Showing posts with label doa. Show all posts
Showing posts with label doa. Show all posts

Tuesday, September 22, 2015

Doa buat sahabat





Hujan lebat di luar. Masa kecil-kecil dulu semasa masih lagi tinggal di Blok D, rumah B-2, waktu hujan-hujan begini, saya suka duduk di balkoni  dapur. Memerhati hujan turun. Saya gemar akan bunyi hujan , dan bau rumput yang naik dan menusuk ke dalam hidung. 

Hujan memberi rasa tenang, bagi saya. Dan dingin hujan sentiasa tidak pernah gagal memberi rasa nyaman.

Alhamdulillah.

Tolong picit kuat sikit. Tak rasa..

Seluruh bahagian belakangnya sakit-sakit. Kenapa? Wallahualam. Saya bukan doktor yang tahu mengapa dan kenapa.

Cuma kali ini saya fikir kesakitan itu berganda. Dan picitan saya yang kebiasaannya memberi rasa lega sebentar tidak membantu. Alahai, sahabatku. Daya yang sedikit ini tidak dapat membantu mu saat ini. *sedih*

Saya perhatikan wayar yang menyambung tangannya kepada kantung morfin di sebelah. 

Drowsy ... pusing..

Itu yang beliau sebut tatkala ditanya bagaimana rasa dibawah pengaruh morfin kala itu. Kesakitan yang melampau pastinya, sehingga doktor terpaksa membenarkan morfin itu menjalar ke seluruh aliran darah dalam tubuh sahabat saya ini.

Subhanallah. Allah Yang Maha Tahu.

Saya hanya bisa memerhati. Mendoakan. Dan cuba meenghiburkan. 




Sahabatku,

Allah memilihmu. Bukan saya. 

Kerana kamu memang luar biasa. Kalau pesakit lain memilih skala 12 -14 untuk darjah kesakitan yang sepatutnya skala yang diberi hanya 1 - 10; kamu memilih 7 dan yang terkini 10. Allah..

Dan redhamu terserlah dalam tutur kata dan tulisan mu. Memang bukan saya yang wajar memutuskan , tetapi doa saya moga ujian ini menjadi penyebab bahagia menanti kamu di dunia yang kekal nanti. 

Saya tidak meminta kamu untuk bersabar, kerana sabar itu memang telah meliliti setiap inci pergelutan kamu menanggung kesakitan. Sabar yang bagaimanakah lagi yang perlu, kan? Saya cuma bermohon pada Allah, agar dengan rahmatNya, kesakitan ini dapat kamu tanggung dan diberi kepada kamu kesembuhan segera.

Dan saya juga mendoakan kesejahteraan buat suami kamu yang saban waktu berada di sisi kamu. Moga Allah mengurniakan rahmah dan mawaddah buat kamu berdua.

Dan kerana itu hujan ini turun, mungkin.

Kerana mungkin ia menjadi penyebab doa ini dan doa-doa insan-insan lain akan dimakbulkan.

Salam kasih buat sahabatku Noorul yang sedang diuji dengan ujian kesakitan.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 1, 2014

Doa buat sahabat




Saya dah penat.

Ayat tersebut terbayang-bayang dalam ingatan. Dalam keadaan sebegini, saya hilang kata-kata. Cuba mencari ayat yang sesuai, kerana saya takut kalau-kalau kata-kata saya akan menambahkan rasa lelahnya menerima ujian Allah.

Saya tahu katanya itu bukan bermakna dia tidak redha . Tidak sekali. Kerana saya tahu bagaimana  hatinya. Saya faham benar gelodak jiwanya.

Bagi saya, dialah antara insan terpilih oleh Allah yang begitu kuat semangatnya. Kuat keyakinannya terhadap Allah. Tinggi redhanya dalam menerima ujian. Bulat hatinya menyerahkan segala ketentuan pada Allah.

Kerana itulah ujian ini Allah persembahkan khas buat dia.

Bukan ke atas saya.




Sakit yang ditanggung hanya Allah sahaja yang dapat meringankannya. Dan saya hanya mampu mendoakan. Semoga Allah menerima doa saya dan memakbulkannya.

Saya juga mengharapkan agar Allah menyembuhkan insan ini. Kesembuhan itu milik Allah, dan hanya Dia yang punya kuasa memberikan kesembuhan tersebut. Saya hanya manusia kerdil dan lemah, punya kehendak tetapi tiada daya melunaskan kehendak tersebut.

Doakanlah untuk dia kengkawan semua. Doakan untuk sahabat saya ini yang berada dalam kesakitan. Semoga Allah menyembuhkan dan menghapuskan segala salah dan dosa kita semua.

Kepada Allah sahaja kita sembah dan hanya Allah sahaja yang kita mohon pertolongan.

Ameen.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, July 8, 2013

ada sebab semua benda ni berlaku





sumber

Saya sentiasa percaya apa yang berlaku ada sebab dan musababnya. Kepercayaan yang pastinya juga dikongsi oleh ramai insan  lain .

Tidak semestinya kejadian itu berlaku ke atas kita. 

Mungkin yang berlaku bukan ke atas batang tubuh kita. Tetapi kita mendengarnya. Atau kita menjadi saksi atas kejadian. Atau pun kita hanya sekadar pemerhati terhadap keadaan. 

