivator itu tadi.

Namanya saya tak dapat nak menangkaplah pulak waktu itu.

Ah ramai insan seperti itu, insan yang punya jiwa besar, melihat insan lain dengan pandangan kasih dan sayang dan tidak kedekut menabur kasihnya pada orang di sekeliling. Cuba mencari sisi baik dalam diri setiap insan yang melalui jalan hidupnya.

Saya juga mahu jadi seperti insan tersebut.

Yalah, sangat mahu, tapi tunggulah dulu, biar saya tidur dulu malam ini ya :) Kerana mata ini pun semakin kantuk dan mahu melekat terlebih dulu.


*salam mimpi manis buat yang berada di bintang .. .


~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 9, 2012

kenapa tak percaya?





Syura tanya kenapa tangan dia tak lembut macam tu?

Sedang asyik menonton penari tarian Melayu, lagu Asmaradana di pentas sekolah sewaktu acara penutupan majlis Minggu PPDA, tatkala mesej itu menjerit masuk dalam henfon saya, pagi tadi.  Lemah gemalai tangan si penari. 

Lembut.

Banyak perkara berkait lembut yang punya kesan berbeza. Lembut wajahnya. Lembut tutur katanya. Lembut pandangannya. Lembut dan halus kulitnya. Lembut hatinya.

Lembut tangannya?

Bukankah semua perempuan inginkan tangan yang lembut seperti itu?

Itu soalan saya. Kerana dalam diam, dari dulu lagi bila sahaja melihat penari wanita di pentas cantik molek dengan lenggok dan gemalai tangan dan gerakannya, hati jadi sebal , kenapa saya tak segemalai itu. Kenapa saya tidak selembut itu?

Tidak, saya tidak.

Jawab rakan saya. Ya. Rupanya tidak semua wanita punya keinginan seperti saya itu. 

Membuat generalisasi seperti saya itu memang tidak patut. Bukan semua wanita inginkan tangan segemalai itu. Bukan semua wanita inginkan apa yang diinginkan oleh wanita lain.

Betullah.

Manusia, punya dua mata yang sama, hati sekeping yang sama warnanya, tapi beza rasa itu fitrah. Sering, generalisasi yang kita buat tidak mengambil kira individu dan kisah di sebaliknya. Kita pukul rata semua manusia itu sekian dan sekian.

Jika kita nampak kelainan dari generalisasi yang kita sematkan dalam kepala, kita tertanya, hairan.

Contoh?

Wanita berbadan besar dan di sisinya jejaka tampan , suaminya. Dan pandangan itu menjadi pelik bagi kita. Kerana generalisasi yang tersemat dalam minda tanpa sedar kita adalah lelaki tampan hanya berminat dengan wanita bertubuh langsing dan menarik. Jadi lebih parah, kalau kita menimbulkan persoalan, mengapa dan kenapa.

Kita lupa, keinginan dan rasa manusia adalah berbeza.

Kenapa menyayangi saya yang gemuk ini? Saya sungguh tak percaya.

Mungkin itu yang terbenak dalam fikiran, andai saya berada di tempat wanita itu. 


eye upclose - Question


Manusia memang sama fizikal lahiriahnya, punya dua mata, dua telinga dan keperluan yang sama. Tetapi pandangan mata sentiasa berbeza dan pandangan hati lebih lah lagi. 

Semakin lama menjalani liku hidup , saya kira kematangan dan pengalaman sentiasa menjadi sahabat terbaik menunjuk arah. Betul. Tidak bermakna usia yang lama memastikan jalan sentiasa lurus dan tidak tersasar. Tetapi ia sentiasa memastikan pilihan yang dibuat itu bukan kerana cetek fikiran.

Betul, kan?

Ah, saya mengharapkan anda yang membaca bersetuju. Walau pun saya tahu, berbeza pendapat juga adalah fitrah.

:)

Salam ingatan di angin lalu.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, March 26, 2012

pikirlah sendiri




Berfikir di luar kotak.

Selalu itu yang disarankan. Betul?

