Showing posts with label rencam. Show all posts
Showing posts with label rencam. Show all posts

Tuesday, January 31, 2012

makan gaji buta

Ada masa marah menggila , membuak-buak dalam dada. Geram teramat tak tahu hendak dikisah bagaimana.

Cikgu, adui...sakit cikgu.

Ha, macam itulah hati saya sakit ni.

Saya lepaskan sideburn nya. 

Bukan seorang. Bukan dua orang. Semua budak lelaki yang hadir dalam kelas itu , saya pun tak perasan ada berapa orang. 9 atau 10 orang. Kesemuanya pelajar contoh di sekolah, sepatutnya. Belajar Chemistry, Add Maths bagai, dan masih lagi membincang tajuk kecil yang  sama walau sudah masuk minggu ke 4 persekolahan.

Mana jawapan yang  dah bincang semalam? Saya dah beri jawapannya, kan, satu-satu. Tinggal awak menyalin dan hantarkan pada saya sahaja hari ini untuk laporan amali ni.


Er... er..

Mana?!

Er... Saya ingat cikgu nak bincang saja.

Ahhhh !!!

Sampai ke pelajar lelaki terakhir, saya sudah hilang sabar. Kata-kata sudah tidak tergaris di benak lagi. Amarah saya menutup idea dan jalur fikir saya. Saya kena buat sesuatu. Kalau tidak, ada nanti berita di dada akhbar, guru baling kasut pada pelajar.

Saya berjalan ke depan makmal, mencari bangku dan memasang kipas pada kelajuan maksimum. Lantas saya duduk diam macam patung.

Hari ini, makan gaji buta! 

Alahai...

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 5, 2012

perempuan memanglah sensitif

Pakai tudung baru kak normah?

Wah, ada juga orang yang perasan tudung baru saya ini setelah puas berjalan mudik  ke hulu dan ke hilir dalam bilik guru.

Hahaha... jangan ada yang muntah lah pulak membaca entri saya malam ini.

Bukan tentang tudung baru yang hendak saya tuliskan. Tudung masa sale, apalah yang hendak dibanggakan. Orang lain beli tak yah ber sale pun, tak ada kecoh sekampung.

Nak menyentuh tentang satu sifat yang saya kira ia unik sungguh bagi kita perempuan.

Sensitif dengan perubahan orang sekeliling.

Bukan sensitif tidak bertempat. Sensitif dengan perubahan yang positif dan perubahan yang negatif. Terutama, dan terlebih lagi bab-bab naik badan, turun badan, baju baru, hand bag baru, gelang baru... :)

Bab kereta baru? Itu, saya kira lelaki dan perempuan memang sensitif .

Bagus ke?

Bagus kalau ia dapat mengeratkan ukhuwwah. Memuji secara ikhlas tanpa berlebihan. Kerana pujian yang ikhlas boleh kita rasa dari nada suara dan gerak mata. Dan ia sentiasa membuat harga diri si penerima meningkat. Itu satu cara membantu rakan, sahabat, saudara dan kerabat kita membina jiwa yang positif.

Kadang, pujian positif ini bukan terhad kepada bahan material yang tersangkut di badan sahaja. 


Beautiful Lotus


Pelbagaikan pujian positif kita. 

Melihat kekuatan dan kebaikan dalam diri orang lain dan kita beritahu secara jujur supaya dia tahu. Perkara yang benar dan bukan rekaan. Biar pun ia kecil dan seolah tidak signifikan pada kita, tetapi mana tahu, perkara itu yang akan diingat oleh insan yang kita puji itu sepanjang hayatnya. Lebih manis lagi, kalau pujian itu menjadi landasan bagi si dia untuk mencapai kecemerlangan hidupnya.

Dan niat kita juga mesti betul, membantu rakan dan insan terdekat mendapat aura positif kerana Allah.

Salam di malam Jumaat. 

:)

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 16, 2011

nak 'happy'

Saya nak happy hari ini.

Satu pernyataan yang bukan saya sahaja yang inginkan, tetapi semua dari kita yang merangkak, berjalan dan berlari di atas muka bumi ini juga mahu. Kalau boleh hendak happy bukan hari ini sahaja, tetapi hari-hari dan hingga ke hari terakhir kita nanti pun, kita pejam mata dengan senyuman di bibir, happy untuk berhijrah ke alam sana.

Bukan begitu?

:)

A truly happy person is one who can enjoy the scenery while on a detour.  ~ Unknown


Kalau hendak happy, meh , kita ikut cara ini.




  1. Bangun pagi, lepas termenung sini sana, perkara pertama di bilik air yang perlu kita buat  ialah pandang cermin dan senyum pada diri sendiri. Berapa kali agaknya kita senyum pada diri sendiri dan kita lihat senyuman kita itu balik? Walhal, senyum itu sendiri ialah sedekah, dan kita jarang menyedekahkan sesuatu untuk diri kita. 

  2. Buat orang lain happy. Ini bukan rahsia. Apa yang kita mahu terjadi pada kita, kita perlu lakukan terlebih dahulu pada orang lain. Ayat..."Saya hanya hormat orang yang hormat saya " tak boleh di guna pakai lagi dah. Itu dah out of  trend. Hormat orang lain, insyaAllah kalau dia tak hormat kita balik pun, orang lain berganda-ganda akan hormat kita. Jadi, bagi orang lain happy  bila berada di sekeliling kita, insyaAllah kita akan happy juga.

  3. Membuat pilihan yang betul dalam bahan bacaan dan bahan yang ditonton. Kalau nak happy tapi dok baca novel sedih atau berita-berita sedih, seperti isteri terjun lombong sebab suami main kayu tiga, isteri muda dan isteri tua bersaing pakai spek mata paling besar, saya pasti ia sedikit pun tidak akan membantu aras happy  anda meningkat. Sebab itu saya , sehingga kini jarang sangat menonton drama Melayu dan tidak ingin langsung menonton filem Ombak Rindu. Kerana, cerita sedih boleh membuatkan saya dalam bersedihan berminggu-minggu. Parah dan payah. Dan saya juga tidak suka filem yang menggambarkan wanita baik serta beragama itu naif serta lemah dan dari kampung. Ish... saya baik (*masuk bakul angkat sendiri*) dan beragama , jadi ada kena mengena tak dengan naif dan lemah?

