Tuesday, August 23, 2011

mati dalam senyuman

Minggu ini ialah minggu menjadi penceramah. Sayalah. Siapa lagi. 

Bukan menjadi penceramah jemputan. Ini penceramah tak dijemput. Berdiri dalam kelas, bersyarah depan budak-budak ini. Agaknya terkenan  dengan penceramah Dr Muhaya. Sebab.., dalam dua tiga hari ini tidak putus-putus saya mendengar ceramah-ceramah motivasinya. Demam nak berceramah.

Apakah yang awak nampak tentang diri awak dalam masa 10 tahun nanti?

Er..... errr.....

Tak faham kut soalan saya ni. Bisik hati kecil saya. Maklumlah, saya ni kan baru berjinak dengan dunia pen'ceramah'an. Soalan saya pun masih ke'hijau'an lagi.

Lagi 10 tahun nanti agak-agaknya awak jadi apa kut?

Dari awal lagi,  fikirannya tidak fokus pada saya bila mengajar. Melayang. Kerana itu dia menjadi bahan soalan saya.

Jadi kerani, kut.

Alahai. 

Tidaklah saya memandang rendah kerja halal sebagai kerani tu. Tapi, betapa kecilnya jiwa anak muda ini. Sudah berusia 17, takkanlah tidak punya pengetahuan serba sedikit tentang hebatnya pekerjaan-pekerjaan yang ada di luar.

Fikirkanlah kerja yang lebih hebat. Waktu itu nanti umur awak 27 tahun, mungkin sudah berkahwin dan bakal menimang cahaya mata. 

Alah, cikgu ni, saya belum habis fikir lagi...

Awak tau tak? *pause* Saya tau awak tak tau, ni saya nak bagi tau. Orang yang berjaya ialah orang yang dapat membuat unjuran dan melihat hidupnya dalam 20, 30 tahun lagi. Awak semua kena bayangkan apa yang awak nak buat, nak jadi nanti. Dari situ dari sekarang awak kena usaha.

Itu antara intipati Law of Attraction. 

The Law of Attraction simply says that you attract into your life whatever you think about.
sumber
Dr Muhaya juga ada menyebut ini sebagai kuasa minda. Kita bayangkan yang positif, maka positiflah hasilnya.

Bila diingat semula, secara tak sedar, saya pernah juga menggunakan kuasa minda ini. Waktu sekolah menengah rendah berangan dan terbayang-bayang hidup di asrama, kerana terpengaruh dengan buku cerita Enid Blyton. Anganan menjadi kenyataan. Bila di menengah atas berangan dan terbayang hendak masuk universiti. Alhamdulillah juga, termakbul impian. 

Fokus dengan kuasa minda.

Saya kira anganan menjadi kenyataan kerana anganan itu seolah menjadi realiti dalam fikiran, pada waktu itu. Begitu kuat. Begitu berazamnya saya. Tidak pernah saya membayangkan yang saya tidak dapat masuk ke sekolah berasrama atau tidak dapat menjejakkan kaki ke universiti. Tidak pernah sedikit pun. Tiada fikiran negatif tentang hasrat dan keinginan saya itu. 

Positifkan fikiran. InsyaAllah perkara positif akan sentiasa hadir.

Bukankah dalam agama kita pun meminta kita begitu. Sentiasa berbaik sangka dengan Allah. Atas segala nikmat dan ujian. Mempositifkan segalanya, hatta perkara yang dianggap negatif oleh kita.

Dalam 30 tahun nanti bagaimanakah saya?

Umur 75.

Jika masih panjang umur, insyaAllah, saya masih sihat, masih bisa membuat amal ibadat. Mata saya masih boleh melihat, telinga saya masih dapat mendengar, kudrat saya masih bisa menguruskan diri sendiri. Hidup saya tenang. Dunia bukan lagi matlamat saya. Pengabdian saya lebih utuh.


sumber

Dan saya mahu mati nanti tersenyum, sedang orang di sekeliling saya menangis. Bukan nanti saya mati dalam tangisan, sedang orang di sekeling tersenyum menyambut berita kematian saya.

Husnul khatimah. Impian saya.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

1 comment:

  1. Insyallah..
    semua perkara positive akan hadir dlm hidup.. Ameennnnm

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.