Showing posts with label warna hidup. Show all posts
Showing posts with label warna hidup. Show all posts

Monday, September 8, 2014

Apa yang kengkawan belajar hari ini?





Hari ini saya belajar beberapa perkara.

Yang pertamanya, cuba menjadi ketua yang baik dan cemerlang bukanlah mudah. Kalau hanya hendak memegang gelaran ketua itu sahaja tidak payah sebenarnya, tetapi melaksanakan amanah yang dipikul secara adil dan berhemah bukanlah kerja enteng.

Banyak kali juga, harapan agar permintaan yang berwajahkan arahan itu diterima serta terlaksana seperti yang tertera dalam mimpi dan anganan. Satu-satu ia terjadi sebiji betul seperti dalam mimpi. Mengujakan sungguh.

Tapi, tetap ia hanya mimpi dan anganan. Kadang laluan yang kita tunjukkan dan minta dijadikan pedoman itu sebenarnya adalah laluan yang penuh berduri dan punya banyak kelemahan. Dan tatkala melihat sahabat-sahabat itu berhempas pulas, rasa bersalah pasti akan menjalar. Jadi waktu itu, apakah tindakan yang terbaik?




Yang keduanya, saya juga belajar bahawa  di kala susah dan payah, kadang-kadang pandangan kita dikaburkan. Hati kita berbolak-balik. Ada masa kita menyerahkan segala ketentuan itu padaNya, tetapi ada ketika dan saatnya kita jadi gentar, takut dan risau tak tentu hala. Buntu. Dalam waktu payah dan terdesak itu, sering kali kelam kelibut itu menjadi teman, dan syaitan berselindung di sebaliknya, membuatkan kita tidak tentu arah, marah, geram, sedih bercampur baur.

Yang ketiganya, saya juga belajar mendengar dan menganalisa diri saya semula. Meletakkan diri saya di tempat orang lain. Belajar untuk mendengar dan menerima silap sendiri. Belajar untuk tidak cepat melatah dan cuba menjadi tenang.

Oh payah rupanya. 

Kerana ego saya sebesar gunung. Merasa diri sudah buat yang terbaik, tetapi yang terbaik itu sebenarnya tidak memberi kebaikan pada sebahagian yang menerima. Ego saya rupanya sudah membesarkan kepala sendiri. Melihat diri sudah terlalu baik, tetapi pada hakikatnya baik itu hanya berkisar di pandangan mata sendiri sahaja.

Yang keempat, saya belajar juga bahawa hidup di dunia ini hanya sebahagian dari perjalanan yang panjang. Hidup saya bukan sekali rupanya.  Alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat. Rupanya baru berada di alam yang kedua.  Hidup saya baru menempuh dua alam, dan ada dua alam lagi yang perlu dilalui.

Menakutkan juga.

Itu yang saya pelajari hari ini.

Kengkawan belajar apa hari ini?



~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 29, 2012

musim ujian

"Sebenarnya segala yang telah dan sedang terjadi dalam hidup kita ini adalah yang terbaik untuk kita. Janganlah ditanya-tanya kenapa kita tercampak dalam situasi begitu atau begini. Allah letak kita di situ kerana Dia Maha Tahu bahawa kita boleh mengatasi ujian tersebut .. ~ Ustaz Pahrol "

Lebih kurang begitulah intipati yang disebut oleh Ustaz Pahrol dalam rakaman audionya di radio Ikim yang saya ulang dengar sambil menggosok baju-baju yang sangat berkedut.

Kalaulah boleh kulit muka yang berkedut ini digosok begitu, menjadi licin dan rata, bagus jugakkan .

Ah, merepek.





Ustaz Pahrol menjawab persoalan seorang wanita yang bermadu dan mengalami kesedihan berganda setelah pengorbanan wanita itu  yang merelakan dia dimadu seolah tidak dihargai oleh si suami. . Dan kini sudah beberapa minggu suaminya tidak mempedulikannya.

Ish ... ini bukan tahap tragis lagi. Lebih teruk dari tragis apa ya? Magis ? Sadis? Rasis ?

Kalau saya di tempat wanita itu bagaimana ya?

Entahlah.

Tak mau difikir.

Kadang Allah meletakkan kita dalam situasi itu supaya kita dapat membetulkan semula rasa kasih yang sepatutnya. Siapa yang paling kita cinta itulah yang menjadi ujian bagi kita. Urutan cinta  bagi seorang wanita itu ialah Allah, Rasul dan selepas itu ialah suaminya. Kalau urutan cinta kita itu ialah suami yang paling utama, maka waktu itulah suami akan menjadi ujian bagi kita. Dengan ujian itulah Allah sedang mahu mengajar kita supaya meletakkan cinta hati kita yang pertama itu ialah Allah dan mahu  kita kembali membetulkan hubungan kita dengan Allah.

Ujian hebat bagi wanita hebat sebenarnya kan, dan saya pasti kedudukannya di sisi Allah lebih baik dari sebelumnya.

Awak asal dari mana?

Panas waktu itu. Dan saya mahu bersegera masuk ke dalam rumah setelah mengambil barang-barang belian sebelumnya dari dalam kereta. 

Kulit dia lebih gelap dari saya. Dan saya tahu dia bukan berasal dari sini.

Di kiri kanannya ada dua bungkusan beg berisi kain baju, penuh dan sendat. Tapi tetap digendongnya dan dipegang erat yang satu lagi seolah barang berharga yang baru diperoleh.

Rohingya.

Balasnya pendek.

Saya tahu niat dan kemahuan dia. Dan hati saya belas. Kerana saya tahu kalau saya di tempat dia, mungkin saya juga akan seperti dia sekarang. Bergerak dari rumah ke rumah. Meminta.

Ah ini semua sindiket!

Pasti ada yang berkata begitu.

Entahlah. Pendapat masing-masing. Saya tidak tahu kisah hidupnya. Tetapi saya tahu kisah hidup kaum seetniknya.

sumber

Rohingya adalah etnik minoriti yang paling banyak teraniaya sejak 1978 lagi. Di tanahairnya sendiri dan juga di bumi asing seperti di negara kita. Ramai dari kita melihat mereka dengan sebelah mata sahaja, termasuklah saya, merasakan kehadiran mereka mengganggu seperti kehadiran warga asing yang lain.

Ah terlebih lagi menambah perit hidup mereka mungkin kerana warna kulit mereka yang agak gelap berbanding dengan warga asing yang juga menumpang di tanahair kita ini. 

Warna kulit memang boleh saja menimbulkan prejudis tanpa kita sedar.

Betul, kan?

Dan saya perhatikan wanita di hadapan saya ini. Melihat matanya. Dan membayangkan jika saya dan dia bertukar tempat. Apakah perasaan saya waktu itu agaknya?