  4. Mendengar kata-kata/ ceramah motivasi. Ini penting. Sebab, bila hati kita tidak di isi dengan perasaan sedih, ia akan jadi lompong. Dan akan diisi dengan perkara lain pula, dengki dan iri hati, itu pasti akan cuba menghinggap. Saya sarankan ceramah-ceramah pendek Dr Muhaya (di sini) atau penceramah sesiapa sahaja. Saya memang peminat tegar Dr Muhaya, jadi kerana itu saya mencadangkan mendengar kata-kata beliau.

  5. Akhir sekali, seperti biasa, tiada jalan lain , kecuali minta pada Allah, bersungguh-sungguh. Sebenarnya, segala kuasa itu bukan pada no 1, 2, 3 atau 4. Itu cuma ikhtiar kita sahaja. Yang membenarkan semua itu menjadi dan berkesan ialah Allah jua.
Selamat berhappy  di hari Jumaat penuh berkat ini kawan-kawan. Moga tenang itu menjadi milik semua insyaAllah.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, December 1, 2011

balas membalas dengan mazidul akmal

Terkejut beruk.

Kenapa perkataan terkejut itu digandingkan dengan beruk? Bukan terkejut katak? Atau terkejut kucing?

Agaknya, si beruk kalau terkejut, lebih manis dipandang dari katak atau kucing yang terkejut.



Memang pagi ini, saya terkejut beruk betul.

Sebab?

Tiba-tiba, pengunjung ke blog siput ini menjadi ramai. Seolah sale di supermarket sudah beralih ke sini. Pelik juga. 

Melihat bahagian statistik, rupanya ramai pengunjung , pembaca luar yang tidak pernah menjejakkan kaki jari dan mata mereka ke sini. Ini angkara Mazidul Akmal menulis entri Saya Memang Tidak Suka Cikgu Normah , balasan kepada kenyataan saya, Saya memang tak suka Mazidul Akmal, semalam.

Wah, main balas membalas pulak ya.

Inilah dunia blogging . Balas membalas perkara biasa, bukan luar biasa. Terbuka, untuk tatapan semua.

Manisnya bila blog tersohor seperti blog Mazidul mengambil kesah blog-blog kecil macam ini. Dari pagi, senyum melekat di hati dan saya rasa wajah hidup saya berseri-seri hari ini. Terima kasih daun keladi, lain kali kena buat lagi :)

Yang penting, kita doakan usaha baik Mazidul dan rakan-rakannya dalam projek bantal itu diterima Allah sebagai pencen akhirat mereka dan dimudahkan segalanya.

Dan untuk insan-insan gelandangan, kita mendoakan kesejahteraan hidup mereka dunia akhirat. Moga Allah menunjukkan jalan dan mengeluarkan mereka dari kesengsaraan dunia yang mereka terpaksa harungi ini.

Ingin juga saya kongsikan video  tentang kehidupan seorang penagih heroin di akhir kehidupannya. Jalan hidup yang tidak pernah dirancang oleh sesiapa pun, tetapi kesedaran untuk berubah tiba lewat di hujung usianya. 
As a bright schoolboy from a loving, middle-class family Ben Rogers was expected to make a success of his life. Raised in a quiet, picturesque village Ben was a Boy Scout, loved cricket, played in the school orchestra and looked forward to the annual family holiday. But despite his privileged start in life Ben found himself on the road to ruin, injecting heroin up to four times a day.
During his last months, Ben kept a video diary of his drug use and desperate attempts to come off heroin. Ravaged by the drug, Ben’s body began to break down: he developed DVT and his veins were rendered so useless he had to inject into his groin. Despite his family’s best efforts, Ben couldn’t stop. He was haunted by, and hooked on, heroin. ~ Ben: Diary of a heroin addict




Sedih.

Kita doakan agar sahabat, kenalan, saudara mara, kaum kerabat, anak cucu kita dan diri kita sendiri terjauh dari masalah dadah ini.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 22, 2011

perangai yang tak sanggup...

Perangai.

Boleh kah diubah?

Boleh. Kalau ada kemahuan. Tidak ada apa yang mustahil.

Kisah semalam sahaja sudah menjadi bukti. Bagaimana harimau membaham si garuda, sedangkan garuda itu sifatnya sendiri terbang tinggi, sentiasa merasa selamat dan merasa hebat dalam jajahannya.

malaysia zoom

Ada banyak nilai yang boleh kita tulis dan bicarakan dari kisah yang telah terjadi. Dari banyak sudut sebenarnya, bergantung dari sudut mana posisi anda, kan. 

Cuma satu yang ingin saya sentuh.

Kesatuan dalam keterujaan .

Tanpa mengira apa, siapa dan apa pegangan anda, kesatuan boleh dicapai, walau hanya untuk beberapa jam itu. Indah. Dan indah itu meresap dalam setiap jiwa, terasa bangga dan jati diri itu sendiri bingkas bangun dalam setiap dari kita pastinya.

Manis , kan.

Tetapi, perangai yang satu ini payah hendak saya ubah.

Memasak . 

Setakat masak untuk makan tengahari, pagi, malam , saya masih sanggup lagi. Tapi kalau diminta membuat cup cake, cookies dan sewaktu dengannya.... alahai. Minat itu sungguh, tidak hadir. Suruhlah saya membaca , menulis atau melukis, saya sanggup. Tapi membancuh, membakar dan menghias kek? Adui... 

Nasib baiklah saya ni sudah berkahwin. Kalau tidak, memanglah kan. Alasan terbaik bagi bakal mertua untuk cancel.