Tetapi sebenarnya untuk berfikir di luar kotak, perlukah kita berada di luar kotak? Dan bolehkah jika kita masih duduk dalam kotak dan punya fikiran yang boleh menerjah serta membayang perkara yang di luar kotak?

Payah juga tu.

Sebab bila berada di dalam kotak, fikiran pastinya jadi beku dan kaku, kerana udara pun jadi nipis dan tipis.

Ada beza ke nipis dan tipis ?

Merepek...

Kalaulah awak semua ni menjadi saintis yang boleh berbuat apa saja, tanpa ada batasan moral atau agama, bagaimana agaknya kita boleh pastikan semua manusia boleh kenyang tanpa makan?

Sesi merepek saya bermula tadi petang.

Kelas Tingkatan 2 yang paling bijak dalam sekolah. Sengaja melontar idea semasa pengajaran Sivik, mahu tahu sekreatif mana mereka?

Tentunya yang saya mahu ialah jawapan di luar kotak. 

:)

Kenapa kenyang tanpa makan?

Kalau kenyang tanpa makan, bukankah kebuluran bisa sahaja dihapuskan dari dunia ini. Wang tidak perlu lagi digunakan untuk membeli makanan. Dan pastinya tiada pembaziran makanan berlaku.

Saya buat udara ni ada molekul makanan , cikgu.

Wah bagus jugak tu. Tapi kena pastikan udara tak tercemar lah pulak, nanti cirit birit dan diarrhea akan berlaku. 

Yang lain senyap. Berfikir atau buat-buat-buat berfikir.

Kalau ikut idea saya nak tak, saintis sekelian?

 Ah, lagi-lagi idea saya. Cikgu yang tak sabar seperti saya ini memang malas hendak menunggu jawapan dari pelajar. Jadi, bagaimana hendak merangsang minda pelajar sebenarnya?

Saya cadangkan , kita ubah struktur baka manusia yang akan lahir, maksudnya anak cucu kita, kita ubah gene mereka, DNA mereka itu kita ubah.

Faham ke budak-budak ini. Gaya memandang , macam faham waktu itu, jadi saya teruskan lagi.

Saya cadangkan kita masukkan baka yang menghasilkan klorofil dalam badan manusia. Klorofil di mana?

Dalam tumbuhan.

Ha, betul. Tumbuhan perlu mencari makanan?

Tak, tumbuhan buat makanan sendiri. Kena ada cahaya matahari.

Ya, bijak. Kalau badan kita ada klorofil, jadi setiap kali waktu rehat sekolah, semua kena beratur kat padang, baring, depakan tangan, dan dalam masa 15 minit awak akan sendawa kekenyangan. Kan...

Hahaha. Mereka gelak. Gelakkan saya kerana membuat bunyi sendawa yang kuat dalam kelas.

Dan , yang bestnya ada yang mengangguk bersetuju.


green_man_its_always_sunny


Tapi cikgu, kalau musiam hujan tak ada cahaya matahari, camana nanti, kita lapar?

*mmmm ... aish, tu, pikirla sendiri, takkan saya jugak nak tolong pikirkan?



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, March 23, 2012

nyawa pendek?

Biasanya Jumaat adalah hari yang dinanti-nanti. Penghujung minggulah , kan.

Jadi suasana lebih ceria dan santai.

Sedang mengajar, saya memberhentikan penerangan dan diskusi.

Katalah ....

Saya memula bicara.

Ayat yang bermula dengan katalah, menunjukkan apa? Katalah menunjukkan situasi atau perkara yang mungkin tidak akan berlaku, kan. 

Kenapa berfikir akan perkara yang tak mungkin akan berlaku? 

Sengaja merangsang minda. 

Kerana bukankah banyak hasil teknologi sekarang ini asalnya datang dari fikiran luar biasa yang tak terjangkau dek fikiran. Mana mungkin 100 atau 200 tahun dahulu, manusia zaman itu terfikir boleh berkomunikasi dengan insan lain yang beribu batu jauhnya secara live. Waktu itu mungkin fikiran seperti itu bermula juga dengan perkataan Katalah ...

