Saturday, April 30, 2011

apa sebenarnya motif awak?

Betulke ni, Mah.

Saya lihat di sekeliling. 

Masing-masing dengan pakaian paling cantik yang ada dalam simpanan agaknya. Yang wanita kebanyakannya memperagakan tudung trend terkini, siap manik-manik bergemerlapan, kerongsang terbesar yang ada, wangian sepanjang jalan dan hand bag termahal dalam almari di rumah.

Make up di muka masing- masing masih segar, walau bahang panas tengahari sudah terasa tetapi waktu itu jam masih awal, makanan baru sahaja boleh dijamah. 

Bergaya masing-masing, eh... termasuklah saya. Jangan tak tahu.... walau kasut pun sudah haus tapaknya dipakai hari-hari, dan tas tangan yang ada hanyalah tas murahan, muka pun hanya ditepuk-tepuk dengan bedak talkum baby johnson berwarna ungu yang masih tak habis setelah dua tahun dalam simpanan. Tetap bergaya.... di hati. :)

Dalam kepala terbayang topi-topi wanita-wanita anggun dalam majlis Perkahwinan Diraja Britain yang baru sahaja berlalu. Ganti topi di sini, tudunglah kan. Memanglah tudung tu kewajipan. Saya tahu. Topi itu hanyalah pilihan dan aksesori. Saya tahu juga. 




Tapi, tudung sekarang juga sudah berjaya diaksesorikan ia.

Saya memanjangkan leher cuba mencari wajah-wajah yang dikenali.

Yalah, nanti tidak pasal-pasal makan nasi minyak tanpa sebarang undangan, boleh jatuh berdosa tukan.

Tak nampak pula sesiapa yang dikenali. Terusan lagi langkah kami ke hadapan.

Meriah. Biasalah majlis perkahwinan. Bukannya majlis kematian. Yang sedang makan pun bukannya khusyuk mengadap makanan, sambil makan mata meliar melihat orang sekeliling, sama ada melihat aksesori orang lain atau pun mencari wajah-wajah yang dikenali yang sudah lama tidak bertemu.

Ah.. Lega, bila akhirnya ternampak tuan rumah yang juga jiran kami. Kenduri kahwin anak perempuan sulungnya dijalankan di Dewan War-Die-Burn, KL. Kem askar yang selalu disebut wadiben camp, rupanya perkataan yang sebenar ialah perang - mati- terbakar, .. menggerunkan juga , bila perang akan mati terbakar. 

Apa motif entri hari ini ya? entah... tak ada motif rasanya... :)

* selamat pengantin baru buat Dr Hannah Izzati dan Mokhtar, dua-dua bekas anak murid yang lama juga bercinta sesama dan akhirnya berjaya diijabkabul hari ini...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 29, 2011

monyet pun bersedih di hari Jumaat

Suara monyet bersahut-sahut kedengaran. Agaknya suasana redup waktu ini menyejukkan, apatah lagi lepas hujan turun, memang udara yang sejuk ini menyebab hati lebih mudah terguris dan terasa.

Sang monyet pun agaknya mengeluh resah dan gelisah. Mendayu-dayu suaranya, bersambut berbalas.

Sekolah saya memang berhampiran dengan hutan nipis di atas bukit. Memang ada monyet-monyet yang menjadikan hutan tersebut tempat kediaman untuk membesarkan zuriat.

Tapi itu dulu.

Kalau tak silap, sudah lama kawasan hutan itu dibersihkan dari monyet-monyet, kerana aduan dari penduduk setempat yang sering diganggu dengan kehadiran monyet-monyet tersebut.

Makin lama makin kuat suara monyet tersebut. Bila diamati ada juga iras-iras suara si ungka yang kemarukkan kawan.

Tidak menghiraukan suara monyet tersebut, saya terusan menulis di papan putih. Hanya ada 4 orang pelajar sahaja yang masih setia menyalin.

Suara monyet makin kuat.

Uuuk...uuuk...uuukkk

Hendak mengajuk pun saya tak pandai. Sebaik berpaling ke belakang, ahli kelas bertambah dengan pelajar yang lain. Dan suara monyet tersebut makin kuat dan keluar dari mulut si tahi lalat dan si panas baran .

Oh.. Ini rupanya monyet-monyet yang bersahutan di sepanjang koridor sekolah.

*agaknya tenanglah si Darwin dalam kuburnya kalau dapat mendengar suara monyet di koridor sekolah saya tadi ni. Emmmm... Tak kuasa nak membebel harini.

Salam Jumaat.

cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 28, 2011

kepit mengepit

Pengalaman mengayakan sesiapa sahaja. Bila sudah lama membuat sesuatu pekerjaan yang sama, pengalaman yang ada akan memudahkan pekerjaan tersebut dilakukan dan ia akan jadi lebih sistematik serta tersusun.

Waktu belajar dulu sentiasa kagum dengan guru-guru tua yang punya mata di 'belakang kepala', dan bisa menerka apa yang dibuat pelajar di belakang kelas. Ajaib sungguh kuasa membaca minda dan situasi yang dipunya guru waktu itu.

Cikgu, nak ke tandas.

Asyik hendak ke tandas saja budak perasan kacak ini waktu-waktu begini, bila pelajar sesi petang sudah mula berada di kawasan sekolah.

Cikgu, betul cikgu, tak tahan sangat ni.

Ah, macamlah baru semalam saya ini bertugas sebagai cikgu. Saya cuma melihat si perasan kacak ini terkepit-kepit menahan rasa. Menilai situasi tidak pernah diajar semasa saya mengambil kursus perguruan 19 tahun dulu. Benarkah atau menipukah si budak perasan kacak ini?

Nanti saya terkencing pulak kat sini , cikgu.

