Monday, September 28, 2015

naluri ibu






Perlu saya nukilkan, kerana ia mengetuk-ngetuk kotak fikiran saya.

"Sunyi sangat ."

Saya ulang baca mesej dari sahabat baik saya itu. Tidak tahu hendak membalas apa. Takut jika apa yang saya tulis itu menyebabkan hatinya bertambah sedih dan pilu.

Kesakitan yang berpanjangan memang sentiasa akan membuat jiwa menjadi sensitif. Tidak kiralah sekuat mana pun hati seseorang itu, badan yang lemah dalam menanggung derita sakit akan sentiasa menjadikan hati insan tersebut mudah kalah. Sensitif, sedih, risau dan pilu bercampur baur dalam sesak derita yang ditanggung.

Saat itu beliau merindukan anak-anaknya. Rindukan keletah dan tingkah anak-anaknya. Meski dalam kesakitan, ingatan dan rasa rindunya bersarang dengan mereka.

Naluri seorang ibu. Dan saya pasti, kata-kata pujukan dan semangat daripada saya tidak akan berkesan selagi anak-anak tersebut tidak berada di depan matanya.

"Diorang nak awak rehat betul-betul.. "

Saya cuba merasionalkan kenapa dan mengapa. Dengan harapan, rasa pilu dan sedih yang menjelar dalam hatinya bisa dikurangkan.

Begitulah.

Insan yang sihat seperti saya dan ramai lagi, merasakan rehat itu bila mana tiada gangguan buat yang sedang menanggung kesakitan. Memang betul rasanya, jika gangguan itu datangnya dari orang lain.

Tetapi bagi seorang ibu, rehat itu ialah mengetahui bahawa anak-anaknya berada di depan mata, mendengar gelak tawa mereka dan tahu bahawa anak-anak itu berada di bawah bumbung yang sama.

Buat sahabat saya Noorul Aaron, moga Allah menyegerakan kesembuhan buat kamu dandiberi nikmat kesihatan baik yang berpanjangan buat kamu sekeluarga.

Aamiin.


cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...