Friday, April 27, 2012

kontang

Update lah blog.

Perlahan suaranya, antara dengar dan tidak. Pembaca tegar itu mengingatkan saya, mengembalikan semula semangat untuk menulis. Walau saya tahu, menulis kali ini membawa bersama idea kontang, mengiring setiap ayat dan patah kata.

Ah, pedulikan.

Yang penting, tetap mahu menulis, mengasah minda dan akal menyusun aksara. Agar tidak nanti berkarat, jumud  dan beku.

Cikgu, macamana nak isi yang ini ?

Saya menghampiri pelajar itu, berkulit hitam manis, semanis senyumnya. Berkaca mata empat segi sisi hitam, ditempatkan oleh saya di tepi tingkap. 

Waktu itu sesi menjawab soal selidik PISA. Bertanyakan hal peribadi pelajar. Tentang bagaimana mereka, pelajar-pelajar usia 16 tahun seluruh dunia yang turut serta dalam program PISA itu,  menghabiskan masa mereka, bertanyakan tentang  ibu bapa mereka, tahap pendidikan ibu bapa dan sebagainya.

contoh buku soalan PISA - sumber 

Oh, isi jelah. Dia nak tahu pekerjaan ibu kamu. Kalau ibu kamu sudah berhenti kerja, tuliskan jawatannya yang terakhir. Faham?

Saya cuba menerang selembut mungkin. Kerana kehendak soalan sangat jelas, tiada apa yang boleh menjadikan ianya keliru. Dan saya tidak faham kenapa pelajar ini sukar menjawab.

Mereka ini dipilih secara rawak, dan saya tidak kenal si dia yang bertanya. Tidak tahu tahap pencapaiannya, kefahamannya membaca soalan atau menganalisa kehendak soalan.

Jadi, mungkin, fikir saya, dia ini memang lemah.

Tapi, emak saya dah meninggal dunia. Macamana saya nak isi?

Hati saya dijentik halus. Ah, membuat kesimpulan awal tanpa tahu kisah hidupnya. Teruknya saya. Siang-siang melabel tanpa ada rasa bersalah. 

Tapi, setelah tahu secubit kisahnya rasa bersalah memanjat perlahan.

Oh, kalau begitu awak tulis pekerjaannya yang terakhir sebelum meninggal dunia. Bila emak kamu meninggal dunia?

Dua tahun lepas.

Ringkas jawapannya. Dan dia terus menulis di ruangan yang tersedia. Saya meneruskan langkah.

Cikgu!

Ah ! Dia lagi. Dan masih senyum yang sama di wajahnya.

Menghampiri dia, saya membaca soalan yang tertera . Perihal bapa. Peringkat pengajian bapanya yang tertinggi yang dicapai.

Cikgu, saya tak tahu bapa saya.

Kali ini hati saya bukan lagi dijentik. Hati saya seperti dihiris sembilu, halus.

Oh, awak tak kenal ayah awak?

Dia mengangguk perlahan.

Err ....

Teragak-agak mencari jawapan. Sayalah.

Awak letak je, Sekolah Menengah Atas. Sebab lazimnya, sekarang, orang mesti habis belajar sampai SPM, kan.

Ah.

Bagaimana, ya? 

Anak semuda itu begitu kuat kelihatan, menjalani hidupnya. 

Perlahan, dari jauh, saya mendoakan kekuatan dan kejayaan  dalam hidupnya .



~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

11 comments:

  1. salam..
    kesiannya anak yatim :(

    ReplyDelete
  2. Kesian dia.
    Saya juga tidak mengenali ayah saya cikgu.

    ReplyDelete
  3. Tiba-tiba sebak saya membaca entri ini. Kesian kepada pelajar tersebut.

    Berapa untungnya anak-anak yg masih mempunyai ibubapa seperti anak-anak saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang ramai yang beruntung dan ramai juga saya kira seperti anak ini

      Delete
  4. Sedih menyelami perasaan anak murid ini.

    ReplyDelete
  5. mmg kuat dan tabah..x dpt bygkan hidup tanpa kasih syg ayah..

    ReplyDelete
  6. Begitu mulianya pekerjaan seorang cikgu.., membimbing anak murid yang mencari jawapan. Bayangkan kalau dia takde guru nak ajar, ibubapa pun tiada, akhirnya dia jadi apa....

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.