Pasti kita sebagai pendengar atas kejadian itu pun bersebab. Ada sebab mengapa kita yang tahu, atau kita yang nampak atau kita yang perasankan kejadian tersebut. Ada sebabnya mengapa Allah yang pilih kita sebagai orang yang mengetahui.

Saya pun tak tahu kenapa saya selalu terima peristiwa macam tu.

Dia bercerita sambil berdiri. Wajahnya penuh emosi. Mata bulatnya waktu itu kelihatan berkaca-kaca menahan sedih yang berombak dalam dadanya.

Kenapa saya yang nampak perempuan itu? Perempuan tu merayu dekat ATM , dia tak boleh nak keluarkan duit dan buntu kerana terpaksa membayar bil air. Dan saya jadi belas. Saya peluk perempuan itu dan saya hulurkan duit pada dia.

Sambil bercerita itu pun getar suaranya berubah. Rasa sedih beriring dalam setiap butir katanya. 

Dan kalau suami saya tahu, pasti dia akan membebel, penat saya cari duit, senang-senang awak berikan pada orang lain ya. 

Saya tersenyum. Ah, begini rupanya seorang rakan yang punya hati yang kering seperti saya.  Belas dan sedih dari kisahnya itu yang hampir-hampir menghinggap di hati saya tiba-tiba terbang jauh. Rasa seperti lucu pula membayangkan nantinya dia dileteri oleh suami atas hati isterinya yang baik. Pelik sungguh kadang-kadang .

Perempuan tu bawak anak sorang. Saya rasa kesian sangat sebab baju anak dia koyak ..

Seluar anak kak normah pun baru ni koyak. Betul! Besar koyaknya. Tak kesian ke kat kak normah?

Alasan rasa kasihan dalam dadanya itu sengaja  saya dan rakan-rakan yang lain cuba permainkan. Berlawak-lawak, walau pun kami tahu memag sifatnya begitu. Cepat sungguh kasihan.

Tapi sebenarnya saya kira Allah letak dia di situ untuk menambahkan amalan kebaikannya. Meninggikan darjatnya di sisi Allah kerana punya hati yang baik. 

Bukankah banyak kisah yang kita tahu, dek kerana sekeping hati yang baik itu, pengakhiran  si empunya adalah syurga .

Kenapa Allah meletakkan saya sebagai pendengar? Mungkin, mungkin untuk menyedarkan saya bahawa saya perlu mencontohi sahabat saya ini. Mungkin.

Dan yang ini ....

Status BFF di FB

Ada sebab mengapa Allah letakkan sahabat saya itu sebagai guru kelas tersebut. Kerana kalau saya yang di situ, mungkin anak-anak itu tidak akan mendapat perhatian yang sewajarnya. Mungkin.

Amin untuk doa tersebut.

Salam Ramadhan yang bakal menjelang.



~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 25, 2012

Doakan




Saya sentiasa percaya, jika sedang dalam kesusahan, kesempitan atau dilanda musibah , doa dan istighfar , dengan izin Allah, segala urusan itu akan dimudahkan.

Terlebihlah lagi kalau ramai yang turut mendoakan, kerana mana tahu dalam ramai-ramai itu ada yang doanya Allah makbulkan.

She's on oxygen. Tetiba ada reaction.

Mesej yang tertera di handphone saya membuat dada saya terasa sempit. Kalau dada saya, yang duduk berkilometer jauhnya dari si puteri  terasa sempit, tidaklah dapat saya bayangkan hati dan fikiran si mummynya.

sofea dan youssef

Terbayang raut wajah rakan baik saya si Noorul. Pasti sekuat dan setabah mana pun hati seorang ibu, di saat-saat puterinya sedang lemah tak berdaya , pasrah itu mengambil tempat. Dan pasti doa tak putus bertali arus mengisi setiap inci urat dan saraf nya.

She gets worse.

Mesej yang seterusnya menggetar rasa. Risau. Doa saya tak putus. Semoga Allah memberi kesembuhan segera buat si puteri dan dimudahkan segala urusan di sana. Saya tidak punya kuasa dan upaya hendak  membantu.

Hanya doa, doa dan doa sahaja buat si puteri dan mummynya. Moga sembuh dan sihat segera.


Doakan sama... 


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, January 24, 2012

derma yang paling payah

Bila dah berada dalam keadaan macam ini barulah ila tau perasaannya macam mana. Ibarat meminta nyawa dari orang lain. Kalau setakat hilang kaki, masih lagi boleh hidup. Tapi kalau buah pinggang dah tak ada yang sudi menderma, cuma menunggu masa je lah.

Air matanya deras laju membasahi pipi. Biras yang wajahnya seiras saya yang duduk bersebelahan mendengar dan melihat,  turut sama menyapu air matanya . Sedih, memang. Tapi, sesedih mana pun yang tergaris dalam hati saya, tetap hati kering ini tidak bisa membasahkan mata saya. Risau juga saya dengan hati yang sekeping ini.

Kakak ipar yang dari luarannya kelihatan kuat itu pun, sudah merah hidungnya menahan tangis. Saya juga yang berhati kering.