Wah, main ugutan pulak dia ni ya. Hati saya bagai digeletek, tetapi mana mungkin cikgu tua seperti saya kalah pada ugutan 'terkencing' sebegini, kan. Habislah nanti kredibiliti dan kejagoan seorang guru. Kalau termakan ugutan itu nanti, bagaimana kata-kata "Memartabatkan profesion perguruan" itu akan dibawa.

Ah! Awak ni, nak menipu pun tak pandai. Gi duduk tempat awak. Sibuk nak jumpa adik angkat yang tak cukup umur tu lagi.

Si perasan kacak buat muka terkejut. Sengih.

Ala....

Kepit mengepit pun dah hilang bersama hilang harapan hendak ke tandas.

*hati sentiasa muda di kalangan anak-anak muda yang tidak cukup umur ini lagi

cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 27, 2011

tak mengaku tua

Kalau tidak mampu memuji
Jangan mengeji
Kalau tidak mampu menyumbang
Jangan menumbang
Kalau tidak mampu berubah
Jangan menyanggah ~ pkpgkhb

Mencari seloka orang tua terjumpa yang ini. Bahasa, jika pandai menyusun ia jadi cantik dan menarik. Indah dipandang sedap didengar.

Kalau dahulu, semasa di sekolah menengah rendah, zaman masih degil, sibuk dengan hal sendiri dan rakan-rakan, hati sering bengkak kerana asyik ditegur orang tua. Silap sedikit pada pandang mata dan halwa telinga mereka, mata orang tua akan dijeling tajam. Dan seperti ada panahan laser tersembunyi, serta merta membetulkan duduk atau langkah.

Waktu di sekolah, berjalan dalam barisan, semuanya perempuan yang masing-masing punya cerita dan gosip hendak dikongsi bersama rakan, ibarat bunyi tebuan berdengung mencari sarang. Jika lalu bersebelahan pejabat Pengetua, pasti beliau akan menjenguk keluar.

Quiet, girls! 

Sister Maureen, kalau tak silap nama Pengetua dulu. Dan kami akan menunduk kepala mengelak dari memandang wajah dan tenungan matanya yang tajam. Semurai mana pun kami, tetap akan terkunci mulut dan kelu lidah jika ternampak kelibat beliau.

Zaman berubah, tetapi nilai yang baik tetap dilihat sama. 

sumber

Perempuan timur perlu menjaga tertib, tidak menjerit terpekik mengilai tidak tentu arah. Ishh... sakit mata dan telinga yang memerhati dan mendengar. Anak siapalah yang bakal menjadi menantu yang ibarat hantu. Yalah... hanya hantu yang mengilai bila ketawa suka tanda gembira, kan. 

Terasa sangat usia ni dah tua, sebab hanya orang-orang tua sahaja yang memandang perkara ini menyakitkan mata. Alahai!

*jiwa masih terasa muda, tapi uban dah penuh di kepala :)

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 26, 2011

T untuk tiara dan T untuk tikam

Dek beberapa peristiwa mistik di sekitaran, rasa malas hendak mengupdate blog sendiri mula melanda. Cewah... malas melanda, nak salahkan peristiwa mistik lah konon , kan.

Matahari dah lama menghilang, baru sempat membaca suratkhabar. Itu pun membaca tajuk akhbar sahaja, browsing through sahaja sebenarnya. Banyak sangat tajuk politik, menenggelamkan keinginan untuk membaca. Kes-kes video dan aktiviti  melewat,  begitu meloyakan. Masih saya tak faham, apakah tajuk itu yang melariskan penjualan akhbar? Mungkin saya seorang sahaja yang tidak berminat, ribuan orang masih berminat ...

jangan main-main dengan orang yang masih mamai lagi ya...

Tapi tajuk di atas, menarik minat saya.

Ish... sekarang ni, jangan kira ya. Salah sikit, bukan main sepak terajang lagi dah kan. Tidak puas hati dengan isteri yang membebel, tikam sahaja. Orang yang dipeluk, dirangkul waktu malam, esok pagi kalau tidak puas hati, tikam saja. Kalau ada asid, boleh disimbah saja, tapi kalau tak ada asid, tikam sajalah.

Macam-macam...

Ingat lagi main tikam-tikam?

Sekarang dah tak ada agaknya main tikam-tikam ni. Sejenis permainan judian secara kecilan. Masa kecil-kecil dulu waktu sudah kenal nilai duit, main juga tikam ni, dengan harapan dari duit 10 sen jika nasib baik, boleh bertukar menjadi 20 sen, kalau lebih nasib baik mungkin dapat 50 sen. Tapi selalunya nasib saya tak baik. Alhamdulillah...

main tikam
Kalau tidak mungkin saya sudah kaya raya sekarang, sebab asyik menang main tikam.... =D


Kuih lompat tikam?

Sedap makan kalau disejukkan, waktu bulan puasa. Kenapa dipanggil lompat tikam ya? Entah. Saya pun tak tahu, en. google pun tak tahu. Gambar kuih lompat tikam carilah sendiri ya. Resipi? Pun sama, carilah sendiri, berlambak dalam dunia maya ni.

Tiba-tiba terminat dengan perkataan tikam ni, kan. Sebab terbaca artikel suami menikam isteri tadi tu lah. 

Apa pun.... Bukan pisau sahaja yang boleh menikam...., rupanya, jelingan manja, kata-kata dan senyuman juga boleh menikam dan menghiris kalbu yang paling dalam.

*esok bersukantara di sekolah, rumah kuning tetap di hati.

kenangan tahun lepas

warna kuning memang menawan


~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 25, 2011

tikus sekarang bermaharajalela

Sampai di sekolah pagi tadi dengan semangat membara. Tapi , kenapa lah pulak bila punch-card saja,  semangat terbang dan blues si Isnin menyerang pula. Sehingga saat saya menaip ini, saya pun keliru.

Semangat itu seperti sang burung rupanya, ada kala ia terbang tinggi, lepas bebas, dan ada kala ia hinggap di ranting, beku, stagnant gitu. 

