Saturday, May 2, 2020

Pemergian Yang Dicemburui






Semalam, Jumaat Ramadan hari ke 8 pada tahun ini.

Hampir sepanjang hari tersebut, cuaca suram.  Di awal pagi hari, gerimis di daerah saya. Suasana sejuk dan nyaman mengiring hati dan perasaan yang berat dengan kesedihan. Tatkala matahari pagi cuba menjengah, hujan renyai-renyai meredupkan sinarnya, mungkin mahu mengurangkan terik panas, agar hati-hati insan di sekeliling saya yang sarat dengan rasa sayu ini dapat dipujuk .

Sesungguhnya Allah memilih insan terbaik dalam kalangan kita.

Perkara yang berlaku hanya sebagai asbab. 

Manusia memang tabii sifatnya, sukar menerima jika tanpa sebab musabab. Apabila sesuatu itu berlaku bersandarkan kenapa dan mengapa, maka kerelaan untuk akur dengan ketentuan lebih mudah menghadirkan diri.

Kematian itu pasti.

Kita tidak punya kuasa menentukan bagaimana pengakhiran kita nanti, di mana dan dalam keadaan apakah, ajal yang tertulis untuk kita. 

Menakutkan, bukan?

Bagaimana pun, dengan masa yang masih tersisa ini, kita mampu dan masih berdaya untuk bersangka baik dengan Allah dan sentiasa berdoa . Semoga pengakhiran kita nanti adalah seperti pengakhiran insan-insan yang baik di mana kematian mereka memberi tanda pengakhiran yang husnul khatimah.

"jika seseorang itu ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa ajalnya pada bulan Ramadan atau pada waktu-waktu mulia yang lain seperti hari Jumaat, atau pada tempat-tempat mulia yang lain seperti di Tanah Haram, maka ia boleh dikategorikan sebagai salah satu tanda husn al - khatimah (pengakhiran hidup yang baik)"


Berturut-turut mendapat berita kematian dalam awal Ramadan kali ini. Dalam FB, group whatsapp, malah dalam kalangan insan terdekat juga. Semalam, usai mendengar pemergian anak saudara sebelah suami, hati tersentuh amat. 

Keterujaan perasaan mengirim ucapan tahniah kepada aruah kerana berjaya melahirkan bayi lelaki dari ahli-ahli keluarga terdekat tidak lama. Perasaan itu diganti dengan rasa sedih yang terselit rasa cemburu dengan pemergian aruah. 

Allah Yang Maha Tahu. Dia lah Yang Maha Agung.


        قَتْلُ الْمُسْلِمِ شَهَادَةٌ وَالطَّاعُونُ شَهَادَةٌ وَالْبَطْنُ وَالْغَرَقُ وَالْمَرْأَةُ يَقْتُلُهَا وَلَدُهَا جَمْعَاءَ

Maksudnya: Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai seorang syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian karena sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid.


Seperti mendapat pakej yang lengkap buat aruah. Allah!

Hari Jumaat, Bulan Ramadan dan baru lepas bersalinkan anak. 


Pemergian yang membuat insan-insan di sekeliling tertanya-tanya apakah amalan yang dibuat beliau sehingga Allah memilihnya mendapat pakej terbaik mengakhiri kisah hidupnya di dunia ini. Sesungguhnya, hatinya ikhlas sentiasa dalam memberi. Tidak berkira. 

Hati emas.

Arwah Ieyka dan Suami

Allah Yang Maha Tahu. Dialah sebaik-baik Perancang. Maha Bijaksana dan Maha Pengurnia Rezeki .

Pemergian Ieyka memberi semangat pada saya untuk memuhasabah diri. Merenung semula sekeping hati saya, bagaimanakah kedudukan hati ini nanti di sisi Allah.

Bagaimanakah pula pengakhiran hidup saya nanti? Adakah makbul doa-doa menginginkan kematian husnul khatimah yang saban kali dipanjatkan?

Hanya Allah yang menentukan. Upaya kita hanya berdoa dan mengharap serta membuat amal baik sedaya mungkin. Berusaha sebaik mungkin untuk menghadirkan ikhlas dalam amal kebaikan yang kita lakukan.

Kematian yang baik menjadi cita-cita setiap daripada kita yang beriktikad Allah itu Satu dan Nabi Muhammad itu Rasulnya. Semoga penyusulan kami nanti, Ieyka, seperti kamu juga, di bulan baik, hari mulia dan asbab yang baik.

Berehatlah Ieyka, bermainlah bersama anakanda Nurul Akifa Naila, cinta hati Ieyka, yang menanti ibunya dari 2017 lagi. 

Kami mendoakan.


Salam kasih.


~cikgunormah@klcitizen~













Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...