Sebenarnya ujian hidup bagi wanita ini  lebih berat dan hebat. Saya pasti, walau pun saya tidak tahu bagaimana sejarah hidupnya terlakar. Dan saya tahu juga hatinya lebih kental dan tabah dari saya. Kerana itu dia di situ. Bukan saya.

Bersyukur sungguh. Sangat. Kerana saya tidak berada di tempatnya.

Tapi hidup di dunia ini seperti roda kan. 

Oh, itulah yang ditakuti. Takut tidak bisa memikul bebanan ujian dan tersungkur. 

*Selamat berpuasa, berbuka puasa dan bersahur kawan semua. Buat sahabat yang berada jauh di mata tetapi dekat di hati,  harap dapat berjumpa lagi bulan depan.



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, May 8, 2012

menyusahkan

Saya rasa hidup dia akan susah..

Air kopi O ais petang itu rasa sedap sungguh. Menyejukkan tekak. Walau fungsi utamanya sebagai penyegar mata tidak berkesan mana pun.

Saya sedut dalam-dalam perlahan. Takut kopi O ais itu segera habis. Sedangkan saya tahu mana ada minuman yang kekal dan tidak habis-habis. Bukan minuman sahaja yang tidak akan habis. Semua yang ada dalam dunia ini akan habis juga. Tak kekal. Sementara sahaja kan.

Tindakan saya menyedut kopi O ais itu  perlahan-lahan lebih kepada memujuk diri menikmati air sejuk tersebut selama mungkin. 

Sebab dia menyusahkan saya sekarang. Tak apalah. Biarlah. Susah saya pun tak lama. 

Saya menyambung ayat terputus tadi. 

Doakah itu? 

Entah. Saya tidak berniat mendoakan keburukan untuk orang lain. Lebih kepada luahan hati, dan pujukan buat diri sendiri. Bahawasanya kesusahan itu tak akan kekal dan insyaAllah , Allah sentiasa memudahkan serta menunjukkan jalan.

Ya, menyusahkan orang lain bukan kemahiran yang sukar dimiliki. Jika punya hati kering dan menganggap dirinya yang lebih utama dan lebih segalanya, pasti , kemahiran itu menjadi seperti tanda mohor peribadi diri. 

Dan saya sentiasa percaya, membuat orang lain susah, hidup kita tidak sekali-kali akan menjadi mudah.

Rakan di sebelah sejak dari awal lagi mendengar, mengangguk perlahan. 

Memang itulah kan yang perlu seorang rakan baik lakukan untuk rakannya yang lain. Mendengar dan memahami. Tidak menilai dan menjatuhkan hukuman. Memberi kata perangsang dan turut sama bersedih atau bergembira, atas susah dan jaya sahabatnya. Sukar dan bukanlah mudah mendapat sahabat seperti itu.

Memang, saat-saat seperti itu, masih terasa Allah beri nikmat, meski hati dan fikiran dalam kesusahan.

Seperti kopi O yang pahit itu bila bersendirian, menjadi manis bila si gula hadir bersama-samanya.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, May 6, 2012

bengkak hati

Assalammualaikum ..

Waalaikummussalam.

Saya membalas senyumannya. Walau saya sudah tahu niat dan kehendaknya. Orang lain di sekeliling sedikit pun tak kisah. Membiarkan sahaja. Yalah, kalau saya pun seperti mereka, saya akan membiarkan juga.

Memang saat-saat seperti inilah waktu yang sesuai. Kerana saya tidak dapat lari dari keadaan itu. Terperangkap.

Strategi yang semua orang pun sudah tahu.

Izinkan saya ambil masa akak. 5 minit sahaja. 

Tutur katanya tersusun. 

Mestilah. Sudah beribu kali ia terlafaz , saya kira. Seperti butir nasi yang saya suap ke dalam mulut tanpa perlu dilihat satu-satu. Dan tanpa perlu dituju dan disasar dengan mata, elok saja saya menyuap ke dalam mulut.

Begitu juga butir katanya. Satu-satu. Laju tapi jelas . Takut kalau-kalau saya mencelah. 

Saya nak perkenal produk terbaru. Yang ini buku panduan solat jenazah, siap ada gambar dan penerangannya sekali. Kalau akak tak nak baca, kami sertakan CD sekali . Mudah, kan. Sekarang untuk akak, saya bagi harga promosi. RM10 sahaja.

Saya tidak pernah diajar untuk kurang ajar, terlebih lagi terhadap orang yang telah memberi salam dan mengucapkan doa kesejahteraan buat saya. Kerana itu , saya mendengar dan melihat apa yang ditunjukkannya, walau sudah berapa kali rasanya benda 'baru' seperti ini telah biasa saya lihat. Dan saya juga sudah punya set promosi tersebut.

Tak apalah dik. Terima kasih. Akak tak nak.

Senyum pada si dia. Berwajah bujur manis, bertudung bawal hitam. Sopan. Kecil molek.

Oh tak apa, kalau yang ini, akak? Ini tentang sejarah  Mekah dulu hingga sekarang. Siap ada gambar foto lagi.

Dia menyelak buku itu satu-satu helaian, tanpa saya minta.

Sekali lagi saya menggeleng, menolak ajakannya membeli set tersebut.

Ok , tak pe. Terima kasih kak. Selamat menjamu selera.

Bagus kau, dik. Punya semangat kental sebegini. Waktu saya seusia kamu, tentunya saya tidak seberani dan sekuat kamu mendepani manusia pelbagai ragam dan gelagat. Hanya jiwa kuat dan telinga tebal saja yang bisa mengharung segala ini.

Dari jauh saya lihat anak gadis itu menyinggah dan mempromosi pula pada dua anak muda lelaki berpakaian segak yang sedang asyik menjamu selera. Dan sekali lagi, usaha anak gadis itu tidak berhasil. Lantas dia berpaling ke meja di sebelah membelakangi dua anak muda tersebut.

Tapi, hati saya membengkak tiba-tiba.

Kenapa?

Sakit hati apabila saya lihat dua anak muda itu menggeleng kepala menggelakkan anak gadis tersebut di belakangnya.

Saya percaya tukang-tukang jual seperti anak gadis ini akan berjaya satu hari nanti. Kerja yang dilakukannya sekarang pada saya adalah tarbiyah yang paling mahal dalam membina jati diri dan kekuatan sebagai usahawan yang berjaya.

Bukan semua yang boleh melakukannya.


Bukan begitukah?