Kerja di hari Isnin memang menduga, sesiapa sahaja..., apatah lagi kalau anda si Pentadbir. Alhamdulillah, saya hanya si kuli, yang hanya menurut perintah, dan bila tidak mahu menurut perintah, menyelinap bagai tikus, bersembunyi.

Hari ini ingin mengingatkan. Bukankah mengingatkan itu kewajipan, selagi kita bersaudara, selagi bernafas dan punya wang dalam kantung bernama hand-bag.

Ya.... hendak mengingatkan rakan-rakan semua yang bersolat di surau umum. Adakah surau yang bukan umum? Sengaja meletak umum di situ walau tidak perlu. 

Apa yang hendak diingatkan?

Mendengar musibah yang menimpa rakan guru di surau Jaya Jusco AEON 2 di Keramat, Kuala Lumpur. Hand-bag nya dan hand-bag kakaknya yang dijaga oleh anak-anak mereka dirampas dalam ramai orang yang sedang mengerjakan solat Maghrib beberapa minggu yang sudah. Siap bertarik-tarik dalam kesesakan tersebut antara si penyangak dan anak mereka, sedang rakan saya itu mengerjakan solat Maghrib. Penyangak wanita berusia dalam 40an....

Penyangak sekarang tidak mengenal jantina atau usia. Yang mendengar cerita pun naik geram, apatah lagi yang mengalaminya. Menganiaya saudara seIslam dalam surau yang mulia sifatnya secara lahiriah.

Setakat beringat dan mengingatkan ya, rakan-rakan semua. Ujian dan musibah datang dalam rupa pelbagai dan tidak kira masa. Berwaspada dengan sesiapa sahaja hatta makcik tua bertudung litup. Begitu sekali fitnah zaman ini ya, berjaya sang syaitan menjadikan kita sesama sebagai musuh. Menyedihkan.

*tikus sekarang memang berani dan sangat bermaharajalela

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, April 24, 2011

nanti dah tua nak bawak teksi pulak...

Buat kerja last minute. Itulah saya.  

Sebab sudah menjadi tabiat, dan usia pun melebihi 40,  sudah tak kuasa  nak berubah saat ini. Saat-saat nanti bila kesedaran itu memuncak naik dan iman pun menebal lebih dari kebiasaannya, pasti akan saya sematkan azam untuk berubah sikap, entah untuk kali yang ke berapa. Dan sematan yang entah ke berapa juga.

Sekarang masa bersantai. Hari Ahad tengahari yang panas awalnya dan sedang hujan sekarang. Sedapnya, berlingkar atas katil yang sengaja digelapkan agar sejuk penghawa dingin itu lebih terasa. Lalu mengadap laptop dan cuba mengupdate entri.

Balik dari Lot 10 bersendirian, menaiki teksi. Walau perginya saya tadi  bersama suami , tapi atas urusan kerjanya, dan sebagai isteri yang memahami (yalah tu), saya balik ke rumah dahulu untuk menguruskan anak dan hal rumah pula. Macamlah bagus ayat saya, menguruskan hal rumah... :) Lebih kepada terbayang katil dan selimut yang menunggu.

sumber
Ha... cerita dalam teksi yang saya nak bawakan. Bukan...bukan terjumpa abang Lokman dalam rancangan Teksi tu. Tapi cerita tentang kisah pemandu teksi yang lain.

Sudah 5 tahun saya bawa teksi ini, ma'am.

Pertama kali dipanggil ma'am  terasa macam pelancong luar baru mendarat di luar Pavillion pulak. Terasa dihormati gitu.

Saya kan, dulu bawak treler, sekarang bawak teksi sebab ingat sama anak perempuan saya, kerja di HKL. Dulu, hari-hari petang balik kereja dia komplen, berdiri dari KL Sentral sampai Kelang naik itu komuter. Ya. Saya duduk Kelang, ma'am. Sekarang saya hantar dia pagi-pagi pegi HKL, pastu saya round satu KL bawak teksi.

Orangnya sudah penuh uban di kepala. Bercakap fasih berbahasa Melayu. Siap dengan lenggok kepala ibarat menonton hero filem Tamil.

Saya sudah lama ada lesen ini teksi. Muda dulu sudah ambil. Lesen bas pun ada. Lepas tengok anak saya banyak susah, saya tanya kawan, macamana mau bawa teksi? Dia orang beritau, bayar tiga ribu setengah pada company, kemudian hari-hari bayar RM41 sampai 3 tahun setengah, nanti teksi itu jadi kita punya.

Saya perhati teksinya bersih. Alas kusyen teksi dari kain nilon saya kira, entah, saya pakai hentam saja, kain jenis apa pun saya tak tau, warna merah seperti warna teksinya, bersih tanpa sebarang tompok.

Saya, ma'am, jalan mesti ikut meter punya. Dari awal lagi bawak teksi. Takde cakap punya. Kalau saya ha, nampak orang tua atau saya fikir itu orang susah, saya mesti bagi diskaun . Betul punya, ma'am. Selalu juga saya bagi free, kalau dalam hati saya memang rasa itu orang susah punya. Selalu ha, itu customer akan cakap, Tuhan restu banyak sama awak. 

Itu sebab, ma'am, saya tarak pernah susah dapat customer. Tiap-tiap hari takde miss bayar sewa. Sekarang, sudah lama ini teksi saya punya. Ada orang 30 tahun bawak teksi tapi sampai sekarang teksi bukan dia punya, sebab apa? 

Dia tanya saya....

Sebab suka tipu. Memang susah cari makan kalau suka tipu, ma'am.

Dia jawab. 

Hari Ahad mendapat tazkirah yang baik dari insan yang berlainan agama dan ketauhidannya tapi punya nilai kemanusiaan yang sama.

*hidup ini memang sekolah yang baik.

~cikgunormah@klcitizen~








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 22, 2011

jom...