Kalau ila mati ni, memang ila pasang niat sungguh nak menderma apa-apa je organ ila yang boleh diguna orang lain. Sebab ila tahu sungguh perasaan orang yang menunggu derma organ lain bagi menerus kelangsungan hidup.

Sebenarnya, apa lagi yang boleh kita kata sebagai tetamu yang menziarah?

Setakat mendoa dan menghulur sesen dua, dan berharap sungguh agar ziarah kali ini bisa memberi semangat dan kekuatan bagi dia yang masih muda ini untuk menggantung harapan agar Allah beri mudah dalam hidupnya. Memang dalam situasi yang sedemikian, doalah menjadi senjata. 

Memang sekarang ila faham sungguh bila ada orang yang sungguh terdesak seperti ila ini sanggup berbuat apa saja agar dapat sihat seperti dulu. Kalau diminta berjanji dengan syaitan pun mungkin sanggup, berubat secara syirik pun sanggup bila dah buntu fikiran. Tapi yalah... kalau tak kerana iman sedikit ini mungkin ila pun jadi gitu.

Dia diam memandang kami. Sungguh besar ujian yang sedang ditempuhnya sekarang. Dan saya tiada kata yang boleh diluah dan dilafaz.

Malam ni pun cadangnya ingat nak pergilah jumpa 'ustaz' di Kota Kemuning tu. Tapi yalah, entah ustaz betul ke idak pun tak tahu. Tapi, tadi kat TV ni tengah duduk-duduk menonton, Ustaz Hassan dalam TV ni cakap, jangan berubat sebarang-sebarang, guna perantara yang tak tentu, khuatir jadi syiriklah pulak. Terfikir ila balik, tak jadi lah nak pergi.

Betullkah hidup ini penuh dengan kebetulan? Atau semua ini adalah ketentuan Allah.

Saya yakin dan percaya, jika Allah menginginkan kebaikan dalam hidup seseorang itu, kata hatinya sentiasa dibisikkan Allah dengan kebenaran.

Doakan sama untuk Ila, moga Allah tunjukkan jalan bagi menyembuh penyakitnya dan dikurniakan kesihatan yang baik serta rezeki melimpah ruah, ya, kawan-kawan.

Maka untuk seorang hamba itu hidup memberi, suburkanlah perasaan kasih dan sayang itu di dalam diri, ia membakar keinginan agar membara untuk berbakti. Saya ada sedikit gentar dan takut, ketika menurunkan tanda tangan ke borang yang diberi. Tetapi saya lebih takut ke alam mati dengan amal yang tidak mencukupi. Saya lebih takut diseksa kerana berdosa semasa hidup, berbanding stigma terseksa kerana tubuh dibedah selepas mati. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana semua ini tidak bermakna lagi, selepas hidup berganti mati. Letakkan diri di alam mati, tahulah nilai hidup memberi ~ Saifulislam .

*derma inilah yang paling payah kan. Ah...

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 30, 2011

tiada diskriminasi


Saya tidak mengenali dia. Hanya mendengar cerita sahaja. 

Death does not discriminate ~ Imam Suhaib Webb

Kematian tidak mendiskriminasi.

Laungan takbir hari raya membawa perspektif yang berbeza mengikut usia. Melepasi usia kanak-kanak, takbir hari raya sudah diwarnai dengan rasa sayu. Dan melepasi usia 40an, takbir raya sarat dengan rasa pilu dan nostalgik. 

Hanya beberapa saat hari raya sahaja dalam hidup ini yang kekal terpahat diingatan. Yang lain, ia tersimpan kemas dalam buku catatan dan akan menjadi tatapan seluruh umat satu hari nanti. Walau masa itu masing-masing terlalu sibuk memikir hal sendiri, dan tidak kuasa memikir nasib insan lain, tetap terselongkar dan terbongkar.

Dan saya pasti 1432H ini terpahat kukuh dalam ingatan beliau.

Namanya juga saya tidak tahu. Mendengar cerita sahaja dari anak buah. Wanita muda, baru dua hari berjaya melahirkan anak sulung perempuan dan saat orang lain bergembira melihat anak, suami serta saudara mara dengan pakaian, makanan serta serba serbi meriah, beliau menyambut pagi raya dengan berita kematian suaminya yang telah beberapa hari koma setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Doa saya semoga beliau tabah hatinya, cekal semangat dan jiwanya. Ujian yang tidak semua dapat merasa dan jika diberi pilihan beliau juga tentu tidak mahu.

Perkuburan Jalan Pusara 08

Moga Allah melimpahkan rahmat kepada roh suaminya. Wanita muda yang diuji. Saya tahu ramai lagi di luar sana yang ujiannya seberat ini atau mungkin lebih hebat. Moga Allah meningkatkan darjat mereka di sisiNya dengan redha mereka terrhadap ujian tersebut.

Salam 1 Syawal 1432H.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 23, 2011

mati dalam senyuman

Minggu ini ialah minggu menjadi penceramah. Sayalah. Siapa lagi. 

Bukan menjadi penceramah jemputan. Ini penceramah tak dijemput. Berdiri dalam kelas, bersyarah depan budak-budak ini. Agaknya terkenan  dengan penceramah Dr Muhaya. Sebab.., dalam dua tiga hari ini tidak putus-putus saya mendengar ceramah-ceramah motivasinya. Demam nak berceramah.