*Salam kasih dan ingatan buat yang sedang dilanda kebosanan . Moga Allah tenangkan hati dan sinarkan pelangi semula.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, May 5, 2012

semut dan gajah

Apabila kita hidup untuk diri kita semata, maka kelihatan kehidupan ini singkat dan kerdil. Ia bermula sejak kita sedar dan berakhir bersama umur kita yang terhad. 
Adapun, jika kita hidup untuk orang lain, iaitu hidup untuk sesuatu idea maka sesungguhnya kehidupan itu panjang lagi dalam. Ia bermula dari mana bermulanya keinsanan. Ia terus melebar selepas kita meninggalkan muka bumi ini..” ~ Sayyid Qutb kepada adiknya : sumber

Membaca luahan hati insan yang ditinggalkan , memberi bekas dalam hati.

Ditinggalkan kerana penghijrahan ke alam lain, yang lebih kekal di sana. Insan yang baik akan meninggalkan insan-insan baik yang mengingati dan sentiasa mendoakannya. Bagusnya, kan. 

Saya pasti ramai yang setuju.

Dan ramai juga yang mahu matinya nanti sebegitu rupa.

Bukan setakat dikenang dan diingat sahaja. Tetapi juga teriring bersama ingatan itu doa agar kehidupan yang lebih kekal itu lebih baik dan bahagia. 

Bolehkah tercapai keinginan itu?

Apakah hidup saya selama ini memberi kebaikan bagi insan lain? Adakah kewujudan saya di muka bumi ini memberi inspirasi baik dan meninggalkan tapak bagi kebaikan yang lain?

Sayyid Qutb yang mati di tali gantung atas nama Islam dan perjuangan bukanlah tandingan saya. Amat jauh. Ibarat semut paling halus dibandingkan dengan seekor  gajah.

Dan membaca belasungkawa oleh Dr Maza , menambah lagi rasa kekerdilan diri. Saya tidak mengenali Allahyarham Dato Fickry Yaacob, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, tetapi membaca kisahnya membuat saya kagum.

Memanglah insan yang baik itu, kematiannya juga Allah cambahkan kebaikan di sekeliling. Saya pasti doa-doa  berarak  dan mengiringi Allahyarham, menemaninya di alam yang baru.



Salam ingatan buat di Timur.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 27, 2012

kontang

Update lah blog.

Perlahan suaranya, antara dengar dan tidak. Pembaca tegar itu mengingatkan saya, mengembalikan semula semangat untuk menulis. Walau saya tahu, menulis kali ini membawa bersama idea kontang, mengiring setiap ayat dan patah kata.

Ah, pedulikan.

Yang penting, tetap mahu menulis, mengasah minda dan akal menyusun aksara. Agar tidak nanti berkarat, jumud  dan beku.

Cikgu, macamana nak isi yang ini ?

Saya menghampiri pelajar itu, berkulit hitam manis, semanis senyumnya. Berkaca mata empat segi sisi hitam, ditempatkan oleh saya di tepi tingkap. 

Waktu itu sesi menjawab soal selidik PISA. Bertanyakan hal peribadi pelajar. Tentang bagaimana mereka, pelajar-pelajar usia 16 tahun seluruh dunia yang turut serta dalam program PISA itu,  menghabiskan masa mereka, bertanyakan tentang  ibu bapa mereka, tahap pendidikan ibu bapa dan sebagainya.

contoh buku soalan PISA - sumber 

Oh, isi jelah. Dia nak tahu pekerjaan ibu kamu. Kalau ibu kamu sudah berhenti kerja, tuliskan jawatannya yang terakhir. Faham?

Saya cuba menerang selembut mungkin. Kerana kehendak soalan sangat jelas, tiada apa yang boleh menjadikan ianya keliru. Dan saya tidak faham kenapa pelajar ini sukar menjawab.

Mereka ini dipilih secara rawak, dan saya tidak kenal si dia yang bertanya. Tidak tahu tahap pencapaiannya, kefahamannya membaca soalan atau menganalisa kehendak soalan.

Jadi, mungkin, fikir saya, dia ini memang lemah.

Tapi, emak saya dah meninggal dunia. Macamana saya nak isi?

Hati saya dijentik halus. Ah, membuat kesimpulan awal tanpa tahu kisah hidupnya. Teruknya saya. Siang-siang melabel tanpa ada rasa bersalah. 

Tapi, setelah tahu secubit kisahnya rasa bersalah memanjat perlahan.

Oh, kalau begitu awak tulis pekerjaannya yang terakhir sebelum meninggal dunia. Bila emak kamu meninggal dunia?

Dua tahun lepas.

Ringkas jawapannya. Dan dia terus menulis di ruangan yang tersedia. Saya meneruskan langkah.

Cikgu!

Ah ! Dia lagi. Dan masih senyum yang sama di wajahnya.

Menghampiri dia, saya membaca soalan yang tertera . Perihal bapa. Peringkat pengajian bapanya yang tertinggi yang dicapai.

Cikgu, saya tak tahu bapa saya.

Kali ini hati saya bukan lagi dijentik. Hati saya seperti dihiris sembilu, halus.

Oh, awak tak kenal ayah awak?

Dia mengangguk perlahan.

Err ....

Teragak-agak mencari jawapan. Sayalah.

Awak letak je, Sekolah Menengah Atas. Sebab lazimnya, sekarang, orang mesti habis belajar sampai SPM, kan.

Ah.

Bagaimana, ya? 

Anak semuda itu begitu kuat kelihatan, menjalani hidupnya. 

Perlahan, dari jauh, saya mendoakan kekuatan dan kejayaan  dalam hidupnya .



~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, March 29, 2012

menanggung rindu






Saya mahu tua bersama kamu. Nanti kita boleh berjalan berdua, di taman, duduk bersembang makan angin, kita perhatikan gelagat orang muda, kita ingat semula masa muda kita, gelak bersama, kan... seronok, kan? 
Tapi kalau saya tak punya kekuatan untuk berjalan lagi? 
Ah, nanti saya tolakkan kamu dalam kerusi roda. Perlahan-lahan. Sebab waktu itu pun saya tidak kuat mana. 
Kalau kamu pun tak kuat untuk berjalan, macamana? 
Ah, kita beli kerusi roda berbaterilah, kita jalan sama-sama..

Hahaha

Seronok, kan, kalau punya insan yang tersayang dan tua bersama. Sehingga bila?

Entah.

Usia bukan di tangan kita untuk ditentu mengikut kehendak. Esok dan saat terdekat ini nanti pun tidak kita tahu bagaimana corak dan rupanya, jalan hidup kita.

Membaca artikel ringan Biar 116 tahun, hidup mesti ceria , membuat saya tersenyum dan terbayang skrip di atas. 
Janganlah kita fikir sudah berapa kali kita merayakan ulang tahun kelahiran kita atau sudah berapa lama kita bersara. Jangan bimbang kerana ia hanya nombor. Kata orang: Age is a question of mind over matter. If you don’t mind, it does not matter! ~ Biar 116 tahun , ...