Beberapa hari ini sengaja menjauhkan diri dari menulis. Hanya berlegar di ruang maya, melompat, merangkak dan ada kala berlari dari satu muka ke muka laman membaca, menonton dan mendengar, mencari idea.

Terasa lama tidak menulis, padahal hanya berselang sehari saja.

Cerita apa hari ini, di Jumaat berkat yang datang semula berulang atas nama hari yang sama tetapi pengisian yang berbeza. Benda yang berulang sering membosankan, tetapi tidak hari Jumaat.

Soalan 142.

Aik, tiba-tiba ada soalan ke 142 pulak. Ha... Menyelak buku 'Soal Jawab Remeh-temeh Tentang Solat - susunan Us Mohammad Nizam Abdul Kadir', tersampai pada soalan 142.

Boleh senaraikan amalan yang baik diamalkan pada hari Jumaat?


Ada 5 yang Ustaz senaraikan . Tapi saya kira yang paling mudah dan saya nak amalkan selalu ialah - banyakkan berdoa dan banyak berselawat.

Jom, sama-sama kita....

~cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 19, 2011

kasih yang tersalah curah

People are to be loved and things are to be used. The problem arises when things are loved and people are used. ~ @Islamic quotes

Materialistik.

Siapa? Kebanyakan kita.

Saya juga tidak terkecuali. Selagi jiwa terjajah dengan kehidupan duniawi yang terbentang di depan mata, dengan nikmat pelbagai yang masih belum terjamah sepenuhnya, selagi itulah material adalah keperluan dan kehendak.

Bekerja biarlah kerana Allah, agar hidup mendapat berkat.

Senang ia terlontar dari bibir, tetapi benarkah ia terukir sebegitu indah di hati. Masih ..., saban waktu langkah berat ini dalam payah menongkah rasa malas dan, pada waktu itu,  bekerja  menjadi sekadar tanggungjawab bagi menghalalkan rezeki yang dicari.

Biarlah..., meski ikhlas itu perlu dikuis untuk dinilai sahihnya ia, 'tanggungjawab'  masih berupa alasan yang baik untuk khidmat yang tercurah ini.


Kadang, dalam hidup yang berupa ujian ini, kasih kita tersalah curah. Berapa kali agaknya dalam hidup ini, kita memarahkan anak kerana memecahkan set pinggan mangkuk, atau menghilangkan set tupperware, atau menjatuhkan handphone kita hingga isinya terburai atau menjahanamkan kamera yang baru kita beli. Marah tanpa niat sebenarnya kan, tetapi tetap kita marah, kerana kasih kita pada material tersebut.

Membaca quotation di atas menginsafkan saya hari ini. Esok , lusa? Entah....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 18, 2011

kata-kata yang menghiris

Kind words can be short and easy to speak, but their echoes are truly endless.

~ Mother Teresa

Siapalah yang tak kenal Mother Teresa, kan.

Ha? Ada juga yang tak kenal? Kalau tak kenal, rajin-rajinlah berguru dengan Tok Google ya.

Gahnya nama Mother Teresa ini segah nama Mahatma Gandhi. Kerana pada prinsipnya, saya kira, perjuangan mereka dari segi meletakkan nilai kemanusiaan pada nilaian universal yang diterima semua adalah sama, walau beza waktu lahir mereka adalah 41 tahun (lebih kurang).

Dahulu saya bersekolah rendah dan menengah rendah di sekolah Convent, Ipoh. Era waktu itu, susah benar hendak melihat wanita menutup aurat selengkapnya. Sedangkan guru bergelar ustazah pun hanya sekadar melilit selendang dengan rambut berjurai. 

Tahun 70an yang nostalgik.

Bukan tentang menutup aurat itu yang hendak saya tulis. Itu ketetapan Allah, bukan pilihan.


sumber

Tapi tentang kata-kata yang baik. Seperti kata Mother Teresa tersebut, kata-kata yang baik bergema dalam hidup kita berulang kali. Ia membekas dan terpateri dalam hati. 

Mengucapkan kata adalah pilihan kita. Boleh jadi ia secara lisan, terhambur ...kadang mendahului fikiran, dan ada kala terbaris ia perlahan, berbutir jelas setelah ditimbang dan ditolak dengan akal serta perasaan. 

Boleh jadi juga kata-kata itu ditulis dengan tangan atau diketuk pada papan kekunci laptop dan henfon. Ditulis dengan perasaan hebat membara dalam kemarahan, kesedihan melampau atau gembira menggila. Tetapi tetap ia adalah pilihan.

Menelusuri laman blog, facebook dan twitter yang pelbagai dalam dunia maya yang lebih luas dari dunia realiti, saya dan ramai lagi membaca setiap kata-kata yang terpapar. Luahan fikiran, perasaan , kenangan dan makluman yang pelbagai. 

Dan yang paling menyedihkan adalah kata-kata yang dipilih untuk menghiris. Meluka dan mencalar saudara seIslam, atas dasar pandangan yang berbeza, sedangkan lidah saban waktu mengungkap kesaksian yang sama terhadap Allah dan RasulNya. Ironinya, kita bersujud dan berdoa pada Tuhan yang sama.

*dan kata-kata pedih itu juga bergema  pada hati-hati yang tercalar, dan tetap ia melekat di situ walau maaf diulang pinta beribu kali

Salam petang Isnin yang lembap.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, April 16, 2011

terukkah saya?

Hari berganti hari. Sehari berlalu, berkumpul menjadi minggu, bulan dan tahun yang pergi.

Tanpa sedar, kan. 

Sebenarnya  memang kita sedar, tapi sedar di fikiran, bergaris ia di benak, namun, begitu lemahnya kita, kan, tak upaya menahan hari dan masa pergi meninggalkan kita. Biar pun betapa indah dan manis saat tersebut, tetap ia akan mencapai noktahnya untuk  berhenti. 