Saya pandang pelajar-pelajar kelas 5B waktu itu. Masing-masing diam mendengar. Cuba memahami kenapa gurunya hari ini seolah bertukar watak, berbeza cara.

Saya memang beginilah. Cuma perkenalan baru sahaja bermula dengan mereka, dan mereka masih tidak tahu yang saya memang suka merepek dalam kelas. Awal perkenalan, memang, saya cuba berlagak serius, mahu mereka tahu yang saya memang serius ingin mengajar, kan. Mahu mereka tahu bahawa pelajaran adalah perkara serius, bukan main-main.

Ini, dengar baik-baik ya, Katalah ...

Diam semuanya. Saya menyambung kata.

Awak semua suka bergambar kan? Katalah ya, andainya, setiap kali awak bergambar, dan saya bermaksud, SETIAP kali awak bergambar, satu saat dari hidup awak akan ditarik. Maksudnya setiap kali awak bergambar, nyawa awak akan jadi pendek. Soalan saya, mahukah awak bergambar lagi?

Bising sebentar.

Saya memerhati mereka. Persoalan yang tak pernah difikirkah?

Cikgu ..

Ya?

Betulke apa yang cikgu cakap ni?

Wajah yang bertanya nampak risau dan cemas.

Ah, awak ni... saya kata apa tadi? Saya kata, KATALAH .... Katalah tu maksudnya apa?

Risau dan cemas si dia yang bertanya nampak hilang.

Cikgu ..

Suara dari belakang pula.

Ya ?

Cikgu tipu ya? Mana ada macam tu ?

Ah.... awak ni. Ini soalan saja-saja. Bukan betul atau tipu. Saya cuma nak suruh awak berfikir je, kalaulah . Manalah tahu nanti ada yang akan jadi pengarah filem nanti, bolehlah buat cerita sains fiksyen begini atau cerita thriller, tidaklah asyik kisah Ombak Rindu , atau Hantu Kum Kum je yang menjadi modal cerita awak, kan.

Tapi cerita cintalah best, cikgu.

Ah.... Malas nak melayan budak-budak ni. :) Aras fikiran tak sama. Hehehe. Sambung belajar semula.

death


Tetapi, kalaulah perkara sebegitu benar-benar terjadi, adakah anda akan mengambil gambar diri sendiri lagi dan di post  di FB, blog, twitter atau laman sosial yang lain?

Oh, tak payahlah jawab. Hahaha. Sebab benda merepek dan membuang masa sahaja, kan.

*Salam ingatan malam Sabtu  buat yang berada jauh di timur.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bulan madu di awan biru


 Daydreaming is for intelligent people 


Betulkah? 

Entahlah... 

Tetapi, sekali-sekala berangan apa salahnya, kan.

Berangankan apa?

Berangankan duduk di awan , berbulan madu. Wah! Memang jauh sungguh angan-angan itu ya. Ibarat kata Abang Amy Search *uwek*, bilalah pulak saya panggil Amy Search tu abang (?) ~Bulan madu di awan biru , tiada yang ganggu...

Pernah mendengar lagu tersebut?

Lagu lama.


Clouds over Taos mountain





Cikgu!!

Terkejut saya. Rupanya tatkala mengganti rakan guru mengawas kelasnya, saya asyik berangan.

Ha? Kenapa?

Pelajar lain berkumpul dalam kumpulan. Ada juga yang sibuk menghabiskan kerja rumah. Sambil bersembang dan bergelak tawa. Ini kelas Tingkatan 3 , kelas paling hadapan. Memang dalam tiada guru sebenar yang mengajar pun, masih boleh diharap menghabiskan kerja-kerja rumah yang belum selesai di waktu senggang.

Cikgu ni kerajaan kan?

Kerajaan?

Eh, sejak bila pulak saya mengganti menteri di kabinet?

Bukan kerajaan, saya ni kaki tangan kerajaan. Silap tu...