Rupanya ramai juga lewat ini yang usianya melewati 100 tahun di Malaysia ini, lebih 27,300 orang berdasar statistik 2010, dan yang kagumnya, ramai dari mereka ini masih aktif dan berdikari.

Sedang ramai generasi muda mengeluh dengan nasib dan suratan takdir yang mencabar saban hari di laman-laman sosial, generasi-generasi lama ini menghabiskan sisa usia dengan semangat membara, optimis dan sentiasa positif.

Begitu agaknya perjalanan hidup kita.

Sampai satu takah kehidupan nanti, bila mana material bukan lagi matlamat dan tujuan, kehendak nafsu bukan lagi keutamaan yang perlu dipenuhi, hidup jadi lebih damai dan indah. Tenang.


old couple


Dan waktu itu juga, apalah sangat hendak dibalah dan disanggah dalam bersembang dan berbincang dengan insan tersayang, kerana saya kira  ke'aku'an waktu itu adalah paling minima, manakala ke'kita'an menjadi besar dan memenuhi penghidupan. Masing-masing bersandar dan mengharap insan di sebelahnya untuk melangkah bersama.

Indah.

Sungguh.

*Salam kasih buat yang sedang bersendirian menanggung rindunya ...


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, March 25, 2012

teruslah bertahan





Ah, dah petang rupanya. 

Ahad, yang kebiasaannya dihabiskan dengan hal sendiri , mencari diri dan cuba meletakkan diri pada realiti.

Realitinya?

Realitinya, hidup ini memang payah dan setiap saat adalah usaha untuk terus bertahan.

Buat apa ni?

Wanita itu muda lagi. Saya tahu dia bukan orang tempatan. Orang seberang, mendukung anak lelakinya di sebelah kiri. Mengguna tulang punggung mengampu si anak yang ada iras wajahnya. Wajah anak itu sedikit khuatir dan malu, tidak biasa agaknya melihat ibunya ditegur orang. 

Dan saya lihat tangan anak itu bertambah kuat memegang leher baju emaknya.

Waktu itu saya di mana? 

Menghantar kereta untuk dicuci. Rutin hari Ahad. Mencuci kereta bukanlah pekerjaan yang diidam, walau punya kereta sendiri memang menjadi idaman yang telah termakbul, alhamdulillah.

Wanita itu membalas senyum, kerana saya pasti saya yang menghadiah senyuman terlebih dahulu. Cuma yang terkilan ialah tiada kata salam dari saya seperti selalu. Terlupa, mungkin.

Oh, tak buat apa kak ...

Tapi ekor matanya mengarah ke plastik putih telus yang dipegang di tangan kanannya. Ah, ada botol kaca kosong dan tin-tin minuman kosong dalam plastik tersebut. Fahamlah saya. Tangan kirinya memegang kayu panjang halus. Guna untuk mengait tin atau botol minuman dari longkang yang berdekatan, mungkin.

Tinggal mana ni?

Ah, dekat-dekat sini saja kak.

Banyak dapat?

Pertanyaan saya. 

Sesuaikah? 

Haha. Saya bukan wartawan yang bijak mengatur soalan mencari maklumat. Dan saya juga tiada keinginan meneroka hal peribadi wanita itu. Cuma rasa kasihan menyelinap halus.

Oh, adalah jugak kak, semalam dapatlah juga 20 ringgit. Bolehlah buat belanja makan.

Suami mana?

Ada di rumah.

Suami tak tolong?

Ah, dia tidak mahu kerja kak. Malaslah nak menyusahkan dia. Biarkan saja.

Tiba-tiba rasa marah hadir.

Dan sesal. 

Bukan wanita itu. 

Saya.

Marah pada siapa? Saya pun tidak kenal suami wanita itu. Sesal kenapa pula? Entah. Bukan sesal rasanya. Lebih kepada ralat melihat melihat keadaan. Melihat anak itu terutamanya.

Ya, hidup ini memang payah. Dan realiti kadang kala sangat memedihkan.


Pick Up the Garbage



*Salam kasih buat yang berperang dengan kata hati dan fikirnya. Semoga tenang nanti.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 13, 2012

sentuhan lembut penuh kasih






Ada satu pandangan semalam yang masih terbayang dalam ingatan saya.

Tatkala makan bersama suami dan anak, lewat tengahari, ah, sebenarnya sudah hendak ke petang pun, di medan selera berhampiran dengan rumah.

Pandangan tentang apa?

Tentang kasih dan sayang. Antara sepasang suami isteri yang sudah berusia. Hanya berdua mereka. Makan bersama. Warga emas. 

Sebenarnya bukan perkara luar biasa.

Makan bersama dengan orang yang kita sayang sebenarnya adalah nikmat, yang terkadang kita ambil mudah. Menyediakan ruang untuk bersama, berusaha meninggalkan segala tanggung jawab yang lain, untuk hadir dan bersama, bukanlah pengorbanan kecil di kedua belah pihak. Terlebih lagi kalau keduanya sibuk dan terikat dengan komitmen yang lain.

Cuma kadang kita tak sedar, dan kita ambil ringan.

Jadi, apa yang luar biasanya tentang pasangan tersebut?

Tak ada istimewa sangat.

Cuma, tatkala mereka habis selesai makan, si makcik bangun dan berjalan dengan adult-walker kaki 4. Saya pandang adult-walker  tersebut.  Kenapalah ya, alat tersebut tak ada roda kecil dan brek khas. Sebab si makcik terpaksa menolak alat tersebut di atas lantai. Nasib baiklah lantai tersebut licin juga, jadi senanglah si makcik menolak. Kalau atas jalan raya bertar? Macam mana ya?

adult-walker

Ada satu babak yang menarik mata dan hati saya.

Tatkala sampai di kawasan lantai yang berbeza ketinggian , si makcik mengalami sedikit masalah. Terkial-kial hendak mengangkat adult-walker tersebut.

Selesai pakcik tersebut membayar makanan, bersegera beliau mendapatkan makcik, memegang belakang makcik itu perlahan dan sambil itu membantu mengangkat adult-walker itu ke ketinggian lantai yang sepatutnya, dengan tangan yang sebelah lagi. 

Babak itu yang terakam dalam fikiran saya.

Lemah lembutnya si pakcik terhadap makcik itu.

Cantik dan menenangkan, pandangan itu. Jelas dan terang, kasih si pakcik terakam melalui sentuhan dan bantuan yang diberi olehnya.

Dan bukan semua makcik-makcik yang ada di luar sana sebertuah makcik itu, rasanya.