Apakah yang awak nampak tentang diri awak dalam masa 10 tahun nanti?

Er..... errr.....

Tak faham kut soalan saya ni. Bisik hati kecil saya. Maklumlah, saya ni kan baru berjinak dengan dunia pen'ceramah'an. Soalan saya pun masih ke'hijau'an lagi.

Lagi 10 tahun nanti agak-agaknya awak jadi apa kut?

Dari awal lagi,  fikirannya tidak fokus pada saya bila mengajar. Melayang. Kerana itu dia menjadi bahan soalan saya.

Jadi kerani, kut.

Alahai. 

Tidaklah saya memandang rendah kerja halal sebagai kerani tu. Tapi, betapa kecilnya jiwa anak muda ini. Sudah berusia 17, takkanlah tidak punya pengetahuan serba sedikit tentang hebatnya pekerjaan-pekerjaan yang ada di luar.

Fikirkanlah kerja yang lebih hebat. Waktu itu nanti umur awak 27 tahun, mungkin sudah berkahwin dan bakal menimang cahaya mata. 

Alah, cikgu ni, saya belum habis fikir lagi...

Awak tau tak? *pause* Saya tau awak tak tau, ni saya nak bagi tau. Orang yang berjaya ialah orang yang dapat membuat unjuran dan melihat hidupnya dalam 20, 30 tahun lagi. Awak semua kena bayangkan apa yang awak nak buat, nak jadi nanti. Dari situ dari sekarang awak kena usaha.

Itu antara intipati Law of Attraction. 

The Law of Attraction simply says that you attract into your life whatever you think about.
sumber
Dr Muhaya juga ada menyebut ini sebagai kuasa minda. Kita bayangkan yang positif, maka positiflah hasilnya.

Bila diingat semula, secara tak sedar, saya pernah juga menggunakan kuasa minda ini. Waktu sekolah menengah rendah berangan dan terbayang-bayang hidup di asrama, kerana terpengaruh dengan buku cerita Enid Blyton. Anganan menjadi kenyataan. Bila di menengah atas berangan dan terbayang hendak masuk universiti. Alhamdulillah juga, termakbul impian. 

Fokus dengan kuasa minda.

Saya kira anganan menjadi kenyataan kerana anganan itu seolah menjadi realiti dalam fikiran, pada waktu itu. Begitu kuat. Begitu berazamnya saya. Tidak pernah saya membayangkan yang saya tidak dapat masuk ke sekolah berasrama atau tidak dapat menjejakkan kaki ke universiti. Tidak pernah sedikit pun. Tiada fikiran negatif tentang hasrat dan keinginan saya itu. 

Positifkan fikiran. InsyaAllah perkara positif akan sentiasa hadir.

Bukankah dalam agama kita pun meminta kita begitu. Sentiasa berbaik sangka dengan Allah. Atas segala nikmat dan ujian. Mempositifkan segalanya, hatta perkara yang dianggap negatif oleh kita.

Dalam 30 tahun nanti bagaimanakah saya?

Umur 75.

Jika masih panjang umur, insyaAllah, saya masih sihat, masih bisa membuat amal ibadat. Mata saya masih boleh melihat, telinga saya masih dapat mendengar, kudrat saya masih bisa menguruskan diri sendiri. Hidup saya tenang. Dunia bukan lagi matlamat saya. Pengabdian saya lebih utuh.


sumber

Dan saya mahu mati nanti tersenyum, sedang orang di sekeliling saya menangis. Bukan nanti saya mati dalam tangisan, sedang orang di sekeling tersenyum menyambut berita kematian saya.

Husnul khatimah. Impian saya.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, June 7, 2011

doa

Mak sibuk memasang api dapur. Tangkas tangannya meletakkan apa yang patut. Sekejap ke kiri, ke kanan, ambik itu, ambik ini, letak itu , letak ini...

Kalau awak dengan emak berjalan sama-sama, emak awak berjalan lebih laju tau...

Pernah suami memberi ulasan melihat cara saya berjalan dan bekerja. Hahaha. Saya banyak mewarisi perangai aruah ayah yang lebih tenang dan lambat... :)

Kalau memasak dengan emak, memang tak lama duduk di dapur. Walau saya secara sukarela meminta dia duduk berehat sahaja dan hanya saya yang memasak untuk hari ini, tetap dia meningkah. Kerana tahu sangat, kalau anaknya yang ini memasak, entah pukul berapalah nak siap agaknya :) Jadinya, saya hanya menjadi pembantu chef di dapur hari ini.


Ni no...ni no...ni.. no! Ni no...ni no...ni.. no!

Rumah emak betul-betul di tepi jalan besar.

Oh... siapalah yang sakit pulak tu ya?

Emak terhenti sekejap, memasang telinga.

Ya Allah, selamatkanlah orang dalam ambulan tu.

Saya pun ikut mengaminkan doa emak yang disebut kuat tadi. Itu cerita pagi tadi. Balik lewat petang  membawa anak-anak buah berjalan, emak pantas masuk ke bilik saya.

Akak, Wak masuk ICU pagi tadi. Kat Hospital Banting sekarang.