Senyum dia. Saya pun.  Biasalah masih budak, dan banyak yang tak tahu. Rakan di sebelahnya pun senyum sama.

Cikgu, kalau cikgu ni kakitangan kerajaan, cikgu kenalah pilih kerajaan kan.

Eh? Budak ini...?

Kenapa saya kena pilih kerajaan pulak? Kerajaan tu apa?

Kerajaan tu Barisan Nasional lah, cikgu. Bukan ke , kakitangan kerajaan kena pilih kerajaan, nanti cikgu kena buang kerja?

Saya pandang budak itu. Hati saya bagai digaru. Terharu. Hahaha.

Dah ada undang-undang baru ke?

Salam merepek dari saya...



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 20, 2012

makin lembab

Rasa bersalah.

Melihat wajah-wajah mereka di hadapan, ah, terasa rasa bersalah itu meresap halus dan malu pun bertandang dalam hati.

Cikgu, berapa orang yang pass , cikgu?.

Menjadi guru sebenarnya , setiap masa terpaksa, serta perlu membuat keputusan. Bukankah ada orang kata menjadi guru ini memang mudah mengumpul pahala dan dosa seiring. Jadi , waktu itu, keputusan apakah yang perlu saya buat?.

Menipu?.

Atau berterus-terang sahaja?.

Memandang mata anak- anak ini, tak sampai hati rasanya hendak berterus-terang. Menipu itu lebih mudah agaknya, kan? Hahaha... Betulkah?

Sebenarnya...

Semua 23 pasang mata itu memandang tepat ke mata saya. Kelas paling hujung di Tingkatan Dua, mengajar mereka mata pelajaran Matematik. Yang hari ini diulang, esoknya akan lupa. Esok diulang semula, lusanya bagai tak pernah pun diajar.

Sebenarnya saya tak menanda pun lagi kertas awak tu. Saya minta maaf .

Malu

Pastinya.

Cuti seminggu dihabiskan apa ya, Cikgu Normah?

Ah, berangan. Hehehe

Sebenarnya cuba menghabiskan penandaan kertas-kertas jawapan pelajar-pelajar di Tingkatan Lima, yang saya kira lebih penting dan utama,sekarang.

Pilih kasih ya, cikgu Normah?

Mungkin.

Tapi tidak berniat pun begitu.

Oh, ni mesti cikgu tak sampai hati nak tengok kami orang semua lulus kan? Sebab tu cikgu taknak tanda kertas kami orang, kan ...?

Ah... Tusukan kata yang paling tajam.. :>

*makin tua makin lembab membuat kerja-kerja sekolah



~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, March 8, 2012

kotak

Hujan sejak dari petang semalam.

Bagi penggemar hujan seperti saya, kehadiran hujan sangat menyegarkan. 

Tapi saya tahu pagi-pagi seperti ini saat saya menaip entri, hujan mendatangkan banyak masalah bagi orang lain. Terutama kesesakan jalan raya, kan. Bersesak-sesak dalam hujan di atas jalan raya, bukanlah suatu keadaan yang diingini oleh sesiapa.

Seperti duduk terperuk dalam kotak-kotak yang bergerak, kan. :)

Kotak.

Oh, rupanya kalau perkataan kotak-kotak, ia bermaksud bunyi atau reaksi. Tak pernah saya tahu sebelum ini.

Kotak fikir, tentulah tersangkut dengan fikiran kita.

Kotak hati?

Ah, ada satu lagu kumpulan indie Hujan yang bertajuk Kotak Hati , kan. Sangat terkena dengan suasana hujan dan perkataan kotak. 



Jarang sebenarnya saya mendengar lagu-lagu seperti ini sekarang. Maklumlah lagu-lagu cinta seperti lagu tersebut saya kira hanya sesuai untuk anak-anak muda remaja.

Tapi, sekali-sekala apa salahnya kan.

Jadi untuk mereka yang basah terkena hujan hari ini, saya tujukan lagu Kotak Hati ... hehehe.

Salam pagi Khamis yang basah.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, March 3, 2012

tak pernah diajar

Hujan sepetang.