Kepada semua suami di luar sana, saya mendoakan kelembutan layanan terhadap isteri anda adalah agenda anda yang utama. Dan moga Allah balas kelembutan itu dengan rahmat dan rezeki mencurah .



~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 17, 2012

sedih

Hujan.

Hari ini rupanya hari ramai bersedih di sekeliling saya.

Dan Allah turunkan rahmatNya seolah memberitahu, sedih itu pasti akan surut juga dan diganti dengan rasa nyaman serta selesa.

Sedih.

Kitaran perasaan yang berupa nikmat Allah, dikurnia pada setiap kita dalam darjah yang berbeza. Kadang sedih itu terasa seperti selaran halus mata pisau berkali-kali atas sekeping hati, yang secara fizikalnya tidak nampak di mata tetapi pedihnya terasa hingga ke ulu hati. 

Jangalah bersedih.

Walau saya tahu, kata-kata yang tertulis tidak bisa meredakan sedih itu. Percayalah yang sedih itu akan lupus juga. Kerana tidak ada yang kekal di dunia, hatta rasa itu sendiri.

Saya sentiasa percaya, kesedihan itu menguatkan hati, agar hati lebih kental dan tabah. Hati yang tidak teruji akan sentiasa lemah dan hilang arah, leka dan menjauh dari Allah.

Dan dalam detik meniti kesedihan ini, saya panjatkan doa, buat mereka yang bersedih di sekeliling saya, agar Allah limpahkan rahmat dan kasihNya pada setiap keping hati itu, agar bila nanti dinilai sekeping hati itu , syurga lah yang layak menjadi tempatnya.

Amin.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 26, 2012

bergaduh

Jom bercerita pasal lelaki. 

Tetiba pulak kan. Sebenarnya mendapat sms dari seorang rakan tentang kisah dua lelaki bergaduh berkait dengan masalah parking kereta. Perkara kecil seperti masalah parking boleh menjadi besar dan melarat bila tekanan darah  dan limpahan hormon testosteron meningkat.

Kalau nak cerita pasal lelaki, sampai tahun depan pun tak tentu habis lagi kut. 

Okay, okay, bukan lelaki saja yang suka bergaduh. Perempuan zaman sekarang pun sama jugak kan. Okaylah saya mengaku. Bukan mengaku yang saya pernah bergaduh sesama perempuan, tapi mengaku bahawa ada perempuan yang memang kaki gaduh. Tapi bergaduh pasal parking kereta(?) entahlah ya. Walau tak pernah lagi menengok perempuan bergaduh bertarik rambut secara live, sekadar di Youtube , drama dan filem sahaja, saya tahu ia bukan perkara luar biasa sekarang.

Cuma saya rasa, perempuan kalau bergaduh atas beberapa sebab. Mungkin kerana khuatir, hak miliknya diganggu gugat dan terasa seperti sesuatu miliknya akan diambil orang lain.

Yusof , apa citer sekarang?

Saya di sebelah sedang bersarapan nasi lemak yang kurang enak. Walau suami selalu memuji nasi lemak tersebut sedap, saya iyakan saja. Sebab makan free, jadi tak perlulah bersungut bagai kan. Sambil menyuap nasi lemak, saya memasang telinga. Ah, perangai busy body memang tak boleh nak elak. Yalah, dua lelaki tersebut, bersembang dengan tujuan untuk didengar orang sekeliling agaknya. Kuat suara mereka, memang tak boleh ditahan dari menerjah telinga saya.

Sudah balik kampung. Berhenti kerja , lepas itu kes lah...

Oh, saya memang ada dengar itu kes. Sampai tokey dia panggil dia kan , bla, bla, bla...

Dan , tanpa perlu bersusah payah, saya dapat tahu kisah si Yusof . Nasib baiklah Yusof bukan seorang artis, hanya seorang driver yang bekerja dengan seorang doktor berbangsa Cina .

Rupanya, orang lelaki pun bercerita juga tentang kisah rumah tangga orang lain .... ya.

*teori evolusi memungkinkan segalanya berlaku :)

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 20, 2012

hati kering

Ombak rindu menjadi tajuk kami waktu itu.

Saya dan si Noorul dalam kem minoriti. Dan yang lainnya di keliling kami adalah puak majoriti yang hati mereka me'layu' menonton ombak rindu melanda. Warna dunia bukan sekadar hitam atau putih, dan perbezaan warna hati yang terkesan dari pandangan mata masing-masing sentiasa memeriahkan lagi hidup, bukan begitu?

Suasana tadi , mengingatkan saya pada Ombak Rindu, bukan tentang kisah Ombak Rindu itu, tetapi kisah warna hati saya.

Saya memang berhati kering. Tetapi, alhamdulillah tidaklah buta hati langsung terhadap perasaan.

Saya minta maaf. Saya ni cememeh.

Dan dia peluk saya tanpa saya sangka. Air matanya mengalir. Perutnya yang memboyot menyukarkan saya untuk mendakap dia dengan lebih erat. Saya tidak ingin seperti hari itu. Memeluk dengan tidak kemas, seolah dakapan saya kosong dan hambar. 



Dalam saat sahabat sedang bersedih, kadang, kata-kata tidak perlu diungkapkan. Dan saat itu memang tiada baris ayat yang dapat saya ungkap. Mati akal.

Membiarkan airmata mengalir sebenarnya membantu menyembuhkan luka . Ubat mujarab.

Saya memang berdoa Allah beri yang terbaik untuk saya. Inilah yang terbaik. Walau pun saya tidak nampak kebaikannya hari ini, saya tahu inilah yang terbaik untuk saya.

Dia bersuara lembut sambil menyeka air matanya selepas babak mendakap erat , tamat.

Ayat inilah yang menyentuh hati saya. Dan saya kira ia akan bergema dalam jalur hidup saya selamanya. Meredhai ketentuan Allah dengan yakin dan pasrah bahawa sememangnya semua yang Allah garis serta noktahkan dalam hidup kita adalah yang terbaik untuk kita, tanpa rasa syak wasangka di atas keadilanNya. Dan rasa kasih terhadap sahabat ini tambah mendalam.

Moga Allah beri kita kebahagiaan hidup dunia akhirat dan dimudahkan segala urusan kebaikan kita.

Salam petang Jumaat, rakan-rakan semua.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 19, 2012

cucuk mencucuk

Masa memang sungguh cepat berlalu , kan.

20, 30 atau 40 tahun itu , bila dikenang dalam ingatan, seperti sekelip mata. Pelik, kan. Perasaan itu seperti perasaan kita dalam mimpi, sekelip mata. Padahal bila ditulis dan dilalui , bagi kita yang bernama insan ini, ia berlaku lama dan berliku. Cuma bila ia bertukar menjadi kenangan, ia seperti kelipan mata sesaat.