Yang ambulan lalu tu lah kut emak...


Ya... alhamdulillah, mak ikut pesanan Ustaz. Kalau dengar ambulan lalu, doakanlah agar pesakit dalam ambulan itu Allah selamatkan dan mudahkan urusannya. Alhamdulillah, dapat jugak emak doakan untuk kakak emak sendiri.


Muka emak sedih.
Saya pun ikut sedih sama.

*beberapa atur cara esok akan dirombaklah nampaknya...

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, May 30, 2011

Didengari dan termakbul tanpa syarat

Mengira hari. Hari ketiga cuti. Masih ada bunga di hati, kerana sekolah lambat lagi dibuka untuk sesi persekolahan.

Panas pun sampai ke petang hari ini. Alhamdulillah. Maka tersenyum lebarlah tuan punya kedai cuci kereta dan si penjual air di tepi jalan serta peniaga pasar malam.

Ramai betul manusia.

Pernyataan yang tak perlu disebut. Baru balik dari KLIA sebenarnya, menghantar ayah mertua dan keluarga abang ipar yang akan mengerjakan umrah. Ramai sungguh saudara-saudara kita mengerjakan ibadah umrah bila waktu musim cuti sekolah.

Menunjukkan apa?

Bagi saya, secara peribadi, tanpa ada data statistik, menunjukkan kita punya upaya dari segi material untuk ke sana. Bertuahnya kita di bumi bertuah ini, sehingga boleh memantapkan kemampuan kewangan untuk ke sana, dan saban tahun beribu yang berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci.

Atas niat apa terpulang. Yang penting Allah telah menjemput mereka sebagai tetamuNya di sana. Bukan semua yang berpeluang begitu walau punya harta melimpah ruah.

Harapan saya, agar doa yang saya titipkan bersama yang pergi itu, didengar Allah dan dimakbulkan tanpa syarat.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 13, 2011

Tanpa isi

Fikiran tanpa idea. Itu biasa. Bukan luar biasa.

awak sorang je yang doakan macam tu utk saya dalam twitter ni. Terima kasih sejuta ye?

Mesej dari seorang teman di twitter. Tidak pernah kenal pun dia, hanya sekadar bertegur sapa di tengah kicauan burung maya. Tetapi ayatnya membahagiakan. Membuat senyuman terukir di bibir sebelum memulakan langkah.

Membahagiakan orang lain, percikannya akan mengenai kita juga. Dan diharap, mendoakan orang lain juga, doanya dan doa kita dimakbulkan Allah.

Moqa Allah mengampunkan semua dosa dan kesilapan kita, menunjukkan kita jalan yang diredhaiNya serta memudahkan segala urusan kita....

*biar tanpa isi tapi membawa makna

~ cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 22, 2011

keputusan SPM

Saat saya menaip entri ini, pasti ramai di luar sana yang tidak dapat tidur malam. Gelisah di atas tempat pembaringan, sama ada di atas katil yang empuk atau tidak,  atau mungkin juga pun bukan di atas katil.

Sama sahaja. Bila mata tidak mengantuk, walau dipaksa bagaimana pun, dan baring dengan cara apa atau atas apa pun tetap ia tidak akan tertutup diulit mimpi.

source

Esok keputusan SPM 2010 akan diumumkan. Dan itu pastinya penyebab yang sangat bagus untuk menyegarkan mata insan-insan yang berkenaan dan membuat hati resah gelisah. 

Kita berkongsi rasa yang sama.

Hati saya pun resah, dan saya pasti ramai rakan sekerja saya juga gelisah dan pasrah. Setiap tahun ..., saya ulang lagi ..setiap tahun, gelisah yang menggigit hujung hati ini sama sahaja rentaknya. Dalam beberapa jam yang akan mendatang ini, fikiran diisi dengan lembaran peristiwa-peristiwa kecil tetapi signifikan sepanjang 2010. 

Hati tertanya bagaimanakah nanti  anak-anak murid yang sempat bersama walau cuma seketika, akan menerima keputusan mereka?  Adakah saya sebagai guru telah membantu secara wajar dan berkesan? Ya, banyak kekangan serta banyak halangan yang ditempuh bersama.

Dan saya juga tidak menyangkal keterbatasan diri untuk melayan hampir lebih 100 pelajar yang bernama, bercitarasa, berperasaan dan berkeinginan yang pelbagai. Maafkan saya di atas segala kekurangan.

Mana yang baik dari saya, diharap memberi manafaat kepada anda semua, wahai bekas pelajar 2010. Dan mana yang kurang, saya pohon dihalalkan, agar keberkatan juga saya perolehi dalam hidup ini. 

Doa saya, agar keputusan yang pastinya terbaik yang ditakdirkan untuk kita semua itu, menambahkan rasa syukur kita atas nikmatNya.

*be strong!

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 21, 2011

Meminta tolong

Jumaat datang lagi dengan segala kelebihannya. Dan usia pun menginjak perlahan tanpa sedar. Tahu- tahu saja nanti, kita sedang mengadap kalendar baru bertarikh 1 Jan 2012. Perlahan, pada masa kita sedang bergelut melangkah, tetapi sebenarnya masa pantas sahaja meninggalkan kita.