Hari Sabtu yang dingin. Selesai urusan persekolahan ganti hari ini, rancangan untuk meraikan hari lahir seorang rakan sekerja terbantut. 

Sesungguhnya perancangan hanyalah ikhtiar manusia, tetapi yang menentukan ia terlaksana bukan dalam tangan manusia itu sendiri. Andainya telah ditentukan, tetap ia akan terlaksana juga walau beribu halangan yang dilalui sebelum itu.

Sorilah Kak , kita tak boleh nak pergi, bateri kereta kong la pulak.

Dan kakak itu meneman saya menunggu AAM yang tidak kunjung tiba di perkarangan sekolah.

Lantaran kekurangan staf di AAM, penantian saya menjangkau 3 jam , dan atas rasa kasihan serta bersalah, saya meminta kakak yang menemani saya itu untuk pulang lebih awal.

Menanti.

Bukanlah kerja yang mengasyik dan membahagiakan.

Bersendirian.

Bukanlah keadaan yang didambakan insan.

Hujan, penantian dan bersendirian , kombinasi hebat menimbulkan melankolik dalam diri.

Nasib baiklah, penantian tidak melarat hingga ke malam. Kalau tidak, agaknya mahu juga saya meraung di situ, ditemani pakcik jaga. Hahaha.

Dari jauh ternampak kelibat kereta AAM berwarna kuning, dan rasa syukur tak sudah kerana penyelamat kereta saya tiba.

Lama akak tunggu ?


Oh, lama lah jugak. Dari pukul  2 tadi, ni dah dekat pukul 6.


Minta maaflah kak, hari ini banyak betul kes. Lagi pun datang dengan kereta, tau je la , hujan-hujan macam ni.


Oh, tak apa, saya faham.


Kak, tolong bukak bonet kereta depan ni..


Ok


Kereta ini sudah lama juga dalam peliharaan keluarga. Besar gedabak, macam lori. Bunyi enjin dieselnya pun menambahkan serinya seperti lori.

Saya buka pintu depan bahagian pemandu.

Sudah bertahun dengan 'kereta-lori' ini.  Oh, saya nampak simbol bonet kereta bahagian enjin di tepi dashboard. Saya tekan punat bersimbol bonet.

Bonet depan masih tak boleh dibuka.

Saya tekan lagi.

Budak AAM masih menunggu dalam keadaan bersedia.

Saya tekan lagi.

Masih bonet tak boleh dibuka lagi.

Dik, akak tak taulah nak bukak  bonet ni camana. 


Hahaha...

Kat universiti dulu, lecturer tak ajar bukak bonet kereta tu camana :)

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, February 21, 2012

hantu kopek

*Muazzin.

Namanya indah. Kalau dalam Islam , nama itu punya status tersendiri , istimewa sebagai penyeru dalam aktiviti paling penting, menegakkan solat.

Eh, tulislah Muazin. Napa awak termenung lagi ni?

Kecil molek budaknya, sebaya anak saya, walau tubuh anak saya dua kali ganda dari saiz tubuh Muazin. Dia tersengih. Masih menari-narikan pen biru di atas kertas sekeping. Buku tulisnya dikata hilang entah ke mana. 

Awak pernah dengar kisah Nabi Muhammad pertama kali terima wahyu ?

Pelajar yang lain tidak menghiraukan saya. Dan saya tidak kisah. Kerana saya hanya ingin berbicara dengan Muazin sahaja. Memujuk dia untuk menulis.

Dia angguk.

Bila malaikat Jibrail minta Nabi baca, baginda kata baginda tak boleh baca, apa malaikat tu buat lepas tu?

Dia peluk Nabi.

Ha, pandai, dia peluk Nabi kuat-kuat sampai  Nabi susah nak bernafas. Lepas tu, Nabi kata dia tak boleh baca lagi,  kan, lepas disuruh oleh malaikat. Jadi malaikat Jibrail buat apa?

Dia peluk Nabi kuat-kuat..