Seriously, cikgu, cikgu cucuk ya?

Yalah tu. Cucuklah sangat.

Doktor muda di depan saya ini saya pandang. Berisi sedikit badannya setelah bernikah. Walau waktu pernikahannya tidak diberitakan pada saya, tapi saya pun sedia maklum, manusia ada sisi sifat lupa terutama dalam keadaan atau situasi yang diluar jangka seperti sedih amat atau gembira sangat. Ada rakan guru yang sempat menghadiri majlis nikahnya dulu dan dari merekalah saya tahu bekas anak murid ini sudah menikah.

Betul-betullah cikgu. Umur cikgu berapa?

Saya membuat congakan di kepala, konon-kononnya. Sambil mata memandang syiling. Sejak menjadi guru Matematik secara bidan terjun ini, kerap juga aktiviti mencongak mengambil tempat dalam kepala. Hikmahnya menjadi bidan terjun :)

Tahun ini 46 lah. La... lagi 4 tahun nak 50 dah. Boleh dapat kad warga emas :)

Merepek aja, kan. Warga emas kan , umurnya 60 tahun ke atas. Hehehe ... dalam kepala saya menggelakkan diri sendiri.

Hahaha. Nanti cikgu beratur , orang suruh cikgu masuk barisan lain lah pulak. Cikgu ada makan apa-apa tak? Serious, la, cikgu nampak muda.

Perkataan keramat!!!

Nampak muda. Yeah...! Hati saya berbunga setaman. Hidung saya kembang semangkuk.

Taklah. Mana ada makan apa-apa. Tapi ....

Dia pandang, menunggu petua keramat keluar dari bibir saya. Kalau saya sebut apa aja pun, mesti doktor muda ini akan percaya rasanya.

.... lutut saya ni sakitlah.

Haha, kedut wajah boleh dilindung tapi, sakit lutut penanda dah tua, tetap tak boleh disembunyi, kan. :)


*tq Charlie for the free consultation . Nice meeting you. 


 ~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, January 17, 2012

konon....

Jarang , sebenarnya mendengar radio Ikim waktu pagi, KECUALI waktu hendak ke sekolah, pada sekitar pukul 935 am. Selalunya mendengar radio Ikim ini waktu lepas solat Maghrib, sebab menghantar anak ke kelas tuisyen. 

Tapi, sudah 2 kali saya berjaya mendengar radio Ikim waktu 8 pagi. Rupanya ada doa solat Dhuha yang diputarkan waktu itu, nyanyian kumpulan nasyid Unic. Itu pun, kerana terpaksa menghantar anak untuk latihan rumah di sekolahnya waktu 7.50 pagi dan sewaktu perjalanan balik, doa ini yang sedang berkumandang di radio Ikim. Best dan syahdunya. 

Tak percaya?

Cer dengar.



Betulkan, seperti yang  saya bilang? 

Ah, teruja mendengar doa tersebut. Dan biasalah ..., iman yang seperti graf gelombang bunyi dalam dada ni, kan, solat dhuha ini, sebenarnya bagi saya sukar juga hendak diistiqamahkan. 

Tak kira, balik ni, terus nak ambik wudhu' nak solat dhuha la. Ni kira belated azam untuk tahun 2012.

Ayat itu berulang-ulang terngiang dalam kepala sepanjang memandu balik ke rumah , macam pita kaset rosak yang berputar-putar. Maklumlah, kan. Saya rasa , graf iman saya waktu itu sedang dipuncaknya. 

Semangat sungguh. Ish...ish...ish.

Sampai di rumah, gantung kunci kereta, tutup pintu pagar, naik tangga dan terus ke bili air. Nak bersolat kenalah membersihkan diri dan berwudhu'. Bukan gitu?

perihal solat sunat dhuha


Ahhhhhhhhhh......

Sebaik melangkah nak menutup pintu bilik air, baru teringat ...., bukan dari semalam ke bendera merah sedang berkibar?

*tengah semangat nak jadi baiklah ni, uzur syarie dan tak leh nak bersolat pulak . grrr

Jalan menuju kebaikan, memang dipenuhi ranjau dan duri, ...konon.




~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 12, 2011

Go die !!!!

Some times when Muslims drink alcohol its not because always they are bad Muslims, but some times they don't have people to talk to about why their life is tough.
When some Muslims turn to drugs, they turn to sexuality, they turn to all kind of things that if we were to see those who did this, we would sure turn our nose against them but sometimes because they just  don't feel good inside and we are not helping them  make themselves feel better.  Why Me,  ALLAH?   dari minit 0:34:00




People go through things. Everybodys' reality is different.

Jika seorang wanita tanpa hijab datang menceritakan kisahnya kepada anda, tentang bagaimana sepanjang  perkahwinan paksanya dia didera emosi dan fizikal, tanpa belas dia diperlakukan sedemikian rupa dan dia terpaksa melalui setiap saat, hari , minggu dan tahun dalam perit dan siksa fizikal serta emosi, apakah yang akan kita buat? Setiap arah yang ditujunya meminta bantuan dan pertolongan, dinafikan, malah dia diingatkan bahawa menjadi kewajipannya menuruti perintah suami atas dasar Islam. Keluarganya yang terdekat juga malah mendesak dia untuk mempertahankan maruah dan nama baik keluarga serta bertahan.

Dan bagaimana jika dia mengaku, demi mempertahankan dirinya untuk terus kuat, dia mengambil bahan-bahan yang boleh melupakan deritanya itu buat seketika, supaya , selepas itu dia boleh terus berdiri lagi, untuk menghadapi segala keperitan itu semula. Minum arak dan mengambil dadah sebagai resolusi. Apakah yang akan kita katakan padanya waktu itu?  

Ish... awak dah berdosa ni. Bertaubatlah. Ini semua dugaan. Allah hendak uji awak...

Itukah kata-kata kita sedangkan realiti itu tetap berlaku dalam hidupnya.  

Atau jika kita lihat dia, seorang wanita tanpa hijab, berkata kesat dan tidak solat, tanpa mengetahu kisahnya, tidakkah dalam hati kita akan tercalit kata, ish.. teruknya perempuan ini, camanalah dia mengaku dia ni Islam?

Bukan mengata orang lain. Sebenarnya mengingatkan saya sendiri. Kerana persepsi itu juga terkena tempiasnya pada saya.

Menghukum tanpa mengetahui realiti disebalik kehidupan manusia lain.

Go die!

Reaksi seseorang, tentunya saudara Muslim, di timeline twitter terhadap seorang insan lain yang menghentam dan menghina Rasul dan Islam. 