Kenapa, tiba-tiba bercakap pasal cupcake ni?  Rupanya, ada aktiviti underground  oleh rakan di sekolah, berkumpul dan belajar membuat cupcake dan cookies dengan salah seorang masterchef yang tercicir dari pertandingan. *jangan marah*

masterchef yang buat kerja nampaknya

hasil tangan diorang. setakat tengok dalam gambar je le :)

*Lain kali , kalau buat aktiviti, calling-calling le. Setakat jadi tukang sibuk bolehle jugak . Tak pe. Tak kecik hati pun, sungguh, lillah. Hihihi. 

Tahniah kepada yang berjaya hari ini. Atas kejayaan apa pun, yang baik, semestinya. :)

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, November 12, 2011

mimpi ngeri dan realiti yang pahit

Meanwhile, Deputy Education Minister Datuk Dr Wee Ka Siong said teachers should not be blamed for accidents. - The Star Online

Kisah tragis.

Kejadian bersebab tayar bas pecah.

“There were two drivers on board. Initial investigations showed that the driver at the wheel lost control of the bus after one of the front tyres burst. - Four Die In Tragic Crash

4 insan yang pasti akan diingati selamanya oleh orang yang tersayang. Kemalangan maut di Tanjong Malim, Perak, melibatkan pelajar-pelajar SMK Air Merah, Kedah, seorang guru dan seorang Ketua Wanita Umno cawangan Kampong Alor Teja.

Inilah sebenarnya mimpi ngeri bagi mana-mana guru.

Membawa pelajar berombongan , lawatan sambil belajar, ke pertandingan atau ke mana sahaja, tidak kira berapa ramai pun, hatta, membawa seorang pelajar keluar atas urusan sekolah pun , pasti berdebar-debar. Resah dan kecut perut.

Apa pun memang boleh berlaku.

Pelajar tertinggallah, barang pelajar hilanglah, lambat sampai dari masa yang ditetapkan dalam suratlah, memang sering terjadi dan pernah terjadi. Walau pun, beberapa langkah keselamatan memang diambil oleh guru-guru yang terlibat.

Mengurus sebuah rombongan memang payah. Bukan kerja mudah. Apatah lagi mengurus anak-anak orang lain ini. Bermacam kerenah akan kita jumpa.


Dan saya tetap kagum dengan guru-guru yang diamanahkan atas tanggungjawab ini. Cekal dan komited, itu ciri yang mereka ada pastinya.


Buat yang telah pergi ini, kita panjatkan doa, moga roh mereka ditempatkan bersama insan soleh dan moga keluarga yang ditinggalkan dimudahkan hidup mereka dunia akhirat dan tabah menghadapi ujian besar ini. Ameen.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 29, 2011

mati kena langgar


Kenapa , kan, cikgu....

Saya sudah tahu apa yang ingin ditanyanya. Bila sudah berbelas tahun mengajar benda yang sama, sesiapa pun, sudah boleh mengagak bahagian mana yang akan menjadi kemusykilan pelajar dan menjadi bahan soalan.

Tetap saya mendengar, seolah soalannya itu pertama kali saya dengar. 

Ya ?

Kenapa pakcik yang saya kenal tu, dah berpuluh tahun merokok, tak ada pun mati-mati lagi.  Baru ni dia pergi check paru-paru dia, bersih je paru-paru tu.


Soalan yang sama. 

smoking in the shadows
Terutama bila berbincang tentang penyakit dalam badan manusia. Dan bila dibaca pernyataan antara punca pencemaran udara ialah asap dari kenderaan atau asap rokok, yang mana ini boleh membawa kepada penyakit yang lain seperti penyakit paru-paru atau kanser, maka, akan keluarlah soalan-soalan seperti itu.

Kalau betul, merokok boleh menyebabkan sakit kanser atau tibi, kenapa pakcik si anu atau pakcik si ani masih segar bugar, malah anak-anaknya berderet lagi , cikgu. Sihat-sihat pun.

Wallahualam. 

Itulah jawapan saya. Yalah, penyakit, kematian, susah senang bukan di bawah kuasa saya. Allah yang punya kuasa.

Walau pun bukan tidak ada kajian yang dilakukan untuk mengesahkan pernyataan itu, tetap ditanya mengapa, kenapa dan bagaimana.
Berdasarkan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Ke-2 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam tahun 1996, tabiat merokok menyebabkan kematian lebih kurang 10, 000 setahun. sumber

Tapi, kalau hendak dibanding-banding kematian akibat merokok dan kematian akibat kemalangan di jalan raya sebenarnya hampir sama sahaja bilangan yang mati, keduanya beribu-ribu kematian.
Kematian yang dijangkakan pada tahun 2005, 2006, 2007 dan 2008 ialah 7,684, 7,775, 8,293 dan 8,845 masing-masingnya, tetapi usaha-usaha pihak berwajib termasuk program Ops Sikap telah mengurangkan kematian itu kepada 6,188, 6,287, 6,282 dan 6,527 bagi siri tahun-tahun yang sama. - Malaysia Pegang Rekod Kematian Jalan Raya
Tetap tentang mati beribu manusia.

Tak betullah kata, merokok boleh membawa maut.

Pakcik yang awak nampak tu mungkin Allah beri peluang kat dia untuk bertaubat, tapi bila dia tak taubat , Allah panjangkan umur dia. Bila panjang umur tak taubat juga, Allah panjangkan lagi.. Itulah agaknya. Itu dah memang rezeki dia lah. Rezeki awak pulak  yang merokok ni tak taulah nak kata, kan. Saya yang tidak merokok ni pun tak boleh nak kata juga mati sebab apa.

Samalah juga rasanya bila memandu. Bukan semua yang memandu akan mati kemalangan, kadang-kadang yang tengah duduk makan tepi jalan di kedai mamak, bersebelahan dengan jalan raya tu yang mati kena langgar.

Kerja Allah, bukan kerja manusia.

Tapi, tetap, merokok itu membahayakan kesihatan ya, nak.

~cikgunormah@klcitizen~ 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, September 28, 2011

nasib baik lagi saya tak tumbuk muka awak...


Kesusahan boleh membawa kebaikan. Jika dinilai dari sudut positifnya.