Betul, Muazin. Sampai Nabi terasa seperti susah bernafas. 

Muazin pandang saya kehairanan. Sejak bilalah pulak cikgu Matematiknya ini menjadi seorang ustazah? Seperti saya boleh baca fikiran dia.

Ha, awak kalau tak boleh nak buat jugak ni, saya peluk kuat-kuat, sampai awak sesak nafas . Nak tak?

Tak nak, tak nak.

Tak pe, kalau tak nak, saya suruh Penolong Kanan Petang peluk awak kuat-kuat, nak?

Dia geleng kepala dan bersegera menulis.


*Bila mengugut si Muazin ini, terus saya terbayangkan kena kepit dengan hantu kopek. Hahaha. Anda tahu tak tentang hantu kopek?


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, February 19, 2012

letak batu di muka

Hidup adalah sekolah , proses pembelajaran sepanjang hayat.

Kita berhenti mempelajari dan mengajar insan lain setelah nyawa kita diambil Allah keluar dari jasad yang fana ini. Dan waktu itu segalanya dibentangkan semula. Satu, satu. 

Ah, menakutkan...

Apa yang saya pelajari hari ini?

Belajar bersabar dalam jemu menunggu waktu, dan tahu bahawa orang lain akan senyum pada saya dengan syarat saya senyum terlebih dahulu kecuali kanak-kanak di bawah ini.


Mereka bukan anak-anak saya atau pun anak buah, tetapi anak-anak yang sedang menunggu waktu untuk masuk ke wad bersalin menziarahi ibu mereka . Dan penantian mereka dipenuhi dengan rasa keterujaan untuk mencium adik baru.

Kenapa makcik tak nak keluar baby?

Itu, yang berbaju putih bertanya saya. Tersedak saya dalam menyedut air MILO kotak. Masih jam 420 pm waktu itu, ada lagi 40 minit sebelum pelawat dibenarkan masuk menziarahi pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang.

Ada baby best tau, makcik, kita boleh cium-cium...


Ini untuk makcik, nanti boleh letak kat muka.

Itu yang saya tak tahan dan tak faham. Kenapa batu mesti diletak di muka?

Hahaha...

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 15, 2012

pelawak cilik

Ini kelas paling hujung di tingkatan dua. 

Kalau sudah dikategori sebagai kelas paling hujung, tentulah mereka ini lebih lemah dari sudut akademiknya berbanding dengan pelajar yang dikategori sebagai pelajar kelas-kelas hadapan.

Saya pula, sudah lama benar tidak mempraktikkan kemahiran saya dalam mengajar Matematik . Jadi , dua jenis manusia dipertemukan, di kelas ini. Kurang pengalaman dan kurang pengetahuan.

:)

Sifir?

3 darab 7 berapa ?

Terkebil-kebil mata-mata bundar mereka. Haha... kasihan pula rasanya.

Ok ... ok, keluarkan buku GAPEN awak tu, ada jadual sifir di belakang buku tu kan. Cuba tengok. Berapa agaknya 3 darab 7 ?

Pantas mereka mengeluarkan. Dan sibuk mencari.

21 .... 21 !!

Seronok sungguh dapat membahagiakan seorang guru dengan jawapan yang betul kan. 

Beruntunglah mereka ini kerana tidak di suruh berdiri di belakang kelas mengadap dinding seperti saya dahulu kerana tidak berjaya menghafal sifir. Selagi tidak menghafal, selagi itulah saya tiada keistimewaan untuk duduk bersama di dalam kelompok sahabat-sahabat yang telah celik sifir.

Tapi, objektif pengajaran hari ini bukan menghafal sifir. Jadi, walau ada keinginan untuk mendera mereka ini begitu tinggi dalam dada seperti yang saya rasa dulu , tetap tidak boleh terlaksana, kerana objektif pengajaran hari ini pasti tidak akan tercapai kalau saya asyik melayan keinginan itu.

Ok, sekarang keluarkan buku hijau ni. Kita buat latihan dari buku hijau ni.