"Cikgu, gunalah mikrofon. Tak dengar suara cikgu," jerit anak murid dalam makmal pagi tadi. Suara di luar makmal hingar bingar kerana rehat untuk pelajar menengah rendah baru sahaja bermula.

Saya sudah terbatuk- batuk menjerit. Adui, apakah aset yang lebih bernilai bagi seorang guru kalau bukan suaranya? Kalau diikutkan, setaraflah kami dengan barisan penyanyi dari segi suara, walau dari segi penampilan dan publisiti memang jauh ketinggalan.

Alah..... terlupa lagi mengambil mikrofon mudah alih kepunyaan sendiri dari bilik guru.

Apa lagi kalau bukan terpaksa menggunakan khidmat percuma kanak-kanak riang dalam kelas.

"Eh, awak tolong saya gi ambik mikrofon saya. Bawah meja saya. Cepat sikit, saya bagi masa 5 minit je"

Itulah cikgu, sudahlah minta tolong, main demand lagi kan. Kadang-kadang kesian gak pada budak- budak ini, bukannya hendak mendera tetapi terpaksa meminta tolong. Dan berlarilah dia ke bilik guru. Saya hanya tersenyum, bersyukur kerana masih ada yang sudi menolong.


Walau apa pun yang dibincang dan dikhuatiri tentang anak-anak remaja masa kini, saya masih lagi melihat ramai dari mereka yang mempunyai akhlak yang baik terhadap guru.


Di hari yang penuh keberkatan ini, di mana Allah menjanjikan makbulnya doa bagi kita yang meminta dengan bersungguh dan merendah hati, marilah kita meminta tolong dari Allah Yang Maha Kuasa, agar anak-anak ini dan kita semua, terusan dikurnia Allah akhlak yang terpuji dan iman yang terpelihara. Ameen.

*Moga Allah melindungi saya dari kejahatan yang nampak dan tersembunyi, yang datang dari insan lain dan  juga dari dalam diri sendiri. Ameen.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 6, 2011

tempang

Ujian Allah tidak mengira siapa. Tiada siapa yang dapat lari dari takdir dan ketentuan Allah. Indahnya kejadian manusia, kita diberi sekeping hati yang dengannya kita jadi kuat dan tabah atau lemah dan tewas.


Dan saya melihat sebuah ketabahan yang begitu indah.


Ujian Diagnostik Membaca al-Quran dijalankan di sekolah semalam, khas untuk murid-murid Ting 1 di sekolah. Tujuannya memang amat jelas, iaitu ingin mengenal pasti dan seterusnya membantu pelajar-pelajar yang buta al-Quran.


Alhamdulillah, tahun ini saya diberi peluang untuk turut sama membantu menilai pelajar, bersama seorang Usatazah yang baru ditempatkan di sekolah saya. Kami membahagikan 35 pelajar tersebut mengikut jantina. Temuduga ringkas dan mendengar bacaan petikan ayat quran antara yang dilakukan.

"Awak dah khatam quran?" tanya saya. Budaknya kecil molek, berkulit cerah. Duduk sopan dan tertib.
"Sudah."

"Dah khatam ni, ada lagi baca quran di rumah?"
"Ada."
"Bila bacanya?"
"Tiap-tiap hari, kalau hari cuti, pagi dalam pukul 10, kalau hari biasa, lepas maghrib."

"Baca dengan siapa?"
"Dengan atuk."
"Ooo... tinggal sekali ngan atuk?"
"err.......," dia teragak-agak hendak memberitahu. Saya senyum padanya dan membiarkan dia mengambil masanya untuk menjawab.

"Mak ngan ayah saya, kan... dah berpisah. Jadi saya duduk dengan atuk."
"Ooo.... jadi awak duduk ngan mak dan atuk lah ya?" saya membuat kesimpulan sendiri.

"Errr.... tak. Saya tak tahu mak saya kat mana." Jantung saya terhenti  berdenyut seketika.
"Ayah?"
"Entah? tak tahu.... lagi pun, ayah pun tak pernah tanggung kami." Sekali lagi jantung saya terhenti seketika.
"Adik beradik berapa orang?"
"Lima..."

Selesai ....., mata saya tidak putus mengekor langkahnya. Anak kecil yang berhati tabah. 

Saya kira, ada anak-anak lain yang menerima ujian lebih besar darinya. Setiap hari dalam kehidupan saya, jarang sekali saya memikir keadaan seperti itu, kerana hidup saya yang begitu mudah. Kehidupan mereka ini, kelihatan tempang di mata saya, tetapi mereka punya hati yang  kuat berlari mengikut rentak arus. 


Doa saya untuk anak itu dan keluarganya.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 20, 2010

kemalangan

Terima kasih atas doa sahabat-sahabat. Saya selamat tiba di KL pada pukul 5 petang semalam.

Memandu sendiri sebenarnya sudah biasa. Kalau dulu istilah takut kurang ada dalam kamus hati, tetapi setelah mengalami dua kali kemalangan semasa memandu sendiri, lewat ini agak gentar sedikit memandu. Alhamdulillah kemalangan yang tidak meragut nyawa atau mencederakan sesiapa pun, tetapi cukup untuk menghasilkan trauma setiap kali memandu.