Dan saya berharap, agar saya sentiasa diberi Allah kebolehan, menilai serta menerima sisi positif dari setiap kejadian yang berlaku.

Dah lama jadi driver tow truck ni?

Pertama kali saya duduk di bahagian penumpang dalam lori tow truck

Sejam setengah menunggu trak tunda itu untuk sampai ke tempat kereta saya. Penantian kali itu terasa pendek, kerana Allah mudahkan dengan kehadiran rakan guru yang sangat prihatin, serta dua orang bekas pelajar  yang meneman saya berbual. Kehadiran mereka menghilangkan rungsing serta tekanan perasaan melihat kereta saya tersadai di tepi stesen minyak.

Terima kasih banyak-banyak. Allah sahaja yang dapat membalasnya. :)

Lama jugalah cikgu, dengan AAM ni dah hampir 10 tahun.

Hari itu sahaja, sehingga jam 630 petang waktu itu, kereta saya merupakan kereta ke 12 yang telah ditundanya. Penat. Sudah pasti. Mengharung kesesakan jalan hendak menyampai ke tempat tuan-tuan punya kereta yang gelisah, risau dan cemas akibat kereta yang breakdown tak kira masa, sebenarnya , rupanya, bukanlah kerja mudah. Baru saya tahu.

Macam-macam cerita , cikgu. Ada satu kes, saya sampai di tempat breakdown dalam masa 45 minit selepas tuan punya kereta call HQ. Belum sempat saya buka pintu trak saya, tuan punya tu  dah bukakan pintu dan terus TUMBUK muka saya. Ni ... , parut kesan tumbuk ni pun ada lagi.  

Dia berpaling mengadap saya. 

*Eh, eh , tak perlulah tunjuk, tengok je ke jalan depan encik Badrul -nama si driver seperti tertera pada uniformnya - , awak tu tengah drive, tegur saya dalam hati.  :) *.  

Padahal jalan memang jam waktu itu.

Dia tumbuk muka en Badrul??  

Macam tak percaya pun ada. Tapi saya percaya. Sebab dalam keadaan risau, cemas, panik, panas, penat, lapar, malu dengan kereta yang tersadai di tepi jalan atau di tengah jalan, apa perkara pun mungkin berlaku.

Cikgu tau apa yang saya buat?

Manalah saya tahu.  Tapi sebenarnya soalan bentuk sebegini tak perlu di jawab. Jadi saya tunggu sambungan ceritanya, sambil melihat ke jalan raya di hadapan dan saya pasti saya tak pernah sampai ke kawasan tersebut. 

Saya cakap pada dia. 'Tokey, saya sampai tempat tokey dalam masa 45 minit saja, tak sampai satu jam pun. Sekarang, tokey sudah tumbuk muka saya, saya mau pegi klinik ambik ubat untuk ini luka , kemudian saya mahu pegi balai , buat report, lepas itu baru saya datang balik.'

Habis tu , dia cakap apa.

Si tokey tu bising jugak..., dia kata, kereta dia macamana? Saya kata, tokey tunggu sajalah. Saya mahu selesai masalah saya dulu. Saya pun pegi klinik, buat report kat balai, lepas tu saya pegi balik ke tempat tokey tu, saya cakap kat tokey tu, saya sudah selesai urusan saya, tokey tunggu sini, lagi 3 jam, kawan saya akan datang bawak lori truck lain punya, angkat tokey punya kereta. Terkulat-kulat bijik mata dia. Saya pun, balik semula ke ofis, buat report. 

Dia sambung lagi ...

Nasib baiklah cikgu, saya tak balas balik tumbukan dia, walau pun dulu, saya ni pun kategori panas baran jugak. 

Hahaha. Tergelak saya di situ.

Dalam hati saya berkata, nasib baiklah tadi saya tak tumbuk muka En Badrul ni, waktu dia sampai tadi. Hah... nasib baik. :)

Dan nasib baik juga, saya bukan seorang  pemandu kereta tunda.
Steer Up the Yellow Line of the Tow Truck


*terima kasih kepada operator, mekanik dan pemandu kereta tunda di AAM Kuala Lumpur yang membantu saya semasa dalam kesusahan tempohari. Jasa kalian juga tidak mungkin saya balas, hanya kepada Allah saya serahkan urusan tersebut.



~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, September 25, 2011

memang perempuan tak malu

Dua hari ini, saya banyak membuang masa.

Sedar-sedar sudah malam Isnin. Ah.... menyesal kemudian, sentiasa tidak berguna. Berjanji dan berazam dengan diri sendiri memang teramat payah hendak ditunaikan.

Saya sedar kalau digrafkan iman saya tatkala ini, ia berada di paling bawah dalam lengkung huruf U. Berada dalam zon selesa boleh membuatkan seseorang seperti itu. Itu yang saya fikir. Segalanya mudah, bangun pagi hingga waktu hendak tidur begitu santai  masa-masanya. Tiada yang hendak dikejar, ditangis atau dicari-cari.

Alhamdulillah. Memang bersyukur. 

Tapi, ia membuat saya jadi leka juga. 

Dan bila esok tiba hari untuk bekerja, tanda-tanda serangan panik secara perlahan muncul . Dan Isnin tetap dipersalahkan kerana muncul begitu pantas. Dilabel Blue Monday  dan lebih parah Black Monday.

Bila rasa terdesak ini muncul, tetap padaNya saya mohon, moga dipermudahkan segala urusan saya esok, serta hari-hari seterusnya.

Tak malu sungguh , kan....

Semalu Yg Tak berapa nak malu


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 12, 2011

siapa yang lebih?

Which One Are You?


Perbandingan.

Segalanya. Sejak dilahirkan, lagi. Beda berat pun dipersoalkan. Bayi yang lebih berat menjuarai . Itu waktu lahir.

Cerah dan gelap juga dibandingkan.

Belum lagi petah berkata atau tidak. Dah tumbuh gigi atau belum. Berapa batang? Ah.. Segalanya dibandingkan.