Masing-masing sibuk menyeluk dan membongkar khazanah dalam beg . Buku hijau yang saya maksudkan terbentang di atas meja masing-masing, kecuali seorang ini. Rizwan.

Mana buku awak Rizwan ?

Ada.

Ha, keluarkan lah. Nak saya tokong ambikkan keluar dari beg awak ke?

Tak ada dalam beg saya cikgu.

Habis tu , kat mana ?

Ada kat kedai buku lagi,  buku saya tu. Simpan kat kedai buku.

#@?*&# !!

Bakal Maharaja Lawak rupanya budak si Rizwan ni.

Ish, ish, ish ...

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 9, 2012

berangan

Nak bercerita pasal diri saya hari ini boleh?

Eh, bukan ke tiap-tiap hari Cikgu bercerita pasal diri Cikgu dalam blog ni kan? 

Hehehe.

Yang tiap-tiap hari tu, memang saya bercerita pasal saya, tapi saya tak bagi tau . Yang hari ini pun hendak bercerita pasal saya juga, tapi saya bagi tahu dari awal.

Cerita aja lah cikgu, kalau sedap kami baca sampai habis, kalau tak sedap kami skip ke blog orang lain . Apa susah, kan.

Berangan.

Memang perangai saya yang utama.

Dari kecil dulu suka berangan. Masa duduk di flet polis Sungai Senam, saya berangan saya sebagai pelakon Hindustan, bila emak suruh saya menyiram pasu-pasu bunga kertasnya yang berderet di beranda depan rumah, saya akan menyiram sambil bernyanyi-nyanyi, siap berlari-lari anak dikejar 'hero' . Masa dulu memang suka betul menonton filem Hindustan di  TV hitam putih. 

Saya juga berangan nak lari dari rumah , waktu itu. Terutama selepas dimarahi emak. Siap buat plan dalam kepala lagi, nak keluar pukul berapa, bawak baju apa. Tapi selalunya , plan  terbantut, sebab saya tak tahu nak pergi mana dan takut nak keluar rumah waktu malam.

:)

Dah tua-tua ni pun, berangan jugak. 

Niat hati nak buat air nescafe tadi, entah macamana, boleh membancuh air milo pulak tanpa sedar.  

Entah apa lah yang saya angankan, saya pun tak tahu.

*sudah senja rupanya , leka menaip entri tiada motif ini :)



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, February 6, 2012

patutnya....

Siapa yang buat ni ?

Jari kecil moleknya menunjukkan lantai yang tak rata. Matanya basah dengan air mata dan lolongan suaranya melagukan kesakitan berjaya diredakan sebentar.

Oh, jahat ya lantai ni, nanti mama babab lantai ni. Biasa ya, lantai ni buat adik jatuh. Mana sakit, tunjuk mama. Jangan nangis dah ya. Nanti tak cantiklah adik nangis.

Adegan biasa, kan.

Bukan dalam drama. Kisah betul, kisah biasa bagi yang punya anak kecil atau adik-adik kecil, kan. Kalau terhantuk dinding atau terhantuk bucu meja, dinding dan bucu mejalah akan menjadi mangsa dipukul oleh emak dan ayah , bagi memastikan jeritan sakit reda dan hati si 'pesakit' kembali tenang melihat 'dendam' sudah berbalas.

Bedebub!

Macam nenas busuk terjatuh atas lantai bunyinya. Plastik makanan bercap A&W bertebaran. Buku cerita paperback yang dikepit ke hulu ke hilir  turut menerima nasib sama.

Itu, lantai itu punya angkara. Lantai yang tidak sama aras, menampakkan kelainan dalam seni bina dan mewujudkan ciri eksklusif, rupanya menjadi medan untuk mencari mangsa. 

Jelas-jelas perkataan MIND YOUR STEPS dicat dengan huruf cetak di hujung lantai restoran, sebelum lantai itu terpisah dengan lantai laluan di luar restoran. Kenapalah saya tak perasan dan asyik memasukkan wang lebihan tadi ke dalam purse hingga tersalah langkah.