Kemalangan pertama semasa hendak mencari parking di basement sebuah hotel, manakala kemalangan kali kedua berlaku semasa memandu menyeberang jalan.

Yang pasti setiap kali kemalangan berlaku, perasaan yang sama akan menerjah ke dalam setiap inci tubuh saya. Cemas, panik tak tau nak buat apa, lutut rasa longgar, tak boleh nak berdiri tegak, takut kena marah ngan suami (hehehe)... dan menyesal. Perkara pertama yang akan datang hadir dalam benak fikiran ialah apakah kesalahan yang telah saya buat sebelum itu yang memungkinkan Allah memberi ujian sedemikian rupa pada saya.

Dan saya tidak dapat membayangkan trauma mereka yang pernah terlibat dalam kemalangan yang lebih dahsyat lagi. Terlebih lagi yang terbaru di Ipoh , kan.

Apa pun, terima kasih atas doa anda semua....

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 19, 2010

Doakan....

Bersiap-siap hendak balik ke Kuala Lumpur.

Seperti biasa.... boot kereta penuh. Apa lagi, emak mertua punya angkara. Segala benda hendak dibekalkan. Hendak menolak, tidak sampai hatilah pulak. Begitulah agaknya bila saya tua nanti pun seusia beliau.

Hujan pagi tadi menyambut bangun dari tidur. Alhamdulillah , nampak gaya sudah berhenti hujan seolah merestui perjalanan balik ke Kuala Lumpur.

Doakan saya selamat tiba.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, July 14, 2010

Ayam berkokok, hujan pun turun

Sebentar tadi terdengar kokokan ayam dari tingkap rumah saya. Pelik.

Kenapa?

Sudah dekat 18 tahun di sini, kawasan perumahan saya, tidak pernah terdengar kokokan ayam. Kalau di kampung tu, biasalah. Tak lama selepas itu hujan pula turun. 

Orang kata, elok berdoa di waktu terdengar kokokan ayam dan tatkala hujan baru turun.

Moga semua kita diampunkan Allah, dimurahkan rezeki, jauh dari mara bahaya, mala petaka di dunia mahu pun di akhirat nanti.

*doa untuk saya sekeluarga , moga Allah terus melimpahi rahmatNya atas kami*

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, June 28, 2010

Pengadilan yang pasti...

Dunia ini terlalu banyak pengadilan, tetapi susah sungguh mencari keadilan.


Itu kata-kata Ustaz Pahrol dalam sembang motivasinya pagi tadi di radio IKIM. Setiap yang beragama pasti ada 'sense of the end'. Semua agama meyakini bahawa ada kehidupan kedua setelah kehidupan di dunia ini. Kerana tanpa keyakinan tersebut pasti setiap dari kita akan hilang punca dalam kehidupan.

Setiap dari kita pernah disakiti hati tanpa kita minta. Kesilapan lama memang tidak boleh dihapuskan dari sejarah hidup, Tetapi kalau dek kesilapan itu setelah kita cuba melupakan dan membuka lembaran baru dalam hidup, hati kita terusan disakiti, memanglah kita berdoa akan adanya pengadilan.

Pasti juga ada yang dianiaya dalam hidup, tanpa sebab dan kehendak. Kekadang yang pecah amanah terusan mencanak naik kehidupannya, sedang yang amanah dan baik terusan ditindas serta terpinggir. Keadilan di dunia memang seolah tidak wujud, tetapi bagi yang meyakini, pastinya hidup di dunia ini tidak berakhir di sini. Akan tiba masanya, nasib akan berubah dan menjadi lebih baik di sana, insyaAllah.

Seboleh mungkin janganlah kita cuba menyakiti sesiapa, baik dari kata atau tingkah kita. Kekadang menghiris hati dengan tulisan lebih dalam calarnya dan lebih tekad doa yang tercalar. Cerita lama janganlah diungkit-ungkit, biarkan ia terkubur dan bawalah hidup masing-masing dengan cuba mencari kebaikan.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 9, 2010

Berapakah jauh langit dan bumi?






Semalam sambil memandu selepas solat maghrib, mendengar slot motivasi ulangan di saluran IKIM. Terkesan sungguh. Ha... rancangan sebeginilah yang patut diperbanyakkan, bukan segmen tajaan itu saja yang asyik ke udara.

Isu mengenai ber'doa', disampaikan oleh Ustaz Pahrol. 

Semua ibu yang kasih pada anaknya di dunia ini memang istimewa. Tetapi apa istimewanya ibu anda, tanya Ustaz pada sahabatnya, pada suatu hari. 

Sahabatnya memberitahu, satu waktu sedang beliau memapah ibunya, ibunya berkata pada beliau ,"Kalau ibu meninggal dunia dahulu, siapa yang akan mendoakan untuk kamu setiap hari?"

Saya yang mendengar, terasa sayu sungguh. Sebagai anak dan sebagai ibu, memang terasa sungguh besarnya jiwa seorang ibu. 

Kata Ustaz lagi, pernah ditanya pada seorang ahli ugama, berapakah sebenarnya jauh antara langit dan bumi? Ahli ugama itu menjawab,"Sedetik doa yang mustajab."

