Friday, April 20, 2012

tak mau !

Pagi yang tergesa.

Dan hari yang memenatkan.

Musim acara di sekolah kembali lagi. Hari Anugerah Cemerlang. Pasti banyak sekolah yang sudah habis melaksanakannya dan ada juga yang masih mengira hari menanti pelaksanaannya. Hari ini raptai penuh di sekolah. Ah, bukan saya sahaja yang penat. Ramai lagi yang lebih penat dari saya. Rutin setiap kali acara berlangsung di sekolah.

Hanya yang tahu saja yang faham kan.

Kenapa ni?

Waktu senggang sebelum sesi seterusnya bermula. Ternampak pelajar itu terduduk di atas tangga. Aliya.  Pelajar PPKI (Program Pendidikan Khas Intergrasi) , istimewa dengan keunikannya yang tersendiri. Tangan kanannya mengurut kakinya perlahan.

Di sebelahnya , pembantu guru PPKI, sibuk memujuk.

Jom Aliya. Jom naik atas.

Tak mau. Tak mau. Kaki kita kaki plastik.

Sambil itu dia mengurut kakinya. Mukanya menahan sakit. 

Saya menghampiri mereka berdua. Khuatir jika ada yang tak kena dan mungkin saya boleh menghulurkan bantuan.

Kaki dia ni kaki plastik ke?

Tanya saya perlahan pada pembantu guru tersebut. Manalah tahu, kan. Pelajar-pelajar istimewa ini punya pelbagai masalah tersendiri dan hanya guru-guru mereka yang terlibat sahaja yang faham dan tahu. Dan saya sebagai guru yang tidak terlibat langsung dengan pengajaran dan pembelajaran mereka ini memang tidak arif.

Pembantu guru itu menggeleng sambil tersenyum. Menidakkan alasan si Aliya untuk tidak mahu masuk ke kelas.

Cikgu, cikgu... atok kita meninggal.

Aliya menarik lengan baju saya bila saya menghampiri. Dan dia mengesat hujung matanya.

Eh, bila? Bila atok meninggal? Tadi?

Simpati pula melihat keadaanya di situ.

Aliya mengangguk. Pembantu guru tersebut yang melihat hanya tersengih. Dan segera saya dapat  menangkap gaya sengih dia.

Bila atok meninggal Aliya?

Saya cuba memancing.

Semalam atok meninggal ke atau esok atok meninggal?

Aliya pandang muka saya. Tangannya masih menarik hujung lengan baju saya perlahan. Mohon simpati, supaya dibenarkan untuk terus duduk di tangga , tidak mahu masuk ke dalam kelas.

Esok ?

Dia mengangguk. Mengiyakan.

Saya  tergelak di situ. Ah, tak patut saya menggelakkan Aliya yang sedang bersedih, kan. Memang tak patut. Tapi , ia tindakan spontan. Maafkan saya Aliya.

Ok, jom kita baca fatihah kat dalam kelas ya, Aliya.

Tak mau!

Okay, kita baca Yassin ya.

Tak mau!

Saya hanya beredar, menahan gelak sambil mendengar dari jauh pembantu guru itu memujuk Aliya yang sedang bersedih kerana atoknya meninggal esok dan kerana itu dia tidak mahu masuk kelas.



~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 comments:

  1. Macam-macamlah murid-murid zaman sekarang ini. :-)

    ReplyDelete
  2. As salam Cikgu,

    Tinggi betul imaginasi kanak2 istimewa ni ye ;)

    ReplyDelete
  3. mcm2 kerenah..sabar ya cikgu..hehe

    ReplyDelete
  4. Dia nak bermanja dengan cikgunya tu.., mungkin tiada tempat dia bermanja.

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.