Ahh....!

Siapa lagi yang terjelepuk di depan A&W itu kalau bukan saya . Malu tak? Taklah... *hihihi*   

Mama, mesti mama ada buat salah ni tadi, tu sebab mama jatuh.

Pulak. Patutnya anakku, kau pergilah babab lantai tu tadi ...


*selamat beristirehat semua*


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, February 4, 2012

keliru

Makan free memang tak boleh nak tolak. Ada  nasi putih, ayam goreng, masak lemak nenas dan ikan masin, daging lembu masak steak, sayur campur, ikan masin goreng, ulam dan sambal belacan, air oren dan kuih muih tiga jenis, memang heaven lah orang kata.

Jamuan bertunang anak dara jiran sebelah rumah. Menolong langsung tidak, dah diajak makan takkan lah pulak tak pergi.  :)

Heaven tu orang kata maksudnya syurga kan.

Eden ? Eden , cara nak sebutnya, iden (e tanda di atas), pula ialah Taman Firdaus.

Paradise ? Syurga lah jugak tu .

Tetiba, mengajar bahasa Inggeris pula, petang-petang Sabtu ni apahalnya kan.

Cuma teringat satu kisah semasa tahun 1997 dahulu , kalau tak silap saya lah, menumpangkan anak murid dalam 2 orang, menaiki kereta saya hendak balik ke rumah mereka.

Waktu itu saya bertugas di sekolah yang semuanya lelaki. Saya pun tak ingat kenapa saya menumpangkan mereka balik. Cuma mungkin saya terpaksa membawa mereka pergi mengikuti aktiviti luar sekolah.

Dalam perjalanan balik, kami melalui kawasan perumahan kondominium mewah.

Ish, cikgu, kaya juga orang Negeri Sembilan ni cikgu.

Orang mana?

Tu ...

Dia menunjuk saya batu nama kawasan perumahan kondomonium tersebut bersebelahan dengan pondok jaga.

Mana awak tahu kondo ni orang Negeri Sembilan punya?

Tu, dia tulis, Eden  ( dia menyebut eden, e tanda di bawah). Orang Negeri Sembilan cakap eden tu maksudnya  saya ... cikgu.

Hampir nak pecah perut saya waktu itu, tapi taklah pecah dalam erti kata perut terburai. Cuma, hati saya bagai digeletek kerana lucunya saya rasa waktu itu.


Salah sebut tu , Eden tu, maksudnya Taman Syurga Firdaus. Nak beritahu kat kita,  seolah-olah kalau awak hidup dalam  kondo ni , hidup awak seperti dalam syurga.

Dan hari ini semasa menulis entri ini baru saya tahu, bahawa eden atau den itu ialah bahasa kasar bagi orang Negeri Sembilan.

Sebenarnya itulah kesilapannya. Umum tahu perkataan 'saya' dalam loghat Negeri Sembilan ialah 'den' atau 'eden'. Ia berasal dari bahasa Minang 'denai'. Tetapi ramai tidak tahu sebenarnya perkataan 'den' untuk 'saya' ialah bahasa kasar. 
Orang muda tidak boleh membahasakan dirinya 'den' kepada orang tua, jika tidak akan dianggap kurang ajar. Begitu juga perempuan tidak manis membahasakan dirinya 'den' kepada mana-mana lelaki. 'Den' hanya boleh digunakan oleh seorang yang tua untuk bercakap dengan orang muda. Juga antara sama-sama sebaya. Walau bagaimana pun saya tetap menganggap ia kurang manis digunakan oleh budak-budak atau perempuan. Saya sendiri tidak pernah membahasakan diri saya 'den' kepada sesiapa pun. ~ Loghat Negeri Sembilan - Bahagian 2 

Betullah seperti kata Tuan al-Lavendari dalam blognya bertajuk Aku Keliru .'e' tanpa tanda ni memang mengelirukan .

Tapi petang-petang Sabtu ini apalah sangat yang hendak dikelirukan. Orang kata Go with the flow...

Selamat bersantai semua.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...