Dan, ...manisnya saat itu termateri di fikiran, walau rasa yang bergelojak dalam hati itu tak mungkin bisa kita rasa getarnya lagi. Ibarat rakaman foto , yang melihatkan senyuman di bibir tanpa boleh kita rasa getar hati dan jiwa yang tersemat pada tika itu semula.



Adakah insan yang tidak suka dipuji? 

Ah, hipokrit rasanya selagi anda manusia biasa jika mengaku tidak suka dan tidak mahu menerima pujian.

Cikgu, saya baca blog cikgu.

Oh ya? Eloklah, terima kasih

Hanya bebelan tidak bermakna. 

Merendah diri kononnya. Walau dalam hati, suka berbunga. Mahu tahu apa pendapatnya tentang tulisan tiada makna dalam blog saya ini.

Cikgu patut berhenti jadi cikgu Chemistry. Cikgu patut ajar Bahasa Melayu sahaja. 

Yalah, silap saya mengikut nasihat emak dan ayah saya dulu. 

Balas saya sambil tersenyum. 

* dalam hati  : Begitu terukkah cara saya mengajar Chemistry? Hahaha... :)

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 15, 2011

menenggek atas bahu






Kepala yang berdenyut dari semalam memberikan tanda. Tanda apa tak tahulah.

Kalau perut memulas , tandanya hendak ke tandas. Kalau kering tekak, tandanya badan memerlukan air tambahan dalam badan, kan. Apa yang dirasa dan dialami memberi makna yang badan sedang mengalami perubahan sama ada positif atau pun negatif.

Cantiknya alarm semula jadi yang Allah sediakan dalam badan.

Mungkin kepala berdenyut, petanda tekanan darah sedang meningkat akibat gaya hidup yang tidak kondusif. Yalah, bersenam pun jarang sekali, cuma mengharapkan naik tangga turun tangga di sekolah sahaja dengan kasut bertumit seinci setengah. Manalah tidak lutut pun terasa seperti skru yang hampir tertanggal.

Kalau kepala berdenyut dan urat leher pula terasa tegang? Ha, itu mungkin tanda stress sedang berkumpul di dada dan fikiran. Apalah yang hendak di stress sangat dengan kehidupan fana ini, kan. Itu kata logik akal bila sedang jauh dari masalah, tapi tatkala sedang berhadapan urusan dunia yang menyesakkan, stress datang sendiri tanpa diundang pun.

Kalau kepala berdenyut, urat leher tegang, bahu terasa berat dan belakang badan rasa panas? Apa pula tandanya ya? Err....



Mungkin ada sesuatu yang sedang menumpang tenggek di bahu kut?

sumber



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 14, 2011

kalau saya seekor harimau pula?

Eh! awak...tolong saya angkat meja ni ke kantin.

Selesai sudah program yang dirancang di sekolah, tinggal mengemas apa yang patut. Sedang mengemas, ternampak dua orang pelajar tingkatan dua sedang menenggek atas meja yang dipinjam dari kantin, lantas saya meminta mereka memulangkan semula meja tersebut ke kantin.

Ah....saya sakit perut lah cikgu.

Aik? Tiba-tiba je sakit perut. Hati saya mula terasa panas.

Tak, saya tak kira... Tolong saya angkat ni, ke kantin je, bukannya kena panjat tangga pun.

Dia menarik tangan seorang rakan lain, menyuruh rakan itu berdiri di hujung meja, manakala dia berdiri di bahagian tengah. Memang kaki mengelat. Hujung yang lagi satu diangkat oleh pelajar yang bersamanya tadi.

Jalan tidak berapa langkah, si sakit perut ini tiba- tiba berlari menyusup meninggalkan dua rakannya itu. Terhenti yang dua orang ini mengangkat meja.

Cikgu, saya pergi panggil dia...

Eh ! Tak payah. Awak angkat je.

Takpa, takpa...  saya pegi panggil jugak..

Tak habis saya menghalang, sudah berdesit lari dua orang pelajar tersebut kononnya mencari rakannya yang telah hilang tadi...

Tinggal saya berdiri tegak bersebelah meja kantin tersebut. Kalaulah saya harimau sudah lama saya mengaum sekuat hati, dan pergi menerkam pelajar bertiga tersebut...

Daripada Ibnu Abbas daripada Nabi Muhammad saw sabdanya bermaksud: “Bukan daripada kumpulan kami mereka yang tidak menghormati orang tua dan tidak menyayangi anak-anak kecil serta tidak menyuruh dengan perkara yang makruf dan mencegah daripada perkara mungkar.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

* kalau saya makan bebudak tu , memang tidak termasuklah saya dalam kumpulan tersebut, haish!

* terimakasih yang tidak terhingga kepada semua rakan guru jabatan sains dan matematik smktsw dan pembantu makmal atas kerjasama yang diberikan. 





sebahagian dari yang lain,
maaf kerana tidak dapat mengumpul kalian semua untuk mengambil gambar.


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 13, 2011

Tanpa isi

Fikiran tanpa idea. Itu biasa. Bukan luar biasa.

awak sorang je yang doakan macam tu utk saya dalam twitter ni. Terima kasih sejuta ye?

Mesej dari seorang teman di twitter. Tidak pernah kenal pun dia, hanya sekadar bertegur sapa di tengah kicauan burung maya. Tetapi ayatnya membahagiakan. Membuat senyuman terukir di bibir sebelum memulakan langkah.

Membahagiakan orang lain, percikannya akan mengenai kita juga. Dan diharap, mendoakan orang lain juga, doanya dan doa kita dimakbulkan Allah.

Moqa Allah mengampunkan semua dosa dan kesilapan kita, menunjukkan kita jalan yang diredhaiNya serta memudahkan segala urusan kita....