Umur hajah berapa?

Dah hampir 70.

Oo... saya 85.

Bercakap memandang terus ke muka, sebab yang 85 tu , pendengarannya sudah tidak jelas.

Dah ada cicit?

Sudah, baru dua.

Oo... saya dah hampir 20 orang cicit. Yang si Jenab je, cucunya saja dah 14. 

Saya menadah telinga. Tumpang mendengar. Mereka bukan saingan saya. Kalau hendak dibanding, memang jauh panggang dari api. Kalahlah saya, dari segala segi.

Baru kenal, tetapi menyebut si Jenab seolah kami sudah maklum. Tanpa mukaddimah, siapa si Jenab. Tapi dari gaya bercerita, saya maklum, si Jenab itu cucunya.

Cucu hajah berapa?

Err.... pause . Membuat kiraan mental, saya kira.

Ada 25 rasanya. Senyum. Ada nada bangga sedikit.

Oo... saya dah 30 cucu. Betul, kan?  Si 85 mencari kepastian dari pembantu di sebelahnya. Pembantu menggeleng, membetulkan fakta.

Oo... ya, bukan 30, dah lebih 40 cucu saya. Dah tak terkira.. hehehe.

Saya pun tumpang tergelak. Geli hati pulak rasa saya. Membandingkan bilangan cucu dan cicit masing-masing. Setelah segala benda dibanding sejak dari kecil, bila dah di hujung usia, apa lagi yang layak dibandingkan, bukan lagi sijil dan gulungan ijazah, tetapi bilangan zuriat yang membawa 'the essence of tradition of the family'  , intipati  dari salasilah serta susur galur tradisi keluarga. 

Nanti mati juga dibandingkan. Susah dan senang mengadap kematian.

Ah, menakutkan.

  Tetiba hari ini bawak ayat Quran pulak :)
*notakaki: agak-agaknyalah , bilangan anak, cucu dan cicit ini jika disisih bilangan yang menjengkelkan hati, tinggal berapa ya?


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 8, 2011

badan dahlah berbulu, kuku panjang pulak tu


Bila sudah sampai di usia seperti saya, soalan yang akan ditanya oleh rakan-rakan yang lama tidak bersua ialah anak dah belajar kat mana sekarang.

Bukan lagi , anak berapa?

Kecualilah, rakan itu memang sudah terpisah lama sungguh sejak belum berkahwin lagi.

Ada juga rakan-rakan yang seusia sudah punya cucu, sama ada cucu sendiri atau cucu saudara. Tetaplah cucu juga, kerana tetap anak-anak itu akan memanggil nenek saudaranya nenek atau atuk. Nak lebih glam panggil granny atau lebih asli panggil nenda.


Normah, tengah buat apa? Sibuk ke?



Ah, sudah tahu bertanya pula. Ini memang perangai orang kita. Nampak orang sedang menjemur pakaian, ditanyanya, tengah buat apa tu? jemur baju ke?

Seperti biasa, rutin biasa, termenung di meja. Termenung itu banyak faedahnya, kalau tuan-tuan nak tahu lah.

But daydreaming can be beneficial in many ways and, ironically, can actually boost productivity.  ~ Why Does Daydreaming Gets A Bad Rap? 
Termenung memberi manafaat dalam banyak cara dan ironinya, ia boleh meningkatkan produktiviti.


Ha, jangan tidak tahu. 

Tapi bukan tentang kisah termenung yang saya hendak ceritakan, sudah lari jauh dari niat sebenar .


Tak ada buat apa kak. Kenapa?

Marilah sini kejap, akak nak tunjuk gambar cucu akak.


Mestilah gambar beraya ni. Memang sekarang sedang musim menunjuk dan menampal gambar-gambar cun dan meriah beraya masing-masing di blog atau dinding-dinding jaringan sosial.

Eh, jangan salah sangka. Saya tiada masalah dengan trend ini. Kebahagiaan kita kongsikan bersama, itu kan baik.


Gambar raya ke akak? Cucu baru?


Saya bergerak segera mendekati mejanya. Angan-angan saya, terpaksa dibekukan buat sementara. Saya lihat dia menggerakkan jarinya di trackpad laptopnya, mencari folder picture.



A, ah. Gambar cucu baru. Ha, ni... ha.


Sengihnya lebar, menolak laptopnya mengadap saya supaya skrin laptop itu mengadap saya betul-betul.


Ya, Allah... pause, terkejut.... kenapa cucu akak ni berbulu-bulu? Kukunya pun panjangnya..






Getting The Hang Of It
Bukan gambar sebenar..


Serentak itu saya tergelak besar.

Kalau dah minat kucing, memang, tak boleh nak kata apalah. Reda jelah.


Ni mesti datuk dia banyak bulu ni, kak.




Ada pulak suara yang mengomen di belakang.

:)

~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 6, 2011

memang tak akan kawan sampai mati


Isu yang tidak pernah habis. Dua perkara sebenarnya, iaitu cepat melatah dan mengejek.

Sejak kecil lagi saya pun diejek, dipanggil anak vespa sebab nama aruah abah ialah Mispar, jadi diejek sebagai Vespa. Merah telinga, memang. Panas hati, memang. Tapi memang jenis berat mulut, jarang saya balas, cuma mencuka itu terserlah di wajah. 

Tak nak kawan dah, sampai mati

Azam tersemat kukuh waktu itu dalam hati. Cumanya sekarang sudah tidak ingat pun siapa yang mengejek saya.

Saya lihat budaya mengejek ini kita wariskan pada anak-anak tanpa sedar. Cara bagaimana? Entah, saya pun kurang pasti.

Diejek nama mak bapak, darah akan mengalir laju. Dada berdegup kencang, panas hati. Diejek pula warna kulit, di katanya anak India lah,  anak Indon lah, anak Banglalah, kepala si mangsa jadi besar , merah dan panas dek tekanan darah meningkat. 