Dan doa siapakah yang lebih mustajab, kan? Doa seorang ibu untuk anaknya, serta doa seorang saudara muslim kepada saudaranya yang lain tanpa pengetahuan saudaranya itu.....

Marilah kita berdoa setiap saat dan ketika, kerana doa kita untuk saudara kita sebenarnya akan dimakbulkan Allah dan akan kembali juga pada kita.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, May 16, 2010

maaf dari seorang guru

ingin membuat entri tentang guru, kerana saya seorang guru dan 16 mei adalah hari saya dan hari (lebih kurang) 250,000 guru-guru lain di malaysia ini.


saya baru sahaja dalam bidang pendidikan.


17 tahun sebenarnya bagi seorang guru ibarat budak remaja yang masih mencari identiti dan cuba membentuk personaliti diri. semakin lama dalam bidang ini saya semakin menyintai bidang perguruan tetapi tidak kepada skop tugasnya, yang kekadang terlalu rencam dan menjerihkan.


apa pun , ini jalan pilihan, dan inilah pilihan terbaik yang telah saya buat dalam hidup saya selama ini.


menjadi guru yang terbaik adalah cita-cita saya. guru yang menjadi pendorong kepada anak murid dan menjadi sumber positif dalam pandangan dan tindakan mereka.


bukan senang.


cuba menjadikan karektor baik dan menjiwainya bukan mudah.



memang ada kala, hati yang terguris dengan kerenah anak murid yang semakin mencabar, turut menduga kesabaran. akibatnya, kata amarah yang tidak terbendung terlepas dari bibir tanpa ada niat.





saya hanya manusia biasa. tidak terlepas dari runtunan hati dan perasaan. ada kala memang ada anak murid yang begitu pandai mengambil hati dengan sikap serta akhlak yang baik, dan dalam masa yang sama ada pula yang sentiasa mencari perhatian dengan lagak serta tindakan yang tidak dapat diterima. lantas, mungkin tindakan dan kata-kata saya sering terpihak pada sesetengah anak murid sahaja tanpa saya sedari.




masih terlalu banyak saya perlu belajar tentang aspek kepemimpinan, kerana banyak sifat pemimpin tiada dalam diri saya, sedangkan guru yang baik adalah guru yang boleh memimpin dan mendidik jiwa pemimpin dalam anak muridnya.



sempena hari guru ini, saya memohon maaf di atas keterlanjuran tutur kata atau tindakan saya terhadap semua anak murid saya. saya juga memohon maaf keran tidak berjaya lagi menjadi guru terbaik dalam hidup anda semua. maafkan saya. halalkan masa saya bersama kamu yang mungkin tanpa saya sedar tidak saya perguna sebaik mungkin.

semoga Allah merahmati kita semua dan mengampunkan dosa kita.


~cikgunormah@klcitizen~

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU kepada semua guru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 21, 2010

minta dijauhkan dari musibah

sebulan lepas seorang cikgu di sekolah dilanda musibah.




pulang dari mengambil anaknya di sebelah petang, sebaik sahaja meletakkan kenderaannya di hadapan rumah dan bersedia untuk membuka pintu, beliau ditahan oleh pemuda bersenjata parang dan menaiki motosikal. pintu keretanya ditahan dari dibuka sepenuhnya.


anaknya yang duduk di sebelah pemandu pun menerima keadaan yang sama. rantai emas, telefon bimbit dan beg tangannya dirampas beserta kunci kereta. sekarang ini beliau trauma apabila meletak kenderaan di mana-mana pun.


seminggu lepas, sahabat yang lain pula, meletak kenderaannya di hadapan sekolah rendah anaknya. keluar dari kereta sebentar, mengambil anaknya dan kembali semula ke kereta. sesampai di keretanya, beliau dapati, cermin tingkap bahagian pemandu sudah pecah dan beg tangannya yang disorok di bahagian kaki sebelah penumpang hilang. pada waktu tersebut, ramai ibu bapa dan pemandu bas sekolah berada berhampiran tetapi tidak menyedari kejadian yang berlaku.



ahad baru ini, guru yang lain pula dilanda musibah. pukul 11 pagi , semua ahli keluarganya berada di rumah. dia sedang sibuk menyidai pakaian di tingkat atas rumahnya, suaminya di bilik bawah bersebelahan ruang tamu, manakala anak lelakinya sedang lena di ruang tamu. Semuanya tidak menyedari pencuri menyelinap masuk melalui pintu depan. kunci rumah tertinggal di grill pintu, memudahkan usaha pencuri licik yang nekad itu. hilanglah hand phone, jam tangan dan pastinya wallet tuan rumah.


itu belum lagi kita membaca akhbar yang saban hari ada sahaja insan yang mati di bunuh dan ditikam dek kerana harta benda.


segalanya dan di mana sahaja sebenarnya tidak selamat sekarang. tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawasanya di situ atau di sana kita boleh selamat dari musibah sedemikian rupa.


tapi saya masih yakin bahawa ada kuasa yang lebih besar yang melindungi kita jika kita sentiasa memohon dan meminta tanpa jemu. setiap langkah kita keluar dan masuk ke dalam rumah mestilah kita iringkan dengan permintaan dan doa semoga kita dilindungkan dari musibah ini.

dan kita ajar juga anak-anak kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...