Assalammualaikum ..
Waalaikummussalam.
Saya membalas senyumannya. Walau saya sudah tahu niat dan kehendaknya. Orang lain di sekeliling sedikit pun tak kisah. Membiarkan sahaja. Yalah, kalau saya pun seperti mereka, saya akan membiarkan juga.
Memang saat-saat seperti inilah waktu yang sesuai. Kerana saya tidak dapat lari dari keadaan itu. Terperangkap.
Strategi yang semua orang pun sudah tahu.
Izinkan saya ambil masa akak. 5 minit sahaja.
Tutur katanya tersusun.
Mestilah. Sudah beribu kali ia terlafaz , saya kira. Seperti butir nasi yang saya suap ke dalam mulut tanpa perlu dilihat satu-satu. Dan tanpa perlu dituju dan disasar dengan mata, elok saja saya menyuap ke dalam mulut.
Begitu juga butir katanya. Satu-satu. Laju tapi jelas . Takut kalau-kalau saya mencelah.
Saya nak perkenal produk terbaru. Yang ini buku panduan solat jenazah, siap ada gambar dan penerangannya sekali. Kalau akak tak nak baca, kami sertakan CD sekali . Mudah, kan. Sekarang untuk akak, saya bagi harga promosi. RM10 sahaja.
Saya tidak pernah diajar untuk kurang ajar, terlebih lagi terhadap orang yang telah memberi salam dan mengucapkan doa kesejahteraan buat saya. Kerana itu , saya mendengar dan melihat apa yang ditunjukkannya, walau sudah berapa kali rasanya benda 'baru' seperti ini telah biasa saya lihat. Dan saya juga sudah punya set promosi tersebut.
Tak apalah dik. Terima kasih. Akak tak nak.
Senyum pada si dia. Berwajah bujur manis, bertudung bawal hitam. Sopan. Kecil molek.
Oh tak apa, kalau yang ini, akak? Ini tentang sejarah Mekah dulu hingga sekarang. Siap ada gambar foto lagi.
Dia menyelak buku itu satu-satu helaian, tanpa saya minta.
Sekali lagi saya menggeleng, menolak ajakannya membeli set tersebut.
Ok , tak pe. Terima kasih kak. Selamat menjamu selera.
Bagus kau, dik. Punya semangat kental sebegini. Waktu saya seusia kamu, tentunya saya tidak seberani dan sekuat kamu mendepani manusia pelbagai ragam dan gelagat. Hanya jiwa kuat dan telinga tebal saja yang bisa mengharung segala ini.
Dari jauh saya lihat anak gadis itu menyinggah dan mempromosi pula pada dua anak muda lelaki berpakaian segak yang sedang asyik menjamu selera. Dan sekali lagi, usaha anak gadis itu tidak berhasil. Lantas dia berpaling ke meja di sebelah membelakangi dua anak muda tersebut.
Tapi, hati saya membengkak tiba-tiba.
Kenapa?
Sakit hati apabila saya lihat dua anak muda itu menggeleng kepala menggelakkan anak gadis tersebut di belakangnya.
Saya percaya tukang-tukang jual seperti anak gadis ini akan berjaya satu hari nanti. Kerja yang dilakukannya sekarang pada saya adalah tarbiyah yang paling mahal dalam membina jati diri dan kekuatan sebagai usahawan yang berjaya.
Bukan semua yang boleh melakukannya.
Bukan semua yang boleh melakukannya.
Bukan begitukah?
*Salam kasih dan ingatan buat yang sedang dilanda kebosanan . Moga Allah tenangkan hati dan sinarkan pelangi semula.
~cikgunormah@klcitizen~
selalu juga saya beli di kedai makan bila budak budak ni datang menjual.. kalau tajuk buku tu menarik.. saya mesti beli :)
ReplyDeleteTambahh budak perempuan ini. Suatu hari nanti akan jadi usahawan wanita yang berjaya.
ReplyDeleteSaya pernah terbaca ada usahawan wanita berjaya dengan menjual ubat batin lelaki. Tidak dapat bayangkan ujian dan rintangan yang dilalui oleh beliau.
jika kita x suka..kita x perlu maki2 dan ckp dgn penuh budi bahasa...
ReplyDeleteKak Ani ada juga beli buku dan cd ni ketika menikmati makanan di sebuah restoran mamak.
ReplyDelete