Saya dah penat.
Ayat tersebut terbayang-bayang dalam ingatan. Dalam keadaan sebegini, saya hilang kata-kata. Cuba mencari ayat yang sesuai, kerana saya takut kalau-kalau kata-kata saya akan menambahkan rasa lelahnya menerima ujian Allah.
Saya tahu katanya itu bukan bermakna dia tidak redha . Tidak sekali. Kerana saya tahu bagaimana hatinya. Saya faham benar gelodak jiwanya.
Bagi saya, dialah antara insan terpilih oleh Allah yang begitu kuat semangatnya. Kuat keyakinannya terhadap Allah. Tinggi redhanya dalam menerima ujian. Bulat hatinya menyerahkan segala ketentuan pada Allah.
Kerana itulah ujian ini Allah persembahkan khas buat dia.
Bukan ke atas saya.
Sakit yang ditanggung hanya Allah sahaja yang dapat meringankannya. Dan saya hanya mampu mendoakan. Semoga Allah menerima doa saya dan memakbulkannya.
Saya juga mengharapkan agar Allah menyembuhkan insan ini. Kesembuhan itu milik Allah, dan hanya Dia yang punya kuasa memberikan kesembuhan tersebut. Saya hanya manusia kerdil dan lemah, punya kehendak tetapi tiada daya melunaskan kehendak tersebut.
Doakanlah untuk dia kengkawan semua. Doakan untuk sahabat saya ini yang berada dalam kesakitan. Semoga Allah menyembuhkan dan menghapuskan segala salah dan dosa kita semua.
Kepada Allah sahaja kita sembah dan hanya Allah sahaja yang kita mohon pertolongan.
Ameen.
~cikgunormah@klcitizen~