Tuesday, September 22, 2015

Doa buat sahabat





Hujan lebat di luar. Masa kecil-kecil dulu semasa masih lagi tinggal di Blok D, rumah B-2, waktu hujan-hujan begini, saya suka duduk di balkoni  dapur. Memerhati hujan turun. Saya gemar akan bunyi hujan , dan bau rumput yang naik dan menusuk ke dalam hidung. 

Hujan memberi rasa tenang, bagi saya. Dan dingin hujan sentiasa tidak pernah gagal memberi rasa nyaman.

Alhamdulillah.

Tolong picit kuat sikit. Tak rasa..

Seluruh bahagian belakangnya sakit-sakit. Kenapa? Wallahualam. Saya bukan doktor yang tahu mengapa dan kenapa.

Cuma kali ini saya fikir kesakitan itu berganda. Dan picitan saya yang kebiasaannya memberi rasa lega sebentar tidak membantu. Alahai, sahabatku. Daya yang sedikit ini tidak dapat membantu mu saat ini. *sedih*

Saya perhatikan wayar yang menyambung tangannya kepada kantung morfin di sebelah. 

Drowsy ... pusing..

Itu yang beliau sebut tatkala ditanya bagaimana rasa dibawah pengaruh morfin kala itu. Kesakitan yang melampau pastinya, sehingga doktor terpaksa membenarkan morfin itu menjalar ke seluruh aliran darah dalam tubuh sahabat saya ini.

Subhanallah. Allah Yang Maha Tahu.

Saya hanya bisa memerhati. Mendoakan. Dan cuba meenghiburkan. 




Sahabatku,

Allah memilihmu. Bukan saya. 

Kerana kamu memang luar biasa. Kalau pesakit lain memilih skala 12 -14 untuk darjah kesakitan yang sepatutnya skala yang diberi hanya 1 - 10; kamu memilih 7 dan yang terkini 10. Allah..

Dan redhamu terserlah dalam tutur kata dan tulisan mu. Memang bukan saya yang wajar memutuskan , tetapi doa saya moga ujian ini menjadi penyebab bahagia menanti kamu di dunia yang kekal nanti. 

Saya tidak meminta kamu untuk bersabar, kerana sabar itu memang telah meliliti setiap inci pergelutan kamu menanggung kesakitan. Sabar yang bagaimanakah lagi yang perlu, kan? Saya cuma bermohon pada Allah, agar dengan rahmatNya, kesakitan ini dapat kamu tanggung dan diberi kepada kamu kesembuhan segera.

Dan saya juga mendoakan kesejahteraan buat suami kamu yang saban waktu berada di sisi kamu. Moga Allah mengurniakan rahmah dan mawaddah buat kamu berdua.

Dan kerana itu hujan ini turun, mungkin.

Kerana mungkin ia menjadi penyebab doa ini dan doa-doa insan-insan lain akan dimakbulkan.

Salam kasih buat sahabatku Noorul yang sedang diuji dengan ujian kesakitan.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...