Lalu, cepat melatah. Pantang diejek, walau mak bapak sendiri tak tahu dan sedang senang lenang di rumah. Bangun, membalas cakap, berlawan mulut dan kalau tak cukup serta masih tak puas hati , ajak bergaduh.

Kita kena jaga maruah cikgu. Tu nama mak bapak.

Alahai, anak-anak.  Maruah bukan pada nama, tapi pada akhlak dan bawa diri anda.


Are other people making fun of me? Si pengejek dan mangsa berbalas cakap, merendahkan satu sama lain, masing-masing merasa lebih hebat dari yang lagi satu. Ah, ego setinggi gunung betul.

Budaya kitakah cepat melatah ini?

Rasulullah s.a.w. sendiri apabila Baginda diejek dihadapan Sayidatina Aisyah, dan isteri baginda itu bangun memarahi kaum musyrikin kerana kasihnya beliau terhadap Rasulullah, telah menghalang Aisyah dari berbuat demikian.


“There is nothing that has gentleness in it except that it is beautified, and there is nothing that has harshness in it except that it makes it ugly. So be calm, O Aisha!” ~ Being religious without being a jerk 

Contoh dari insan maksum yang patut kita contohi, sedaya mungkin.

Cepat melatah. Janganlah. Menjaga maruah bukan dengan membalas kata, dan beradu tenaga atas perkara seremeh itu.

Walau diejek sebanyak mana pun, anak-anak ..., tidak luak sehuruf pun nama ayah dan ibu kita itu.

*penat rasanya melihat perangai tak sudah ini....


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 5, 2011

kalut dan kucar kacir betul



Researchers have found that happiness forms a U-shaped curve over the course of life. We're happiest in youth and old age - The Geography of Bliss , pg 371

Terjemahan
Pengkaji mendapati kebahagiaan membentuk lengkung huruf-U melintasi perjalanan hidup. Kita di puncak bahagia semasa zaman kanak-kanak (muda) dan di usia tua.



Itu kajian.

Dan kajian biasanya berdasarkan fakta yang terkumpul dan biasanya melibatkan pengukuran dan penganalisaan secara saintifik.

Walau pun ia tidak menggambar keadaan sebenar bagi setiap individu, tetapi secara umumnya ia boleh merasionalkan keadaan.

Waktu remaja, saat mencari identiti , jiwa kucar kacir, bahagia dan sedih seperti hembus nafas , silih gantinya pantas.

Chaos Bukan mengata sesiapa, berdasar pengalaman sendiri. Resah , bosan, geram dan menyampah adalah kamus realiti waktu itu. Di waktu tenaga melimpah, tenang sukar menyinggah. Emosi tidak stabil.

Menghampiri usia senior , hehehe, taknak juga menyebut tua, segalanya lebih stabil. Alhamdulillah.



Nampak gayanya saya semakin menghampiri puncak hujung huruf 'U'. :)

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, September 2, 2011

tubuhnya montok, bahunya mulus, pehanya manis, dada dan lurahnya terserlah indah

Raya di Malaysia sinonimnya apa ya, selain takbir, rendang, balik kampung, lagu raya dan duit raya? Pasti banyak yang boleh dikaitkan dengan raya berdasar pengalaman peribadi masing-masing. 

Tapi, saya kira yang masih tetap ada sejak dari saya kanak-kanak dan bertambah lebih lagi hingga sekarang ialah rancangan hiburan di televisyen. Sejak dari siaran filem warna hitam putih hinggalah sekarang menggunakan skrin HD pelbagai, hiburan pasti mewarnai urusan ziarah kita di rumah-rumah yang kita singgah.

Ish, dah raya keempat pun masih lagi berjoget-joget kat tv ni lah. Rasa nak muntah kak. Setakat dengar lagu tu, bolehlah masuk lagi telinga ni, tapi bab nak memandang dah tak larat.

Itu keluhan adik ipar, sementara kami berborak kosong. TV di depan mata masih setia cuba menghiburkan. Rancangan apa entah, tidaklah saya perasan, tapi yang pasti TV9 , dan ada beberapa pasangan sedang menari tarian ala tradisional dengan suara latar lagu raya. 

Saya mengangguk. Perbincangan sudah beralih arah pada rancangan televisyen di hari raya.

Eid Mubarak
A...ah. Akak pun ada tertonton sekilas pandang filem-filem di TV ni, yang Adnan sempit lah, senario nya la. Yang pasti dan nyatanya ialah pelakon wanita melayu islam dalam filem kita memang bertubuh montok, berbahu mulus, pehanya manis, dada dan lurahnya terserlah indah. Ciptaan Allah memang cantik untuk ditonton meraikan kemenangan kita melawan nafsu selama sebulan....

Patutlah dulu-dulu masa masih muda remaja, teringat lagi orang-orang tua dok mengeluh melihatkan kami yang masih muda ini melekat mata ke skrin tv menonton filem dan rancangan hiburan.

Baru kini saya faham mengapa dan kenapa mereka asyik mengeluh.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, September 1, 2011

petua awet muda


Syawal ke 3.

Adat berhari raya, ziarah menziarahi, terlebih lagi kalau sanak saudara. Inilah masanya bertemu saudara mara yang lebih tua dan yang hampir bertahun tidak ketemu.

Masing-masing berubah. Usia dan jarak masa mengubah penampilan dan gaya. Paling tidak pun, kedut di wajah bertambah, walau uban di kepala tidak dapat dilihat lantaran terlindung dek tudung di kepala.

Apa kabar, Wo?

Panggilan Wo memang dari dulu terasa pelik, sejak saya berusia kanak-kanak lagi. Tapi, kini setelah usia sendiri pun melebihi 40an, kejanggalan itu tidak terasa. Ibu mertua kepada emak saudara saya. Kini usianya sudah pun menjangkau 80an. Tetapi, beliau masih kelihatan bertenaga dan berseri wajahnya.

Cerah kulit dan rendah orangnya mungkin membantu beliau awet muda. Orang kata, mereka  yang rendah-rendah ini Allah beri kelebihan kekal awet muda. 