Agaknya kalau Baginda Rasul melihat reaksi sebegitu dan reaksi kita terhadap manusia lain, adakah Baginda merasa suka dan bangga?

Melayan manusia lain dengan baik ~ secara fizikal, kata-kata, bisikan hati  dan pandangan mata.

Jom ... Kita cuba.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, December 1, 2011

balas membalas dengan mazidul akmal

Terkejut beruk.

Kenapa perkataan terkejut itu digandingkan dengan beruk? Bukan terkejut katak? Atau terkejut kucing?

Agaknya, si beruk kalau terkejut, lebih manis dipandang dari katak atau kucing yang terkejut.



Memang pagi ini, saya terkejut beruk betul.

Sebab?

Tiba-tiba, pengunjung ke blog siput ini menjadi ramai. Seolah sale di supermarket sudah beralih ke sini. Pelik juga. 

Melihat bahagian statistik, rupanya ramai pengunjung , pembaca luar yang tidak pernah menjejakkan kaki jari dan mata mereka ke sini. Ini angkara Mazidul Akmal menulis entri Saya Memang Tidak Suka Cikgu Normah , balasan kepada kenyataan saya, Saya memang tak suka Mazidul Akmal, semalam.

Wah, main balas membalas pulak ya.

Inilah dunia blogging . Balas membalas perkara biasa, bukan luar biasa. Terbuka, untuk tatapan semua.

Manisnya bila blog tersohor seperti blog Mazidul mengambil kesah blog-blog kecil macam ini. Dari pagi, senyum melekat di hati dan saya rasa wajah hidup saya berseri-seri hari ini. Terima kasih daun keladi, lain kali kena buat lagi :)

Yang penting, kita doakan usaha baik Mazidul dan rakan-rakannya dalam projek bantal itu diterima Allah sebagai pencen akhirat mereka dan dimudahkan segalanya.

Dan untuk insan-insan gelandangan, kita mendoakan kesejahteraan hidup mereka dunia akhirat. Moga Allah menunjukkan jalan dan mengeluarkan mereka dari kesengsaraan dunia yang mereka terpaksa harungi ini.

Ingin juga saya kongsikan video  tentang kehidupan seorang penagih heroin di akhir kehidupannya. Jalan hidup yang tidak pernah dirancang oleh sesiapa pun, tetapi kesedaran untuk berubah tiba lewat di hujung usianya. 
As a bright schoolboy from a loving, middle-class family Ben Rogers was expected to make a success of his life. Raised in a quiet, picturesque village Ben was a Boy Scout, loved cricket, played in the school orchestra and looked forward to the annual family holiday. But despite his privileged start in life Ben found himself on the road to ruin, injecting heroin up to four times a day.
During his last months, Ben kept a video diary of his drug use and desperate attempts to come off heroin. Ravaged by the drug, Ben’s body began to break down: he developed DVT and his veins were rendered so useless he had to inject into his groin. Despite his family’s best efforts, Ben couldn’t stop. He was haunted by, and hooked on, heroin. ~ Ben: Diary of a heroin addict




Sedih.

Kita doakan agar sahabat, kenalan, saudara mara, kaum kerabat, anak cucu kita dan diri kita sendiri terjauh dari masalah dadah ini.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 27, 2011

jadi kurang upaya bila si dia beralih kasih

Kebergantungan.

Dependant.

Menjadi manusia mestilah bersifat independant bukan bersifat dependant. Ciri manusia yang berkualiti adalah bersifat tidak bergantung pada manusia lain. Sememangnya kan. Pada kita manusia yang terlalu bergantung pada manusia lain itu bersifat lemah.

Tapi, bukankah kita ini memang tabiinya bersifat lemah?

Dan, walau pun kita tahu kita ini lemah, kita tetap tidak mahu dikait dengan sebarang keadaan yang menampakkan kelemahan kita itu. Bila nampak si buta bertongkat dipimpin oleh seseorang melepasi kita, dalam senyap kita berdoa, janganlah hendaknya musibah itu terkena pada kita. Bila melihat seseorang dalam kerusi rodanya, kita berdoa lagi, janganlah nanti kita jadi seperti itu.


The problem, of course, is that whether or not you're disabled right now, you're on your way to joining our ranks. Disability-rights activists call the nondisabled "temporarily abled". With aging, inevitably, comes the loss of physical and often mental abilities. The process usually begins around age forty when we buy our first pair of reading glasses. Then by fifty, some of our memory starts to go. We all move toward a part of our lives when we're going to be more dependant.

And here's a bit reassurance. You'll get over it.

How do I know that?

Because that's what we human do. We get over things. Even things that seem like our own worst nightmares.


- Daniel Gottlieb: Learning from the Heart , pg 84 - 85.

Satu hari nanti, kelemahan kita itu akan jadi ketara. Dan sifat kebergantungan kita akan dinampakkan. Sekuat mana kita, sebebas mana pun kita dari manusia lain, satu hari nanti, hidup kita perlu juga pada mereka.

Disabled Newspaper

Dan kita akan jadi manusia kurang upaya.

Sebelum dari itu berlaku, janganlah hendaknya kita menjadi manusia obses dan pesimis pada manusia yang kita sayang hari ini. Seolah kewujudan kita akan lupus jika si dia itu beralih kasih dan beralih arah.

Salam 1 Muharram 1433 Hijrah

*tanpa cermin mata ini, masih bisakah melihat dengan jelas dan terang segala salah dan silap?

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 17, 2011

ngauman si belang bergegar dan mengalahkan si Garuda yang terbang bersama sayapnya yang koyak

Apakah yang saya syukurkan pada hari ini?

Buatlah jurnal kesyukuran untuk 1 minggu. 3 kesyukuran berlainan bagi setiap hari. Pasti kita akan fokus pada semua yang positif dalam hidup kita sendiri. Dan secara langsung kita akan menarik semua yang positif di sekeliling kita; rakan, keluarga, rezeki dsb ~ Dr Muhaya : Audio Ketenangan Dalam Kehidupan  , 25:55 .

Jadi apakah yang saya syukurkan hari ini?

Kerja-kerja di sekolah saya hampir beres. Sebelum cuti ini, perkara utama yang saya perlu lengkapkan ialah Fail Panitia saya. Alhamdulillah, Allah mudahkan. Walau pun pada mulanya terasa begitu banyak yang perlu dilengkapkan, rupanya , tidak sebanyak mana yang saya risaukan.

Itu satu.

Yang keduanya.

Saya tidak sakit kepala semasa duduk di meja saya sepanjang hari di sekolah. Sakit kepala , memang agak rutin bagi saya, terutama bila duduk di kawasan meja saya yang semak samun ibarat belukar. Agaknya, kerana meja saya sudah lapang, dibersihkan, sakit kepala itu pun tidak menghinggap. Alhamdulillah.

