Wednesday, July 22, 2015

Adui..dui..dui





Walau pun bosan itu bersarang dalam hati ini mengadap status-status yang tertera, tetap jari ini menguis skrin. Satu, satu status dilihat, dibaca, dihadam dan cuba difahami.
Gambar-gambar pelbagai warna, aksi dan 'caption' tetap juga saya tatap.

Bosan.

Apatah lagi mengadap komen-komen berbungakan ayat-ayat sampah, maki hamun tak sudah. Melayu kita lah. Bahasa kita, orang kita.

Terlebih lagi jika status/'post' tersebut menjadi 'viral'. Para pengomen yang positif serta negatif berdedai melayan satu sama lain. Dan tetap kadang-kadang saya baca satu-satu. Dan rasa bosan serta menyampah itu bertambah.

Ke mana agaknya pergi budaya Melayu yang indah berbahasa? Berkias dalam amarahnya. Tidak celupar dalam tinta yang tersurat. Dalam maksud yang tersirat serta bijak menyusun kata. Di manakah agaknya generasi tersebut?

Dan kita berkokok ingin memartabatkan bangsa dengan carutan serta makian. Sadis dan tragis.

Kita mahu agar Melayu itu diwarnakan sentiasa dengan santun dan sopan. Tetapi dalam masa yang sama kita menjerit dan terpekik. Adakah semakin benar dan semakin betulnya kita, maka semakin kuat lolongan dan pekikan yang perlu kita dengarkan?

Melayu yang bagaimanakah yang kita mahu hasilkan nanti? Berpaksikan apakah kemelayuan itu kelak, jika tutur kata yang terhambur dan tertinta berupa kata-kata kesat kerana orang lain tidak sependapat dengan kita?

Semudah A, B, C kita mengatakan orang itu dan orang ini. Pendapat kita jika disanggah, menjadi penyebab makian, hinaan dan lantas kita membodohkan orang lain. Tertulis jelas supaya seantero maya boleh membaca.

Sedih.

Apatah lagi kalau yang menulis itu usianya seangkatan saya. Lewat 40an, tetapi bahasa yang dipilih untuk menyuarakan rasa dan fikirnya adalah bahasa kasar dan tidak selayaknya.
Terlebih menyedihkan apabila perangai ini tidak mengira jantina. Lelaki atau perempuan sama naik, dan sama hebatnya. Berlawan satu sama lain, siapa yang lebih hebat menggunakan bahasa kesat.

Dan alasannya?

Kalau guna bahasa baik-baik, bukannya diorang paham pun.
Adui.. dui.. dui.

Melayu sungguh.
~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...