*biar tanpa isi tapi membawa makna

~ cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 12, 2011

mengenakan budak dengan bahan toksik




Petang sahaja sekarang ini selalu hujan. Saya suka sebenarnya keadaan begini. Sebab, selepas terik di tengahari, rasa panas itu diganti dengan dingin hujan yang turun.

Tapi saya tahu bukan semua suka dengan keadaan seperti ini, terutama kalau yang sedang memandu balik dari pejabat di waktu hujan. Di Kuala Lumpur memang parah bila waktu hujan di atas jalan raya. Sesak makin menjadi, dan pasti yang berada di dalam kenderaan akan rasa resah gelisah.

Alhamdulillah, saya antara yang bertuah tidak menerima kegelisahan sebegitu setiap kali balik kerja.

Toksik.

Harini belajar cara menghasilkan etanol di makmal. Bukan saya yang belajar, budak-budak yang belajar. Saya hanya berlagak pandai menghasilkan alkohol.

Cikgu nak ajar kami orang buat arak ke?

Aii, bila sebut alkohol je mesti teringat arak kan. Walau berkait , tetapi tetap ada bezanya, dik oii.

Yalah... Kita bukan nak buat arak, tapi kita nak buat bahan yang terdapat dalam arak, iaitu etanol, ya.

Bukannya susah mana pun. Yang penting kalau di makmal, mesti ada larutan gula dan yis, biarkan dalam dua hari, untuk proses penapaian berlaku, maka dapatlah alkohol tu, kan. Macam orang buat tapai juga, atau juga proses membuat tempe.

Tempe tu apa?

Aduhai, silap saya tidak membawa alat bantu mengajar, si tempe dan si tapai. Rupanya bukan semua yang tahu kewujudan si tempe dan si tapai ini.

tempe yang belum digoreng


tapai pulut
Cikgu, kat makmal ni ada tak bahan toksik?

Err... ada.

Apa dia?

Ni......, kat depan saya, tengah bercakap dengan saya.

Hahaha. Gelak pula si mata bulat berambut pendek. Nak mengenakan orang memang bukan payah.

Sesekali mengenakan bebudak ni best jugak.

*toksik ~ mengandungi bahan yg boleh mendatangkan mudarat; beracun - kamus DBP online. Teringat tentang kenapa umur saya mungkin pendek.... mungkin sebab asyik mengadap bahan toksik je. :)

~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 11, 2011

Umur saya mungkin pendek....

Biasa ternampak dan terlihat, guru-guru yang kembali dari bercuti bersalin selama 60 hari punya wajah yang sungguh berseri. Adakah kerana lama tidak melihat wajah mereka, maka yang melihat, dek sebab rindu pada mereka ini, menjadikan wajah yang dirindu itu seperti tidak puas dipandang? Ibarat Majnun yang tidak pernah puas menatap wajah si Laila?

Ataukah kerana punya masa rehat yang panjang di rumah atau di kampung, guru-guru yang kembali bertugas ini punya semangat yang memekar semula? Lantas semangat itu melimpah pada wajah?

Eh, kak Normah tengok awak berseri sungguh!

Ikhlas dari hati, tutur kata saya di kantin waktu itu, pagi tadi. Dia tersenyum, menambahkan lagi manis wajahnya dan mengucapkan terima kasih, agak malu-malu.

Kak Normah, .....nak cakap sikit. Jangan terasa apa-apa pulak ya.

Saya memandang wajahnya serius. Cuba fokus. Walau Monday blues sudah tahap maksima hari ini, tetap juga ingin mendengar.

Orang cakap kan....

Ayat bermula dengan orang cakap, memang serius. Kalau selain orang yang bercakap, tak perlulah kita ambil pusing, sebab ia tidak mungkin berpijak pada realiti manusiawi.

Orang cakap kan.....

Siapakah orang itu? Tidak perlu ditanya siapa. Siapa itu tidak penting, tapi apa yang dicakapkannya itu yang penting.

Orang cakap kan....cikgu-cikgu yang mengajar Kimia ni kan, selalu pendek umurnya. Kenapa ya?

Hahaha....

Apa lagi jawapan yang perlu? Kerana saya pun tak tahu hendak memberi jawapan paling bernas dan paling intelek waktu itu.

Agaknya betullah tu, kan. Pikir yang positif je lah... Sekurang-kurangnya tidaklah lama mengumpul dosa. Jawab saya.

*sambil terfikir bila agaknya boleh mengajar Pendidikan Islam pula?

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 7, 2011

cikgu normah puspa

Puspa.

Puspa rupanya bermaksud bunga atau taman bunga. Juga bermaksud taman bunga atau juga kekasih atau buah hati.

Cikgu, pujuklah si hitam manis tu. Kami orang dah minta cikgu Normah Puspa pujuk, tapi dia gelak je.

Cikgu Puan Seri memberitahu pada saya pagi tadi. Kisah bagaimana gelaran puspa dianugerahkan pada saya oleh pelajar-pelajar. Dok terfikir dalam kepala, kenapalah Puspa yang menjadi pilihan? Barulah teringat, ....kan nama ayah saya Mispar, agaknya tidak sedap didengar dek kejawaannya itu, lantas mereka menukarnya menjadi Puspa.

Tak apalah, Puspa pun sedap juga, jangan Vespa sudah.

Orang seusia saya pasti tahu tentang penyanyi dari seberang iaitu  Titiek Puspa. Cikgu Puan Seri memberitahu saya yang perkataan Puspa itu mengingatkan beliau tentang penyanyi tersebut. Ada satu lagu Titiek Puspa yang saya minati iaitu Minah Gadis Dusun.



*lagu lama untuk orang lama macam saya .....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 6, 2011

cinta yang membara ini tetap perlu dilupakan.....

Antara  tanda kita memang jatuh cinta ialah bila mana kita sabar dengan kerenahnya, menerima segala kekurangannya dan kita tetap setia padanya.

Betul ke tak betul?