Paman, Wo tu nampak sihat lagi. Mesti ada amalan dia yang dia buat selalu, yang jadi rahsia dia sihat walafiat macam tu.

Saya bertanya anaknya, yang juga merupakan suami kepada emak saudara saya.

Oh... mestilah ada.

Forever young
Wah, hati saya berbunga. Sudah terbayang petua orang tua menjadi milik saya, akan saya amalkan hingga akhir hayat , InsyaAllah, jika halal dan tidak melanggar syariat.

Ya? 


Apa dia?

Bertanya lagi, setelah Paman saya itu diam sebentar, memandang ibunya dari jauh. Takut juga kalau dia keberatan berkongsi rahsia. Maklumlah, kekadang, ada manusia ini yang tidak mahu amalannya itu dirakyatkan, biarlah ia menjadi rahsia. Tapi, sepanjang mengenali Paman saya ini, saya tahu beliau bukan orang yang kedekut ilmu.

Petua dia... 


'Pause' lagi. Pasti petua yang sangat rahsia ini.  Saya memasang telinga, kerana suara Paman makin perlahan.


Petua dia, kalau sakit, dia makan ubat.

Ah..... Suami di sebelah ketawa. Syawal ke 3 menjadi ingatan :)

*selamat beraya semua.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, January 29, 2011

Mencerap




Perkataan refleksi membawa banyak maksud... tetapi bagi seorang cikgu di Malaysia masa kini ialah ianya adalah sebahagian perkara yang perlu ditulis dalam buku rekod pengajaran dan mesti ditulis hanya selepas proses pengajaran telah dilakukan.


Contoh ayat yang diguna tulis semasa mencatat refleksi ialah: 80% pelajar dapat menguasai kemahiran memasang alat radas dengan tepat. 20% pelajar perlu  latihan semula.


Tujuannya amat jelas, sebagai salah satu cara mengukur pencapaian objektif pengajaran pada hari itu.


Kisah bermula di kantin juga. Kantin sekolah banyak memberi sumber ilham bagi saya menulis dalam blog.


"Awak tahu hari ini saya dicerap oleh Penolong Kanan."


Oh ya ? Dalam hati saya berdebar lah pula, terfikir bila pula giliran saya untuk dicerap semasa mengajar. Jangan ingat semakin lama kita mengajar, hati kita tenang dan tenteram semasa guru lebih senior duduk di belakang kelas memerhati dan mencatat ,  memberi komen tentang cara kita mengajar.


Apa komennya?


"Dia kata pelajar agak pasif. Padahal semalam semasa saya mengajar dengan budak-budak tu, bukan main lagi aktif diorang ni. Pelik pulak..."


Budak pun stress kut bila ada pencerap di belakang kelas?


"Agaknya lah ya...."


Jadi, cikgu... dalam refleksi nanti cikgu patut tulis....:
Pengajaran hari ini tidak mencapai objektif yang digariskan, kerana kehadiran Pencerap menyebabkan konsentrasi guru dan pelajar terganggu....

:)


*hati dah berdebar bila masuk mengajar lepas raya cina nanti, takutnya macam pensyarah nak bagi markah masa jadi guru pelatih dulu


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 4, 2010

Positif dalam fikiran dan tindakan




Beberapa hari ini nanti, blog ini akan terabai buat seketika, begitu juga dengan twitter saya. Ada hal penting dan besar yang perlu dilaksanakan dan memerlukan perhatian penuh dari saya, sehinggalah minggu hadapan.

Hari Ahad malam, sempat menghadiri majlis kenduri perkahwinan sepupu suami saya di Hotel Sunway. Alhamdulillah, rezekinya murah, dikurniakan Allah suami yang mampu melaksanakan kenduri kahwin di hotel bertaraf lima bintang. Apa lagi, pucuk dicita ulam mendatang, teringin juga hendak merasa suasana berkenduri ala-ala orang berduit ni, kan.

Saya cuba untuk berlagak biasa seperti orang kampung tetapi bila dikelilingi oleh ramai manusia yang bergaya dan berjenama hias bagai, aii.... terasalah juga betapa tak berduitnya saya. Itulah,  bila asyik memandang bintang di langit, tidak terasa indahnya rumput di kaki sendiri, kan. Padahal, sebenarnya hidup sendiri pun sudah cukup serba serbinya.


majlis perkahwinan 5 bintang

tetamu yang berbintang-bintang ~ biras saya dan saya
Sebagai tetamu, semuanya indah dan sedap. Yalah... orang sudi menjemput, takkanlah hendak mengata majlis orang pulak kan. Tak baik macam tu. Nanti orang kata , macam tidak mengenang budi , ibarat melepaskan anjing tersepit.

Saya rasa entri saya kali ini banyak menggunakan peribahasa aras sekolah rendah, kan. Kalau dalam peperiksaan Bahasa, penggunaan peribahasa yang diselitkan dalam karangan akan memberi markah bonus yang banyak pada pelajar, kan... Jadi, anak-anak murid yang membaca entri ini sila jangan ikut ya. Dan jangan lupa... esok dah mula PMR, kan.

Selamat menjawab peperiksaan bagi semua yang akan  mengambilnya, doa banyak-banyak agar tenang dan dipermudahkan. Ishhh.....hati saya yang berdegup kencang rasanya......

Apa pun, sebelum mengakhiri entri tidak bermotif saya kali ini, saya mengucapkan syukur kerana Allah memberi saya ruang dan peluang lagi sekali menziarah sahabat maya iaitu Maiyah di rumah terbukanya. pergi pun setahun sekali kan, maiyah...

Mengenal beliau, banyak mengajar saya erti ketabahan dan berpandangan positif dalam hidup. Tak percaya, ziarahlah blog beliau di sini

maiyah dan saya
Apa pun yang berlaku, cubalah kita sentiasa menyisipkan positif dalam fikiran dan tindakan. Sukar, memang... siapa kata mudah tetapi ia tidak mustahil.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 14, 2010

Cacing

Nyamuk Aedes bukan sahaja penyebab denggi, rupanya ia boleh juga menjadi pembawa kepada cacing dalam badan.