Kereta saya berkeadaan baik, sihat dan sejahtera. Walau pun tadi petang, mengekori sebuah kereta dari belakang yang pemandunya teragak-agak hendak berhenti di tepi jalan atau meneruskan perjalanan tanpa sebarang lampu isyarat diberikan, mengakibatkan hampir-hampir sahaja kereta saya bergesel dengan keretanya. Alhamdulillah , Allah jauhkan musibah dari saya.

Itu tiga syukur saya pada hari ini.

Esok, kita tengok apa syukur saya yang lain pula.

Jom, kita buat jurnal kesyukuran kita dan ajak rakan lain turut serta. :)

*manusia yang disayangi Allah ialah manusia yang sering memberi manafaat buat orang lain.

**Rupanya ngauman si belang bergegar dan mengalahkan si Garuda yang terbang bersama sayapnya yang koyak . Tahniah untuk pemain Harimau Malaya!!





Tetibe, kan!!

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 15, 2011

bukan sudah ku kata begitu...?

Satu perkara yang menarik dan mengujakan. 

Bukan. 

Bukan tentang gambar budak perempuan bertudung yang kelihatan menunjukkan "si kembar" di dadanya. Aish... langsung tak menarik, tetapi menjelikkan.

Tetapi, tentang artikel ini;  M'sians working more and carrying home more work . 
I have a dear friend who works in a rather high position in a multinational who told me that whenever she was at headquarters in Europe, she is reminded that no one is allowed to work beyond office hours unless a written request is submitted.
“They shut down the office after 5 so you had better have a strong case to want the lights and air-conditioner on,” she said.
Saya punya seorang rakan yang bekerja di peringkat yang agak tinggi di sebuah syarikat multinasional, yang memberitahu saya bahawa bila sahaja dia berada di ibu pejabat syarikat tersebut di Eropah, dia akan diingatkan bahawa tiada sesiapa pun dibenarkan bekerja melebihi waktu pejabat melainkan permohonan bertulis untuk berbuat demikian diminta terlebih dahulu. 

"Mereka akan menutup pejabat selepas pukul 5, jadi anda perlu punya alasan yang cukup kuat jika mahukan lampu dan alat penghawa dingin dipasang selepas waktu itu," katanya.
~ Soo Ewe Jin

Saya kira di sana, iaitu di over the sea, ialah membuat kerja bersungguh pada waktu yang ditetapkan. Ini yang dinamakan produktiviti.

Kualiti kerja.

Kerja dalam masa yang singkat tetapi kerja yang bermakna. Tidak guna juga menghabiskan masa 10 jam di tempat kerja, tetapi tetap hasilnya ialah hasil last minute.

Tidak mengata orang lain. Ini sedang memukul dulang, terpercik air ke muka sendiri. Eh, betul ke peribahasa ini ya. Ya, saya juga ada perangai-perangai masuk kerja ikut waktu, balik kerja di luar waktu, tetapi , kerja tetap hampas. :(
ACCORDING to a global survey by Regus, Malaysians are not only clocking more hours at work but bringing their office load back home as well.
Mengikut kajian global oleh Regus, penduduk Malaysia bukan sahaja bekerja lebih waktu tetapi turut membawa balik beban kerja dari pejabat juga.

Dari tulisan artikel tersebut yang bersumber dari kajian global, seramai 47% dari kita-kita ni, yang membawa balik kerja , lebih 3 kali dalam masa seminggu berbanding 43% rakyat dunia. Dan, 15% dari kita ini yang bekerja lebih 11 jam sehari, berbanding 10% rakyat dunia.

Wah... siapa yang kata rakyat Malaysia ni malas? Siapa?

Dah terang lagi bersuluh kan. Memang kita ni rajin lah, kan. Saya pun termasuklah juga tu. :) Dan saya mengaku punya ramai rakan-rakan yang rajin-rajin belaka seperti saya. Hahaha, tak nak mengalah jugak kan.

Tetapi, ada kesan tidak baiknya dari sifat kita yang terlebih rajin ini.

“The long-term effects of such over-work could be damaging to both workers’ health and overall productivity. This is because workers may drive themselves too hard and become disaffected, depressed and even physically ill.”

Kesan jangka panjang akibat kerja berlebihan boleh memberi kesan tidak baik kepada kesihatan pekerja dan produktiviti. Ini kerana pekerja tersebut memaksa diri untuk bekerja dan boleh menyebabkan murung dan sakit fizikal.

Ha... sekarang saya sudah tahu kenapa saya murung. :)

Depressed


Jadi , kengkawan sekalian, pencen pada usia 60 memang tak patut, dan bekerja di hari Sabtu serta overtime memang tak wajar.

Setuju??

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 13, 2011

tak tidur malam mengenangkan mu


Cikgu, ada nombor telefon sharudin?

Sharudin mana?


Eh, tertinggal la pulak cikgunya...Cikgu Shahrudin.

Tak ada. Kenapa?

Ala... saya belum minta maaf lagi dengan dia.


Balas-membalas sms pagi tadi dengan anak murid.

Kes last minute  lah ni, kan. Tiba-tiba teringat pula pada cikgu Bahasa Malaysia di sekolah, di pagi Ahad yang ceria.

Memang ceria, kan Ahad hari ini. Tak tahulah saya di tempat lain. Tetapi, kain di ampaian saya semuanya , alhamdulillah kering belaka. Setelah semalam basah dan sejuk menguasai suasana.


Debaran berkala setiap tahun.

SPM bukan segalanya, bagi kita yang sudah melepasi. Tetapi bagi anak-anak ini yang baru hendak memulakan langkah sendiri selepas ini, SPM adalah kayu pengukur, bakal meletakkan mereka pada tempat tertentu di mata orang sekeliling.

Tenangkan resah mu, anak-anak sekelian.

Worry heart

Malam ini seperti ada tanda-tanda hujan akan mendodoikan anak-anak ini dan kita-kita  yang sewaktu tempatnya dengan saya.

Alhamdulillah juga.

Malam jadi enak untuk melepaskan lelah dan menenangkan resah .

Buat anak-anak yang akan menduduki SPM esok, saya doakan segalanya menjadi mudah buat anda. Serahkan segalanya di tangan Allah, setelah segala usaha dan lelah menjadi bayang anda hampir dua tahun ini.

Tawakkal sahaja tanpa melunasi kewajipan sebagai Muslim dan anak soleh memang tidak tepat. Jadikan hari ini, malam ini sebagai hari baru buat yang telah lama leka.

Good luck and all the best.

~cikgunormah@klcitizen~ 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...