Menghantar anak ke kelas tuisyen, sempat mendengar rancangan motivasi radio IKIM . Bercerita tentang menaikkan semangat bekerja. Apa pula kaitannya dengan jatuh cinta?

Jatuh cinta itu analoginya.

Kata ahli psikologi terkenal yang saya tak kenal dan tak ingat namanya walau disebut oleh penceramah tersebut, antara cara meningkatkan semangat dalam bekerja ialah perasaan cintakan pekerjaan kita. 

Apabila kita cintakan pekerjaan kita, kita akan sabar dengan kerenah pekerjaan tersebut. Memang banyak kerenah setiap pekerjaan, dan sudah semestinya gurulah pekerjaan yang paling hampir dengan saya. Kerenah dalam perguruan memang banyak, segala mak nenek adalah bidangnya. Memang lumrah. Menjadi guru, tukang leter, kaunselor, kerani, tukang cuci, handy man, jaga, baby sitter dan pelbagai lagi kerenahnya, tetapi demi rasa cinta yang sekejap membara dan sekejap malap dalam hati ini terus juga setia.

Orang kata semakin lama bersama, semakin kasih dan cinta. 

Tapi tidak juga ya...

gambar langsung tak berkait

Pancit, kata seorang sahabat yang sudah bertahun mengajar pelajar-pelajar SPM, ... setiap tahun! Bayangkan anak-anak kita berderet mengambil peperiksaan SPM setiap tahun, hanya yang sudah merasa tahu betapa siksanya menanggung resah dan gelisah sepanjang tahun itu. Itulah yang dirasa oleh sahabat saya ini.

Normah tak pancit lagi? 

Saya senyum. 

Belum lagi , kak. Akak cinta sepenuh hati sangat kut. Siang malam risau...tu yang pancit tu. Belajarlah melupakan cinta tersebut bila perlu, supaya tidak pancit.

*sudah lama tidak membuat kerja sekolah di rumah....

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 5, 2011

cicah biskut ...

Hujan lebat di luar. Alhamdulillah, rasa panas membahang tadi Allah ganti dengan dingin hujan yang baru turun.


Merenung kembali tindakan dan kata-kata tadi dalam kelas. Adakah wajar?

Marah menghilangkan rasa sedar dan kewarasan.

Bodoh awak semua ni! Orang lain mati bergaduh sebab si Yahudi mengambil tanah, atau sebab adik beradik mati dibunuh, tapi awak bergaduh sebab hal ejek nama bapak! Bapak sendiri pun tak tau nama dia diejek, awak nak bertumbuk di sini.

Diam membatu semuanya. Itulah fe'el bila dimarah. Tapi, sebenarnya baiklah mereka berdiam dari bersuara, diam bermakna bersetuju walau tanpa rela.

Rasa marah menghimpun dalam diri sebab mereka lewat sampai di makmal seperti biasa. Dan ia melimpah, bila salah seorang hampir bertumbuk di luar makmal.

Hilang segala niat ingin menjadi cool.

Orang yang gagah itu, ialah orang yang dapat mengawal marahnya, kan cikgu.

Suara si Fahmi, selepas diam menyelubungi kelas seketika.

Ish... Ish... Kalaulah si Fahmi itu sekeping biskut, dah lama saya cicah dengan teh panas waktu hujan macam ni.

*memang lapar bila marah menjadi sifar dalam diri

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 4, 2011

pokok pisang berjalan

Awak tau tak dunia kita ni dah sakit?

Si mata bulat Amirul memandang tepat pada saya. Nampak lebih kemas hari ini, sebab rambutnya lebih pendek.

Selain Amirul, pelajar yang lain turut menjawab Tahu! dengan begitu yakin sekali.

Awak tahu tentang program Earth Hour baru ni?

Memang Earth Hour kan, bertujuan untuk menyelamatkan dunia. Saya pasti pelajar-pelajar ini yang begitu aktif dalam Facebook, Myspace dan sebagainya arif dengan Earth Hour.

Memang tak salah sangkaan saya.

Eh ... Cikgu. Tak boleh lah sambut Earth Hour tu, haram. Cikgu tak baca kat internet ke?

Tak. Haram macamana.

Yalah, pasang lilin ramai-ramai, pastu menyanyi pulak.

O ya ke?

Apalah cikgu ni, tak ambil tahu perkembangan dunia. Tanyalah Ustaz, dia memang banyak ilmu macam ni.

Memanglah saya tak tahu. Saya bukannya ada masa nak baca-baca kat internet ni.

Biarlah mengaku bodoh dari berlagak pandai jika berhadapan dengan budak-budak zaman sekarang ni,kan, yang serba tahu segalanya, fikir saya.

Habis tu apa caranya kita boleh buat kalau nak menyelamat dunia kita ni?

Saya memandang sekeliling, pasti ada jawapan yang boleh diguna pakai nanti semasa menjawab peperiksaan, kerana tajuk Keseimbangan Alam ini selalu keluar dalam bahagian esei Kertas 2 Sains Teras SPM.

Amirul si mata bulat memandang saya serius.

Kita perlu berdoa pada Allah, cikgu. Itu saja caranya.


Saya terkebil-kebil berfikir, sementara hati saya bagai digaru hendak tergelak.

*hari Isnin yang ceria berbaju hijau, macam pokok pisang berjalan...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, April 3, 2011

budak india hensem

Penggunaan elektrik di rumah  untuk hari ini meningkat. Hari yang panas. Kelajuan bilah kipas berkadaran dengan kepanasan di luar, dan nasib baik ada had laju maksimum ia boleh berputar, kalau tidak mau ia tercabut dari tempat asalnya dek laju sangat.

Tapi hari yang panas menjanjikan sebahagian kerja rumah hujung minggu berkait dengan kain baju selesai. Alhamdulillah, kering ganteng baju yang terjemur di ampaian.

I love u all... itu kisah semalam. 