Tanda-tanda cacing tersorok dalam mata ialah sakit, mata berair, mata merah dan terasa benda bergerak dalam mata. Cacing tersebut boleh membesar sehingga 12 cm, 2 kali panjang jari kelingking saya, dan setebal wayar laptop saya....!



nst


Nasib baik bukan di Malaysia. Saya tidak boleh hendak membayangkan cacing tersorok di dalam mata. Kalau dulu-dulu tahun 60an dan 70an dulu memang setiap bulan kena makan ubat cacing, sebab suka sangat main tanah, berkaki ayam, jadinya banyak cacing dalam perut.

Kalau hendak tahu anak bercacing dalam perut atau tidak, tengok semasa tidurnya, punggungnya akan terangkat waktu tidur. Itu kata orang yang lebih tua dari saya lah.

Tapi, saya tahu anak-anak sekarang jijik hendak memijak tanah berkaki ayam. Tengok anak sendiri pun masa berumur 3, 4 tahun dulu, terjingkit-jingkit berjalan di dapur rumah emak di kampung.

Dari segi kebersihan, baguslah begitu, kan, tapi dari segi 'survival' nantinya, entahlah. Salah diri saya sendiri juga.

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 25, 2010

Dok jeling-jeling kat kita

Banyak betul Restoran Pak Arab di Kuala Lumpur ni. Malam minggu, menjamu selera di sebuah cawangan restoran Arab bersama keluarga. Saya tidak punya banyak pengalaman makan di restoran Arab yang lain di sekitar KL, tetapi restoran yang ini sudah beberapa kali dikunjungi. 

Pada pengamatan saya, servis di restoran Arab ini agak kecoh dan lambat sikit. Harapkan nasi Mandynya sahaja yang sedap, kalau tidak, tidak juga menjengah beberapa kali.

Pak Arab makin ramai di negara kita ni kan. Ditambah dengan program Malaysia Sebagai Rumah Kedua  Saya (MM2H) di kalangan rakyat negara luar. Tahu tentang program tersebut? Sudah lama kan... Rakyat dari negara luar dibenar membeli dan memiliki rumah di Malaysia sebagai rumah kedua mereka. 

Malaysia menjadi pilihan bagi banyak Pak Arab dan warga Iran yang berduit untuk memiliki rumah di sini. Antara sebabnya ialah: (Arabs in Malaysia)
  • Kos hidup yang murah berbanding negara Eropah
  • Cuaca yang kurang panas berbanding semasa musim panas di negara Arab
  •  Pilihan makanan yang pelbagai
  • Tiada bencana alam berupa gempa bumi dan taufan
Kuantiti Pak Arab biasanya bertambah dalam bulan Jun hingga Ogos. Ini ialah waktu puncak bagi kedatangan pelancong Arab.
"According to Tourism Malaysia’s 2008 survey of total tourist expenditure, shopping made up 26.8% and accommodation constituted 31.2%. In 2009, our country made RM53.4bil from 23.6 million tourists.

Although Saudi tourists do not make up the bulk of these numbers (in fact, Saudi Arabia takes the number 13 spot on our list of top 20 tourist arrivals), they are the biggest spenders, splurging an average of RM7,992 per person.

Hot on their heels are tourists from the United Arab Emirates who spend an average of RM6,315 per person - Cash to splash
Banyak betul duit Pak Arab yang datang ke Malaysia ni, kan. Kabarnya antara pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia ini, kumpulan Pak Arab merupakan kumpulan yang menghabiskan duit paling banyak, lebih 10 kali dari pelancong lain.

Bila sudah ramai sangat Pak Arab  ni berkumpul di negara kita, jadi musykil satu perkara je lah.  Jangan Si Polis Dunia yang perasan tu dok kata Al-Qaeda makin bercambah di kawasan Asia dan dok jeling-jeling kat kita, kan. Tak pasal-pasallah pulak.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, July 22, 2010

pelaburan masa depan

Balik suami dari tugasan di luar, saya mengajak beliau dan anak minum petang bersama di restoran mamak. Restoran ini baru dinaiktaraf dan telah bertukar pengurusan. Di bahagian atas restoran, ada beberapa buah pusat tuisyen yang agak terkenal di kawasan saya.

Ramai pelajar-pelajar yang turut minum petang seperti saya, di restoran tersebut. Ada yang sekadar minum dan berborak, tetapi ramai juga yang memesan makanan berat sementara menunggu waktu kelas bermula.

"Ish...rimas," spontan keluar kata-kata dari mulut suami.

Saya perhati keliling. 

"Biasalah ...." jawab saya.

Sudah biasa dengan kerenah pelajar, menjadikan saya boleh tidak mempedulikan kehadiran mereka. Saya boleh 'tune off' kalau saya mahu untuk tidak ambil kisah dengan perlakuan mereka.

Sana sini, ada saja kelihatan anak muda dalam usia kelas menengah ini merokok semahu mungkin. Berkepul asap memenuhi restoran. Yang perempuan bergaya habis dengan lagak seolah mahu menonton wayang gambar, bukannya hendak masuk ke kelas menelaah pelajaran. Yang sibuk dengan handphone nya, tidak sudah-sudah bermain mesej dengan entah siapa, itu cerita lain pula.

Belajar ke tidak dalam kelas tuisyen...entahlah.  Pengalaman  saya di usia muda menjadi guru tuisyen di pusat tuisyen sebegini , selalunya hanya segelintir sahaja yang memang datang mahu belajar. Kebanyakannya hanya menghabiskan masa berjumpa rakan dan mengambil peluang untuk keluar rumah. 

Ramai juga anak murid di sekolah yang bertuisyen ke sana sini, tetapi tidak juga menunjukkan keputusan cemerlang dalam pelajarannya. Kasihan emak dan ayah yang mengeluar duit beratus ringgit, mengharap anak untuk cemerlang. 

*tak apalah cikgu, habis beratus tak apa, ini kan pelaburan masa depan.... *

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...