Tapi kisah semalam rupanya berbekas ke hari ini, bangun lebih ceria dan hati lebih lapang. Tapi, mungkin juga kerana hari ini hari Ahad, hari bersantai di atas lantai....

"Marilah kita jernihkan fikiran, tidak lagi menoleh dan terus berlalu bersama geraknya angin yang sentiasa menghembus ke hadapan... Tindakan ini penting kerana umur kita mungkin tinggal hari ini sahaja. Hari inilah matahari bersinar untuk kita, siang menyapa dan jadikanlah ini hari kita. Hari ini kita hidup tanpa rasa sedih, bimbang, gelisah, marah, bosan, dendam, kecewa, dengki dan benci. Hari ini kita menikmati nasi panas, maka mengapa masih teringat nasi basi semalam? Hari ini kita minum air jernih, tapi mengapa masih mengingati air keruh semalam?  ~ Rawatlah Hati : Dr Robiah"


Bertahanlah hati... 

Memang benarlah hati itu meraja di jasad. Kalau si raja jatuh gering, jasad juga turut sama berduka nestapa. Bila si raja ber'gumbira' melagu rasa, jasad menjadi ringan bergerak seiring.

*rupanya budak India cuci kereta ni, hensem juga orangnya....selama ni kenapa tak perasan ?

Selamat berhujung minggu.

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, April 2, 2011

I Love You

Mengantuknya mata. Tapi sebab dok menunggu anak habis kelas tuisyen, digagahkan juga mata ini sambil cuba-cuba mengupdate entri.

Mengikhlaskan diri dengan 4 cara... malangnya saya cuma ingat 3 dari 4 cara itu sahaja, iaitu membuat kerja jangan tergesa-gesa, sabar dan mesti selalu happy. Itu yang dipesan oleh motivator Dr Robiah K Hamzah semasa kursus singkat pagi tadi. Sayang, tidak dapat menyalin, kerana beliau tidak mahu melihat ada yang menyalin.

Keluar dari dewan, pipi terasa lenguh dek penat bergelak tawa .  Orang lama yang penuh pengalaman memberi ceramah dan dorongan menyebabkan sedikit pun tidak terasa jemu berada dalam sesinya. Alangkah bagusnya kalau saya pun bisa jadi sebegitu bila mana usia 60an sepertinya. Wajah tampak muda dan masih punya kudrat tenaga yang banyak ke sana dan ke sini menyuntik semangat dan rasa sayang pada diri.

Hidup kena banyak memberi dengan bahagia, agar kita diberi Allah juga kebahagiaan. Itu pesannya yang boleh saya simpulkan. 

I Love You ~ sebutkan pada orang di sekeliling, katanya.....


Sambil bergelak tawa, fikiran saya melihat semula tindakan dan kata-kata saya terhadap orang sekeliling terutama anak, suami, rakan-rakan dan anak didik di sekolah. Memang ada dan pasti ada yang silap serta tidak patut saya lakukan dalam tindakan dan keluarkan dalam perkataan. Apatah lagi bila emosi tidak stabil melalui kitar dan fasa bulanan.

Saya petik kata-kata beliau dari bukunya  "Rawatlah Hati" ~ Usahlah mengharapkan anak menjadi baik dan sempurna jika kita terus melihat mereka sebagai bermasalah....

Moga hari-hari esok saya bisa menjadi lebih baik. 

* saya sudah jatuh cinta... 


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 1, 2011

Cinta pertama





Dah petang Jumaat baru sempat mengupdate entri. Apa pun alhamdulillah Allah masih beri peluang dan upaya untuk mengetuk keyboard dan mencoret sesuatu di hari yang penuh berkat ini.

Kenapa lama tak datang ke sekolah?

Sudah berminggu tidak nampak kelibatnya, si hitam manis yang memang manis. Tersenyum dia memandang saya.

Sebab si Farah tu lah cikgu....

Rakan yang lain memberi jawapan. Dia hanya tersenyum, kerana wajahnya memang manis.

sumber

Cinta tidak berbalas rupanya. Dan setiap kali beliau mendengar kisah bahagia si Farah bersama kekasihnya, hatinya dimamah sedih dan malas hendak ke sekolah. Kekasih si Farah pula rupanya rakan sekelas. Memang cinta bersegi serta bergerigi.

Memang poyolah dia ni cikgu. Dah tahu dak Farah tu tak ingin ke dia masih dia nak berangan dan menyimpan hati.

Rakan yang lain bergelak tawa, saya pun tidak dapat menahan rasa lucu. Namun dia masih tersenyum manis lagi, cuma raut wajahnya ada sedikit rasa terkilan. Dan saya tahu terkilan itu bukan atas tawa rakannya tetapi terkilan kerana cintanya tidak berbalas.

Dia tak rasa cikgu, dia belum jumpa lagi perempuan yang dia nak betul.

Baru saya dengar suaranya. Ah, dalam perasaannnya terhadap si budak Farah.

Saya mati akal di situ. Tidak pandai hendak memberi nasihat. Hati yang sedang luka tidak perlu ditambah rasa pedih dengan nasihat di depan rakannya. Dan saya tahu yang dia pun tahu bahwa keutamaannya sekarang perlu diubah.

Cinta pertama sentiasa manis. Apatah lagi kalau berputiknya ia mendapat balasan. Getar di hati tidak akan padam walau usia dan haluan berubah. Namun ramai yang cinta pertamanya tidak kesampaian. Walau disebut cinta monyet atau puppy love, tetap ia akan tersemat sebagai kenangan indah dalam hidup.

Susah hendak mencari lelaki seperti awak. Tak apa satu hari nanti, awak akan berjumpa dengan perempuan yang lebih baik. Lepas ni, janganlah tak datang sekolah. Periksa lagi berapa hari je.

Dan dia masih tersenyum manis.

*Salam petang Jumaat

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...